Wednesday, November 21, 2012

Untukmu Gaza


                 "Kak Min, Dr. Alif ada di dalam bilik tak?” Aleeya Khaleeda menahan Jasmin yang kebetulan melalui lorong yang menempatkan beberapa bilik doktor di Hospital Selayang itu.

           “Ada. Sekarang ini waktu rehat Dr. Alif.” Pastinya Jasmin mengetahui jadual bertugas Dr. Alif memandangkan minggu ini gilirannya bertugas bersama doktor muda itu.

“Oh. Terima kasih, kak Min.”

             Mereka berpamitan sebelum Aleeya Khaleeda bergegas ke bilik suaminya. Diketuk pintu bilik yang tertera nama Dr. Alif Qusyairi Azhar itu beberapa kali. Namun tiada sahutan yang kedengaran. Pasti suaminya itu terlelap sebentar sehingga tidak mendengar ketukan di muka pintu.

             Aleeya memulas tombol pintu dan meloloskan dirinya ke dalam bilik Alif. Seperti jangkaannya, kelihatan suaminya bersandar keletihan di atas kerusi dengan mata yang terpejam rapat. Aleeya menarik perlahan-lahan kerusi dan melabuhkan duduknya. Dia tidak mahu mengganggu tidur suaminya itu. Dia juga faham bagaimana rasanya penat setelah seharian berkejar ke sana ke mari. Tambahan pula malam tadi suaminya on-call. Pukul 8 pagi nanti suaminya perlu melakukan rutin melawat wad seperti biasa pula.

             “Aleeya?”

             Lamunannya terbang dikejutkan dengan suara terkejut suaminya.

             “Kenapa datang ni? Aleeya kan bertugas petang nanti. Hmm?”

             Alif membetulkan duduknya. Dia meraup mukanya seketika sebelum memandang tunak wajah isterinya. Kedua-dua ulas bibir kesayangannya itu bergerak-gerak bagaikan mahu menyatakan sesuatu. Dia sabar menanti bait kata yang bakal diluahkan dari bibir mungil isterinya.

             “Gaza berdarah lagi, abang!”

             “Masya-ALLAH!” Terus badannya tegak. Hilang segala rasa mengantuk. Mata yang layu tadi terbuka luas saat mendengar perkhabaran isterinya itu.

             “Bila?”

             “Semalam. Ahmad Jabari pemimpin HAMAS syahid ditembak peluru berpandu Israel.”

             Iya. Sungguh dia terkejut saat mendapat berita bumi Gaza diserang lagi pada awal pagi tadi. Semalam balik dari kerja, dia tidak sempat melayari internet hatta memeriksa emel sekalipun. Awal pagi tadi sewaktu memeriksa emel, dia tersentak saat diberitakan tentang syahidnya pemimpin HAMAS merangkap pemimpin kedua Izzudin al-Qassam yang juga bertanggung jawab membebaskan Gilad Shalit itu. Di laman sosial Facebook dan Twitter juga sudah kecoh memperkatakan tentang penduduk Gaza yang diserang ini.

             Usai sahaja solat Subuh, terus dia bersiap untuk ke Hospital Selayang. Dia mahu mengkhabarkan berita ini kepada Alif. Saat ini dia merasakan seolah-olah mahu terbang ke Gaza sana, membantu rakyat Palestin.

             “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Kita perlu memperhebatkan lagi usaha bagi membantu saudara kita di Gaza sana mulai dari saat ini.”

             Alif memandang wajah isterinya. Jelas terpamer riak serius dari raut wajahnya. Suaranya juga kedengaran begitu tegas dan bersemangat di telinga Aleeya. Itu maknanya suaminya itu benar-benar memaknakan apa yang dikatakannya.

             “In syaa ALLAH!” Aleeya menyahut saranan suaminya dengan penuh bersemangat juga.

             “Abang, Aleeya teringin ke sana lagi. Aleeya mahu berkhidmat membantu mangsa-mangsa kekejaman Zionis Israel itu.” Aleeya menyuarakan hasrat hatinya.

             “Kita kan sudah menghantar permohonan kepada pihak MERCY. In syaa ALLAH, kita akan ke sana apabila dipanggil nanti. Keep up praying, dear.” 

Alif mengukirkan senyuman. Dia mengerdipkan matanya sekali. Dia mahu isterinya itu yakin bahawa jika ada rezeki mereka dan jika ALLAH mengizinkan, mereka akan kembali lagi ke bumi Palestin – Berkhidmat membantu mangsa-mangsa keganasan Zionis Israel.

             “In syaa ALLAH. I will. Always.

