Tuesday, April 24, 2012

Gugurmu Seindah Mekarmu

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Thumma Alhamdulillah. ALLAH izinkan saya bertemu lagi dengan sakura buat kali ketiga. Alhamdulillah, musim bunga kali ini ALLAH izinkan saya pergi ke Cherry Blossom Festival di Yeouido Park. Sudah tahun ketiga di Sungkyunkwan University ini, inilah baru pertama kali saya berpeluang ke sana melihat kembang mekar sakura. Alhamdulillah. ALLAH izinkan...

Sudah menjadi satu tradisi di Korea Selatan ini, setiap kali masuk sahaja musim bunga, setiap kali sang sakura sedang berkembang mekar, setiap kali itulah para mahasiswa akan menduduki ujian pertengahan semester. Namun, dalam pada sibuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan, masih sempat lagi kami; pelajar Malaysia khususnya, mencuri peluang yang ada untuk mengunjungi taman-taman tempat sakura berkembang mekar.

Jika tidak berkesempatan untuk mengunjungi taman-taman, pastinya sakura yang berada di sekeliling universiti yang menjadi sasaran kami untuk mengabadikan gambar kenangan. Tidak banyak, sedikit. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk menghayati cantiknya ciptaan ALLAH ini. Iya. Sakura yang cantik memekar ini salah satu ciptaan ALLAH yang tiada tolok bandingnya. Sungguh indah di pandangan mata. Sungguh mendamaikan jiwa. Sungguh menyenangkan kalbu.




 "Dan DIA-lah yang menurunkan air dari langit,
 lalu Kami tumbuhkan air itu dengan segala macam tumbuh-tumbuhan,
 maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau, 
Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; 
dan dari mayang kurma, mengurai tangkai-tangkai yang menjulai,
 dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya pada waktu berbuah, dan menjadi masak. Sungguh, pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan ALLAH) bagi orang yang beriman." 
[Al-An'am, 6:99]

Benarlah firman ALLAH itu. Setiap apa yang ALLAH ciptakan itu ada tanda-tanda kekuasaan-NYA. 

"Katakanlah, "Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi!" 
Tidaklah bermanfaat tanda-tanda (kebesaran ALLAH) dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang yang tidak beriman." 
[Yunus, 10:101] 



Sungguh, saya mendapat sesuatu daripada penciptaan sakura ini. Kelopak-kelopak sakura yang gugur itu, tetap indah seindah mekarnya ia. Subhana-ALLAH! Terfikir sendiri. Patutlah orang yang mati syahid itu indah sahaja wajahnya. Kelihatan bercahaya walaupun nyawa sudah terpisah dari badan. Rupanya itulah kelebihan yang ALLAH berikan kepada orang yang beriman, yang mempertahankan Islam hingga hujung nyawa. ALLAHU AKBAR.


Sakura...
Kehadiranmu dinantikan setiap ketika
Walau hadirmu itu sekejap cuma
Namun amat bermakna
Mampu melarikkan senyuman ceria

Sakura...
Dikau ibarat pelangi 
Yang menceriakan hati kami
Saat resah gelisah menghitung hari
Hari ujian yang menguji diri

Sakura...
Putihmu suci berseri
Merah jambumu melengkapkan seri
Sungguh, ciptaan-NYA tidak mampu ditandingi
Lantas, adakah lagi yang mahu memungkari?

Sakura...
Kembang mekarmu memikat hati kami
Cukup seminggu luruhlah dirimu ke bumi
Walau dikau terdampar gugur ke tanah Ilahi
Dikau masih kelihatan indah berseri

Sakura...
Gugurmu seindah mekarmu
Saat kembangmu ramai yang menghampiri
Saat gugurmu ramai yang menangisi
Mampukah kami menjadi seperti dirimu?

Sakura itu bagaikan pantulan diri
Buat manusia yang mengerti
ALLAH menciptakan kita sebagai khalifah di bumi
Juga untuk beribadah pada Ilahi

Sakura itu patut dicontohi
Hadirnya ia mampu menyentuh hati-hati
Hilangnya ia membekas di hati
Inilah yang seharusnya manusia ikuti

DIA mengilhamkan kita dua jalan
Jalan kejahatan dan juga jalan ketakwaan
Di tangan kitalah terletaknya pilihan
Mahu memilih untuk menyucikan atau mengotorkan

Hadirnya sakura itu punya ibrah yang tersendiri
Hadirnya ia ingin memperingati 
Agar sentiasa merefleksi diri
Supaya menyucikan jiwa setiap hari 

Nota 1: Bakal merinduimu sang sakura yang sentiasa memikat hati ini. Adunan putih dan merah jambumu benar-benar membuatku jatuh hati. Adakah kita akan bertemu lagi nanti? 

Terima kasih duhai sakura sang pemikat hati. Hadirmu telah membuka mata ini. Pergimu membuatkan diriku bermuhasabah sendiri. Ku ingin menjadi sepertimu, yang tetap indah biarpun sudah menyembah bumi. 

Nota 2: Masih lagi dengan mode exam. Cuma tangan ini terasa 'gatal' untuk menulis dan mencoret. 

Selamat menghadapi midterm exam buat semua. Saya tahu sudah agak terlambat untuk mengucapkannya. All the best, do your best and strike for the best! Rabbuna yusahhil. 다들 시험 잘 보고 끝까지 포기하지 마~~ 화이팅!!!


Monday, April 16, 2012

Angin, Sampaikan Rindu Ini Pada-NYA

Assalamu'alaikum wbt.

Duhai angin
Sampaikan rindu ini pada-NYA
Hembuskanlah rasa rindu ini buat DIA
Tak terungkap dengan kata-kata
Betapa diri ini rindu pada-MU
Sungguh aku rindu

Rindu...
Bagaikan rindu sang kekasih kepada si jantung hati
Umpama rindu si isteri buat sang suami
Ibarat rindu sang anak pada ibunya
Seperti rindu si sahabat pada sahabatnya
Begitulah rindu ku pada-MU
Bahkan lebih-lebih lagi
Sungguh aku rindu

Duhai angin
Sampaikan rindu ini pada-NYA
Tiupkanlah rasa yang menggebu ini pada-NYA
Sampaikanlah setiap bait doa ini pada-NYA
Supaya DIA tahu yang diri ini merindui-NYA
Namun aku tahu bahawasanya DIA lebih tahu
DIA lebih lagi tahu siapakah yang merindui-NYA
Sungguh DIA Maha Mengetahui

Harumnya sakura yang dibawa bayu
Bagaikan membisikkan yang DIA sentiasa ada di sisiku
Mekarnya kuntuman tulip yang ceria
Bagaikan mengungkapkan yang DIA sentiasa mengawasiku
Kuncupan mawar merah yang mengembang
Bagaikan berbicara yang DIA tahu aku rindu
Sungguh aku rindu

Duhai angin
Sampaikan rindu ini pada-NYA
Aku rindukan waktu-waktu bersama-NYA
Waktu yang hanya ada aku dan DIA
Alam bagaikan menyepi
Membiarkan hanya aku berbicara dengan-NYA
Sungguh aku rindukan detik itu

Duhai angin
Sampaikan rindu ini pada-NYA
Aku sentiasa menantikan detik itu
Detik hanya ada aku dan KAMU
Sungguh aku rindu


Nota 1: Selamat hari lahir kak Ila. Semoga sentiasa berbahagia disamping yang tercinta dan tersayang. ^^ Semoga sentiasa berada di bawah lembayung rahmat dan kasih sayang Ilahi.

Bittaufiq wannajah fil imtihan, dearie. Kak Long doakan dari sini. Insya-ALLAH.

Nota 2: Alhamdulillah hari ini DIA izinkan rindu ini dilepaskan. Menikmati kembang sakura yang memekar, cerianya tulip dan wanginya mawar  benar-benar membahagiakan jiwa. Semua itu atas kehendak-NYA kan? Nikmat apakah yang kita mahu dustakan? Tuntun hati ini supaya sentiasa ingin mendekati-MU, YA ALLAH. Luruskan hati ini untuk terus mencintai dan merindui-MU,YA ALLAH...Mohon dengan sangat.

Nota 3: Mabruuk  kepada kawan-kawan satu batch yang akan menamatkan zaman bujang cuti summer nanti. 3 orang dah confirm. Tumpang bahagia untuk kalian. Semoga berbahagia hingga ke syurga. Insya-ALLAH. Err..rasa jealous tiba-tiba. Terfikir-fikir juga, bilakah giliranku? Hoho.

Tuesday, April 10, 2012

Kita Sayang, ALLAH Lebih Lagi Sayang

Assalamu'alaikum wbt.

10 April 2012. Hari ini, hari yang begitu terkesan sekali di hati saya. Sewaktu di bilik komputer menyiapkan projek MATLAB, saya mendapat kakao dari Krun mengatakan yang umminya sudah tiada. Pulang menghadap Sang Pencipta. ALLAHU ALLAH. Terasa seolah-olah masa berhenti seketika. Kaku. Diam tak terkutik saya sambil membaca mesej itu berkali-kali. Teringat Ummi dan We di rumah. Setiap dari kita akan menghadapi detik kematian, namun adakah kita bersedia untuk menghadapinya dan bersedia melepaskan insan kesayangan kita pergi? Sungguh besar jiwamu ukhti. Malu diri ini mengenangkan ketabahan dirimu.

Takziah saya ucapkan buat Krun sekeluarga. Semoga kalian terus diberikan ketabahan,kekuatan dan kesabaran. Rabbuna yuqawwi. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri  rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Insya-ALLAH.

"Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasanmu.Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya."
[Ali Imran, 3:185]

Saya juga ada terbaca tentang beberapa orang insan lain yang dijemput menghadap Ilahi. Sungguh, hari ini penuh dengan peringatan dari-NYA. Saya dan kita semua pun, hanya menunggu masa sahaja untuk mengikut jejak langkah mereka semua. Bersediakah kita menghadapinya? 

Hari ini juga, ada beberapa kenalan yang menyambut ulang tahun kelahiran mereka. Dua daripadanya ialah junior batch 12. Hari ini juga, saya mendapat berita seorang ukhti telah selamat melahirkan seorang khalifah kecil. 

Subhana-ALLAH. Sungguh cantik kan susunan ALLAH? DIA jemput seorang dan DIA hadiahkan seorang. Selalunya saya hanya mendengar sahaja mengenai perkara ini. Hari ini saya mengalaminya sendiri. 

Kita sayang, ALLAH lebih lagi sayang. Mati itu pasti. Hidup, insya-ALLAH. Bersama kita manfaatkan sisa-sisa usia yang masih berbaki ini ke arah kebaikan. Bersama berjuang mencapai redha-NYA. Bersama berusaha menjadi hamba rabbani. Insya-ALLAH. Semoga nanti saat kita dijemput-NYA, kita mampu pergi dengan tersenyum gembira seperti saat kali pertama kita dilahirkan. Insan yang menyambut kelahiran kita semuanya tersenyum gembira. Insya-ALLAH.