Monday, June 18, 2012

Are You Game?

Assalamu'alaikum wbt.

Lagi tentang Menghitung Hari. Countdown To Ramadhan, 32 Days To Go! Jom tengok video hasil garapan kreatif Cik Beah Osem ini. Something to ponder...



The Awesome Race! Are you game? 

Bagaimana? Awak pilih untuk jadi Ali atau Awi? Insya-ALLAH, mana-mana pilihan yang awak buat pun, ada kebaikannya pada diri awak.

Hmm...Kalau saya, saya mahu jadi Ali. Saya ini tamak sikit orangnya. Saya mahu minum susu buatan Pak Cik Abu yang sedap dan enak itu. Tak mahulah dapat gelas berkilat yang dibersihkan oleh Pak Cik Abu saja. Tapi...tak dapat minum susunya yang sememangnya enak sehingga ke titisan terakhir itu. :'( Tak mau. Tak mau.

Apa? Awak pun tamak macam saya juga? Yeay! Ada geng! :D

Err...Bila dah jadi tamak ni, kena kerja keras la sikit.  Baru boleh minum susu yang super duper sedap itu. Iya tak? Awak dan saya, kena la datang bawa gelas yang sudah berkilat. Sudah dibersihkan di rumah siap-siap sebelum ke gerai Pak Cik Abu. Gelas tak bersih, Pak Abu tak bagi susu dia tau!

Suatu analogi yang menarik dari Cik Beah Osem. Saya suka dengan analogi ini. Analogi yang ringkas, namun punyai suatu pengajaran yang tidak ternilai harganya bagi kita semua.

Lagi 32 hari untuk kita bertemu dengan Ramadhan. Moga-moga ALLAH izinkan kita semua untuk bertemu lagi dengan Ramadhan kali ini. Moga kita dapat beramal dengan amal yang terbaik yang dapat kita persembahkan pada ALLAH pada Ramadhan kali ini. Insya-ALLAH.

Ayuh, bersiap sedia dari sekarang. Masih berbaki 32 hari lagi. Insya-ALLAH, masih sempat untuk awak dan saya mempersiapkan diri seoptimum yang mungkin bagi menghadapi Ramadhan nanti.

Apa? Tidak tahu mahu mulakan dari mana? Boleh layari laman ini: http://30daysmarathon.blogspot.kr/

Awak boleh muat turun borang mutabaah amal. Bolehlah muhasabah kembali amalan harian awak dan mempertingkatkannya dari sehari ke sehari. Ada juga sedikit perkongsian tentang diet Rasulullah SAW dan 15 amalan Rasulullah SAW. Insya-ALLAH, bersama-sama kita mengamalkannya. Mulakan sedikit demi sedikit. Insya-ALLAH, apabila tibanya Ramadhan nanti, kita semua sudah boleh istiqamah dengannya.

Saat itu nanti, kita sudah boleh pecut untuk ke garisan penamat. Nanti, kita sama-sama berlumba memperbanyakkan amal pula. Insya-ALLAH.

Moga-moga, dengan persediaan yang dibuat ini, kita semua dapat menjalani ibadah di bulan Ramadhan dengan lebih efektif. Semoga amalan ini juga berterusan pada 11 bulan seterusnya. Insya-ALLAH.

Nota 1: Alhamdulillah, usai menjawab kertas ketiga. Automatic Control System. Masih berbaki tiga kertas lagi. Alhamdulillah, ALLAH permudahkan segala urusan. Hari ini saya menjawab soalan dengan senang hati walaupun tidak semua soalan dapat saya jawab dengan baik. Adakah sebab, hati riang mendengar perkhabaran kemenangan Dr. Mursi di Mesir?

Nota 2: Kemenangan ini bermakna sudah tiada lagi rehat bagi kita semua dalam menegakkan Islam di muka bumi. Kemenangan ini merupakan suatu titik tolak untuk kita semua mempergiatkan lagi kerja-kerja dakwah dan tarbiyah bagi mencapai ustaziatul alam.

Pilihan di tangan kita. Sama ada kita mahu turut serta dalam gerabak yang mahu menegakkan kalimah ALLAH di muka bumi. Ataupun, kita hanya sekadar mahu menjadi pemerhati kepada kejayaan itu kelak. Tepuk dada, tanya iman.

Saturday, June 16, 2012

Ada Manis Dalam Pahitnya Pengalaman Itu

Assalamu'alaikum wbt.

16 Jun 2012. Tarikh ini dengan rasminya Persatuan Pelajar Malaysia Korea (PPMK) membuka keahliannya kepada semua warga Malaysia yang berada di Korea Selatan. Sebelum ini PPMK hanya terbuka kepada pelajar tajaan JPA sahaja. Alhamdulillah. Together we unite. Eh.

16 Jun 2012 juga dah tinggalkan banyak kenangan pada saya. Dalam pahit ada manisnya. Alhamdulillah, ALLAH pilih saya untuk lalui semua ini. Err...apa yang dah berlaku sepanjang hari ini?

Huu. Pengalaman yang insya-ALLAH tak akan saya lupakan la.

Pagi tadi, sebelum ke Seoul, turun bawah mahu print kertas, rosak pulak dah printer kat bawah tu. Biasanya budak hostel print kat situ je. Terpaksa la menapak ke bangunan 51 untuk print. On the way nak ke bangunan 51 tu, terserempak dengan Haida kat tengah jalan. Tanyalah dia nak ke mana? Katanya mahu ke bilik exam semalam, tertinggal telefon di situ. Saya cakap la pada dia, "Ni mesti fokus sangat study ni, sampai lupa phone. Insya-ALLAH ada la tu phonenya." Sekuntum senyuman saya berikan pada dia. Harapnya kegusaran dia tu terubat la sikit kan.

Perjalanan ke Seoul diteruskan. Tiada apa-apa yang istimewa. Smooth je perjalanan. Nak naik bas dari Sindorim Station ke DMU pun tak perlu tunggu lama. Terus je naik bas 6640 lepas lintas jalan. Tak ramai pula tu orang dalam bas. Alhamdulillah, dapat la saya duduk. Seat untuk dua orang tu, saya duduk sorang je. Heaven kan? :')

Tiga stesen lepas tu, buka je pintu bas, terus saya tick T-Money dan menonong turun bas. Tadi waktu dalam bas, saya sudah berura-ura untuk call Ayla, mahu tanya dia di mana. Turun je bas, terus la capai telefon dalam poket baju. Eh? Mana telefon? Seingat saya, memang saya letak dalam poket baju. Tak macam selalu, saya suka letak telefon dalam beg. Terus selongkar beg. Kot la waktu dalam subway tadi saya letak telefon dalam beg kan. Selongkar punya selongkar, tak jumpa pun telefon. Bas dah pergi dah.
Huu.

Confirm la telefon tu terjatuh di tempat duduk yang saya duduk dalam bas tadi kan? ALLAH! Tadi baru je bercakap dengan Haida yang tertinggal telefon dia di dewan exam. Sekarang ni, saya pula yang tertinggal telefon di dalam bas! Masa ni, saya tak rasa berdebar-debar sangat. Saya yakin yang saya akan jumpa telefon saya balik. Tak tahu la dari mana datangnya keyakinan itu. Pastilah dari ALLAH kan?

Terus saya bergerak ke dewan perasmian pembukaan PPMK. Sampai sahaja di sana, orang-orang besar sudah mahu bergerak ke dewan makan. Ada BBQ tau. Hadirin juga sudah berpusu-pusu keluar dewan. Sempat lagi bersalaman dengan senior-senior dan junior-junior. Sempat lagi dihulurkan kad jemputan walimah senior. :D

Kemudian, barulah saya sibuk-sibuk tanya mereka, bagaimana mahu pergi ke tempat bas-bas berkumpul. Macam mana mahu dapatkan balik telefon yang tertinggal atas bas. Mereke ceritakan la juga pengalaman mereka yang pernah kehilangan telefon. Tapi, waktu tu telefon biasa la. Smartphone belum pernah ada pengalaman lagi. :'(

Mereka berikan kata-kata harapan pada saya. Insya-ALLAH, saya akan dapat balik telefon saya, kata mereka sambil tersenyum dan mengusap-usap bahu saya. Perlu keep calling la nombor saya tu katanya. Moga-moga ada yang jumpa telefon saya dan pulangkan balik telefon tu.

Saya pinjam telefon Wani dan mulalah mendail nombor sendiri. Sekali dail tidak berangkat, saya masih cool lagi. Namun, apabila berkali-kali mendail masih juga tidak berangkat, saya sudah berdebar-debar semacam. Selama tiga tahun saya pakai Humaira', belum pernah lagi tercicir atau tertinggal Humaira' di mana-mana. Aswad ini, baru nak masuk tiga bulan saya pakai, sudah hilang. Huu. Sudah la minggu depan mahu pulang ke Malaysia. Masak la saya kalau mahu bayar balik harga smartphone ni. Huu.

Penat mendail, saya dapatkan kawan-kawan dan bersembang ala kadar dengan mereka. Tidak mahu memikirkan sangat pasal kehilangan Aswad. Apabila semua sudah mahu bergerak ke tempat BBQ, saya telefon balik. Alhamdulillah, kali ini ada yang menjawab panggilan saya.

Untuk mendapatkan kembali Aswad, saya perlu ke Cheonwang Station. Orang lain bergerak untuk makan, saya pula menongkah arus bergerak keluar mendapatkan kembali bas 6640 ke Cheonwang Station. Sampai sahaja di bus-stop, bas 6640 baru sahaja berlalu. Kena la tunggu 10 minit lagi.

Waktu menunggu bas seterusnya, saya duduk di bangku yang disediakan. Kemudian, ada seorang mak cik duduk di sebelah saya. Anaknya berdiri di sebelah kirinya. Usai je duduk, dia berpaling pada saya dan bertanya, "Tak panas ke pakai macam ni?" Ditunjukkan pada tudung yang saya pakai. "Kenapa awak pakai macam ni ye? Panas-panas ni..."

Saya katakan padanya yang saya Muslim, jadi perlulah pakai tudung. Kemudian dia tanya saya, "Muslim itu apa?"

Saya jawab, "Muslim itu...Islam. Islam itu suatu agama." Mak cik itu nampaknya terangguk-angguk. Anaknya di sebelah mencuitnya. "Mak, tak payah la tanya. Kan mak tahu je Islam tu agama." Itu yang anak mak cik itu cakapkan.

"Biarlah mak nak tanya. Curious tau, nak tahu kenapa orang Islam nak pakai macam tu.." Balas mak cik itu agak tidak berpuas hati dengan teguran anaknya.

Kemudian mak cik itu berpaling kembali pada saya dan bertanya, "Oh...Muhammad kan?"

Saya mengangguk dan mengiyakan. "Muhammad tu manusia kan? Awak, orang Islam ni, sembah manusia la ye?"

Untuk jawapan yang pertama saya katakan, "Ya, Muhammad itu manusia." Saya terus menggeleng untuk soalan yang kedua. "Kami tak sembah Muhammad. Kami sembah ALLAH..."

Tak sempat saya melanjutkan jawapan, mak cik itu bertanya lagi, "ALLAH itu siapa?"

Saya cakap, "ALLAH itu Tuhan yang Maha Pencipta. (알라신 우리 하나님이예요.)"
[신 (baca: Shin) = God]
[하나님 (baca: Hananim) = God, Creator, the Lord, the AlMighty)]

Mak cik tu tanya, "알라가 보일 수 있는 신? 아니면 보일 수 않은 신?" (ALLAH tu, Tuhan yang boleh tengok ke..Tuhan yang tak boleh tengok?)

Saya jawab la, "ALLAH tu Tuhan yang tak boleh tengok."

Mak cik tu tanya lagi, "Habis sekarang ni, ALLAH awak tu, 신 (Tuhan) ke 하나님 (Yang Maha Pencipta)?"

Saya ulang lagi cakap yang ALLAH itu Tuhan yang Maha Pencipta. Mak cik tu tak berpuas hati dengan jawapan saya, dia cakap, "Cuba awak fikir ye. Manusia ni Tuhan (신; Shin) yang cipta. Kalau macam tu, mestilah ada yang cipta Tuhan juga. Awak tak pernah fikir ke ada yang cipta ALLAH tu?"

ALLAH! Saya masa ni, dalam kepala macam-macam ayat dah tersusun, sayangnya, bait-bait kata itu tidak terluah oleh bibir. Hati dan akal saling bertingkah dengan pelbagai jawapan untuk menangkis kata-kata mak cik di sebelah kiri saya ini. Namun, mulut dan lidah bagaikan kelu dan kaku, terus membisu seribu bahasa. Hati saya merintih hiba saat itu.

Mak cik tu sambung lagi, "Itulah dia 하나님; Hananim. Tapi ALLAH awak tu siapa pula yang cipta? ALLAH awak tu Shin tau, bukan Hananim. Agama saya ni barulah Hananim. Awak ini, beza Shin dan Hananim pun awak tak tahu." Saya nampak, anak mak cik itu tidak sudah mencuit dan memujuk ibunya supaya berhenti bersoal jawab dengan saya.

Namun mak cik itu masih tegar memuntahkan berdas-das tembakan soalan pada saya yang nyata terkelu seribu bahasa saat ini. Hanya mata yang terkelip-kelip memandang mak cik tu. Akal memproses segala kata-katanya. Hati membantah keras setiap kata-katanya. Namun tidak terluah dengan kata-kata. ALLAHU ALLAH. Betapa lemahnya saya rasakan saat itu.

"Awak, perlu ke tempat ibadah kami, baca kitab kami, pelajari agama kami. Kemudian, baru awak tahu, apa itu Shin, apa itu Hananim." Saya hanya mampu ukirkan senyuman yang saya rasakan agak hambar dan menganggukkan kepala sedikit pada mak cik itu.

"Awak belajar di mana?" Mak cik itu nampaknya sudah beralih topik. Mungkin perasan yang saya sedari tadi sudah menjadi bisu sambil mata tidak lepas memandang skrin yang memaparkan masa ketibaan bas.

"Sungkyunkwan University." Jawab saya perlahan.

"Awak budak pandai nampaknya. Sungkyunkwan University itu antara universiti yang bagus di Korea ini. Bahasa Korea awak pun agak bagus. Jadi, awak boleh belajar tentang agama kami. Sungkyunkwan University pun berasaskan Confucius kan? Belajarlah tentang kepercayaan itu juga." Mak cik itu menasihati saya panjang lebar.

Saya hanya mampu menganggukkan kepala. "Belajar rajin-rajin ye. Mak cik pergi dulu. Bas dah sampai." Dihulurkan senyuman manis buat saya, lalu dia terus berlalu bersama anaknya menaiki bas.

Saya? Memandang setiap langkah mak cik tersebut sehingga kelibat mereka hilang. Bibir masih kelu. Hati merintih kesedihan. Apabila bas 6640 sampai, terus saya naik. Duduk. Memandang ke luar tingkap sambil hati berbicara. Masih terngiang-ngiang setiap kata-kata mak cik tadi. Bagai terlayar di hadapan mata, reaksi saya yang kaku membeku. Dada terasa sesak dan sebak. Tanpa sedar air mata bergenang. ALLAH, maafkan diri ini yang tidak mampu menjelaskan tentang agama-MU kepada mak cik tadi. Betapa berdosanya diri ini rasakan saat tidak dapat menjawab setiap pertanyaan mak cik itu tadi.

Sungguh, ALLAH mahu tunjukkan pada saya tentang sesuatu. Perlu belajar untuk menjawab hujah-hujah orang seperti mak cik tadi. Mungkin dia sudah tahu tentang Islam, tentang ALLAH. Mungkin dia hanya mahu memprovok saya. Namun, betapa kerdilnya diri ini rasakan apabila tidak mampu menjawab dan menjelaskan setiap provokannya dengan penuh berhikmah. ALLAHU ALLAH.

Sampai sahaja di Cheonwang Station, saya menelefon orang yang menjumpai Aswad. Tidak lama kemudian, kakak itu datang membawakan Aswad pada saya. Alhamdulillah. ALLAH izinkan kakak ini tergerak hati untuk mengambil Aswad dan mengembalikannya kepada saya. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.

Sewaktu menunggu bas untuk kembali ke DMU, saya ditegur oleh seorang mak cik. Saya tahu mak cik ini orang gereja. Sebabnya dia menyediakan air di laluan pejalan kaki itu dan memberikannya kepada semua yang melalui laluan itu sambil menyebarkan dakyah agamanya. Soalannya masih berkisar tentang tudung yang saya pakai.

"Tak panas ke awak pakai macam tu?" Tegurnya lembut sambil tersenyum dan menghulurkan secawan kopi ais pada saya.

"Panas la jugak. Tapi memang Islam suruh saya pakai macam ni." Begitulah lebih kurang saya jawab pada mak cik tu. Kalau nak kata tak panas, itu tipu la kan?

"Mak cik tahu awak Islam." Mak cik itu senyum lagi. Saya juga hanya tersenyum mendengar jawapannya.

"Awak minta la dengan Tuhan awak supaya dia bagi awak kebebasan. Minta pada dia supaya awak tak perlu lagi pakai tutup-tutup macam tu. Tuhan awak mesti baik kan? Mintalah pada dia. Tuhan kami pun baik jugak. Kami minta je apa-apa yang kami mahu pada dia." Murah sungguh senyuman mak cik ini. Sempat lagi promote agama dia.

Saya cuma tayangkan gigi pada mak cik itu. Nak tergelak sebenarnya. ALLAH suruh orang perempuan tutup aurat sebab DIA memang tahu, ini yang terbaik untuk orang perempuan. DIA mahu menjaga maruah dan kehormatan seorang wanita. Boleh pula mak cik ini suruh minta pada ALLAH macam tu...Terubat sedikit walang di hati mendengar nasihat mak cik ini.

Kemudian mak cik itu kembali ke mejanya. Setiap yang lalu pasti akan singgah untuk minum kopi ais. Sebelum orang itu berlalu pergi, pasti mak cik itu pesan supaya ke gereja, supaya belajar agama. Mak cik itu menyampaikan pesanan dengan penuh lemah-lembut dan menayangkan muka yang manis. Si pendengar pula, hanya mengangguk dan tersenyum.

Sungguh, hari ini saya diduga oleh ALLAH dengan kehilangan Aswad walaupun sekejap cuma. Kemudian ALLAH hadirkan dua orang mak cik yang berbeza perwatakannya bertanyakan saya perihal Islam. ALLAH hadirkan juga seorang kakak yang baik hati memulangkan kembali Aswad pada saya.

Cantik kan aturan ALLAH? ALLAH bagi saya kepahitan, kesedihan, kegelisahan...Kemudian, ALLAH bagi saya kegembiraan dan kemanisan pengalaman. Sungguh, pengalaman hari ini sungguh manis. Pahit pada mulanya, namun manis pada akhirnya.

Banyak yang saya belajar dari apa yang terjadi hari ini. Harapnya, awak yang membaca, mengambil teladan dan pedoman dari kisah saya ini. Harapnya awak semua tidak menjadi seperti saya yang kelu seribu bahasa saat ditanyakan tentang Islam. Tak terkeluar segala bahasa Korea yang tersusun di kepala waktu itu. Sedihnya rasa ALLAH sahaja yang tahu. Moga ALLAH memberikan taufik dan hidayah pada mak cik tadi dan kepada kita semua agar terus mendekati-NYA. Insya-ALLAH.







Tuesday, June 12, 2012

Menghitung Hari

Assalamu'alaikum wbt.

Menghitung hari
 Detik demi detik
 Masa ku nanti apa kan ada
Jalan cerita kisah yang panjang
Menghitung hari....

Iya. Saya sedang menghitung hari. Sekarang ini, boleh dikatakan setiap orang yang saya kenali sedang menghitung hari. Ada yang sedang menghitung hari peperiksaan akhir semester. Ada yang sedang menghitung hari mahu pulang ke Malaysia. Ada yang sedang menghitung hari dalam debar menanti lafaz ijab dan kabul. Ada yang sedang menghitung hari untuk konvo. Fuuuhhhhhhh...Pendek kata, semua sedang menghitung hari. 

Saya pun sedang menghitung hari-hari yang masih berbaki 2 minggu ini, untuk menghabiskan segala projek akhir semester sebelum menduduki ujian akhir semester. Kemudian saya juga sedang menghitung hari untuk menjejakkan kaki ke bumi Malaysia. Tidak sabar mahu menjejakkan kaki ke Tanah Serendah Sekebun Bunga. Tidak sabar mahu menatap wajah-wajah kesayangan yang sudah lama tidak bersua muka. Huu...Rindu! 

Owh ya! Saya juga sedang menghitung hari untuk bertemu dengan 'dia'. Sudah hampir setahun saya berpisah dengan 'dia'. 'Dia' memang akan datang bertemu dengan saya setiap setahun sekali. :P Rindu sangat-sangat dengan 'dia'. Masih ada 38 hari lagi mahu ketemu sama 'dia'. 

Sekarang ini, saya sedang bersiap-siap mahu ketemu sama 'dia'. Iyalah kan, 'dia' hanya datang untuk bertemu saya setahun sekali. Jadi, saya perlulah menampilkan penampilan yang amat cantik dan bergaya sekali di saat pertemuan kami nanti. Tak gitu? Hee. 

Andai kata ditakdirkan, ALLAH tidak mengizinkan saya bertemu dengan 'dia' pun tahun ini, sekurang-kurangnya, saya berusaha untuk mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk bertemu dengan 'dia'. Huu. Moga-moga ALLAH panjangkan umur saya untuk bersua lagi dengan 'dia' tahun ini. 

Err...'dia' itu, kalau awak semua nak jumpa pun boleh je^^ Jom sama-sama mempersiapkan diri untuk bertemu dengan 'dia'. Siapakah 'dia' itu? Ramadhan al-Kareem.

 Iya. Bulan Ramadhan yang mulia. 30 hari di bulan Ramadhan untuk kita maraton dalam beramal. Sungguh, saya rindukan suasana Ramadhan. Terutamanya Ramadhan tahun lepas, yang mana saya berpeluang merasai nikmat qiam, bersahur, berbuka dan beriktikaf di Masjid Itaewon hampir pada setiap malam pada 10 malam terakhir. Masya-ALLAH, sungguh syahdu. 

Insya-ALLAH, tahun ini saya akan menyambut Ramadhan di tanah tumpah darah sendiri. Moga-moga Ramadhan di bumi sendiri lebih memungkinkan untuk saya mempertingkatkan amal ibadah pada-NYA. Insya-ALLAH. Allahumma balighna fi Ramadhan. Ya ALLAH, sampaikanlah kami pada Ramadhan-MU. 

Yuk, bersama mempertingkatkan amal semampu dan semaksimum yang mungkin sebelum menghadapi Ramadhan al-Mubarak. Persiapkan diri dengan segala amal dan mutaba'ah amal, supaya nanti apabila menjelang Ramadhan, tubuh kita sudah terbiasa dengan segala amal ibadah ini. Supaya nanti, tubuh kita ringan untuk beramal. Moga-moga, pada bulan Ramadhan nanti, kita dapat memecut selaju yang mungkin terutamanya pada 10 hari terakhir Ramadhan.

Bersama berlumba mengejar redha Ilahi. Bersama berlumba mengejar syurga-NYA. Insya-ALLAH.

Mahukan checklist mutaba'ah amal? Boleh download di link ini: http://30daysmarathon.blogspot.kr/ 

Semoga amal yang kita persiapkan menjelang Ramadhan ini akan terus diamalkan secara istiqamah setelah Ramadhan berlalu nanti. Insya-ALLAH. 

Sunday, June 3, 2012

Rational vs Emotional

Assalamu'alaikum wbt.

Hari ini saya belajar lagi perkara baru. Err...hari-hari pun kita akan belajar sesuatu yang baru kan?

Selalu kita dengar yang perempuan ini lebih beremosi daripada lelaki. Lelaki lebih rational daripada perempuan. Namun, ada ketikanya, lelaki ini akan lebih emosionalnya berbanding perempuan.

Bagaimana kita sebagai perempuan mahu menangani emosional lelaki yang terlebih dos ini? Kita yang perempuan ini, yang sudah terkenal dengan selalu beremosi ini pastinya akan menjadi semakin beremosi apabila lelaki terlebih emosi kan? Hee. Saya pun sama je sebenarnya. Bila orang berapi-api mulalah saya pun mahu meluahkan larva panas. Tak tahan-tahan nak meletup ha...Huhu..my bad..=.=

Okay. Berbalik kepada soalan yang saya utarakan tadi. Bagaimana mahu menangini lelaki yang beremosi? Emosi itu tidak boleh dibalas dengan emosi juga. Jika boleh berterus terang, kita perlu cakap dengan penuh profesionalnya.

"Orang lelaki tak suka orang emo, walaupun kadang-kadang mereka yang emo"
-Kak Siti-

Jadinya, kita perlulah berdiplomasi apabila berurusan dengan mereka. Kita tidak boleh membalas kata-kata mereka dengan penuh emosi. Kita perlu gunakan kata-kata yang agak skema supaya kita tidak memasukkan emosi ketika berbicara dengan lelaki yang beremosi. *Err..macam susah je nak apply nih. =.=*

Kita cuba ye sahabiah sekalian. Demi kebaikan dan kemaslahatan bersama. Saya pun sedang cuba dan akan terus mencuba. Tak salah untuk kita belajar untuk menjadi lebih baik bukan?





Friday, June 1, 2012

Saya Begini, Awak Begitu

Assalamu'alaikum wbt.

Dalam kehidupan sehari-hari kita ni, kita tidak akan terlepas untuk berurusan dengan orang kan? Pergi kelas, ada pelajar dan pendidik. Pergi kedai, ada penjual dan pembeli. Naik bas, ada pemandu dan penumpang. Pendek kata, memang kita akan berurusan dengan pelbagai jenis orang setiap hari. Kita akan menemui pelbagai ragam dan gelagat manusia setiap hari.

Saya, sejujurnya, masih belum mampu untuk bersabar dalam beberapa hal yang melibatkan saya perlu berurusan dengan orang ini. Huhu. ALLAHU ALLAH. Mesti akan sampai pada satu tahap, saya sudah tidak mampu menahan sabar saya lagi. Maafkan saya. Saya masih berusaha untuk mengawal emosi dan rasa marah ni.

 Banyak udang banyak garam.
 Banyak orang banyak ragam.

Lain padang lain belalang
Lain lubuk, lain ikannya.

Benar. Bagai bidalan dan pepatah di atas. Pandai kan, orang-orang terdahulu mencipta kata bidalan yang memang benar dan wujud keadaan itu sehingga ke hari ini. Setiap orang punya karenah dan tingkah yang tersendiri. Kita sesama adik-beradik pun selalu bertelagah dan bercanggah pendapat juga kan? Inikan pula kita dengan kawan-kawan dan orang sekeliling kita. 

Patutlah orang kata, untuk betul-betul mengenal seseorang itu kita perlu berpergian (baca : bermusafir) dengannya terlebih dahulu. Dari situ kita akan kenal perangainya macam mana. Apa reaksi dia kalau dia marah, apa telatah dia kalau dia gembira dan sebagai. Jika kita belum pernah travel bersama dengannya, maknanya kita belum betul-betul mengenali orang itu lagi.

Kalau nak tahu, itu jugalah piawaian dan kayu ukur yang Saidini Umar Al-Khattab letakkan bagi menilai agama dan akhlak seseorang.

Ketika datang seorang lelaki yang memberikan kesaksian untuk seseorang, Umar bertanya kepadanya:


Umar     : Adakah kamu mengenal orang ini?
Sahabat : Ya.
Umar     : Adakah kamu berjiran dengannya dan mengetahui saat dia keluar masuk?
Sahabat : Tidak.
Umar     : Adakah kamu pernah menemaninya dalam satu perjalanan (musafir) dan        
               mengenal kemuliaan akhlaknya?
Sahabat : Tidak.
Umar     : Adakah kamu pernah berinteraksi dengannya yang melibatkan dinar dan dirham     
              (duit), sehingga kamu mengenal sifat hati-hatinya?
Sahabat : Tidak.
Umar     : Mungkin kamu pernah melihatnya berdiri dan duduk solat di masjid, mengangkat kepalanya pada suatu ketika dan menundukkannya pada saat yang lain?
Sahabat : Ya.
Umar     : Pergilah. Sungguh kamu tidak mengenalnya. 
(Dipetik dari blog kak Fatimah Syarha)

Memang diakui, agak sukar untuk kita sentiasa berjumpa dengan orang yang 'sekepala' dengan kita. Yang banyaknya asyik berjumpa dengan orang yang 'tidak ngam' sahaja. Betul tak? ALLAH jadikan setiap dari kita ini berbeza pasti ada sebabnya. ALLAH tidak akan menjadikan setiap sesuatu itu sia-sia.

"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu  berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa. 
Sungguh, ALLAH Maha Mengetahui, Maha Teliti." 
[Al-Hujurat, 49, 13]

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-NYA ialah penciptaan langit dan bumi, perbezaan bahasamu dan warna kulitmu. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui." 
[Ar-Rum, 30:22]

Nampak kan? Itu yang ALLAH beritahu kita di dalam surat cinta-NYA. DIA jadikan kita berbeza untuk kita saling mengenal. Jadinya, memang akan wujudlah awak begitu, saya begini apabila kita berbeza. Saya suka itu, awak suka ini. Saya kata begini, awak kata begitu. Sebab itulah kita perlu pandai dalam berurusan dengan semua orang. Public relation (PR) perlu mantap. Barulah kita dapat 'masuk' dengan semua orang dan dapat berurusan dengan lancar dengan semua orang. 

Bagaimana mahu selesaikan masalah 'Saya Begini, Awak Begitu' ini? Hmm..perlulah berlapang dada, tidak mudah melatah, bersabar, bertimbang rasa dan bertolak ansur ketika berurusan. Okay. Saya akui, bukan senang untuk mempraktikkan formula ini. Insya-ALLAH, sama-sama kita cuba ye sahabat sahibah. Saya juga masih berusaha untuk menterjemahkan teori ini ke dalam praktikal. Insya-ALLAH. 

Apa yang penting, kita sama-sama meraikan perbezaan masing-masing dan kita sama-sama mencari persamaan antara kita. Jangan asyik menuding jari pada orang sahaja, kerana ada 4 lagi jari yang menghala ke arah kita. Perlu juga mengakui kesalahan sendiri. Jangan dilayan sangat ego yang hadir di dalam diri. Barulah perhubungan itu harmoni. 

Insya-ALLAH. Sama-samalah kita mempraktikkanya dalam kehidupan. Saya yang menulis ini lagi-lagi lah perlu mempraktikkan apa yang saya tuliskan. Doakan saya ye sahabat sahibah. 

Nota 1: Menjelang 3 minggu untuk mengakhiri semester musim bunga hari-hari yang dilalui makin hectic. Projek datang silih berganti, kuiz juga berbaris-baris pinta diduduki, tugas-tugas yang lain juga ikut beratur pinta dilunasi. 

Nota 2: Sedar tak sedar. Hari ini sudah 10 Rejab 1433H. Bermakna ada lagi 30 hari untuk bertemu dengan Ramadhan. Allahumma ballighna fi Rajab wa Syaaban wa ballighna Ramadhan. Ya ALLAH, sampaikanlah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan. Ayuh, berlatih dari sekarang untuk berlumba beramal di bulan Ramadhan nanti. Tumuhat (baca: obsesi) saya untuk Ramadhan kali ini mahu menjadikannya yang terbaik. Amal yang terbaik yang mampu saya persembahkan di hadapan Rabbi nanti. Seterusnya akan kekal istiqamah dalam beramal pada bulan-bulan selepasnya. Insya-ALLAH. Moga saya diberikan kesempatan oleh-NYA untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadhan kali ini.