Suasana yang senyap dan hening di perpustakaan pada pagi ini benar-benar memberikan mood untuk Bushra Alia menyiapkan assignmentnya. Seawal jam 9 pagi lagi dia sudah terpacak di hadapan bangunan perpustakaan kebanggaan warga UIAM Kampus Pahang ini.
Tanpa menunggu masa yang lama, dia terus menghalakan kakinya ke tempat yang selalu diduduki setiap kali dia ke perpustakaan tersebut. Tempat yang agak tersorok daripada pandangan. Tiada gangguan orang lalu-lalang dan bebas dari suara-suara perbualan. Tenang dan damai. Paling penting, dia boleh memberikan sepenuh perhatian kepada kerjanya yang bertimbun itu.
“Assalamu’alaikum.Alia…Maaf ganggu” Tiba-tiba keheningan tadi dipecahkan oleh satu suara garau. Lantas dia mendongakkan wajahnya mencari gerangan yang menegur. Keningnya diangkat sebagai tanda pertanyaan. Malas hendak bercakap. Heh. Namun salam yang diberikan tetap berbalas. Bukankah memberi salam itu sunat, manakala menjawab salam itu pula wajib? Sempat lagi hatinya berbalas kata.
“Dah siap dah tutor Dr.Syamsul?” Lelaki yang menegurnya tadi terus menyatakan tujuan dia mengganggu.
“Dah. Ada dalam fail hijau tu.” Serentak itu diunjukkan tangan ke arah timbunan fail dan buku di sebelah kirinya.
“Nak tengok boleh?” Bunyi macam takut-takut sahaja lelaki itu bertanya. Yelah mahunya tidak takut. Nak tengok kerja orang ni. Kena la sopan sikit kan.Tak gitu?
“Ambil je la Qayyum.” Dengan malas dia bersuara. Sebentar kemudian dia sudah kembali tenggelam dengan buku di hadapannya. Sesekali diselak helaian kertas pada buku tebal yang tersadai di hadapannya. Sekejap-sekejap dilarikan pensel mekanikalnya di atas kertas kajang membentuk bait-bait kata. Mulutnya terkumat-kamit membaca selari dengan tangan yang laju berlari di atas kertas.
Sejam berlalu. Akhirnya siap juga assignmentnya itu. Alhamdulillah. Dia meregangkan tangannya. Uish…baru terasa lenguhnya. Tengkuk pun sudah terasa sakit. Mana tidaknya, sedari tadi asyik menunduk sahaja. Ketika dia ingin mengemas buku-buku dan mengisi kertas-kertas kajang di dalam fail, baru dia perasan rupa-rupanya lelaki tadi masih di situ. Dia nampaknya seperti sedang tekun membelek helaian-helaian kertas di hadapannya.
“Okey dah. Thanks ya.” Ujar lelaki itu seraya tersenyum. Kemudian dia bangun dari duduknya sambil menghulurkan fail hijau tadi kepada Syakira.
“Pergi dulu. Jumpa kat kelas esok ye.” Kata lelaki itu lagi girang.
Apa ke peliknya dia ni? Macamlah dah lama tak jumpa. Hari-hari kot jumpa kat kelas tu. Berkerut-kerut muka Alia memikirkan sikap rakan sekelasnya itu. Sememangnya mereka satu course dan satu kelas. Mereka selalu juga satu group dalam banyak kelas yang mereka hadiri.
*****
Qayyum melangkah masuk ke biliknya dengan langkah yang longlai. Alamak aih…Penatnya. Tidur la kejap. Terus dia memanjat katil dan merebahkan tubuhnya di atas katil. Baru sahaja dia hendak melelapkan mata, kedengaran suara-suara yang bertingkah di luar biliknya.
Apa pulak yang kecoh-kecoh ni? Aku nak tidur pun tak senang. Rungutnya di dalam hati. Lantak koranglah. Yang penting aku nak tidur. Dia kembali menutup matanya.
“Weh..Bak la sini gambar tu. Kedekutlah kau ni.” Kedengaran suara Syafiq.
“Mana boleh. Aku dah janji dengan dia tak nak tunjuk gambar ni kat siapa-siapa la.” Room-mate Qayyum si Hafiz pula bersuara.
“Takde-takde. Aku yang tukang ambil gambar tau. Sah-sahlah aku boleh tengok.” Syafiq masih tidak mahu mengalah.
“Ish..dia ni!” Hafiz sudah bengang.
Sudahnya berlaku adegan kejar-mengejar di dalam bilik yang tidak seluas mana itu. Bergegar rasanya bangunan asrama itu dengan aksi mereka yang jelas keanak-anakan itu.
“Hafiz…bak sini!” Syafiq mendekati Hafiz yang sudah terperangkap di penjuru bilik berhampiran dengan katil tempat Qayyum tidur. Keinginan untuk mendapatkan gambar dan menyembunyikan gambar telah membuatkan mereka berdua tidak menghiraukan si teman yang kelihatannya sedang nyenyak tidur. Lagipun kelihatannya Qayyum tidur dengan sangat lena. Confirm takkan sedar punya budak Qayyum ni!
Kedegilan Hafiz membuatkan Syafiq menerkam dirinya. Hafiz yang tidak dapat mengimbangkan badan terjatuh di atas katil. Gambar yang dipegangnya tadi terlepas dari pegangan. Qayyum yang terpisat-pisat bangun mengambil gambar yang mendarat betul-betul di sebelahnya. Syafiq dan Hafiz masing-masing terdiam. Gerun melihat perubahan pada wajah Qayyum. Masing-masing rasa bersalah kerana telah mengganggu tidur si teman.
Bulat mata Qayyum menatap gambar di dalam pegangannya. Alia dan Hafiz? Waktu bila ni? Amboi..nampak mesranya mereka. Dia memandang kedua-dua rakannya itu memohon penjelasan.
“Sejak bila…” Sebelum dia sempat menghabiskan pertanyaannya, Hafiz terlebih dahulu memotong.
“Bukanlah Qayyum. Tu gambar masa aku jadi emcee hari tu. Ala..waktu campus kita panggil kumpulan nasyid Raihan tu. Kawan-kawan Alia la yang beria-ia suruh kami bergambar. Sebenarnya dia nak bergambar dengan ahli kumpulan Raihan. Tapi kawan-kawan dia letakkan syarat, sebelum tu kena bergambar dengan emcee dulu. ” Panjang lebar Hafiz menjelaskan. Siapa yang tidak kenal geng-geng gadis berlapan itu. Yang sentiasa keluar idea pelik-pelik bila bergabung. Yang sentiasa riang gembira. Yang sentiasa skor dan pemegang unggul anugerah dekan pada setiap semester.
“O….key..”Hanya itu yang keluar daripada ulas bibir Hakimi. Rasa mengantuknya tadi hilang serta merta. Diganti dengan debaran dan rasa tidak keruan di hati.
*****
“Lia, apa pendapat kau tentang kahwin waktu belajar?” Erna, teman baik Alia tiba-tiba sahaja mewujudkan topik kahwin. Waktu iu mereka sedang menikmati ais kacang di kafe. Seusai kelas Keibubapan dan Perancangan Keluarga tadi mereka terus ke sini untuk membasahkan tekak dengan ais kacang. Sesuai benar dengan cuaca panas yang membahang kebelakangan ini.
“Awat yang luar alam sangat ni cheq oi..” Mentang-mentanglah kawan tu orang utara. Diperlinya teman dengan dialek negeri si Erna tu. Tersengih Erna mendengar ayat perli daripada Alia.
“Aku tanyo jah. Sajo nok tahu…” Hambik engkau. Ingat kau je boleh cakap bahasa ibunda aku? Aku pun boleh cakap bahasa ibunda kau la..Heheh..Erna senyum di dalam hati.
Alia yang perasan dirinya disindir sekadar mencebik.Malas nak berbalas kata lagi. Sambung makan ais kacang lagi best!
“Pada aku ok je. Janji kita tidak mengabaikan tanggungjawab kita. Bila dah kahwin ni banyak tanggungjawabnya tau. Nak-nak kahwin time belajar ni. Mana nak fikir pasal study lagi, suami lagi, mak ayah lagi, adik-beradik lagi..Lepas tu, kalau ada anak. Lagi la banyak yang nak kena fikir dan buat.Fuh…banyak tu.Ingat senang ke nak menyandang banyak tanggungjawab dalam satu masa?” Alia menyuarakan pendapatnya. Siap disertakan dengan persoalan lagi. Kawan tu tanya sepatah, dijawabnya sepuluh patah!
“Hmm..aku setuju. Tapikan…Katakanlah..ada orang yang approach kau waktu kau belajar. Kau terima tak?” Erna kelihatannya betul-betul mengharapkan jawapan daripada Erna.
“Entahlah Erna. Kalau aku terima pun, kena tanya family aku jugak. Lagipun aku anak bongsu. Kakak-kakak aku belum kahwin lagi. Mana boleh langkah bendul beb!” Kata-kata yang serius pada mulanya seperti sudah menjadi tidak serius di penghujung ayat. Haila Alia..Alia…
“Tunang dulu pun tak boleh?” Erna masih meneruskan soalannya.
“Yang kau tanya aku bab-bab nikah kahwin apa kes? Mentang-mentang sem ni dah amik parenting class. Kau pun sibuk nak aplikasikan eh?”
“Ye la..Nak jaga anak, kena la kahwin dulu beb.”
“Pape je la Erna oi..” Alia mengacau-ngacau ais kacang dalam mangkuknya yang tinggal separuh lagi di dalam mangkuk. Malas mahu melayan celoteh si teman yang sudah mula hendak merapu itu.
“Kira....” Mendayu-dayu suara Erna singgah di cuping telinga Alia.
“Ni kenapa pulak lain macam je ni? Kau ada rosakkan aku punya hard disc ke Erna” Musykil Alia dengan karenah Erna. Ada la tu yang dia buat salah tu. Nak minta maaf la tu agaknya. Tiga hari lepas Alia ada meminjamkan Erna hard discnya. Janjinya nak pulangkan keesokan harinya, namun sampai hari ini tidak dipulangkannya.
“Tak…Hard disc kau tu selamat je dalam simpanan aku. Sorry la lambat pulangkan. Nanti aku pulangkan eh.” Erna terus menangkis tuduhan Alia itu. Asyik lupa sahaja mahu memulangkan hard disc itu kepada Alia. Itulah kesannya jika tidak diambil dan disimpan siap-siap hard disc dalam beg kuliah.
“Habis tu? Yang suara macam nak memujuk-mintak-maaf tu kenapa?” Alia siap mengangkat-ngangkat kening memandang Erna yang kelihatan serba salah untuk bersuara itu.
“Sebenarnyakan…Sebenarnya….” Tersekat-sekat suara Erna. Lagaknya seperti was-was untuk memberitahu atau tidak.
“Sebenarnya apa?” Bengang Alia dibuatnya. Ha..kan dah kena sergah.
“Sebenarnya ada orang nak kenal dengan kau dengan lebih dekat lagi.”Terus terluah ayat yang tersekat-sekat tadi. Lancar sahaja ayat itu keluar. Bahana terkejut kena sergah.
“Jangan nak merepek boleh tak?”
“Betul la apa yang aku cakap ni. Boleh ke tak?”
“Nantilah aku fikir dulu.”
******
Hari ini group Alia perlu mempersembahkan role play untuk subjek Keibubapaan dan Perancangan Keluarga atau lebih dikenali sebagai Parenting class. Kumpulan mereka diberikan tugasan yang mengisahkan permasalahan ibu bapa yang sibuk bekerja sehingga mengabaikan anak-anak.
Alia yang memegang watak anak yang bermasalah memainkan peranan yang amat bagus. Kebetulan Qayyum juga satu kumpulan dengannya. Dia memegang watak remaja rosak yang menghanyutkan anak gadis orang. Role play yang mereka persembahkan mendapat pujian daripada Dr. Hamid. Mesej yang ingin disampaikan amat berkesan sekali.
“Wah..Lia…Hebatlah lakonan kau tadi. Berganding pulak dengan Qayyum. Wah..makin mantap jadinya.” Ujar Atiqah.
“A’ah la..Korang ni memang ada jodoh ek. Selalu je sama group. Kelas tutor pun sama.”Sampuk seorang lagi rakan kelas mereka.
“Bukan setakat kelas tutor sama. Tapi kerja tutor pun selalu bincang sama-sama.” Celah Maisarah merangkap room-mate Alia.
“Dah-dah..Korang ni kan. Aku dengan dia takde pape la.”Alia terus berlalu usai mengucapkan kata penafian itu. Tidak dipedulikan kawan-kawan sekelasnya yang masih rancak bertingkah kata antara satu dengan yang lain. Dari kejauhan ada sepasang mata yang melihat.
*****
Hujung minggu yang ditunggu-tunggu dah tiba. Tak sabar nak keluar ke Kuantan. Mahu jumpa Inche Faiz. Apa khabar orang Johor itu? Jarang sekali boleh berjumpa. Selatan dengan Timur walau tidak sejauh Utara-Selatan, namun mahu memakan masa 9 jam perjalanan tu. Ada orang mahu belanja makan, siapa yang mahu tolak. Ye tak? Alia sudah tersengih-sengih memikirkan apa yang dia ingin makan di Kuantan Parade nanti. Deringan telefon mematikan lamunannya.
“Assalamu’alaikum.” Salam berbalas oleh orang di sebelah sana.
“Ha..dah ada kat depan eh? Ok,ok..Su Ura keluar sekarang.”Butang end ditekan dan dia terus menyambar sling bagnya lalu terus bergegas keluar daripada bilik.
Matanya melilau mencari pacuan empat roda hitam yang memang sudah dihafal nombor platnya itu. Sejurus mengenal pasti letak Honda CR-V itu, langkah kaki terus dihalakan mendekati sambil tangannya melambai-lambai pemandu kereta.
Kelihatan seorang pemuda di tempat pemandu membalas lambaiannya. Pemuda itu menanggalkan Pradanya lalu diselitkan di dalam poket T-shirt berkolarnya. Dia kemudiannya membuka pintu dan bersandar di kereta sambil menunggu Alia yang sedang berjalan menuju ke arahnya.
“Dah lama ke sampai?”
“Takde la lama sangat pun. Sihat ke?”
“Alhamdulillah sihat. Su Ura takut orang tu yang tak sihat. Dah sediakan duit cukup-cukup tak ni? Kang ada yang kena jadi waiter nanti.” Sempat lagi Alia menyakat pemuda yang segak bergaya di hadapannya itu.
“Alhamdulillah. I’m fine. Saya dah sediakan siap-siap dah. Jom.” Faiz tersenyum. Pintu kereta di sebelah penumpang dibukanya. Tampak begitu gentleman. Bagaikan sepasang kekasih!
Tidak lama kemudian pacuan empat roda itu berlalu membelah jalan raya menuju ke bandar Kuantan. Sesampainya di Kuantan Parade, mereka terus menuju ke Secret Recipe. Ternganga Faiz mendengar pesanan yang dibuat Alia. Mana taknya, dia memesan makanan macam empat orang yang hendak makan!
“Su Ura…biar betul? Larat ke nak makan ni?”
“Betul la. Alang-alang orang nak belanja kan…” Hah ha..terkena awak Faiz. Alia tersengih jahat.
“Apalah nasib saya dapat mak cik macam awak ni? Sepatutnya awak yang belanja saya. Ni terbalik pulak.” Faiz mengeluh perlahan. Muka sedih ditayangkan kepada Alia.
Alia hanya menayangkan muka seposen. “Ala..itu kebiasaannya. Kita buat la kelainan.hehe…Untung apa. Awak dapat mandat untuk belanja mak saudara awak ni.”
“Pape je la Su Ura. Dia nak menang jugak tu.” Sudahnya Faiz menggeleng sendirian.
Jika orang tengok mereka berdua-duaan begini tentu orang akan ingat mereka ini pasangan kekasih. Kelihatan begitu rapat dan mesra. Namun telahan itu tidak benar sama sekali. Faiz merupakan anak kepada abang sulung Alia. Dalam erti kata lain, Faiz ni anak saudara Alia. Mereka ni sebaya. Mungkin sebab itu mereka boleh rapat walaupun jarang bersua muka. Kebetulan Faiz datang ke Kuantan untuk menyiapkan kerja projeknya. Alang-alang sudah datang ke Kuantan, dijenguknya Alia yang memang ada di sini.
“Kerja projek dah siap ke ni?” Sementara menunggu pesanan tiba, mereka berbual-bual kosong. Sambil-sambil itu mata Alia melilau-lilau memandang arah luar Secret Recipe.
“Dah hampir siap. Part saya dah selesai. Partner je yang nak siapkan part dia.” Faiz turut mengarahkan mata ke arah pintu masuk. Matanya membulat apabila terpandang dua insan yang amat dikenalinya sedang melangkah masuk ke dalam kedai.
“Su Ura...Patut la pun order untuk empat orang makan. Cik adik manis berdua tu pun datang jugak ke? Sengaja je eh nak pokaikan saya.” Faiz mempamerkan muka bengang.
“Hehe. Mana best kita dua je. The more the merrier, isn’t it?” Alia menayangkan muka selamba. Digamitnya dua bersaudara itu. Hanisah dan Hazirah terus merapati mereka.
“Hai, abang Faiz. Apa khabar?” Tegur Hanisah.
“Makin handsome la orang Johor ni.” Hazirah sudah masuk mood menyakat sepupunya itu.
Tidak lama kemudian, makanan yang dipesan tiba. Mereka makan sambil berborak-borak. Meriah dengan gelak ketawa dan gurau senda. Begitulah mereka setiap kali bertemu. Penuh dengan usik-mengusik dan hilai tawa. Bahagia.
*****
Mereka menghabiskan masa dua jam mengukur segenap pelusuk Kuantan Parade. Selepas menunaikan solat zohor di surau yang berdekatan, mereka berpisah. Alia dan Faiz menghala ke arah bahagian letak kereta di luar bangunan manakala Hanisah dan Hazirah menuju ke bahagian letak kereta aras satu.
“Su Ura, kejap eh. Saya nak pergi beli majalah kejap.” Ujar Faiz sambil menunjukkan ke arah kedai buku di seberang jalan.
“Nak ikut. Su Ura nak beli Solusi.” Terus Alia bersuara.
“Ok, jom.”
Jalan yang sesak dengan kereta yang lalu-lalang membuatkan mereka mengambil masa yang agak lama untuk melintas jalan. Waktu pick-hour begini memang sibuk. Tambah pula hari ini hari minggu. Ramai la ibu bapa yang membawa anak-anak keluar berjalan-jalan.
Seusai membeli majalah masing-masing, mereka terus kembali ke kereta. Faiz perlu menemani rakannya mencari bahan bagi menyelesaikan kerja projek mereka. Esoknya dia sudah perlu pulang ke Skudai semula.
*****
Langkah diatur cepat-cepat menghala ke arah si teman yang sedia menunggu di dalam kereta. Terus pintu di sebelah penumpang dibuka dan dihenyakkan punggungnya di situ. Dianggukkan kepala kepada teman yang memandang dan kereta terus meluncur laju membelah jalan.
“Nanti singgah Kuantan Parade jap eh, Fik. Aku nak beli ink printer la kat kedai buku depan tu.”
“Orite.” Fikri memandu kereta dengan kelajuan sederhana. Tangannya menekan butang on pada radio. Berkumandang For The Rest of My Life daripada nasyid.fm.
“Abang Imran nak jumpa kita dalam pukul 2. Jadinya kita singgah kedai buku tu dulu la.” Fikri bersuara memecah kesunyian yang tadi hanya dimeriahkan dengan nasyid-nasyid yang berkumandang dari corong radio.
“On.”
Dia bergegas keluar menghala ke dalam kedai buku. Rak tempat dakwat pencetak dituju, diambil dan terus menuju ke kaunter pembayaran. Sempat disambarnya senaskhah majalah Solusi dan surat khabar Berita Harian. Pembayaran dibuat dan dia terus berlalu menuju ke Wira Aeroback hitam yang diparkir Fikri betul-betul dengan pintu masuk kedai.
Sewaktu hendak membuka pintu kereta, matanya terpandang sepasang teruna dan dara yang sedang menoleh ke kiri dan ke kanan. Ingin melintas jalan barangkali. Kaku pergerakannya yang lincah dan tangkas tadi. Alia! Siapa lelaki di sisinya itu? Setahunya Alia tiada kekasih.
“Qayyum…Buat apa lagi tercegat tu? Masuklah. Dah nak dekat pukul 2 dah ni.” Teguran Fikri dari dalam kereta mengejutkannya. Astaghfirullah hal ‘azim!
“Hah? Ye, ye..nak masuk la ni.” Lambat-lambat disuakan kaki kanannya ke dalam kereta. Kepala masih tertoleh-toleh ke seberang jalan. Fikri yang perasan reaksi pelik rakannya itu turut menoleh ke arah berkenaan. Tiada apa-apa yang menarik pun. Kereta bersimpang siur, orang lalu-lalang dan pasangan yang hendak melintas jalan. Pasangan? Ditolehnya sekali lagi. Matanya dipicingkan. Memfokuskan kepada subjek sasaran.
“Itu…bukan Alia ke?” Lambat-lambat soalan itu terbit dari ulah bibirnya yang merah tanda tidak merokok itu.
Qayyum hanya mengangguk, tanda mengiyakan apa yang dilihat. Tidak sepatah pun kata terluah dari mulutnya. Sudahnya perjalanan ke rumah Abang Imran hanya diisi kesunyian. Pelbagai persoalan berlegar-legar di ruang minda Qayyum. Siapa lelaki itu? Kenapa dia tidak pernah tahu tentang itu? Tidak mungkin Alia ada buah hati. Arghhh! Serabut!
Wake up, Qayyum! Kau siapa untuk ambil tahu pasal dia? Perlukah dia memberitahu dia sudah ada yang punya ke belum? Tak! Kau tak berhak untuk tahu dan ambil tahu! Hati kecilnya menyoal dan membantah tindakannnya bertubi-tubi. Sudahnya sebuah keluhan berat dilepaskan.
Fikri yang perasan perbuatannnya itu menoleh sekilas. Ditarik nafas panjang. Parah kawan aku ni. Ujarnya dalam diam. Digeleng-gelengkan kepala. Nanti akan dikhabarkan pada Abang Imran tentang ini. Sesuatu harus dibuat. Mesti! Tekad Fikri di dalam hati.
*****
Diselongkarnya beg galas mencari telefon yang bingit berbunyi. Faiz baru sahaja berlalu.
“Ha..Erna. Ada apa?” Dia diam sebentar mendengar Erna bercakap.
“Aku baru balik ni. Pergi Kuantan Parade.” Kaki diayunkan ke lorong pejalan kaki menghala ke arah bangunan asrama.
“Aku keluar dengan anak-anak saudara aku tadi. Awat?” Berkerut-kerut dahi. Apasal Erna ni dah macam polis pencen pulak ni.
“Betul la..nak tipu apa pulak. Bila masa aku pernah dating ni?” Makin bertambah lipatan di dahi Alia apabila mendengar soalan yang agak pelik pada pendengarannya.
“Hah! Ni mesti ada yang tersilap tafsir bila aku jalan dengan Faiz ni. Weh, tu anak menakan aku la. Kau ni..Macam tak pernah jumpa Faiz. Siapa yang memandai jadi PI tak bertauliah ni?” Setelah mendengar penjelasan Erna, barulah Alia faham siapa yang dimaksudkan oleh Erna. Haih, susah jugak dapat anak saudara sebaya ni ye. Orang yang melihat boleh tersalah sangka dan membuat andaian sendiri tanpa mengetahui cerita sebenar. Sebab itulah Islam mengajar menyuruh umatnya husnuzhon;bersangka baik. Mungkin sebab itu juga lah wujudnya pepatah Inggeris; don’t judge a book by its cover.
*****
Permukaan meja itu diketuk-ketuk dengan tangan kiri, manakala tangan kanan melekapkan Xperia di telinga kanan. Gelagatnya itu diperhatikan dengan penuh minat oleh anak muda yang sedang duduk di hadapannya.
“Ha, Erna.. Macam mana?” Tidak sabar rasanya ingin mengetahui perkhabaran yang bakal Erna sampaikan kepadanya. Dipasang telinganya betul-betul.
“Anak menakan dia ka?” Fuuhhhhhhh…Nafas dihembuskan. Lega. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa leganya dia rasa saat ini. Nasib baik anak menakan. Bukan pakwe.
“Thanks Erna. I owe you one.” Bibirnya tidak dapat dikawal daripada mengaritkan senyuman. Muka berseri-seri. Mengalahkan orang menang loteri!
“Happy nampak? Ai…tadi mendung, ingatkan nak hujan…Sekarang ni dah panas terik pulak ye?” Kata-kata perlian daripada Fikri hanya disambut dengan ketawa halus sahaja. Nak kata apa lagi? Dah memang terang lagi bersuluh riak mukanya berubah 180 darjah. Daripada bermuram durja kepada ketawa ria!
Fikri yang melihat hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala. Dah makin parah kawan aku sorang ni.
*****
“Lia…Lia…Tengok ni! Jom kita pergi!” Bersemangat Erna menayangkan helaian flyers yang baru sahaja diambilnya tadi. Muka bersinar-sinar. Berseri-seri mengalahkan pengantin baru!
Alia mengambil helaian kertas di tangan Erna. Dibaca setiap baris yang tercacat di atas kertas tersebut. Owh, CAMPRO (Campus Dakwah Projek) ada buat program rupanya Jumaat ni. Memang kena la sangat tajuk yang dipilih ni, kena betul dengan Valentine Day yang orang dok selalu sambut tu. Sambil membaca, sambil mindanya mencerna setiap bait ayat yang tertulis.
“Talk On ‘Cinta’: “Let’s Get Married!”Wow! Menarik!” Kali ni mata Alia pulak yang bercahaya mengalahkan cahaya bulan purnama. Amboi! Bab-bab kahwin ni semangat je kamu ye Alia! Serta-merta mukanya memerah. Malu dengan tanggapan sendiri.
“Uit! Ni apasal muka dah macam terlebih pakai blusher ni?” Erna angkat kening dua kali ke arah Alia. Mengusik si teman yang sudah merona merah.
“Kau dok fikir apa tu Lia? Gatai na..Dah ada calon ka cheq?” Dicuitnya lengan Alia. Kemudian gelak halus kedengaran. Seronok mengusik.
Alia yang tadinya merona merah muka terus melayangkan tangan mencari sasaran. Sedang Erna berusaha untuk mengelak tamparan Alia dengan gelak yang masih bersisa. Teguran seseorang mematikan tingkah mereka berdua.
“Alia…Saya dah siapkan bahagian saya. Yang awak punya mana? Nak combinekan sekali ni.” Tercegat berdiri seorang pemuda yang memang tidak asing lagi bagi mereka berdua. Segak berseluar jeans hitam dan berkemeja biru gelap. Tangannya memegang file ungu. Diunjukkan file itu kepada Alia.
Alia tanpa banyak soal mengambil file yang dihulurkan dan menyelak helaian demi helaian. Kepalanya terangguk-angguk. Erna hanya menjadi pemerhati kepada perbualan dua insan itu.
“Good. Ni yang saya punya. Nanti dah siap combine tunjukkan balik eh.” Dihulurkan kedua-dua file kepada pemuda tadi.
“Ok. Nanti dah siap saya bagi. Pergi dulu.” Ujar lelaki itu kemudian terus mengorak langkah menjauhi mereka berdua.
“Ok.”
“Ehem..ehem…” Sakit pulak tekak aku ni. Erna sudah tersengih-sengih di sebelah.
“Tak payah nak mengada eh.” Kali ini Alia pulak yang membuka langkah meninggalkan Erna jauh di belakang.
“Eh..tunggu la…Kita pergi eh Jumaat nanti. Kau tak balik rumah kakak kau kan?” Erna mempercepatkan langkahnya untuk menyaingi langkah Alia yang jauh terkehadapan.
“Memang nak pergi pun. Audi Kom je kan?”
“Ok, set!”
*****
“Sementara kita tunggu waktu Isyak masuk ni, eloklah kita isi waktu yang ada ni dengan tazkirah Maghrib dari Abang Imran.” Fikri bersuara seusai mereka solat Maghrib.
“Assalamu’alaikum. Sihat semua?” Abang Imran memulakan bicara. Dipandangnya setiap muka yang ada. Senyuman dilemparkan.
“Alhamdulillah. Semua sihat nampaknya. Moga-moga iman kita pun sihat wal’afiat jugak. Insya-ALLAH.”
“Sebelum tu, mintak semua buka Al-Quran, surah An-Nur ayat ke-26. Qayyum boleh tolong bacakan?”
“Perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula)...”
“Apa yang korang semua faham dari ayat tadi?”
“Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik tapi kalau lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat.” Hafiz bersuara.
“ALLAH dah tetapkan jodoh kita ikut sifat kita.” Qayyum pula bersuara.
“Ok. Jadi agak-agak apa yang abang nak sampaikan?” Abang Imran bertanya sambil mengangkat kedua-dua belah keningnya. Siap senyum meleret lagi tu.
“Pasal jodoh la..Apalagi..” Hafiz terus galak bersuara.
“Mentang-mentanglah abang Imran dah kahwin…Nak promote kat kami ke apa ni bang?” Qayyum pula mengusik.
“Ha..Fikri..senyap je dari tadi.”
“Macam nak cakap pasal persediaan untuk kahwin je…” Fikri bercakap sambil mengerling Qayyum.
“Ha…betul tu. Bila bercakap pasal jodoh, pasal kahwin, semua orang bersinar-sinar mata. Tapi persoalan yang paling penting, macam mana persediaan kita untuk menghadapi alam rumah tangga tu? Sudah cukup bersediakah kita untuk menempuhinya? Sudah cukupkah ilmu di dada?” Soalan Abang Imran itu menyentakkan setiap jiwa yang mendengar. Semua terdiam.
“Abang percaya, semua orang inginkan pasangan hidup yang solehah.Yang sejuk mata memandang. Yang boleh membahagiakan. Yang boleh menjadi ibu yang pandai mendidik anak-anak. Yang tahu ilmu agama. Tapi…dalam kita tidak sedar…kita asyik mencari yang baik sampai terlupa untuk mengintai diri sendiri. Sudah cukup baikkah diri kita untuk berdampingan dengan yang cukup baik tu? Solehkah kita untuk mendapatkan yang solehah?” Bertubi-tubi persoalan yang Abang Imran lontarkan. Soalan-soalan itu ibarat panah yang menusuk ke dasar hati setiap yang mendengar. Kesemua kepala menunduk.
Sejak mendengar tazkirah Maghrib daripada Abang Imran itu tadi, hampir keseluruhan isi tazkirah itu terngiang-ngiang di kepalanya. Lenanya malam itu pun terganggu. Tidak betah berbaring, Qayyum bingkas bangun dan pergi mengambil wudhu’. Moga-moga hatinya menjadi lebih tenang setelah menghadap Yang Maha Esa. Itu doa Qayyum di dalam hati.
****
“Audi Kom dipenuhi oleh pelajar-pelajar UIAM cawangan Pahang malam itu. Kedengaran suara Ustaz Ridha sedang memberikan talk di pentas. Ustaz Ridha turut membawa isterinya, Ustazah Arfah beserta sepasang anak mereka yang comel itu; Aisyah Solehah dan Muadz. Sejuk mata melihat keluarga bahagia itu.
Ustaz Ridha memulakan talknya malam itu dengan kata-kata, “Marriage is about to choose the right person, at the right time, with the right intention. So, let’s get married!”
Para hadirin begitu khusyuk sekali mendengar setiap patah kata yang disampaikan oleh tuan penceramah.
“Niat untuk berkahwin perlu jelas. Tak cukup sekadar untuk melahirkan zuriat, untuk memenuhi keperluan rohani dan tabi’in dan lain-lain. Kita perlu set ke mana kita ingin membawa sesebuah perkahwinan. Macam kita guna GPS, kita perlu set destinasi kita dulu, then baru boleh start the journey…dan untuk sebuah perkahwinan yang sebenar, the destination that’s all of us should lead is Jannah! Jika setiap dari kita tahu the last destination is Jannah and work towards it, insya-ALLAH, cinta bawa ke syurga. Menjadi suami isteri hingga ke syurga Firdausi. That’s our aim!!! Ameen…”Kata-kata yang dilontarkan itu begitu terpahat kukuh di hati Alia. Bunyi mesej masuk mengganggu konsenstrasi Alia. Diabaikan mesej itu. Talk ini lagi penting!
“Pasangan masing-masing adalah yang kedua. Ustaz cakap, isteri ustaz adalah isteri kedua ustaz dan isteri ustaz cakap, ustaz adalah suami kedua dia. Sebab? Sebab….yang pertama bagi kami adalah ISLAM…”
“SubhanALLAH!” Terpacul kalimah menyucikan ALLAH itu di bibir Alia. Erna yang duduk di kerusi sebelah juga terpegun dengan kata-kata ustaz tadi. Satu dewan sunyi sepi. Mungkin menghayati dan berfikir sejenak.
“Persiapkan diri kita dari sekarang, bukan sekadar fizikal, tetapi juga spiritual, keimanan, kematangan. Macam mana nak tahu kita ni matang ke tidak? Tengoklah diri entaorang kat rumah macam mana. Kalau kat universiti kitalah presiden 5 buah persatuan, tapi kat rumah bangun lambat, tolong parents pun malas, tengok TV je kerjanya… Hmm..Matang ke? Kalau kat rumah entaorang macam tu, jangan nak salahkan mak ayah bila entaorang mintak kahwin, mak ayah tak bagi…” Talk “Let’s Get Married” pada malam itu diakhiri dengan kata-kata nasihat oleh ustaz Ridha yang begitu tajam bagai tusukan pedang itu. Siapa yang makan cili, dia terasa la pedasnya. Iye tak?
****
“Whoa~Sweetnya kan ustaz dengan ustazah tu? Anak-anak diaorang pun comel. Geram nak cubit pipi Muadz tu. Geram jugak nak kiss pipi Aisyah.” Becok Erna berceloteh. Bagaikan pengulas talk yang baru sahaja tamat. Macam la Alia ni tak hadir sama talk tadi.
Alia hanya menganggukkan kepala sambil jemarinya laju menekan pad Sony Ericsonnya. Mahu memeriksa mesej yang diterimanya semasa talk sedang berlangsung tadi.
Let’s get married! - Qayyum
“ALLAHU AKBAR!” Hampir tercampak Sony Ericson di tangan. Jantungya berdegup kencang. Bagaikan baru menamatkan larian pecut 1000m. Dipegang dadanya. Detak jantung yang serasa boleh didengar terus ke telinga.
