Loceng bilik ditekannya berkali-kali. Ish, mana pulalah si Aqil ni
pergi. Janji nak bagi buku auto-CAD tu masa ni. Dia pula tak ada di bilik. Haish,
budak ni la… Balik biliklah kalau macam ni. Faizi merungut sendirian.
Saat dia memusingkan badannya, hampir sahaja dilanggarnya Aqil yang sedang
berdiri begitu hampir dengannya.
“Weh, kau ni… Nasib tak langgar kau tadi.”
“Maaf la Faizi. Tak sempat aku nak tegur, kau dah pusing.”
“Kau pergi mana? Janji nak bagi buku auto-CAD pada
aku. Apa kes kau pula yang tak ada di bilik ni?” Faizi siap bercekak pinggang.
Kononnya mahu marahkan Aqil.
“Aku pergi ambil bungkusan ni ha di bawah tadi.
Ingatkan sempatlah dengan kau datang.”
“Mak kau kirim parcel ke?”
“Tak adalah. Aku beli buku ni ha. Online. Jom masuk, Faizi.” Sebelah
tangannya menayangkan bungkusan di tangan. Sementara sebelah lagi membuka pintu
bilik.
“Buku apa yang kau beli? Rajin betul kau ni, Qil.”
Dia terjenguk-jenguk ke arah bungkusan di tangan Aqil. Kalau aku lah, tak adanya
nak beli buku-buku tu. Online lagi
tu. Haish… Tak sanggup…
Aqil membuka bungkusan yang diterimanya.
Terserlah beberapa buah buku. Yang tebal. Yang nipis. Semua ada. Diambilnya
sebuah buku kecil dan nipis lalu diserahkan kepada Faizi. Comel sahaja buku
itu. Siap ada reben lagi pada kulit hadapannya. Kelihatannya buku tipis itu
memang sesuai untuk dijadikan hadiah kepada seseorang.
“Nah.”
“Nak buat apa buku ni?”
“Baca la kawan. Lagi mahu tanya ke?”
Buku kecil itu dibelek-belek. Muka hadapan buku
itu dibacanya. Dituturkan sepatah demi sepatah.
“Al-Ma’thurat… Kumpulan doa nabi SAW… susunan
As-Syahid Imam Hassan Al-Banna…”
“Aku hadiahkan buku tu pada kau. Ada masa baca
la. Seeloknya dibaca pagi dan petang. Biasa aku baca lepas Subuh dengan lepas Asar.”
“Terima kasih ya.” Bila aku nak baca entah buku
ni. Orang bagi, ambil sajalah. Pemberian orang jangan ditolak. Rezeki namanya
tu.
“Ini gaya macam nak bagi hadiah
pada orang saja, Qil.” Ditayangkan al-Ma’thurat yang cantik berbalut reben itu.
“Memang pun. Hadiah untuk kaulah tu…”
Aqil meleretkan kata-katanya. Tersungging senyum nakal pada bibir Aqil.
Kelihatan nakal sekali. Keningnya juga diangkat sedikit.
“Iya ke?” Faizi buat muka pelik dan
bertanya tidak percaya.
“Iyalah!” Aqil menjawab yakin.
Dilihatnya Faizi masih menunjukkan wajah sangsinya. Biarlah.
“Hmm. Hadiah.”
Faizi merenung buku kecil itu.
Diselakknya helaian demi helaian. Membaca sepintas lalu apa yang terisi di
dalam al-Ma’thurat itu. Pertama kali menerima hadiah yang tidak dijangka ini
membuatkan dia terasa pelik sendiri. Diberi buku pula tu!
“Kau nak pinjam buku Auto-CAD kan?
Sekejap ya. Aku nak simpan parcel ni
sekejap.”
“Okey.”
Faizi hanya memandang Aqil yang
sedang menyusun sesetengah daripada buku yang diterimanya di atas rak buku. Dia
mengitarkan pandangannya ke sekeliling bilik Aqil. Kemas sahaja bilik bujang
itu. Tidak bersepah seperti bilik kebanyakan budak lelaki lain. Kebiasaan
pemandanga yang dilihatnya di bilik-bilik rakannya yang lain tidak dilihat di
bilik ini.
Ada beberapa kertas berwarna-warni
yang elok tertampal di dinding berdekatan dengan meja belajar. Ada yang
bertulis tangan dan ada yang dicetak. Tulisan bahasa Arab pun ada. Doa belajar
mungkin. Di atas meja pula bersebelah dengan desktop terdapat bingkai gambar keluarga. Di sebelahnya tersusun
beberapa buah buku berserta helaian kertas A4. Cantik tersusun. Terserlah
kekemasannya.
Dialihkan pula pandangannya melihat
ke arah susunan tilam dan selimut tebal di sudut bilik berhampiran dengan
almari baju. Memang kebanyakan bilik pelajar di sini tidak mempunyai katil.
Hanya bertilam sahaja. Sememangnya budaya orang Korea begitu. Elok juga
tersusun. Tidak dibiarkan terbentang begitu sahaja jika tidak digunakan. Tidak
semak mata memandang.
Faizi memang akui yang Aqil ini
memang seorang yang sangat kemas dan menjaga penampilannya. Pakaiannya tidaklah
mewah dan berjenama. Biasa-biasa sahaja. Walaupun begitu memang kemas dan
terjaga. Sangkanya si Aqil ini cuma menjaga penampilan sahaja. Namun
sangkaannya meleset. Melihat kepada keadaan bilik Aqil ini, dia harus mengakui
yang tekaannya tidak tepat sama sekali.
“Nah.”
Korneanya dihidangkan dengan buku
Auto-CAD. Betul-betul di hadapan muka. Sikit lagi mahu mengenai hidung.
Dijarakkan sedikit kepalanya ke belakang. Terpamer riak terkejut pada wajah
Faizi.
“Terkejut aku!”
“Dah tu! Asyik sangat dok tengok
bilik aku ni. Dah kenapa?”
Alamak! Aqil perasan ke aku asyik
memerhati bilik dia? Faizi menggaru kepala yang tidak gatal. Dia tersengih.
Malu!
“Bosan tunggu kau simpan buku lama
sangat.” Sengih.
“Iyalah tu.”
“Ni Fahim pergi mana?”
“Tukar topik nampak?...” Aqil
menjegilkan matanya.
“…Dia keluar kejap. Pergi Sindorim
katanya.”
“Oh. Okeylah. Pinjam eh. Terima
kasih tau.” Diangkat tinggi al-Ma’thurat pemberian Aqil tadi.
“Sama-sama.” Aqil tersenyum senang.
2 comments:
nice cerpen. :)
byk pengajaran yg terkandung.
muhasabah scra tak langsung.
nunama: terima kasih..moga2 dpt diambil sbg pengajaran..insya-ALLAH..
Post a Comment