"Kak Min, Dr. Alif ada di dalam
bilik tak?” Aleeya Khaleeda menahan Jasmin yang kebetulan melalui lorong yang
menempatkan beberapa bilik doktor di Hospital Selayang itu.
“Ada. Sekarang ini waktu rehat Dr.
Alif.” Pastinya Jasmin mengetahui jadual bertugas Dr. Alif memandangkan minggu
ini gilirannya bertugas bersama doktor muda itu.
“Oh. Terima kasih, kak Min.”
Mereka berpamitan sebelum Aleeya
Khaleeda bergegas ke bilik suaminya. Diketuk pintu bilik yang tertera nama Dr.
Alif Qusyairi Azhar itu beberapa kali. Namun tiada sahutan yang kedengaran.
Pasti suaminya itu terlelap sebentar sehingga tidak mendengar ketukan di muka
pintu.
Aleeya memulas tombol pintu dan
meloloskan dirinya ke dalam bilik Alif. Seperti jangkaannya, kelihatan suaminya
bersandar keletihan di atas kerusi dengan mata yang terpejam rapat. Aleeya
menarik perlahan-lahan kerusi dan melabuhkan duduknya. Dia tidak mahu
mengganggu tidur suaminya itu. Dia juga faham bagaimana rasanya penat setelah
seharian berkejar ke sana ke mari. Tambahan pula malam tadi suaminya on-call. Pukul 8 pagi nanti suaminya
perlu melakukan rutin melawat wad seperti biasa pula.
“Aleeya?”
Lamunannya terbang dikejutkan
dengan suara terkejut suaminya.
“Kenapa datang ni? Aleeya kan
bertugas petang nanti. Hmm?”
Alif membetulkan duduknya. Dia
meraup mukanya seketika sebelum memandang tunak wajah isterinya. Kedua-dua ulas
bibir kesayangannya itu bergerak-gerak bagaikan mahu menyatakan sesuatu. Dia
sabar menanti bait kata yang bakal diluahkan dari bibir mungil isterinya.
“Gaza berdarah lagi, abang!”
“Masya-ALLAH!” Terus badannya
tegak. Hilang segala rasa mengantuk. Mata yang layu tadi terbuka luas saat
mendengar perkhabaran isterinya itu.
“Bila?”
“Semalam. Ahmad Jabari pemimpin
HAMAS syahid ditembak peluru berpandu Israel.”
Iya. Sungguh dia terkejut saat
mendapat berita bumi Gaza diserang lagi pada awal pagi tadi. Semalam balik dari
kerja, dia tidak sempat melayari internet hatta memeriksa emel sekalipun. Awal
pagi tadi sewaktu memeriksa emel, dia tersentak saat diberitakan tentang
syahidnya pemimpin HAMAS merangkap pemimpin kedua Izzudin al-Qassam yang juga
bertanggung jawab membebaskan Gilad Shalit itu. Di laman sosial Facebook dan
Twitter juga sudah kecoh memperkatakan tentang penduduk Gaza yang diserang ini.
Usai sahaja solat Subuh, terus dia
bersiap untuk ke Hospital Selayang. Dia mahu mengkhabarkan berita ini kepada
Alif. Saat ini dia merasakan seolah-olah mahu terbang ke Gaza sana, membantu
rakyat Palestin.
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.
Kita perlu memperhebatkan lagi usaha bagi membantu saudara kita di Gaza sana
mulai dari saat ini.”
Alif memandang wajah isterinya.
Jelas terpamer riak serius dari raut wajahnya. Suaranya juga kedengaran begitu
tegas dan bersemangat di telinga Aleeya. Itu maknanya suaminya itu benar-benar
memaknakan apa yang dikatakannya.
“In syaa ALLAH!” Aleeya menyahut
saranan suaminya dengan penuh bersemangat juga.
“Abang, Aleeya teringin ke sana
lagi. Aleeya mahu berkhidmat membantu mangsa-mangsa kekejaman Zionis Israel
itu.” Aleeya menyuarakan hasrat hatinya.
“Kita kan sudah menghantar
permohonan kepada pihak MERCY. In syaa ALLAH, kita akan ke sana apabila
dipanggil nanti. Keep up praying, dear.”
Alif mengukirkan senyuman. Dia mengerdipkan matanya sekali. Dia mahu isterinya
itu yakin bahawa jika ada rezeki mereka dan jika ALLAH mengizinkan, mereka akan
kembali lagi ke bumi Palestin – Berkhidmat membantu mangsa-mangsa keganasan Zionis
Israel.
“In syaa ALLAH. I will. Always.”
Mereka pernah ke sana beberapa
tahun dahulu. Menyertai MERCY, mencurahkan bakti dan mengaplikasikan segala
ilmu perubatan di bumi Palestin. Waktu itu mereka baru sahaja bernikah. Pada
mulanya berat bagi kedua-dua ibu bapa mereka untuk melepaskan mereka berkhidmat
di bumi yang bergolak itu. Namun berkat doa, keyakinan dan perbincangan yang
telah mereka lakukan, keluarga mereka melepaskan mereka berbakti di Palestin
sana.
Bumi Palestin banyak mengajar
mereka erti kehidupan. Setiap hari melihat mangsa-mangsa yang tercedera bahkan
ada yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu Zionis Israel membuatkan
mereka insaf sendiri. Setiap mangsa dan jenazah yang hadir pada mereka berwajah
penuh bersih dan tenang. Walaupun kecederaan yang mereka alami itu teruk dan
parah, namun mereka seolah-olah tidak merasai kesakitan itu. Subhana-ALLAH!
Betapa tabah dan sabarnya penduduk di bumi Palestin.
Ketabahan mereka membuatkan Alif
dan Aleeya bertambah bersemangat untuk membantu menyembuhkan setiap mangsa.
Mereka bersama-sama dengan doktor-doktor yang lain bertungkus lumus berusaha
membantu apa yang termampu mereka lakukan dek kekurangan peralatan perubatan
akibat sekatan bantuan perubatan di pintu Rafah saat itu.
“Apa khabar Muhammad agaknya ya?”
“Aleeya ada menghantar emel kepada
Muhammad. Semoga Muhammad dan semua penduduk Palestin yang lain dilindungi
ALLAH. In syaa ALLAH.”
Alif terangguk-angguk mendengar
ulah isterinya. Muhammad merupakan salah seorang anak remaja yang menjadi
mangsa kekejaman tentera Zionis Israel. Mereka suami isteri menjadi rapat
dengan remaja berjiwa kental itu sewaktu Muhammad menerima rawatan di pusat
rawatan MERCY saat mereka bertugas di sana tidak lama dulu. Sehingga kini
mereka masih berhubung bertanya khabar dan perkembangan diri masing-masing.
“Jom kita sarapan dahulu. Abang pun
ada ward round pukul 8 nanti.”
Alif
menilik Tag Heuer di tangan kanannya. Dia berdiri sambil meregangkan badan.
Dihampiri isteri yang masih duduk memerhatikan segala tindak-tanduknya lalu
dihulurkan tangan. Sebaik sahaja tangannya bersambut, ditarik perlahan jemari
halus itu dan mereka sama-sama melangkah menuju ke kantin hospital untuk
bersarapan pagi.
Masing-masing senyap. Tidak
terkeluar walau sepatah pun kata dari mulut mereka. Fikiran mereka sarat dengan
pelbagai bayangan peristiwa sewaktu menjadi sukarelawan MERCY beberapa tahun
dahulu. Minda mereka ligat berfikir apakah tindakan dan usaha yang boleh mereka
lakukan untuk membantu penduduk di Gaza sana.
“Abang, Aleeya sempat print flyers ini tadi.” Aleeya membuka
pintu belakang Hyundai Avante lalu menghulurkan sebeban helaian kertas kepada Alif.
