Tuesday, December 11, 2012

Penampilan Mesti Kena Jaga

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. ALLAH izinkan saya dan kita semua menghirup udara-NYA pada pagi Selasa yang dingin ini. Suwon pagi ini berada 13 darjah Celcius di paras beku (Baca : -13 degree Celcius). Burrrr.......Sejuk sekali. 

Mahu bangkit solat Subuh pun terasa bagaikan selimut menarik-narik untuk menyambung tidur kembali. Benar-benar memerlukan mujahadah yang kuat untuk menyisihkan selimut ke tepi dan terus bangkit mengambil wudhuk untuk berjanji temu dengan Rabbul Izzati. 

Pagi ini usai Subuh dan membaca al-Ma'thurat, saya bermalas-malasan sekejap di atas katil. Alahai. Sungguhlah syaitan itu benar-benar penggoda yang licik. Mahu juga ditariknya saya kembali merebahkan diri di atas katil dan berselubung di bawah selimut tebal bagi menghangatkan diri daripada digigit kedinginan pagi musim sejuk. 

Minda sedar saya mengingatkan minda bawah sedar supaya jangan tertidur. Sejak semalam lagi sudah merancang pagi ini mahu turun sarapan di bawah. Jadinya apabila jam pada telefon pintar menunjukkan hampir pukul 8.30 pagi saya terus bangkit dari katil, mengemaskannya dan bersiap-siap untuk turun ke bawah. 

Setelah mengambil makanan, saya mengambil tempat di satu kerusi dan menikmati sarapan pagi sambil memerhati orang yang keluar masuk daripada dewan makan asrama. 
Saya kira memerhati orang ini sudah bagai satu hobi. Sudah menjadi suatu kebiasaan dalam diri.  

Entahlah. Saya tidak pasti aktiviti memerhati sebegini baik atau tidak. Tapi sungguh. Saya terhibur melihat pelbagai gelagat dan telatah orang di sekeliling saya. Terkadang, saya tertanya-tanya sendiri, adakah saya akan melakukan seperti apa yang mereka lakukan? Secara tidak langsung saya merefleksi diri saat melihat pelbagai kerenah manusia ini.

Apa yang saya perhatikan, sejak dahulu lagi sebenarnya, orang Korea ini akan turun bersarapan dengan berpakaian tidur yang memang selamba yang amat. Memang mudah sangat untuk mengesan yang mereka ini, sebaik sahaja bangun dari tidur terus turun untuk bersarapan. Suara pun masih serak-serak basah lagi! Macam orang mamai pun ada juga. 

Jarang dilihat pada waktu sarapan pagi sebegini yang berpakaian kemas dan seperti yang kita selalu jumpa pada kebanyakan waktu. Jangan tidak tahu, orang Korea ini amat kemas dan menjaga penampilan mereka saya kira. Namun, apabila tiba saat bersarapan pagi sebegini, lain pula suasananya. 

Pada satu sudut, saya nampak, mereka ini tidak hipokrit. Tidak menyembunyikan diri. Biasalah, baru bangun tidur kan? Mestilah keadaan agak kusut-masai dan tentulah tidak sekemas biasa. Semua orang pun begitu. 

Pada suatu sudut yang lain pula, saya terfikir, hmm... kita yang muslim ini, terutamanya yang perempuan, memang akan bersiap jugalah walaupun sekadar ala kadar sahaja sebelum keluar dari bilik. Jadi, secara tidak langsung, penampilan kita menjadi lebih kemas jika hendak dibandingkan dengan orang Korea ini. Itu apa yang saya fikir dan rasalah kan...

Pagi ini saya ditegur oleh seorang kawan usai sahaja kami sarapan bersama. 

Katanya, "Ada kelas ke lepas ni, Nadzipah?"

"Hari ni tak ada kelas." Senyum.

"Oh. Tengok gaya macam nak pergi kelas. Dengan blousenya.... skirt lagi!" Dia gelak kecil di akhir ayat.

Saya sekadar senyum. Tak tahu mahu kata apa. 

"Kami ni pakai biasa-biasa saja. Seluar tidur lagi ni ha! Tak adanya nak bersiap bagai. Ni macam dah mandi pun ada!"

Haha. Kali ini saya tergelak. Amboi! Perli nampak! Haha.

"Penampilan mesti kena kemas sentiasa!" Saya katakan padanya sambil tayang senyum yang melebar. 

Okay. Nampak tak apa yang mahu saya sampaikan? Hihi. Gaya macam bagi pop kuiz saja.

Kita ini, walau di mana pun kita berada, penampilan mesti kena jaga. 
Biarlah wajah kita tidak cantik dan tidak kacak sekalipun. Tidak mengapa. 
Yang penting, biarlah kemas dan rapi sentiasa.
Barulah orang senang melihat kita. 

Sedar tak? 
Sebenarnya bila kita menjaga penampilan kita...
Kita sentiasa dalam keadaan kemas...
Secara tak lansung orang akan rasa kita cantik dan kacak...

Eh? Betul ke begitu?
Tak percaya?
Rasa tak yang orang yang berpakaian seragam itu kacak dan macho?
Adakah mereka semua itu mempunyai wajah yang tampan?

Oh, sama sekali tidak!
Habis tu, apa yang membuatkan kita rasa mereka ini kacak lagi bergaya?

Kerana...mereka menjaga penampilan mereka.
Rambut mereka pendek dan kemas.
Pakaian mereka dijaga rapi. 
Itulah hasilnya apabila kita sentiasa kemas dan menjaga penampilan.

Lebih-lebih lagi, kita ini orang Islam.
Kita ini orang yang buat dakwah.
Sepatutnya kita lebih faham daripada orang biasa.
Sepatutnya kita perlu lebih kemas dan lebih menjaga penampilan.

Kerana apa?
Kerana kita tahu yang ALLAH itu cantik dan DIA sukakan kecantikan.
Kita tahu yang di dalam 10 Muwasafat Tarbiyah itu ada Qawiyyul Jismi (Sihat tubuh badan) dan Munazhzhamun fi Syu'unihi (Teratur urusannya).

Bukankah semua itu menuntut kita untuk menjadi seorang yang kemas, 
rapi dan menjaga penampilannya?
Bukankah kita mahu menjadi qudwah hasanah (contoh ikutan) semua?
Dari itu jangan salahkan orang apabila ada yang memandang jelek pada kita.

Duhai sahabat dan sahibahku...
Duhai ikhwah dan akhawat fillah...
Lihatlah penampilanmu...
Rapikan dan kemaskan sosokmu...
Itu lebih baik untukmu...
Orang yang memandang pasti senang melihatmu
Penampilanmu yang terjaga itu akan membuatkan orang senang denganmu
Nur keimanan juga pasti akan lebih terserlah dari dirimu
Moga pancaran cahaya itu mampu menerobosi hati-hati yang memandangmu.
Insyaa-ALLAH.






No comments: