Monday, December 30, 2013

Ujian Kesenangan

Assalamu'alaikum wbt.

Kita selalu ingat yang susah itu suatu ujian. Sehinggakan kita terlupa yang senang juga merupakan ujian. Apabila susah kita diuji dengan kesabaran. Apabila senang kita diuji dengan kesyukuran.


“Sungguh unik perkaranya orang mukmin, sesungguhnya seluruh perkaranya baik, dan itu tidaklah dimiliki kecuali oleh orang mukmin. Apabila ia diberi nikmat, ia bersyukur, dan ini baik baginya dan apabila ditimpa musibah, dia bersabar, dan ini baik pula baginya.”
[Hadis Riwayat Muslim]

Di saat kita susah, amat mudah untuk kita berdoa, mengadu dan meminta ALLAH mempermudahkan segala urusan kita. Namun di kala kita senang, sering kali kita  melupakan ALLAH. Bahkan kalimah kesyukuran pun amat sukar sekali untuk kita lafazkan. Astaghfirullah...

Sebenarnya ujian harta kekayaan, anak dan pangkat lebih berat untuk kita hadapi berbanding ujian kesusahan. Apabila kita mampu memiliki segala-galanya mulalah sikap bermegah-megah dan suka membangga diri hadir tanpa kita sedari. Tatkala kita merasakan diri kita lebih daripada orang lain, mulalah mahu mendabik dada. Sehinggalah sampai satu tahap, kita semakin menjauhi ALLAH dek kerana sibuk mengejar kesenangan dunia.

ALLAH telah memperingatkan kita berkenaan hal ini di dalam surah At-Takathur yang bermaksud, “Bermegah-megahan akan melalaikan kamu.”

Oleh yang demikian, kita seharusnya menyedari bahawa kita sedang diuji dengan kesenangan. Tidak dapat tidak, kita hendaklah berusaha untuk tidak bersikap bangga diri dan sombong. Insyaa-ALLAH sikap mazmumah itu boleh dikikis dengan cara kita membantu gelandangan, menziarahi dan bersedekah kepada orang miskin dan melakukan kerja-kerja amal yang lain. Dari situ kita akan sedar bahawa harta yang kita miliki ini bukan hanya milik kita seorang. Di dalamnya ada juga milik orang lain.
Hakikatnya hidup di dunia ini hanyalah sementara sahaja. Untuk apa kita berpenat lelah mengumpul harta berjuta, mengejar pangkat dan nama sehingga melalaikan kita akan kehidupan akhirat yang hakiki lagi abadi? Akhirnya apabila nyawa ditarik dari jasad, segala harta, anak dan pangkat akan kita tinggalkan juga. Semua itu tidak membantu kita sedikit pun melainkan amal soleh, sedekah jariah dan ilmu yang dimanfaatkan. Doa anak yang soleh pun belum tentu kita dapat sekiranya hidup kita di dunia ini asyik mengejar harta semata.

Ingat duhai sahabat, segala kesenangan yang kita miliki pada hari ini boleh saja melalaikan kita. Saya memperingati diri saya sendiri dan semua pembaca agar sentiasa merendah diri, tidak sombong dan bersyukur dengan nikmat kesenangan yang kita miliki. Jangan pernah membandingkan diri kita dengan orang yang lebih senang. Lihatlah mereka yang lebih susah daripada kita. Dari situ insyaa-ALLAH akan hadir rasa syukur dan keinsafan dalam diri.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat ALLAH kepadamu.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Friday, December 20, 2013

Penamat

Assalamu'alaikum wbt.


20 Disember 2013

Hari terakhir
Final exam terakhir
Minggu terakhir
Semester terakhir
Tahun terakhir

Done!

Alhamdulillah thumma alhamdulillah. 

Bermakna berakhirlah pengajian ijazah sarjana muda saya. Unofficially, I'm no longer undergraduate student. :)

Apa-apa kena tunggu official result dululah. Harapnya semuanya berjalan lancar. Doakan ya. ^^

Selepas ini insyaa-ALLAH akan pulang ke Malaysia. Akan kembali ke medan sebenar setelah hampir 5 tahun berada di medan latihan mempersiapkan diri. Harapnya saya dan sahabat-sahibah yang lain kuat, tabah dan sabar mengharungi dugaan dan cabaran di alam pekerjaan nanti.

Sebenarnya, ini baru permulaan perjalanan bagi saya dan rakan-rakan. Banyak ujian yang menanti di hadapan sana.

Selamat bercuti. Bersama kita manfaatkan masa cuti ini sebaiknya. Insyaa-ALLAH.

2314_20131220_506AShingwanA

Tuesday, November 12, 2013

Lelaki Merah Jambu

Sut kerja berwarna hitam pekat yang elok tersarung di badan diperkemaskan. Pukul 10 pagi nanti dia perlu membentangkan hasil kertas kerjanya sewaktu mesyuarat bersama pengarah projek yang baharu. Jadi dia perlu tampil lebih kemas dan lebih bergaya dari biasa. Bukan apa, sewaktu sesi pembentangan nanti dia mahu tampak yakin dan profesional. Harapnya pembentangannya nanti baik-baik saja.

            Selendang labuh rona merah jambu lembut dililitkan kemas ke kepala. Ditilik penampilannya di hadapan cermin. Sekejap dipusingkan badan ke kanan. Sekejap ke kiri.

Okey! Perfect! Bibirnya mengukir senyuman manis.

Oh. Sempurna itu bukan pada pandangan matanya sahaja. Yang pasti dia mahu tampak sempurna pada pandangan Sang Pencipta. Moga DIA Yang Satu redha dengan setiap langkah perjalanan hidupnya.

            Two inches black heels disarungkan ke kaki bagi melengkapkan penampilan korporatnya. Berpuas hati dengan penampilannya, dia mula menapak keluar menuju ke stesen Titiwangsa yang terletak tidak jauh dari rumahnya.





6.47 pagi. Jam di pergelangan tangan dipandang sekilas. Kelihatan orang ramai mula membanjiri stesen. Ada yang lengkap berpakaian kerja seperti dirinya. Ada juga yang beruniform sekolah. Dari jauh kelihatan monorel kian mendekati stesen. Orang ramai mula menghampiri tebing platform. Bersiap sedia untuk melangkah masuk ke perut monorel sebaik sahaja ia berhenti nanti.

Pintu dibuka. Matanya tertancap pada tempat duduk yang masih banyak kosong. Laju sahaja kakinya melangkah mahu mengambil tempat. Biasalah, awal pagi begini penumpang masih tidak begitu ramai lagi. Itu merupakan salah satu sebab kenapa dia suka keluar pada awal pagi. Lagi satu, dia memilih untuk menaiki pengangkutan awam kerana tidak mahu tersekat dengan kesesakan lalu lintas. Sungguh, dia tidak begitu menggemari suasana yang sesak sebegitu. Membuatkan dirinya jadi tidak sabar saja.

            Dia perasan banyak mata yang memandangnya saat dia melangkah masuk ke dalam perut monorel tadi. Mungkin terpesona dengan keterampilannya yang anggun lagi bergaya pagi ini. Dia mengulum senyum.

            Tas tangan berjenama Coach yang diletakkan di ribanya dibuka. Senaskhah buku kecil, nipis yang sudah agak lusuh dikeluarkan. Bebola matanya mula menatap setiap aksara yang tersusun rapi di atas dada buku sambil mulutnya terkumat-kamit sendiri.
           
            Sesekali matanya terpejam bagaikan menghayati apa yang dibacanya. Dia hanya melemparkan senyuman nipis kepada penumpang di kanan dan kirinya yang sedari tadi asyik mengerling ke arahnya. Dia juga perasan ada yang siap memanjangkan leher mereka lagi. Mungkin saja mereka mahu melihat apa yang sedang dibacanya. Dibeleknya sekilas buku di genggaman. Mahu mencari apa yang menarik dengan buku lusuh ini sehinggakan ramai yang memerhati. Dahinya berkerut hebat. Gagal menemui apa yang dicari, dia sekadar meneruskan pembacaan yang tergendala sekejap tadi.

Al-Ma’thurat. Iya. Itulah yang sedang dibacanya sekarang. Diamalkan membacanya pada setiap pagi dan petang. Naskhah lusuh inilah yang sentiasa menemaninya sejak dari zaman belajar lagi.

Tiba di stesen Medan Tunku kelihatan seorang pemuda melangkah masuk. Tampak begitu macho dan bergaya sekali dengan pakaian kerja yang digosok rapi, tali leher terjerut kemas di leher dan briefcase di sisi. Begitu bergaya sekali tubuh tinggi lampai itu. Kali ini banyak mata terarah kepada jejaka itu pula. Mana tidaknya, pada hematnya pemuda itu begitu berani sekali menggayakan kemeja rona merah jambu terang untuk ke tempat kerja. Tampak sesuai dengan kulitnya yang putih kemerah-merahan itu. Matanya sempat menangkap sesuatu yang sedang dipegang kemas di tangan kanan pemuda itu. Bibirnya tanpa sedar tersenyum. Nampaknya ada sesuatu yang lebih menarik mengenai lelaki ini berbanding penampilannya yang tampan bergaya itu.

Mata penumpang lain dilihatnya masih tidak lepas memerhatikan setiap tingkah pemuda tadi. Siap ada yang bergerak untuk mendekati pemuda itu lagi. Sungguh jejaka ini benar-benar mempunyai aura yang tersendiri. Pemuda itu tersenyum kepadanya yang masih terkumat-kamit menghabiskan doa rabitah sebelum mengambil tempat duduk yang bertentangan dengan dirinya.

Bacaannya sudah selesai. Dimasukkan kembali naskhah lusuh itu ke dalam tas tangan. Kali ini dikeluarkan pula sebuah buku. Perjalanan masih jauh untuk sampai ke destinasi. Lebih baik dia mengisi masanya dengan sesuatu yang bermanfaat. Sementelah semenjak bekerja ini masanya untuk membaca memang amat terhad. Jika dulu dia boleh saja menghabiskan paling kurang sebuah buku seminggu, kini untuk menghabiskan sebuah buku sebulan pun payah. Dia tergeleng sendiri. Terbit sedikit rasa kesal di hati.

Tangannya laju sahaja membelek buku mencari helaian terakhir yang dibaca. ‘Lelaki Warna-Warni.’ Dia tidak dapat menahan dirinya daripada tersenyum saat kornea matanya menatap sebaris ayat itu. Tanpa sedar, matanya mengerling lelaki merah jambu tadi. Lelaki itu dilihatnya sedang membuka buku kecil berbentuk diari yang dipegangnya di tangan kanan sewaktu menapak masuk tadi. Diperhatikan masih banyak mata yang begitu teruja menatap setiap tingkah pemuda itu.

Dia kembali tunduk. Mahu meneruskan pembacaan.

Dia sangat bersih, wajahnya berseri-seri,
Bagus perawakannya, tidak merasa berat karena gemuk,
Tidak bisa dicela karena kepalanya kecil, elok dan tampan,
Di matanya ada warna hitam, bulu matanya panjang,
Lehernya jenjang, matanya jelita, memakai celak mata,
Alisnya tipis, memanjang dan bersambung,
Rambutnya hitam,
Jika diam dia tampak berwibawa
Jika berbicara dia tampak menarik
Dia adalah orang yang paling elok dan menawan jika dilihat dari kejauhan
Tampan dan manis setelah mendekat.

-Ummu Ma’bad Al-Khuza’iyyah, tentang Rasulullah-

Pembacaannya terhenti tiba-tiba saat telinganya menangkap ada suara yang mengalunkan bacaan Al-Quran. Sayup-sayup kedengaran. Dia kenal surah itu. Surah Al-Hujurat. Kepalanya diangkat daripada buku Jalan Cinta Para Pejuang karya Salim A. Fillah di pegangan. Menala tepat ke tempat duduk di hadapannya. Tidak syak lagi. Lelaki merah jambu tadi sedang mengalunkan bacaan Al-Quran. Perlahan. Namun masih sempat ditangkap oleh deria pendengarannya.

Matanya meliar pula ke sekeliling gerabak. Dapat dikesan tingkah yang agak awkward di pandangan matanya. Ada yang sibuk membetulkan tali beg. Ada yang sedikit terlopong sambil mata tidak lepas daripada melihat lelaki merah jambu. Barangkali mereka tidak menyangka yang pemuda yang kacak lagi bergaya itu akan membaca Al-Quran di dalam tren. Dia hanya tersenyum kala melihat keadaan itu. Hadir rasa bangga dalam diri. Bukan senang mahu ketemu anak muda yang menghidupkan hari-harinya dengan al-Quran. Walau ke mana sahaja pasti membawa ayat-ayat cinta itu bersama. Sungguh, hari ini dia belajar sesuatu yang bermakna daripada lelaki merah jambu itu. Tanpa sedar, matanya terhala ke hadapan sambil bibir masih tersungging senyuman.

Kala itu pandangan matanya bertembung dengan sinaran mata lelaki merah jambu itu yang kini sudah memberhentikan bacaannya. Lelaki merah jambu itu menghadiahkan senyuman lebar kepadanya sebelum meneruskan kembali pembacaannya.

Amboi! Sesuka hati dirinya saja mahu memanggil lelaki itu sebegitu. Dia jadi malu sendiri. Terus kepalanya kembali tunduk menatap buku di pegangan.



“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa…”
[Al-Hujurat, 49:12]

“… Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH
ialah orang yang paling bertakwa.”
[Al-Hujurat, 49:13]



Friday, October 25, 2013

Tempat Solat di Sekitar Korea

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Setelah lama tidak menulis di sini, hari ini ALLAH izinkan untuk saya menulis lagi. Idea ini datang waktu saya sudah bersiap-siap mahu tidur malam tadi lagi sebenarnya. Tetapi memandangkan masa pun sudah agak lewat dan hari ini saya masih punya kelas dan exam, jadi saya tangguhkan sehinggalah sekarang ini. 

Okey. Kembali kepada topik asal. Sejak kebelakangan ini, memang saya akui, raaaamaaiii sangat orang Malaysia yang datang melancong ke Korea. Kalau pergi ke Itaewon ke, Nami Island ke, mesti akan jumpa punyalah dengan orang Malaysia. 

Apabila berjalan di negara orang yang majoriti penduduknya bukan Muslim ini, salah satu masalah yang akan dihadapi adalah tempat untuk solat. Selain makanan halal la kan... Tak mahulah terjadinya kes-kes terpaksa mengqada' solat dengan alasan tiada tempat yang sesuai untuk mendirikan solat. Sedih saya dengar. :(

Jadi, post kali ini ditujukan khas buat orang Malaysia yang hendak datang melancong ke Korea. Semoga selepas ini, para pelancong yang beragama Islam dapat mendirikan solat walau di mana pun ada berada. Insyaa-ALLAH. :))

Ini semua berdasarkan pengalaman saya sendiri dan info daripada kawan-kawan yang berada di Korea ini. Insyaa-ALLAH. 

Itaewon: Seoul Central Mosque



Haa. Seoul Central Mosque ini merupakan satu-satunya masjid di Seoul. Terletak berhampiran dengan Itaewon Station (line 6). Di sekitarnya juga anda boleh dapatkan pelbagai makanan halal terutamanya masakan ala India dan Arab. Insyaa-ALLAH.

Kalau nak senang, bolehlah selalu datang solat kat sini. Hihi. Boleh juga berkenalan dengan Korean Muslim yang ada di sana. 

Myeong-dong: M Plaza Building; Seoul Center for Culture & Tourism


Saya pasti memang semua orang akan memasukkan Myeong-dong sebagai salah satu to-visit-place anda apabila ke Korea. Myeong-dong bolehlah dikatakan sebagai syurga membeli-belah bagi muda-mudi di bumi Sonata ini. Sesiapa yang sukakan barangan berjenama dan barangan kecantikan, inilah tempatnya. 

Sebenarnya ramai yang ke Myeong-dong untuk memakai pakaian tradisional Korea yang dipanggil hanbok di Seoul Center for Culture & Tourism. Tak perlu bayar. Free of charge. Cuma perlu booking masa sahaja. Ia terletak di tingkat 5 bangunan M Plaza. Nak mudah, keluar aje exit 6 Myeong-dong Station (line 1, 4) jalan je straight sampai jumpa butik Forever 21 dan Zara. Ha, di situlah letaknya Seoul Center for Culture & Tourism ni. 

Eh. Saya nak bagitahu tempat yang biasa kami solat sebenarnya. Biasanya kami akan solat di bangunan inilah. Solat di tepi tangga exit door tu. Sebab bangunan ni macam tak ramai orang dan tangganya pun bersih je. Nak cari surau, memang takdelah di sini. 

Namsan Seoul Tower



Dari Myeong-dong, mahu terus ke Namsan Seoul Tower boleh naik cable car. Untuk ke tempat cable car, kena panjat bukit sikitlah. Ala-ala macam panjat bukit nak ke Masjid Itaewon. Gitulah lebih kurang. Mengah la jugak. Huhu. 

Boleh aje sebenarnya kalau mahu naik teksi dari Myeong-dong Station exit 3 (kalau tak silap) untuk ke tempat cable car. Tapi... apa salahnya kalau exercise sekali-sekala kan? Bila lagi mahu merasa berpeluh begini. Di Malaysia, saya tak rasa kita akan selalu berjalan macam di Korea ini. Nak ke mana-mana pun, guna kereta. Iya tak? :D

Kalau kebetulan lama di Namsan Tower ni, bolehlah bersolat di nursery room di tingkat bawah yang berdekatan dengan pintu masuk ke Teddy Bear Museum tu. Kalau mahu solat di luar pun apa salahnya... Saya pernah je solat di luar yang berhampiran pelantar, tempat orang rehat-rehat sambil tengok pemandangan sekeliling bandar Seoul tu. Orang Korea hanya tengok sajalah. Takdelah mereka datang ganggu ke apa ke. Tapi jangan solat di tempat yang agak crowded sudahlah. Tak khusyuk solat nanti. Hihi.

Prayer Room at Tourism Information Center, KTO HQ


Ini peta untuk ke Korea Tourism Organization office. Boleh ke sana dari Jonggak Station (line 1) ataupun Gwanghwamun Station (line 5). Lupa pula exit berapa. Tapi kalau jalan aje ikut Cheongyecheon Stream tu, insyaa-ALLAH akan jumpalah KTO HQ ni. 


Ini bangunan KTO tu. Tourism Information Center terletak di basement bangunan ini. 


Inilah prayer room tu. Atau dalam bahasa Koreanya dipanggil 기도실 (gido-shil). Takdelah besar sangat. Tapi selesa la untuk mendirikan solat. Cumanya prayer room ni untuk semua tau. Makna kata hanya ada satu sahaja surau. Kena kongsi gunalah antara muslimin dan muslimat. 


Ahaa. Yang bestnya, di sini ada disediakan tempat untuk berwudhu'. Sebenarnya bilik wudhu' ini merupakan tandas untuk orang kurang upaya. Tapi lebih selesalah jika dibandingkan dengan kita mengambil wudhu' di tandas biasa kan. Nak-nak untuk orang perempuan la. :)

Prayer Room at Everland


Untuk anda yang sukakan aktiviti yang mencabar, suka indoor game, tentunya tidak akan melepaskan peluang untuk ke Everland. Betul tak? 

Apabila sudah berjalan-jalan tu, tentulah hampir seharian di sini, kan? Sekarang ni sudah terdapat bilik solat di Everland. Alhamdulillah. Bilik solat ni berdekatan dengan Rotating House. Jika tengok pada peta di atas, ia bertempat di sekitar nombor 105 dan 106 tu. Kalau tak jumpa bilik solat ni, bolehlah tanya pekerja yang bertugas berdekatan dengan tempat tu. Insyaa-ALLAH anda boleh solat tanpa halangan nanti. :)

Musolla at Nami Island

Nami Island ni dah kira macam tempat wajib pergilah kalau dah datang ke Korea, kan? Alhamdulillah, setahun dua ni pihak Naminara sudah pun menyediakan surau untuk pengunjung yang beragama Islam di sana. 


Ini pintu masuk untuk ke Musolla. Sebelum anda ke tempat penggambaran Winter Sonata tu, akan akan melalui surau ni dulu. Ia terletak di tingkat atas. 



Ini dia musollanya. Tempat untuk berwudhu' pun ada disediakan sekali. Musolla ni pun perlu dikongsi juga. Dan kena hati-hati sikit la untuk kaum wanita ketika mengambil wudhu' tu. Takut kebetulan kaum lelaki masuk, aurat kita tak terjaga. 

Prayer Room at Incheon International Airport


Untuk mana-mana pelancong yang mungkin terkandas di Incheon International Airport atau mahu mendirikan solat sementara menunggu flight, pihak lapangan terbang ada menyediakan prayer room untuk Muslim. Prayer room ini terletak di sebelah Departure Hall 24 selepas melalui immigration. Arah kiblat, sejadah dan Al-Quran pun ada di sediakan. Cumanya anda perlu mengambil wudhu' siap-siap di tandas. 

Untuk anda yang baru sahaja tiba, boleh solat di nursery room ataupun di tepi tangga. Saya dan kawan-kawan biasanya lebih selesa memilih untuk bersolat di nursery room




Itulah sedikit sebanyak perkongsian saya mengenai tempat-tempat yang sesuai untuk bersolat di Korea Selatan ini. Semoga membantu para pelancong yang mahu datang ke Korea ini. Insyaa-ALLAH. :)

Aha. Satu lagi, nak beritahu. Selalulah bawa botol air mineral bersama anda ke mana sahaja anda pergi. Senang untuk beristinjak dan berwudhu' nanti. Tandas di Korea inikan tiada air. Saya nasihatkan, janganlah angkat kaki dan basuh kaki di singki tandas itu. Takut nanti dimarahi oleh mak cik cleaner pula. Huhu. 

Moga bermanfaat. 

Wednesday, September 25, 2013

Salamatul Sodr (Berlapang Dada)

Assalamu'alaikum wbt.

Berlapang dada.
2 patah perkataan yang begitu mudah untuk diperkatakan
Tetapi sulit untuk dilakukan.

Berlapang dada 
Itu perlu...
Untuk mencegah syaitan daripada membisikkan sesuatu 
Yang bisa merosakkan perhubungan sesama kita.

Sebab-sebab kenapa kita tidak memiliki salamatul sodr:

1. Egois (Takabur)

- ALLAH tidak redha jika kita mempunyai sikap takabur.

2. Mementingkan persoalan-persoalan kecil

- Mudah tersinggung dengan masalah kecil
- Hal-hal khilafiyah dengan orang lain 
   - Kita perlu saling menghormati pilihan-pilihan yang dibuat oleh sahabat-sahabat kita 
- Saling memahami umat Islam memerlukan kesatuan bukannya perpecahan

3. Kecintaan seseorang terhadap dunia

- Kita harus meyakini akan takdir seseorang
- Kecintaan pada dunia boleh menyebabkan hilang sikap berlapang dada

Keuntungan bersikap berlapang dada:

1. Menahan amarah
2. Memaafkan kesalahan orang lain
3. Senang melihat kesenangan orang lain; tidak dengki
4. Fokus pada perbaikan diri

Ganjaran dari ALLAH terhadap hamba-hamba yang memiliki salamatul sodr:

1. Diampunkan dosanya 

"Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kerabat(nya), orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan ALLAH, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa ALLAH mengampunimu? Dan ALLAH Maha Pengampun, Maha Penyayang." 
[An-Nur, 24:22]

2. Mendapatkan cinta ALLAH

"(iaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahu pun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain.  Dan ALLAH mencintai orang yang berbuat kebaikan."
[Ali Imran, 3:134]

3. Mendapatkan syurga ALLAH


Oh ya. Ada beza memaafkan dengan berlapang dada. Analoginya begini. Kita menulis sesuatu di atas kertas. Kemudian kita memadamkannya. Pasti masih tinggal kesan pada kertas walaupun kita sudah memadamnya bukan? Itulah memaafkan. 

Kertas yang kita tuliskan tadi kita koyakkan. Kemudian kita buka lembaran baharu dan menulis kembali. Itulah berlapang dada. 

Makna kata, memaafkan itu setiap perbuatan orang terhadap kita masih berbekas di hati walaupun kita sudah memaafkannya. Berlapang dada pula memang kita melupakan segalanya. 

Saya tahu... sikap berlapang dada ini amat sukar untuk diterjemahkan dalam kehidupan seharian kita. Saya juga begitu. Masih dan akan terus mencuba untuk bersikap berlapang dada. Insyaa-ALLAH, kita sama-sama berusaha untuk mengaplikasikannya. :)



Wednesday, September 4, 2013

Selangkah Ke Hadapan

Assalamu'alaikum wbt.

Apabila menyaksikan sendiri sahabat seperjuangan melangkah menaiki satu anak tangga - meninggalkan saya satu tapak di belakang, terasa lain. Saya pun tak reti nak describe rasa lain yang macam mana.

Undescribable.

Saat mendengar lafaz akad yang telah menukarkan status seorang anak kepada seorang suami dan isteri, terasa ada satu bebanan terhempap di bahu. (Amboi! Over sungguh! Gaya terlebih menjiwai watak pengantin baharu ni.:P)

Teringat bisikan kerisauan Khairun pada saya pagi sebelum majlis akad nikah.

"Doakan kami ya. Lepas ni ada tanggungjawab yang besar yang nak kena galas." 

Nampak riak risau di wajahnya. Solekan tipis tidak mampu menutup keresahan yang terpamer di wajah bakal pengantin itu. 

"Moga semuanya dipermudahkan dan berjalan lancar. Insyaa-ALLAH." 

Saya hanya mampu menenangkan dan memberikan kata semangat. Masanya telah tiba untuk Khairun memikul tanggungjawab itu. ALLAH sudah tuliskan takdirnya begitu.

Kalau dulu... soal ini boleh dibicarakan sambil gelak-santai-bergurau-bercanda, sekarang ini perihal nikah-kahwin ini sudah saya pandang serius. Besar amanah dan tanggungjawabnya apabila seseorang itu bergelar suami/isteri.

Mahu mencari pasangan hidup ini bukannya seperti memilih sayur di pasar. Perlu pilih betul-betul. Sayur pun kita tak akan ambil yang dah layu dan tak segar. Inikan pula pasangan hidup yang kita nak tinggal bersamanya kalau boleh sehingga ke hujung nyawa. Dan mahu berjumpa lagi di syurga sana.

Kalau kata matlamat nak kahwin nak bina baitul muslim - rumah tangga Islam, nak ada anak-anak yang comel, rasanya semua orang pun nak kahwin nak kejar benda tu. Itu matlamat yang terlalu general saya rasa. Setiap orang pasti ada objektifnya yang tersendiri. Kenapa dia nak kahwin? Apa yang dia nak capai bila dah kahwin? Bila masing-masing dah jelas dengan matlamat yang nak digapai, barulah boleh sama-sama berpimpinan tangan menuju tujuan itu. Sebab itu perlu kenal dan selidik dulu orang yang kita berkenan tu. Bukan setakat tengok status FB dia, twitter dia...Tengok penampilan dan karisma yang dia miliki... Rasa dia baik je terus setuju nak kahwin dengan dia. Huhu.

Kena buat lebih lagi. Risiklah tentang dia dari orang yang rapat dengan dia. Orang yang boleh dipercayai. Bukan maksud saya di sini nak kenal tu perlu couple atau keluar dating dengan dia tau!

Hal nikah-kahwin ni benda serius yang tak boleh dibuat main. Jadi kita pun kena la buat betul-betul. Ingat nak matchmaking orang ni senang ke?

Maaf, termelalut ke lain pulak. Apapun saya rasa kehilangan. Iyalah. Lepas ni keadaan dah tak sama macam dulu lagi. Orang bujang dengan orang dah kahwin... mestilah lain kan...

Apapun semua orang insyaa-ALLAH akan melalui fasa ini. Lambat atau cepat aje.

Kepada pasangan pengantin baharu,

Khairunnisaa dan Ahmad Zaki
Sofia Syahirah dan Mohd Izwan
Kak Sumayyah dan suami


Selamat Pengantin Baharu

Barakallahu feekum...
Selamat bercinta dengan pasangan halal masing-masing
Semoga mahligai cinta yang dibina berkekalan hingga ke syurga
Ameen. Insyaa-ALLAH.


Kepada yang masih mencari pasangan hidup...

Insyaa-ALLAH si dia sedang mempersiapkan diri untuk menjemput awak menjadi bidadarinya. Sabar, doa dan usahalah. Janji ALLAH itu pasti. Seperti mana mati itu kita tak tahu bila dan di mana... begitu jugalah soal jodoh kita... Bersiap siagalah. Pasti akan tiba masa dan harinya nanti. Insyaa-ALLAH.


But then, saya rasa... kita ni macam terlebih kisahkan hal bila nak kahwin daripada hal bila kita akan mati, kan? Padahal, dua-dua tu kerja ALLAH. Dan... sepatutnya (sepatutnyalah...) kita lebih ambil kisah soal bila kita akan mati berbanding soal nikah-kahwin ni.

Sebab apa? Sebab... kalau kita mati , kita dah tak ada peluang untuk kembali ke dunia ni lagi. Dan untuk orang Islam, hidupnya di dunia ni hanyalah sementara sahaja. Dalam hadis pun ada cakap yang Rasulullah ibaratkan manusia ni sebagai wayfarer, orang yang berkelana - bermusafir sahaja di dunia ni. Jadi, buat apa kita nak melebih-lebihkan soal duniawi sampaikan kita melupakan urusan ukhrawi.

Iya tak? Ke... tak betul apa yang saya cakap (tulis sebenarnya :P)

I know. Things're easier said than done, ey? 

Pilihan di tangan kita... kitalah yang memilih untuk hidup senang di dunia, susah di akhirat atau vice versa atau hidup senang di dunia dan akhirat.


Untuk hidup berteman itu satu pilihan.
Untuk hidup bertuhan itu satu kewajipan.


Insyaa-ALLAH, kalau kita berusaha untuk mengenal ALLAH, mendekati ALLAH, mencintai ALLAH... kita tidak akan dipersia-siakan. Kita pasti akan mendapat perhatian-NYA.

Jom kita sama-sama meraih cinta Ilahi. Cinta dia pasti akan menyusul nanti. Insyaa-ALLAH.

Saya nak jadi macam Fend yang sanggup gantung Fender dia, sanggup heret K-square ke Sydney semata-mata nak kawan baiknya itu dapat dan rasa seperti mana dirinya dan Chad rasa. Dia pujuk rasa terkilan dalam diri bila K-square bagi komen mengutuk The Eleventh Hour. Tapi dia tak berputus asa di situ aje. Dia usahakan macam-macam untuk orang keliling dia pun mengenal cinta hakiki. Dia mahu mereka sama-sama berubah menjadi lebih baik pada jam kesepuluh sementara masa masih mengizinkan. Dia tak mahu mereka terlambat untuk sedar dan berubah.

The man who decided to change on the 12th hour died an the 11th.


Rasa ini, pada saya, perlu ada dalam setiap diri manusia. Lebih-lebih lagi yang mengaku yang dia tu Islam. Yang bila baca Quran, selalu saja mengaku dia tu la yang tergolong dalam 'Wahai orang-orang beriman', mukminin, mukhlisin... Nak mengaku tu tak salah... tapi kenalah buat sesuatu bila dah mengaku kan? Kena ingat kita ada tanggungjawab syahadatul haq yang perlu kita sampaikan.




Monday, July 15, 2013

Mujahadah, Dzatiyah, Istiqamah

Assalamu'alaikum wbt.

Kita selalu cakap fasal mujahadah, dzatiyah dan istiqamah. Rupa-rupanya selama ini diri sendiri pun belum cukup faham lagi dengan tiga perkara ini. Kalau setakat nak lulus dengan cemerlang untuk jawab paper Pendidikan Islam tu... memang dah lepas lama dah pun. Yang sakit tu... bilamana tak dapat nak aplikasikan pada diri sendiri. Susah.

Ramadhan ni... boleh la berusaha gigih sikit nak latih diri dengan mujahadah, dzatiyah dan istiqamah ni. Boleh mula mujahadah dalam usaha nak khatam Quran dengan cukup lengkap tertib dan tartilnya dalam bacaan. Bukannya buat marathon baca Quran sampai langgar segala hukum tajwid. Main redah. Main taram je. Asalkan habis bulan Ramadhan, khatam. Ye dak?

Heh. Jangan buat perangai cenggitu, kawan. Tak elok untuk kesihatan. Tak elok jugak untuk ganjaran. Iyalah. Buatnya semput. Tak ke susah? Bukan boleh minum air masak pun, puasa-puasa gini. Heh.

Perlu ada self-motivation dalam diri untuk bangun qiam barang serakaat dua sebelum sahur. Di samping maintain segala amal lain. Kena terus kekalkan speed marathon untuk terus istiqamah dalam beramal. Bukan sekadar nak penuhkan tanda 'right' pada borang mutabaah amal semata.

Mujahadah, dzatiyah dan istiqamah. Bukan setakat pandai ditulis dan dihafal makna. Tapi lebih kepada perlu diterjemahkan dalam perilaku dan tingkah laku kita. :')

Salam Ramadhan walau pun dah nak masuk seminggu kita berpuasa.

Jumpa lagi dilain coretan. Insyaa-ALLAH.

Saturday, June 22, 2013

End of Spring Semester! Alhamdulillah!

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Thumma alhamdulillah. Dengan berakhirnya kertas Biotechnology pukul 4.15 petang tadi, secara rasminya berakhirlah semester ini. Alhamdulillah!

Akhirnya saya mampu menarik nafas lega. Semalam saya sudah pun menghantar 20 pages final report untuk subjek Capstone Design. 23 pages sebenarnya. Semester depan hanya perlu fokus kepada penulisan thesis. Subjek Capstone Design ini sebenarnya berkait rapat dengan penulisan thesis saya. Saya sudah pun melakukan sedikit research dan eksperimen berkenaan thesis saya sebenarnya. Cumanya ditangguhkan sehingga semester depan memandangkan saya akan pulang bercuti musim panas di Malaysia selama 2 bulan. Insyaa-ALLAH. 

Tajuk thesis saya, insyaa-ALLAH "N-Doping of Chemical Vapor Depositon - Graphene by Furnace."

Bunyi macam hebat kan? Huhu. Ini kajian pelajar post-graduated sebenarnya. Thesis saya ini pun dipantau oleh pelajar master; Miss Jia Lee. 

Sebenarnya usai sahaja menjawab kertas Digital Communication dan  Data Communication hari Isnin baru ni, saya sudah mampu menarik nafas lega. 2 papers straight. Berturut-turut. Kertas Digital Communication bermula pada pukul 12 tengah hari sehingga 2.50 petang. Kemudian disambung pula dengan kertas Data Communication pada pukul 3 petang sehingga 4.30 petang. Berkejar lepas jawab exam Digital Communication nak solat Zohor. 

Minggu sebelum itu hari Isnin, saya ada exam Electrical and Electronics Programming. Exam yang paling letih saya kira. Serius rasa nak muntah. Paginya kelas macam biasa sampai ke petang. Kemudian malamnya ada exam. Solat Maghrib pun keluar sekejap  daripada bilik kuarantin kononnya nak pergi toilet. Buka puasa dengan air masak sajalah. Tengah duduk jawab exam pun, pakai teguk air mineral saja untuk tambah oksigen dalam badan. Kepala dah mula berbintang-bintang dan berdenyut-denyut. Tambah pula bila keluar banyak error waktu execute programming. Pandangan jadi berpinar-pinar. Saya bertahan saja sehingga selesai menyelesaikan programming. Usai saja exam, balik bilik, usai solat Isyak terus tidur. Sungguh, exam yang paling meletihkan. Letih otak. Letih badan. Nak makan pun tak lalu. Padahal seharian berpuasa. Kenyang macam tu je. 

Sememangnya sepanjang semester ini, subjek programming ini memang paling banyak menguji minda dan kesabaran. Assignment dan report tiap-tiap minggu kena hantar. Belum termasuk dengan programming yang perlu dibuat sewaktu di dalam makmal lagi. Berakhirnya exam programming minggu lepas, nafas semput sebelum ini sudah dapat dihela bebas. 

Saya sangat tabik para teaching assistant merangkap pelajar master yang mengambil pengkhususan dalam bidang programming ini. 

Semester ini memang agak tough bagi saya. Dengan subjek programmingnya. Final project data communication dan digital communication yang perlu dilakukan secara berkumpulan. Dan biasalah. Apabila dah namanya pelajar kejuruteraan. Memang saya sajalah 'bunga' dalam kumpulan itu. Dikelilingi 'kumbang' yang lain. Heh.

Bermula selepas midterm exam, hampir setiap minggu kami berdiskusi dan berjumpa untuk menyelesaikan projek akhir. Terkadang memakan masa seharian. Sehinggakan ahli kumpulan saya sudah hafal waktu sepatutnya saya berhenti solat. Sampaikan pada satu tahap, diaorang pula yang ingatkan saya fasal saya kena berhenti solat. 

Alhamdulillah, Jumaat minggu lepas final project sudah pun dihantar. Presentation juga sudah pun diselesaikan. Kesemua presentation individu juga telah diselesaikan. 

Untuk semester ini, setiap hari Isnin dan Khamis selesai sahaja kelas, saya perlu ke makmal SAINT untuk melakukan eksperimen dan research berkenaan thesis saya. Terkadang, terpaksa juga pergi pada hari-hari lain untuk belajar mengendalikan beberapa mesin dan belajar software Raman spectroscopy

Melihat para pelajar master di makmal tempat saya melakukan eksperimen, saya jadi berfikir berkali-kali untuk menyambung master di sini. Err. Lebih kepada tak mahu sebenarnya. Tough sungguh. Memang rasa tak sempat nak bernafas dengan segala macam tugasan yang perlu dibuat. Tengok mereka duduk mengadap bahan kajian, berdiskusi secara serius dan perlu menghadiri kelas lagi... Huhu. Penuh tekanan.

Teringat perbualan dengan seorang kawan. Waktu itu kami masing-masing stress dengan pelbagai kerja dan projek yang perlu dibuat. 

"Rasa macam nak mati..." Keluh kawan saya berat. 

"Hmm. Itulah. Macam nak terjun bangunan pun ada. Stress!" Tambah saya pula. 

"Haha. Kalau orang Korea ni, dah lama dah mati ni."

"Agak la... Kita ni alhamdulillah ada iman dalam dada. Islam tak ajar kita macam tu kan?" Saya kerling kawan di sebelah. Nampak dia mengangguk sambil tersenyum nipis.

Itulah. Alhamdulillah. Iman di dada masih kekal lekat. Itulah yang membezakan kita yang Muslim ini dengan mereka yang bukan Muslim. Bila stress. Bila tertekan. Bila serabut. Kita boleh mengadu kepada Yang Maha Mendengar. Dengan mengambil wuduk dan bersujud kepada-NYA, hati yang resah gelisah menjadi tenang. Hati yang gundah-gulana menjadi redup. Hati yang bermuram durja menjadi terubat. 

Jangan tak tahu... Korea ini kadar bunuh dirinya agak tinggi. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada yang bunuh diri. 

Itu semua kesibukan sebagai seorang pelajar. Belum lagi dicampur dengan tanggungjawab lain. Bermula akhir semester lepas, saya diamanahkan untuk menjadi wakil universiti khususnya untuk bahagian akademik pelajar SKKU. Jadi segala urusan dengan pihak International Affairs, Dormitory, Embassy dan JPA saya memang kena uruskan. Nak hantar result pada setiap penghujung semester. Permohonan asrama, pembayaran yuran winter dan summer class

Apabila mengendalikan semua ini, barulah saya tahu yang tidak mudah untuk kita berurusan dengan manusia ini. Pelbagai kerenah dan gelagat. Alhamdulillah. Saya didedahkan bagaimana caranya untuk berurusan dengan pelbagai peringkat manusia ini. 

Sebulan yang lepas, saya diberikan kesempatan untuk bermesyuarat dengan pegawai besar asrama dan beberapa orang lagi pegawai. Memperihalkan tentang keadaan pelajar Malaysia di asrama dan di universiti, masalah yang dihadapi dan sebagainya. Alhamdulillah, hasil daripada pertemuan itu, pihak asrama telah menyediakan makanan halal kepada pelajar Muslim di SKKU ini. Masya-ALLAH! Saya menitiskan air mata usai bertemu dengan pegawai yang memaklumkan hal ini dan menunjukkan senarai menu yang akan dihidangkan. Sungguh saya terharu dengan keprihatinan mereka. 

Pada awal semester baru-baru ini, saya dihubungi oleh pegawai besar International Affairs, berjumpa dan berbincang mengenai surau untuk pelajar Muslim. ALLAHU AKBAR. Syukur. Alhamdulillah.

Dalam semester ini juga, saya beberapa kali telah dihubungi oleh pegawai polis Suwon dan pernah bertemu empat mata dengan beliau memperihalkan tentang keselamatan pelajar Malaysia terutamanya. Beliau ada menghubungi saya baru-baru ini untuk bertemu lagi. Waktu itu saya berada di makmal menyiapkan eksperimen thesis. Jadi tidak dapat untuk bersua muka. Sehingga kini saya masih belum berkesempatan untuk berjumpa lagi dengannya.

Hari ini, 2 jam sebelum menjawab kertas Biotechnology, saya dikejutkan dengan masalah pendaftaran asrama untuk cuti summer yang akan bermula esok. Ada nama yang tidak tersenarai di dalam senarai nama penghuni asrama. ALLAH! Kalut sekejap saya jadinya. Call JPA tak dapat. Call International Affairs, engaged. Tak tenang mahu study untuk exam

5 minit sebelum masuk dewan peperiksaan, saya berjaya menelefon International Affairs. Terus saya menceritakan masalah yang dihadapi dan meminta pihak universiti memeriksa dan mendapatkan bilik untuk pelajar yang tertinggal namanya. Usai sahaja pihak International Affairs berjanji untuk menyemaknya terus saya meletakkan telefon dan bergegas masuk ke dalam dewan. 

ALLAH! Peperiksaan sudah pun bermula. Teaching assistant sedang mengagihkan kertas soalan. Serasa tidak senang duduk ketika menjawab soalan. Kepala masih memikirkan pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku. Usai sahaja menjawab peperiksaan, sebaik keluar dewan, terus saya mengaktifkan telefon. Membaca emel makluman daripada Miss Julia bahawa masih ada lagi kekosongan di asrama. Alhamdulillah. Saya menarik nafas lega. Cumanya sekarang ini saya masih belum mendapat kepastian mengenai nombor bilik dan masih belum mendapat nombor akaun untuk bank-in yuran. Harapnya masalah ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin. 

Sungguh, hari ini walaupun sudah habis final exam petang tadi, saya masih tidak mampu tersenyum lebar. Dahi berkerut memikirkan masalah yang dihadapi. Terasa... sungguh berat tanggungjawab yang dipikul. Padahal baru saja menjadi biro kecil akademik. Tidak dapat saya bayangkan andai sudah bekerja nanti. Huhu.

Apa pun, saya berharap saya sentiasa disibukkan dengan pelbagai kerja. Walaupun tidak menang tangan. Walaupun tidak cukup nafas. Walaupun terasa bagaikan tidak jejak tanah. Namun, saya rasa masa saya terisi dengan perkara yang berguna dan berfaedah. Tidaklah masa yang berlalu terbuang begitu sahaja. Mutabaah amal juga saya kira makin membaik. Kerana apabila kita sibuk, kita dengan sendirinya akan berusaha gigih menyusun setiap kerja dan amal agar semuanya dapat dilakukan sebaiknya. Berlainan pula apabila kita lapang dan tidak sibuk. Bukan begitu? Selalu sahaja kita menangguhkan kerja dan amal kerana kita merasakan kita masih punya banyak masa. Sehinggakan sedar-sedar sahaja seharian sudah berlalu dan kita tidak melakukan hatta satu kerja sekalipun. Amal tidak sempurna. Kerja terbengkalai begitu sahaja. 

Alhamdulillah. Saya kira semester musim bunga ini berakhir dengan jayanya. Banyak yang saya timba dan saya dapat pada semester kali ini. Ilmu di keagamaan, ilmu duniawi, ilmu kemanusiaan, ilmu  kemasyarakatan dan sebagainya. 

Semester ini banyak mengajar saya untuk bersabar. Saya juga belajar untuk memahami sikap dan sifat manusia yang pelbagai kerenahnya. 

Terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama dan memberikan erti kepada hidup saya. Tanpa anda semua, saya mungkin tidak mendapat ilmu yang bermakna sebegini. Jazakumullahu khairan jaza'. Semoga ALLAH membalas jasa kalian semua dengan kebaikan. Ameen. Insyaa-ALLAH.

Nota: Selamat bercuti musim panas buat warga Korea. Yang nak balik esok tu (hari la kan...dah pukul 12 lebih dah pun...) selamat berpraktikal...

Mungkin minggu depan, saya boleh buat kisah perjalanan kami (saya dan sepupu) berjalan-jalan pusing Korea. Insyaa-ALLAH. 

Tuesday, June 18, 2013

The Drama King - A Metaphor (Sesi Tadabbur Saya)

Assalamu'alaikum wbt. 

Alhamdulillah. Selesai paper yang ketiga awal pagi tadi. Balik bilik, room-mate suruh tengok filem pendek karya terbaharu Madmie; The Drama King - A Metaphor

Subhana-ALLAH! Awesomeness! 

Memang tidak dapat dinafikan, setiap hasil sentuhan tangan Ahmad Zulhilmi Sobri tidak pernah mengecewakan. Variasi ibrah memang terselit pada setiap filem pendeknya.

Saya mahu berkongsi sedikit daripada tadabbur yang saya buat setelah menonton filem pendek ini. Kita buat ala-ala bedah filem la eh. :P

*****
Sebelum tu, saya nak bagi sinopsis filem pendek ni dulu. 

Watak utama 'The Drama King - A Metaphor' ini adalah Muhaimin. Babak pertama filem pendek ini memaparkan kisah Muhaimin yang telah kehilangan duitnya. Kawan-kawan sekeliling yang mendapat tahu mengenai kisah kehilangan duit Muhaimin ini berkumpullah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh Muhaimin. Akhirnya seorang kawan Muhaimin ini jumpa balik duit Muhaimin tu. 

Babak seterusnya, memaparkan betapa gembira dan terujanya kawan Muhaimin mengkhabarkan berita gembira kepada Muhaimin. Katanya dia dapat menerbangkan helikopter, terbang tinggi lagi. Punyalah dia bersungguh-sungguh suruh Muhaimin datang. Muhaimin pula macam tak berapa nak percaya dengan pernyataan kawannya tadi. 

Tunggu punya tunggu, memang Muhaimin tidak datang. Kawan Muhaimin ini pergi lagi memanggil Muhaimin. Tidak berputus asa sungguh kawan Muhaimin ini mahu memperlihatkan kejayaannya menerbangkan helikopter. 

Teman di bilik sebelah yang mendengar perbualan antara Muhaimin dan kawannya ini telah masuk ke bilik Muhaimin dan bertanyakan apa yang berlaku. Namun sayangnya, dia telah dimarahi oleh Muhaimin dengan kata-kata yang agak kasar kerana katanya temannya itu telah menceroboh masuk biliknya tanpa izin. 

Al-kisahnya, Muhaimin amat bertuah kerana telah dihadiahkan sebuah helikopter yang digelar Helikoptina oleh pak ciknya. Pak cik Muhaimin ni tak bagi helikopter yang dah dipasang siap tau. Pak ciknya suruh Muhaimin pasang sendiri Helikoptina ni. Maka bersengkang matalah Muhaimin memasang Helikoptina dan berusaha untuk menerbangkannya. Akhirnya, segala penat lelah Muhaimin berhasil. Dia dapat menerbangkan Helikoptina dengan jayanya! Yeay!

Sungguh malang itu tidak berbau, Helikoptina menghadapi sedikit masalah. Lalu jatuh terhempas dan tidak dapat diterbangkan lagi. Muhaimin bawa balik, cuba betulkan dan baiki apa yang patut. Namun Helikoptina tidak dapat juga diterbangkan. Muhaimin yang telah berputus asa ini memutuskan untuk membuang sahaja Helikoptina yang sudah tidak dapat terbang lagi itu. 

Kawan Muhaimin yang menjumpai Helikoptina di dalam tong sampah telah mengambil Helikoptina dan berusaha untuk membaiki semula Helikoptina. Alhamdulillah, segala usahanya berhasil apabila Helikoptina dapat diterbangkan. Dikhabarkan kepada Muhaimin dan kawan-kawan yang lain akan kejayaannya itu. Malangnya Muhaimin tidak percaya. Tinggallah dia keseorangan di bilik manakala yang lain berseronok bermain dengan Helikoptina. 

*****
'The Drama King - A Metaphor' ini kisah yang penuh simbolik. 

Mengikut tuan si pembuat filem pendek ini, dia memetaforakan filemnya seperti ini:

Watak Muhaimin diibaratkan seperti Bani Israel.

Pak cik Muhaimin itu dimetaforakan sebagai ALLAH yang memberikan nikmat Islam dan hidayah kepada Bani Israel. 

Helikoptina pula adalah Islam.

Kawan Muhaimin digambarkan sebagai khalifah. Golongan penegak agama Islam. Golongan yang menjunjung Islam, mengamalkannya di dalam kehidupan. 

Kejayaan menerbangkan Helikoptina disimbolikkan sebagai Islam dapat ditegakkan di muka bumi. Menjadi ustaziatul alam. 

*****

Pada saya, 'The Drama King - A metaphor' merupakan sebuah filem pendek yang penuh metafora dan simboliknya. Kisah yang perlu kita akui kebenarannya. Bahkan kisah pengkhianatan dan kemurkaan ALLAH kepada Bani Israel banyak tercatat di dalam kitab suci Al-Quran. Lihatlah dalam surah al-Baqarah, kisah pertikaian Bani Israel dalam melaksanakan perintah ALLAH apabila disuruh menyembelih seekor lembu. 

Di dalam surah yang sama juga, ALLAH menceritakan bagaimana keadaan Bani Israel yang telah diselamatkan oleh Nabi Musa daripada Firaun kemudiannya kembali kufur. Oh. Sebelum itu, mereka ini terlebih mengada-ngada. Meminta macam-macam dengan Nabi Musa. Nak makan itulah. Inilah. Padahal ALLAH sudah pun memberikan mereka 'mann' dan 'salwa'. Sungguh mereka ini tidak bersyukur. 

[Boleh rujuk surah Al-Baqarah ayat 49-74]

Banyak lagi dikisahkan di dalam al-Quran. Surah Hud misalnya yang mengisahkan bagaimana ALLAH menyeksa setiap kaum daripada Nabi yang berbeza. 
1. Kaum Nabi Nuh - ALLAH timpakan dengan banjir besar. 
2. Kaum 'Ad (Nabi Hud) - Diazab dan dibinasakan. 
3. Kaum Samud (Nabi Saleh) dan kaum Nabi Syu'aib - Ditimpa suara guntur hingga menyebabkan mereka mati bergelimpangan. 
4. Kaum Nabi Lut - Dihujani batu dari tanah yang dibakar. 

Kerana apa? Kerana mereka kufur. Tidak mahu beriman kepada ALLAH. Mereka tidak mahu mengakui perintah ALLAH dan suruhan para utusan ALLAH. 

Disebabkan Bani Israel yang ALLAH telah memberikan peluang berkali-kali kepada mereka namun mereka telah mempersiakannya ini, ALLAH telah memberikan nikmat iman dan Islam itu kepada kaum Arab. Boleh rujuk surah Muhammad ayat yang ke-38 berkenaan hal ini. 

"...Dan jika kamu berpaling (dari jalan yang benar), 
DIA akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, 
dan mereka tidak akan (derhaka) seperti kamu."
 [Muhammad, 47:38]

Kini, Helikoptina (Islam) telah bertukar tangan. Daripada tangan Muhaimin (Bani Israel) kepada tangan kawan Muhaimin (khalifah). Dan Helikoptina telah membahagiakan insan-insan yang menghargai dirinya. 

Kata orang, kita akan mempersiakan sesuatu yang kita terima dengan mudah. Kita ini, lahir-lahir sudah Islam. Ajaran Islam sudah sebati dalam diri kita sejak kecil. Sehinggakan sekarang ini, kita sudah tidak tahu lagi untuk membezakan antara Islam dan adat. Kerana apa? Kerana kita tidak begitu mengambil kisah tentang cara hidup Islam yang sebenar. 

Sungguh. Menonton filem ini membuatkan saya jadi takut sendiri. Berada di negara yang bukan Islam ini menjadikan saya lebih mengenali Islam dalam erti kata yang sebenar. Saya
menjadi izzah (bangga) dengan Islam. Saya rasa bebas dan tidak segan silu mempamerkan yang saya seorang Muslim di sini. Saya mahu semua orang tahu bahawa saya seorang Muslim. 

Namun berbeza pula situasinya dengan Malaysia. Apabila disebut sahaja orang Melayu. Pastilah yang terlintas beragama Islam. Dalam pada kita sedar atau tidak, kita telah membawa nama Islam itu walau ke mana sahaja kita berada. Namun, tanpa kita sedari, kita sendiri yang mencemarkan nama baik Islam itu. Hakikatnya ajaran Islam itu mulia dan indah, cuma kita penganutnya ini sahaja yang kurang mulia dan indah.

Semoga kita semua mampu menunjukkan contoh individu Muslim dalam erti kata yang sebenar kepada masyarakat. Semoga kita berpegang teguh kepada agama ini. Andai kata kita futur, ayuhlah berusaha untuk bangkit kembali. Jangan pernah berputus asa dalam mengejar rahmat dan redha ALLAH. 

"Ya muqallibal qulub, tsabbit qulubana 'ala deenik." 

Moga-moga kita tidak digantikan oleh ALLAH dengan kaum yang lain lagi. Moga kitalah kaum yang telah digantikan itu. Kaum yang bisa menegakkan syiar Islam di mata dunia. Ameen. Insyaa-ALLAH.

*****
Apabila berakhirnya semester musim bunga ini, bermakna saya cuma ada satu semester sahaja lagi di sini. Kemudian, akan pulang berkhidmat di tanah air. Risau. Sungguh saya risau. Risau andai kata saya kalah di medan tempur nanti. Risau andai kata tidak cukup persediaan di medan latihan selama hampir 5 tahun ini. 

Semoga ALLAH mengekalkan saya dan kita semua di jalan-NYA. Moga kita semua bisa berdiri teguh dan utuh di atas jalan dakwah dan tarbiyah ini walau badai melanda. Ameen. Insyaa-ALLAH.

Iman itu...memang yaazid wa yankuz. Menaik dan menurun. Ada jatuh bangunnya. Untuk itu, moga kita semua tidak terus-menerus berada dalam keadaan futur. Ayuh! Bangkitlah kembali andai futur. Carilah kekuatan ruhi dengan penerapan nilai-nilai tarbawi dalam diri. 

Mahu menjadi golongan yang ditapis atau tertapis. Kitalah yang memilih.

Oh ya. Ini tadabbur tukang buat filem; Inche Madmie.





Friday, June 14, 2013

Budak Usrah Duduk Dalam Dunia Sendiri?

Assalamu'alaikum wbt.

Petang semalam, sewaktu sedang menyediakan makanan untuk berbuka puasa saya sempat berborak kosong dengan seorang kawan. Banyak perkara yang kami bualkan. Maklumlah, walaupun satu universiti, walaupun bilik sebelah-menyebelah sahaja, namun tidak selalu kami dapat melepak santai bersama. Tambahan pula bila saya dan dia berlainan course dan kelas pula tidak sama. Waktu berjumpa beginilah kami gunakan untuk meng'update' diri. Bertukar-tukar cerita. 

"Bagus kan sekarang ni... I nampak dah ramai anak muda yang baya-baya kita ni dapat approach masyarakat. Hmm. Macam Afiq Sazlan tu...budak tomato tu..." Kata saya sambil tangan mengupas kulit lobak merah. 

"Oh. Afiq Sazlan yang Hamasah As-Syabab tu?..." Kawan saya bertanya sambil tangan masih ligat memotong dadu kentang untuk dibuat inti karipap.

"Haah. Dia muda lagi kot. Tapi matang. I yang kakak ni pun segan kot dengan dia."

"Budak tomato tu siapa eh? Yang you dok post entry blog dia kat FB tu kan?" 

"I pun tak kenal. Yang I tahu dia budak medik. Aberdeen."

"I tak rasa sangat bila baca blog dia. Mungkin sebab dia banyak cerita kot. I lagi suka blog APG." 

"Tapi at least blog dia mampu sampai pada masyarakat..." Dalam hati dok cakap, I suka je baca blog budak tomato tu... Sebab dia banyak cerita. Haha. Lain orang, lain citarasanya. 

"...Ramai kot I tengok yang komen kat blog dia tu... macam bukan yang ikut usrah. Sebab ada tanya pasal certain-certain istilah Arab yang dia guna. Yang kadang-kadang kita rasa, 'hek eleh... yang ni pun tak tahu ke?' tapi kita tak boleh la nak kata macam tu kan... Dah memang dia tak tahu. Bagus la dia tanya."

"Haah. Macam I adik-beradik sejak kecil lagi dah didedahkan dengan perkataan qiyadah la apa la... So I macam tak faham sikit la macam mana rasa tak faham tu..." 

"I faham je rasa tu. Sebab I pun, bila dah masuk usrah ni barulah faham apa makna qiyadah segala bagai tu."

"Itu la...  Kawan I ada cakap, 'Sepatutnya awak bersyukur sebab dilahirkan dalam keluarga yang baik-baik dan dah kenal usrah sejak kecil lagi.' Tapi sekarang ni I cuba la nak faham macam mana rasa orang yang baru nak kenal usrah ni..."

"Betul la apa kawan you cakap tu. You patutnya bersyukur. I faham la bila adik-adik cakap risau nak balik Malaysia nanti. Takut tak dapat istiqamah dan takut futur segala tu. Sebab I pun datang daripada famili yang bukannya join usrah ke apa ke...So I tahu la rasa tu macam mana..."

"Itulah. Bila kawan I cakap, kita tak rasa cepat nak futur ke apa ke sebab tengok la kawan-kawan keliling kita semua baik-baik. Tapi berbeza dengan orang luar sana. I tengok la timeline FB I, semua pun post kata-kata peringatan. Boleh kata tak ada langsung la benda-benda lagha ni. Then I tengok pulak timeline orang lain. Penuh kot post pasal K-Pop la apa la. Banyak yang lagha la pendek kata... Hmm. Baru I terfikir, diaorang ni perlu mujahadah yang tinggi untuk terus baik dan kekal baik."

"Kan? Sebab tu la I kata tadi bagus la ada anak-anak muda yang boleh masuk dalam masyarakat dan masyarakat boleh terima pembawakan diaorang ni. Barulah kita boleh ubah masyarakat tu. Bila kita dah faham situasinya macam mana."

"Tapi... makin ramai orang yang buat baik. Makin ramai juga yang sebaliknya. Hmm."

"Tak apalah. Itu maknanya kita kena kuatkan lagi usaha kita. Mungkin kita tak masuk sepenuhnya lagi dalam masyarakat."

*****

Itu antara yang saya dan kawan saya bualkanlah semalam. Terlintas untuk berkongsi di sini kerana saya rasa ada mesejnya.

Pagi tadi, saya terbaca status Aiman Azlan. 

"Aku harap orang-orang usrah tidak hidup dalam dunia mereka sendiri. Dunia ini ada satu sahaja, bukan dua. Jadi, kita kena belajar untuk hidup di atas bumi yang sama, di bawah langit yang sama. 

Aku suka usrah. Jadi jangan ambil kata-kata aku sebagai satu serangan terhadap usrah ye :)"


Macam lebih kurang sama pula apa yang saya bualkan dengan kawan saya semalam. 

Pada saya, kita ni kadang-kadang kena letakkan diri kita dalam kasut orang lain. Dan orang lain juga perlu letak diri mereka tu dalam kasut kita. Barulah masing-masing boleh faham keadaan masing-masing. Bertolak ansur dan bertoleransi dalam perhubungan itu perlu bukan?

Mungkinlah ramai yang kata...'Budak usrah ni suka duduk dalam dunia mereka sendiri.' Pergi mana-mana pun dengan ahli usrah dia je. Buat apa-apa pun dengan ahli usrah dia jugak. 

Iyalah. Nak buat macam mana kan... Usrah setiap minggu. Jadi seminggu sekali mesti wajib jumpa. Itu belum termasuk daurah, rehlah dan jaulah lagi. Itu belum lagi termasuk keluar lepak-lepak, riadah bersama dan sebagainya. Jadi memang akan nampak budak usrah ni duduk dalam dunia mereka sajalah. 

Tapi... itu tidak bermakna mereka ini tidak bergaul dengan orang sekeliling. Kawan yang lain pun rasanya tidak diabaikan. Cumanya kalau dulu ber'hu-ha-hu-ha' sesama lelaki perempuan... Sekarang dah tak bolehlah buat perangai tak semenggah itu lagi. Masih boleh berkomunikasi. Masih boleh berborak. Cumanya adalah batas-batas yang perlu dijaga. Dan berbual pun apabila perlu sajalah. 

Cumanya saya mengecam sesiapa yang mengaku dia budak usrah, tetapi main double standard antara yang join usrah dengan yang tak join usrah ni. Jangan begitu kawan. Qudwah qabla dakwah. Akhlak dan keperibadian itu penting dalam menyampaikan kebaikan. 

Apapun, kita cubalah elakkan untuk bersangka-sangka ni ya. Nak-nak kalau berburuk sangka. Kita cubalah bersihkan hati kita daripada noda-noda hitam menyinggah masuk.

Ini sekadar sudut pandangan saya sahaja. Mungkin ada yang tidak betulnya. Mungkin ada silapnya. Harap dapat perbetulkan andai ada silap di mana-mana. 

Wallahu'alam.

Nota : 14 Jun - Hari Untuk Syria. 
Dr. Yusuf Qaradhawi telah mengisytiharkan hari ini adalah Hari Untuk Syria. Dalam pada kita disibukkan dengan pelbagai urusan diri, jangan kita lupakan apa yang berlaku di luar sana. Jom! Mari sama-sama peduli ummat.