Sunday, September 4, 2011

Lau Kaana Bainana

Assalamu'alaikum wbt.

Sihat ke semua? Harapnya semua sihat-sihat sentiasa. Apa khabar iman kita setelah Ramadhan berlalu pergi meninggalkan kita? Moga-moga iman itu masih teguh dan utuh, seutuh saat Ramadhan masih bersama dengan kita. Insya-ALLAH. Moga terus istiqamah dalam beramal.

Sesiapa yang menonton TV Al-Hijrah pasti tahu tentang tajuk n3 saya kali ini. Lau Kaana Bainana. Andainya Rasulullah Bersama-sama Kita. Masa Ramadhan baru ni, rancangan ini disiarkan pada pukul 6.30 pagi waktu Korea. Maknanya 5.30 pagi waktu Malaysia.

Saya amat tertarik dengan satu slot rancangan ini yang sempat saya tonton pada hari-hari terakhir Ramadhan yang lalu. Tentang menepati masa.

Para krew Lau Kaana Bainana menjalankan sesi itu di sebuah universiti. Para pelajar yang datang lewat akan ditahan daripada memasuki kuliah. Mereka perlu menulis nama mereka pada borang yang disediakan dan menandatangani borang berkenaan. Mereka perlu mengakui yang mereka memang datang lewat ke kuliah.

Pelbagai reaksi pelajar yang boleh dilihat. Ada juga yang enggan menandatangani borang pengakuan berkenaan. Kemudian mereka ditemuramah. Krew Lau Kaana Bainana menanyakan sebab-sebab kelewatan mereka ke kuliah. Macam-macam jawapan dan alasan yang diberikan.

Ada yang kata, jalan jammed sebab tu lambat. Ada yang cakap, saya bersarapan dulu sebelum datang. Ada yang beritahu, biasa la kan, terlewat bangun. Itu yang terlewat datang tu.

Lepas tu krew tanya, "Dah tahu kelas awal pagi ni, yang pergi tidur lambat malam tu kenapa?
" "Yang bangun lambat tu kenapa?" Sebabnya mereka bukannya lewat seminit dua, tetapi lewat hampir sejam! Terus tak terkata pelajar yang disoal tu. Mungkin baru sedar salah sendiri.

Bila dengar pelajar bagi alasan macam tu. Saya pun terfikir la. Betul jugak eh. Munasabahkah alasannya lewat ke kelas gara-gara terlewat bangun? Bukankah sebagai seorang pelajar, kita memang sudah tahu dengan jadual kelas kita sendiri? Bahkan pelajar universiti memang boleh memilih kelas dan masa yang mereka inginkan. Dah tahu kelas tu pagi, bangun la awal-awal pagi kan? Kiranya kalau terlewat tu, memang tak boleh nak bagi alasan la. Dah memang salah sendiri terlewat bangun. Oho...baru saya tersedar. Terlewat bangun itu bukannya satu alasan yang logik dan kukuh untuk dikhabarkan kepada semua orang. Sememangnya itu bukan alasan pun, tetapi kecuaian diri sendiri!

Kemudian, pihak krew bertanya, "Andainya Rasulullah ada bersama-sama kita masa ni, adakah baginda akan datang lewat ke kelas?" Terus pelajar itu dengan confidentnya menjawab,"Sudah tentu tidak. Mana mungkin baginda yang sememangnya membawa contoh ikutan yang bagus itu datang lewat ke kelas!"

Pertanyaan yang sama juga ditujukan kepada para pelajar yang datang lewat. Rata-rata mereka dengan penuh yakin menyatakan bahawa Rasulullah SAW seorang yang menepati waktu. Pastinya baginda tidak akan terlewat datang dalam apa jua majlis. Bahkan bagindalah yang akan datang paling awal. Malah ada juga mengatakan bahawa pada sesetengah keadaan baginda yang menunggu para sahabat. Semestinya Nabi Muhammad SAW seorang yang sangat-sangat menepati janji dan merupakan qudwah hasanah buat seluruh umat manusia. Akhlak yang baginda tunjukkan benar-benar sebuah akhlak yang mulia dan terpuji.

Seterusnya, mereka disoal, "Kenapakah mereka sebagai umat Nabi Muhammad tidak mengikuti contoh ajaran yang telah Rasulullah tunjukkan?" Terus terkedu untuk menjawab. Ada juga yang berani menyatakan yang kita sebagai manusia tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Ramai yang diam membisu dan menundukkan kepala. Mungkin menyedari kekhilafan diri.

Saya menjadi insaf saat melihat rancangan itu. Terus terdiam. Minda tidak henti-henti berfikir dan berfikir. Muhasabah diri. Menyesali kesilapan dan kekhilafan diri selama ini. Betapa kerdilnya rasa diri.

Saya masih ingat, saat saya menonton rancangan itu masih ada sekitar 2 jam untuk saya ke kelas. Kelas pertama pada hari pertama semester. Entah macam mana, setelah bersiap-siap dan mengemaskan diri, saya boleh terlelap di hadapan komputer. Sudahnya 5 minit hendak pukul 9 pagi baru saya terjaga. ALLAHU AKBAR! Kali ini saya pula yang mengalami nasib seperti pelajar yang terlewat bangun untuk ke kelas dalam rancangan Lau Kaana Bainana tadi. Terus saya bergegas ke kelas yang mengambil masa hampir 15 minit dari rumah. Dalam hati tidak sudah-sudah beristighfar. Memohon keampunan Ilahi. Astaghfirullah hal 'azim...

Ambillah pengajaran daripada kisah saya ini. Saya tahu saya khilaf. Saya tahu saya silap. Padahal baru sebentar tadi saya menyedari yang kita sebagai umat Islam ini perlu menepati masa. Perlu mencontohi akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Namun dalam pada itu, dalam selang masa yang singkat sahaja, saya sudah melakukan kesilapan. Astaghfirullah hal 'azim.

Moga-moga selepas ini saya akan lebih alert dengan masa. Harapnya awak semua yang membaca n3 kali ini juga begitu. Sentiasa menghargai masa. Menepati masa. Menunjukkan akhlak yang terpuji. Menjadi duta umat Islam terutamanya yang berada di luar negara. *Yang ini lebih kepada memperingati diri sendiri* Walau di mana kita berada, imej dan nama baik Islam itu perlu kita jaga.


ALLAH juga menekan tentang masa ini bukan? Boleh rujuk surah Al-'Asr. Surah di mana ALLAH menerangkan tentang kepentingan masa. Kepentingan waktu. Dengan adanya pengurusan masa dan menepati waktu ini, hidup kita akan lebih tersusun dan berdisiplin. Insya-ALLAH. Semua itu untuk kebaikan kita juga sebenarnya.

Lau Kaana Bainana. Andainya Rasulullah bersama-sama kita kini, adakah baginda akan gembira melihat kita yang lalai dalam menepati masa? Tentu sekali tidak bukan? Ayuh! Berubah untuk kebaikan dan kemaslahatan bersama. Biiznillah. Insya-ALLAH. :)

No comments: