“Aku
kagum dengan kau. Kau baik. Semua orang senang dengan kau.”
Shahir
memandang teman di sebelahnya dengan pandangan kagum. Dia amat berbangga
menjadi teman Rayyan Hadif – Teman yang dikenali sejak zaman kampus lagi.
Sehingga kini mereka masih kekal bersama. Menjadi teman serumah pula setelah
kedua-duanya melangkah ke alam kerja.
Rayyan
hanya mampu tersenyum tawar. Shahir amat memandang tinggi kepadanya. Dia jadi
malu sendiri. Malu kerana jauh di sudut hatinya terpahat kukuh nama seorang
gadis manis. Siapa lagi kalau bukan Filzah Hanani.
“Aku
bukan Muhammad Al-Fateh, Shahir. Aku pun buat silap. Aku bukannya sempurna dan
tak sebaik mana pun. Kau saja yang tidak tahu.” Rayyan berkata lirih.
Rayyan
memanjatkan syukur kepada ALLAH. Betapa baiknya ALLAH menutup segala keaiban
dan keburukan dirinya daripada tersebar kepada orang lain. Lihatlah sekarang, ramai
yang memandang tinggi keperibadiannya. Padahal dia bukanlah baik sangat pun.
Bukan dia orangnya yang layak menerima pujian sedemikian. Dia juga masih
berusaha untuk menjadi baik. Benarlah seperti yang dikata, untuk menjadi baik
itu memang mudah, tetapi untuk terus kekal menjadi baik itu tidak mudah.
“Sikap
kau yang suka merendah diri itu membuatkan orang bertambah senang dengan kau.
Kau patut tahu tu.” Shahir tersengih.
Begitulah
Rayyan yang dikenalinya. Sentiasa merendah diri dan selalu sahaja melebihkan
orang lain berbanding dirinya sendiri. Sikap jejaka berkulit sawo matang itu
membuatkan dia bukan sahaja disenangi oleh rakan sekerja dan majikan, malah
orang-orang yang lebih tua juga amat menyenanginya.
“Ada-ada
saja kau ni, Shah. Pusing la ikut mana pun, pasti kau mampu menjawabnya.”
Tergeleng Rayyan dibuatnya. Tidak larat lagi mahu berbalas kata dengan arkitek
muda itu. Dia bangkit dari buaian yang didudukinya, mahu masuk ke dalam rumah.
Shahir
tergelak kecil. “Nak masuk dah?” Laju sahaja dia bertanya apabila melihat
Rayyan sudah bangkit dari duduknya.
“Nak
buat air.”
Rayyan
terus menonong masuk sebelum sempat Shahir berkata apa-apa.
Dada langit yang diterangi cahaya
bulan dan dilatari kerlipan bintang dipandang asyik. Cantik sungguh suasana
pada malam ini. Kalau diabadikan di atas kanvas putih pasti indah. Shahir
berkira-kira di dalam hati. Terus dia bangun menuju ke biliknya untuk mengambil
kanvas dan peralatan melukis.
Rayyan yang baru sahaja siap
membancuh air itu hanya tersenyum tipis melihat Shahir sudah bersiap sedia
dengan kanvas putihnya. Tahu benar dia akan kegemaran temannya yang satu ini.
Pantang nampak pemandangan yang indah, pasti akan dilukisnya. Diletakkan sebuah
mug putih di meja kecil di sebelah Shahir, manakala dia menuju semula ke arah
buaian tadi sambil menatang sebuah mug lagi. Asyik dia melihat Shahir melakar
di dada kanvas.
“Kau ingat tak dulu…” Shahir
memandang sekilas ke belakang. Kemudian dia menyambung kembali melarikan jemari
kanannya di dada kanvas. Mahu memperkemaskan lukisannya sebelum diwarnakan
pula.
Rayyan sedikit tersentak saat suara
Shahir menerjah pendengarannya. Keningnya terangkat sedikit. Menunggu Shahir
meneruskan kata-katanya yang tergantung tadi.
“Alah… yang waktu kau angau sekejap
tu….” Shahir sengaja meleretkan suaranya. Berus di tangannya dioleskan di atas
kanvas sedikit demi sedikit membentuk tona warna langit malam. Memandangkan
lukisannya ini dilakukan secara spontan sahaja, dia hanya menggunakan cat air.
Rayyan meraup mukanya sekali lalu. “Kau
ni… Lagi mahu ingatkan aku tentang hal itu.” Dia malu sebenarnya. Segan.
Semuanyalah. Dia tahu dan dia sedar, waktu itu dia khilaf. Dia yang tergolong
dalam geng surau itu terpincang langkahnya apabila dia jatuh suka pada gadis
manis itu. Err… sebenarnya sampai sekarang pun dia masih menyukai gadis itu.
Itulah satu-satunya perkara yang memerlukan dia perlu lebih bermujahadah
melawan nafsunya. Sekarang ini dia sedang usahakan untuk menghalalkan perasaan
itu.
“Aku tahu kau dah berubah sekarang.
Makin baik dan lebih bagus daripada dulu.”
“Malu dan segan itu tak pernah
hilang setiap kali aku teringatkan perangai tak semenggah aku dulu.” Dilurutkan
rambutnya ke belakang. Kesal.
“Selama berkawan dengan kau di
kampus, aku tahu, ramai yang hormati kau. Kau bukan hanya bercakap kosong,
tetapi kau buktikan melalui perbuatan kau. Tapi…” Shahir berhenti mewarnakan
lukisannya. Permukaan langit yang luas itu dibiarkan kering terlebih dahulu.
Dia mahu menggunakan teknik basah atas kering untuk mewarnakan bulan dan
bintang nanti.
“…Ramai yang makin hilang hormatnya
waktu kau angau sekejap tu. Kau faham kan, maksud aku?” Shahir menggapai mug miliknya
di atas meja kecil dan menghampiri Rayyan yang sedang merenung jauh. Kedengaran
keluhan berat dilepaskan oleh Rayyan saat dia melabuhkan punggung di sebelah
sahabatnya itu.
“Aku faham. Banyak yang aku belajar
dari kesilapan waktu tu. Tak guna cakap berdegar-degar tetapi diri sendiri
tidak mengamalkannya. Akhlak mulia yang ditampilkan itu lebih berkesan dan
terkesan di jiwa yang melihatnya. Mat Saleh kata, ‘Walk your talk.’ Kita bercakap, orang memerhati. Orang tengok apa
yang kita buat…”
“Keperibadian yang tinggi itu mampu
memikat hati semua orang kan?”
“Betul. Memang betul apa yang orang
kata. Kita akan diuji dengan apa yang kita kata. Aku dah merasainya.”
“Dan aku rasa kau dah melepasi
ujian itu dengan jayanya.” Shahir menepuk bahu Rayyan. Tanda berbangga dengan
kejayaan anak muda di sebelahnya.
“Harapnya begitulah. Berakhlak
mulia itu memang perlu dimiliki oleh setiap orang. Jika kata-kata kita
melambangkan siapa kita, personaliti dan penampilan kita pula menunjukkan
bahawa kita bukanlah seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Aku ni
suka makan ketam, tapi aku tidak mengambil pengajaran daripada kisah ketam.”
Rayyan tergelak kecil. Kemudiannya menggeleng lemah. Khilafnya itu walau sudah
diperbaiki namun masih kekal malu itu mencengkam jiwa saat mengimbau kembali
peristiwa itu.
“Haha.” Terletus gelak Shahir
setelah Rayyan menghabiskan kata-katanya. Ditarik nafas dalam sebelum dia
bersuara.
“Setiap
apa yang ALLAH jadikan itu bersebab. Kita sahaja yang terlepas pandang dan
tidak mahu mengambil pengajaran darinya.”
Shahir
tahu rasa malu dan kesal masih menebal dalam diri Rayyan. Betapa dia mengagumi
sahabatnya itu. Siapa yang tidak pernah melakukan kesilapan bukan? Yang
penting, kita belajar daripada kesilapan itu dan berusaha untuk tidak
mengulanginya lagi pada masa akan datang. Dia nampak bagaimana Rayyan
memperbaiki sedikit demi sedikit khilafnya itu sebaik sahaja tersedar dari lena
yang panjang.