Saturday, March 23, 2013

Bilik Solat Di SKKU. Alhamdulillah. :")

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Thumma alhamdulillah. Syukur kepada ALLAH SWT. Hanya pada DIA-lah tempat bergantung. Hanya kepada-NYA-lah tempat kita mengadu.


Pada minggu lepas, saya mendapat panggilan daripada Mr.Moon, manager of International Office Affairs. Beliau menyatakan bahawa pihak SKKU telah bersetuju untuk menyediakan bilik solat kepada pelajar Muslim di SKKU. Alhamdulillah thumma alhamdulillah. 

Beliau kemudiannya meminta saya menemui beliau untuk menunjukkan bilik yang ingin dijadikan bilik solat. Mr.Moon menanyakan apakah yang diperlukan untuk sebuah bilik solat dan bilakah waktu solat. Beliau meminta tempoh beberapa hari untuk membersihkan bilik seminar kemudian pelajar Muslim boleh menggunakan bilik tersebut sebagai bilik solat. 

Beliau juga telah menukarkan pintu bilik kepada digital lock door untuk kemudahan kami semua. Alhamdulillah. :')


Inilah bilik solat kami. :')
Alhamdulillah setelah hampir 3 tahun kami pelajar Muslim di SKKU ini memohon bilik solat, akhirnya permohonan kami diluluskan. Alhamdulillah. Tidak sia-sia usaha para senior kami sebelum ini memperjuangkan untuk diwujudkan bilik solat di SKKU ini. Terima kasih diucapkan kepada semua senior, para pelajar post-graduated dan undergraduate yang telah sama-sama berusaha memperjuangkan kewujudan bilik solat ini. Walaupun mungkin mereka tidak dapat merasai bersolat di sini, namun jasa mereka tidak akan kami lupakan. Tanpa pertolongan dan jasa mereka semua, pastinya tidak akan terwujud bilik solat ini pada hari ini.

Syukur dipanjatkan kepada Yang Maha Esa atas nikmat kurniaan-NYA ini. Semalam. 21 Mac 2013, dengan rasminya bilik solat ini digunakan. Kaum Muslimah telah pun mengadakan majlis bacaan Yasin beramai-ramai di bilik solat ini semalam. 

Hari ini pula, 22 Mac 2013, para Muslimin buat pertama kalinya mendirikan solat Jumaat di sini. Alhamdulillah. Di sini pelajar Muslimin dari Malaysia, Indonesia, Pakistan dan negara-negara lain berdiri meluruskan saf mengabadikan diri kepada Sang Pencipta. 



Hakikatnya, inilah realiti kehidupan kami; para pelajar Muslim di bumi Korea Selatan ini. Kalau di Malaysia, masjid dan surau ada di mana-mana. Namun kami di sini sebaliknya pula. Hanya terdapat sebuah masjid sahaja di setiap bandar. Surau jarang sekali kedengaran kewujudannya.

Bagi orang perempuan Muslim seperti kami, walaupun bertudung di kampus, masih ramai lagi yang belum mengetahui bahawa kami ini seorang Islam. Itulah hakikat pelajar universiti di sini. Banyak kali pula kami ini dianggap orang India dan sebagainya. Betapa pendedahan mereka mengenai agama Islam teramatlah sedikit.

Saya sejujurnya benar-benar teruja dan gembira dengan kewujudan bilik solat ini. Tiada kata yang mampu diucapkan selain kalimah kesyukuran yang tidak terhingga kepada Yang Maha Mendengar. Bukan senang mahu mendapatkan sebuah surau di universiti seperti ini. Dari itu, bersyukurlah anda semua yang berada di Malaysia khususnya, yang masjid dan surau boleh didapati di mana-mana sahaja. Manfaatkanlah ia sebaiknya. Sesungguhnya nikmat itu sukar untuk dimiliki di bumi asing, bumi Sonata ini. 

Kepada warga Muslim SKKU, bersama kita mengimarahkan surau ini sebaiknya. Sama-sama kita berusaha menampilkan Islam di mata rakyat Korea amnya dan warga kampus khususnya. Walau di mana sahaja kita berada, tetaplah beriman dan berakhlak dengan Islam. Itulah jadi diri kita. Insyaa-ALLAH. Jika kita bersama ALLAH, ALLAH juga pasti akan bersama kita. :')

Nota 1: Hari ini juga, Presiden Park Geun-Hye telah menguatkuasakan undang-undang baharu. Pengharaman memakai skirt pendek (mini skirt) di khalayak. Jika berbuat demikian, denda sebanyak KRW50,000 akan dikenakan kepada si pemakai. [sini]

Masya-ALLAH! Terkedu. Terpaku. Hmm...terfikir dan tertanya-tanya, bilakah pula Malaysia mahu menguatkuasakan undang-undang sebegini pula? 

Nota 2: Alhamdulillah. Proposal FYP sudah pun dihantar petang tadi. Minggu depan akan mula masuk lab untuk buat research. :')

5 comments:

saiful naim said...

alhamdulillah..perjuangan yg tak sia2...

Baby_Love said...

Assalamualaikum....
Susah ke belajar di sana?
Bagai mana dengan penerimaan student dekat sana terhadap student muslim dr Malaysia?

Nadzipah said...

Wa'alaikumussalam Baby_Love,

Hmm..saya kira belajar di mana-mana pun tidak senang. Cuma belajar di sini mungkin susah sedikit kerana perlu belajar bahasa Korea. Pengajaran pun 60% dalam bahasa Korea.

Mereka okay saja saya kira. Cuma mereka ini agak kurang tahu mengenai Islam dan Muslim. Kalau ada perbincangan antara kumpulan, boleh saja untuk bekerjasama dengan baik. Cuma untuk menjadi tersangat rapat itu...susah sikitlah.

Unknown said...

assalamualaikum
kakak masih kuliah di skku kah sekarang?
saya Laras dari Indonesia.
senang bisa baca tulisan kakak
wassalam

Nadzipah said...

Wa'alaikumussalam wbt.

Laras, iya, saya masih kuliah di SKKU.
Semester ini semester akhir saya di sini sebelum graduasi. Insyaa-ALLAH.

Alhamdulillah. Makasih ya sudi menjenguk coretan saya yang tidak seberapa ini. :)