Buku-buku dihempaskan agak kuat di atas meja belajar. Terjungkit sedikit
bahu kak Maryam yang sedang menyiapkan kerja di meja sebelah. Nampaknya
angin-ribut-taufan si Khai ini sedang melanda.
“Kelas hari ni banyak sungguh! I
hate Fridays!” Khai mendengus kasar. Kelas yang bermula seawal jam 9 pagi
hanya berakhir pada pukul 5.45 petang.
Dibaringkan tubuh langsingnya di atas katil sambil meletakkan lengan
kanan di dahi. Berdetak bunyinya apabila dia meluruskan badan. Lenguh sangatlah
ni. Mana tidaknya, seharian berkejar ke sana ke mari. Jarak setiap kelasnya
bukannya dekat. Hari ini memang dia perlu berkejar ke kelas berikutnya sebaik
sahaja kelas yang terdahulu tamat. Paling yang membuatkan dia semput apabila
dia perlu berlari ke bangunan Kimia daripada bangunan Kejuruteraan yang
mengambil masa hampir lima belas minit itu. Mengah dibuatnya sebaik sahaja dia
sampai ke dewan kuliah di bangunan Kimia. Fuuuh.
“TGI Friday tiada makna dah di
sini. Haish…” Macam bertih jagung kena bakar mulutnya memuntahkan kata. Masih
tidak berpuas hati dengan jadual yang disusunnya sendiri.
“Khai…”
Ini siapa pula yang berani mahu tegur aku masa aku tengah panas ni? Ada
yang dinner dia makan pelempang ni
karang. Khai berdesis sendirian.
Dia masih diam tidak terkutik dari baringnya. Buat-buat tidur dan tidak
mendengar suara yang memanggil namanya itu.
Terasa bahunya disentuh lembut.
“Khai…penat sangat ek?” Suara yang sama masih setia bertanya.
Dah nampak aku melepek saja di atas katil ni mestilah penat. Dia diam
tidak membalas kata. Kak Maryam rupanya. Moodnya
yang tidak berapa elok membuatkan dia hanya membiarkan seniornya itu bercakap sendiri. Sebenarnya dia tidak perasan pun
keberadaan kak Maryam di dalam bilik ini sewaktu dia masuk tadi. Mana mahu
perasan jika dia hanya menghiraukan angin satu badannya sahaja.
“Akak ada belikan Khai aiskrim. Donut pun ada. Jom la makan sekali.”
“Saya penat la kak Maryam. Nak tidur.” Ada saja yang mahu mengganggu
waktu rehat aku.
“Tak elok tidur waktu nak dekat Maghrib ni. Bangun, basuh muka. Lepas
makan okeylah tu. Bangun ya…” Lembut kak Maryam memujuknya.
“Iyalah… iyalah…” Akhirnya dia mengangkat tubuh dari katil. Dengan malas
dia bangun menuju ke bilik air. Membasuh muka dan terus menghadap makanan yang
siap terhidang di atas meja.
Wah! Aiskrim Baskin Robbins tu. Sedapnya. Yummy! Habis bertempiaran segala rasa marah saat melihat aiskrim dan
donut di atas meja. Kak Maryam ini bagaikan tahu sahaja bagaimana mahu menenangkan
mood ribut taufannya itu. Sayang kak
Maryam! Hee!
Kotak Dunkin Doughnut itu dibuka. Terus dia mengambil sebiji donut berperisa
coklat. Sebelum sempat donut tersebut digigitnya, terdengar satu suara menegah.
“Baca doa dulu, Khai.” Serentak itu kak Maryam menadah tangan dan
membaca doa makan. Dia hanya mengikut perbuatan kak Maryam itu.
Usai sahaja kak Maryam mengaminkan doa makan, terus disuapkan donut ke
mulut. Kak Maryam sekadar menggelengkan kepala melihat gelagatnya. Dia perasan
itu. Cuma dia sengaja buat-buat tidak perasan. Huhu.
“Terima kasih kak Maryam! Sayang akak!” Ditayangkan barisan giginya yang
elok tersusun kepada kak Maryam yang sedari tadi memerhati gelagatnya yang
ibarat anak kecil diberikan barang mainan itu. Gembira habis!
“Sama-sama, Khai. Ha… macam nilah yang kita nak. Ceria dan gembira
selalu.”
“Hihi. Dapat aiskrim terus tak stress!”
Makin meranum senyuman kak Maryam. Nampaknya Khai sudah makin mesra
dengan dirinya. Sudah mampu meluahkan rasa. Alhamdulillah. Semoga hubungan
mereka makin membaik selepas ini. Insyaa-ALLAH. Itu harapannya jauh di sudut
hati.
“Banyaknya
kak Maryam beli aiskrim ni.”
“Hari
inikan 31 hari bulan. Baskin Robbins ada promosi. Kak Maryam ada ajak kak Nia
dan Farhah tadi. Kejap lagi mereka turun katanya.”
Khai
sekadar mengangguk tanda faham. Lupa pula dia hari ini 31 Mac. Memang Baskin
Robbins akan membuat jualan promosi pada setiap 31 hari bulan.
Jeda.
Kedengaran
ketukan halus daripada pintu bilik. Kemudian terjegul wajah ceria Farhah di
sebalik daun pintu yang terkuak setelah Khai dan kak Maryam menyuruh si
pengetuk pintu masuk. Kelihatan kelibat kak Nia di belakang Farhah.
“Assalamu’alaikum!”
“Wa’alaikumussalam.”
Serentak kak Maryam dan Khai menjawab salam yang diberikan Farhah itu.
Terus
Farhah bersalaman dengan kak Maryam. Diikuti oleh kak Nia. Khai yang tidak
biasa dengan suasana itu berasa sedikit kekok. Tetapi dia juga turut melakukan
hal yang sama. Biasakan diri, Khai. Bukannya buat perkara yang tidak baik pun.
Daripada Barra
katanya : Telah bersabda Rasulullah SAW : “Tidaklah bertemu dua orang Islam,
lalu berjabat tangan, melainkan diampunkan dosa bagi keduanya sebelum keduanya
itu berpisah.”
[Hadis Riwayat
Abu Daud]
Khai
teringat hadis yang pernah Farhah bacakan kepadanya suatu ketika dahulu di kala
Khai mempersoalkan kenapa perlunya mereka bersalaman setiap kali bertemu. Siap
berpelukan cium pipi kanan dan kiri pula tu! Sungguh dia tidak biasa.
Terus Farhah sebutkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud
itu kepada Khai. Kata Farhah lagi, memberikan salam dan bersalaman ataupun
berjabat tangan ini memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan.
Perbuatan sebegini boleh mengeratkan hubungan silaturrahim dan ukhuwah sesama
umat Islam. Lebih-lebih lagi amalan salam dan bersalaman ini juga merupakan
salah satu amalan Rasulullah SAW dan para sahabat. Malah bersalaman itu
dituntut oleh agama pada setiap kali pertemuan.
Farhah juga ada membacakan hadis mengenai suruhan memberikan salam
yang juga diriwayatkan oleh Imam Abu Daud.
“Daripada Abu Hurairah katanya: Rasulullah SAW bersabda : “Apabila
kamu bertemu dengan saudara kamu (sesama Islam) berilah salam ke atasnya.”
[Hadis Riwayat Abu Daud]
Khai juga teringat sewaktu di sekolah dulu, ustazahnya ada
menyatakan bahawa hukum memberi salam itu sunat manakala menjawab salam itu
pula wajib. Iya. Dia masih ingat lagi tentang pesanan dan saranan guru-gurunya
supaya membudayakan salam. Cumanya dia sekadar mengamalkan amalan itu ketika
berada di sekolah sahaja. Di luar sekolah, terus hilang lesap segala nasihat
dan pesan para guru.
No comments:
Post a Comment