Thursday, September 16, 2010

Berubah 2


“Fuuuhhh… Akhirnya!” Peluh di dahi diseka dengan lengan. Dibaringkan tubuhnya yang langsing itu di atas katil. Berdetup-detap bunyinya saat dia meluruskan badan.
             Dikeluarkan telefon bimbit daripada poket skinny jeansnya. Jemarinya bermain-main di skrin telefon mencari nombor yang mahu didail.
             “Hello, Farhah! Makan jom!”
             Dia diam seketika mendengar apa yang diperkatakan oleh Farhah di corong sebelah sana sambil mengangguk-angguk.
             “Okey! Kita pun tak solat lagi ni. Jumpa kejap lagi eh!” Telefon diletakkan di sisi. Dia bangkit dari baringnya sambil menggeliat malas. Dipandang sekilas jam di pergelangan tangan kiri. Jarum pendek sudah menunjukkan hampir ke angka tiga. Kena solat Zohor ni. Nanti terbabas pula.
             Tadi sewaktu dia sedang memasang cadar, kak Maryam ada mengajaknya untuk solat bersama. Memikirkan yang dia belum habis mengemas, dia menyuruh kak Maryam solat dahulu. Sekarang ini sudah hampir dua jam berlalu. Kak Maryam pun sudah keluar kembali. Mahu ke E-Mart. Mahu membeli toiletries katanya. Ada juga diajak dirinya tadi. Sekali lagi dia menolak. Lagipun dia sudah berjanji mahu keluar makan bersama Farhah.



