Monday, December 31, 2012

2012 Bakal Melabuhkan Tirai

Assalamu'alaikum wbt.

Sudah lama menyepi.
 Seiring dengan dinginnya bumi Sonata ini, 
jari jemari pun kaku untuk  menari di atas papan kekunci.
 Idea juga bagaikan tidak mahu memunculkan diri daripada tempat persembunyian. Huhu.

Saya masih punya 1 janji yang belum ditunaikan. 
Idea tidak kunjung tiba.
Hanya mampu membuka, membaca dan menutup semula paparan putih itu.
Mungkin juga selepas ini saya perlu memaksa diri untuk melarikan jari jemari membentuk aksara supaya membentuk sebuah ceritera.
Perlu lebih mujahadah melawan nafsu mahu bersenang lenang dan membungkus diri di dalam selimut tebal.
Perlu membesarkan dan membulatkan mata yang tidaklah sebesar mana ini untuk terus berjaga dan tidak terus layu digamit ke alam mimpi.
Insyaa-ALLAH.
Doakan ya^^

Kelas musim sejuk sudahpun masuk minggu kedua. 
Sebenarnya hari ini baru hari keenam.
9 hari lagi berbaki untuk menamatkan kelas musim sejuk pada 14 Januari 2013 nanti.
Hari Khamis ini akan menghadapi peperiksaan pertengahan semester musim sejuk.
Kelas yang bermula pada jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari pada setiap hari memang agak memenatkan.
Hari Ahad sahaja punya masa untuk berehat.
Namun saya kira, seminggu ini bagaikan tiada masa yang betul-betul rehat sepenuhnya.
Ada sahaja aktiviti selepas habis kelas.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya masa saya tidak berlalu begitu sahaja.
Terisi sepenuhnya. Insyaa-ALLAH.
Cumanya, pada kedinginan melebihi paras beku ini,
Ada penyakit yang semakin mahu 'berbaik' dengan saya - cepat mengantuk!
Usai Isyak sudah terasa mengantuk. 
Padahal baru pukul 7 lebih saja.
Huu.

Sejak semalam badan terasa panas-sejuk, tekak sakit dan mula batuk-batuk.
Harapnya demam ini tidak berlarutan. 
Harapnya saya masih boleh menghadiri kelas seperti biasa dan menduduki peperiksaan dengan jayanya. Insyaa-ALLAH.
Semoga demam dan badan yang tidak sihat ini tidak menjadikan saya 'malas'.

Alhamdulillah,
keputusan peperiksaan akhir semester lepas sudahpun keluar.
Alhamdulillah thumma alhamdulillah.
Lulus semua subjek. :')

Sekarang ini perlu fokus pada subjek kelas musim sejuk ini pula. 
Dan selepas itu fokus pada subjek yang berbaki 2 semester sahaja lagi
sebelum saya menamatkan pengajian sarjana muda ini.
Insyaa-ALLAH.
Harapan saya, mahu graduasi dengan pointer 3.0 ke atas. 
Kalau dapat lebih lagi, alhamdulillah^^

Sempat bertemu kak Gee minggu lepas.
Membawa kak Gee dan kak Ain membeli-belah di Namdaemun Market.
Tak sabar nak bawa kak Ila pula ke sana nanti.
Insyaa-ALLAH :')

Hari ini - 31 Disember 2012
Hari terakhir 2012
Kurang lebih 5 jam sahaja lagi, 2012 bakal melabuhkan tirainya
2013 pula akan membuka tirai baharu
Banyak sangat perkara suka dan duka sepanjang 2012 ini
1. Berpeluang berhari raya bersama keluarga tercinta 
2. Praktikal di TNB
3. Melepaskan Humaira' pergi  :'( dan mengalu-alukan kehadiran Aswad dan Adham. :')
4. Suhayl pun sudah semakin 'sakit' nampaknya. Mungkin terpaksa melepaskannya pergi juga nanti. :'(
5. Berjaya kurangkan rasa marah dalam diri. Hihi. (Kurangkan tau.)
6. Oh ya! Bertemu Fatin Marini 2 kali pada cuti musim panas 2012 =)
7. Dating lagi bersama kak Ila =D
8. Girls day out dengan adik Ema dan adik Eya ^^
9. Berkumpul ramai-ramai satu keluarga waktu walimah kak Nani. Selepas ini giliran siapa pula ya? Hee!
10. Dan banyak lagi...biarlah segala memori itu kekal di dalam lipatan hati dan ingatan saya. 

