Thursday, January 31, 2013

Positif

Assalamu'alaikum wbt.

Hari ini, bermula pada pukul 10 pagi tadi, saya dan kawan-kawan tahun 4 yang lain perlu bersiap sedia untuk 'berperang' - bertanding siapa yang lebih tangkas meng'klik' tetikus pada subjek yang diingini. Huhu. 

Sebenarnya hari ini merupakan hari pendaftaran subjek untuk pelajar tahun 4. Tepat jam 10 pagi sistem mula jammed. Setelah di'refresh', semua subjek sudah penuh. Padahal baru seminit berlalu. :'((

Saya hanya sempat mendaftar 3 subjek sahaja. Masih ada lagi beberapa subjek wajib yang tidak dapat didaftarkan. Sedih sungguh rasanya. Andai tidak dapat mendaftarkan subjek-subjek ini, bermakna saya tidak dapat graduate pada tempoh yang ditetapkan. ALLAHU ALLAH. Harapnya tidak begitulah jadinya. Moga dijauhkan.

Harapnya masih ada lagi tempat untuk saya daftarkan diri pada 4 Februari nanti. Insyaa-ALLAH. Semoga ALLAH izinkan saya dan rakan-rakan yang lain dapat mendaftarkan  subjek yang dikehendaki nanti.

Saya tidak pasti bagaimana prosedur mendaftarkan subjek di negara-negara lain. Bahkan di Malaysia pun saya tidak tahu bagaimana prosedurnya. Saya pernah juga menolong adik saya mendaftarkan subjeknya, tapi rasanya tidaklah sesengit ini perlumbaan untuk mendapatkan subjek yang diingini.

Setiap kali bermulanya tahun baharu pengajian, pastilah saat-saat mahu mendaftarkan subjek inilah yang paling mendebarkan dan menakutkan semua orang. Walaupun kelajuan internet di Korea Selatan ini memang laju, tetapi sistem pasti akan down sewaktu hari pendaftaran subjek yang perlu dibuat secara online. Seminit kemudian apabila sistem kembali stabil, hampir kesemua subjek telah pun penuh.

Pastinya pengalaman mendaftarkan subjek ini akan terpahat di sanubari setiap pelajar. Menghadapi detik-detik yang mendebarkan dan mencemaskan. Tersenyum bahagia andainya dapat mendaftarkan subjek yang dikendaki. Kecewa dan sedih sekiranya tidak dapat mendaftarkan subjek yang dimahukan.

Apa-apa pun, saya sentiasa cuba untuk positifkan diri. Semoga masih lagi dapat mendaftarkan semua subjek yang dikehendaki untuk kedua-dua sem pada 4 Februari nanti. Risau jugalah. Sudahlah tahun ini merupakan tahun akhir pengajian. Sudahlah banyak subjek wajib yang perlu diambil tahun ini. Insyaa-ALLAH, DIA tahu apa yang terbaik untuk saya dan untuk semua.

Hanya dengan berfikiran positiflah yang dapat mengubat rasa kecewa dalam diri ketika melihat subjek yang mahu diambil sudah penuh. Dengan berfikiran positif jugalah akan hadir semangat untuk terus sabar dalam meneliti setiap subjek dan menunggu saatnya subjek itu dapat didaftarkan.



Insyaa-ALLAH, saya percaya yang andainya rezeki itu berpihak kepada kita, ia pasti akan menjadi milik kita juga pada akhirnya.

Tahun ini nampaknya perlu lebih fokus dan berusaha lebih gigih lagi daripada sebelumnya. Insyaa-ALLAH.

Alhamdulillah. Permintaan Puan Dinatra selaku pegawai penasihat JPA di sini supaya semua pelajar menyediakan study plan masing-masing itu banyak manfaatnya. Saya pernah mencubanya untuk semester lepas. Alhamdulillah. Memang sangat-sangat membantu.

Di kala kebuntuan dan hadirnya rasa mahu berputus asa dengan subjek yang diambil, saya pasti akan membuka kembali study plan itu. Melihat kembali target yang saya sudah tetapkan untuk semua subjek. Alhamdulillah, dengan izin-NYA semangat untuk terus berusaha hadir sedikit demi sedikit dan keinginan untuk berputus asa itu mula berlalu pergi. Alhamdulillah.

Nampaknya target kali ini juga memerlukan usaha yang bukan sedikit untuk menterjemahkannya ke dalam bentuk realiti. Insyaa-ALLAH.

Tahun terakhir menjadi pelajar sarjana muda ini benar-benar memerlukan disiplin yang lebih lagi berbanding tahun-tahun yang sebelumnya. Iyalah. Tahun hadapan sudah mahu menceburkan diri ke alam pekerjaan. Sudah mahu bergelar wanita berkerjaya. Insyaa-ALLAH. Jadinya perlulah mempersiapkan diri sebaiknya. Keputusan akhir pengajian pun perlulah diusahakan untuk lebih cantik untuk dipandang. Insyaa-ALLAH.

Nota : Post yang ditulis bagi menaikkan semangat diri. Merenung jauh ke hadapan. Masih tidak dapat membayangkan bagaimanakah akan menghadapi alam pekerjaan nanti. Bagaikan tidak percaya sahaja yang diri ini sudah tidak lama lagi akan meninggalkan alam kampus.


No comments: