Tuesday, April 10, 2012

Kita Sayang, ALLAH Lebih Lagi Sayang

Assalamu'alaikum wbt.

10 April 2012. Hari ini, hari yang begitu terkesan sekali di hati saya. Sewaktu di bilik komputer menyiapkan projek MATLAB, saya mendapat kakao dari Krun mengatakan yang umminya sudah tiada. Pulang menghadap Sang Pencipta. ALLAHU ALLAH. Terasa seolah-olah masa berhenti seketika. Kaku. Diam tak terkutik saya sambil membaca mesej itu berkali-kali. Teringat Ummi dan We di rumah. Setiap dari kita akan menghadapi detik kematian, namun adakah kita bersedia untuk menghadapinya dan bersedia melepaskan insan kesayangan kita pergi? Sungguh besar jiwamu ukhti. Malu diri ini mengenangkan ketabahan dirimu.

Takziah saya ucapkan buat Krun sekeluarga. Semoga kalian terus diberikan ketabahan,kekuatan dan kesabaran. Rabbuna yuqawwi. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri  rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Insya-ALLAH.

"Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasanmu.Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya."
[Ali Imran, 3:185]

Saya juga ada terbaca tentang beberapa orang insan lain yang dijemput menghadap Ilahi. Sungguh, hari ini penuh dengan peringatan dari-NYA. Saya dan kita semua pun, hanya menunggu masa sahaja untuk mengikut jejak langkah mereka semua. Bersediakah kita menghadapinya? 

Hari ini juga, ada beberapa kenalan yang menyambut ulang tahun kelahiran mereka. Dua daripadanya ialah junior batch 12. Hari ini juga, saya mendapat berita seorang ukhti telah selamat melahirkan seorang khalifah kecil. 

Subhana-ALLAH. Sungguh cantik kan susunan ALLAH? DIA jemput seorang dan DIA hadiahkan seorang. Selalunya saya hanya mendengar sahaja mengenai perkara ini. Hari ini saya mengalaminya sendiri. 

Kita sayang, ALLAH lebih lagi sayang. Mati itu pasti. Hidup, insya-ALLAH. Bersama kita manfaatkan sisa-sisa usia yang masih berbaki ini ke arah kebaikan. Bersama berjuang mencapai redha-NYA. Bersama berusaha menjadi hamba rabbani. Insya-ALLAH. Semoga nanti saat kita dijemput-NYA, kita mampu pergi dengan tersenyum gembira seperti saat kali pertama kita dilahirkan. Insan yang menyambut kelahiran kita semuanya tersenyum gembira. Insya-ALLAH.




No comments: