Monday, September 17, 2012

Spread The Love

Assalamu'alaikum wbt.

Seminggu ini kita dikejutkan dengan filem Innocence of Muslims. Sebuah filem garapan Sam Bacile yang menghina Rasulullah SAW. Umat Islam di seluruh dunia memberikan reaksi terhadap pengeluaran filem ini. Hal ini juga mengakibatkan kemarahan masyarakat Islam di Libya dan Mesir. Pegawai kedutaan Amerika Syarikat di Libya diserang dan pejabat kedutaan Amerika Syarikat di beberapa negara Islam yang lain juga diserang. Itu reaksi umat Islam setelah diprovokasi.

Persoalannya di sini, bagaimanakah sepatutnya kita sebagai seorang Muslim bereaksi terhadap hal-hal sebegini? Adakah betul tindakan yang telah kita lakukan dengan menyerang pejabat-pejabat kedutaan Amerika Syarikat itu? Lau kaana bainana...Seandainya Rasulullah SAW ada bersama kita pada hari ini, adakah baginda menyukai reaksi kita itu? Adakah baginda akan tersenyum melihat tindakan kita?

Marilah sama-sama kita telusuri kisah Rasulullah SAW sewaktu di awal permulaan dakwah Islam pada zaman Mekah.

Kisah Rasulullah dan penduduk Thaif.
Rasulullah dilemparkan dengan batu sewaktu berdakwah di Thaif. Badan baginda habis berlumuran darah. Tindakan penduduk Thaif itu mengundang cadangan malaikat yang mahu memusnahkan penduduk Thaif dengan meruntuhkan gunung Thaif. Namun Rasulullah menolak tawaran malaikat itu. Baginda malah mengangkat tangan dan berdoa kepada ALLAH, "Semoga ada dalam kalangan mereka termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman." Dan, doa baginda itu dimakbulkan ALLAH. Lama selepas itu, penduduk Thaif telah memeluk agama Islam.

Kisah Rasulullah sewaktu Fathu Mekah
Sewaktu baginda bersama 100,000 umat Islam yang lain bergerak masuk ke Mekah, seluruh penduduk Mekah lari menyembunyikan diri. Kemudian apabila baginda memanggil mereka untuk berkumpul. Mereka sekarang ini telah bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk menerima sebarang keputusan daripada Rasulullah. Namun sebaliknya yang berlaku. Baginda tidak mengenakan sebarang tindakan kepada penduduk Mekah, baginda malah memaafkan dan membebaskan mereka seterusnya mendoakan semoga ALLAH mengampuni segala kesalahan penduduk Mekah selama ini.

Kisah Rasulullah dengan seorang tua
Jalan-jalan yang nabi selalu lalui pasti akan dipenuhi dengan duri-duri yang melukakan kaki baginda. Setiap hari pasti Rasulullah SAW akan berdepan dengan perkara yang sama. Baginda tidak pernah merungut. Pada saat dan ketika yang sama juga, baginda tidak pernah terlupa untuk memberikan makanan kepada seorang tua yang buta. Baginda bukan sahaja menyuapkan, malah menolong mempermudahkan orang tua itu untuk mengunyah dan menghadam setiap makanan yang baginda berikan. Keadaan ini berterusan sehinggalah Rasulullah SAW wafat. Kemudian, Saidina Abu Bakar meneruskan perbuatan mulia ini. Namun, orang tua itu berkata, "Kamu ini bukan orang yang selalu memberikan aku makan. Ke manakah dia?" Orang tua ini merasai perbezaannya kerana Saidina Abu Bakar hanya menyuapkannya makanan, beliau tidak mempermudahkan orang tua ini untuk mengunyah dan menghadam. Lalu jawab Saidina Abu Bakar, "Rasulullah telah wafat." Maka menangislah orang tua tersebut. Lalu dia menceritakan bahawa dialah yang selama ini yang meletakkan duri-duri di sepanjang jalan yang Rasulullah lalui.

Itu antara kisah yang menunjukkan keperibadian Rasulullah SAW. Ada banyak lagi kisah yang menampakkan sosok kepimpinan, kemuliaan dan peribadi mulia Rasulullah SAW. Baginda malah merupakan Al-Quran bergerak. Betapa di sini, ingin menunjukkan bahawa baginda berperibadi Al-Quran. Masya-ALLAH.

Kewafatan baginda ditangisi para sahabat. Manakan tidak, baginda sepanjang hidupnya merupakan seorang pemimpin yang berkaliber dan berdedikasi, suami yang penyayang, bapa yang pengasih, datuk yang baik, sahabat yang memahami....Baginda masih lagi sempat membantu isteri-isteri menguruskan rumah tangga walaupun ketika menerajui negara dan menganggotai peperangan. Baginda masih lagi boleh melayan isteri, mendidik anak-anak dan bergurau mesra dengan cucu-cucunya walaupun disibukkan dengan pelbagai urusan negara dan kepimpinan. Betapa hebatnya keperibadian baginda.

Jika ditelusuri setiap kisah-kisah ini, kita tidak akan berjumpa walau satu pun kisah yang menunjukkan Rasulullah SAW membalas keburukan dengan keburukan. Rasulullah malah mendoakan mereka yang melakukan keburukan itu dengan kebaikan. Itulah keperibadian Rasulullah - yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk umatnya. Yang sentiasa mengingati umatnya sehingga ke saat-saat terakhir nafasnya. Bibirnya masih lagi menyebut "Ummati...ummati...ummati..."

Bagaimana pula dengan kita pada hari ini? Kita sebagai orang Islam, umat nabi Muhammad SAW, adakah kita mencontohi keperibadian dan perlakuan Rasulullah SAW ini?

Sesiapa sahaja yang apabila diprovokasi pasti akan mencetuskan amarah. Saya pasti itu. Namun, tariklah nafas sebentar, berfikirlah sejenak sebelum bertindak balas atau memberikan sebarang reaksi. Fikirkanlah dahulu baik buruknya tindakan yang akan kita lakukan itu. Keburukan tidak seharusnya dibalas dengan keburukan juga. We need to be reflective not reactive.

Sesuatu harus dilakukan. Kita perlu membuka mata seluruh penduduk dunia. Kita sebagai seorang Muslim perlu memahamkan dan menunjukkan kepada semua apa itu Islam yang sebenar. Kegiatan dakwah perlu diperhebat. Usaha menyampaikan Islam perlu diperhebat. Ya! Itulah yang seharus dan sepatutnya kita lakukan.

Biar semua orang tahu, Islam itu damai dan mendamaikan. Islam itu bukan sekadar di lapisan kulit semata-mata. Islam itu sudah mendarah dan mendaging di dalam diri setiap yang bergelar muslim. Spread the love. Kita mahu semua orang merasai apa itu Islam yang sebenar. Perhebatkan usaha, biar semua orang dapat melihatnya. Kita umat Islam tidak perlu mudah melatah. Kita seharusnya membuktikan bahawa apa yang mereka canang-canangkan tentang Islam itu tidak benar.

ALLAH matlamat kita...
Rasulullah SAW ikutan kita...
Al-Quran petunjuk hidup kita...

Spread the love. Sebarkan rasa cinta dan kecintaan kepada ALLAH, Rasul-NYA dan agama-NYA. Moga-moga dengan usaha penyebaran ini, tidak akan ada lagi kes seperti pengeluaran filem yang menghina Rasulullah ini. Semoga dengan penyebaran ini, akan lahirlah golongan yang mahu membangkitkan kembali zaman kegemilangan Islam. Insya-ALLAH.

Tuesday, September 11, 2012

Bilakah Pula Masa Kita?

Assalamu'alaikum wbt.

Pada 3 September 2012, saya dikejutkan dengan berita kemalangan pelajar Malaysia di Rusia. Dua orang daripada mereka meninggal dunia dan lima orang lagi cedera parah. Saya mendapat tahu mengenai berita ini di group FB yang dipos Puan Dina; pegawai PPL Korea supaya kami sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku. Kemudian pada keesokan harinya, boleh dikatakan hampir kesemua akhbar atas talian membicarakan perihal ini.

Barulah jelas, mereka sebenarnya baru pulang dari bercuti di Malaysia. Pada mulanya saya fikir mereka baru pulang dari bercuti di mana-mana - melancong ke tempat-tempat menarik pada cuti musim panas. Terkaku sekejap setelah mengetahui duduk perkara yang sebenar. ALLAHU ALLAH. Kiranya mereka ini macam saya dan rakan-rakan yang lainlah. Baru sahaja tiba di negara pengajian untuk meneruskan pengajian setelah menghabiskan cuti musim panas di Malaysia. Kemudian, mengalami kemalangan dalam perjalanan ke tempat-tempat pengajian. ALLAH...

Beberapa hari yang lepas, apabila membicarakan kisah ini, suasana tiba-tiba menjadi hening. Seolah-olah tidak kedengaran alunan muzik yang diperdengarkan di dalam Caffe Bene. Masing-masing kelihatannya sedang merefleksi diri. Mana tidaknya, mereka itu sebaya dengan kami dan ada di antara mereka itu merupakan kenalan kami - schoolmate.

Betapa mulianya mereka yang meninggal itu kerana meninggal dalam perjalanan untuk menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu kan salah satu ibadah. Menuntut ilmu juga satu jihad. Beruntungnya mereka. 

Teringat hadis tentang niat.

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat 
dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan...." 
[HR Bukhari dan Muslim]

Sebab itulah kita disuruh untuk sentiasa memperbaharui niat kita. Pastinya kita tidak akan lari jauh dan sentiasa kembali ke arah yang betul setelah memperbaharui niat, bukan? 

"Katakanlah, "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu DIA beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.""
 [Al-Jumu'ah, 62:8]

Itu janji ALLAH. Ajal pasti akan menjemput kita. Ajal maut itu tidak mengenal usia. Yang muda, yang tua, semuanya akan meninggal dunia. Dua pelajar medik Rusia itu telah menemui Yang Maha Pencipta dalam keadaan yang diredhai-NYA - dalam perjalanan menuntut ilmu. Bagaimana pula dengan kita? Bilakah akan tiba masa kita pula? Hanya DIA Yang Maha Mengetahui sahaja yang tahu. 

Namun, adakah kita mahu duduk-duduk sahaja menunggu malaikat Izrail menarik nyawa kita tanpa apa-apa usaha bagi meraih redha-NYA? Tentu tidak bukan? Pastinya kita juga mahu menghadap Ilahi dengan wajah yang tenang dan penuh dengan senyuman. Untuk itu, kita perlulah melakukan segala suruhan-NYA dan meninggalkan segala larangan-NYA. Kita perlu melunaskan tanggungjawab yang diberikan oleh Rabbul Izzati; menjadi khalifah di muka bumi dan beribadah kepada-NYA. Semoga dengan segala amal ini kita bakal pergi menemui-NYA di dalam redha-NYA. Insya-ALLAH.

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada ALLAH. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya), agar ALLAH memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenarannya, dan mengazab orang munafik jika DIA kehendaki, atau menerima taubat mereka. Sungguh, ALLAH Maha Pengampun, Maha Penyayang."
 [Al-Ahzab, 33:23-24]


Ayat di atas ALLAH tujukan khas kepada orang-orang mukmin. Dalam perjuangan mereka menegakkan agama ALLAH dan mencapai redha-NYA, ada yang meninggal dan ada yang di dalam waiting-list; menunggu masa untuk dijemput Ilahi. Namun, walau apapun keadaan mereka, mereka tidak pernah mahu mengubah janji mereka terhadap ALLAH. Janji apa? Janji untuk menegakkan agama ALLAH. Janji untuk menyampaikan Islam kepada seluruh umat.

Adakah kita tergolong dalam golongan ini? Yang gugur di dalam perjuangan? Yang bakal gugur di dalam perjuangan? Hanya DIA yang tahu. Semoga, kita juga tergolong dalam kalangan orang mukmin yang menepati janjinya kepada ALLAH. Insya-ALLAH.

Nota 1: Kematian itu merupakan suatu peringatan kepada kita yang masih hidup. Masa mereka sudah tiba. Bilakah pula masa kita? Untuk itu, saya menasihati diri saya dan semua yang membaca, bersama-samalah kita bersedia menghadapi sakaratul maut. Insya-ALLAH.

Nota 2: Perbetulkan niat. Perbaharui niat. Setiap apa yang kita lakukan ini sentiasa dicatat. Ajal itu bakal menemui kita bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Semoga saat kita dijemput menghadap Ilahi nanti, kita dijemput dalam keadaan yang diredhai-NYA. Insya-ALLAH.

Monday, September 3, 2012

Ceritera Cuti Musim Panas 2012

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Pagi semalam selamat mendarat di Incheon International Airport. Hari ini, 3 September 2012, bermulanya hari pertama bagi semester musim luruh. Dan, saya tiada kelas pada hari Isnin. :)

Sudah menghantar report internship pagi tadi. Untuk department tiada masalah. Alhamdulillah. Yang ABEEK masih perlu work on 수행보고서. Insya-ALLAH, akan cuba hantar dalam minggu depan.

23 June 2012 - 1 September 2012. Dalam 2 bulan 2 minggu saya cuti. Lama kan? Itu yang macam susah sikit nak datang sini balik tu. Beg pun saya kemas pagi Sabtu. Petang dah kena naik flight ke LCCT. Bertuah sungguh!

Cuti kali ini kebanyakan masa saya habiskan di rumah. Err..iye ke? Di TNB Pasir Puteh sebenarnya. Dari 8 pagi sampai 5 petang. Dari hari Ahad sampai hari Khamis. Jumaat dan Sabtu saja yang ada untuk berehat bersama keluarga di rumah.

2 bulan praktikal di sana, saya rasa macam sekejap je. Tak rasa masa berlalu. Seronok. Pak cik-pak cik sporting je. Err...panggil pak cik sebab mereka ni kebanyakannya sudah berumah tangga dan sudah boleh dipanggil ayah pun. Ada la seorang dua yang baru mahu menimang cahaya mata dan baru ada anak satu tu. Saya banyak guna 'encik' bila cakap dengan mereka sebenarnya. Macam tergeliat lidah membahasakan mereka 'abang' walaupun memang mereka membahasakan diri mereka sebegitu. 

Ramai juga yang praktikal di TNB ni sebenarnya. Ada seorang dari Unimap (Farahim), seorang dari UTHM (Kak Zura), dan 4 orang dari Politeknik Sultan Mu'adzzam Shah (Fatin, Syafiqah, Fikri dan Hamizam).

Ini gambar sewaktu saya ke sana selepas cuti raya. Masa ni Fatin dan Syafiqah dah nak keluar. Kak Zura pun tengah tunggu nak keluar juga.


Yang bestnya, saya dapat beraya di rumah tahun ni. Alhamdulillah. :') Cukup satu famili. 1 Syawal kami sambut di Besut bersama Mak Ngah sekeluarga. Bakar sate ramai-ramai. Masak kuah kacang, nasi impit dan nasi beriani sama-sama. Paginya usai solat sunat AidilFitri, kami ke kubur, menziarahi kubur arwah nenek.

 Sempat lagi posing usai ziarah. Huhu. 

Tukar camerawoman. :D

Kami pulang ke rumah sudah lewat petang. Hampir Maghrib baru sampai rumah. Waktu nak bertolak pulang tu, sempat lagi bergambar. We dan adik Zakwan dah tukar 'uniform' dah masa ni. 

                                          Cukup satu famili. Alhamdulillah. :'))

                                                          Ummi dan We. 

Ummi and Mak Ngah with their other half. :D

     Anak-anak dara dan anak teruna Ummi dan We. :)

Malamnya kami ke rumah Chik bersama Ayah Ngah, Cik Ngah dan keluarga. Esoknya pula beraya di Pasir. Hari raya ketiga, saya dah start demam + selesema + batuk. Rosak mood raya. Huhu. Semua walimah senior-senior  dan kawan-kawan satu batch pun saya tak dapat pergi. Tak sihat punya fasal. Duduk di rumah sambil menyiapkan report praktikal sahaja. Ummi dan We pula sibuk dengan kenduri saudara mara dan orang sekampung. Kami adik-beradik tak pergi la. 

Siap je semua report. Print. Saya kembali ke TNB untuk mendapatkan tandatangan dan komen supervisors. Dua hari jugalah berulang ke sana. Baharulah selesai. Alhamdulillah. Kemudian bergadang pula untuk siapkan segala macam dokumen yang nak kena hantar ke department dan pejabat ABEEK. Print, susun dan compilekan. 

Err..dalam pada tak berapa nak sihat dan sedang menyiapkan report tu, saya sempat pergi ke rumah Ema untuk beraya. Beriya-iya dia ajak nak jumpa. Dari awal cuti lagi sebenarnya, tapi asyik tertangguh. Lagi pula, ramai yang sedang praktikal. Jadinya, kami berkumpul di rumah Ema pada hari raya kelima. Tak ramai pun sebenarnya. Dalam enam orang saja termasuk saya. Reunion kecil 5 Alfa, mungkin. Ramai yang tak dapat datang. 


 Duduk dari kiri: Fais, Admirul, Izzati, saya, Ema dan Izyan. Ex-5 Alfa. Dah lima tahun kan kita meninggalkan alam persekolahan. Cepat sungguh masa berlalu.

 Izzati dah ambil master. Huu. Jealous!  Izyan pun dah nak habis dah. 
Ema yang tak sudah dengan trademarknya; peace!
All the best semua. Insya-ALLAH, ada masa dan diizinkan-NYA, kita jumpa lagi. 

30 Ogos 2012. Sehari sebelum merdeka. Hee. Akhawat UK dan India datang ziarah - datang beraya ke rumah saya. Err. Sebenarnya saya tak tahu pun yang akan datang ziarah itu siapa. Yang saya tahu, Fatin mesej bagitahu yang dia dan beberapa orang akhawat nak datang rumah. Itu saja. Mestilah gembira kan, bila orang nak datang rumah. Sudahlah saya tidak dapat ke rumah Fatin pada hari raya kelima tu sebab Ummi dan We perlu menghadiri walimah sedara. 

Usai je saya solat Zohor, terdengar bunyi kereta berhenti depan rumah. Ummi cakap, ada dua buah kereta. Saya dah kerut dahi. Aik? Fatin kata akan datang bertiga sahaja. Macam mana boleh datang dua buah kereta pula ni? Teruslah bergegas keluar. Mereka datang berlima rupanya. Baru pulang dari usrah katanya. 

Kami borak-borak sambil berta'aruf. Saya rasa macam dah kenal lama dengan mereka ni. Walaupun, itulah baru pertama kali saya berjumpa dengan mereka. Peramah dan ceria sungguh bakal doktor dan bakal cikgu ini. :') Maaf ye Fatin, saya tak sempat borak panjang dengan awak. Tapi apa yang pasti, saya gembira dan bahagia sangat dapat jumpa awak. Dua kali kan kita jumpa dalam cuti ni? Alhamdulillah. 

Dari kiri: saya, Nadiah, Najwa, Amirah, Fatin dan Rohaya aka Aya.

Najwa, Amirah dan Aya belajar di India. Bakal doktor la mereka bertiga ni. Fatin dan Nadiah belajar di UK. Fatin di Warwick manakala Nadiah di Leicester. Kedua-duanya bakal cikgu. Nadiah bakal cikgu Matematik. Fatin bakal cikgu BI. 

Walaupun kita tiada gambar bersama kali ini, dirimu sentiasa tetap diingatku. Wajahmu sudah terlakar di minda ku. ^^ Till we meet again. Insha-ALLAH. IMY.ILY. Hee. 


1 September 2012. Huu. Setiap pertemuan, pasti ada perpisahan. Perpisahan buat sementara waktu atau untuk selama-lamanya. Sedih. Masa 2 bulan 2 hari itu rasanya masih tidak mampu mengubat rindu. Masih belum puas menatap wajah ayah dan bonda sudah hendak berpisah. Masih belum puas bergurau senda, sudah perlu berpisah. 



We, Ayah Ngah dan Adik Zakwan pergi KFC masa ni. Tak sempat nak bergambar. Insya-ALLAH, dipanjangkan umur dan diizinkan-NYA kita semua akan jumpa lagi. Insya-ALLAH. 

Sabtu lepas hantar adik Eya. Sabtu ini hantar saya. Sabtu depan hantar adik Ema. Lepas tu rumah akan sunyi sepi. Tinggal Ummi dan We melayan karenah dan keletah adik Zakwan saja. Moga ALLAH melindungi, merahmati dan meredhai kami sekeluarga dan kita semua. Insya-ALLAH.

Nota 1: Semester baru. Semangat baru. Insya-ALLAH. Walaupun masih dirudung rindu.

Nota 2: Inna lillahi wa inna ilahi raji'un. Daripada ALLAH kita datang dan kepada ALLAH kita kembali. Al-Fatihah.Takziah diucapkan buat keluarga dan sahabat kepada bakal-bakal doktor atas kehilangan mereka yang dicintai - Hanisah Muhd Shah dan Adzreen Binyati yang telah meninggal dunia di Moscow, Rusia malam tadi (awal pagi tadi  waktu Malaysia).

Semoga lima lagi rakan mereka yang cedera - Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza Abdul Raza,  diberikan kesembuhan oleh-NYA. Insya-ALLAH.