“Eh. Kenapa ni?” Terhenti celoteh Erna. Terkejut dengan reaksi si teman yang bagaikan baru melihat hantu.
“Tak…takde apa-apa.” Dilemparkan senyuman yang rasanya agak tawar kepada Erna.
“Haish..bikin gue panik aja kamu ini sih!” Alia hanya tersengih. Laju dia mengatur langkah menuju ke bilik.
****
“YA ALLAH. Apa maksud dia?” Masih terbayang tiga perkataan yang diterimanya tadi. Serentak itu jantungnya berdegup kencang. Dibiarkan mesej itu tanpa balasan.
Malam itu, dia bangun menghadap ILAHI. Memohon ketenangan jiwa. Memang sudah menjadi kebiasaan baginya pada pukul 3 pagi, dia pasti akan terjaga. Biological clocknya tidak pernah alpa mengejutkannya. Syukur atas nikmat itu.
Qiam malam itu dimulakan dengan solat tahajud, solat taubat, solat istikharah, solat hajat dan diakhiri dengan solat witir 3 rakaat. Sungguh, dirasakan jiwanya sedikit tenang. Sememangnya sebelum ini pun, dia selalu mengerjakan istikharah. Nampaknya sekarang perlu dipergiatkan lagi. Memohon petunjuk dari Yang Maha Mengetahui.
“YA ALLAH, aku memohon petunjuk daripada-MU dengan ilmu-MU dan aku memohon ketentuan daripada-MU dengan kekuasaan-MU dan aku memohon daripada-MU akan limpah kurniaan-MU yang besar. Sesungguhnya ENGKAU Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan ENGKAU Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan ENGKAU-lah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. YA ALLAH, seandainya ENGKAU mengetahui bahawasanya urusan ini adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah dia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya ENGKAU mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya.”
“YA RAHMAN, apakah maksudnya dengan mesej itu? Sungguh, aku benar-benar tidak mengerti, YA ALLAH. Aku tidak mahu rasa ini mengganggu-gugat cintaku pada-MU, YA ALLAH. Apa yang aku mahukan hanyalah cinta yang halal. Berikanlah petunjuk-MU, YA RAHIM. Mungkin apa yang kurasakan baik bagiku, adalah buruk bagi-MU dan mungkin apa yang kurasakan buruk bagiku adalah baik bagi-MU. Bantulah hamba-MU ini dalam membuat pilihan yang tetap. Pilihan yang ENGKAU redhai dan rahmati. Ameen.”
****
Berkali-kali dikerlingnya Samsung yang terletak di atas meja study. Dua jam sudah berlalu. Report yang perlu disiapkan pun sudah siap. Namun, sebarang mesej balasan masih tidak kunjung tiba. Betul ke tindakan aku tadi? Sepatutnya aku tak hantar mesej macam tu tadi. Huh. Akhirnya dia melepaskan keluhan yang berat. Menyesal dengan tindakan yang dilakukan. Diraupkan muka berkali-kali.
“Astaghfirullah hal ‘azim.” Terluah kalimah istighfar itu.
“Kau kenapa Qayyum? Serabut je aku tengok?” Soal Hafiz yang sedari tadi memerhatikan gelagat Qayyum yang bagai kucing hilang anak itu. Nak kata report tak siap lagi, baru sahaja sekejap tadi dia meluahkan rasa lega apabila reportnya berjaya disiapkan. Pelik aku dengan budak ni.
“Aku…aku…takde pape lah.” Akhirnya keluhan halus dilepaskan. Ingin diberitahu si Hafiz tentang kekesalannya macam tidak kena sahaja. Tapi kalau tidak diberitahu, aku pulak yang sakit menahan rasa. ALLAH…Serba-salah jadinya. Sudahnya dia bangun dari kerusi dan melangkahkan kaki ke tandas. Mahu menyegarkan diri dengan air wudhu’. Hanya pada DIA segala keluh-kesahnya mampu diluahkan.
*****
“Assalamu’alaikum. Akak mengganggu Alia ke?” Tegur Kak Nurul di sebalik pintu biliknya.
“Wa’alaikumussalam. Eh, Kak Nurul. Masuklah.” Segera Alia bangkit dari duduknya dan berjalan menghampiri Kak Nurul. Mereka bersalaman dan saling bertukar khabar. Sememangnya dia telah dimaklumkan akan kedatangan Kak Nurul pada petang Jumaat itu.
“Alia, sebenarnya akak datang ni ada hajat…” Kak Nurul berjeda seketika. Dipandangnya wajah Alia yang nampak sedikit berubah. Dicapainya tangan Alia. Dibelek-beleknya jemari halus itu. Dihadiahkan senyuman mesra sewaktu dia kembali mendongak.
Alia hanya membiarkan kelakuan itu. Matanya hanya memerhati dan menunggu bicara yang seterusnya. Hatinya asyik bertingkah. Bersoal jawab tentang hajat yang ingin disampaikan oleh Kak Nurul.
“Jari ni, kalau bercincin tentu lebih cantik kan?” Soal Kak Nurul. Tangannya masih tidak melepaskan pegangan pada tangan kanan Alia.
“Hah?” Terkejut Alia dengan pertanyaan yang dianggapnya jauh menyimpang daripada topik yang sedang mereka bualkan sebentar tadi.
“Kalau ada orang nak hadiahkan Lia cincin, Kira sudi terima tak?”
“Birthday Lia lambat lagi kak. Lagipun, macam pelik je nak hadiahkan cincin bagai.” Berkerut-kerut mukanya. Jawapan telusnya itu mengundang tawa kecil Kak Nurul.
“Lia, sebenarnya ada orang bertanyakan Lia.” Kali ini Kak Nurul sudah tidak menggunakan bahasa kiasan lagi. Terus pergi kepada tujuan sebenarnya perjumpaan mereka.
“Erk? Ap..apa maksud akak?” Wajah blur yang ditayangkan Alia benar-benar mencuit hati Kak Nurul.
“Lia…seperti mana Khadijah menginginkan Muhammad, anak muda ini juga menginginkan Alia menjadi bidadarinya.”
“Akak, terus terang saya katakan, saya masih belum bersedia untuk itu. Siapa yang tidak ingin punyai keluarga kan? Tapi saya masih punya banyak tangggungjawab lain yang perlu dilaksanakan. Jika dia itu sudah ditakdirkan ALLAH sebagai jodoh saya, insya-ALLAH, bila sampai masanya nanti kami tetap akan bersama.” Dipegangnya erat tangan Kak Nurul. Lembut tutur katanya bagaikan memujuk.
“Lagipun saya baru di tahun 2 sekarang ni akak. Saya tahu, ramai je yang berkahwin seusia dengan saya. Tapi, rasanya buat masa sekarang saya masih belum mampu untuk menanggung tanggungjawab yang cukup besar itu.” Terang Alia panjang lebar. Tidak dapat dinafikan, setiap orang tentu mengimpikan untuk memiliki sebuah keluarga sendiri, punyai anak-anak yang comel penyeri rumah tangga. Namun, jika diri masih terumbang-ambing, lebih baik persiapkan diri dulu kan?
“Kalau begitu kata Lia, tak apa la. Akak cuma menyampaikan hajat seseorang sahaja. Mungkin sebelum ini caranya agak terburu-buru, tapi kalau tengok dari gayanya, dia memang serius dengan tindakannya ini.” Kata-kata Kak Nurul itu membuatkan Alia tergamam. Jadinya mesej yang diterimanya hampir sebulan yang lalu itu tidak main-main lah. Pengirimnya benar-benar memaksudkan apa yang ditulisnya.
*****
Tidak sabar rasanya mahu menghabiskan semester ini. Masuk semester baru pada bulan 9 nanti dia akan bergelar pelajar tahun ketiga pula. Bersemangat Alia melangkahkan kaki ke dewan peperiksaan. FE’s family, here I come! Memang kali ini dia membuat persediaan yang bukan sedikit untuk menyambut kedatangan keluarga FE itu. Heh. FE’s family. Gayanya macam nak sambut rombongan meminang aja. Padahal FE itu akronim bagi F.I.N.A.L E.X.A.M! Tersengih dia keseorangan saat melabuhkan duduk di dewan peperiksaan itu.
Sedang dia sibuk memastikan yang alat tulis dan kad ID dibawa bersama, kedengaran kerusi di meja sebelah ditarik seseorang. Dipalingkan muka ke arah bunyi tarikan kerusi itu. Bulat matanya melihat insan yang baru sahaja menghenyakkan tubuh itu. Haish…macam mana selama ni aku boleh tak perasan yang pak cik ni duduk sebelah aku? Time-time orang nak mengelakkan diri ni la, dia boleh bertembung banyak-banyak kali. Dialihkan wajahnya kembali. Mindanya kembali difokuskan kepada peperiksaan yang bakal diduduki sebentar nanti.
*****
Qayyum yang menyedari dirinya diperhatikan menoleh ke sebelah kanannya. Saat itu Alia telah menghadap ke hadapan. Perasaan aku je kot. Itulah, angau lagi. Astaghfirullah hal ‘azim. Digeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Fokus Qayyum. Tumpukan pada kertas yang nak dijawab kejap lagi. Namun sempat lagi mindanya mengimbas kembali pertemuannya dengan Abang Imran hampir dua bulan yang lalu.
“Abang Imran, maafkan saya. Saya tahu tindakan saya itu salah. Tapi…” Dia menunduk. Tangannya diraupkan ke muka beberapa kali. Kesal dengan tindakan gelojoh itu.
Abang Imran menggosok belakangnya. Cuba menenangkan. Bibirnya tidak lepas dari mengucapkan kalimah keampunan kepada DIA.
“Jangan minta maaf dengan abang, Qayyum. Minta maaf dengan DIA. Alhamdulillah, Qayyum dah sedar. Bukan ke ada cara yang lebih bagus, Qayyum. Qayyum betul-betul pasti dengan tindakan Qayyum ni?”
Dia menganggukkan kepalanya. Ditundukkan kepala. Telinga sudah sedikit merah. Malu meluahkan rasa. Aih? Sekarang tahu pulak malu ye Qayyum? Yang masa kau hantar mesej tu tak malu pulak? Bidas hati kecilnya. ALLAH…ditembak hati sendiri!
Seminggu kemudian abang Imran menelefonnya. Saat itu, terasa bagai lemah longlai seluruh tubuh. Apa tidaknya. Risikannya ditolak mentah-mentah. Namun, bila difikir-fikirkan balik, mungkin dia belum betul-betul bersedia lagi untuk melangkah ke satu lagi anak tangga. Mungkin dia perlu lebih mempersiapkan dirinya. Dilapangkan dadanya untuk menerima keputusan itu. Sesungguhnya cinta ALLAH itu yang perlu dia kejarkan dahulu sebelum mengejar cinta manusia. Itu antara kata-kata pujukan yang disematkan pada dirinya, pada hati yang sedang kecewa.
Walau tidak pernah bercinta. Rasa sakit itu memang ada. ALLAH…Kuatkanlah diri ini, YA RAZZAK. Bantulah aku dalam mencintai-MU. Bantulah aku dalam menyayangi-MU. Bantulah aku dalam mentaati-MU. Bantulah aku dalam beribadah pada-MU. Itu doanya lewat solatnya.
2 comments:
cerita terasa dekat apabila kita kenal tempat kejadian. haha... camne blehh th benda ni? campro semua.
haha. saya kan ada informer. :p
lagipun ustaz ridha ni lecturer saya time kat INTEC dulu. memang teruja la bila dengar dia bagi talk.
Post a Comment