Thursday, January 3, 2013

Kita Buka Buku Baharu. Tutup Buku Lama

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Sudah 3 hari tahun baharu 2013 menjengahkan dirinya. Bermakna sudah 3 hari juga tahun 2012 mengucapkan selamat tinggal kepada kita semua. Alhamdulillah. Syukur kepada Yang Maha Esa kerana masih mengizinkan kita menghirup udara segar ciptaan-NYA lagi sehingga ke saat ini. 

Bagaimana dengan permulaan tahun baharu 2013 anda? Sudah membuat semakan azam 2012 yang manakah yang masih belum dicapai? Apakah pencapaian terbaik 2012 anda? Bagaimana pula dengan azam dan perancangan 2013 anda? Sudah tersemat dan terpasak kukuh di sanubari untuk mencipta sejarah pada tahun 2013 ini? 

Hihi. Banyak pula soalan saya ya. Semoga perkara kebaikan pada 2012 kita teruskan pada 2013 ini bahkan bertambah baik lagi. Insyaa-ALLAH. Harapnya apa yang tidak baik itu kita jadikan sempadan agar tidak diulang lagi kesalahan yang sama pada tahun ini. Insyaa-ALLAH.

1 Januari 2013, saya hanya menghabiskan masa di dalam bilik. Separuh hari di atas katil. Demam dan selesema serta batuk yang agak teruk saya kira. Hanya memaksa diri untuk bangun dari katil untuk solat. Selebihnya memang terlantar di atas katil. Okey. Macam terlampau teruk pula sakitnya apabila menggunakan istilah 'terlantar' itu. Huhu. 

Alhamdulillah, ALLAH izinkan saya kembali bertenaga pada sebelah petangnya. Alhamdulillah. Thumma alhamdulillah. Keesokan harinya saya masih boleh ke kelas seperti biasa. Walaupun setiap masa tisu sentiasa di tangan. Diselang seli dengan batuk juga. Sehari dua ini suhu makin menjunam jatuh. Hari ini suhu 15 darjah Celsius di bawah paras beku (baca : -15 degree Celsius).  

Alhamdulillah. Hari ini sudah selesai menduduki ujian pertengah semester musim sejuk. ALLAH izinkan juga saya mendapat sedikit pengisian walaupun tiba agak lambat. Alhamdulillah, input yang diterima memang bermakna. 

Banyak nikmat yang ALLAH berikan kepada kita bukan? Tidak terhitung. Untuk nikmat-nikmat kurniaan ALLAH itu, kita seharusnya bersyukur dengan setiap nikmat yang diberikan. Bagaimana cara kita bersyukur itu? Dengan beramal. Banyaknya amal yang kita lakukan menunjukkan bahawa kita menghargai nikmat ALLAH yang banyak itu. Dan banyak jugalah kita bersyukur. 

Mungkin ALLAH menarik sekejap nikmat sihat daripada saya kerana kurangnya rasa syukur saya kepada-NYA. Mungkin... Mungkin juga amal saya makin berkurang semenjak dua menjak ini. Jadi sebab itu ALLAH menarik nikmat sihat daripada saya. DIA berikan sedikit rasa sakit kepada saya - demam, selesema, batuk ini semua untuk saya refleksi balik diri saya. Supaya saya perbetulkan apa yang goyah dan tempang. Supaya saya tingkatkan kembali amal. Supaya saya mensyukuri nikmatnya kembali. Supaya saya lebih mendekati-NYA. 

Terima kasih Ya ALLAH atas peringatan-MU ini. Hamba-MU ini khilaf. Hamba-MU ini terleka, terlalai dan teralpa buat seketika. Ampuni aku, Ya ALLAH...

Saya mengajak diri saya dan anda semua yang membaca coretan rasa ini untuk kita sama-sama memperbaharui niat. Sentiasa memperbaharui niat. Melakukan segalanya kerana ALLAH. Bersama kita membuka buku baharu. Bersama kita menutup buku lama. Bersama kita berusaha mempertingkatkan graf amal kita. Bersama kita mempertingkatkan rasa syukur kita. Insyaa-ALLAH.

Nota : 
1. Masih berperang dengan perasaan dan hati sendiri. Hati dan rasa sendiri pun masih tidak mampu ditebak. Inikan pula hati orang lain. :'(

2. Oh, sudah masuk tahun 2013. Secara tidak langsung tahun ini sudah bertambah umur setahun lagi menjadi 23 tahun. Walaupun baru 2 bulan yang lepas genap 22 tahun. Hihi. 

Perlu menjadi lebih matang lagi selepas ini. Perlu lebih serius memikirkan masa hadapan. Perlu punya perancangan yang lebih jelas berserta dengan setiap tindakan ke arah merealisasikan setiap obsesi. Insyaa-ALLAH. 

No comments: