Tuesday, February 5, 2013

Menahan Diri Daripada Marah

Assalamu'alaikum wbt.

Selamat pagi Selasa. Saya baru sahaja mendengar perkongsian seorang ustaz dalam Slot Motivasi Pagi di Radio IKIM.fm. Saya tertarik dengan apa yang disampaikan ustaz itu. Lantas saya mahu berkongsi di kanvas hijau ini. Insyaa-ALLAH. 

Perkongsian ustaz pada pagi ini adalah berkisarkan menahan diri daripada marah. Ustaz ada menceritakan kisah Rasulullah SAW bersabar dan menahan diri daripada marah. 

Kisahnya begini, ada satu ketika, Rasulullah baru sahaja balik dari berpergian. Dalam keadaan yang letih dan penat serta kelaparan, baginda tiba di rumah. Sesampainya di rumah, Aisyah menyambut kepulangan baginda dengan senyuman lalu menghidangkan bubur yang menjadi kegemaran baginda. 

Baginda makan dengan penuh berselera sekali. Sementelah waktu itu baginda berada dalam keadaan kelaparan. Bahkan bubur itu merupakan makanan kesukaan baginda. 

Bubur itu terasa begitu sedap sekali. Maklumlah makan dalam keadaan lapar. Pasti apa sahaja makanan dirasakan sedap ketika itu. Nikmat sungguh!

Lalu baginda mengucapkan dengan senyum lebar kepada Aisyah. 

"Sesungguhnya inilah bubur yang paling sedap yang pernah aku makan, wahai Khadijah."

Aisyah yang tadinya tersenyum memerhatikan Rasulullah makan dengan penuh berselera terus cemberut mukanya saat terlucutnya nama Khadijah dari mulut baginda. Dalam keadaan cemburu dan marah yang terbuku di dada, Aisyah melemparkan mangkuk buburnya di lantai. Lalu habis berteraburlah bubur itu mengotorkan lantai rumah. 

Melihatkan reaksi Aisyah itu, baginda tersedar akan kesilapannya. Iya. Baginda sedar yang baginda telah tersalah menyebut nama Khadijah sedangkan yang berada di hadapannya ini ialah Aisyah bukannya Khadijah.

Baginda menahan dirinya daripada marah dan bersabar dengan tindakan Aisyah itu kerana baginda tahu itu merupakan salahnya. Walaupun pada hakikatnya kelakukan Aisyah itu memang tidak sopan apatah lagi terhadap suami sendiri. Memang sepatutnya pun kalau baginda mahu memarahi Aisyah atas perbuataannya itu. Namun baginda tidak melakukan sedemikian.

Rasulullah lalu mengucapkan kata maaf kepada Aisyah. 

"Maafkan aku Aisyah. Aku tersalah menyebut nama Khadijah lagi. Aku amat terkesan sekali dengan Khadijah yang sentiasa meraikan kehendakku sewaktu hayatnya."

Sungguh indah dan cantik sekali bukan kelakukan dan akhlak Rasulullah SAW? Bagaimana pula dengan kita? Seandainya kita diletakkan di dalam situasi yang hampir sama dengan baginda tadi, adakah kita mampu menahan marah dan bersabar ketika itu? 

Sikap menahan diri daripada marah ini sebenarnya lahir dari hati. Ia lahir dari hati yang sentiasa ingat kepada ALLAH SWT. 

Kadang-kadang berlaku perkara yang tidak dirancang. Lain yang kita rancangkan, lain pula yang terjadi. Kita mahukan yang A, sebaliknya B pula yang berlaku. Kala itu pastinya segala rasa berbaur menjadi satu. Mulalah mahu memarahi semua orang. Mulalah melihat segalanya tidak kena. Pastinya saat itu kita akan menyalahkan banyak pihak. 

Sepatutnya tidak harus begitu. Tidak elok bersikap sedemikian. Jangan dimarahi orang sekeliling. Cuba tanyakan dahulu mereka apakah masalah yang menyebabkan mereka buat kerja bukan seperti yang dikehendaki. Mungkin sahaja ada halangan-halangan yang menyebabkan perkara yang kita sudah rancang sebaiknya tidak dapat dilaksanakan. 

Hakikatnya, tidak ada manusia yang mahukan kegagalan. Setiap orang pastinya mehukan kejayaan. Untuk itu, kita tidak wajar memarahi manusia yang gagal setelah berusaha.

Ucapkanlah "Inna lillahi wa inna ilahi raji'un" di kala kemarahan hadir membuncahi diri. Inilah perkataan yang perlu diucapkan apabila kita mahu marah. 

Segala-galanya ini hanyalah pinjaman daripada ALLAH. Tidak ada sebab untuk kita marah. Kemarahan itu daripada syaitan. 

Rasulullah pernah bersabda, "Sesungguhnya yang gopoh-gapah, yang kelam-kabut, yang mudah marah itu daripada syaitan. Orang yang sentiasa bersabar itulah yang disukai oleh ALLAH SWT."

Bersama kita refleksi balik diri kita. Apabila berada di jalan raya, saat jalan sesak. Apakah reaksi kita?  Seandainya kita tahu tergopoh-gapah itu amalan syaitan, kita tidak akan mudah melenting ketika itu. Kita akan menunggu giliran kita dengan bersabar dan berhemah di jalan raya. 

Saya memperingati diri saya sendiri dan semua yang sudi membaca post ini, marilah sama-sama kita berusaha untuk menahan marah dan bersabar. Itu sikap yang terpuji. 

1 comment:

AA said...

Salam,

Tertarik dengan blog ini. Akak dari UKM sekarang ni berada di seoul utk attachment kerja. Ingin nak berkenalan dengan pelajar di Korea. Cuba cari emel untuk dihubungi tapi tak jumpa....

Jadi, boleh emel akak di syaniza2302 at yahoo dot com. semoga kita dapat bertemu nanti ye.