Tuesday, November 23, 2010

Berubah 8


Yahoo…. Terasa mahu menjerit dan memberitahu semua orang yang hari ini tak ada kelas. Weekend. Macam la orang lain tu tak tahu yang hari ini hari Sabtu. Putus fius ke apa kau ni Khai? Boleh tidur puas-puas hari ni. Lepas saja solat Subuh tadi, terus dia tarik selimut balik. Kalau di rumah, mama mesti dah membebel bila anak dara dia yang seorang ini tidur selepas Subuh.
Ala… Relakslah. Di Malaysia, Subuh pukul berapa? Di Korea, Subuh pukul berapa? Sekarang ini masih lagi musim bunga. Walaupun sudah hampir di penghujung musim. Tidaklah terlampau awal waktu Subuhnya. Jika masuk musim panas nanti, memang waktu Subuh tersangatlah awal. Pukul 5 pagi matahari sudah terbit. Terang-benderang bagaikan sudah pukul 8 pagi. Sudahnya Khai terlena dibuai mimpi.
Terdengar sayup-sayup suara orang memanggil-manggil namanya. Ish… siapalah pula yang mahu mengacau tidur aku ni? Bukannya ada kelas pun hari ni.
“Khai… dah nak dekat Asar dah ni. Khai belum solat Zohor lagi kan? Bangunlah. Nanti terlepas pula waktu Zohor.” Jika tadi hanya suara yang kedengaran. Sekarang ini terasa kakinya disentuh perlahan. Kak Maryam memang selalu begitu. Dia akan mengejutkan orang yang sedang tidur dengan menyentuh hujung kaki orang itu. Katanya itulah cara yang terbaik untuk mengejutkan seseorang. Tapi memang betul pun. Setidak-tidaknya cara itu sesuai digunakan untuk mengejutkan seorang Nur Aufa Khairina yang sememangnya diketahui agak liat untuk bangun tidur ini. Huhu.
“Orang bangun la ni.” Lambat-lambat dia bangun juga. Kalau tidak difikirkan yang dia belum mendirikan solat Zohor lagi tadi, mahu sahaja dia terus menyambung tidurnya. Pastinya dia akan mengabaikan sahaja suara lembut itu.
Selesai sahaja dia memberi salam, kedengaran azan berkumandang daripada laptop Farhah yang terpasang. Ini mesti Farhah mahu pergi sekali ke DMU ni.
Farhah merupakan satu-satunya teman yang boleh bertahan dengannya sejak dari INTEC lagi. Sikap Farhah yang tidak mengambil kisah akan penampilannya itu membuatkan dia selesa berkawan dengannya.
Dia dan Farhah mula rapat sejak mereka sekumpulan semasa minggu orientasi lagi. Kemudian mereka selalu sekelas semasa belajar bahasa Korea di Language Education Institute, Seoul National University. Sekarang ini mereka menuntut di universiti yang sama pula. Cumanya mereka berlainan jurusan dan juga berlainan bilik.
“Jom, kita solat jemaah dulu. Farhah nak iqamah ke?” Kak Maryam menyoal Farhah yang baru mahu menyarungkan telekung.
“Apa kata hari ni Khai yang jadi imam, kak Maryam?” Farhah sudah memandang Khai sambil mengangkat keningnya dua kali. Jelas wajahnya beriak nakal.
“Saja nak kenakan kita ya, Farhah.” Laju sahaja tangan Khai dipanjangkan untuk mencubit lengan Farhah yang berdiri tidak jauh darinya.
“Kak Maryam la yang jadi imam…” Nada merengek manjanya sudah keluar. Dikerdip-kerdipkan matanya. Mesti kak Maryam cair. Hihi.
“Okeylah. Jom kita solat. Nanti lambat pula nak gerak ke DMU.” Akhirnya kak Maryam terpaksa mengalah. Biasalah. Kakak mesti kena mengalah dengan adik-adik, kan? Hehe.
“Khai, kita nak tinggal laptop kita di bilik Khai tau. Tadi ada discussion. Dah malas nak bawa naik ke bilik.”
Padahal tadi Farhah sudah pun memberitahu perihal yang sama kepada kak Maryam. Biliknya terletak di aras 6. Tak larat mahu memanjat tangga untuk ke biliknya di tingkat atas. Hendak menggunakan lif pun tidak boleh. Dia perlu menggunakan tangga juga untuk ke biliknya. Asrama yang mereka duduki ini mengasingkan lif untuk aras bernombor genap dan ganjil. Untuk itu, daripada bilik kak Maryam dan Khai yang beraras ganjil ini, dia tidak boleh menggunakan lif untuk terus ke biliknya. Tangga memanglah ada. Cumanya sekarang ini kemalasan melanda diri. Hihi.
“Letak sajalah Farhah oi. Macam tak biasa.” Khai menjulingkan matanya. Farhah yang melihat hanya tergelak kecil. Tahu yang Khai buat-buat menyampah dengannya.
“Farhah, seeloknya elakkanlah perkataan ‘malas’ tu ya. Apabila kita katakan malas pada diri kita sendiri, itu maknanya kita sudah meletakkan dalam diri kita sikap negatif itu. Farhah nak ke simpan sifat-sifat mazmumah tu banyak-banyak dalam diri? Tentu tak nak kan?” Kak Maryam menegur lembut. Farhah dipandangnya dengan renungan yang redup.
Laju sahaja Farhah menggelengkan kepalanya.
“Tak nak!”
“Jadi, kurangkanlah menyebut perkataan negatif itu ya, dik.”
Kak Maryam mengusap perlahan bahu Farhah sambil tersenyum manis. Farhah hanya mengganggukkan kepalanya. Kata-kata kak Maryam yang lembut itu mampu juga menerobos masuk ke dasar hati Khai. Terasa lain apabila mendengarnya.
Apa ke bendanya sifat mazmumah tu? Macam pernah dengar. Tapi lupa maksud dia. Khai tertanya-tanya sendiri. Sudah lama meninggalkan alam persekolahan membuatkan dia agak samar-samar dengan segala istilah bahasa Arab tersebut. Maklum sajalah, dulu belajar semata-mata untuk lulus peperiksaan. Habis sahaja peperiksaan, terus sahaja dilupakan segala apa yang dipelajari. Teruk sungguh! Huhu.
Dicuitnya sedikit lengan Farhah.
“Apa kak Maryam cakap tadi? Sifat maz…mu…mah..? Apa maksud dia?”
Dia berbisik pada Farhah. Bimbang didengari kak Maryam pula. Dia juga yang malu nanti.
Malu bertanya sesat jalan, Khai! Hati kecilnya membantah.
“Sifat mazmumah tu sifat-sifat yang buruk.”
Mulutnya membulat dan dia menggangguk tanda faham. Nantilah balik dari DMU nanti aku tanya lagi Cik Google. Semat Khai di dalam hati.
“Jomlah gerak. Dah lewat dah ni.”
Mereka bertiga bergerak seiring sambil menjinjit beg masing-masing. Terasa seperti dia sahaja yang agak pelik antara mereka bertiga ini. Apa tidaknya, bila ditoleh ke kanan kelihatan Kak Maryam sopan bertudung labuh dan memakai jubah seluar. Apabila ditoleh pula ke sebelah kiri, korneanya menangkap imej Farhah yang sopan sahaja berbaju muslimah dengan tudung yang agak labuh juga walaupun tudung itu tidaklah selabuh tudung yang dipakai oleh kak Maryam. Kemudian dia melihat pula pada dirinya sendiri. Dia sekadar memakai tudung yang hanya dipinkan pada leher sahaja dan memakai baby-T serta skinny jeans. Amat kontra sekali bila mereka bertiga berjalan bersama. Hanya dengan sekali imbasan pun orang sudah boleh perasan perbezaan di antara mereka bertiga.
             Namun, sepanjang dia berkawan rapat dengan Farhah, rakannya itu tidak pernah sekali pun menegurnya secara terus mengenai cara pemakaiannya. Begitu juga dengan kak Maryam. Sepanjang dia mengenali kak Maryam, tidak pernah dia mengesan kak Maryam memandang jelek terhadap dirinya. Layanan kak Maryam terhadap dirinya dan Farhah tidak ada bezanya. Layanannya sama rata sahaja. Hal ini membuatkan Khai selesa bergaul dengan mereka. 

No comments: