Semalam, 26 November 2011 berlangsungnya Annual General Meeting (AGM) di Engineering Building B106, Yonsei University. Saya kira AGM tahun ini perlu dilakarkan kisahnya di kanvas Segalanya Untuk-MU ini. Mesti ada yang tertanya-tanya bukan? Kenapa? Apa yang menarik sangat sehinggakan hendak mengabadikan Mesyuarat Agung Tahunan ini di sini. Bukan selalunya mesyuarat bosan ke?
Ya. Memang bosan. *Hee~Jangan marah saya ye. Saya cuma bercakap jujur.* Tapi tidak untuk meeting kali ini. Saya dapat sesuatu yang bermakna daripadanya.
Saya amat tertarik dengan pendekatan yang Pengerusi SPR 10/11 gunakan bagi mengisi masa senggang sementara menunggu keputusan undi diumumkan. Beliau mengisi sedikit masa itu dengan mengutarakan soalan kepada semua yang hadir. Soalan yang diutarakan pula bukan hanya saja-saja. Penuh makna, baik tersurat mahupun tersirat.
Beliau ada bertanya, "Kenapa nak jadi pemimpin ye?"
Ramai yang menjawab. Jawapan lebih kurang sama. Antara jawapannya,
"Nak dapat sijil."
"Nak cantikkan resume."
"Nak asah bakat."
"Untuk lebih bertanggungjawab."
"Untuk tahu kelebihan diri."
Namun, ada seorang junior dengan berani dan lantangnya bersuara, "Pada saya, kita nak jadi pemimpin untuk tahu kelemahan diri kita. Selama ni kita tak sedar kelemahan tu, tapi dengan memimpin kita jadi sedar adanya kelemahan kita pada sudut-sudut tertentu." (Jawapannya lebih kurang begini. Mungkin tidak sama sepenuhnya. Harap maklum.)
'Owh, snap!' Zassssssss....Saya yang ketika itu sedang berkipas kerana keadaan dewan yang panas terhenti mengipas. Terpaku dan terpegun seketika mendengar jawapan junior tersebut. Masya-ALLAH. Sungguh terkesan di hati.
Rupa-rupanya selama ini kita mencari kelemahan diri sendiri semasa memimpin. ALLAH...Silap rupanya anggapan saya selama ini. Ingatkan bila dah jadi pemimpin, kelebihan yang ada pada diri dapat diketengahkan. Rupanya dengan menjadi pemimpin kita dapat mengenal pasti kelemahan diri kita.
Soalan dan jawapan yang benar-benar membuka minda saya. Rasanya seluruh isi dewan juga berfikiran seperti saya.
Ada satu lagi soalan yang juga membuatkan saya tidak teragak-agak untuk terus mengiyakan jawapannya.
"Masa belajar kat mana kita letak diri kita? Atas lecturer ke bawah lecturer?"(Maaf. Saya lupa ayat sebenarnya macam mana. Tapi lebih kurang beginilah maksud soalannya.)
Setelah mendengar jawapan ahli dewan. Beliau dengan tenangnya menjawab, "Kita perlu meletakkan diri kita serendah yang mungkin ketika menuntut ilmu."
Dewan yang tadinya hingar-bingar menjadi sepi. Mungkin tertarik dengan ulah yang tuan pengerusi suarakan. Kemudian beliau menyambung lagi bicaranya.
"Air hujan yang turun. Kita tadahkan dengan bekas. Tempat mana yang paling banyak menakung air? Bahagian bawah bekas yang melengkung atau bahagian atas bekas?"
Ramai yang menjawab, "Bawah."
"Mestilah bahagian bawah yang dapat takung banyak air kan? Macam tu juga la kita dalam menuntut ilmu. Kita kena letakkan diri kita di tempat yang paling bawah. Barulah kita akan dapat menimba banyak ilmu."
Saya yang mendengar sekali lagi terpegun dan terpana dengan bait-bait bicaranya. Terus sahaja kepala terangguk-angguk seperti burung belatuk. Sangat-sangat bersetuju dengan kata-katanya.
Saya jadi teringat Ummi selalu pesan pada saya. "Kita kalau nak rapat dengan orang-orang tua, kita kena buat kita tak tahu pasal benda tu. Walaupun hakikatnya kita tahu pasal benda tu. Nanti mereka akan bagitahu kita macam-macam. Dari situ pengetahuan kita akan bertambah. Berbeza dengan kalau kita buat-buat tahu. Dan memang kita tahu pun. Orang takkan bagitahu kita apa-apa sebab bagi dia kita memang dah tahu pasal tu."
Betul. Maknanya di sini, dalam menuntut ilmu ni kita perlu merendah diri. Barulah ramai guru kita. Barulah kita dengan mudah menerima sesuatu ilmu itu. Sebab kita menganggap kita tidak tahu dan kita ingin tahu.
Alhamdulillah. ALLAH izinkan saya mendapat sesuatu yang amat berharga dan bernilai semalam. Saya amat berharap, akan wujud makin ramai lagi insan yang boleh bercakap sambil memberikan input yang berguna seperti tuan pengerusi SPR 10/11 ini.
Saya masih ingat sampai sekarang kata-kata yang dilontarkannya lama dulu. "Kata-kata kita melambangkan siapa kita."
"We are what we read." Ya. Tentunya kata-kata yang penuh hikmah dan makna ini memerlukan ilmu bukan? Salah satu sumber ilmu ialah dengan membaca. Bahan bacaan itu pula perlulah bermanfaat dan bukannya picisan semata.
Berhati-hatilah ketika berbicara. Banyak berbicara hal yang berfaedah dan baik tidak mengapa. Jangan banyak bercakap hal yang tidak berfaedah. Teringat satu hadis.
"Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhir, hendaklah ia berkata-kata yang baik atau diam."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Akhir kata, kita dihormati dan disegani kerana akhlak dan peribadi kita.
Nota 1 : Ingin mencontohi akhlak dan peribadi orang-orang yang disegani. Sungguh, Rasulullah itu sebaik-baik contoh ikutan.
Nota 2 : Sejuk mata dan hati bila melihat orang-orang yang indah akhlak dan peribadi. Berharap dapat menjadi salah seorang dari mereka.
Nota 3 : Semuanya indah dan bermakna jika diniatkan hanya kerana ALLAH. Hatta memakai kasut sekalipun, banyak pahala dapat dikumpulkan jika niatnya untuk mengikut sunnah, menjaga keselamatan dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment