“Kak Nia, sayakan
semenjak seminggu dua ni asyik rasa lemau saja. Nak buat semua benda pun malas.
Nak baca Quran malas. Nak sunat malas. Nak baca al-Ma’turat pun malas. Pendek
kata semua pun malaslah. Huhu. Apa saya kena buat ya? Saya tak mahu terus
berada dalam keadaan macam ni.”
Khai yang sedang
baring bermalas-malasan seusai bacaan al-Ma’thurat tadi terdengar perbualan
Layyinah dan kak Nia di sudut surau. Mereka yang lain ada yang kembali ke bilik
masing-masing untuk menyediakan sarapan. Kak Maryam dan Farhah juga lesap entah
ke mana. Mungkin mereka pergi menolong menyiapkan sarapan. Khai ditugaskan
untuk membancuh teh. Kak Nia dan Layyinah pula sedang mengemas surau.
Matanya
dipicingkan sedikit ke arah Layyinah yang sedang menghadap kak Nia. Wajah itu
kelihatan muram sekali. Dilihatnya kak Nia mengusap bahu Layyinah lembut.
Senyum menguntum di bibir kak Nia.
“Hmm… Layyinah
sepatutnya melawan perasaan malas itu. Semua itu godaan dan hasutan syaitan.
Kak Nia percaya, Layyinah pun tidak mahu terus begitu bukan?”
Layyinah
mengangguk lemah. Dari sinar matanya jelas kelihatan yang dia mahu melawan
segala rasa malas yang hadir dalam dirinya sejak kebelakangan ini.
“Imam Tirmizi ada
cakap, “Al iimaamu yaziidu wa yanqush.
Iman itu bertambah dan berkurang. Iman itu ada naik dan turunnya. Yaziidu bittaa’ah, wa yanqushu bil ma’shiyah.
Bertambah kerana ketaatan dan berkurang kerana kederhakaan.” Kak Nia
percaya, Layyinah pun pernah dengar ayat ni kan?”
Lembut sahaja kak
Nia menyusun bicaranya. Matanya menatap redup wajah Layyinah yang sudah
berkaca-kaca matanya itu.
“Pernah.”
Pendek sahaja
Layyinah menjawab pertanyaan kak Nia itu. Wajahnya ditundukkan. Sesekali dia
menyeka air mata yang laju sahaja mengalir ke pipi.
Khai yang sedari
tadi memerhatikan drama sebabak itu tersentuh hatinya. Tidak sedar matanya
basah. Setiap patah kata yang keluar dari kedua ulas bibir kak Nia terasa
bagaikan menusuk ke hatinya. Meresap masuk dan tersimpan kemas di sudut hati.
“Perasaan malas
itu hadir hasil daripada bisikan syaitan. Jika kita terikut-ikut dengan bisikan
syaitan itu, maka akan tersenyum lebarlah syaitan meraikan kemenangannya. Iya.
Iman itu memang akan bertambah dan berkurang, Layyinah. Kak Nia pun sama juga
dengan Layyinah. Masih lagi berusaha untuk terus menjadi baik dan lebih baik
setiap hari. Untuk itu kita perlu melawan segala rasa malas yang hadir dalam
diri. Kita perlu menepis setiap bisikan dan godaan syaitan itu. Biar syaitan
menangis, meraung kerana tidak dapat menggoda kita.”
Kak Nia menarik
nafas seketika. Bagaikan berat baginya untuk melafazkan kata. Matanya dipejamkan
sebentar.
“Kita harus berdoa supaya ALLAH menghindarkan diri kita
daripada segala perbuatan maksiat dan dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil.
Jangan pernah percayakan diri kita yang kita boleh menghindarkan diri kita
daripada melakukannya kerana hanya ALLAH-lah yang mampu menghindarkan kita
daripada melakukan segala perbuatan maksiat dan dosa tersebut.
Ingatlah bahawa syaitan itu amat licik sekali
menggoda manusia. Mohonlah kepada ALLAH agar kita dihindarkan daripada godaan
syaitan yang licik ini.”
Setiap ayat yang diluahkan itu seolah-olah suatu bisikan
untuk diri kak Nia sendiri. Perlahan tetapi masih tetap jelas didengar oleh
pendengaran Khai yang sedari tadi memasang telinga.
“Kita sama-sama berusaha melawan segala sifat mazmumah tu ya,
Layyinah. Harapnya walaupun iman kita itu turun, tetapi iman itu makin
meningkat naik lebih tinggi daripada sebelumnya selepas penurunannya.
Insyaa-ALLAH.”
Dicapainya tangan Layyinah dan digenggammnya erat. Mahu
menyalurkan sedikit kekuatan mungkin.
Perlahan Layyinah mendongak memandang wajah mulus kak Nia.
Wajahnya sudah basah dengan air mata sejak tadi lagi. Kedengaran sendu halus.
Dileraikan genggaman tangan kak Nia itu. Ditariknya kak Nia rapat dengan
dirinya. Layyinah melampiaskan rasa terharunya di bahu kak Nia.
Khai yang melihatnya sebak sendiri. Sungguh, dia merasakan
suatu kelainan. Beginikah yang dikatakan ukhuwah itu? Ikatan persaudaraan yang
terjalin atas dasar iman? Farhah selalu juga menyebut tentang ukhuwah ini
kepadanya. Waktu itu dia hanya mendengar sekali lalu sahaja. Sekadar masuk
telinga kanan dan keluar ke telinga kiri. Tidak benar-benar menghayati. Namun
kini, perbualan ringkas antara Layyinah dan kak Nia itu menunjukkan kepadanya
apa itu ukhuwah. Persaudaraan atas dasar iman yang saling mengingatkan ke arah
kebaikan.
“Terima kasih banyak-banyak ya, kak Nia. Jazakillahu khair.” Layyinah tersenyum sebak selepas meleraikan
pelukannya. Basah jugalah bahu kiri kak Nia dengan air mata Layyinah.
“Waiyyaki.” Kak Nia
menyeka saki-baki air mata di pipi Layyinah. Senyuman manis terukir di
bibirnya.
“Khai…” Kak Nia menggamit Khai supaya menghampiri mereka. Senyuman
masih tidak lekang dari bibirnya.
Perlahan-lahan Khai bangkit dari baringnya. Matanya yang
basah diseka. Dia menghampiri kak Nia dan Layyinah lalu duduk bersimpuh di
sebelah kanan kak Nia.
“Alahai… merah dah mata dia.” Kak Nia memegang pipi Khai
lembut. Mengusik dalam nada terharu. Senyum dalam sebak.
“Kita sama-sama berusaha menguatkan sesama sendiri ya. Kita
saling mengingatkan dan saling menasihati ke arah kebaikan. Kak Nia pun masih
banyak lagi yang pincang.”
Tangannya menggenggam erat tangan Layyinah dan Khai. Tautan
tangan bertaut kejap. Anggukan kedua-dua ‘junior’nya itu makin melebarkan
senyumnya. Air matanya menitis setitis lagi ke pipi. Jagalah hati-hati mereka
ini, Ya ALLAH. Desis kak Nia di dalam hatinya.
“Air dah siap bancuh, Khai?”
Kak Maryam yang masuk sambil memegang 2 biji pinggan yang
berisi sandwich telur itu sedikit
memeranjatkan mereka. Tautan dileraikan.
“Belum lagi kak Maryam. Baru siap masak air.” Khai tayang
sengih. Suaranya kedengaran sedikit sengau.
“Oh. Okey.”
“Eh? Kenapa merah mata ni? Suara pun sengau semacam saja.”
Berkerut dahi kak Maryam. Pinggan yang dipegangnya diletakkan di atas kabinet
dapur sebelum tangannya kalut menyentuh dahi Khai.
“Tak panas pun. Selesema ke Khai?” Prihatin sahaja kak Maryam
bertanya.
Layyinah sudah memboloskan dirinya ke dalam bilik air. Kak
Nia pula bangkit perlahan dari simpuhnya menghampiri kak Maryam.
“Eh? Mata Nia pun sama. Merah.” Makin berlapis kerutan di
dahi kak Maryam. Tidak mengerti.
Kak Nia menarik perlahan kak Maryam ke sudut surau. Khai pula
disuruhnya membancuh air.
Kak Maryam mengangkat keningnya ingin tahu apa yang telah
berlaku.
“Sesi curhat tadi.” Ringkas sahaja kak Nia menjelaskan kepada
kak Maryam.
“Oh.”
Melihat kak Nia mengulumkan senyum, dia pasti sesi luahan
rasa itu pastinya baik-baik sahaja. Tiada apa yang perlu dirisaukan.
Lega. Ingatkan apalah yang terjadi tadi. Sampai siap dengan
drama air mata segala.
No comments:
Post a Comment