Monday, March 26, 2012

ALLAH Tengok Usaha, Bukan Natijah

Assalamu'alaikum wbt.

"Kejap eh, Yana. Nak masuk Seven-Eleven kejap. Nak beli kitkat."

"Kitkat ni kan produk Nestle, kita kena boikot tau. Nestle menyumbang kepada Israel."

"Ye ke? Alah, nak beli satu je pun. Tak effect pun aih!"

"ALLAH tengok pada usaha kita tau, bukannya keputusan..."

"Erk?..."

*****

"Weh, bangun la. Dah nak masuk Maghrib dah ni."

"Hmm..."
"Ish, liat sungguh la budak nih! Bangun ar..semayang Asar..."

"Lantak dia la Aiman. Kau dah kejut dia beribu kali dah. Dah dia tak nak bangun, dia punya pasal la.."

"Eh, tak boleh la gitu, Mie. Nanti apa aku nak jawab kalau ALLAH tanya apa aku buat time ni sampai housemate aku tertinggal semayang kat padang Mahsyar nanti. At least aku boleh cakap aku dah kejut dia banyak kali dah supaya dia tak terlepas waktu solat."

"Haah kan?"

*****

Itu antara kisah seharian yang boleh diambil sebagai contoh untuk 'ALLAH tengok usaha kita, bukan natijahnya'. ALLAH pun pernah berfirman mengenai hal ini di dalam surah Al-A'raf yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata,
"Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakann atau diazab ALLAH dengan azab yang sangat keras?" Mereka menjawab, "Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertakwa."
[Al-A'raf, 7:164]

Sebenarnya ayat ini ada kisah di sebaliknya. Boleh rujuk surah Al-A'raf, 7: 163-166. Kisah hari Sabtu. Yang mengisahkan ALLAH memberi larangan kepada Bani Israil keluar menangkap ikan pada hari Sabtu. Hari Sabtu dikhususkan untuk beribadat. Namun demikian ada antara mereka yang melanggar larangan ALLAH ini. Sebabnya mereka tengok banyak sangat ikan terapung di lautan. Hari-hari lain ikan tidak sebanyak hari Sabtu. Maka terpecahlah mereka kepada 3 kumpulan.

Kumpulan pertama ialah mereka yang melanggar perintah ALLAH; keluar menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka memasang pukat pada pagi hari Sabtu kemudian mereka akan mengambil hasil tangkapan pada hari Ahad.

Kumpulan kedua ialah mereka yang mengikut suruhan ALLAH; tidak keluar menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka juga bertindak menasihati dan memperingati golongan pertama supaya tidak melanggar perintah ALLAH.

Kumpulan ketiga ialah mereka yang tidak berbuat apa-apa. Hanya menjadi pemerhati. Tidak melanggar perintah ALLAH tetapi tidak juga melarang mereka yang melanggar suruhan ALLAH. Merekalah yang bertanyakan kumpulan kedua, "Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab ALLAH dengan azab yang sangat keras?"

Kemudian kumpulan kedua menjawab, "Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertakwa."

ALLAH menurunkan azab kepada kumpulan pertama dengan menjadikan mereka kera.

Begitulah sedikit sebanyak kisah Hari Sabtu ini. Apa yang saya ingin fokuskan adalah berkenaan soal jawab kumpulan dua dan kumpulan tiga.

"Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata,"Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab ALLAH dengan azab yang sangat keras?" Mereka menjawab, "Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertakwa."
[Al-A'raf, 7:164]

Sesungguhnya ALLAH itu melihat kepada usaha yang kita lakukan. Bukannya natijahnya. Bukannya keputusannya. Jangan mengharapkan hasil yang memberangsangkan dalam setiap usaha yang kita lakukan. Serahkan segalanya hanya pada DIA. Yang penting kita sudah berusaha sehabis daya untuk melaksanakan setiap suruhan dan perintah-NYA.

Masih ingat kisah burung kelicap, si burung kecil yang berusaha untuk memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim? Si burung kecil ini diketawakan oleh binatang lain kerana amat mustahil api itu dapat dipadamkan hanya dengan beberapa titis air dari burung kelicap itu. Walaupun si burung kecil ini berulang beribu kali mencurahkan air dari paruhnya ke atas api yang sedang membakar Nabi Ibrahim sekalipun, api itu tidak akan padam.

