Sunday, August 5, 2012

4 Tahun

Assalamu'alaikum wbt.


"Salam 'alaik Nadzipah. Nak tanya bila awak free ek? Nak gi ziarah. Insya-ALLAH. :)"


Ini pesanan ringkas yang saya terima pada hari Selasa yang lepas. Mesej pertama yang diterima daripada insan yang saya tunggu-tunggu selama ini. Sebelum ini orang lain yang saya harapkan, orang lain yang datang.

Pada lewat malam Khamis pula, saya mendapat satu lagi mesej.

"Salam 'alaik Nadzipah. Kalau takde apa-apa halangan, esok saya gi rumah awak, insya-ALLAH. :)"


Tanpa dapat ditahan, saya tersenyum lebar. Padahal baca mesej tu masa bangun sahur. Terus hilang mamai lepas baca mesej tu. :D

Selepas berbalas-balas mesej dan berikan alamat, saya menunggu dalam debar untuk bersua muka dengan si pengirim mesej. Segala rasa berbaur menjadi satu. Teruja + seronok + tak sabar = Berdebar-debar. Hah ha! Gaya macam nak berjumpa bakal mentua je. :P

Dalam pukul 1 petang, saya mendapat panggilan darinya mengatakan dia sekarang berada di hadapan BSN Pasir Puteh. Sebelum itu, Ummi baru sahaja menyuruh saya menelefon bertanyakan dia yang masih tidak kunjung tiba. Sedangkan kalau ikutkan katanya pada saya lewat mesej pagi Jumaat itu, dia akan bertolak dari rumahnya di Pasir Mas sekitar pukul 10 pagi. Lama sungguh masa yang diambil dari Pasir Mas ke Pasir Puteh. 3 jam tu!

Belum sempat saya menelefon, dia sudah menelefon saya. Dari bandar Pasir Puteh, dia perlu berpatah balik menghala ke arah Kota Bharu untuk ke rumah saya. Sekitar pukul 1.30 petang, akhirnya dia selamat sampai di rumah saya. Alhamdulillah.

ALLAH. Sewaktu pertama kali bertatapan, bibir tersenyum tanpa mampu mengungkapkan kata-kata. Hanya mata mampu berbicara. Keluar sahaja dari kereta, terus kami bersalaman dan berpelukan erat. Macam tak nak lepaskan tangan rasanya. Lama sangat tak jumpa. Sampaikan pada awalnya tak tahu nak cakap apa. Hampir 4 tahun kami tidak bersua muka.

Pada mulanya masing-masing seolah-olah malu-malu dan tidak tahu mahu berkata apa. Hanya mampu senyum dan ketawa. Macam tak sangka pun ada juga. Alhamdulillah, ALLAH izinkan kami bertemu kembali setelah hampir 4 tahun tidak bersua muka. Iyalah. Dia di Conventry. Saya di Suwon. Hanya alam maya yang menghubungkan kami selama ini.

Kami sempat belajar di INTEC selama sebulan sahaja kalau tidak silap perkiraan saya. Housemate di bilik 504 Kolej Cemara. Ke sana ke mari bersama. Kemudian, dia ditawarkan KPM pengajian TESL di University of Warwick. Kami akhirnya berpisah. Saya masih tetap di INTEC, membuat persediaan bahasa Korea, manakala dia ke IPG Ipoh membuat persediaan untuk ke Conventry. Ketika saya berlepas ke Korea Selatan pada akhir Februari 2009, dia masih di IPG Ipoh. Kalau tidak silap, tahun 2010 baharulah dia berlepas ke Conventry.

Saya akui. Kami jarang berhubung. Namun ingatan terhadapnya kekal terpahat di hati. Cuma sekali-sekala kami berhubung dan bertanya khabar di Facebook mahupun Twitter. Ummi dan We pun selalu sahaja bertanyakan khabar si tinggi lampai ini.

Banyak benda yang kami bualkan semalam. Ladies talk. Macam-macam cerita. Al-maklumlah, update untuk 4 tahun. Hee. Sekitar pukul 5 petang, baharulah si manis Fatin Marini bergerak pulang. Rasa macam belum puas lagi bertemu. Insya-ALLAH, ada masa kita akan berjumpa lagi.

 Terima kasih banyak-banyak. Jazakillahu khairan jaza' atas ziarah yang memang tidak saya sangkakan. Terlerai rindu. Bertaut kasih. Bercambah sayang. Insya-ALLAH. Terima kasih juga atas souvenir dari Mesir dan Conventry ye, Fatin. Tak dapat ke Mesir dan UK, dapat ole-ole dari sana pun jadilah. :')

Nota 1: Bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah. Doa sentiasa menjadi penyambung kisah. Insya-ALLAH.

Nota 2: Pertengahan fasa kedua Ramadhan sudah hampir berlalu. Ayuh bersama tingkatkan amal, perbanyakkan doa. Semoga amal kita pada Ramadhan kali ini diterima Ilahi. Semoga amal ini mampu diistiqamahkan pada 11 bulan yang akan datang. Insya-ALLAH.


Nota 3: Selamat menyiapkan report praktikal untuk awak dan saya. Fighting!!!

2 comments:

fatinmarini said...

mata berkaca-kaca. sobs!
nanti kita jumpa lagi insya-Allah.
dannnn, kita kena ambil gambar.
:D

Nadzipah said...

Ada masa dan diizinkannya kita jumpa lagi.
Insya-ALLAH wa biidznillah.
Ya! Mesti ambil gambar. :'))