Saya rindu juga saat-saat bergaduh sewaktu bermesyuarat. Hah ha! 
Dah lama kita tak gaduh-gaduh kan? 
Harapnya untuk masa akan datang, sudah tak perlu bergaduh lagi...
Semua pun sudah makin matang bukan?
Perbezaan pendapat itu perkara biasa...

Semoga tahun 2012 yang bakal berlalu ini meninggalkan banyak kenangan kepada kita semua.
Semoga banyak kebaikan dan amal yang kita sudah lakukan pada tahun 2012 ini.
Semoga tahun 2013 yang bakal menjengukkan muka sebentar sahaja lagi akan melakar kenangan terindah buat kita semua. Insyaa-ALLAH.
Semoga amal dan kebaikan kita dapat dipertingkatkan lagi pada tahun 2013 akan datang.

Yang tidak bagus, yang buruk itu...sama-samalah kita tinggalkan dan kita perbaiki.
Yang cantik dan yang comel itu...sama-samalah kita kekalkan dan tingkatkan lagi.

Semoga yang harum dan wangi sahaja milik kita.
Yang busuk dan jelek itu kita wangi-wangikan :')
Insyaa-ALLAH.

Selamat melangkah ke tahun baharu masihi 2013 dengan azam dan semangat yang baharu.
Jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja tahu!
Perlu realisasikan apa yang diimpi.
Setiap obsesi kita itu haruslah dilakarkan di kanvas menjadi lukisan yang indah bukannya sekadar terperosok di hujung minda sahaja. :')

Wednesday, December 12, 2012

Selamat Hari Lahir, Ummi [12.12.2012]

Assalamu'alaikum wbt.

Selamat Hari Lahir yang ke-45, Ummi.
Kakak doakan Ummi diberikan nikmat kesihatan selalu.
Semoga sentiasa diberkati dan dirahmati-NYA.
Semoga terus ceria dan sentiasa tabah menghadapi hari-hari yang mendatang.

Kakak saaaayang Ummi.
I misses you like a dessert misses a rain, Ummi.
I wish I have wings 
or
I wish I can flying without wings
So that I can flying to you, Ummi
I wanna hugs you, Ummi
I wanna hug you and wishing you "Happy 45th Birthday, Ummi"
I love you, Ummi.


Nota: Menitis air mata saat menerima mesej balasan daripada Ummi pagi tadi.
Yang mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sentiasa mengingati hari lahirnya. 
Oh! Ummi. Touching! 

Kakak yang sepatutnya mengucapkan terima kasih dan syukur yang tidak terhingga kepada Ilahi kerana menghadirkan Ummi dalam hidup kakak. 

I really missed you Ummi. Always missing you. Always loving you, Ummi. 

*Nangis*

Tuesday, December 11, 2012

Penampilan Mesti Kena Jaga

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. ALLAH izinkan saya dan kita semua menghirup udara-NYA pada pagi Selasa yang dingin ini. Suwon pagi ini berada 13 darjah Celcius di paras beku (Baca : -13 degree Celcius). Burrrr.......Sejuk sekali. 

Mahu bangkit solat Subuh pun terasa bagaikan selimut menarik-narik untuk menyambung tidur kembali. Benar-benar memerlukan mujahadah yang kuat untuk menyisihkan selimut ke tepi dan terus bangkit mengambil wudhuk untuk berjanji temu dengan Rabbul Izzati. 

Pagi ini usai Subuh dan membaca al-Ma'thurat, saya bermalas-malasan sekejap di atas katil. Alahai. Sungguhlah syaitan itu benar-benar penggoda yang licik. Mahu juga ditariknya saya kembali merebahkan diri di atas katil dan berselubung di bawah selimut tebal bagi menghangatkan diri daripada digigit kedinginan pagi musim sejuk. 

Minda sedar saya mengingatkan minda bawah sedar supaya jangan tertidur. Sejak semalam lagi sudah merancang pagi ini mahu turun sarapan di bawah. Jadinya apabila jam pada telefon pintar menunjukkan hampir pukul 8.30 pagi saya terus bangkit dari katil, mengemaskannya dan bersiap-siap untuk turun ke bawah. 

Setelah mengambil makanan, saya mengambil tempat di satu kerusi dan menikmati sarapan pagi sambil memerhati orang yang keluar masuk daripada dewan makan asrama. 
Saya kira memerhati orang ini sudah bagai satu hobi. Sudah menjadi suatu kebiasaan dalam diri.  

Entahlah. Saya tidak pasti aktiviti memerhati sebegini baik atau tidak. Tapi sungguh. Saya terhibur melihat pelbagai gelagat dan telatah orang di sekeliling saya. Terkadang, saya tertanya-tanya sendiri, adakah saya akan melakukan seperti apa yang mereka lakukan? Secara tidak langsung saya merefleksi diri saat melihat pelbagai kerenah manusia ini.

Apa yang saya perhatikan, sejak dahulu lagi sebenarnya, orang Korea ini akan turun bersarapan dengan berpakaian tidur yang memang selamba yang amat. Memang mudah sangat untuk mengesan yang mereka ini, sebaik sahaja bangun dari tidur terus turun untuk bersarapan. Suara pun masih serak-serak basah lagi! Macam orang mamai pun ada juga. 

Jarang dilihat pada waktu sarapan pagi sebegini yang berpakaian kemas dan seperti yang kita selalu jumpa pada kebanyakan waktu. Jangan tidak tahu, orang Korea ini amat kemas dan menjaga penampilan mereka saya kira. Namun, apabila tiba saat bersarapan pagi sebegini, lain pula suasananya. 

Pada satu sudut, saya nampak, mereka ini tidak hipokrit. Tidak menyembunyikan diri. Biasalah, baru bangun tidur kan? Mestilah keadaan agak kusut-masai dan tentulah tidak sekemas biasa. Semua orang pun begitu. 

Pada suatu sudut yang lain pula, saya terfikir, hmm... kita yang muslim ini, terutamanya yang perempuan, memang akan bersiap jugalah walaupun sekadar ala kadar sahaja sebelum keluar dari bilik. Jadi, secara tidak langsung, penampilan kita menjadi lebih kemas jika hendak dibandingkan dengan orang Korea ini. Itu apa yang saya fikir dan rasalah kan...

Pagi ini saya ditegur oleh seorang kawan usai sahaja kami sarapan bersama. 

Katanya, "Ada kelas ke lepas ni, Nadzipah?"

"Hari ni tak ada kelas." Senyum.

"Oh. Tengok gaya macam nak pergi kelas. Dengan blousenya.... skirt lagi!" Dia gelak kecil di akhir ayat.

Saya sekadar senyum. Tak tahu mahu kata apa. 

"Kami ni pakai biasa-biasa saja. Seluar tidur lagi ni ha! Tak adanya nak bersiap bagai. Ni macam dah mandi pun ada!"

Haha. Kali ini saya tergelak. Amboi! Perli nampak! Haha.

"Penampilan mesti kena kemas sentiasa!" Saya katakan padanya sambil tayang senyum yang melebar. 

Okay. Nampak tak apa yang mahu saya sampaikan? Hihi. Gaya macam bagi pop kuiz saja.

Kita ini, walau di mana pun kita berada, penampilan mesti kena jaga. 
Biarlah wajah kita tidak cantik dan tidak kacak sekalipun. Tidak mengapa. 
Yang penting, biarlah kemas dan rapi sentiasa.
Barulah orang senang melihat kita. 

Sedar tak? 
Sebenarnya bila kita menjaga penampilan kita...
Kita sentiasa dalam keadaan kemas...
Secara tak lansung orang akan rasa kita cantik dan kacak...

Eh? Betul ke begitu?
Tak percaya?
Rasa tak yang orang yang berpakaian seragam itu kacak dan macho?
Adakah mereka semua itu mempunyai wajah yang tampan?

Oh, sama sekali tidak!
Habis tu, apa yang membuatkan kita rasa mereka ini kacak lagi bergaya?

Kerana...mereka menjaga penampilan mereka.
Rambut mereka pendek dan kemas.
Pakaian mereka dijaga rapi. 
Itulah hasilnya apabila kita sentiasa kemas dan menjaga penampilan.

Lebih-lebih lagi, kita ini orang Islam.
Kita ini orang yang buat dakwah.
Sepatutnya kita lebih faham daripada orang biasa.
Sepatutnya kita perlu lebih kemas dan lebih menjaga penampilan.

Kerana apa?
Kerana kita tahu yang ALLAH itu cantik dan DIA sukakan kecantikan.
Kita tahu yang di dalam 10 Muwasafat Tarbiyah itu ada Qawiyyul Jismi (Sihat tubuh badan) dan Munazhzhamun fi Syu'unihi (Teratur urusannya).

Bukankah semua itu menuntut kita untuk menjadi seorang yang kemas, 
rapi dan menjaga penampilannya?
Bukankah kita mahu menjadi qudwah hasanah (contoh ikutan) semua?
Dari itu jangan salahkan orang apabila ada yang memandang jelek pada kita.

Duhai sahabat dan sahibahku...
Duhai ikhwah dan akhawat fillah...
Lihatlah penampilanmu...
Rapikan dan kemaskan sosokmu...
Itu lebih baik untukmu...
Orang yang memandang pasti senang melihatmu
Penampilanmu yang terjaga itu akan membuatkan orang senang denganmu
Nur keimanan juga pasti akan lebih terserlah dari dirimu
Moga pancaran cahaya itu mampu menerobosi hati-hati yang memandangmu.
Insyaa-ALLAH.






Sunday, December 2, 2012

Tazkiyatun Nafs (Penyucian Jiwa)

Assalamu'alaikum wbt.

"Nabi SAW telah bersabda: Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya, 
dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuhnya 
dan ketahuilah bahawa itu adalah hati."
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Saya yakin dan percaya kita selalu sahaja mendengar hadis mengenai hati ini. Kita memang sudah sedia maklum bahawa hatilah yang menggerakkan setiap anggota tubuh kita. Setiap apa yang terlintas di hati, itulah yang akan tubuh kita refleksikan. 

Jika hati kita hidup, maka amat senang bagi kita untuk menerima kebaikan. Namun sebaliknya akan berlaku jika hati kita tidak hidup, maka amat sulit untuk kita menerima kebaikan.  

Terkadang kita melalui fasa-fasa futur dalam diri bukan? Itulah tandanya hati kita tidak sihat. Di kala ini amat mudahlah untuk syaitan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik ke dalam diri kita. Dan amat senanglah bagi kita untuk terpengaruh dengan hasutan syaitan itu pada saat itu. 

Untuk itu, kita memerlukan tazkiyatun nafs ini. Kita perlu sentiasa menyucikan jiwa kita ini agar hati kita sentiasa hidup dan sihat. Supaya kita sentiasa dapat melakukan kebaikan.

Tazkiyatun nafs ini merupakan misi para rasul. Marilah sama-sama kita perhatikan doa yang Nabi Ibrahim titipkan ini. 

"Ya Tuhan kami, utuslah di tengah mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat-MU dan mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka dan menyucikan mereka. Sungguh, ENGKAUlah Yang Maha Perkasa Maha Bijaksana." 
[Al-Baqarah, 2:129]

Dari sini kita boleh lihat bahawa Nabi Ibrahim berdoa kepada ALLAH memohon untuk diutuskan para rasul kepada setiap umat untuk melaksanakan 3 perkara:
1. Tazkir (Membacakan dan mengingatkan ayat-ayat ALLAH)
2. Ta'alim (Mengajarkan)
3. Tazkiyah (Menyucikan)

Bagaimana untuk kita menyucikan hati kita? 

1. Solat 
- Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh ALLAH di akhirat kelak. Untuk itu kita perlu menjaga solat kita agar ia diterima oleh ALLAH.
- Solat itu bukanlah dilaksanakan tetapi didirikan. 
- Kita perlu menghayati setiap perbuatan kita sewaktu mendirikan solat demi untuk mendapatkan kekhusyukan hati.
- "Al awwal 'ilm yarfu' minal ardh al khusyuk." (Ilmu yang pertama yang diambil dari dunia itu ialah khusyuk.)
- Bersamalah kita berusaha memperbaiki mutu solat kita supaya kita mendapat khusyuk di dalam solat. 

2. Saum (Puasa) 
- Kita boleh membelenggu hawa nafsu kita dengan berpuasa.
- Hati kita akan terjaga, kemaluan kita akan terpelihara dan mulut kita juga akan kita hindarkan dari mengucapkan perkara yang sia-sia saat berpuasa.
- Semoga dengan mengamalkan puasa sunat Isnin-Khamis, puasa sunat pada hari putih (13,14,15) pada setiap bulan, kita dapat menyucikan jiwa dan mendidik hati kita ke arah kebaikan. 

3. Zakat dan Infak
- Kita perlu ingat dan perlu tahu bahawa setiap harta milik kita ini bukanlah milik kita sebenarnya melainkan milik ALLAH yang hanya dipinjamkan buat kita.
- Untuk itu, tempat untuk kita menyimpan harta kita ini ialah kepada ALLAH. Bagaimana? Dengan mengeluarkan zakat dan berinfak serta bersedekah.
- Hati-hati kita akan dapat disucikan apabila kita berzakat dan berinfak.
- Amalan zakat dan infak ini juga akan menjauhkan kita daripada sifat kikir dan kedekut.

4. Haji dan Umrah
- Saya yakin dan percaya, setiap dari kita mempunyai impian dan keinginan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah. 
- Persiapkanlah diri kita sebaiknya untuk menunaikan haji dan umrah ini.
- Saat di sana nanti, jagalah solat awal waktu kita dan amalkanlah setiap doa yang telah dihafal. 

5. Bermuhasabah
- Memetik kata-kata Saidina Umar Al-Khattab, "Hisablah dirimu sebelum kamu dihisabkan. Timbanglah amalanmu sebelum amalan kamu ditimbangkan."
- Muhasabah ini penting untuk kita menilai balik baik buruk setiap apa yang akan dan telah kita lakukan.
- Muhasabah itu perlu dibuat sebelum dan sesudah kita melakukan sesuatu perkara.
- Jangan pula dilupa untuk sentiasa memperbaharui niat kita agar setiap kebaikan yang kita lakukan itu tidak terpesong tujuannya. Niatlah di awal, di pertengahan dan di akhir perbuatan kita. Semoga kebaikan yang kita buat itu diterima ALLAH. Insyaa-ALLAH.
- Muhasabah ini luar biasa sekali kesannya kepada kita. Cuba dan amalkanlah, anda pasti akan merasainya. Insyaa-ALLAH.

6. Zikir dan Fikir
- "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian siang dan malam terdapat tanda-tanda (kebesaran ALLAH) bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat ALLAH sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah ENGKAU menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci ENGKAU, lindungilah kami dari azab neraka." 
[Ali Imran, 3:190-191]
- Berfikir dan bertafakur ini mampu menyucikan hati-hati kita.
- Kita boleh telusuri kisah Nabi Ibrahim yang merenungkan keindahan dan kejadian alam ini untuk mencari siapakah penciptanya. Betapa sikap kritis Nabi Ibrahim yang memikirkan kejadian alam ini perlu kita contohi.
- Berfikir tentang sakaratul maut dan kehidupan selepas mati juga boleh menyucikan hati kita. 

7. Membaca Al-Quran
- Kita boleh membersihkan dan menyucikan hati dengan membaca ayat-ayat cinta ALLAH ini. 
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama ALLAH gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat-NYA kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal,"
[Al-Anfal, 8:2]

- Bacalah al-Quran dengan hati. 
- Bacalah maksudnya sekali untuk lebih memahami dan menghayati setiap maknanya.

8. Zikrul Maut (Mengingati Mati)
- Ingatlah bahawa apabila kita meninggal, apa yang kita akan bawa hanyalah amalan kebaikan sahaja. Segala yang lain akan kita tinggalkan.
- Biasakan diri untuk mengingati mati saat sebelum tidur dan saat bangun dari tidur. 
- Hayatilah setiap bait doa sebelum tidur dan doa selepas tidur itu. 

Cara untuk mengekalkan diri dalam penyucian jiwa

1. Muraqabatullah - Sentiasa merasakan bahawa setiap saat, setiap perbuatan kita, ALLAH sentiasa memerhatikan kita.

2. Muahadah - Memberikan sepenuh komitmen dan berazam dengan setiap kebaikan yang kita lakukan. 

3. Muhasabah - Evaluasi diri kita dengan setiap amalan yang kita lakukan.

4. Mu'aqabah - Menghukum diri kita saat kita meninggalkan amalan kebaikan. Contohnya, mendenda diri kita solat Dhuha 12 rakaat jika tertinggal tahajud. 

5. Mujahadah - Bersungguh-sungguh dengan setiap amalan kebaikan yang kita lakukan.


Perkongsian ini untuk diri saya sendiri juga sebenarnya. Bersama-samalah kita menerapkan tazkiyatun nafs dalam diri. Bersama kita menyucikan diri ke arah menjadi individu muslim yang soleh dan musleh. Insyaa-ALLAH.

Semoga bermanfaat. Semoga ALLAH redha dengan setiap perbuatan kita. Ameen. Insyaa-ALLAH.