Namun apa jawab burung kelicap ini kepada semua binatang yang mentertawakannya? "Pada hari pengadilan nanti, apabila ALAH bertanyakan kepadaku apa yang aku sudah lakukan untuk agama ALLAH, aku akan katakan kepada-NYA bahawa aku pernah mencuba untuk menyelamatkan Nabi Ibrahim."

Subhana-ALLAH! Sungguh hebat sekali semangat si burung kecil ini. Itulah yang dikatakan, ALLAH melihat pada usaha, bukan natijahnya.

Ayuh, kita usahakan sesuatu untuk agama ALLAH. Biar nanti bila kita ditanyakan apa yang kita lakukan untuk agama ALLAH, kita mampu menjawabnya dengan lancar. Tanpa ragu-ragu. Insya-ALLAH.

Nota 1 : Selamat Hari Lahir, adik Zakwan. Semoga terus membesar menjadi penyejuk mata Ummi dan We. Menjadi hero yang soleh dan anak yang beriman. Insya-ALLAH.

Nota 2 : HACKS; Hanya ALLAH Cintu Ku Selamanya. Insya-ALLAH. Moga diri ini terus dikekalkan dengan rasa cinta terhadap-MU, Ya Rabb. Ameen.

Tuesday, March 20, 2012

Penantian Itu Suatu Penyeksaan

Assalamu'alaikum wbt.

Saya pasti semua orang pernah mendengar ungkapan ini, "Penantian itu suatu penyeksaan." Tentu pernah dengar bukan? Mungkin juga kita pun pernah mengucapkannya. Bila menghadapi situasi yang menyebabkan kita terpaksa menunggu sesuatu itu dalam masa yang lama, terus la keluar kata-kata macam tu kan? Lepas tu tak habis-habis nak mengeluh. Hmm..manusia. Lumrah kehidupan.

Saya pun pernah je menghadapi situasi-situasi macam ni. Kejadian 'Penantian itu suatu penyeksaan' yang terbaru baru sahaja berlaku semalam. ALLAH. Sungguh menguji kesabaran. Sungguh menguji kekuatan dan ketabahan. Habis hah keluar macam-macam keluhan. Tak sabar betul saya ni kan? huhu.

Ceritanya begini, semalam saya dan 3 orang lagi kawan pergi ke Suwon Immigration untuk renew Resident Card (RC). Huda dan Nisaa pergi dulu. Dalam pukul 11.30 diaorang dah sampai dah kat sana. Saya pulak pergi lewat sikit sebab ada kelas. Dalam pukul 1 baru sampai sana. Kalau ikutkan pengalaman sebelum ni, memang ramai orang yang nak renew RC time-time macam ni. Saya minta tolong Nisaa ambilkan nombor giliran untuk saya. Fatehah pula minta tolong Huda ambilkan nombor giliran untuk dia. Habis kelas baru la boleh pergi ke sana. Memang kami kena renew RC ni setiap setahun sekali. Terlewat renew sehari dah kena bayar denda 100,000 KRW tau! Tak sanggup aih nak bayar denda banyak tu. huhu.

Waktu mereka sampai dan ambil nombor tu, dalam 200 orang dah selesai urusan. Kami dapat nombor antara 670-674. Kami terpaksa tunggu hampir 400 orang lagi sebelum sampai giliran kami. Mereka pergi makan dan solat Zohor dulu sementara menunggu tu. Waktu saya sampai dalam pukul 1 tu, nombor yang tertera baru 250 gitu. Orang memang ramai. Penuh sesak dengan orang ramai yang pelbagai gelagat dan ragam serta pelbagai warna kulit tu. Tempat duduk memang penuh la. Ramai yang menunggu sambil berdiri je.

Sehingga pukul 4 petang, baru dalam 400 orang yang selesai berurusan. Kami kena tunggu 270 orang lagi untuk sampai giliran kami berurusan. ALLAH. Kami dah berura-ura untuk balik dan datang lagi pada hari yang agak free nanti. Iye la kan. Bukan senang nak datang. Dengan jadual kelas yang padat dan tidak sama antara satu sama lain. Hari ini je pun kelas habis awal sikit dari hari-hari lain.

Bila fikir-fikirkan balik, kami dah tunggu hampir 200 orang dah pun. Ada lagi 200 orang je lagi. Takpe la, tunggu je la. Kalau tadi sanggup tunggu, takkan sekarang dah tak sanggup tunggu kan? Tapi dalam pada dok memotivasikan diri tu, sempat lagi la dok mengeluh. huhu. Bila fikirkan, kalau balik, nanti kena datang lagi dan menghadapi penantian yang panjang macam ni lagi. Macam tak sanggup pula nak hadapi benda yang sama. Nanti akan mengeluh dan merungut lagi. Baik selesaikan hari ini terus. Kesimpulannya kami pun duduk la menunggu di situ dengan kesabaran yang dah makin tipis.

Kepala saya pun dah mula berdenyut-denyut dah. Memang saya kalau berada dalam suasana orang ramai yang penuh sesak lama-lama macam ni memang akan sakit kepala. Memang ALLAH nak uji la semalam. ALLAH nak menguji sejauh mana saya boleh bersabar menanti giliran untuk urusan renew RC tu. Adakah saya akan menunggu dengan penuh kesabaran ataupun saya berkeluh kesah dan tak berhenti merungut. huhu.

Akhirnya setelah hampir 7 jam menunggu, urusan renew RC selesai. Nak tahu tak? Tak sampai 5 minit pun sebenarnya berurusan di kaunter. Yang seksanya nak menunggu sampai giliran kita tu. ALLAHU ALLAH. Siap sempat solat Zohor, Asar dan Maghrib lagi kat Suwon Imigration tu ha. Nak cakap lamanya kami ada kat sana. Tapi kejadian semalam memang memberi kesan yang agak mendalam la dalam diri saya. Rupanya untuk kita mendapatkan sesuatu yang kita ingini itu bukannya mudah. Tidaklah semudah kita mengira 1,2,3 dan bukanlah sesenang kita menyebut A,B,C. Perlukan usaha dan kesabaran yang tidak berbelah bagi.

Penantian itu memang suatu penyeksaan. Betul tu. Saya sudah merasainya. Namun tak terungkap rasanya bahagia dan gembira setelah kita berjaya menghadapinya. Memang semalam kami tak lepas dari mengucapkan kalimah syukur pada ALLAH; Alhamdulillah, sebaik sahaja selesai urusan. Alhamdulillah. Rasa macam nak buat lompat bintang kat tengah-tengah ruang menunggu tu. Gembira tak terkata. :D

Rupanya di sebalik peristiwa semalam, ALLAH mahu mengajar kami erti kesabaran itu. Memang susah untuk bersabar menghadapi sesuatu penantian tanpa sebarang rungutan dan keluhan. Saya akui itu. Tapi insya-ALLAH kita boleh cubakan? Saya pun akan cuba untuk menjadi lebih penyabar lagi pada masa akan datang. Orang lain pun menunggu dengan sabar juga giliran mereka. Ada yang dah pangkat datuk-nenek dah pun yang menunggu semalam. Ada juga yang bawa anak kecil. Tentu mereka lebih diuji dengan kesabaran itu bukan? Dengan kerenah anak yang pelbagai dan sebagainya.

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya:
"Semua perkara baik untuk mukmin; jika ditimpa musibah dia sabar, maka itu baik untuknya. Jika beroleh kesenangan dia syukur, maka itu baik untuknya."

Tak semestinya yang baik itu baik untuk kita dan yang buruk itu buruk untuk kita kan?

"...Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu,
dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu.
ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
[Al-Baqarah, 2:216]


Saturday, March 17, 2012

Pray Until Your Last Breath!

Fasa Baru

Assalamu'alaikum wbt.

Sudah 2 minggu saya melangkah ke tahun baru pengajian. Bermula 2 Mac 2012 bermulanya fasa baru buat saya dan rakan-rakan batch 9. Kami dah jadi pelajar tahun ketiga sekarang ni. Bagi mereka yang dulu mengambil diploma di DMU, maknanya sudah 2 minggu mereka memulakan pengajian ijazah sarjana muda di universiti pilihan masing-masing. Dah tua rupanya kami ni. Huhu.

Sudah tahun tiga. Sudah ada 3 batch junior di bawah. Maknanya sudah 3 tahun kami berada di bumi Sonata ini. Tahun ini sudah masuk tahun keempat kami menuntut ilmu di Korea Selatan. Cepat sungguh masa berlalu. Terasa macam baru semalam kami menjejakkan kaki ke sini.

Dalam masa 3 tahun ini sudah banyak yang berlaku. Berlaku perubahan dari fasa ke fasa. Bermula di LEI, SNU belajar bahasa Korea selama setahun saya menyambung pengajian ijazah sarjana muda di Sungkyunkwan University. Masuk tahun kedua di universiti saya memilih untuk mengambil jurusan kejuruteraan elektrik dan elektronik. Kemudian sekarang ini sudah tahun ketiga saya seharusnya sudah mengetahui minat saya lebih menjurus ke arah apa. Ke arah elektrikkah atau ke arah elektronikkah? Perlu juga memikirkan bidang kerja yang saya akan lakukan seusai graduasi nanti. Banyak betul fasa baru yang berlaku kan? Fasa perubahan yang makin mematangkan diri.
Jika dulu saya selalu bertanyakan senior-senior tentang subjek-subjek yang perlu diambil atau sebagainya. Sekarang ini junior-junior pula yang datang tanya saya perihal yang sama. Jika dulu saya dilayan dengan baik oleh senior-senior sekarang ini saya pula yang perlu melayan junior-junior. Sungguh putaran kehidupan berlaku di situ.

Alhamdulillah, ALLAH masih memberikan saya peluang untuk merasai semua ini. Syukran lillah. Hamdan lillah. Life is actually full of pleasant surprises isn't it? We have to be grateful for every thing; small or big. Kita tak jangka pun apa yang akan terjadi dalam hidup kita bukan? Walau apa pun yang akan terjadi, kita harus bersyukur dengan apa yang berlaku. Diberikan nikmat kesihatan kita bersyukur. Diberikan nikmat kesakitan pun kita perlu bersyukur. Bila sihat kita bersyukur kerana boleh melakukan semua kerja tanpa keterbatasan kudrat. Bila sakit pula kita bersyukur kerana mungkin ALLAH sedang kifarah dosa-dosa kita. Insya-ALLAH.

Rupa-rupanya sudah tidak berapa lama lagi saya akan meninggalkan bumi Sonata ini. Ada lebih kurang 2 tahun je lagi. Tahun ini dan tahun depan. Kemudian saya akan kembali ke Malaysia mencurahkan bakti. Insya-ALLAH. Sayang pula rasanya mahu meninggalkan tanah Korea Selatan yang banyak meninggalkan kenangan pahit dan manis ini. Sayang rasanya mahu meninggalkan bumi Sonata yang masih terasa kehangatannya walaupun pada musim dingin. :'(

Moga fasa baru yang berlaku ini dapat diharungi dengan tabah dan sabar. Insya-ALLAH. Tahun ketiga pengajian kalau mengikut kata senior-senior memang tahun yang sangat mencabar. Penuh dengan subjek major yang 'membunuh' dengarnya. Huhu.

Nota 1: Selamat melangkah ke semester baru buat semua. ^^
Nota 2: Selamat tinggal Humaira'. Selamat datang Aswad :') Sedih sebenarnya nak lepaskan awak, Humaira'. Dah hampir tiga tahun kita bersama kan? Huhu. Tapi memandangkan zaman sudah semakin maju (hoho), saya terpaksa melepaskan awak pergi. Aswad, harapnya kehadiran awak dapat mengubat rindu saya pada Humaira' ye.
Nota 3: Sedang mencari tempat untuk praktikal di Malaysia. Doakan semua urusan dipermudahkan ye.

Thursday, March 8, 2012

Menghargai Dan Dihargai

Assalamu'alaikum wbt.

Sekarang masih 8 Mac lagi kan? Selamat Hari Wanita Antarabangsa buat semua yang bergelar wanita. *Tapi kalau dah masuk 9 Mac pun, boleh je kan wish? Setiap hari kita perlu hargai diri kita kan?* Peliharalah diri dan aurat kita kerana kita adalah anugerah yang tidak ternilai harganya. =) (Dok taip-taip, dah masuk 9 Mac..takpe la..kita perlu menghargai diri kita setiap masa setiap ketika. Kerana dirimu begitu berharga. :p)

Buat kaum Hawa, hargailah dirimu. Periharalah dirimu seperti mawar merah yang mampu mekar mewangi kerana dilindungi oleh duri-durinya tajam. Gerun sang serangga dan sang kumbang mahu mendekati dek takutkan durinya yang tajam itu. Jangan pernah membiarkan maruah dan harga dirimu dipijak dan dilanyak sewenang-wenangnya.



Buat kaum Adam, hargailah wanita-wanitamu. Hargailah ibumu. Hargailah kakak dan adikmu. Hargailah isterimu. Pelihara dan jagalah mereka sebaik-baiknya. Jangan biarkan mawar merah yang sedang mekar mewangi di taman laranganmu dihinggapi kumbang jalanan yang bakal merosakkan kecantikan dan keindahan mawarmu.

Eh, sebenarnya saya nak cakap pasal 'Menghargai dan Dihargai' ni. Tapi pesanan di atas pun tentang menghargai dan dihargai juga kan? :D

Betul kan? Kita hidup di dunia ini perlu saling menghargai. Untuk merasa diri dihargai oleh orang lain, kita perlu menghargai orang lain terlebih dahulu. Prinsip 'Give and Take' perlu diamalkan di sini. Give untuk menghargai. Take untuk dihargai. Apabila kita memberi, pasti kita akan menerima. Begitulah sebaliknya.


Mana mungkin akan berlaku, kita tidak pernah menghargai orang lain. Kita tidak pernah menegur sapa orang lain. Kita tidak pernah memberikan hadiah kepada orang. Namun kita sentiasa diharga oleh orang lain. Kita sentiasa disapa oleh orang lain. Kita selalu menerima hadiah dari orang lain. Tentu situasi ini tidak pernah berlaku bukan? Jika berlaku juga begini, anda memang sangat-sangat bertuah. Untuk itu, anda juga perlulah menghargai orang yang menghargai anda itu, orang yang selalu menegur anda itu, orang yang sering memberikan anda hadiah itu. Baru adil bukan?

Sejujurnya saya sendiri rasa amat dihargai apabila ada yang menyapa mesra saya, memberikan hadiah, prihatin tentang keadaan saya. Malah saya lagi rasa dihargai jika lecturer atau cikgu masih mengingati nama saya. Cuba bayangkan, dalam ramai-ramai pelajar, dia boleh ingat nama kita? Wow! Tentulah rasa dihargai bukan?

Begitulah sikap dan sifat kita sebagai manusia. Memang suka kalau dihargai ni. Jadinya kita perlulah juga menghargai orang lain. Peringatan buat diri saya sendiri sebenarnya ni.

Bagaimana pula menghargai dan dihargai kita dengan ALLAH? ALLAH memang sentiasa menghargai kita kan? ALLAH bagi segala macam nikmat pada kita. Memang tidak terhitung nikmat yang ALLAH berikan pada kita.

"Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH,
nescaya kamu tidak akan mampu menghitungkannya.
Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat)"
[Ibrahim, 14:34]

Apa pula balasan kita sebagai menghargai pemberian ALLAH itu? Orang memberi kita menerima kemudian kita perlu membalasnya bukan? Balasannya ialah kita perlu melakukan segala suruhan ALLAH dan meninggalkan segala larangan-NYA. Itulah balasan kita sebagai tanda kita menghargai segala kurniaan ALLAH.

Pesanan buat diri terutamanya, belajar menghargai orang lain. Teori yang dipelajari jika tidak diterjemahkan dalam bentuk amal hanyalah sia-sia. Ibarat pokok yang tidak berbuah. Tumbuh subur merendang namun tidak berguna. Akhirnya tumbang rebah ke bumi tanpa menyumbangkan apa-apa.

Nota 1: Terima kasih kak Hasanah atas nasihat yang berguna dan bermakna itu^^ Jazakillahu khairan kathira :)

Nota 2: 9 Mac - Selamat Hari Lahir, Nisaa. 건강하고 행복하길 바래용..ㅋㅋㅋ


Di Manakah Kamu Wahai Insan?



Assalamu'alaikum wbt.

Menonton video ini membuatkan saya sebak sendiri. Duhai teman, lihatlah video ini dengan mata hati dan iman kalian. Mereka dibunuh dan disembelih saban waktu. Mereka kehilangan insan tersayang setiap ketika. Sedangkan kita masih lagi tidak mengambil tahu atau memang sengaja tidak mahu mengambil tahu. Adakah penderitaan mereka langsung tidak memberikan apa-apa kesan di hatimu teman ku?

Apakah perasaanmu andai kata yang dibunuh, yang dipukul, yang ditembak itu darah dagingmu sendiri? Ayah ibumu sendiri? Abang, kakak dan adikmu sendiri? Adakah kamu hanya akan menjadi penonton kaku yang hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa temanku?

Mereka di Syria juga saudara kita. Titipkanlah doa buat mereka usai solatmu. Mereka amat-amat memerlukan doa kita semua. Titipan doa dan usaha kalian insya-ALLAH akan memberikan kemenangan buat saudara kita di Syria sana.

Terdiam tanpa kata saat menonton video ini. Bibir terkaku. Hanya sebak yang menguasai diri. Moga kita tidak terus leka dengan permainan dunia. Teruskan menembakkan doa buat mereka di Syria dan Palestin sana. Lontarkan doa buat saudara seakidah kita di seantero dunia. Moga doa kita ini memberikan mereka semangat untuk terus bertahan dan berjuang menegakkan keadilan. Insya-ALLAH.

Thursday, March 1, 2012

Cuti 2 Bulan Yang Bermakna

Assalamu'alaikum wbt.

Syukran lillah. Hamdan lillah. Saya, awak, kamu dan kita semua masih diberikan peluang oleh ALLAH Yang Maha Esa untuk bernafas lagi pada hari ini. Awal pagi tadi berjujuran air mata bila membaca kisah adik Faris. Kematian itu tidak mengira usia bukan? Kita pun entahkan esok entahkan lusa akan dijemput menghadap Ilahi. Hakikatnya kita semakin menghampiri kematian dari sehari ke sehari. Bagaimana pula dengan amal kita? Sama-samalah kita persiapkan diri menuju alam yang kekal abadi. Insya-ALLAH

Alhamdulillah pada pukul 9.30 malam 18 Februari 2012 lebih kurang 2 minggu yang lepas saya selamat kembali ke bumi Korea Selatan untuk kembali bergelumang dengan buku, kuliah danassignment. Buat pertama kalinya sejak 3 kali pulang bercuti saya dihantar oleh keluarga terdekat hingga ke balai berlepas antarangsa. Terima kasih banyak-banyak kak Ila sudi datang dari Kuantan nak hantar kak Long. Terharu sangat-sangat. Siap ada hadiah lagi. Kak Long takde bagi apa-apa pun.huhu. Psst..ramai yang cakap cantik brooch tu..:D

Memang sepanjang cuti 2 bulan ni saya tak update langsung blog. Ketiadaan internet di rumah dan kekangan masa membuatkan saya tidak dapat mengupdate blog. Nak menjenguk blog-blog yang sentiasa mendapat kunjungan saya pun tak sempat. Pergi ke cyber cafe hanya untuk mendaftar subjek dan check email semata-mata. Alhamdulillah walaupun terpaksa menunggu agak lama untuk mendaftar subjek, saya masih dapat mendaftar subjek-subjek yang saya nak. Alhamdulillah. :)

Seronok bila ramai kawan-kawan yang berjaulah cuti kali ini. Ada yang ke Jepun, ada yang ke Mesir, ada yang ke Europe, Uk-Eire, Paris, Spain dan sebagainya. Rasa agak cemburu juga la dengan mereka. Pasti banyak pengalaman dan pengisian yang mereka dapat sepanjang jaulah. Walaupun tidak berpeluang berjaulah ke mana-mana cuti kali ini, saya masih dapat mencipta kenangan manis dan indah. ALLAH mahu saya mengenali apa itu ukhuwah fillah cuti kali ini. Saya dapat jumpa ramai akhawat yang belajar di New Zealand, China dan sebagainya. Banyak yang saya dapat bila bersama mereka. Kemesraan yang terjalin bagaikan sudah bertahun kenal.

Berpeluang berjumpa dengan Hazimah. Kawan satu course dengan adik Ema. Sebelum ini selalu juga berborak di Yahoo!Messenger. Tak sangka pula dapat jumpa dia di rumah. Tak sangka juga kawan yang adik Ema cakap nak balik sama tu dia. Sungguh tak sangka. Lembut dan agak pendiam orangnya. Sopan je. Segan akak dengan awak, Zimah. huhu..

Girls outing bersama adik-adik kesayangan. Sampai lenguh kaki adik Ema dan adik Eya dok pusing Plaza Lowyat dan Times Square. Jalan-jalan sambil mengeratkan hubungan adik-beradik. Bukan senang dapat keluar sama-sama macam ni. Selalunya saya cuti mereka tak cuti dan begitulah sebaliknya. Alang-alang semua orang ada, kita luangkan masa keluar bersama.Asalnya nak pergi beli telefon baru untuk adik Ema je. Dalam perjalanan balik ke Shah Alam, kebetulan ada pesta buku di KL Sentral, apa lagi...masuk tengok-tengok. Lepas tu sangkut. Singgah di Subang Parade, masuk MPH, beli lagi buku. Alhamdulillah hampir semua buku yang dibeli dah habis baca. Memang book marathon la lepas balik tu.huhu

Berpeluang date 3 hari 2 malam dengan kesayangan. :p Kami pergi jalan-jalan pusing Aquaria. Tengok pelbagai gelagat hidupan laut. Subhana-ALLAH. Sungguh cantik pemandangan di dalam laut. Dengan hidupan laut yang pelbagai rupa dan jenis. Sangat unik. Indahnya ciptaan-MU YA ALLAH. Kebanyakannya bersama keluarga. Membawa anak-anak melihat ikan. Kami je la yang pelik sikit. Dah besar panjang pun tengok ikan jadi macam budak kecil balik. :D


Sempat la juga merasa semput nafas bila terhimpit dalam KTM waktu pick hour. Pelbagai gelagat dapat dilihat. Banyak yang saya belajar dan fikirkan bila melihat fenomena tolak-menolak dan jerit-menjerit semata-mata untuk memasuki KTM itu. Seharian di Aquaria, keesokannya ke Masjid Jamek Jalan TAR. Pusing cari tudung dan kain pasang. Terima kasih banyak-banyak kak Ila. Kenangan terindah yang sentiasa segar dalam ingatan :)

Cuti kali ini saya dapat bertemu dengan akak-akak yang sudah back for good. Ada yang sudah bekerja, ada yang menyambung pengajian. ALLAH mengizinkan saya untuk bertemu dengan kak Lina. Jika selama ini kami hanya berhubung melalui laman sesawang facebook ataupun Yahoo!Messengger. Sesekali berbalas mesej. Namun kali ini kami bersua muka, bertemu empat mata. ALLAHU ALLAH! Sungguh indah. Siap dapat rasa chocolate moist cake homemade kak Lina lagi! Terharu sangat-sangat. Rupanya kak Lina masih ingat request saya tidak lama dulu.

Saya juga belajar yang ukhuwah yang terjalin ini kadang-kadang ada pasang surutnya. Dalam perhubungan perlu ada give and take. Perlu jadi listsener and speaker. Bukan memberi semata-mata. Bukan menerima semata-mata. Bukan mendengar semata-mata. Bukan juga bercakap semata-mata.

Ayat-ayat cinta ALLAH yang dua ini terasa benar-benar dekat dengan saya. Jika selama ini saya mungkin tahu teori sahaja. Kini saya sudah merasai praktikalnya macam mana. Sebab itu kita perlu baca al-Quran dengan hati dan perlu rasa macam ayat itu diturunkan untuk diri kita sendiri. Barulah terasa dekat dan betul-betul meresap ayat yang dibaca ke dalam jiwa. Secara tidak langsung kita pasti akan mempraktikkan apa yang kita baca. Insya-ALLAH.

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada ALLAH agar kamu mendapat rahmat."
[Al-Hujurat,49:10]

"Dan sesungguhnya DIA-lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis."
[An-Najm,53:43]

Semoga ukhuwah yang terjalin ini berkekalan hingga ke syurga. Insya-ALLAH. Walau jauh di mata namun dekat di hati. Walau tidak selalu bersua namun selalu disebut ketika berdoa.

Nota 1: Kak Shafura, Kak Nabihah dan Kak Farhana selamat kembali ke Malaysia. Kak Syakirah selamat bekerja. :)

Nota 2: Selamat kembali bergelumang dengan kehidupan kampus kepada semua pelajar di Korea Selatan terutamanya kepada adik-adik batch 12 yang baru tiba. Welcome to Korea! 한국에 환영합니다!