Monday, July 16, 2012

Terlerai Rindu

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Thumma alhamdulillah. Kelmarin, tanggal 14 Julai 2012, rindu yang menceruak di dada hampir 3 minggu ini terlerai juga akhirnya. Terima kasih tidak terhingga kepada awak yang sudi menjemput dan mengajak saya ke program semalam. Jazakillahu khairan jaza' ya ukhti habeebati. =')

Pertemuan kelmarin yang bertemakan 'Home Sweet Home' yang bertujuan mengumpulkan akhawat Kelantan yang pulang bercuti baik di dalam negara dan luar negara. Err..pergi kelmarin baru tahu sebenarnya. Pertama kali menyertai program sebegini di Tanah Serendah Sekebun Bunga ini benar-benar membuatkan saya teruja. Teruja mahu ketemu sama akhawat fillah. Terlerai sudah rindu yang selama ini menyesakkan dada. Alhamdulillah. :')

Sebelum program dimulakan, kami menyertai majlis tafsir al-Quran terlebih dahulu. Difahamkan pada setiap hari Sabtu memang akan ada seorang ustaz yang akan mengendalikan kelas tafsir al-Quran. Alhamdulillah, saya berkesempatan mendengar tafsir surah al-Najm, surah yang ke-53 bermula dari ayat ke 43 hingga ayat ke-63.


Ustaz telah menyimpulkan 8 pengajaran yang dapat diambil daripada surah al-Najm ini. 

1. ALLAH SWT memuliakan Nabi Muhammad SAW.
2. Kita wajib berpegang kepada Al-Quran dan as-sunnah.
3. Kita wajib beriman kepada malaikat.
4. Kita kena yakin. Keyakinan kita sebagai seorang Muslim bahawa Islam inilah agama kita. Inilah kehebatan dan kebenaran ALLAH SWT.
5. Kita hanya berdakwah dan mengajak orang kepada ALLAH. Kerja kita hanya menyampaikan. Orang itu terima atau tidak apa yang kita sampaikan, segalanya serahkan kepada ALLAH SWT. Sesungguhnya hidayah itu milik ALLAH. 
6. Pintu taubat sentiasa terbuka kepada manusia. Selama mana nyawa kita masih terkandung di badan, pintu taubat itu sentiasa terbuka untuk kita. 

Bagaimana cara kita bertaubat?
- Mengucapkan kalimah syahadah dan menghayatinya.
- Perlu berazam untuk tidak mengulangi lagi kesilapan yang sama.
- Gantikan setiap amal ibadah kita yang kita tidak dapat tunaikan dengan amalan lain.

7. Kita perlu kembali kepada ALLAH. Kita perlu kembali kepada hidup bertuhankan ALLAH. Ajaran ALLAH-lah yang paling sesuai untuk manusia.

(Rujukan Tafsir Fizilal lil Quran)

Sebelum mengakhiri kelas tafsir, ustaz sempat menyampaikan sebuah hadis berkenaan dengan Ramadhan.

Suatu masa, Rasulullah SAW berkhutbah, "Datang pada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh barakah. ALLAH akan merahmati Ramadhan. Ramadhan boleh membasuhkan dosa-dosa manusia. Dosa kita akan diampuni ALLAH SWT. Doa kita juga akan terima oleh ALLAH SWT."

 Doa ALLAH makbulkan dalam 3 bentuk, cerita ustaz. Pertama, ALLAH bagi terus. Kedua, ALLAH simpan dulu. Ketiga, ALLAH makbulkan doa kita dengan tolak bala.

Kata ustaz lagi, ALLAH tengok apa yang kita buat di bulan Ramadhan. ALLAH akan sebut setiap amalan kita kepada malaikat. Orang yang celaka pada bulan Ramadhan ialah orang yang tidak mendapat rahmat ALLAH.

Allahumma balighna Ramadhan. Ya ALLAH, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan. Moga-moga kita mendapat rahmat dan barakah ALLAH di bulan Ramadhan ini. Insya-ALLAH.

Pesan ustaz sebelum menamatkan kelasnya, "Cubalah hafal Al-Quran sedikit demi sedikit. Moga jiwa kita ada Al-Quran. Nabi kata, "Mana-mana jiwa yang tiada Al-Quran ibarat rumah buruk.""

Okey, itu sahaja yang saya sempat catatkan sewaktu kelas tafsir. Sungguh menarik. Melihat mak cik-mak cik yang tekun mendengar dan rajin mencatat setiap patah kata ustaz, terasanya kerdilnya diri ini. Begitu semangat sekali mereka mahu menuntut ilmu. Pen dan kertas terdampar di hadapan masing-masing. Jari-jemari mereka laju melarikan pena di atas helaian buku. Masya-ALLAH!

Sungguh, saya rindukan majlis-majlis ilmu sebegini. Saya rindu. Home Sweet Home berjalan lancar. Seronok  bertemu dengan akhawat fillah. Setiap patah yang keluar dari ulas bibir merah merekah mereka, sungguh, bukan sesuatu yang sia-sia. Penuh dengan isi. Sejuk mata memandang. Tenang telinga yang mendengar. Bergetar hati menghayati. Segala puji bagi ALLAH yang mengizinkan saya menghadiri Home Sweet Home ini.

Sebenarnya ada lagi yang mahu dikongsi. Insya-ALLAH, saya akan kongsikan pada entry yang berikutnya.

Nota 1: Walaupun sekejap sahaja masa yang kita luangkan bersama, terasa saat itu amat bermakna. Ingatkanlah diri ini andai terlupa, tariklah diri ini andai terleka. Uhibbuki fillah.

Nota 2:
"Andai gula tahu betapa manisnya cinta, pasti ia tersipu kerana manisnya tidak seberapa." -Maulana Jalaluddin Rumi-

*Err...cinta itu lebih manis jika terarah pada tempatnya. Jom sama-sama mengejar cinta-NYA yang lebih manis dari gula itu. Pastinya lebih manis dari gula-gula kapas juga. Insya-ALLAH, sama-sama kita berusaha ye. :'))*

2 comments:

fatinmarini said...

Nadzipah, tarik la saya skali kalau ada program nanti. Macam seronok je. Lagi pun rasa macam da lama tak jumpa akhawat. T___T

Nadzipah said...

Insya-ALLAH. Awak kan baru balik dari berjaulah. Apa khabar akhawat Mesir? Ceritalah sikit jaulah di sana. :')