Monday, December 30, 2013

Ujian Kesenangan

Assalamu'alaikum wbt.

Kita selalu ingat yang susah itu suatu ujian. Sehinggakan kita terlupa yang senang juga merupakan ujian. Apabila susah kita diuji dengan kesabaran. Apabila senang kita diuji dengan kesyukuran.


“Sungguh unik perkaranya orang mukmin, sesungguhnya seluruh perkaranya baik, dan itu tidaklah dimiliki kecuali oleh orang mukmin. Apabila ia diberi nikmat, ia bersyukur, dan ini baik baginya dan apabila ditimpa musibah, dia bersabar, dan ini baik pula baginya.”
[Hadis Riwayat Muslim]

Di saat kita susah, amat mudah untuk kita berdoa, mengadu dan meminta ALLAH mempermudahkan segala urusan kita. Namun di kala kita senang, sering kali kita  melupakan ALLAH. Bahkan kalimah kesyukuran pun amat sukar sekali untuk kita lafazkan. Astaghfirullah...

Sebenarnya ujian harta kekayaan, anak dan pangkat lebih berat untuk kita hadapi berbanding ujian kesusahan. Apabila kita mampu memiliki segala-galanya mulalah sikap bermegah-megah dan suka membangga diri hadir tanpa kita sedari. Tatkala kita merasakan diri kita lebih daripada orang lain, mulalah mahu mendabik dada. Sehinggalah sampai satu tahap, kita semakin menjauhi ALLAH dek kerana sibuk mengejar kesenangan dunia.

ALLAH telah memperingatkan kita berkenaan hal ini di dalam surah At-Takathur yang bermaksud, “Bermegah-megahan akan melalaikan kamu.”

Oleh yang demikian, kita seharusnya menyedari bahawa kita sedang diuji dengan kesenangan. Tidak dapat tidak, kita hendaklah berusaha untuk tidak bersikap bangga diri dan sombong. Insyaa-ALLAH sikap mazmumah itu boleh dikikis dengan cara kita membantu gelandangan, menziarahi dan bersedekah kepada orang miskin dan melakukan kerja-kerja amal yang lain. Dari situ kita akan sedar bahawa harta yang kita miliki ini bukan hanya milik kita seorang. Di dalamnya ada juga milik orang lain.
Hakikatnya hidup di dunia ini hanyalah sementara sahaja. Untuk apa kita berpenat lelah mengumpul harta berjuta, mengejar pangkat dan nama sehingga melalaikan kita akan kehidupan akhirat yang hakiki lagi abadi? Akhirnya apabila nyawa ditarik dari jasad, segala harta, anak dan pangkat akan kita tinggalkan juga. Semua itu tidak membantu kita sedikit pun melainkan amal soleh, sedekah jariah dan ilmu yang dimanfaatkan. Doa anak yang soleh pun belum tentu kita dapat sekiranya hidup kita di dunia ini asyik mengejar harta semata.

Ingat duhai sahabat, segala kesenangan yang kita miliki pada hari ini boleh saja melalaikan kita. Saya memperingati diri saya sendiri dan semua pembaca agar sentiasa merendah diri, tidak sombong dan bersyukur dengan nikmat kesenangan yang kita miliki. Jangan pernah membandingkan diri kita dengan orang yang lebih senang. Lihatlah mereka yang lebih susah daripada kita. Dari situ insyaa-ALLAH akan hadir rasa syukur dan keinsafan dalam diri.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat ALLAH kepadamu.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

3 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum kak nadzipah...
nak mintak tips atau perkongsian dari akak serba sedikit.kan kalau kita exam tetiba jadi down lepas result exam keluar.contoh untuk orang yang dah tak tahu nak pikir camner dah bila dia usaha habis habisan tapi result tetap down..what to do?? sindrom amek rezult rezult teruk belajar gila2 punya

Anonymous said...

Assalamualaikum kak nadzipah...
nak mintak tips atau perkongsian dari akak serba sedikit.kan kalau kita exam tetiba jadi down lepas result exam keluar.contoh untuk orang yang dah tak tahu nak pikir camner dah bila dia usaha habis habisan tapi result tetap down..what to do?? sindrom amek rezult rezult teruk belajar gila2 punya

Nadzipah said...

Wa'alaikumussalam wbt.

Insyaa-ALLAH, akak ada kongsikan sedikit perkongsian mengenai 'Hasil Tidak Setimpa Usaha'

http://aim4daendlessliving.blogspot.kr/2014/01/hasil-tidak-setimpal-usaha.html

Moga ia sedikit sebanyak membantu. Insyaa-ALLAH. :)