Kunci di jari telunjuk tangan kanannya
diputar-putarkan mengikut arah jam. Lega. Di mindanya sudah merangka-rangka aktiviti
yang perlu dibuat selepas ini. Mula-mula dia perlu membawa naik semua
barang-barangnya ke bilik. Selepas itu dia mahu mengemas barang-barang terlebih
dahulu sebelum keluar makan. Pagi tadi hanya sempat minum sekotak susu coklat
sahaja untuk mengalas perut. Dibeleknya nombor yang tertera pada kunci. Mahu
memastikan yang dia tidak tersilap bilik.
Langkah dihayunkan pantas ke arah
lif sambil mengheret sebuah bagasi sederhana besar. Ditekannya butang lif untuk
naik ke atas. Alah…lif baru sahaja naik. Keluhan dilepaskan. Lama lagilah
jawabnya kena tunggu ni. Disandarkan bahunya di sebelah pintu lif. Matanya
merenung lama pintu untuk laluan ke tangga kecemasan. Dia berkira-kira sendiri.
Sama ada mahu menuju ke bilik dengan menaiki tangga sahaja atau mahu
menggunakan lif. Dipandangnya pula bagasi di sisi. Nak tunggu lif ke nak naik
tangga. Nak naik tangga ke nak tunggu…
Terasa bahunya dicuit seseorang.
“Lif!”
Serentak itu dia mengurut dada. Kus
semangat! Terkejut. Terus terpacul perkataan yang berlegar-legar di mindanya
tadi. Mujur tidak melatah perkara yang pelik-pelik.
Mengekek si teman melihat riaknya
terkejutnya. Dibulatkan matanya tanda dia memarahi si teman.
“Hihi. Lawaklah mimik muka Khai
tadi.” Farhah ketawa sambil sebelah tangannya menekup mulut.
“Buatlah lagi lain kali!”
“Sorry…” Farhah mengerdip-ngerdipkan matanya beberapa kali. Buat
muka comellah kononnya tu. Tapi memang nampak comel pun…Hee!
“Accepted!” Mana tahan bila Farhah sudah buat gaya comel
sebegitu.Tak sanggup nak marah lama-lama.
“Khai dapat bilik nombor berapa?
Kita dapat bilik 606C” Farhah bertanya sambil menunjukkan nombor pada kunci
yang dipegangnya.
Tadi Farhah menyuruhnya pergi
terlebih dahulu setelah siap mendaftar. Tidak perlu menunggu dirinya katanya.
“504A. Oh, tak samalah kita. Alah…sedihnya…”
Khai bersuara sayu. Memang dia tahu Farhah tidak sebiliknya dengannya sewaktu
mendaftar tadi. Ingatkan dapatlah berjiran. Rupa-rupanya mereka juga berbeza
aras. Maklumat yang baharu diperolehinya itu memang telah memusnahkan segala
harapannya sebelum ini. Terus suaranya bertukar menjadi sayu dan tidak
bersemangat.
“Tak apalah. Nanti kita pergi lawat
Khai selalu eh. Lagipun kita sebilik dengan orang Korea.” Kali ini Farhah pula
yang bersuara sayu.
Khai menepuk-nepuk bahu Farhah
berniat mahu menenangkan walang hati Farhah. “Nanti selalu-selalulah datang
bilik kita ya!” Khai menceriakan suaranya. Melihat wajah Farhah yang sudah
mampu mengorakkan sedikit bunga senyum membuatkan hatinya lega.
Oh. Farhah ini memang akan
membahasakan dirinya ‘kita’ ketika bercakap. Tidak kiralah dengan siapapun dia
berbicara pasti sahaja dia membahasakan dirinya ‘kita’. Tidak biasa katanya
menggunakan ‘aku-kau’ seperti kebanyakan orang. Sementelah sejak kecil lagi
memang dia dididik untuk tidak menggunakan ‘aku-kau’ walau dengan sesiapa
sahaja. Agak kasar penggunaan itu bagi dirinya. Khai pun sekarang ini sudah
terikut-ikut menggunakan ‘kita’ apabila bercakap dengan Farhah.
“Eh, lif dah sampai. Kita naik dulu
ya, Farhah. Nanti kita pergi makan sama eh.” Khai melambai-lambaikan tangannya
kepada Farhah tanda berpamitan. Kemudian terus dia memboloskan diri ke dalam
perut lif bersama pelajar yang lain sambil mengheret bagasinya tadi.
“Okey!” Farhah menjawab sebelum dia
juga melangkah ke arah pintu lif yang baru sahaja tiba.
Tombol pintu bilik yang tertera
nombor 504 dibuka. Dilihatnya sudah ada beberapa buah kotak di ruang tengah
bilik. Dihalakan langkah kaki ke bilik 504A pula. Dibuka perlahan. Matanya
menjamah setiap ruang bilik itu. Meja yang berhampiran dengan pintu bilik sudah
pun siap dikemas. Katil double decker pada
bahagian atas juga sudahpun siap bercadar. Nampaknya teman sebiliknya sudahpun
siap mengemas barang. Sewaktu mendaftarkan diri tadi dia terlupa untuk
memeriksa siapakah penghuni bilik 504 ini. Jadi sekarang ini dia tertanya-tanya
sendiri, siapakah gerangan teman sebiliknya ini.
Bagasi yang dibawanya tadi
diletakkan di tepi dinding supaya tidak menghalang laluan. Dilepaskan lelah
sekejap dengan melabuhkan duduk di atas katil yang tidak bercadar itu. Bagus
juga teman sebiliknya tidak ada sekarang ini. Bolehlah dia mengemas tanpa
gangguan.
Khai terus bangkit. Dia mahu
mengangkut barang-barangnya yang masih berada di bawah. Cepat dia kemas
barang-barang, cepatlah dia boleh keluar makan nanti.
“Eh, ada orang rupanya.”
Belum sempat Khai membuka pintu
bilik untuk keluar, sudah ada orang lain yang membuka pintu tersebut dari
sebelah luar.
“Kak Maryam.”
“Khai.” Kak Maryam menghulurkan
tangannya untuk bersalaman. Khai menyambut tangan yang dihulurkan kak Maryam
tadi. Oh, bukan setakat bersalaman tangan sahaja tahu! Siap cium pipi kanan dan
kiri lagi!
“Kita sebiliklah nampak ya.” Kak
Maryam tersenyum ramah. Beg plastik yang diletakkan di sisi tadi diambil
kembali sambil memberi ruang untuk Khai keluar.
Khai hanya menayangkan senyum yang
tidak siap. Dia tidak sangka sebenarnya yang dia akan sebilik dengan kak
Maryam! Teman sebilik lagi!
Sebenarnya asrama yang mereka
tinggal ini menempatkan enam orang pelajar sebilik. Di dalam bilik besar itu
pula terdapat tiga buah bilik kecil. Maknanya setiap bilik kecil itu akan
dihuni oleh dua orang pelajar. Ada bilik A, B dan C. Jadi kak Maryam ini bukan
sahaja sama bilik dengan Khai tetapi sama bilik kecil juga dengan dirinya.
Oh! Khai tidak tahu mahu
menunjukkan reaksi yang bagaimana. Sungguh dia terkejut. Tidak dapat
dibayangkan bagaimana dia mahu tinggal sebilik dengan kak Maryam sepanjang
tempoh satu semester ini. Sementelah selama ini dia sering sahaja mengelak
untuk berborak dengan kak Maryam walaupun seniornya
itu kerap kali ke rumahnya sewaktu dia masih di pengajian bahasa dulu.
“Saya turun dulu ya kak Maryam. Nak
ambil barang di bawah.”
“Okey.” Senyuman masih lagi belum
hilang dari ulas bibir kak Maryam.
Dia menganggukkan sedikit sebagai
tanda hormat sebelum menghilang di sebalik pintu bilik.
No comments:
Post a Comment