Friday, October 25, 2013

Tempat Solat di Sekitar Korea

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Setelah lama tidak menulis di sini, hari ini ALLAH izinkan untuk saya menulis lagi. Idea ini datang waktu saya sudah bersiap-siap mahu tidur malam tadi lagi sebenarnya. Tetapi memandangkan masa pun sudah agak lewat dan hari ini saya masih punya kelas dan exam, jadi saya tangguhkan sehinggalah sekarang ini. 

Okey. Kembali kepada topik asal. Sejak kebelakangan ini, memang saya akui, raaaamaaiii sangat orang Malaysia yang datang melancong ke Korea. Kalau pergi ke Itaewon ke, Nami Island ke, mesti akan jumpa punyalah dengan orang Malaysia. 

Apabila berjalan di negara orang yang majoriti penduduknya bukan Muslim ini, salah satu masalah yang akan dihadapi adalah tempat untuk solat. Selain makanan halal la kan... Tak mahulah terjadinya kes-kes terpaksa mengqada' solat dengan alasan tiada tempat yang sesuai untuk mendirikan solat. Sedih saya dengar. :(

Jadi, post kali ini ditujukan khas buat orang Malaysia yang hendak datang melancong ke Korea. Semoga selepas ini, para pelancong yang beragama Islam dapat mendirikan solat walau di mana pun ada berada. Insyaa-ALLAH. :))

Ini semua berdasarkan pengalaman saya sendiri dan info daripada kawan-kawan yang berada di Korea ini. Insyaa-ALLAH. 

Itaewon: Seoul Central Mosque



Haa. Seoul Central Mosque ini merupakan satu-satunya masjid di Seoul. Terletak berhampiran dengan Itaewon Station (line 6). Di sekitarnya juga anda boleh dapatkan pelbagai makanan halal terutamanya masakan ala India dan Arab. Insyaa-ALLAH.

Kalau nak senang, bolehlah selalu datang solat kat sini. Hihi. Boleh juga berkenalan dengan Korean Muslim yang ada di sana. 

Myeong-dong: M Plaza Building; Seoul Center for Culture & Tourism


Saya pasti memang semua orang akan memasukkan Myeong-dong sebagai salah satu to-visit-place anda apabila ke Korea. Myeong-dong bolehlah dikatakan sebagai syurga membeli-belah bagi muda-mudi di bumi Sonata ini. Sesiapa yang sukakan barangan berjenama dan barangan kecantikan, inilah tempatnya. 

Sebenarnya ramai yang ke Myeong-dong untuk memakai pakaian tradisional Korea yang dipanggil hanbok di Seoul Center for Culture & Tourism. Tak perlu bayar. Free of charge. Cuma perlu booking masa sahaja. Ia terletak di tingkat 5 bangunan M Plaza. Nak mudah, keluar aje exit 6 Myeong-dong Station (line 1, 4) jalan je straight sampai jumpa butik Forever 21 dan Zara. Ha, di situlah letaknya Seoul Center for Culture & Tourism ni. 

Eh. Saya nak bagitahu tempat yang biasa kami solat sebenarnya. Biasanya kami akan solat di bangunan inilah. Solat di tepi tangga exit door tu. Sebab bangunan ni macam tak ramai orang dan tangganya pun bersih je. Nak cari surau, memang takdelah di sini. 

Namsan Seoul Tower



Dari Myeong-dong, mahu terus ke Namsan Seoul Tower boleh naik cable car. Untuk ke tempat cable car, kena panjat bukit sikitlah. Ala-ala macam panjat bukit nak ke Masjid Itaewon. Gitulah lebih kurang. Mengah la jugak. Huhu. 

Boleh aje sebenarnya kalau mahu naik teksi dari Myeong-dong Station exit 3 (kalau tak silap) untuk ke tempat cable car. Tapi... apa salahnya kalau exercise sekali-sekala kan? Bila lagi mahu merasa berpeluh begini. Di Malaysia, saya tak rasa kita akan selalu berjalan macam di Korea ini. Nak ke mana-mana pun, guna kereta. Iya tak? :D

Kalau kebetulan lama di Namsan Tower ni, bolehlah bersolat di nursery room di tingkat bawah yang berdekatan dengan pintu masuk ke Teddy Bear Museum tu. Kalau mahu solat di luar pun apa salahnya... Saya pernah je solat di luar yang berhampiran pelantar, tempat orang rehat-rehat sambil tengok pemandangan sekeliling bandar Seoul tu. Orang Korea hanya tengok sajalah. Takdelah mereka datang ganggu ke apa ke. Tapi jangan solat di tempat yang agak crowded sudahlah. Tak khusyuk solat nanti. Hihi.

Prayer Room at Tourism Information Center, KTO HQ


Ini peta untuk ke Korea Tourism Organization office. Boleh ke sana dari Jonggak Station (line 1) ataupun Gwanghwamun Station (line 5). Lupa pula exit berapa. Tapi kalau jalan aje ikut Cheongyecheon Stream tu, insyaa-ALLAH akan jumpalah KTO HQ ni. 


Ini bangunan KTO tu. Tourism Information Center terletak di basement bangunan ini. 


Inilah prayer room tu. Atau dalam bahasa Koreanya dipanggil 기도실 (gido-shil). Takdelah besar sangat. Tapi selesa la untuk mendirikan solat. Cumanya prayer room ni untuk semua tau. Makna kata hanya ada satu sahaja surau. Kena kongsi gunalah antara muslimin dan muslimat. 


Ahaa. Yang bestnya, di sini ada disediakan tempat untuk berwudhu'. Sebenarnya bilik wudhu' ini merupakan tandas untuk orang kurang upaya. Tapi lebih selesalah jika dibandingkan dengan kita mengambil wudhu' di tandas biasa kan. Nak-nak untuk orang perempuan la. :)

Prayer Room at Everland


Untuk anda yang sukakan aktiviti yang mencabar, suka indoor game, tentunya tidak akan melepaskan peluang untuk ke Everland. Betul tak? 

Apabila sudah berjalan-jalan tu, tentulah hampir seharian di sini, kan? Sekarang ni sudah terdapat bilik solat di Everland. Alhamdulillah. Bilik solat ni berdekatan dengan Rotating House. Jika tengok pada peta di atas, ia bertempat di sekitar nombor 105 dan 106 tu. Kalau tak jumpa bilik solat ni, bolehlah tanya pekerja yang bertugas berdekatan dengan tempat tu. Insyaa-ALLAH anda boleh solat tanpa halangan nanti. :)

Musolla at Nami Island

Nami Island ni dah kira macam tempat wajib pergilah kalau dah datang ke Korea, kan? Alhamdulillah, setahun dua ni pihak Naminara sudah pun menyediakan surau untuk pengunjung yang beragama Islam di sana. 


Ini pintu masuk untuk ke Musolla. Sebelum anda ke tempat penggambaran Winter Sonata tu, akan akan melalui surau ni dulu. Ia terletak di tingkat atas. 



Ini dia musollanya. Tempat untuk berwudhu' pun ada disediakan sekali. Musolla ni pun perlu dikongsi juga. Dan kena hati-hati sikit la untuk kaum wanita ketika mengambil wudhu' tu. Takut kebetulan kaum lelaki masuk, aurat kita tak terjaga. 

Prayer Room at Incheon International Airport


Untuk mana-mana pelancong yang mungkin terkandas di Incheon International Airport atau mahu mendirikan solat sementara menunggu flight, pihak lapangan terbang ada menyediakan prayer room untuk Muslim. Prayer room ini terletak di sebelah Departure Hall 24 selepas melalui immigration. Arah kiblat, sejadah dan Al-Quran pun ada di sediakan. Cumanya anda perlu mengambil wudhu' siap-siap di tandas. 

Untuk anda yang baru sahaja tiba, boleh solat di nursery room ataupun di tepi tangga. Saya dan kawan-kawan biasanya lebih selesa memilih untuk bersolat di nursery room




Itulah sedikit sebanyak perkongsian saya mengenai tempat-tempat yang sesuai untuk bersolat di Korea Selatan ini. Semoga membantu para pelancong yang mahu datang ke Korea ini. Insyaa-ALLAH. :)

Aha. Satu lagi, nak beritahu. Selalulah bawa botol air mineral bersama anda ke mana sahaja anda pergi. Senang untuk beristinjak dan berwudhu' nanti. Tandas di Korea inikan tiada air. Saya nasihatkan, janganlah angkat kaki dan basuh kaki di singki tandas itu. Takut nanti dimarahi oleh mak cik cleaner pula. Huhu. 

Moga bermanfaat.