Sunday, July 24, 2011

Kisah Silam Jangan Diulang

Assalamu'alaikum wbt.

Sehari dua ni saya asyik 'berjumpa' dengan kisah yang hampir sama. Kisah yang dialami sendiri. Kisah dari blog. Perkongsian dengan seorang sahibah di laman chat FB. Hmm...mungkin ALLAH nak tunjuk pada saya sesuatu. Mungkin ALLAH nak bagi saya berfikir dan bermuhasabah kembali. Alhamdulillah. Terima kasih, YA ALLAH atas kisah yang terpapar di depan mata ini. =)

Saya pasti, setiap daripada kita pernah melakukan kesilapan. Setiap orang pernah buat silap, kan? Saya juga begitu. Namun, persoalannya di sini, adakah kita masih terus melakukan kesilapan yang sama? Atau kita berhenti daripada melakukan kesilapan dan berusaha untuk tidak mengulanginya lagi? Yang mana satu pilihan anda? Tepuk dada tanya iman.
*Sepatutnya dalam hati bukan sahaja ada taman, tapi perlu ada iman.*

Kadang-kadang, dalam kita tidak sedar, kita telah melakukan kesilapan. Berborak-borak dengan teman, kemudian terkeluar topik kepada termengata orang lain. huhu. Saya tidak kata kepada orang lain, saya juga pernah terjadi begitu. Astaghfirullah hal 'azim...Betapa lalainya kita manusia ni kan? Padahal terang-terangan ALLAH melarang keras kita daripada mengumpat. Ghibah. Backbitting. Tapi dek tergoda dengan bisikan dan godaan syaitan, kita lalai. Astaghfirullah hal 'azim. Ampunilah dosa-dosa kami ini YA ALLAH...

Solusinya, berhati-hati dengan apa yang kita tuturi. Fikirkan baik buruknya apabila bercakap. Ini nasihat dan peringatan untuk diri saya juga sebenarnya. Saya masih teringat kata-kata seorang senior, "Kata-kata kita melambangkan siapa diri kita". Saya benar-benar terkesan dengan ulah yang diluahkan beliau. Elakkan daripada bercakap benda yang sia-sia. Jika tercakap juga, terus berhenti bila sedar. Beristighfarlah banyak-banyak. Mohon keampunan pada ALLAH.

Seperti yang saya katakan pada awal tadi, setiap orang ada buat salah. Jangan kerana kesalahan lampau itu, kita menghukumnya. Jangan tuduh melulu atau pandang serong padanya setelah mengetahui kisah silamnya. Siapa tahu, dia hari ini lebih baik dari diri kita sendiri? Kita tidak boleh menilai orang lain. Hanya ALLAH yang boleh menilainya. Apa yang kita boleh buat ialah pertingkatkan amal kita dan pada masa yang sama ajak orang lain ke arah kebaikan. Selebihnya serahkan kepada Yang Maha Esa.

Apa yang pasti, kisah silam itu jangan diulang lagi. Tinggalkan terus. Jika kita sudah berjaya meninggalkannya hari ini, usahakan juga untuk tinggalkannya buat selama-lamanya. Mungkin agak susah apabila sesuatu itu bagaikan sudah sebati dalam diri. Namun, jika kita berkehendakkan sesuatu yang baik, insya-ALLAH ALLAH akan tolong. Usahakan untuk itu. ALLAH tidak akan menghampakan hamba-NYA yang berusaha. Minta pada DIA. Berdoa. Serahkan sepenuh kepercayaan pada-NYA. Insya-ALLAH, DIA tidak akan sia-siakan hamba-NYA. :)
Saya juga bukannya baik sangat. Saya mengaku itu. Banyak lagi benda yang perlu diperbaiki. Banyak juga khilaf yang telah dibuat. Namun, apa yang pasti, saya akan berusaha untuk menjadi baik. Menjadi lebih baik. Membetulkan apa yang silap. Insya-ALLAH.

Sama-samalah kita berubah wahai sahabat sahibah sekalian. Jika orang lain mampu berubah menjadi lebih baik, kenapa tidak kita? Sedangkan kita semuanya sama sahaja di sisi ALLAH. Yang membezakan kita di sisi-NYA adalah amal kita sahaja.

Teringat bicara seorang teman semalam. Semua yang berlaku adalah disebabkan oleh diri kita sendiri. Kitalah yang mencorak diri kita. Jika kita inginkan kebaikan, kita akan berusaha ke arah itu. Jika kita inginkan keburukan, kita akan menjurus ke arah itu. Semuanya terletak pada diri kita. Buatlah pilihan yang tepat. Pilihan yang membantu kita di dunia mahupun akhirat.

Betul hidayah itu milik ALLAH. Tapi hidayah itu juga perlu dicari. Jadi, tinggalkan kisah silam. Jangan diulang lagi. Yang baik dijadikan teladan. Yang buruk dijadikan sempadan.

Berusahalah. ALLAH pasti bersama hamba-NYA yang beriman dan berusaha. Jangan berputus asa dengan rahmat ALLAH. DIA sentiasa ada untuk kita. Cuma kita sahaja yang kadang-kadang terlupa akan kewujudan-NYA di sisi kita.

“Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu (Muhammad) tentang AKU, maka sesungguhnya AKU dekat. AKU kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-KU. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah-KU) dan beriman kepada-KU, agar mereka memperoleh kebenaran” ~Al-Baqarah,2:186~

2 comments:

saleem wahab said...

post yang sangat bermakna pada saya..sungguh kita tak mampu lari dosa...sama2 beristiqfar..

Nadzipah said...

Sebenarnya ini lebih kepada memperingati dari saya sendiri dan diharapkan juga ia bermanfaat kepada orang lain..

Insya-ALLAH, sama-samalah kita berusaha untuk menjadi lebih baik dari kelmarin..

Sentiasa beristighfar dan memohon keampunan dan keredhaan ALLAH. Insya-ALLAH