             “Jom pergi makan di Yu-ga-nae. Laparnya.” Khai mencadangkan tempat makan kepada Farhah sambil menggosok-gosok perutnya.
             “Jom!”
             Mereka berjalan beriringan menuju ke arah pintu belakang universiti sebelum melintas jalan besar menuju ke arah restoran berasaskan nasi goreng yang dicadangkan Khai tadi.
             “Dah tahu siapa room-mate Khai?” Farhah bertanya setelah mereka memesan makanan.
             “Kak Maryam.” Khai menjawab perlahan sambil bermain-main dengan chopstick di tangannya. Kemudian barulah dia mengambil kimchi di dalam piring sebelum mengunyahnya perlahan.
             “Oh.” Melihat kepada reaksi Khai, Farhah tidak mahu mengulas lebih lanjut. Dia tahu sangat yang Khai tidak berapa suka dengan kak Maryam. Apa salah kak Maryam pun dia tidak tahu. Dilihatnya kak Maryam memang selalu sahaja berusaha untuk berbual dengan Khai setiap kali dia berkunjung ke rumah mereka sewaktu di pengajian bahasa dahulu. Cuma Khai sahaja yang acuh tidak acuh melayan bicara kak Maryam. Namun selama dia mengenali kak Maryam, tidak pernah dia mendengar rungutan atau apa-apa komen daripada mulut kak Maryam mengenai layanan Khai terhadapnya itu.
             “Farhah pula sebilik dengan siapa?” Khai mula mengubah topic perbualan. Nampak benar yang dia tidak selesa.
             “Kita sebilik dengan kak Nia. Kami berdua saja pelajar Malaysia di bilik tu. Yang lain semuanya pelajar Korea.” Ceria sahaja suara Farhah. Pada mulanya dia ingatkan dia seorang sahaja pelajar Malaysia yang akan menjadi penghuni bilik 606. Rupa-rupanya kak Nia juga sebilik dengannya. Alhamdulillah. Dia memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH.
             “Oh. Okeylah tu. Eh, kak Nia tu kawan baik kak Maryam kan?”
             “Ha. Dialah tu.”
Jeda. Masing-masing asyik memerhatikan pelayan restoren memasak nasi goreng seafood di hadapan mereka. Semerbak baunya. Khai menelan liur sendiri. Tidak sabar mahu menjamah nasi goreng seafood ini. Bebola matanya menangkap senyuman nakal di bibir Farhah. Dijungkitkan keningkan bertanyakan kenapa.
Farhah bersuara selepas pelayan berlalu pergi. “Tahu pula Khai yang kak Maryam dan kak Nia itu berkawan baik ya.” Diangkat-angkatkan keningnya beberapa kali tanda mahu mengusik. Melihat kepada sikap dan layanan Khai yang agak hambar terhadap kak Maryam itu, sungguh dia tidak menyangka yang Khai ada juga mengambil tahu mengenai diri senior mereka itu.
             “Eh…mestilah tahu. Dah selalu sahaja kita tengok mereka ke mana-mana pun berdua. Mestilah mereka itu berkawan baik.”
             “Ohoo…” Bibir Farhah membulat. Khai ini memang seorang yang pemerhati. Itu kesimpulan yang Farhah dapat buat melihat kepada tingkah laku Khai itu.
             “Sepatutnya kak Nia sebilik dengan kak Maryam kan? Lepas tu kita berdua pula sebilik. Kan?”
             Khai kembali bersuara setelah selesai mengunyah nasi goreng. Dia menunggu Farhah menghabiskan kunyahannya. Mahu mendengar apa kata Farhah berkenaan komennya itu.
            “Tak apalah, Khai. Pihak asrama yang menyusun setiap penghuni bilik tu. Bukan kita boleh buat apa-apa pun. Insyaa-ALLAH, adalah hikmahnya tu. Kita tak tahu kan? Hari ini kita masih tidak nampak hikmah dan kebaikannya. Mungkin suatu hari nanti, kita boleh cakap, “Oh, ini rupanya hikmah kita sebilik dengan kakak-kakak ni.””
             Farhah memandang tunak pada wajah Khai. Mahu melihat adakah Khai mampu menerima pendapat dan pandangannya itu. Dia tahu hati Khai ini lembut jika kena dengan caranya. Hampir setahun serumah dengan Khai, dia sudah mampu membaca setiap gerak-geri dan reaksi gadis manis itu.
             Senyuman dan anggukan Khai melegakan hatinya. Sekurang-kurangnya sekarang ini Khai sudah boleh menerima yang dia akan tinggal sebilik bersama kak Maryam untuk satu semester ini. Harapnya perhubungan mereka akan membaik selepas ini. Bagi pihak kak Maryam tiada masalah rasanya. Cuma Farhah risaukan penerimaan Khai. Mahu dikatakan Khai tidak menyukai kak Maryam itu tak adalah. Cumanya apa yang dia perasan Khai agak tidak senang dan tidak selesa untuk berbual mesra dengan kak Maryam. Bukan dengan kak Maryam sahaja sebenarnya. Khai akan bereaksi sedemikian dengan semua kakak-kakak yang bertudung labuh. Mungkin tidak biasa.
             Perasaan kurang senang itu sahaja yang Farhah tidak dapat tebak daripada hati Khai. Setakat ini dia tidak berani lagi bertanya secara bersemuka dengan Khai. Harapnya suatu hari nanti dia mempunyai kekuatan untuk bertanyakannya. Itu tekad yang Farhah sematkan di dalam hatinya.
             “Kenapa pandang kita macam tu, Farhah?” Berkerut dahi Khai. Tadi dia khusyuk sangat menghadap makanan yang terhidang. Maklumlah seharian tidak jumpa makanan. Hanya sempat minum sekotak susu sahaja untuk mengalas perut pada awal pagi tadi. Tenaga yang sudah banyak habis untuk mengangkat dan mengemas barang tadi perlu dikembalikan semula.
             “Tak ada apa-apalah. Seronok tengok Khai makan. Hihi.” Laju sahaja Farhah menggeleng-gelengkan kepalanya. Tak sangka pula dia termengelamun di hadapan rezeki sambil merenung Khai pula tu! Manalah Khai tidak pelik melihat dirinya. Huhu.

No comments: