Saturday, June 22, 2013

End of Spring Semester! Alhamdulillah!

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Thumma alhamdulillah. Dengan berakhirnya kertas Biotechnology pukul 4.15 petang tadi, secara rasminya berakhirlah semester ini. Alhamdulillah!

Akhirnya saya mampu menarik nafas lega. Semalam saya sudah pun menghantar 20 pages final report untuk subjek Capstone Design. 23 pages sebenarnya. Semester depan hanya perlu fokus kepada penulisan thesis. Subjek Capstone Design ini sebenarnya berkait rapat dengan penulisan thesis saya. Saya sudah pun melakukan sedikit research dan eksperimen berkenaan thesis saya sebenarnya. Cumanya ditangguhkan sehingga semester depan memandangkan saya akan pulang bercuti musim panas di Malaysia selama 2 bulan. Insyaa-ALLAH. 

Tajuk thesis saya, insyaa-ALLAH "N-Doping of Chemical Vapor Depositon - Graphene by Furnace."

Bunyi macam hebat kan? Huhu. Ini kajian pelajar post-graduated sebenarnya. Thesis saya ini pun dipantau oleh pelajar master; Miss Jia Lee. 

Sebenarnya usai sahaja menjawab kertas Digital Communication dan  Data Communication hari Isnin baru ni, saya sudah mampu menarik nafas lega. 2 papers straight. Berturut-turut. Kertas Digital Communication bermula pada pukul 12 tengah hari sehingga 2.50 petang. Kemudian disambung pula dengan kertas Data Communication pada pukul 3 petang sehingga 4.30 petang. Berkejar lepas jawab exam Digital Communication nak solat Zohor. 

Minggu sebelum itu hari Isnin, saya ada exam Electrical and Electronics Programming. Exam yang paling letih saya kira. Serius rasa nak muntah. Paginya kelas macam biasa sampai ke petang. Kemudian malamnya ada exam. Solat Maghrib pun keluar sekejap  daripada bilik kuarantin kononnya nak pergi toilet. Buka puasa dengan air masak sajalah. Tengah duduk jawab exam pun, pakai teguk air mineral saja untuk tambah oksigen dalam badan. Kepala dah mula berbintang-bintang dan berdenyut-denyut. Tambah pula bila keluar banyak error waktu execute programming. Pandangan jadi berpinar-pinar. Saya bertahan saja sehingga selesai menyelesaikan programming. Usai saja exam, balik bilik, usai solat Isyak terus tidur. Sungguh, exam yang paling meletihkan. Letih otak. Letih badan. Nak makan pun tak lalu. Padahal seharian berpuasa. Kenyang macam tu je. 

Sememangnya sepanjang semester ini, subjek programming ini memang paling banyak menguji minda dan kesabaran. Assignment dan report tiap-tiap minggu kena hantar. Belum termasuk dengan programming yang perlu dibuat sewaktu di dalam makmal lagi. Berakhirnya exam programming minggu lepas, nafas semput sebelum ini sudah dapat dihela bebas. 

Saya sangat tabik para teaching assistant merangkap pelajar master yang mengambil pengkhususan dalam bidang programming ini. 

Semester ini memang agak tough bagi saya. Dengan subjek programmingnya. Final project data communication dan digital communication yang perlu dilakukan secara berkumpulan. Dan biasalah. Apabila dah namanya pelajar kejuruteraan. Memang saya sajalah 'bunga' dalam kumpulan itu. Dikelilingi 'kumbang' yang lain. Heh.

Bermula selepas midterm exam, hampir setiap minggu kami berdiskusi dan berjumpa untuk menyelesaikan projek akhir. Terkadang memakan masa seharian. Sehinggakan ahli kumpulan saya sudah hafal waktu sepatutnya saya berhenti solat. Sampaikan pada satu tahap, diaorang pula yang ingatkan saya fasal saya kena berhenti solat. 

Alhamdulillah, Jumaat minggu lepas final project sudah pun dihantar. Presentation juga sudah pun diselesaikan. Kesemua presentation individu juga telah diselesaikan. 

Untuk semester ini, setiap hari Isnin dan Khamis selesai sahaja kelas, saya perlu ke makmal SAINT untuk melakukan eksperimen dan research berkenaan thesis saya. Terkadang, terpaksa juga pergi pada hari-hari lain untuk belajar mengendalikan beberapa mesin dan belajar software Raman spectroscopy

Melihat para pelajar master di makmal tempat saya melakukan eksperimen, saya jadi berfikir berkali-kali untuk menyambung master di sini. Err. Lebih kepada tak mahu sebenarnya. Tough sungguh. Memang rasa tak sempat nak bernafas dengan segala macam tugasan yang perlu dibuat. Tengok mereka duduk mengadap bahan kajian, berdiskusi secara serius dan perlu menghadiri kelas lagi... Huhu. Penuh tekanan.

Teringat perbualan dengan seorang kawan. Waktu itu kami masing-masing stress dengan pelbagai kerja dan projek yang perlu dibuat. 

"Rasa macam nak mati..." Keluh kawan saya berat. 

"Hmm. Itulah. Macam nak terjun bangunan pun ada. Stress!" Tambah saya pula. 

"Haha. Kalau orang Korea ni, dah lama dah mati ni."

"Agak la... Kita ni alhamdulillah ada iman dalam dada. Islam tak ajar kita macam tu kan?" Saya kerling kawan di sebelah. Nampak dia mengangguk sambil tersenyum nipis.

Itulah. Alhamdulillah. Iman di dada masih kekal lekat. Itulah yang membezakan kita yang Muslim ini dengan mereka yang bukan Muslim. Bila stress. Bila tertekan. Bila serabut. Kita boleh mengadu kepada Yang Maha Mendengar. Dengan mengambil wuduk dan bersujud kepada-NYA, hati yang resah gelisah menjadi tenang. Hati yang gundah-gulana menjadi redup. Hati yang bermuram durja menjadi terubat. 

Jangan tak tahu... Korea ini kadar bunuh dirinya agak tinggi. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada yang bunuh diri. 

Itu semua kesibukan sebagai seorang pelajar. Belum lagi dicampur dengan tanggungjawab lain. Bermula akhir semester lepas, saya diamanahkan untuk menjadi wakil universiti khususnya untuk bahagian akademik pelajar SKKU. Jadi segala urusan dengan pihak International Affairs, Dormitory, Embassy dan JPA saya memang kena uruskan. Nak hantar result pada setiap penghujung semester. Permohonan asrama, pembayaran yuran winter dan summer class

Apabila mengendalikan semua ini, barulah saya tahu yang tidak mudah untuk kita berurusan dengan manusia ini. Pelbagai kerenah dan gelagat. Alhamdulillah. Saya didedahkan bagaimana caranya untuk berurusan dengan pelbagai peringkat manusia ini. 

Sebulan yang lepas, saya diberikan kesempatan untuk bermesyuarat dengan pegawai besar asrama dan beberapa orang lagi pegawai. Memperihalkan tentang keadaan pelajar Malaysia di asrama dan di universiti, masalah yang dihadapi dan sebagainya. Alhamdulillah, hasil daripada pertemuan itu, pihak asrama telah menyediakan makanan halal kepada pelajar Muslim di SKKU ini. Masya-ALLAH! Saya menitiskan air mata usai bertemu dengan pegawai yang memaklumkan hal ini dan menunjukkan senarai menu yang akan dihidangkan. Sungguh saya terharu dengan keprihatinan mereka. 

Pada awal semester baru-baru ini, saya dihubungi oleh pegawai besar International Affairs, berjumpa dan berbincang mengenai surau untuk pelajar Muslim. ALLAHU AKBAR. Syukur. Alhamdulillah.

Dalam semester ini juga, saya beberapa kali telah dihubungi oleh pegawai polis Suwon dan pernah bertemu empat mata dengan beliau memperihalkan tentang keselamatan pelajar Malaysia terutamanya. Beliau ada menghubungi saya baru-baru ini untuk bertemu lagi. Waktu itu saya berada di makmal menyiapkan eksperimen thesis. Jadi tidak dapat untuk bersua muka. Sehingga kini saya masih belum berkesempatan untuk berjumpa lagi dengannya.

Hari ini, 2 jam sebelum menjawab kertas Biotechnology, saya dikejutkan dengan masalah pendaftaran asrama untuk cuti summer yang akan bermula esok. Ada nama yang tidak tersenarai di dalam senarai nama penghuni asrama. ALLAH! Kalut sekejap saya jadinya. Call JPA tak dapat. Call International Affairs, engaged. Tak tenang mahu study untuk exam

5 minit sebelum masuk dewan peperiksaan, saya berjaya menelefon International Affairs. Terus saya menceritakan masalah yang dihadapi dan meminta pihak universiti memeriksa dan mendapatkan bilik untuk pelajar yang tertinggal namanya. Usai sahaja pihak International Affairs berjanji untuk menyemaknya terus saya meletakkan telefon dan bergegas masuk ke dalam dewan. 

ALLAH! Peperiksaan sudah pun bermula. Teaching assistant sedang mengagihkan kertas soalan. Serasa tidak senang duduk ketika menjawab soalan. Kepala masih memikirkan pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku. Usai sahaja menjawab peperiksaan, sebaik keluar dewan, terus saya mengaktifkan telefon. Membaca emel makluman daripada Miss Julia bahawa masih ada lagi kekosongan di asrama. Alhamdulillah. Saya menarik nafas lega. Cumanya sekarang ini saya masih belum mendapat kepastian mengenai nombor bilik dan masih belum mendapat nombor akaun untuk bank-in yuran. Harapnya masalah ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin. 

Sungguh, hari ini walaupun sudah habis final exam petang tadi, saya masih tidak mampu tersenyum lebar. Dahi berkerut memikirkan masalah yang dihadapi. Terasa... sungguh berat tanggungjawab yang dipikul. Padahal baru saja menjadi biro kecil akademik. Tidak dapat saya bayangkan andai sudah bekerja nanti. Huhu.

Apa pun, saya berharap saya sentiasa disibukkan dengan pelbagai kerja. Walaupun tidak menang tangan. Walaupun tidak cukup nafas. Walaupun terasa bagaikan tidak jejak tanah. Namun, saya rasa masa saya terisi dengan perkara yang berguna dan berfaedah. Tidaklah masa yang berlalu terbuang begitu sahaja. Mutabaah amal juga saya kira makin membaik. Kerana apabila kita sibuk, kita dengan sendirinya akan berusaha gigih menyusun setiap kerja dan amal agar semuanya dapat dilakukan sebaiknya. Berlainan pula apabila kita lapang dan tidak sibuk. Bukan begitu? Selalu sahaja kita menangguhkan kerja dan amal kerana kita merasakan kita masih punya banyak masa. Sehinggakan sedar-sedar sahaja seharian sudah berlalu dan kita tidak melakukan hatta satu kerja sekalipun. Amal tidak sempurna. Kerja terbengkalai begitu sahaja. 

Alhamdulillah. Saya kira semester musim bunga ini berakhir dengan jayanya. Banyak yang saya timba dan saya dapat pada semester kali ini. Ilmu di keagamaan, ilmu duniawi, ilmu kemanusiaan, ilmu  kemasyarakatan dan sebagainya. 

Semester ini banyak mengajar saya untuk bersabar. Saya juga belajar untuk memahami sikap dan sifat manusia yang pelbagai kerenahnya. 

Terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama dan memberikan erti kepada hidup saya. Tanpa anda semua, saya mungkin tidak mendapat ilmu yang bermakna sebegini. Jazakumullahu khairan jaza'. Semoga ALLAH membalas jasa kalian semua dengan kebaikan. Ameen. Insyaa-ALLAH.

Nota: Selamat bercuti musim panas buat warga Korea. Yang nak balik esok tu (hari la kan...dah pukul 12 lebih dah pun...) selamat berpraktikal...

Mungkin minggu depan, saya boleh buat kisah perjalanan kami (saya dan sepupu) berjalan-jalan pusing Korea. Insyaa-ALLAH. 

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualikum Sis.

Seronok dan teruja saya membaca pengalaman sis sepanjang menjadi pelajar di sana. Saya hampir menagis kerana rasa cetek sangat ilmu yang saya ada berbanding sis. Bagi saya berkejaran unutk mencari ilmu adalah sangat mulia. Saya juga rasa kagum dengan kawan2 sis yang mengingatkan tentang waktu solat walaupun mereka berlainan agama. Saya doakan sis berjaya dalam kehidupan yang di tempuhi walau di mana sekali pun sis berada. In-sya-Allah semua akan baik2 saja. Saya juga berhasrat ingin melanjutkan pelajaran di negara orang. Doakan saya sis. Pejalanan hidup saya masih panjang.

Nadzipah said...

Wa'alaikumussalam wbt.

Alhamdulillah. Pengalaman itu mendewasakan hidup kita, kan? :)

Jangan begitu. Saya pun takdelah banyak sangat ilmu. Hanya berkongsi setakat apa yang ada sahaja. Insyaa-ALLAH, kita sama-sama belajar dan mengutip ilmu ALLAH yang luas ini.

Ameen. Insyaa-ALLAH. Terima kasih atas doanya. Rabbuna yassir wala tu'assir. Rabbi tamim bil khair. Semoga ALLAH juga mempermudahkan segala urusan awak dan semoga segalanya berakhir dengan kebaikan. Insyaa-ALLAH.

Insyaa-ALLAH. Saya doakan hasrat awak untuk melanjutkan pelajaran di negara orang itu tercapai. Insyaa-ALLAH.

Terima kasih kerana sudi melawat blog saya. :)