             Mereka pernah ke sana beberapa tahun dahulu. Menyertai MERCY, mencurahkan bakti dan mengaplikasikan segala ilmu perubatan di bumi Palestin. Waktu itu mereka baru sahaja bernikah. Pada mulanya berat bagi kedua-dua ibu bapa mereka untuk melepaskan mereka berkhidmat di bumi yang bergolak itu. Namun berkat doa, keyakinan dan perbincangan yang telah mereka lakukan, keluarga mereka melepaskan mereka berbakti di Palestin sana.

             Bumi Palestin banyak mengajar mereka erti kehidupan. Setiap hari melihat mangsa-mangsa yang tercedera bahkan ada yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu Zionis Israel membuatkan mereka insaf sendiri. Setiap mangsa dan jenazah yang hadir pada mereka berwajah penuh bersih dan tenang. Walaupun kecederaan yang mereka alami itu teruk dan parah, namun mereka seolah-olah tidak merasai kesakitan itu. Subhana-ALLAH! Betapa tabah dan sabarnya penduduk di bumi Palestin.

             Ketabahan mereka membuatkan Alif dan Aleeya bertambah bersemangat untuk membantu menyembuhkan setiap mangsa. Mereka bersama-sama dengan doktor-doktor yang lain bertungkus lumus berusaha membantu apa yang termampu mereka lakukan dek kekurangan peralatan perubatan akibat sekatan bantuan perubatan di pintu Rafah saat itu.

             “Apa khabar Muhammad agaknya ya?”

             “Aleeya ada menghantar emel kepada Muhammad. Semoga Muhammad dan semua penduduk Palestin yang lain dilindungi ALLAH. In syaa ALLAH.”

             Alif terangguk-angguk mendengar ulah isterinya. Muhammad merupakan salah seorang anak remaja yang menjadi mangsa kekejaman tentera Zionis Israel. Mereka suami isteri menjadi rapat dengan remaja berjiwa kental itu sewaktu Muhammad menerima rawatan di pusat rawatan MERCY saat mereka bertugas di sana tidak lama dulu. Sehingga kini mereka masih berhubung bertanya khabar dan perkembangan diri masing-masing.

             “Jom kita sarapan dahulu. Abang pun ada ward round pukul 8 nanti.” 

Alif menilik Tag Heuer di tangan kanannya. Dia berdiri sambil meregangkan badan. Dihampiri isteri yang masih duduk memerhatikan segala tindak-tanduknya lalu dihulurkan tangan. Sebaik sahaja tangannya bersambut, ditarik perlahan jemari halus itu dan mereka sama-sama melangkah menuju ke kantin hospital untuk bersarapan pagi.

             Masing-masing senyap. Tidak terkeluar walau sepatah pun kata dari mulut mereka. Fikiran mereka sarat dengan pelbagai bayangan peristiwa sewaktu menjadi sukarelawan MERCY beberapa tahun dahulu. Minda mereka ligat berfikir apakah tindakan dan usaha yang boleh mereka lakukan untuk membantu penduduk di Gaza sana.



             “Abang, Aleeya sempat print flyers ini tadi.” Aleeya membuka pintu belakang Hyundai Avante lalu menghulurkan sebeban helaian kertas kepada Alif.

             Huluran itu bersambut. Mata Alif tertancap pada susunan huruf-huruf rumi dan jawi pada kertas di tangannya.


             “Subhana-ALLAH, sayang! Jazakillahu khairan, ya zaujati habibati.” 

Berkaca-kaca mata Alif kala itu. Dia memandang helaian kertas di tangan dan wajah tenang isterinya silih berganti. Terkesan dengan keprihatinan isterinya terhadap isu ini. Syukur ke hadrat ALLAH yang menganugerahkan anugerah yang tidak terhingga ini. Benarlah, isteri yang solehah itu adalah yang saling mengingatkan dan mampu meningkatkan iman suaminya. Hamdan lillah. Syukran lillah.

             Terukir senyuman manis Aleeya buat tatapan suaminya.

             “Bolehlah abang edarkan kepada staf-staf dan para pesakit sewaktu ward round nanti.”

             “I will.

             “Okeylah. Aleeya balik dulu ya.”

             “Hati-hati memandu, sayang.”

             Aleeya menyalami tangan kasar suaminya – Imam yang ALLAH kurniakan buat dirinya di dunia ini. Terasa kepalanya yang disaluti tudung itu diusap lembut. Meresap segala rasa kasih sang suami.

             “Assalamu’alaikum. Jumpa petang nanti. In syaa ALLAH.”

             “Wa’alaikumussalam. In syaa ALLAH.”

             Alif melambai-lambaikan tangannya. Dia memerhatikan kereta yang dipandu isterinya itu tidak berkelip sehinggalah Hyudai Avante itu tidak kelihatan lagi. Senyuman bahagia tersungging di bibirnya.



             “Selamat pagi, doktor.”

             “Selamat pagi, kak Min. Nah.” Dihulurkan sehelai flyer itu kepada jururawat yang telah dianggap seperti kakaknya itu. Mereka mahu memulakan lawatan rutin ke wad sebentar sahaja lagi.

             “Saudara kita di Gaza sana diserang lagi, kak Min. Jom, kita doakan mereka. Moga ALLAH melindungi mereka. In syaa ALLAH.”

             “Terima kasih, doktor. In syaa ALLAH. Sama-sama kita doakan mereka.”

             Pagi itu, sewaktu mengadakan lawatan rutin ke wad, Alif mengedarkan juga flyers yang diberikan isterinya tadi. Nampaknya semua orang menyambut baik usahanya itu. Semoga dengan usahanya yang kecil ini mampu membuka mata semua untuk mengambil cakna perihal peristiwa yang terjadi kepada rakyat Palestin. In syaa ALLAH.

             “Doktor, qunut nazilah ini boleh dibaca pada setiap kali solat fardhu, kan?” Seorang wanita yang sedang menjaga ibunya bertanyakan soalan mengenai qunut nazilah saat membaca flyer yang diberikan Alif kepadanya.

             “Iya. Doa qunut ini sunat dibaca ketika umat Islam didatangi bala bencana ataupun ditimpa musibah seperti yang terjadi di Gaza, Palestin sekarang ini.” Jeda. “Betul tu, kak. Ada hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang mengatakan bahawa Rasulullah sendiri membaca qunut selama sebulan pada setiap kali solat fardhu ketika kejadian pembunuhan beramai-ramai 60 orang penghafaz Al-Quran.”

             Alif teringat sebuah hadis yang membicarakan mengenai qunut nazilah ini.

“Sesungguhnya Nabi SAW telah membaca doa qunut pada waktu selain dari Subuh ketika turunnya sewaktu pembunuhan sahabat-sahabatnya penghafaz-penghafaz Al-Quran.”
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

             “Oho…begitu rupanya. Terima kasih, doktor.”

             “Sama-sama. Sama-samalah kita mendoakan saudara kita di Gaza sana, ya kak.”

             “In syaa ALLAH.”



             Sudah 5 hari bumi Palestin bergolak. Sehingga kini sudah ramai yang kembali menghadap Sang Pencipta. Sudah berapa ramai pula yang cedera parah akibat serangan bertubi-tubi pihak Zionis Israel termasuklah golongan wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. ALLAHU ALLAH! Menitis air mata Aleeya saat mengikuti perkembangan Palestin itu. Tidurnya tidak lena semenjak mengetahui bumi Gaza berdarah lagi. Malamnya diisi dengan mengadu kepada Yang Maha Mendengar. Bibirnya tidak putus-putus berdoa dan berzikir memohon kepada Rabbul Izzati agar mereka di Gaza sana dilindungi dan diberikan mereka kekuatan serta kesabaran menghadapi ujian yang hebat ini.

             Membaca emel balas daripada Muhammad membuatkan dia menangis teresak-esak.

“It’s so sad! But Alhamdulillah always and always.
Keep us in your du’a.
Thank you for your sweet email, doctor!”

Betapa tabahnya anak muda itu. Masih mampu mengucapkan syukur walaupun di saat-saat getir sebegini. Muhammad juga memohon agar terus mendoakan mereka di sana.

             “Khaulah Aleeya, tengok ni! McDonald’s are offering free McMuffin tomorrow!” Begitu teruja anak saudaranya yang berusia 8 tahun itu bercerita. Ditarik-tarik tangan ibu saudaranya itu supaya memberikan perhatian kepada cerita yang ingin disampaikannya.

             “We’re boycotting McDonald’s, sayang. McDonald’s Corporation is supporting Israel. “ Jeda. Aleeya bertinggung, menyamakan tingginya dengan anak saudaranya itu.

“Syifa, kita perlu boikot produk yang menyumbang kepada Israel. Termasuklah McD. Kasihan pada saudara kita di Gaza sana. Pihak Zionis Israel menggunakan duit itu untuk membeli senjata dan menyerang penduduk Palestin. Sudah ramai yang terbunuh, Syifa. Wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa pun dibunuh.” Aleeya berusaha sebaik mungkin untuk menjelaskan perihal memboikot produk yang menyumbang kepada Israel itu kepada Syifa. Dia mahu anak kecil itu memahami dan mengambil tahu mengenai isu ini.

             “Oho. Kasihannya mereka.” Terangguk-angguk kepala anak kecil itu mendengar penerangan Aleeya.

             “Syifa beruntung tahu ada mama dan papa yang sayangkan Syifa. Kawan-kawan Syifa di Palestin sana, mereka setiap hari berada dalam ketakutan. Ramai yang sudah menjadi yatim piatu. Sebab itu, kita perlu doakan mereka, sayang.”

             “Kasihannya… Syifa nak doakan merekalah, khaulah Aleeya. Syifa tak nak dah makan McD selepas ini. Syifa tak mahu menyumbang kepada Israel.”

             “Alhamdulillah. Bagus anak saudara khaulah Aleeya ini. Lagipun makanan segera itu kan tidak elok untuk kesihatan, sayang.” Aleeya mengusap-usap kepala Syifa. Dia berbangga mempunyai anak saudara yang mudah menerima penerangannya itu.  Semoga ALLAH menjadikan dirimu muslimah yang solehah dan muslehah kelak, anakku. Semoga kamu mampu menyumbang untuk kenaikan Islam nanti. In syaa ALLAH. Aleeya membisikkan doa itu perlahan.

             Dari jauh, Alif tersenyum senang. Dia bersandar santai di muka pintu yang memisahkan ruang tamu utama dan ruang rehat keluarga itu. Sejak dari tadi dia menjadi pemerhati dan pendengar setia setiap perbualan isterinya dan anak saudara mereka. Hari ini mereka berdua tidak bertugas. Jadi peluang ini diambil untuk dia mengunjungi kedua ibu bapa mentuanya.



             “Ammu Syairi!”

             “Syifa cerita apa dengan khaulah Aleeya? Hmm?”

             Alif menapak perlahan-lahan ke arah mereka. Di melabuhkan duduknya di sebelah isteri tercinta.

             “Khaulah Aleeya cakap fasal McD. Kita kena boikot McD. Kasihan pada orang Palestin yang akan diserang kalau kita beli produk Israel.”

             “Subhana-ALLAH! Pandainya anak saudara ammu Syairi ini. Nanti bolehlah Syifa ceritakan pada kawan-kawan Syifa juga mengenai hal ini. Boleh kan, sayang?”

             “Boleh! Syifa nak beritahu semua kawan-kawan Syifa di sekolah esok.” Bersemangat Syifa menyuarakan hasratnya.

             “Alhamdulillah.” Terbit kalimah kesyukuran itu dari bibir mereka. Suami isteri itu saling berbalas pandangan dan tersenyum bahagia. Semoga usaha mereka yang kecil ini membantu rakyat Gaza.


Mereka tahu, saat ini bukan setakat penduduk Palestin sahaja yang sedang diuji. Seluruh umat Islam juga sedang diuji. Bahkan seluruh umat manusia sedang diuji. Cuma ujian masing-masing sahaja yang berbeza. Kalau penduduk di Palestin sana diuji dengan serangan bertubi-tubi daripada tentera Zionis Israel, mereka di sini pula diuji dengan ujian iman dan sensitiviti terhadap isu kemanusiaan ini. Bagaimana reaksi dan tindakan mereka terhadap isu-isu serangan yang dihadapi oleh penduduk di Palestin, Syria, Rohingya dan pelbagai tempat lagi itu? Adakah sekadar memerhati sahaja? Apakah usaha-usaha yang telah diusahakan untuk membantu mereka di sana?

             Alif dan Aleeya tahu itu. Mereka mahu berusaha semampu mereka bagi membantu mangsa-mangsa keganasan ini. Segala usaha akan mereka lakukan – berdoa, qunut nazilah, mengikuti dan berkongsi perkembangan di negara-negara yang bergolak, menyumbangkan derma dan apa sahaja yang boleh mereka lakukan akan diikhtiarkan untuk membantu.

Jikalau orang bukan Islam pun berkobar-kobar memperjuangkan hak penduduk di Gaza khususnya. - Mereka bersemangat memperjuangkan isu kemanusiaan ini dengan mengadakan pelbagai demonstrasi, boikot, flash mob dan sebagai. Inikan pula kita yang bergelar Muslim ini. Segala usaha akan diperhebatkan. Itu azam Alif dan Aleeya. Pada masa yang sama, mereka akan terus memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Mereka mahu berusaha mengislah diri menjadi individu muslim yang soleh dan musleh. Semua ini perlu supaya setiap lontaran doa mereka tidak dihijab ALLAH. In syaa ALLAH, mereka akan berusaha sehabis daya.

Untukmu Gaza,
Akan kami berusaha sehabis daya,
Kamu di sana berjuang sehingga ke penghujung nyawa,
Kami di sini berikhtiar sehabis usaha,
Doa kami sentiasa mengiringi kamu semua,
Kerana kita mempunyai satu matlamat yang sama,
Supaya tertegaknya al-Haq di mata dunia.

Nota 1: Semoga bermanfaat. 
Nota 2: Maaf atas segala kekurangan dan ketidaktepatan maklumat terutamanya mengenai kerjaya seorang doktor dan info yang diberikan. 

2 comments:

cik n.haliban said...

subhanaAllah!
Saya nak share ye!

Nadzipah said...

Silakan cik Haliban.
Moga bermanfaat :')