Wednesday, July 11, 2012

Ulasan Saya : Senyum Sampai Langit

Assalamu'alaikum wbt.

Sebenarnya saya sudah habis khatam Senyum Sampai Langit karya Syasyaja ini hampir 2 minggu yang lepas lagi. Malam ini baru berkesempatan untuk membuat sedikit ulasan mengenai hasil nukilan kreatif cik Bulanhijau ini. 

Sampai saja di rumah, selesai mengemas dan menguruskan hal-hal praktikal terus ber'chenta' dengan Senyum Sampai Langit. Ngee! Al-maklumlah, dah lama teringin untuk memegang 'anak sulung' cik Bulanhijau ini. Sebelum ini saya pernah membaca Senyum Sampai Langit versi e-novel yang bertajuk Beautiful Night. Memang jalan ceritanya menarik, punyai pengajaran yang kadang-kadang itu terkena batang hidung sendiri. Ternyata, versi cetak Beautiful Night yang diberikan nama baharu iaitu Senyum Sampai Langit ini lebih menarik! Tahniah saya ucapkan buat cik Bulanhijau aka Syasayja atas kelahiran buah hati pertamanya ini. 

Err...saya macam belum mengulas lanjut Senyum Sampai Langit kan? Nama wataknya berbeza, jalan ceritanya pun ada sedikit perubahan dengan versi online. Namun  itu tidak mencacatkan Senyum Sampai Langit. Watak Muhammad Adam dan Nurul Ain ditukarkan kepada Muhammad Aqil dan Nurul Aufa. Nama-nama lain memang sama. Hakim; abang kepada Aufa, Iskandar si peminat Aufa dan Jasmin ibu tiri Aufa. Nama watak utama sahaja yang berbeza. Aqil-Aufa pun sesuai je. 

Pada saya, Adam-Ain itu terlalu common. Sebab? Watak Keranamu Ain tulisan Noor Suraya pun menggunakan nama Adam-Ain; Nik Ahmad Adam dan NurAin. Watak Adam dan Hawa tulisan Aisya Sofea pun menggunakan nama panggilan Adam-Ain; Adam Mukhriz dan Ain Hawani. Mungkin para pembaca akan terkeliru dan mungkin Senyum Sampai Langit tidak akan menjadi istimewa sementelah nama wataknya sama dengan watak-watak utama dalam novel-novel sedia ada. Itu pendapat saya la kan. Mungkin orang lain punyai pendapat yang berbeza.




Aufa yang manja dan berusaha mahu berubah meminta ibunya mencarikannya calon suami. Dia mahu bahagia seperti orang lain. Sementelah kehidupan yang dikecapinya sekarang ini dirasakan tidak bahagia walaupun dilimpahi kekayaan, kemewahan dan kesenangan. Namun itu tidak menjamin kebahagiaan bukan? Bagaimana mahu bahagia jika ayahnya tidak menghiraukan ibu, abang dan dirinya sendiri setelah berkahwin baharu? Dia dipertemukan ibunya dengan Aqil, jejaka yang dirasakan sesuai oleh ibunya untuk menjadi pembimbing Aufa. Bagi Aufa, Aqil yang kerek itu memang tidak menepati langsung ciri-ciri pasangan yang diingininya. Impiannya, dia mahukan suami seperti Bruno Mars. Namun, Aqil yang kerek itulah yang menarik perhatiannya. Yang sentiasa membuatkannya tidak keruan.

Aqil yang pada hemat ibunya sudah sampai masa untuk menikah meminta ibunya mencarikan calon isteri untuknya. Kebetulan ibunya baru sahaja bertemu dengan sahabat lamanya iaitu ibu Aufa. Terus mereka merancang untuk menyatukan kedua-dua anak mereka itu. Aqil yang pada mulanya menerima Aufa sekadar untuk memenuhi kehendak ibunya akhirnya terpikat dengan kelincahan Aufa. Dirinya yang dulunya seorang perokok, berusaha untuk berhenti merokok sementelah dia mengetahui Aufa tidak suka orang yang merokok. Kerek-kerek Aqil ini, pada saya, dia baik dan sentiasa mengingatkan Aufa tentang soal agama. Aqil jugalah yang membuatkan Aufa terbuka hati untuk berbaik semula dengan ayahnya.

Senyum Sampai Langit mungkin dianggap biasa-biasa sahaja oleh mereka yang sudah terbiasa membaca kisah kahwin paksa. Perasaan benci kemudian bertukar menjadi cinta setelah hidup bersama. Namun pada saya, Senyum Sampai Langit bukan kisah kahwin paksa. Aqil dan Aufa menikah atas kerelaan dan kehendak mereka sendiri. Walaupun pada mulanya pernikahan itu bukan berlandaskan rasa cinta antara kedua pasangan, namun mereka berusaha untuk mencari bahagia dan berusaha memupuk keserasian bersama. Mereka sama-sama berusaha menjadi yang terbaik untuk pasangan masing-masing. Aqil berjanji untuk menjadi suami yang terbaik untuk Aufa. Dan Aufa pula berusaha menjadi isteri yang terbaik untuk Aqil. Walaupun Aufa ketika itu masih bergelar pelajar, masih bergelut dengan buku-buku dan kuliah dalam mencapai cita-citanya menjadi peguam yang berjaya.

Hubungan kekeluargaan yang pada mulanya bagaikan pecah menanti belah dalam keluarga Aufa, akhirnya berjaya disatukan. Semuanya hasil usaha mereka yang tidak putus-putus berusaha, berikhtiar dan berdoa bagi memulihkan kembali perhubungan. Nilai-nilai yang diterapkan dalam Senyum Sampai Langit ini mampu membuatkan saya yang membaca terhenyak dan melihat jauh ke dalam diri. Dapat dilihat, bagaimana pentingnya peranan seorang ibu, abang dan suami dalam menangani masalah kekeluargaan. Bagaimana mahu menasihati dan menangini jiwa yang dalam kesedihan.

Banyak yang saya pelajari dari naskhah setebal 483 muka surat ini. Tahniah sekali lagi saya ucapkan buat Syasyaja yang berjaya membuatkan saya seperti terpanggil-panggil untuk menamatkan pembacaan seberapa segera yang mungkin. Tidak sabar mahu mengetahui kisah hidup Aufa yang mahu mencari bahagia bersama Aqil yang kerek itu sehingga ke akhirnya. Sampaikan waktu praktikal pun, terkenangkan Senyum Sampai Langit! Tak ke parah tu?!

Senyum Sampai Langit, sesuai dengan tajuknya, sepanjang pembacaan, senyuman tidak lekang dari bibir. Ada sahaja gelagat dan telatah Aqil dan Aufa yang mencuit hati. Namun adakalanya, saya juga terpengaruh dengan emosi Aufa yang sedang bersedih dan dalam dilema itu. Iyalah, siapa yang mahukan keluarganya bergolak, bukan? Bahagia yang dicari, adakah akan ditemui?

Kali ini tahap pembacaan saya memang jatuh merudum. Senyum Sampai Langit ini saya berjaya habiskan dalam masa hampir seminggu. Kekangan masa menyebabkan tidak banyak masa yang dapat diperuntukkan untuk membaca. 

"Yang lebih  manis itu apabila aku dan kau sama-sama jatuh cinta." ~Muhammad Aqil~
"Hadirnya kau ibarat percikan dari syurga." ~Nurul Aufa~

Bahagia hanya akan hadir seiring dengan hati yang terbuka untuk menerimanya. Bahagia hanya akan menjengah andainya kita berusaha mencarinya. Bahagia itu ada di mana-mana. Tinggal sahaja, bahagia itu mahu kita gapai atau mahu dibiarkan ia berlalu begitu sahaja? Semuanya terletak pada diri kita.

3 comments:

Anonymous said...

ahha, macam best je, hari tu tengok je novel tapi tak rasa nak beli, tapi bila dah ada orang baik hati tolong kasi gambaran tiba2 rasa nak p cari buku ni balik, ahha, ^^

nice sharing sis (=

Nadzipah said...

Pada saya, Senyum Sampai Langit ini bagus. Apabila kita membaca untuk mencari sesuatu yang positif, kita pasti akan menemui yang positif di dalamnya. Begitulah sebaliknya.

No worries. Sekadar berkongsi apa yang dirasai sahaja. =)

si yellow said...

nice review..sedang membaca..x sangka namanya dlm e-novel lain..baru tau..hehe..

p/s: sudi2 la follow sy k..:)