Wednesday, September 28, 2011

Perjuangan Ini

Assalamu'alaikum wbt.


Andai perjuangan ini mudah,
Pasti ramai yang menyertainya
Andai perjuangan ini menjanjikan kesenangan,
Pasti ramai yang tertarik padanya
Tapi hakikatnya perjuangan bukan begitu
Turun naiknya, sakit pedihnya
Umpama kemanisan yang tiada terhingga
Andai rebah, bangkitlah semula
Andai terlena, ingatlah janji-NYA
Selamat berjuang!







Saturday, September 24, 2011

Berubah 11

Faizi duduk bersandar di tepi dinding bersama gitar miliknya. Dibetulkan tuning pada tali gitar. Sudah lama dia tidak memegang gitar kesayangannya itu. Sibuk dengan pelbagai kerja dan tugasan yang diberikan oleh para pensyarah sehinggakan dia hampir melupai akan kehadiran gitar itu. Sudahnya gitar itu hanya tersadai di sudut bilik sejak hampir dua bulan. Semenjak dia menjejakkan kaki ke DMU ini.
             Berpuas hati dengan bunyi yang dihasilkan, jari jemarinya kasarnya mula berlari-lari di atas tali gitar menghasilkan bunyi yang indah.
             Hazril dan Aqil yang turut berada di dalam bilik ketika itu hanya memandang dirinya yang sedang memetik gitar itu. Mereka sedang menyiapkan tugasan C Programming bersama-sama. Tadi pun dia juga sedang menyiapkan kerja. Setelah siap, terasa ‘gatal tangan’ pula untuk memetik gitar kesayangannya ini.
             Dia punya misi sebenarnya. Dia mahu menyanyikan lagu ini kepada seseorang. Sudah puas dia memikirkan akan hal ini. Rasanya sekarang ini dia sudah benar-benar pasti dengan perasaannya sendiri.
             Alat perakam diambil dan tekan butang on. Perlahan bunyi dari gitar menghasilkan melodi serentak dengan suaranya menyanyikan setiap baris lirik lagu yang sudah pun dihafalnya.
Faizi mengalunkan lagu Terukir di Bintang yang dipopularkan oleh Yuna itu dengan sepenuh perasaan. Apa ingat orang lelaki tak boleh bawa lagu perempuan dengan baik ke?
Jika engkau minta intan permata tak mungkin ku mampu
Tapi sayangkan ku capai bintang dari langit untukmu
Jika engkau minta satu dunia akan aku cuba
Ku hanya mampu jadi milikmu pastikan kau bahagia
Hati ini bukan milik ku lagi
Seribu tahun pun akan ku nanti
Kan… kamu…
Sayangku
Jangan kau persoalkan siapa di hatiku
Terukir di bintang tak mungkin hilang cintaku padamu
Selesai!
Faizi tersenyum puas. Dimatikan rakaman suaranya tadi.
Hazril dan Aqil berpandangan sesama sendiri. Dagu Aqil diangkat sedikit bertanyakan kenapakah kawan mereka merangkap teman sebilik Hazril si Faizi ini jiwang sangat hari ni. Hazril mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Alamak aih… jiwangnya!” Hazril memberikan komen.
“Bahagia nampak…” Giliran Aqil pula bersuara.
Faizi hanya menayangkan senyum lebar.
Aqil menyusun kertas-kertas yang bertaburan di atas meja. Alat-alat tulis dan buku teks C Programming juga disimpan dan disusun elok-elok di sudut meja belajar milik Hazril. Dia kemudiannya bangkit dari duduknya. Kakinya dihalakan ke tempat Faizi bersandar ditemani gitarnya. Tangannya dihulurkan kepada Faizi meminta untuk memegang gitar milik kawannya itu.
Dengan wajah yang berkerut seribu Faizi akhirnya menghulurkan juga gitarnya kepada Aqil.
“Weh… kau nak buat apa?”
Hazril hanya memerhatikan gelagat kawan-kawannya. Dia juga tertanya-tanya apa yang mahu Aqil lakukan dengan gitar Faizi itu. Jangan dipatahduakan gitar kesayangan Faizi itu sudahlah.
“Nak mainlah. Apa lagi?” Keningnya dijungkitkan tinggi.
“Huh?”
“Kenapa? Tak percaya?”
Aqil melabuhkan duduknya di sebelah Faizi yang masih menayangkan wajah blur dan pelik itu.
“Kau nyanyi lagu Yuna, Terukir di Bintang kan tadi?”
Aqil memetik tali gitar sambil memandang Faizi di sebelah mahukan pengesahan.
“Yup.”
“Okey. Kali ni dengar pula Tak Terukir di Bintang.” Aqil mengangkat keningnya dua kali. Dia tersengih menyenget.
“Weh! Rosak lagu!”
“Dengar dulu… Meh, Mr. Aqil menyanyi pula…”
Aqil memetik gitar. Melodinya sama seperti yang dimainkan oleh Faizi tadi. Agak tergamam juga Faizi dan Hazril dibuatnya. Sama sekali tidak menyangka yang si Aqil ini mampu memetik gitar dengan baik.
Jika engkau minta intan permata tak mungkin ku mampu
Tapi engkau minta wang berjuta
Itu pun ku tak mampu
Jika engkau minta satu dunia
Lagi ku tak mampu
Terburai ketawa Faizi dan Hazril saat mendengar bait lagu yang dinyanyikan oleh Aqil itu. Faizilah yang paling kuat ketawanya.
“Weh! Serius rosak lagu Yuna tu!” Faizi menekan-nekan perutnya. Tak tahan gelak. Aqil hanya menayangkan muka selamba sambil meneruskan nyanyiannya.
Tapi ku mampu jadi imammu pastikan kau bahagia
Kali ini Aqil melebarkan senyumannya sambil menjungkitkan keningnya beberapa kali.
Hati ini hanya milik Ilahi
Yang berikan cinta, yang temukan aku dan …kamu
Sayangku,
Jika ujian datang dari Tuhan untukmu
Tak terukir di bintang segala jawapan
Doa pada Tuhan
Tak terukir di bintang segala jawapan
Cuba baca Al-Quran
Aqil menamatkan nyanyiannya sambil tersenyum. Hazril sudah reda ketawanya. Faizi masih lagi menekan-nekan perutnya. Terkekeh-kekeh dia menggelakkan Aqil. Bagaikan tidak percaya Aqil yang stok baik dan alim ini mampu menyanyi sambil memetik gitar. Siap ubah lirik lagu pula tu!
“Hebatlah kau Aqil! Macam mana boleh terfikir nak ubah lirik sampai macam tu sekali. Hah?”
             Faizi menepuk-nepuk bahu Aqil.
             “Tak adalah. Ini lagu parodi Mr. Bie. Aku tolong mainkan saja.” Aqil tayang giginya yang tersusun rapi sambil menunjukkan wajah selambanya.
             “Ooooh.” Tertipu rupanya. Tapi apapun Aqil masih cukup bagus dalam memetik gitar. Ada bakat terpendam rupanya budak Aqil ni.
             “Gelak. Gelak juga. Lirik tu yang kena hayati.”
             “Baiklah, ustaz!”
             “Yang kau tu… aku tengok memang menghayati lagu tu gaya macam nak propose orang pun ada.” Aqil menebak.
             “Errr…” Faizi garu tengkuknya yang tiba-tiba terasa gatal. Aqil ni mind-reader ke apa? Hampir tepat dan mengena tekaannya.
             “Kalau betul serius, terus jumpa wali dia weh!” Aqil menepuk-nepuk bahu Faizi yang gamam seketika. Kelu tidak mampu berkata apa-apa.

Monday, September 19, 2011

Nilai Harga Dirimu

Assalamu'alaikum wbt.

Semalam saya ada menonton MHI- Hi Tea Amal Raudhatus Sakinah. Ada beberapa orang kawan di Facebook yang berkongsi link you-tube ini. Kemudian sewaktu sedang chat dengan seorang sahibah pun, dia ada bertanyakan perihal ini. Jadinya saya tertarik untuk menonton sendiri slot MHI ini.

YA ALLAH. Sewaktu menonton saya tidak dapat menahan air mata daripada mengalir keluar. Sedih sangat-sangat. Tambahan pula apabila mendengar penjaga Raudhatus Sakinah memberitahu yang ada segelintir ibu bapa yang menganggap zina itu perkara yang biasa. Masya-ALLAH. Astahgfirullah hal 'azim.

Pada pandangan saya, masyarakat menganggap isu zina dan remaja hamil tanpa akad nikah ini perkara biasa apabila hampir setiap hari mereka dihidangkan dengan berita yang sama. Hakikatnya zina itu suatu dosa besar. Dalam Al-Quran pun ALLAH berfirman,

"Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk."-Al-Isra', 17:32-

Betapa serius dan besarnya masalah ini, sehinggakan ALLAH melarang kita mendekati zina itu. ALLAH bukan setakat melarang kita melakukan penzinaan, malah ALLAH melarang kita daripada menghampiri perkara-perkara yang boleh mengarah ke arah zina.

Semoga kita semua dilindungi ALLAH daripada perbuatan maksiat dan mungkar. Semoga ALLAH melindungi dan menjaga kita semua.

Sejujurnya, dulu, saya tidak begitu menitikberatkan soal menutup aurat. Alhamdulillah. ALLAH masih sayangkan saya. DIA menghadirkan saya sahabat dan sahibah yang baik-baik dan solehah. Melalui mereka ini saya mengenali hakikat Islam yang sebenarnya. Alhamdulillah.

Berada di negara yang penduduknya majoriti non-muslim makin menyedarkan saya akan indahnya Islam itu. Saya benar-benar bersyukur saya dilahirkan di dalam keluarga Islam. Dan saya lebih-lebih lagi bersyukur apabila ALLAH takdirkan saya bertemu dengan orang-orang baik dan menyedarkan saya akan hakikat Islam yang sebenar. Yang Islam bukan kerana dilahirkan Islam, tetapi faham Islam itu dalam erti kata yang sebenar. Alhamdulillah. Walaupun saya sedar, masih banyak lagi yang perlu saya pelajari dan perlu saya perbaiki.

Perjalanan pergi dan balik dari kelas setiap hari, menjadikan saya seorang pemerhati dan pemikir. Apabila melihat cara orang di sini berpakaian, saya rasa bersyukur sangat-sangat dilahirkan sebagai Islam. Dan saya mula menyedari bahawa ALLAH memerintahkan orang perempuan menutup aurat itu bukan saja-saja. Ada sebabnya. Punyai hikmahnya yang tersendiri.

Selalu sahaja kawan-kawan lelaki Muslim menyatakan mereka tidak boleh jalan menunduk (baca: menundukkan pandangan) terutama sekali time summer. Namun pada saya, bukan setakat orang lelaki, orang perempuan pun sama. Tidak boleh menundukkan pandangan nak-nak time summer.

Betapa Islam itu benar-benar menjaga nilai harga diri seseorang. Sebab itulah ALLAH memerintahkan baik lelaki mahupun perempuan menutup aurat mereka. Yang perempuan perlu menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Yang lelaki perlu menutup bahagian pusat hingga lutut.
Seorang perempuan, jika ditayangkan segala keistimewaan dan kecantikan dirinya, masih ada lagikah keistimewaannya? Masih ada lagikah keistimewaan dan kecantikannya yang hanya akan ditampilkan kepada suaminya kelak? Apa beza lelaki-lelaki ajnabi yang lain dengan suaminya? Di situlah letaknya nilai harga dirimu duhai muslimah solehah. Kecantikan dirimu hanya untuk tatapan insan yang benar-benar berhak sahaja. Bukan untuk tatapan ramai.

Saya ada hadiah. Satu yang dibalut dengan kertas pembalut hadiah yang cantik dan dilekatkan sekeping kad ucapan. Satu lagi saya sekadar biarkan tidak berbalut. Boleh nampak jelas apa hadiah tersebut. Awak yang membaca, awak nak hadiah yang mana? Yang dibalut cantik-cantik dan ada kad ucapan ataupun yang tidak berbalut?

Saya tak tahulah jawapan awak semua macam mana kan. Tapi saya pasti ramai yang akan memilih hadiah yang berbalut cantik itu bukan? Lumrah kita manusia menginginkan sesuatu yang indah dan cantik. Walaupun kedua-duanya sama. Namun pastinya kita akan memilih yang lebih elok dan cantik.

Begitu jugalah kita sebagai seorang perempuan. Cantiknya kita apabila kita menutup aurat kita daripada tatapan nakal lelaki di luar sana dan kita menjaga adab sopan kita. Jika mempunyai wajah dan rupa yang cantik, itu sudah satu bonus. Ketahuilah setiap wanita itu cantik dan kecantikan itu akan lebih terserlah jika kita menjaga aurat dan adab. Insya-ALLAH.

Nota kaki : Kalau tak pandai masak. Tak apa. Boleh belajar. Lama-lama nanti pandai la kan. Apa yang penting, kita menjaga aurat, solat dan adab. Insya-ALLAH. Sama-sama kita menjaga aurat, solat dan adab kita ye, akhawati fillah. :)

P/S : Adikku, moga ukhuwah yang baru terjalin itu berkekalan hendaknya. Gembira bila mengetahui dirimu gembira. Nanti boleh la kita pergi program sama-sama ye :p

Friday, September 16, 2011

Inside Out. Upside Down.

Assalamu'alaikum wbt.

It's 3 o'clock at the morning already. And I'm still awake! Oh my...this is really inside out. Upside down! Haila~

Kebelakangan ini memang banyak benda yang difikirkan. Mungkin itu juga merupakan salah satu faktor mengapa saya tidak boleh tidur. Jam biologi pun dah menjadi tunggang terbalik dah. Malam tadi pun, entah pukul berapa baru tertidur. Kepala penuh berselirat dengan pelbagai benda. Itulah akibatnya bila saya tak dapat selesaikan sesuatu perkara. Mesti asyik terfikir-fikir je benda tu.

Apabila memikirkan perkara-perkara yang melibatkan pilihan ini, memang itulah yang terjadi. Sukar untuk membuat pilihan. Serba salah untuk melepaskan salah satu. Sebab itu saya tidak suka memilih. Cukuplah hanya berikan saya satu pilihan sahaja. Senang. Tidak perlu memilih. Sudah tentu itu yang akan saya pilih.

Ok. Hakikatnya hidup ini tidak lengkap jika tidak dipenuhi dengan pilihan. Bukan begitu? Hambarlah suasana tanpa pilihan. Suramlah kehidupan tanpa hadirnya pilihan. Ketahuilah bahawa pilihan-pilihan itu menceriakan dan menghidupkan hidup anda. *Ok. Dah bunyi macam iklan dah.*

Jadinya, tidak dapat tidak, saya perlu juga membuat pilihan. Apakah pilihan itu? Biarlah saya sahaja yang mengetahuinya setakat ini. Nanti dah dapat keputusan barulah boleh diberitahu. Insya-ALLAH.
YA ALLAH. Bantulah hamba-MU ini. Lindungilah daku. Berilah petunjuk-MU, YA RABB.

Rupanya bukan soal jodoh sahaja perlu lakukan istikharah. Apabila diburu pelbagai pilihan dan kehendak, hal ini juga perlukan petunjuk dari Ilahi. Hanya DIA yang mengetahui apa yang terbaik untuk saya. Insya-ALLAH. Moga-moga pilihan itu nanti yang terbaik buat saya.

Sebenarnya perkara ini bukanlah besar sangat pun bagi sesetengah orang. Tapi pada saya, hal ini penting dan besar. Jika pilihan pertama dibuat, ada pro dan kontranya. Jika pilihan kedua dibuat, ada baik dan buruknya. Kedua-duanya nampak seimbang. Yang itu begitu dan yang ini begini. Sudahnya saya pening sendiri. Pengakhirannya semua kerja pun tak jadi. Buka buku math, tutup balik. Capai pensel nak mengarang essay untuk presentation, letak balik. Sudahnya saya termangu-mangu keseorangan.

Terima kasih buat awak dan awak yang sudi melayan celoteh saya. Yang menghiburkan hati saya. Terima kasih juga pada We yang call saya malam tadi. Semalam dah bercakap dengan Ummi. Malam ni dapat cakap dengan We. Rasa lapang sikit dada. Walaupun keputusan masih belum dibuat.

Apapun saya tidak sukakan keadaan inside out, upside down begini. Terasa macam tak pijak tanah. Terasa macam tak bertapak di bumi. Pergi ke kelas pun seolah-olah jasad sahaja yang terpegun di kerusi. Fikiran melayang-layang entah ke mana. Astaghfirullah hal 'azim.

Nota kaki : Ini sekadar meluahkan apa yang terbuku di hati. Sekadar untuk melegakan dan melapangkan dada.
P/S : -Ketahuilah hati-hati kita ini, DIA yang pegang. Hanya DIA. Tiada yang lain. Berserahlah kepadanya. Hanya DIA. DIA tahu apa yang terbaik buat dirimu-

P/S/S :
"Will you walk together with me?"
"To where?"
"Jannah"

*Balik nanti nak kena cari Quartet tulisan Saidatul Saffaa. Dah jatuh 'chenta' dah ni.*
**Ok. Ini pengubat hati yang sedang berwalang durja. :P**

Thursday, September 8, 2011

Kalimah Insya-ALLAH Itu...

Assalamu'alaikum wbt.

Minggu lepas, saya ada berborak dengan seorang kenalan. Sekadar bertanya khabar dan mengucapkan selamat hari raya. Perbualan itu sekadar perbualan biasa, cumanya ada sesuatu yang agak menarik untuk kita renungkan bersama. Perbualan kami lebih kurang seperti ini:

Kenalan : Dah tu tak balik la eh tahun ni?
Saya : Dah takde cuti dah. Tak balik la.
Kenalan: Owh gitu...
Saya : Yang pasti raya tahun depan balik! (Dengan penuh semangat saya beritahu dia)
Kenalan: Apa dia? Cuba ulang balik ayat tadi.
Saya : Saya cakap, raya tahun depan saya balik... Insya-ALLAH.
Kenalan : Iye ke tadi cakap macam tu? Macam lain je...
Saya : Betul la! Saya balik raya tahun depan! Insya-ALLAH!
Kenalan : Kenapa yang mula-mula tadi takde "Insya-ALLAH" pun!
Saya : (erk?!) Ok la. Ok la. Tahu dah kat mana salah. Terima kasih ingatkan.

.......and the rest is history........
Saya memang terkesan dengan teguran itu. Iyalah, cara saya cakap tu macam saya confirm je yang tahun depan saya akan balik beraya kat Malaysia. Kalau ALLAH tidak mengizinkan saya balik beraya di Malaysia tahun depan, sudah pasti saya tidak akan menjejak Tanah Melayu pun. Betul kan? Jadinya kalimah "Insya-ALLAH" itu penting. Perlu diucapkan tatkala kita menjanjikan sesuatu.

Betapa pentingnya kalimah "Insya-ALLAH" ini, sehinggakan ALLAH ada menyebutnya di dalam Al-Quran."Dan jangan sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, "Aku pasti melakukan itu besok pagi," kecuali (dengan mengatakan) "Insya-ALLAH". Dan ingatlah kepada Tuhanmu apabila engkau lupa dan katakanlah, "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku yang lebih dekat (kebenarannya) daripada ini.""-Al-Kahfi, 18: 23-24-

Nampak kan di sini, yang ALLAH bertegas tentang penggunaan kalimah "Insya-ALLAH" bilamana kita menjanjikan sesuatu. Ayat "Aku pasti melakukan itu besok pagi." itu sudah cukup untuk menunjukkan yang kita berjanji untuk melakukan kerja itu esok pagi. Dan perlu ditambah dengan kalimah "Insya-ALLAH." Kenapa? Kerana tanpa izin-NYA, kita tidak akan mampu melakukan apapun esok pagi. Hanya dengan kehendak dan keizinan Yang Maha Esa sahajalah, kita mampu melakukannya; mampu menunaikan janji yang sudah kita buat.

"Sungguh Kami telah menguji mereka (orang musyrik Mekah) sebagaimana Kami telah menguji pemilik-pemilik kebun, ketika mereka bersumpah pasti akan memetik (hasil)nya pada pagi hari, tetapi mereka tidak mengecualikan (dengan mengucapkan "Insya-ALLAH). Lalu kebun itu ditimpa bencana (yang datang) dari Tuhanmu ketika mereka tidur."-Al-Qalam, 68: 17-19-

Jelas bukan di sini bahawa semua itu terletak di tangan ALLAH. Kita perlu sedar di sini yang kita; manusia ini mempunyai keterbatasannya. Hanya ALLAH yang bisa menentukan sesuatu itu bakal terjadi mengikut kehendak kita atau sebaliknya.

Tengoklah bencana yang menimpa pemilik-pemilik kebun itu akibat tidak mengucapkan "Insya-ALLAH" ketika mengucapkan "Kami pasti akan memetik (hasil)nya pada pagi hari." Tengok-tengok pagi esok, kebun mereka hangus terbakar. Tak sempat mereka hendak mengutip hasil.

Semoga kita mengambil iktibar daripada kisah ini. Insya-ALLAH. Sentiasalah mengucapkan kalimah "Insya-ALLAH" saat mengatakan sesuatu yang kita belum tentu dapat melakukannya. Hanya dengan keizinan dan kehendak ALLAH-lah, baru kita boleh melaksanakan sesuatu perkara itu.P/S : Selamat meneruskan "perjalanan" ye awak^^ Rabbana yu'assir wa la tu'assir. Bittaufiq wannajah~ :)

P/S/S : Selamat memasuki alam kampus, adikku. Selamat berorientasi^^ Be strong. Anything just text me, ok? Do take care of yourself. Remember, HE is always be by your side. :-)


Tuesday, September 6, 2011

Aku Terima Nikahnya

Assalamu'alaikum wbt.

Saya percaya tentu dah ramai yang baca buku bestseller ni kan? Aku Terima Nikahnya tulisan Ustaz Hasrizal. Saya baca buku ni masa dekat INTEC, dalam tahun 2009 macam tu. Pinjam dari kawan satu batch. Dah lama la jugak khatam buku ni ni. Dah 2 tahun. Sekarang sudah ada kompilasi buku Aku Terima Nikahnya bersama 2 lagi buku tulisan Ustaz Hasrizal. Saya belum sempat baca lagi buku kompilasi ni. Insya-ALLAH, akan baca sedikit masa lagi.

Memandangkan sekarang ni musim orang kahwin, saya tertarik untuk menulis tentang topik ini. Lagipun memang sejak seminggu dua ini, saya asyik dihidangkan dengan topik yang sama sahaja. Kahwin, tunang, kahwin tunang. Tengok gambar orang itu kahwin lah. Tahu orang ini tunang lah.
Sepupu saya pun baru sahaja selesai walimahnya pada 5 Syawal 1432H bersamaan 3 September 2011 baru ni. Tak sampai seminggu pun lagi. Saya hanya mendengar cerita persiapan perkahwinan dan sebagainya dari Ummi. Ummi pun tak menang tangan menguruskan itu dan ini. Segala macam barang hantaran memang sepupu serahkan pada Ummi untuk uruskan. Ummi siap cakap, "Ini baru anak saudara kahwin. Kalau anak sendiri yang kahwin, Ummi tak tahu la macam mana penatnya." Sampai demam-demam dibuatnya selepas majlis tu. *Kalau anak sendiri kahwin, memang Ummi lagi tak menang tangan la jawabnya. Sebab memang semua benda akan tanya Ummi. :P*

Bila dengar je orang kahwin ni, rasa macam nak kahwin jugak. Iye lah kan, seronok tengok orang kahwin. Dengan pakaian yang cantiknya, dengan pelaminnya, dengan hantarannya. Seronok! Namun hakikatnya, perkahwinan bukan hanya berhenti setakat itu sahaja. Perkahwinan tidak selesai hanya selepas akad ijab dan kabul. Habis majlis walimah, maknanya habislah bab nikah-kahwin. Oh, tidak sama sekali. Sekali-kali tidak begitu!

Hakikatnya, bermula saat suami menggenggam tangan jurunikah, melafazkan lafaz sakinah; ijab dan kabul, di situlah bermulanya episod sebuah perkahwinan. Penyatuan dua hati menjadi satu. Saat itu tergalas beban tanggungjawab oleh seorang bergelar suami terhadap isterinya. Saat itu terserah beban tanggungjawab yang ditanggung oleh seorang bapa kepada bahu seorang suami.

Beban yang digalas itu bukan sedikit ye teman-teman. Amat berat dan amat sukar. Ia memerlukan persediaan rapi yang bukan sedikit. Tanggungjawab itu akan disoal di akhirat kelak. Adakah suami itu benar-benar menjaga amanah dan melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isterinya. Kemudian beban tanggungjawab itu akan bertambah lagi setelah pasangan itu mempunyai anak kelak. Segala dosa yang dilakukan oleh isteri dan anak-anak semuanya tertanggung dipundak seorang lelaki yang bergelar suami dan ayah ini.

Buat yang bergelar Adam, insya-ALLAH suatu hari nanti, kalian pasti akan mengalami saat-saat pelepasan tanggungjawab ini. Buat yang bergelar Hawa, insya-ALLAH nanti apa sahaja yang kalian lakukan, semuanya tergalas di bahu suami kalian kelak. Oleh itu, fikirlah semasak-masaknya, adakah kalian sudah bersedia untuk menanggung beban tanggungjawab ini setelah menyandang title suami dan isteri kelak.

Justeru itu, perkahwinan itu bukan sahaja menghalalkan sesebuah perhubungan. Namun ia lebih kepada penyerahan tanggungjawab dan kebersamaan dua jiwa dalam penguruskan rumah tangga yang dibina. Sungguh, asam garam dalam kehidupan berumah tangga itu memang banyak. Kapal yang dikemudi seorang nakhoda tentu sekali akan mengalami pertembungan dengan ombak yang bergelora. Oleh itu, menjadi tugas nakhoda itulah bagaimana untuk dia mengawal nakhodanya daripada terhempas di pantai. Kebijaksanaannya dalam mengendalikan kemudi dibantu oleh pembantu dan anak-anak kapal yang lain ini akan menyelamatkan nakhoda daripada karam di lautan yang bergelora.

Seseorang yang bergelar suami dan isteri tidak terlepas daripada tanggungjawab masing-masing. Jika dulu hanya hidup sendiri. Semua benda hanya perlu ikut hati dan rasa. Kini sudah tidak boleh begitu lagi. Semua benda perlu dilakukan bersama. Tidak boleh hendak ikut rasa sendiri sahaja. Perlu juga mengambil kira pendapat dan kehendak pasangan. Oleh itu, sifat bertolak ansur dalam rumah tangga itu memang teramat penting.

Jika dulu pantang berkongsi. Sekarang ini, semua benda kena berkongsi. Semestinya setiap orang dari isteri dan suami mempunyai kelemahan dan kelebihan masing-masing. Bila sudah berdua, kekurangan isteri ditampung oleh kelebihan suami dan kelemahan suami ditampal oleh kebolehan isteri.

Kepada sesiapa yang baru sahaja menamatkan zaman bujang mereka, selamat menghadapi alam perkahwinan yang pastinya punyai asam, garam, gula dan kopinya yang tersendiri.

Kepada sesiapa yang bakal melangkah ke alam baru ini, persiapkanlah diri anda sebaik mungkin. Bertanyalah kepada yang lebih berpengalaman dan lebih tahu. Semua itu untuk kebaikan kita juga suatu waktu kelak.

Memang saya tidak menulis semua ini mengikut pengalaman sendiri. Hakikatnya semua itu masih jauh bagi saya. Sekarang ini masih memegang status single but not available. Kenapa not available? Semestinya kerana saya hak milik mutlak Ummi dan We. Jadinya untuk menjadikan available perlulah berjumpa dengan pemiliknya bukan?

Namun pengalaman itu tidak terbatas kepada pengalaman diri sendiri sahaja. Pengalaman itu juga boleh diambil daripada orang-orang sekeliling. Pengalaman dari pembacaan. Pengalaman daripada pemerhatian. Jadinya pengalaman yang dinukilkan di sini, diambil daripada pengalaman orang sekeliling, pembacaan dan pemerhatian saya sendiri.

Maaf, jika apa yang saya lakarkan diri sini ada yang tidak betul dan tidak kena di mata para pembaca. Harap dibetulkan ye.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha untuk mempersiapkan diri sesedia mungkin bagi menghadapi kehidupan berdua nanti. Sungguh, mengejar atau mencari yang soleh dan solehah itu hanya sia-sia jika diri sendiri tidak berusaha untuk menjadi soleh dan solehah.

Sunday, September 4, 2011

Lau Kaana Bainana

Assalamu'alaikum wbt.

Sihat ke semua? Harapnya semua sihat-sihat sentiasa. Apa khabar iman kita setelah Ramadhan berlalu pergi meninggalkan kita? Moga-moga iman itu masih teguh dan utuh, seutuh saat Ramadhan masih bersama dengan kita. Insya-ALLAH. Moga terus istiqamah dalam beramal.

Sesiapa yang menonton TV Al-Hijrah pasti tahu tentang tajuk n3 saya kali ini. Lau Kaana Bainana. Andainya Rasulullah Bersama-sama Kita. Masa Ramadhan baru ni, rancangan ini disiarkan pada pukul 6.30 pagi waktu Korea. Maknanya 5.30 pagi waktu Malaysia.

