Tuesday, September 6, 2011

Aku Terima Nikahnya

Assalamu'alaikum wbt.

Saya percaya tentu dah ramai yang baca buku bestseller ni kan? Aku Terima Nikahnya tulisan Ustaz Hasrizal. Saya baca buku ni masa dekat INTEC, dalam tahun 2009 macam tu. Pinjam dari kawan satu batch. Dah lama la jugak khatam buku ni ni. Dah 2 tahun. Sekarang sudah ada kompilasi buku Aku Terima Nikahnya bersama 2 lagi buku tulisan Ustaz Hasrizal. Saya belum sempat baca lagi buku kompilasi ni. Insya-ALLAH, akan baca sedikit masa lagi.

Memandangkan sekarang ni musim orang kahwin, saya tertarik untuk menulis tentang topik ini. Lagipun memang sejak seminggu dua ini, saya asyik dihidangkan dengan topik yang sama sahaja. Kahwin, tunang, kahwin tunang. Tengok gambar orang itu kahwin lah. Tahu orang ini tunang lah.
Sepupu saya pun baru sahaja selesai walimahnya pada 5 Syawal 1432H bersamaan 3 September 2011 baru ni. Tak sampai seminggu pun lagi. Saya hanya mendengar cerita persiapan perkahwinan dan sebagainya dari Ummi. Ummi pun tak menang tangan menguruskan itu dan ini. Segala macam barang hantaran memang sepupu serahkan pada Ummi untuk uruskan. Ummi siap cakap, "Ini baru anak saudara kahwin. Kalau anak sendiri yang kahwin, Ummi tak tahu la macam mana penatnya." Sampai demam-demam dibuatnya selepas majlis tu. *Kalau anak sendiri kahwin, memang Ummi lagi tak menang tangan la jawabnya. Sebab memang semua benda akan tanya Ummi. :P*

Bila dengar je orang kahwin ni, rasa macam nak kahwin jugak. Iye lah kan, seronok tengok orang kahwin. Dengan pakaian yang cantiknya, dengan pelaminnya, dengan hantarannya. Seronok! Namun hakikatnya, perkahwinan bukan hanya berhenti setakat itu sahaja. Perkahwinan tidak selesai hanya selepas akad ijab dan kabul. Habis majlis walimah, maknanya habislah bab nikah-kahwin. Oh, tidak sama sekali. Sekali-kali tidak begitu!

Hakikatnya, bermula saat suami menggenggam tangan jurunikah, melafazkan lafaz sakinah; ijab dan kabul, di situlah bermulanya episod sebuah perkahwinan. Penyatuan dua hati menjadi satu. Saat itu tergalas beban tanggungjawab oleh seorang bergelar suami terhadap isterinya. Saat itu terserah beban tanggungjawab yang ditanggung oleh seorang bapa kepada bahu seorang suami.

Beban yang digalas itu bukan sedikit ye teman-teman. Amat berat dan amat sukar. Ia memerlukan persediaan rapi yang bukan sedikit. Tanggungjawab itu akan disoal di akhirat kelak. Adakah suami itu benar-benar menjaga amanah dan melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isterinya. Kemudian beban tanggungjawab itu akan bertambah lagi setelah pasangan itu mempunyai anak kelak. Segala dosa yang dilakukan oleh isteri dan anak-anak semuanya tertanggung dipundak seorang lelaki yang bergelar suami dan ayah ini.

Buat yang bergelar Adam, insya-ALLAH suatu hari nanti, kalian pasti akan mengalami saat-saat pelepasan tanggungjawab ini. Buat yang bergelar Hawa, insya-ALLAH nanti apa sahaja yang kalian lakukan, semuanya tergalas di bahu suami kalian kelak. Oleh itu, fikirlah semasak-masaknya, adakah kalian sudah bersedia untuk menanggung beban tanggungjawab ini setelah menyandang title suami dan isteri kelak.

Justeru itu, perkahwinan itu bukan sahaja menghalalkan sesebuah perhubungan. Namun ia lebih kepada penyerahan tanggungjawab dan kebersamaan dua jiwa dalam penguruskan rumah tangga yang dibina. Sungguh, asam garam dalam kehidupan berumah tangga itu memang banyak. Kapal yang dikemudi seorang nakhoda tentu sekali akan mengalami pertembungan dengan ombak yang bergelora. Oleh itu, menjadi tugas nakhoda itulah bagaimana untuk dia mengawal nakhodanya daripada terhempas di pantai. Kebijaksanaannya dalam mengendalikan kemudi dibantu oleh pembantu dan anak-anak kapal yang lain ini akan menyelamatkan nakhoda daripada karam di lautan yang bergelora.

Seseorang yang bergelar suami dan isteri tidak terlepas daripada tanggungjawab masing-masing. Jika dulu hanya hidup sendiri. Semua benda hanya perlu ikut hati dan rasa. Kini sudah tidak boleh begitu lagi. Semua benda perlu dilakukan bersama. Tidak boleh hendak ikut rasa sendiri sahaja. Perlu juga mengambil kira pendapat dan kehendak pasangan. Oleh itu, sifat bertolak ansur dalam rumah tangga itu memang teramat penting.

Jika dulu pantang berkongsi. Sekarang ini, semua benda kena berkongsi. Semestinya setiap orang dari isteri dan suami mempunyai kelemahan dan kelebihan masing-masing. Bila sudah berdua, kekurangan isteri ditampung oleh kelebihan suami dan kelemahan suami ditampal oleh kebolehan isteri.

Kepada sesiapa yang baru sahaja menamatkan zaman bujang mereka, selamat menghadapi alam perkahwinan yang pastinya punyai asam, garam, gula dan kopinya yang tersendiri.

Kepada sesiapa yang bakal melangkah ke alam baru ini, persiapkanlah diri anda sebaik mungkin. Bertanyalah kepada yang lebih berpengalaman dan lebih tahu. Semua itu untuk kebaikan kita juga suatu waktu kelak.

Memang saya tidak menulis semua ini mengikut pengalaman sendiri. Hakikatnya semua itu masih jauh bagi saya. Sekarang ini masih memegang status single but not available. Kenapa not available? Semestinya kerana saya hak milik mutlak Ummi dan We. Jadinya untuk menjadikan available perlulah berjumpa dengan pemiliknya bukan?

Namun pengalaman itu tidak terbatas kepada pengalaman diri sendiri sahaja. Pengalaman itu juga boleh diambil daripada orang-orang sekeliling. Pengalaman dari pembacaan. Pengalaman daripada pemerhatian. Jadinya pengalaman yang dinukilkan di sini, diambil daripada pengalaman orang sekeliling, pembacaan dan pemerhatian saya sendiri.

Maaf, jika apa yang saya lakarkan diri sini ada yang tidak betul dan tidak kena di mata para pembaca. Harap dibetulkan ye.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha untuk mempersiapkan diri sesedia mungkin bagi menghadapi kehidupan berdua nanti. Sungguh, mengejar atau mencari yang soleh dan solehah itu hanya sia-sia jika diri sendiri tidak berusaha untuk menjadi soleh dan solehah.

2 comments:

hasnisyakila said...

amboih, cerita kwain nampak..hehehe

to be informed, i haven't read that books. xtau la...

tgk2 tapi macam tak berminat lagi nak bace..

buku2 ustaz hak lain beli je...heee

Nadzipah said...

hehehe...sebab asyik dok tengok orang upload gambar tunang, upload gambar kahwin je kat FB tu...itu yang dok bercerita ni..hah ha!

baca sebab tengok ramai orang baca. kan bestseller, so nak tau la tang mana bestseller tu..hehe :p

takpe2, nanti2 buleh bace ye. ngee~