Sut kerja berwarna hitam
pekat yang elok tersarung di badan diperkemaskan. Pukul 10 pagi nanti dia perlu
membentangkan hasil kertas kerjanya sewaktu mesyuarat bersama pengarah projek
yang baharu. Jadi dia perlu tampil lebih kemas dan lebih bergaya dari biasa.
Bukan apa, sewaktu sesi pembentangan nanti dia mahu tampak yakin dan profesional.
Harapnya pembentangannya nanti baik-baik saja.
Selendang labuh rona merah jambu lembut dililitkan kemas ke
kepala. Ditilik penampilannya di hadapan cermin. Sekejap dipusingkan badan ke
kanan. Sekejap ke kiri.
Okey!
Perfect! Bibirnya mengukir senyuman
manis.
Oh.
Sempurna itu bukan pada pandangan matanya sahaja. Yang pasti dia mahu tampak
sempurna pada pandangan Sang Pencipta. Moga DIA Yang Satu redha dengan setiap
langkah perjalanan hidupnya.
Two inches black
heels disarungkan ke kaki bagi melengkapkan penampilan korporatnya. Berpuas
hati dengan penampilannya, dia mula menapak keluar menuju ke stesen Titiwangsa
yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
6.47
pagi. Jam di pergelangan tangan dipandang sekilas. Kelihatan orang ramai mula
membanjiri stesen. Ada yang lengkap berpakaian kerja seperti dirinya. Ada juga
yang beruniform sekolah. Dari jauh kelihatan monorel kian mendekati stesen.
Orang ramai mula menghampiri tebing platform.
Bersiap sedia untuk melangkah masuk ke perut monorel sebaik sahaja ia
berhenti nanti.
Pintu dibuka. Matanya
tertancap pada tempat duduk yang masih banyak kosong. Laju sahaja kakinya
melangkah mahu mengambil tempat. Biasalah, awal pagi begini penumpang masih
tidak begitu ramai lagi. Itu merupakan salah satu sebab kenapa dia suka keluar
pada awal pagi. Lagi satu, dia memilih untuk menaiki pengangkutan awam kerana
tidak mahu tersekat dengan kesesakan lalu lintas. Sungguh, dia tidak begitu
menggemari suasana yang sesak sebegitu. Membuatkan dirinya jadi tidak sabar
saja.
Dia perasan banyak mata yang memandangnya saat dia melangkah
masuk ke dalam perut monorel tadi. Mungkin terpesona dengan keterampilannya
yang anggun lagi bergaya pagi ini. Dia mengulum senyum.
Tas tangan berjenama Coach yang diletakkan di ribanya
dibuka. Senaskhah buku kecil, nipis yang sudah agak lusuh dikeluarkan. Bebola
matanya mula menatap setiap aksara yang tersusun rapi di atas dada buku sambil
mulutnya terkumat-kamit sendiri.
Sesekali matanya terpejam bagaikan menghayati apa yang
dibacanya. Dia hanya melemparkan senyuman nipis kepada penumpang di kanan dan
kirinya yang sedari tadi asyik mengerling ke arahnya. Dia juga perasan ada yang
siap memanjangkan leher mereka lagi. Mungkin saja mereka mahu melihat apa yang
sedang dibacanya. Dibeleknya sekilas buku di genggaman. Mahu mencari apa yang
menarik dengan buku lusuh ini sehinggakan ramai yang memerhati. Dahinya
berkerut hebat. Gagal menemui apa yang dicari, dia sekadar meneruskan pembacaan
yang tergendala sekejap tadi.
Al-Ma’thurat.
Iya. Itulah yang sedang dibacanya sekarang. Diamalkan membacanya pada setiap
pagi dan petang. Naskhah lusuh inilah yang sentiasa menemaninya sejak dari
zaman belajar lagi.
Tiba
di stesen Medan Tunku kelihatan seorang pemuda melangkah masuk. Tampak begitu macho dan bergaya sekali dengan pakaian
kerja yang digosok rapi, tali leher terjerut kemas di leher dan briefcase di sisi. Begitu bergaya sekali
tubuh tinggi lampai itu. Kali ini banyak mata terarah kepada jejaka itu pula.
Mana tidaknya, pada hematnya pemuda itu begitu berani sekali menggayakan kemeja
rona merah jambu terang untuk ke tempat kerja. Tampak sesuai dengan kulitnya
yang putih kemerah-merahan itu. Matanya sempat menangkap sesuatu yang sedang
dipegang kemas di tangan kanan pemuda itu. Bibirnya tanpa sedar tersenyum.
Nampaknya ada sesuatu yang lebih menarik mengenai lelaki ini berbanding
penampilannya yang tampan bergaya itu.
Mata
penumpang lain dilihatnya masih tidak lepas memerhatikan setiap tingkah pemuda
tadi. Siap ada yang bergerak untuk mendekati pemuda itu lagi. Sungguh jejaka
ini benar-benar mempunyai aura yang tersendiri. Pemuda itu tersenyum kepadanya yang
masih terkumat-kamit menghabiskan doa rabitah sebelum mengambil tempat duduk
yang bertentangan dengan dirinya.
Bacaannya
sudah selesai. Dimasukkan kembali naskhah lusuh itu ke dalam tas tangan. Kali
ini dikeluarkan pula sebuah buku. Perjalanan masih jauh untuk sampai ke
destinasi. Lebih baik dia mengisi masanya dengan sesuatu yang bermanfaat.
Sementelah semenjak bekerja ini masanya untuk membaca memang amat terhad. Jika
dulu dia boleh saja menghabiskan paling kurang sebuah buku seminggu, kini untuk
menghabiskan sebuah buku sebulan pun payah. Dia tergeleng sendiri. Terbit
sedikit rasa kesal di hati.
Tangannya
laju sahaja membelek buku mencari helaian terakhir yang dibaca. ‘Lelaki
Warna-Warni.’ Dia tidak dapat menahan dirinya daripada tersenyum saat kornea
matanya menatap sebaris ayat itu. Tanpa sedar, matanya mengerling lelaki merah
jambu tadi. Lelaki itu dilihatnya sedang membuka buku kecil berbentuk diari
yang dipegangnya di tangan kanan sewaktu menapak masuk tadi. Diperhatikan masih
banyak mata yang begitu teruja menatap setiap tingkah pemuda itu.
Dia
kembali tunduk. Mahu meneruskan pembacaan.
Dia sangat bersih, wajahnya
berseri-seri,
Bagus perawakannya, tidak merasa berat
karena gemuk,
Tidak bisa dicela karena kepalanya
kecil, elok dan tampan,
Di matanya ada warna hitam, bulu matanya
panjang,
Lehernya jenjang, matanya jelita,
memakai celak mata,
Alisnya tipis, memanjang dan bersambung,
Rambutnya hitam,
Jika diam dia tampak berwibawa
Jika berbicara dia tampak menarik
Dia adalah orang yang paling elok dan
menawan jika dilihat dari kejauhan
Tampan dan manis setelah mendekat.
-Ummu Ma’bad Al-Khuza’iyyah, tentang
Rasulullah-
Pembacaannya
terhenti tiba-tiba saat telinganya menangkap ada suara yang mengalunkan bacaan
Al-Quran. Sayup-sayup kedengaran. Dia kenal surah itu. Surah Al-Hujurat. Kepalanya
diangkat daripada buku Jalan Cinta Para Pejuang karya Salim A. Fillah di
pegangan. Menala tepat ke tempat duduk di hadapannya. Tidak syak lagi. Lelaki
merah jambu tadi sedang mengalunkan bacaan Al-Quran. Perlahan. Namun masih
sempat ditangkap oleh deria pendengarannya.
Matanya
meliar pula ke sekeliling gerabak. Dapat dikesan tingkah yang agak awkward di pandangan matanya. Ada yang
sibuk membetulkan tali beg. Ada yang sedikit terlopong sambil mata tidak lepas
daripada melihat lelaki merah jambu. Barangkali mereka tidak menyangka yang
pemuda yang kacak lagi bergaya itu akan membaca Al-Quran di dalam tren. Dia
hanya tersenyum kala melihat keadaan itu. Hadir rasa bangga dalam diri. Bukan
senang mahu ketemu anak muda yang menghidupkan hari-harinya dengan al-Quran.
Walau ke mana sahaja pasti membawa ayat-ayat cinta itu bersama. Sungguh, hari
ini dia belajar sesuatu yang bermakna daripada lelaki merah jambu itu. Tanpa
sedar, matanya terhala ke hadapan sambil bibir masih tersungging senyuman.
Kala
itu pandangan matanya bertembung dengan sinaran mata lelaki merah jambu itu
yang kini sudah memberhentikan bacaannya. Lelaki merah jambu itu menghadiahkan
senyuman lebar kepadanya sebelum meneruskan kembali pembacaannya.
Amboi!
Sesuka hati dirinya saja mahu memanggil lelaki itu sebegitu. Dia jadi malu
sendiri. Terus kepalanya kembali tunduk menatap buku di pegangan.
“Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya
sebahagian daripada prasangka itu dosa…”
[Al-Hujurat,
49:12]
“…
Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH
ialah
orang yang paling bertakwa.”
[Al-Hujurat,
49:13]