“On.”
“Kalau macam tu lepas asar kat tempat biasa ek.”
“Okey.”
“Lagi bagus kalau letak insya-ALLAH lepas okey tu.”Senyum.
Erk? Terkena aku sebijik. Hambik engkau! “ Insya-ALLAH.”Sengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Jumpa kat padang.Assalamu’alaikum.”Tangan diangkat dan terus berlalu.
Salam hanya dijawab di dalam hati.Masih tidak biasa dengan budaya salam itu.Matanya hanya memandang langkah Aqil yang semakin menjauh.
Masuk ke bilik terus dia menghadap komputer. Di cari id orang yang diingini. “Online ke tak Khai ni.Aha!”Terus diklik id itu.
AF_zie:Weh..malu giler tadi.
I’m_khai:asal?
AF_zie:mcm kena lempar dgn bola hoki tu ke muka.
I’m_khai:y?
AF_zie:aqil tu la.boleh dia ckp… “lagi bagus kalau letak insya-ALLAH lepas okey tu.”
I’m_khai:hahaahahaha….(dh gelak guling2 dh ni)
Af_zie:dia ni..org malu tau…blh gelak plk.
I’m_khai:lain kali ikut la ckp aqil tu.
AF_zie:haila…haila…
Bidai dikirai naik ke atas dengan kasar. Cahaya dari luar terbias masuk
memenuhi seluruh ruang bilik. Tingkap juga dibuka sedikit. Serentak dengan itu,
pelbagai bunyi menerobos masuk ke gegendang telinga. Semilir bayu dingin
membelai tubuh. Terasa segar dan nyaman.
Pintu almari dibuka lalu dia mencapai sehelai jaket. Terus disarungnya
jaket ke tubuhnya yang langsing itu. Swatch di pergelangan tangan kiri dijeling
sekilas. Sudah pukul 8.30 pagi.
Kak Maryam merangkap teman sebiliknya seawal jam lapan pagi tadi sudah
keluar. Katanya mahu turun bersarapan di dewan makan asrama terlebih dahulu
sebelum ke kelas. Waktu itu Khai baru sahaja bangun dari tidur. Usai sahaja
solat Subuh sekitar jam empat pagi tadi dia kembali berlingkar di atas katil.
Ada juga kak Maryam mengajaknya membaca al-Ma’thurat bersama-sama denganya pagi
tadi, tapi dia menolak sopan dengan mengatakan bahawa dia mengantuk dan mahu kembali
menyambung tidur. Terus sahaja dia memanjat katil sambil menarik selimut tebal
menutupi hampir keseluruh badannya.
Bangun Subuh pun kak Maryam yang kejutkan sebenarnya. Apa yang dia
perasan, kak Maryam bangun belum pun masuk waktu Subuh lagi. Pagi-pagi
sebelumnya pun begitu. Walaupun baharu masuk minggu kedua dia tinggal sebilik
dengan kak Maryam, dia bagaikan sudah dapat menghafal rutin harian seniornya itu. Bangunnya pada awal pagi.
Bukan itu sahaja, dia juga sudah memegang jawatan ‘warden’ tidak rasmi kepada
penghuni bilik 504 itu. Apa tidaknya, setiap pagi pasti sahaja pintu setiap bilik
akan diketuknya bagi mengejut semua orang yang sedang enak berlingkar di dalam
selimut tebal untuk bangun menghadap Ilahi. Khai lagilah. Sudahlah sebilik. Kak
Maryam siap menunggu dia untuk berjemaah bersama lagi!
Oh, bagaimana Khai boleh tahu yang kak Maryam bangun awal lagi? Err…
sebenarnya Khai sudah tersedar kala kak Maryam menuruni katil double decker itu lagi. Bunyi berkeriuk
dari katil atas selalu sahaja membuatkan Khai tersedar dari lena. Tetapi…biasalah.
Dia saja bermalas-malasan di atas katil. Macamlah boleh masak tidurnya itu jika
diperam lama-lama.
Suara kak Maryam yang memanggil namanya untuk mengejutkannya bangun
memang tidak dihiraukannya. Dibuat entah tidak endah sahaja. Waktu Subuh masih
panjang lagi fikirnya. Nanti lagi tiga puluh minit nak habis waktu dia
bangunlah. Alahai, Khai ini. Suka sangat melewat-lewatkan waktu solat. Padahal
solat fardhu pada awal waktu itu bukankah lebih disukai ALLAH.
Saat jari jemari kak Maryam menyentuh hujung jemari kakinya, Khai
mengaku kalah. Tak tahan sejuk! Tidak cukup sekadar memanggil nama kak Maryam
bertindak mengejutkan Khai dengan menyentuh hujung kakinya pula. Mana tidaknya.
Kak Maryam sudah siap solat qabliah Subuh pun Khai masih berselubung lagi.
Sedangkan sedari kak Maryam masuk ke bilik setelah selesai mengambil wudhuk
sehinggalah sebelum dia mengangkat takbir untuk solat sunat, mulutnya asyik
berkicau memanggil nama Khai. Akhirnya dapatlah dia merasa solat Subuh
berjemaah pada setiap pagi sepanjang dua minggu ini.
Kedengaran bunyi dari laptopnya
yang dibiarkan terbuka sejak tadi. Habis berterbangan segala ingatannya fasal
hal pagi tadi. Terus dihalakan langkah kaki ke meja study tempat laptopnya
diletakkan. Terpapar pop-up Yahoo! Messenger
di dada laptop. Segaris senyuman
terukir di bibir saat bebola matanya menangkap nama gerangan yang menegurnya
itu. Dilabuhkan duduknya di atas kerusi lalu jari jemarinya berlari pantas di
atas papan kekunci komputer ribanya itu menghasilkan patah-patah perkataan buat
tatapan si penegur di balik sana.
BUZZ!!!
AFaizi: Oit…tengah buat apa tu?
I’m_khai: Wa’alaikumussalam
*tongue*
AFaizi: Nak
perlilah tu…*rolling eyes*
I’m_khai: Ni
apa kes tegur pagi2 buta ni?
AFaizi: Nak
tanya khabar kawan baik pun tak boleh ke?
I’m_khai: Bernafas
lagi ni ha… OK la, gotta go… Ada
kelas..
Tanpa sempat menunggu balasan
daripada kawan di sebelah sana, butang pangkah pada pop up Yahoo! Messenger itu ditekan. Terus perbualan ringkas tadi
menghilang dari pandangan.
Nanti balik kelas boleh sambung sembang lagi. Bukan dia tidak tahu yang
nanti Faizi akan menegurnya lagi. Sudah kenal sangat dengan insan yang bernama
Faizi itu. Tidak sah jika tidak menegurnya lewat laman Yahoo! Messenger pada setiap
hari. Pantang ada masa terluang, pasti anak muda itu akan menegurnya. Tidak
kira masa. Pagi, petang, malam. Ikut suka hati dia saja.
“Pagi-pagi lagi dah tegur orang. Tak ada kelas ke budak Faizi ni.” Khai
mengomel sendirian. Tangannya dipanjangkan ke arah susunan buku-buku tebal di
atas rak buku. Dicapainya buku Calculus yang berkulit tebal berwarna
keperang-perangan itu. Masa untuk ke kelas, Khai!
“Khai ni pun. Tak menyempat.” Dia sedikit tidak berpuas hati dengan si
teman yang menamatkan perbualan mereka sebelum sempat mereka berborak lanjut.
Matanya terkelip-kelip menghadap skrin LCD yang besar gedabak itu. Iyalah,
nak main game, kenalah beli desktop instead of laptop. Iya tak?
Senang. Besar. Cakap saja permainan video apa yang dia tak main. DOTA itu
kira pejam mata saja dia boleh menang. Tak kisahlah orang mahu kata dia riak ke
apa ke. Sudah itu realitinya.
