Assalamu'alaikum wbt.
Kita selalu
ingat yang susah itu suatu ujian. Sehinggakan kita terlupa yang senang juga
merupakan ujian. Apabila susah kita diuji dengan kesabaran. Apabila senang kita
diuji dengan kesyukuran.
“Sungguh unik perkaranya orang mukmin,
sesungguhnya seluruh perkaranya baik, dan itu tidaklah dimiliki kecuali oleh
orang mukmin. Apabila ia diberi nikmat, ia bersyukur, dan ini baik baginya dan
apabila ditimpa musibah, dia bersabar, dan ini baik pula baginya.”
[Hadis Riwayat Muslim]
Di saat kita
susah, amat mudah untuk kita berdoa, mengadu dan meminta ALLAH mempermudahkan
segala urusan kita. Namun di kala kita senang, sering kali kita melupakan
ALLAH. Bahkan kalimah kesyukuran pun amat sukar sekali untuk kita lafazkan.
Astaghfirullah...
Sebenarnya ujian
harta kekayaan, anak dan pangkat lebih berat untuk kita hadapi berbanding ujian
kesusahan. Apabila kita mampu memiliki segala-galanya mulalah sikap
bermegah-megah dan suka membangga diri hadir tanpa kita sedari. Tatkala kita
merasakan diri kita lebih daripada orang lain, mulalah mahu mendabik dada.
Sehinggalah sampai satu tahap, kita semakin menjauhi ALLAH dek kerana sibuk
mengejar kesenangan dunia.
ALLAH telah
memperingatkan kita berkenaan hal ini di dalam surah At-Takathur yang
bermaksud, “Bermegah-megahan akan melalaikan kamu.”
Oleh yang
demikian, kita seharusnya menyedari bahawa kita sedang diuji dengan kesenangan.
Tidak dapat tidak, kita hendaklah berusaha untuk tidak bersikap bangga diri dan
sombong. Insyaa-ALLAH sikap mazmumah itu boleh dikikis dengan cara kita
membantu gelandangan, menziarahi dan bersedekah kepada orang miskin dan
melakukan kerja-kerja amal yang lain. Dari situ kita akan sedar bahawa harta
yang kita miliki ini bukan hanya milik kita seorang. Di dalamnya ada juga milik
orang lain.
Hakikatnya hidup
di dunia ini hanyalah sementara sahaja. Untuk apa kita berpenat lelah mengumpul
harta berjuta, mengejar pangkat dan nama sehingga melalaikan kita akan
kehidupan akhirat yang hakiki lagi abadi? Akhirnya apabila nyawa ditarik dari
jasad, segala harta, anak dan pangkat akan kita tinggalkan juga. Semua itu
tidak membantu kita sedikit pun melainkan amal soleh, sedekah jariah dan ilmu
yang dimanfaatkan. Doa anak yang soleh pun belum tentu kita dapat sekiranya
hidup kita di dunia ini asyik mengejar harta semata.
Ingat duhai
sahabat, segala kesenangan yang kita miliki pada hari ini boleh saja melalaikan
kita. Saya memperingati diri saya sendiri dan semua pembaca agar sentiasa
merendah diri, tidak sombong dan bersyukur dengan nikmat kesenangan yang kita
miliki. Jangan pernah membandingkan diri kita dengan orang yang lebih senang.
Lihatlah mereka yang lebih susah daripada kita. Dari situ insyaa-ALLAH akan
hadir rasa syukur dan keinsafan dalam diri.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Lihatlah orang yang
lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu,
kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat ALLAH kepadamu.”
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]