Assalamu'alaikum wbt.
Sejak menulis
entry "Ujian; Tarbiyah Dari ALLAH", saya rasakan hari-hari yang saya lalui memang tidak terlepas dengan ujian dari-NYA. Seolah-olah ALLAH ingin menguji kesabaran saya. Sepertinya ALLAH ingin tahu adakah apa yang saya tulis seiring dengan perbuatan saya. Alhamdulillah, syukur pada-NYA. DIA sentiasa mengingatkan saya. Alhamdulillah.
Memetik kata-kata
Inche Gabbana, "Jalan ini sumpah panjang." Panjang dan berliku-liku saya kira. Kalau kita telusuri seerah para nabi, kita akan dapati betapa banyaknya ujian dan dugaan yang setiap dari mereka hadapi untuk berdakwah, untuk sampaikan Islam pada kaum mereka.
Selama 950 tahun nabi Nuh menyampaikan Islam, berapa orang saja yang menjadi pengikutnya. Jangka masa 950 tahun itu teramat panjang kan? Namun kalau tak silap saya, tak sampai 100 orang pun yang berjaya nabi Nuh dakwahkan.
Persoalannya di sini, adakah nabi Nuh berputus asa? Tidak bukan? Baginda berusaha dan terus berusaha sehingga 950 tahun. ALLAHU AKBAR. Betapa tabahnya baginda mengharungi 345, 750 hari menyampaikan dakwah tanpa mengenal erti penat dan lelah.
Cuba hayati kisah Nabi Muhammad SAW pula. Bagaimana baginda dilontarkan dengan batu ketika berdakwah di Kota Thaif. Habis berdarah badan baginda. Bagaimana kaum Quraisy mengancam untuk membunuh baginda sehingga baginda membuat keputusan untuk berhijrah ke Madinah.
Kita lihat pula bagaimana para sahabat diseksa. Bilal Bin Rabah dihempap dengan batu. Sumayyah dan keluarganya dijemur di tengah padang pasir yang panas membahang. Khabab disalai di atas api. Semuanya kerana mereka menerima ajaran Islam; agama ALLAH.
Namun, adakah mereka berpaling daripada menyembah ALLAH Yang Satu? Tidak bukan? Bahkan pendirian mereka makin teguh. Keimanan mereka makin mantap. Kesetiaan mereka kepada Rasulullah SAW makin utuh dan teguh. Subhana-ALLAH. Masya-ALLAH. Sungguh hebatkan mereka?
Cuba lihat diri kita hari ini. Adakah kita menghadapi kesukaran seperti para nabi dan sahabat dalam berdakwah? Tidak bukan? Jika ada pun, mungkin tidak seteruk yang orang terdahulu hadapi.
Kita patut bersyukur. Bersyukur dengan setiap kurniaan-NYA. Bersyukur kita tidak menghadapi dugaan seperti yang mereka hadapi dalam berdakwah. Alhamdulillah.
Namun, kita kadang terlepas pandang bukan? Kita asyik sahaja merungut. Ada masalah sikit mengeluh. Tiada persefahaman sikit, kita sudah membentak. ALLAHU ALLAH. Ampunkanlah dosa hamba-MU ini, YA ALLAH. Betapa diri ini tidak mahu bersyukur dengan kurniaan-MU. Betapa diri ini tidak menghargai pemberian dari-MU. Ampunilah diri ini, YA ALLAH.
Cuba lihat orang sekeliling kita yang ALLAH tarik nikmat penglihatan mereka. Namun, mereka masih berusaha untuk belajar menulis jawi. Belajar membaca Al-Quran menggunakan tulisan Braille. Subhana-ALLAH. Terasa diri yang serba sempurna ini kalah dengan mereka. Malu dengan mereka. Kenapa diri ini asyik sahaja mahu mengeluh? Kenapa diri ini asyik sahaja tidak bersyukur? ALLAHU ALLAH.
Jangan pernah mengeluh wahai diri. Jangan mudah berputus asa. Jalan ini memang panjang. Jangan ini memang berliku. Tetapkan langkah kaki. Harungi setiap ujian dari-NYA. Ketahuilah bahawa segala kesulitan itu adalah tarbiyah dari-NYA. Pengajaran yang tidak terhingga dari Yang Maha Esa. Syukurilah setiap kurniaan Ilahi. Syukurilah nikmat-NYA. Syukurilah juga ujian-NYA. Semua itu tanda DIA menyayangi diri kita.
Akhir kata, marilah menjadi hamba yang bersyukur.
Nota 1 : Syukuri nikmat kurniaan Ilahi. Hargai ujian pemberian Rabbi.
Nota 2 : Kita perlu saling meraikan antara satu sama lain. Hakikatnya ALLAH jadikan perbezaan antara lelaki dan perempuan untuk saling memahami.
P/S: Tak sabar nak dengar perkongsian talk malam serikandi dari awak^^
Nota 3 : Tersentuh mendengar kisah Abu Ubaidah Al-Jarrah yang tidak sanggup meninggalkan penduduk Syam saat penyakit taun menular. Subhana-ALLAH. Betapa mulia dan sucinya hati Abu Ubaidah. Adakah kita mampu berbuat demikian? *Muhasabah*