Masa begitu pantas berlalu. Malam berganti siang. Siang berganti malam. Sedar tidak sedar, bulan Ogos yang lalu dia dan rakan-rakan sepengajiannya yang lain telah berjaya menamatkan pengajian mereka. Usaha selama 4 tahun itu membuahkan hasil saat segulung ijazah tergenggam di tangan. Alhamdulillah. Syukur pada Yang Maha Esa.Kini dia sudah berkhidmat di sebuah syarikat di ibu kota. Senyuman manis terukir di bibirnya.
Lamunannya tersentak saat deringan telefon menerobos deria dengarnya. Dicapai BlackBerry Torch di atas meja.
“Assalamu’alaikum ma.” Salam dihulurkan buat si ibu di hujung talian.
“Wa’alaikumussalam Ura. Hujung bulan ni ma nak ke Langkawi. Nak pergi jenguk Kak Rina kamu.” Maklum Puan Hasanah kepada anak bongsunya.
Laci ditarik. Diambil plannernya dan diteliti. “Ma, Ura ada kursus la masa tu. Kena turun JB. Tak dapat la nak ikut.” Sayu sahaja suaranya.
“Tak apa lah. Nak buat macam mana kan. Ma nak bagitahu je. Biasanya kan tiap-tiap hujung bulan Ura balik rumah.”
“Ok, ma. Nanti kirim salam pada Kak Rina sekeluarga ya.”
“Insya-ALLAH. Assalamu’alaikum.”
*****
Dia merayau-rayau di sekitar kawasan membeli-belah itu. Rambang mata jadinya melihat pelbagai barangan yang dijual. Walaupun Alor Star ke Langkawi hanya mengambil masa lebih kurang sejam sahaja, namun bukan selalu dia menjejakkan kakinya ke Tanah Mahsuri itu. Nama sahaja orang Kedah. Tapi Langkawi pun boleh bilang dengan jari berapa kali pergi!
Dibelek-beleknya kain batik itu. Ini yang aku lemah ni. Bukannya aku tahu pun kain mana yang mak pesan tu. Mak ni pun. Main redah je suruh aku beli kain batik ni. Siap dengan senarai lagi tu! Sedang dia berura-ura untuk memilih yang mana satu, dia ditegur oleh seseorang.
“Yang kat sebelah kanan tu cantik. Kainnya pun lembut aja.” Memang mak cik itu juga seperti dirinya, asyik membelek-belek kain-kain batik yang pelbagai jenis dan corak itu. Dia hanya tersengih.
“Sebenarnya saya memang tak tahu langsung pasal kain ni mak cik.” Dia berterus terang. Digosok-gosoknya belakang rambut.
“Nak belikan untuk isteri ke?” Ramah mak cik itu bertanya.
“Eh! Takde la. Mak pesan suruh beli. Siap dengan senarai lagi ni ha.” Diunjukkan helaian kertas kepada mak cik tadi. Mak cik, saya bujang trang tang-tang lagi ni. Mak cik ada anak yang belum kahwin tak? Bisik hatinya nakal. Heh. Berani la nak cakap macam tu. Dalam hati boleh la.
“Meh sini mak cik tolong pilihkan.” Hajah Hasanah terus mengambil beberapa helai kain batik dan diaturnya di hadapan anak muda tadi.
“Ha, kamu pilihlah. Yang ini batik jawa, yang ini batik lepas…” Dengan senang hatinya Hajah Hasanah menerangkan setiap jenis kain tersebut. Dia pula terkebil-kebil mendengar setiap keterangan itu.
“Kalau macam tu, saya pilih yang inilah mak cik. Terima kasih banyak-banyak ye, mak cik. Kalau mak cik tak tolong tadi, mahu mati kutu saya kat sini.”
“Takde apa lah.”
“Mak cik, ini untuk mak cik…” Dihulurkan sehelai batik jawa kepada Hajah Hasanah. “…Sebagai tanda terima kasih saya.”
“Eh..mak cik tolong ikhlas. Bukannya mengharapkan balasan. Mak cik pun ada beli jugak kain ni ha.” Pemberian itu ditolak secara sopan.
“Takpe mak cik. Saya pun bagi ikhlas. Orang berbudi, kita berbahasa. Tak gitu, mak cik?” Tangannya kembali menghulurkan kain tadi. Kepalanya dianggukkan sedikit sambil senyuman memekar di bibirnya.
“Terima kasih banyak-banyaklah ye. Apa namanya anak ni?” Akhirnya pemberian itu diterima juga.
“Panggil saja say..” Belum habis dia berkata-kata, tepukan di bahunya menghentikan bicaranya.
“Umar, dah beli dah kain batik yang mak kau nak tu?” Serentak dengan tepukan itu kelihatan seorang pemuda berdiri di sebelahnya.
“Oh, Umar namanya. Mak cik mintak diri dulu lah.” Terus Hajah Hasanah berlalu sambil kedua-dua belah tangannya penuh dengan beberapa beg plastik yang terisi pelbagai barangan yang dibelinya.
“Eh, mak cik! Biar saya dengan kawan saya ni tolong bawakkan.” Lalu tanpa isyarat, Umar mengambil beberapa beg plastik di sebelah kanan manakala kawannya pula mengambil yang di sebelah kiri.
*****
Semenjak balik dari Langkawi, tidak habis-habis Hajah Hasanah memuji kebaikan anak muda yang menolongnya itu. Alia lah tempat dia bercerita. Tidak cukup dengan itu, mereka siap berhubung melalui telefon lagi. Kata ibunya, jika pemuda itu menjadi menantunya, alangkah bahagianya dia. Haih, sampai ke situ sekali rancangan ibunya.
“Ura, ma rancang nanti ma nak buat umrah. Ura nak teman ma tak?” Hajah Hasanah menyatakan cadangannya. Waktu itu baru selesai makan malam. Alia yang sedang membasuh pinggan mangkuk di singki pantas berpaling ke arah ibunya.
“Mestilah nak ma… Bila ma rancang nak pergi ni? Boleh Ura minta cuti terus balik nanti.”
“ Kita pergi time Ramadhan la. Boleh puasa kat Tanah Suci. Apa pendapat Ura?”
“Elok juga tu ma. Tentu menarik kan?” Alia sudah membayangkan suasana Ramadhan di Mekah. Tentu setiap malam dihidupkan dengan solat sunat terawih dan qiamullail. Siangnya pula akan diisi dengan bacaan al-Quran serta zikir. Berbuka puasa beramai-ramai. Tentu lagi seronok kalau ke sana bersama pasangan hidup. Haip. Apa yang kamu melalut ni Bushra Alia oi…
“Mestilah seronok. Ma kan dah pernah pergi dulu dengan arwah ayah. Ma memang rindukan suasana tu.” Mata Hajah Hasanah sudah berkaca-kaca. Haji Abdullah Umar, ayah Alia meninggalkan ketika Alia di tahun pertama UIA Kuantan. Kini telah hampir 6 tahun Allahyarham meninggalkan mereka.
Alia terus memeluk ibunya erat. Moga kesedihan dan kerinduan ibunya itu terubat apabila ke Tanah Suci nanti. Dia juga rindukan ayahnya. Seorang ayah yang tegas namun penuh dengan sikap penyayang. Ayah, dik Ura rindukan ayah. Setitis dua air mata yang mengalir pantas dikesat. Bimbang dikesan oleh ibunya. Dia perlu kuat untuk ibunya.
*****
Tumpuannya pada skrin televisyen terganggu dengan deringan dari I-Phonenya. Dicapai malas gajet yang terletak di atas meja kopi. Duduknya dibetulkan saat melihat nama pemanggil yang tertera di skrin alat mudah alih itu.
Dia berdehem seketika sebelum menjawab panggilan. “Assalamu’alaikum, mak cik.” Ceria sahaja bunyi.
“Wa’alaikumussalam, Umar. Kamu sihat?” Tersenyum Hajah Hasanah mendengar suara macho itu.
“Alhamdulillah. Mak cik sihat?” Dicapai remote televisyen lalu diperlahankan volume.
“Mak cik pun sihat, Alhamdulillah..Ni ha, kamu kata nak ke Kelantan minggu depan? Elok la tu. Mak cik ada buat makan-makan sikit. Jemput la ke rumah.” Terus Hajah Hasanah menyuarakan tujuannya menelefon anak muda itu.
“A’ah. Memang Umar nak ke Kelantan. Memang nak ke rumah mak cik pun…” Dia tergelak dengan kata-katanya sendiri. Tak tahu malu betul kamu ye Umar.
“Elok sangat la tu. Nanti dah sampai telefon mak cik ye. Nanti boleh mak cik suruh Abang Nizam ambil kalau tak tahu jalan.”
“Insya-ALLAH. Nanti kita jumpa minggu depan ye mak cik.” Talian diputuskan selepas salam berbalas. Segarit senyum terukir di bibir merahnya. Tidak disangka pertemuan yang hanya sekejap di kedai kain di Langkawi membuahkan bibit kemesraan yang sebegini rapat. Kuasa ALLAH, ukhuwah itu tercipta di mana-mana.
*****
“Duduklah Umar. Kata nak datang esok. Majlisnya esok. Awal pula kamu datang.” Terkejut Hajah Hasanah saat Umar memaklumkan yang dia sedang menghala ke rumahnya sebentar tadi.
“Memang niatnya begitulah mak cik. Tapi esok saya ada meeting dengan client di Kota Bharu. Jadinya kena la datang hari ni. Lusa dah nak balik KL dah.” Jelas Umar.
“Oh, begitu rupanya. Duduk la dulu ye. Mak cik buatkan air kejap. Anak-anak mak cik yang lain petang nanti baru sampai. Ura pun keluar jumpa kawan dia tadi.”
Sementara menunggu Hajah Hasanah membuat air, matanya melilau melihat sekeliling ruang tamu itu. Kemas. Dekorasi dan hiasan rumah walaupun ringkas tetapi Nampak menenangkan. Pandai mak cik menghias rumah.
Matanya tertancap pada gambar-gambar yang elok tersusun di kabinet. Dia bingkas bangkit dari duduk dan menghalakan kaki ke arah perabut itu. Tangannya terus mencapai sebuah bingkai gambar. Terdapat empat orang gadis di dalam gambar tersebut. Namun dia sangat-sangat tertarik kepada gadis yang duduk paling kiri. Saat itu dadanya bergetar hebat. Masya-ALLAH. Subhana-ALLAH.
“Tengok apa tu Umar? Ha..itu semua anak mak cik. Tapi tiga orang tu dah ada yang punya. Tinggal si bongsu je belum berpunya lagi.” Hajah Hasanah meletakkan dulang di atas meja kopi. Umar pula terus meletakkan gambar itu kembali. Langkah dihala longlai ke arah sofa yang didudukinya tadi.
“Mak cik, yang sebelah kiri tu ke Ura? Bushra Alia?” Tanya Umar bertubi-tubi. Pandangan pelik Hajah Hasanah tidak diendahkan.
“Kamu kenal ke anak mak cik tu?” Pertanyaan dibalas dengan pertanyaan.
“Saya kenal Alia tu mak cik. Saya pun belajar di UIA Kuantan jugak dulu.” Jelasnya. Debar di hati masih masih belum hilang lagi. Tidak dapat digambarkan perasaannya saat ini. Gembirakah? Terujakah?
*****
“Erna…rindunya aku dekat engkau.” Alia memeluk Erna erat-erat. Dah hampir setahun mereka tidak bersua muka sejak habis belajar setahun yang lepas. Masing-masing bekerja di tempat yang berbeza. Seorang di KL, seorang lagi di JB. Mana boleh jumpa selalu. Sekadar berhubung melalui telefon dan sesekali berconference call di skype.
“Aku pun rindu la dekat engkau. Nih, majlis aku nanti jangan lupa datang tau. Aku nak kau jadi pengapit aku. Jangan nak mengelat ha.” Pelukan dilepaskan dan mereka sama-sama mengambil tempat di Kenny Rogers.
“Haish…tak mau aku jadi pengapit kau. Aku dok kat sebelah kau time akad nikah dah la.”
“Weh..kau bila lagi? Antara kita berlapan, tinggal kau je yang belum dengar pape lagi. Semua orang dah nak melangkah ke alam baru tau. Hmm…Kau tunggu dia lagi ke Lia?”Soal Erna berhati-hati.
Bebelan Erna itu membuatkan Alia tergelak. “Aku tunggu orang masuk meminang je. Hihi. Aku percaya ALLAH dah tentukan jodoh yang terbaik untuk aku. Dia? Aku dah tolak dia dulu. Jadinya, buat apa aku tunggu dia. Insya-ALLAH,kalau ada apa-apa nanti aku inform eh.” Dia gembira untuk kawan-kawannya. Melihat kawan-kawan yang seorang demi seorang hidup berdua, kadang-kadang dia punya juga rasa untuk hidup berpasangan begitu. Namun,dia yakin yang ALLAH pasti lebih tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Yang penting, dia perlu mempersiapkan diri dan mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.
*****
Sudah puas dia berfikir dan menimbangkan perkara itu. Sepanjang sebulan ini, dia makin mempertingkatkan solat malamnya. Tahajud dan istikharahnya makin dipergiatkan. Musyawarah juga dilaksanakan. Sudah disuarakan keinginannya itu kepada ibu dan ayahnya. Mereka berdua tiada halangan. Moga-moga kali ini urusannya dipermudahkan. Insya-ALLAH.
Dibelek-belek I-Phonenya seketika. Nak call ke tak? Call…tak…call…tak… Ah..tawakal sajalah. Didailnya nombor yang sememangnya telah terhafal dibenaknya sejak beberapa bulan yang lalu.
“Assalamu’alaikum mak cik.”
“Wa’alaikumussalam Umar.”
“Mak cik sihat?” Dia berbasi-basa. Ingin menghilangkan gemuruh yang datang tiba-tiba sebenarnya.
“Sihat. Alhamdulillah.”
“Mak cik…hmmm…saya nak datang rumah mak cik hujung minggu ni.”
“Datang la. Ada kerja di Kota Bharu lagi ke?”
“Tak lah. Saya nak datang sekali dengan mak dan ayah saya.” Jelasnya lagi.
“Datang la. Boleh mak cik kenal-kenal dengan mak dan ayah Umar. Selalu berkirim salam je. Kali ni boleh bersua muka pula.”
“Baiklah. Jumpa hujung minggu ni ye mak cik.” Telefon diletakkan setelah salam diberikan. Kemudian dicapai kembali gajet itu. Kali ini panggilan dibuat untuk memaklumkan kepada ibu dan ayahnya pula. Moga dipermudahkan urusan ini, Ya ALLAH.
*****
Kebosanan yang melanda pada malam minggu itu membuatkan Alia membuatkan dia membuka kembali folder gambar sewaktu zaman universiti dulu. Setiap gambar ditelitinya. Kadang-kadang tercetus ketawanya melihatkan aksi-aksi lucu pada gambar yang terpapar pada skrin DELL berdarahnya itu. Digeleng-gelengkan kepala apabila teringat kisah-kisah yang terjadi sewaktu belajar dulu. Rindunya zaman belajar. Gambar terus bergerak silih berganti. Jari yang tadinya aktif menekan butang next terhenti dengan sendiri tatkala pandangannya menyentuh imej teruna dan dara yang sopan berbaju melayu dan berbaju kurung itu. Gambar sewaktu sambutan raya kelas semasa di tahun kedua. Gambar yang diambil mengikut tona warna baju raya masing-masing. Dia yang waktu itu mengenakan baju kurung moden kuning cair berbunga ungu muda kelihatan begitu ayu sekali. Kebetulan, orang itu juga memakai baju melayu kuning caramel. Sekali tengok memang sedondon. Apa khabar dia ye? Astaghfirullah hal ‘azim. Apa aku melalut ni. Terus dihalakan mouse ke arah tanda pangkah. Gambar yang terpapar terpadam.
Dia bangkit dari baringnya. Diraup wajah berkali-kali sambil beristighfar panjang. Sedar akan keterlanjuran diri. Terus dihayunkan kaki ke bilik air. Wudhu’ ambil, sejadah dihampar, telekung dipakai dan dikosongkan fikirannya dengan perkara-perkara duniawi. Hanya dengan mengingati ALLAH,hati akan menjadi tenang.
*****
Terkejut Hajah Hasanah saat Puan Kamariah menghulurkan kotak baldu berbentuk hati itu. Dipandangnya wajah Umar memohon penjelasan.
“Mak cik, izinkan saya menjadi imam Alia. Sejak mengetahui yang Ura dan Alia itu orang yang sama, saya sudah tekad untuk menjadikannya bidadari saya. Saya mahu menghalalkan hubungan ini, mak cik. Saya tahu saya agak tergopoh-gapah, tapi saya mahu mak cik tahu yang saya sayangkan Bushra Alia. Izinkan saya mengahwini Alia mak cik. Saya akan menjaga dan menyayangi dia sepertimana saya menjaga diri saya sendiri. Biiznillah. Insya-ALLAH.” Begitu bersungguh-sungguh dia menyuarakan hasrat hatinya.
“Alia belum pun jumpa dengan Umar lagi. Mak cik tak boleh bagi jawapan sekarang. Mak cik perlu tanya tuan punya badan dulu.” Hanya itu yang mampu Hajah Hasanah cakapkan.
“Ambillah cincin ini,Hasanah. Kami akan terima apa jua jawapan daripada pihak Hasanah.” Puan Kamariah pula bersuara lalu diletakkan bekas baldu itu ke tangan Hajah Hasanah.
*****
Bushra Alia mengambil cuti mengejut minggu itu. Dia terus pulang ke rumah setelah mendapat panggilan telefon dari Hajah Hasanah lewat petang Sabtu itu. Sepanjang perjalanan pulang, dia asyik memikirkan siapakah Umar yang dia kenal di UIA dulu.
Sewaktu bersarapan pagi keesokan harinya, Hajah Hasanah meletakkan kotak berbentuk hati di atas meja makan. Dihulurkan kepada Bushra Alia yang sedang menghirup milo panas.
“Ini cincin tanda dari pihak sana.”
“Ma cakap pada mereka?” Kotak itu dibiarkan tidak terusik.
“Ma cakap, ma perlu tanya Ura dulu. Jadi, macam mana? Ura dah ada calon ke?”
“Ma pulak macam mana?” Soalan dibalas soalan.
“Memang pada pandangan ma, Umar tu budak baik. Hormat orang tua. Dia pun ada cakap, dia nak menghalalkan apa yang dia rasa. Memang ma dari dulu lagi berkenan kat budak Umar tu ha. Kalau tengok daripada kata-kata Umar, dia macam dah lama kenal Ura. Tapi, apa-apa pun keputusan di tangan Ura.” Lembut Puan Hasanah memperihalkan tentang pandangannya.
“Hmm…kalau itu kata ma…izinkan Ura buat istikharah dulu ye ma.”
“Memang itulah yang sebaiknya.”
*****
Alhamdulillah. ALLAH telah mempermudahkan segala urusannya kali ini. Mungkin kerana kali ini lebih terjaga. Semuanya melibatkan orang tengah iaitu kedua ibu bapa mereka. Sebetulnya mereka tidak pernah bersua muka. Entah kenapa, Bushra Alia benar-benar tidak mahu berjumpa malah melihat gambar pun tidak. Walaupun Hajah Hasanah ada memberikannya gambar bakal suaminya itu dulu. Namun hanya disimpan di dalam laci meja soleknya sebelum terlebih dahulu menatapnya. Kali ini dia begitu tenang dan betul-betul bersedia untuk menerima Umar sebagai imamnya.
Majlis akad nikah baru sahaja selesai pagi tadi. Pagi Jumaat yang penuh barakah. Jumaat yang menjadi saksi penyatuan dua hati. Pagi yang penuh kejutan. Saat melihat insan yang segak berbaju melayu serba putih bersila menghadap jurunikah, dia terpana. Wajah itu. Wajah yang berusaha dibuang jauh-jauh dari ingatan. Semenjak peristiwa menolak lamaran hampir tiga tahun dahulu.
Dengan sekali lafaz, dia telah bergelar Puan Bushra Alia, isteri kepada Encik Umar Qayyum. ALLAHU AKBAR. Subhana-ALLAH. Masya-ALLAH. Sungguh indah ketentuan ALLAH itu.
Di kamar pengantin yang dihias indah, kedua-dua mempelai menunaikan solat sunat dua rakaat berjemaah. Solat sebagai tanda kesyukuran kepada Yang Maha Esa atas jodoh yang ditentukan ini. Doa yang dibaca oleh sang suami seusai solat benar-benar membuatkan sang isteri tidak dapat menahan air mata dari mengalir keluar. Doa yang memohon kesejahteraan kedua ibu bapa mereka, kesejahteraan dirinya dan keberkatan rumah tangga yang baru dibina.
Dicium penuh hormat tangan sang suami. Terasa kepalanya diusap mesra persis seorang ayah melahirkan rasa kasihnya kepada seorang anak. Serta-merta ingatan pada arwah ayah menerjah minda. Lalu airmata yang sudah berhenti tadi mengalir kembali.
“Hei, kenapa menangis ni? Menyesal kahwin dengan abang? Hmm?” Disentuh lembut dagu sang isteri lalu diangkat sedikit agar dapat diselami hati sang isteri. Hanya gelengan yang menjawab soalannya.
“Teringat kat ayah…” Ditarik lembut bahu sang isteri. Diusap dengan penuh kasih sayang dan diucapkan kata-kata pujukan. Hampir lima belas minit berlalu, barulah tangisan mereda. Dikesat saki-baki airmata di pipi mulus sang isteri. Segarit senyuman dihulurkan.
“Hampir tiga tahun…tiga tahun benih cinta ini tersemai. Insya-ALLAH, sekarang ini benih itu telah memekar, menjadi bunga cinta yang segar mewangi. Sejambak bunga cinta buat sang bidadari hati.” Serentak itu sejambak bunga ros merah dihulurkan Umar Qayyum kepada Bushra Alia. Memerah muka Bushra Alia. Tidak disangka Inche Umar Qayyum ini bermulut manis. Hampir cair Bushra Alia dibuatnya.
“Ramadhan nanti ma nak buat umrah kan? Abang dah beli tiket untuk kita berlima. Mak dan ayah pun akan ikut sekali. Itu impian Lia kan? Buat umrah bersama suami. Hmm..Insya-ALLAH, impian itu akan menjadi nyata nanti.”
Ditarik kedua-dua tangan Umar Qayyum dan dikucupnya. Tanda terima kasih. Saat dia mendongakkan kepala, satu kucupan syahdu diterima.
“Terima kasih,abang…” Senyuman manis dihadiahkan buat suami tercinta.
“Kasih diterima, sayang…” Jari-jemari mereka bersulam. Mata saling bertatapan. Senyuman bahagia terukir di bibir masing-masing. Semoga penyatuan kami ini makin menguatkan cinta kami kepada-MU, YA ALLAH. Itu doa mereka; Umar Qayyum dan Bushra Alia.
1 comment:
oh.oh.oh.
"izinkan saya menjadi imam Alia"
i like!
:)
Post a Comment