Assalamu’alaikum wbt.
Saya ada menerima satu komen
daripada seorang pembaca bertanyakan tentang hasil yang tidak setimpal dengan
usaha yang dilakukan. Soalannya berbunyi begini.
“Assalamualaikum
kak nadzipah…
nak mintak tips atau perkongsian dari akak serba sedikit.kan kalau kita exam
tetiba jadi down lepas result exam keluar.contoh untuk orang yang dah tak tahu
nak pikir camner dah bila dia usaha habis habisan tapi result tetap down..what
to do?? sindrom amek rezult rezult teruk belajar gila2 punya”
Tak dinafikan, apabila melakukan
sesuatu, kita mestilah mengharapkan kejayaan. Apabila tibanya musim
peperiksaan, setelah berusaha bersungguh-sungguh, pastilah kita mengharapkan
kita beroleh keputusan yang cemerlang. Semua orang pun begitu. Saya juga.
Saya kira tidak ada orang yang
mahukan kegagalan. Betul tak? Lagi pula, setelah kita meletakkan sepenuh usaha
dan effort, mestilah kita lebih yakin
kejayaan pasti dalam genggaman. Dari situ, apabila kita mendapat keputusan yang
bukan seperti kita harapkan, memang perasaan kecewa, sedih, down, mahu berputus asa… pasti sahaja
akan hadir dalam diri kita.
Jadi, apa yang kita perlu lakukan
jika kita menghadapi situasi sebegini? Tak akan selamanya kita mahu berada dalam
keadaan kecewa, sedih, down dan
berputus asa kan? Jangan! Kita tidak boleh sesekali mengikut emosi dan rasa
kecewa itu. Life must go on. It is not the end of the world!
Baru semalam, saya ada terbaca tentang
Famous Failures. Albert Einstein, Michael Jordan, Walt Disney, Steve Jobs,
Oprah Winfrey dan The Beatles antara individu yang pernah gagal dan menjadi
orang yang berjaya setelah mereka bangkit dari kegagalan.
“If you've never
failed, you've never tried anything new.”
Iya! Sekiranya anda tidak pernah
gagal, bermakna anda tidak pernah mencuba sesuatu yang baharu!
Actually,
failure is nothing but another chance to do it over again and to do it better…
Jangan pernah mengganggap yang
kegagalan yang awak hadapi itu suatu kelemahan, jadikan kegagalan itu sebagai booster atau pemangkin untuk awak
menjadi lebih berjaya. Gagal sekali, tidak bermakna gagal untuk selamanya,
bukan? Yang penting, jangan pernah berhenti berusaha. Berusaha, berusaha dan
berusaha lagi sehingga kejayaan menjadi milik kita.
Mungkin kali ini result kita teruk. Tapi bukan ke masih
ada lagi exam yang akan kita duduki?
Jadi, pastikan kita improved. Pastikan yang exam selepas ini kita tidak akan gagal lagi. Pastikan ada
peningkatan.
Perlu diingat, usaha kita sahaja
sebenarnya bukanlah penentu kepada kejayaan kita. Mungkin saja kejayaan yang
pernah kita kecapi sebelum ini adalah hasil daripada doa ibu bapa, keluarga dan sahabat
handai kita. Sebenarnya usaha kita itu hanya asbab sahaja.
Usaha, ikhtiar, doa dan tawakal. Mungkin sahaja kita terlampau menumpukan perhatikan kepada usaha dan ikhtiar kita
semata. Sehinggakan kita lupa untuk berdoa dan bertawakal. Boleh jadi, itu
sebabnya kejayaan tidak mampu kita miliki buat masa sekarang.
Mungkin sahaja dalam pada kita
sibuk study hard and study smart
untuk menghadapi peperiksaan, kita mengabaikan tanggungjawab kita sebagai hamba
ALLAH dan anak. Kita melewat-lewatkan waktu solat. Kerana apa, mahu habiskan
dulu silibus untuk exam. Ibadah kita
tidak sekhusyuk sebelumnya kerana fikiran tertumpu kepada topik untuk
peperiksaan. Kita tidak menghiraukan ibu dan bapa kita kerana sibuk belajar.
Tidak menolong mereka seperti kebiasaannya. Sedangkan, redha ALLAH terletak
kepada redha ibu bapa kita. Habis, kalau begitulah sikap kita, bagaimana
mungkin kejayaan mahu mendampingi kita?
Boleh jadi, tawakal kita selama ini
bukanlah tawakal yang sebenar-benarnya tawakal pun. Apa itu tawakal?
Tawakal
itu maksudnya menyerah diri kepada ALLAH dalam melaksanakan sesuatu perancangan
bersandarkan kepada kekuatan-NYA dalam menjayakan sesuatu pekerjaan. Dalam kata
lain, tawakal itu kita berserah diri hanya pada ALLAH dan hanya mengharapkan
perlindungan ALLAH semata-mata.
Cuba kita lihat balik, tawakal
kita. Adakah tawakal kita bersyarat? Contohnya,
“Insyaa-ALLAH saya sudah tawakal ni. Tapi kalau
boleh, biarlah dapat A subjek ni…”
“Doktor, saya tawakal saja. Tapi… tak naklah Dr.
Rasydan yang supervise, dia garang…
huhu.”
Adakah begitu tawakal kita?
Jika seperti itulah tawakal kita selama
ini, makanya tidak mustahillah kejayaan masih takut-takut untuk mendampingi
kita. Kita tidak menyerahkan sepenuhnya kepada ALLAH pun. Tawakal kita
bersyarat. Tidak boleh begitu. Sepatutnya kita kena yakin yang apa pun
keputusan yang kita dapat selepas ini, insyaa-ALLAH, itulah yang terbaik untuk
kita. Kalau berjaya, syukur alhamdulillah. Kalau gagal pun, alhamdulillah. Pasti
ada hikmahnya yang kita tidak dapat lihat sekarang. Yakin dan percayalah pada
ketentuan ALLAH. Walau hakikatnya pahit untuk ditelan, yakinlah ada manis di
penghujung perjalanan. Insyaa-ALLAH.
Yang penting, jangan pernah
berputus asa dan jangan berhenti berdoa.
“...dan janganlah kamu berputus asa dari
rahmat ALLAH. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat ALLAH,
hanyalah orang-orang kafir.”
[Yusuf, 12:87]
“apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu
(Muhammad) tentang AKU, maka sesungguhnya AKU dekat. AKU kabulkan
permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-KU. Hendaklah
mereka itu memenuhi (perintah)-KU dan beriman kepada-KU, agar mereka memperoleh
kebenaran.”
[Al-Baqarah, 2:186]
Saya pun pernah aje gagal. Perlu repeat balik paper. Masa
dapat result tu memang rasa down
sangat-sangat. Padahal, bukan saya tidak berusaha. Bukan saya tidak study. Tapi, saya ingatkan balik pada
diri saya yang mungkin ada hikmahnya saya gagal kali ini. Dan gagal kali ini
tidak bermakna saya akan gagal untuk selama-lamanya. Mungkin saja ALLAH mahu
mengingatkan saya agar tidak terlalu yakin dengan segala usaha yang saya
lakukan. Bukan usaha saya yang menentukan berjaya atau gagalnya saya. ALLAH-lah
yang memberikan rezeki. DIA-lah yang menentukan segala-galanya.
Walau
bagaimanapun, usaha saya itulah yang menentukan sikit atau banyaknya ganjaran
pahala yang saya akan dapat. Kalau usaha saya sedikit, maka sikitlah ganjarannya.
Kalau banyak, maka banyaklah.
“Dan (ingatlah) ketika
suatu umat di antara mereka berkata, “Mengapa kamu menasihati kaum yang akan
dibinasakan atau diazab ALLAH dengan azab yang sangat keras?” Mereka
menjawab, “Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada
Tuhanmu, dan agar mereka bertakwa.””
[Al-A'raf, 7:164]
Jadi
bersangka baiklah dengan ALLAH. DIA tidak menjadikan sesuatu itu dengan
sia-sia. Pasti ada hikmahnya. Kita sahaja yang tidak dapat menanggapi hikmah di
sebalik apa yang berlaku.
Bergembiralah
walaupun kita gagal. Kerana apa? Kita gagal setelah kita berusaha. Bukannya
kita gagal kerana tidak berusaha. Mungkin sahaja, buat masa ini, bukan rezeki
kita untuk berjaya. Mungkin juga, kejayaan yang lebih besar sedang menanti kita
di hadapan sana.
Nak
rasa down, sedih, kecewa… tidak
salah. Cumanya jangan terlampau terikut-ikut dengan segala rasa down itu. Bangkitlah kembali dari
kegagalan. Percayalah, orang yang gigih dan tekun berusaha, kejayaan pasti akan
menjadi miliknya. Tinggal, cepat atau lambat sahaja. J
Insyaa-ALLAH,
kita sama-sama cuba untuk berlapang dada dalam menerima setiap nikmat dan
musibah kurniaan Ilahi. Kerana… Setiap nikmat dan musibah yang diterima itu
juga merupakan tanda cinta ALLAH Yang Satu kepada para hamba-NYA.
“Sungguh unik
perkaranya orang mukmin, sesungguhnya seluruh perkaranya baik, dan itu tidaklah
dimiliki kecuali oleh orang mukmin. Apabila ia diberi nikmat, ia bersyukur, dan
ini baik baginya dan apabila ditimpa musibah, dia bersabar, dan ini baik pula
baginya.”
[Hadis Riwayat Muslim]