Saya amat tertarik dengan satu slot rancangan ini yang sempat saya tonton pada hari-hari terakhir Ramadhan yang lalu. Tentang menepati masa.

Para krew Lau Kaana Bainana menjalankan sesi itu di sebuah universiti. Para pelajar yang datang lewat akan ditahan daripada memasuki kuliah. Mereka perlu menulis nama mereka pada borang yang disediakan dan menandatangani borang berkenaan. Mereka perlu mengakui yang mereka memang datang lewat ke kuliah.

Pelbagai reaksi pelajar yang boleh dilihat. Ada juga yang enggan menandatangani borang pengakuan berkenaan. Kemudian mereka ditemuramah. Krew Lau Kaana Bainana menanyakan sebab-sebab kelewatan mereka ke kuliah. Macam-macam jawapan dan alasan yang diberikan.

Ada yang kata, jalan jammed sebab tu lambat. Ada yang cakap, saya bersarapan dulu sebelum datang. Ada yang beritahu, biasa la kan, terlewat bangun. Itu yang terlewat datang tu.

Lepas tu krew tanya, "Dah tahu kelas awal pagi ni, yang pergi tidur lambat malam tu kenapa?
" "Yang bangun lambat tu kenapa?" Sebabnya mereka bukannya lewat seminit dua, tetapi lewat hampir sejam! Terus tak terkata pelajar yang disoal tu. Mungkin baru sedar salah sendiri.

Bila dengar pelajar bagi alasan macam tu. Saya pun terfikir la. Betul jugak eh. Munasabahkah alasannya lewat ke kelas gara-gara terlewat bangun? Bukankah sebagai seorang pelajar, kita memang sudah tahu dengan jadual kelas kita sendiri? Bahkan pelajar universiti memang boleh memilih kelas dan masa yang mereka inginkan. Dah tahu kelas tu pagi, bangun la awal-awal pagi kan? Kiranya kalau terlewat tu, memang tak boleh nak bagi alasan la. Dah memang salah sendiri terlewat bangun. Oho...baru saya tersedar. Terlewat bangun itu bukannya satu alasan yang logik dan kukuh untuk dikhabarkan kepada semua orang. Sememangnya itu bukan alasan pun, tetapi kecuaian diri sendiri!

Kemudian, pihak krew bertanya, "Andainya Rasulullah ada bersama-sama kita masa ni, adakah baginda akan datang lewat ke kelas?" Terus pelajar itu dengan confidentnya menjawab,"Sudah tentu tidak. Mana mungkin baginda yang sememangnya membawa contoh ikutan yang bagus itu datang lewat ke kelas!"

Pertanyaan yang sama juga ditujukan kepada para pelajar yang datang lewat. Rata-rata mereka dengan penuh yakin menyatakan bahawa Rasulullah SAW seorang yang menepati waktu. Pastinya baginda tidak akan terlewat datang dalam apa jua majlis. Bahkan bagindalah yang akan datang paling awal. Malah ada juga mengatakan bahawa pada sesetengah keadaan baginda yang menunggu para sahabat. Semestinya Nabi Muhammad SAW seorang yang sangat-sangat menepati janji dan merupakan qudwah hasanah buat seluruh umat manusia. Akhlak yang baginda tunjukkan benar-benar sebuah akhlak yang mulia dan terpuji.

Seterusnya, mereka disoal, "Kenapakah mereka sebagai umat Nabi Muhammad tidak mengikuti contoh ajaran yang telah Rasulullah tunjukkan?" Terus terkedu untuk menjawab. Ada juga yang berani menyatakan yang kita sebagai manusia tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Ramai yang diam membisu dan menundukkan kepala. Mungkin menyedari kekhilafan diri.

Saya menjadi insaf saat melihat rancangan itu. Terus terdiam. Minda tidak henti-henti berfikir dan berfikir. Muhasabah diri. Menyesali kesilapan dan kekhilafan diri selama ini. Betapa kerdilnya rasa diri.

Saya masih ingat, saat saya menonton rancangan itu masih ada sekitar 2 jam untuk saya ke kelas. Kelas pertama pada hari pertama semester. Entah macam mana, setelah bersiap-siap dan mengemaskan diri, saya boleh terlelap di hadapan komputer. Sudahnya 5 minit hendak pukul 9 pagi baru saya terjaga. ALLAHU AKBAR! Kali ini saya pula yang mengalami nasib seperti pelajar yang terlewat bangun untuk ke kelas dalam rancangan Lau Kaana Bainana tadi. Terus saya bergegas ke kelas yang mengambil masa hampir 15 minit dari rumah. Dalam hati tidak sudah-sudah beristighfar. Memohon keampunan Ilahi. Astaghfirullah hal 'azim...

Ambillah pengajaran daripada kisah saya ini. Saya tahu saya khilaf. Saya tahu saya silap. Padahal baru sebentar tadi saya menyedari yang kita sebagai umat Islam ini perlu menepati masa. Perlu mencontohi akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Namun dalam pada itu, dalam selang masa yang singkat sahaja, saya sudah melakukan kesilapan. Astaghfirullah hal 'azim.

Moga-moga selepas ini saya akan lebih alert dengan masa. Harapnya awak semua yang membaca n3 kali ini juga begitu. Sentiasa menghargai masa. Menepati masa. Menunjukkan akhlak yang terpuji. Menjadi duta umat Islam terutamanya yang berada di luar negara. *Yang ini lebih kepada memperingati diri sendiri* Walau di mana kita berada, imej dan nama baik Islam itu perlu kita jaga.


ALLAH juga menekan tentang masa ini bukan? Boleh rujuk surah Al-'Asr. Surah di mana ALLAH menerangkan tentang kepentingan masa. Kepentingan waktu. Dengan adanya pengurusan masa dan menepati waktu ini, hidup kita akan lebih tersusun dan berdisiplin. Insya-ALLAH. Semua itu untuk kebaikan kita juga sebenarnya.

Lau Kaana Bainana. Andainya Rasulullah bersama-sama kita kini, adakah baginda akan gembira melihat kita yang lalai dalam menepati masa? Tentu sekali tidak bukan? Ayuh! Berubah untuk kebaikan dan kemaslahatan bersama. Biiznillah. Insya-ALLAH. :)

Thursday, September 1, 2011

Eid Mubarak!

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Ramadhan sudah 3 hari berlalu. Syawal juga sudah 2 hari bersama-sama dengan kita. Hari ini sudah masuk 3 Syawal 1432H. So, how was your Ramadhan? And how was your 1st Syawal?

Moga-moga Ramadhan yang berlalu pergi meninggalkan banyak rahmat dan perubahan dalam diri kita. Semoga Syawal yang kunjung tiba membawa banyak rahmat dan masih kekal dengan perubahan yang ditinggalkan Ramadhan. Insya-ALLAH.

Tahun ini, 30 Ogos 2011 bersamaaan 1 Syawal 1432H merupakan kali ketiga saya dan rakan-rakan batch 9 berhari raya di perantauan. To be specific, celebrating Eid Mubarak in South Korea. Seperti tahun-tahun yang lepas, seluruh penduduk Malaysia yang ada di sini akan ke Kedutaan Besar Malaysia untuk solat sunat hari raya Aidil Fitri seterusnya menyambut perayaan di sana.

Cuma bezanya tahun ini tidak semeriah tahun-tahun yang lepas. Almaklumlah, ramai yang pulang ke Malaysia untuk menyambut 1 Syawal bersama-sama dengan keluarga tercinta. Walaupun sudah ada beberapa buah universiti yang sudah memulakan kelas pada 29 Ogos. Termasuk universiti saya.

Alhamdulillah. Kami mendapat surat kebenaran dari pihak Kedutaan Besar Malaysia untuk tidak menghadirkan diri pada 30 Ogos bagi meraikan Aidil Fitri di kedutaan. *Apa lagi. Take that chance la kan...sudahnya hari tu 'ponteng' 3 kelas. hihi*

Di kesempatan ini, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kepada awak semua. Ya, kepada awak semua. Terutama sekali kepada awak yang sedang membaca sekarang ini. Kemaafan dipohon dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Andai ada tersalah dan tersilap di mana-mana, terkasar bahasa, terasa dengan tulisan saya, terguris hati dengan kata-kata ataupun dengan perbuatan saya, maaf zahir dan batin. Saya tahu, saya banyak khilafnya. Harapnya awak semua memaafkan segala kesalahan saya. Insya-ALLAH, segala kesalahan awak semua sudah saya maafkan. Insya-ALLAH saya takkan simpan di dalam hati.

Semoga Ramadhan yang berlalu meninggalkan seribu satu kenangan dan kebaikan kepada diri kita semua. Semoga setiap perubahan pada diri dan amal yang kita lakukan sepanjang Ramadhan yang lalu masih lagi diteruskan pada Syawal ini dan 10 bulan yang mendatang. Insya-ALLAH.

Jom sama-sama berpuasa 6 di bulan Syawal yang mulia ini. :)

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll).

Nota kaki : Sudah merindui Ramadhan yang baru berlalu pergi. Harapnya tahun hadapan ALLAH masih panjangkan umur untuk bertemu dengannya lagi. Akan terus berusaha dan istiqamah dalam beramal biarpun Ramadhan telah berlalu. Insya-ALLAH. Sungguhlah bagai dikata, jihad melawan nafsu itu sangat sakit... :(

P/S : Selamat memulakan semester baru kepada semua pelajar di Korea Selatan khususnya dan tidak lupa kepada sesiapa sahaja yang akan memulakan semester baru selepas bercuti panjang.

Here goes Eid Mubarak pics :)

Bersama Kak Sumayyah, hari ini akan kembali ke Malaysia; back for good. We'll gonna miss u, sis!

Ini sahaja girls of batch 9 yang tinggal. 12 out of 26! Yang lain seronok beraya Malaysia. :P

Warga Suwon yang tinggal. 3 from Sungkyunkwan University dan 1 from Ajou University.


With 3 pinky-pinky girls except for me and Kak Attiya. :D