Huluran itu bersambut. Mata Alif
tertancap pada susunan huruf-huruf rumi dan jawi pada kertas di tangannya.
“Subhana-ALLAH, sayang! Jazakillahu
khairan, ya zaujati habibati.”
Berkaca-kaca mata Alif kala itu. Dia memandang
helaian kertas di tangan dan wajah tenang isterinya silih berganti. Terkesan
dengan keprihatinan isterinya terhadap isu ini. Syukur ke hadrat ALLAH yang
menganugerahkan anugerah yang tidak terhingga ini. Benarlah, isteri yang
solehah itu adalah yang saling mengingatkan dan mampu meningkatkan iman suaminya.
Hamdan lillah. Syukran lillah.
Terukir senyuman manis Aleeya buat
tatapan suaminya.
“Bolehlah abang edarkan kepada
staf-staf dan para pesakit sewaktu ward round
nanti.”
“I will.”
“Okeylah. Aleeya balik dulu ya.”
“Hati-hati memandu, sayang.”
Aleeya menyalami tangan kasar
suaminya – Imam yang ALLAH kurniakan buat dirinya di dunia ini. Terasa
kepalanya yang disaluti tudung itu diusap lembut. Meresap segala rasa kasih
sang suami.
“Assalamu’alaikum. Jumpa petang
nanti. In syaa ALLAH.”
“Wa’alaikumussalam. In syaa ALLAH.”
Alif melambai-lambaikan tangannya.
Dia memerhatikan kereta yang dipandu isterinya itu tidak berkelip sehinggalah
Hyudai Avante itu tidak kelihatan lagi. Senyuman bahagia tersungging di bibirnya.
“Selamat pagi, doktor.”
“Selamat pagi, kak Min. Nah.”
Dihulurkan sehelai flyer itu kepada
jururawat yang telah dianggap seperti kakaknya itu. Mereka mahu memulakan
lawatan rutin ke wad sebentar sahaja lagi.
“Saudara kita di Gaza sana diserang
lagi, kak Min. Jom, kita doakan mereka. Moga ALLAH melindungi mereka. In syaa
ALLAH.”
“Terima kasih, doktor. In syaa
ALLAH. Sama-sama kita doakan mereka.”
Pagi itu, sewaktu mengadakan
lawatan rutin ke wad, Alif mengedarkan juga flyers
yang diberikan isterinya tadi. Nampaknya semua orang menyambut baik usahanya
itu. Semoga dengan usahanya yang kecil ini mampu membuka mata semua untuk
mengambil cakna perihal peristiwa yang terjadi kepada rakyat Palestin. In syaa
ALLAH.
“Doktor, qunut nazilah ini boleh
dibaca pada setiap kali solat fardhu, kan?” Seorang wanita yang sedang menjaga
ibunya bertanyakan soalan mengenai qunut nazilah saat membaca flyer yang diberikan Alif kepadanya.
“Iya. Doa qunut ini sunat dibaca
ketika umat Islam didatangi bala bencana ataupun ditimpa musibah seperti yang
terjadi di Gaza, Palestin sekarang ini.” Jeda. “Betul tu, kak. Ada hadis
riwayat Bukhari dan Muslim yang mengatakan bahawa Rasulullah sendiri membaca
qunut selama sebulan pada setiap kali solat fardhu ketika kejadian pembunuhan
beramai-ramai 60 orang penghafaz Al-Quran.”
Alif teringat sebuah hadis yang
membicarakan mengenai qunut nazilah ini.
“Sesungguhnya
Nabi SAW telah membaca doa qunut pada waktu selain dari Subuh ketika turunnya
sewaktu pembunuhan sahabat-sahabatnya penghafaz-penghafaz Al-Quran.”
[Hadis
Riwayat Bukhari dan Muslim]
“Oho…begitu
rupanya. Terima kasih, doktor.”
“Sama-sama. Sama-samalah kita
mendoakan saudara kita di Gaza sana, ya kak.”
“In syaa ALLAH.”
Sudah 5 hari bumi Palestin
bergolak. Sehingga kini sudah ramai yang kembali menghadap Sang Pencipta. Sudah
berapa ramai pula yang cedera parah akibat serangan bertubi-tubi pihak Zionis
Israel termasuklah golongan wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. ALLAHU
ALLAH! Menitis air mata Aleeya saat mengikuti perkembangan Palestin itu.
Tidurnya tidak lena semenjak mengetahui bumi Gaza berdarah lagi. Malamnya diisi
dengan mengadu kepada Yang Maha Mendengar. Bibirnya tidak putus-putus berdoa
dan berzikir memohon kepada Rabbul Izzati agar mereka di Gaza sana dilindungi
dan diberikan mereka kekuatan serta kesabaran menghadapi ujian yang hebat ini.
Membaca emel balas daripada
Muhammad membuatkan dia menangis teresak-esak.
“It’s so
sad! But Alhamdulillah always and always.
Keep us
in your du’a.
Thank
you for your sweet email, doctor!”
Betapa tabahnya anak muda itu. Masih mampu
mengucapkan syukur walaupun di saat-saat getir sebegini. Muhammad juga memohon
agar terus mendoakan mereka di sana.
“Khaulah Aleeya, tengok ni! McDonald’s are offering free McMuffin
tomorrow!” Begitu teruja anak saudaranya yang berusia 8 tahun itu
bercerita. Ditarik-tarik tangan ibu saudaranya itu supaya memberikan perhatian
kepada cerita yang ingin disampaikannya.
“We’re boycotting McDonald’s, sayang. McDonald’s Corporation is supporting Israel. “ Jeda. Aleeya
bertinggung, menyamakan tingginya dengan anak saudaranya itu.
“Syifa, kita perlu boikot produk yang
menyumbang kepada Israel. Termasuklah McD. Kasihan pada saudara kita di Gaza
sana. Pihak Zionis Israel menggunakan duit itu untuk membeli senjata dan
menyerang penduduk Palestin. Sudah ramai yang terbunuh, Syifa. Wanita dan
kanak-kanak yang tidak berdosa pun dibunuh.” Aleeya berusaha sebaik mungkin
untuk menjelaskan perihal memboikot produk yang menyumbang kepada Israel itu
kepada Syifa. Dia mahu anak kecil itu memahami dan mengambil tahu mengenai isu
ini.
“Oho. Kasihannya mereka.”
Terangguk-angguk kepala anak kecil itu mendengar penerangan Aleeya.
“Syifa beruntung tahu ada mama dan
papa yang sayangkan Syifa. Kawan-kawan Syifa di Palestin sana, mereka setiap
hari berada dalam ketakutan. Ramai yang sudah menjadi yatim piatu. Sebab itu, kita
perlu doakan mereka, sayang.”
“Kasihannya… Syifa nak doakan
merekalah, khaulah Aleeya. Syifa tak nak dah makan McD selepas ini. Syifa tak
mahu menyumbang kepada Israel.”
“Alhamdulillah. Bagus anak saudara
khaulah Aleeya ini. Lagipun makanan segera itu kan tidak elok untuk kesihatan,
sayang.” Aleeya mengusap-usap kepala Syifa. Dia berbangga mempunyai anak
saudara yang mudah menerima penerangannya itu.
Semoga ALLAH menjadikan dirimu muslimah yang solehah dan muslehah kelak,
anakku. Semoga kamu mampu menyumbang untuk kenaikan Islam nanti. In syaa ALLAH.
Aleeya membisikkan doa itu perlahan.
Dari jauh, Alif tersenyum senang.
Dia bersandar santai di muka pintu yang memisahkan ruang tamu utama dan ruang
rehat keluarga itu. Sejak dari tadi dia menjadi pemerhati dan pendengar setia
setiap perbualan isterinya dan anak saudara mereka. Hari ini mereka berdua tidak
bertugas. Jadi peluang ini diambil
untuk dia mengunjungi kedua ibu bapa mentuanya.
“Ammu Syairi!”
“Syifa cerita apa dengan khaulah
Aleeya? Hmm?”
Alif menapak perlahan-lahan ke arah
mereka. Di melabuhkan duduknya di sebelah isteri tercinta.
“Khaulah Aleeya cakap fasal McD.
Kita kena boikot McD. Kasihan pada orang Palestin yang akan diserang kalau kita
beli produk Israel.”
“Subhana-ALLAH! Pandainya anak
saudara ammu Syairi ini. Nanti bolehlah Syifa ceritakan pada kawan-kawan Syifa
juga mengenai hal ini. Boleh kan, sayang?”
“Boleh! Syifa nak beritahu semua
kawan-kawan Syifa di sekolah esok.” Bersemangat Syifa menyuarakan hasratnya.
“Alhamdulillah.” Terbit kalimah
kesyukuran itu dari bibir mereka. Suami isteri itu saling berbalas pandangan
dan tersenyum bahagia. Semoga usaha mereka yang kecil ini membantu rakyat Gaza.
Mereka tahu, saat ini bukan setakat penduduk
Palestin sahaja yang sedang diuji. Seluruh umat Islam juga sedang diuji. Bahkan
seluruh umat manusia sedang diuji. Cuma ujian masing-masing sahaja yang
berbeza. Kalau penduduk di Palestin sana diuji dengan serangan bertubi-tubi
daripada tentera Zionis Israel, mereka di sini pula diuji dengan ujian iman dan
sensitiviti terhadap isu kemanusiaan ini. Bagaimana reaksi dan tindakan mereka
terhadap isu-isu serangan yang dihadapi oleh penduduk di Palestin, Syria, Rohingya
dan pelbagai tempat lagi itu? Adakah sekadar memerhati sahaja? Apakah
usaha-usaha yang telah diusahakan untuk membantu mereka di sana?
Alif dan Aleeya tahu itu. Mereka
mahu berusaha semampu mereka bagi membantu mangsa-mangsa keganasan ini. Segala
usaha akan mereka lakukan – berdoa, qunut nazilah, mengikuti dan berkongsi
perkembangan di negara-negara yang bergolak, menyumbangkan derma dan apa sahaja
yang boleh mereka lakukan akan diikhtiarkan untuk membantu.
Jikalau orang bukan Islam pun berkobar-kobar
memperjuangkan hak penduduk di Gaza khususnya. - Mereka bersemangat memperjuangkan
isu kemanusiaan ini dengan mengadakan pelbagai demonstrasi, boikot, flash mob dan sebagai. Inikan pula kita
yang bergelar Muslim ini. Segala usaha akan diperhebatkan. Itu azam Alif dan
Aleeya. Pada masa yang sama, mereka akan terus memperbaiki diri ke arah yang
lebih baik. Mereka mahu berusaha mengislah diri menjadi individu muslim yang
soleh dan musleh. Semua ini perlu supaya setiap lontaran doa mereka tidak
dihijab ALLAH. In syaa ALLAH, mereka akan berusaha sehabis daya.
Untukmu Gaza,
Akan kami berusaha sehabis
daya,
Kamu di sana berjuang
sehingga ke penghujung nyawa,
Kami di sini berikhtiar
sehabis usaha,
Doa kami sentiasa mengiringi
kamu semua,
Kerana kita mempunyai satu
matlamat yang sama,
Supaya tertegaknya al-Haq di
mata dunia.
Nota 1: Semoga bermanfaat.
Nota 2: Maaf atas segala kekurangan dan ketidaktepatan maklumat terutamanya mengenai kerjaya seorang doktor dan info yang diberikan.