“Faizi! Buat apa lagi depan PC tu? Tak mahu pergi ke kelas ke?” Sergahan
Hazril yang sudah siap memakai kasut itu mengejutkan dirinya. Boleh pula dia
termengelamun di hadapan komputernya itu. Haih!
Spontan dia menepuk dahi. “Eh, aku pun ada kelas juga pukul 9 ni.”
Terus ditariknya sling bag Converse
yang elok tergeletak di atas meja study.
Bergegas dia ke muka pintu setelah membetulkan letak duduk beg di bahu. Kasut
Adidas kesayangannya itu disarungkan ke kaki dan terus menghilang di balik
pintu.
Beginilah mereka. Yahoo! Messenger menjadi medium perantara mereka
berkomunikasi. Setiap hari pasti mereka akan berborak bertukar-tukar cerita
aktiviti harian masing-masing. Segalanya bermula sewaktu mereka masih mengikuti
pengajian bahasa Korea di Language Education Institute, Seoul National
University lagi. Faizi sering menegur Khai lewat ruang perbualan Yahoo! Messenger
untuk bertanyakan perihal tugasan bahasa Korea.
Sebenarnya bukan Faizi seorang sahaja yang berbuat sedemikian. Ramai
lagi kawan-kawan satu batch mereka yang
melakukan perkara yang sama. Khai ini memang selalu sahaja menjadi rujukan
rakan-rakan terutamanya berkenaan bahasa Korea. Sering sahaja rakan-rakan satu batch meminta Khai memeriksa karangan
mereka. Tambahan pula Khai pernah menerima anugerah kecemerlangan bahasa Korea
sebelum ini. Dia merupakan satu-satunya pelajar Melayu yang mendapat anugerah
berkenaan. Selalunya hanya pelajar Cina sahaja yang memonopoli anugerah
tersebut. Sejak dari itu, ramailah yang mencari Khai untuk bertanyakan apa
sahaja yang mereka tidak faham mengenai pelajaran bahasa Korea. Faizi juga
tidak ketinggalan.
Kini, pengajian bahasa sudah pun berlalu. Masing-masing sudah bertebaran
ke seluruh pelosok Korea Selatan bagi menyambung pengajian sarjana muda dalam
bidang kejuruteraan pula. Faizi menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan
Mekanikal di Donyang Mirae University manakala Khai pula memilih Sungkyunkwan
University bagi menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan Kimia. Walau
bagaimanapun, tamatnya pengajian bahasa tidak menamatkan kebiasaan mereka yang
satu itu. Perkara itu bagaikan sudah menjadi rutin harian mereka pula. Terasa seolah-olah
tidak lengkap kitar hidup mereka seandainya tidak berhubung dalam sehari.
“Faizi, seorang saja? Hazril mana?”
Langkahnya yang panjang-panjang itu
diperlahankan saat telinganya menangkap suara seseorang menegur dari belakang.
Belum sempat dia berpaling mahu melihat gerangan yang menegurnya itu, korneanya
sudah melihat kelibat Aqil yang kini berdiri di sampingnya.
“Hazril dah keluar dah. Ingat nak
kejar dia tadi.”
Kini mereka sudahpun menapak
beriringan menuju ke universiti yang jaraknya hanya mengambil masa dalam
sepuluh minit berjalan kaki sahaja itu. Tidaklah jauh manapun jarak Joyang
Officetel yang menjadi kediaman mereka dengan tempat pengajian.
“Kita saing sama-samalah kalau
macam tu.”
“Jom, cepat! Lintas!”
Faizi menggamit tangan kepada
Hazril supaya ikut sama melintas jalan. Mereka berlari-lari anak melintasi
jalan besar menuju ke pintu gerbang universiti setelah menoleh ke kiri, ke
kanan dan ke kiri kembali.
No comments:
Post a Comment