Monday, November 7, 2011

Mati Sebagai Muslim

Assalamu'alaikum wbt.

Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya AidilAdha untuk semua. Alhamdulillah, ALLAH masih memberikan kita semua kesempatan untuk menyambutnya lagi pada tahun ini. Alhamdulillah.

Malam tadi, sewaktu menelefon rumah, saya mendapat perkhabaran tentang kematian 2 orang jiran sekampung. Seorang meninggal pada awal dinihari AidilAdha dan seorang lagi meninggal pada Asar AidilAdha. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Daripada ALLAH kita datang, kepada ALLAH kita kembali.

"Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami kamu dikembalikan."
[Al-Ankabut, 29: 57]

Kita pun bila-bila masa sahaja akan dijemput Ilahi. Hakikatnya setiap masa dan setiap saat yang berlalu, semakin dekat kita menghampiri kematian. Mati itu suatu yang pasti. Sesiapa sahaja, di mana sahaja dan bila-bila masa sahaja, bila sampai masanya, pasti akan berhadapan dengan kematian. Tidak dapat tidak, setiap orang akan melalui detik-detik itu.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada ALLAH sebenar-benar takwa kepada-NYA dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim."
[Ali-Imran, 3: 101]

Saya percaya, kita sentiasa mendengar ayat ini. Terutamanya kaum Adam. Insya-ALLAH, kalian pasti akan mendengar ayat ini pada setiap minggu. Pada setiap hari Jumaat, khatib akan membacakan ayat ini.

Sejujurnya saya sampaikan boleh terhafal sebaris ayat surah Ali-Imran ini disebabkan kerap kali mendengarnya. Rumah saya memang berdekatan dengan masjid. Jadinya setiap kali khatib membacakan khutbah Jumaat, kami yang berada di rumah ini pun tumpang sekaki mendengarnya.

Namun, kekerapan mendengar tidak bermakna jika tidak menghayati maksud di sebalik ayat tersebut. Bukan begitu? Maklum sahajalah, bahasa Arab itu bukan bahasa kita. Jika dihayati dan diperhatikan betul-betul makna sebaris ayat ini. Kita pasti akan terkesima. Amat mendalam sekali maksudnya.

"...Bertakwalah kepada ALLAH sebenar-benar takwa kepada-NYA..."

ALLAH menyeru kepada orang-orang beriman supaya bertakwa kepada-NYA dengan sebenar-benar takwa.

Apa itu takwa?

Maksud asal kalimah 'Takwa' ialah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.

Dari segi syara' pula, 'Takwa' bermaksud menjaga dan memelihara diri dari seksa dan murka ALLAH SWT dengan cara melaksanakan perintah-perintah-NYA, taat kepada-NYA dan menjauhi larangan-larangan-NYA serta menjauhi perbuatan maksiat.

Ayat itu tidak habis setakat itu sahaja. ALLAH menyambung lagi ayat berkenaan takwa dengan ayat yang berbunyi, "...dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim."

Iye. ALLAH seolah-olah memberikan amaran kepada kita semua. Kita kena mati dalam keadaan muslim.

Muslim itu apa? Betul. Terjemahan kasarnya orang Islam. Namun hakikatnya dilahirkan sebagai Islam tidak cukup untuk menggambarkan seseorang itu muslim. Untuk menjadi muslim dalam erti kata yang sebenar, seseorang itu perlu memenuhi 5 kriteria. Dalam dirinya perlu ada Surrender, Submittion, Obedience, Sincere and Peace.

Sebagai seorang muslim, kita perlu ada sifat surrender, submittion dan obedience. Dalam erti kata lain, kita perlu menyerah diri kepada ketentuan, kehendak dan suruhan ALLAH. Kita perlu melakukan kesemuanya dengan ikhlas (sincere). Kemudian daripada situlah akan lahirnya ketenangan (Peace). Itu tandanya kita redha dengan setiap suruhan ALLAH dan kita sedar bahawa setiap apa yang ALLAH suruh kita buat itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri.

Sebab itu, sebagai seorang muslim, kita sepatutnya tidak takut atau gentar menghadapi kematian. Kenapa perlu takut? Sedangkan matlamat kita ialah kehidupan selepas mati. Kenapa perlu takut? Bukankah kita sudah membuat persiapan untuk menghadapi kematian?

Iye. Begitulah yang sebetulnya. Namun sebaliknya yang terjadi bukan? Sejujurnya saya juga risau. Cukupkah amalan saya selama ini jika ALLAH mengambil nyawa saya sekarang? Amal apakah yang dapat saya tunjukkan dengan bangganya di hadapan ALLAH andai ALLAH memanggil saya menghadap-NYA saat ini? ALLAH. ALLAH. ALLAH. *Tunduk insaf*


Sebab itulah kita perlu sentiasa memastikan kita dalam keadaan muslim setiap masa, setiap ketika dan setiap saat. Islam kita bukannya pada waktu solat, puasa dan hal ibadah semata-mata. Hakikatnya, kita muslim dari saat kita membuka mata sehinggalah kita membuka mata semula keesokan harinya. Makan kita akan mendapat ganjaran bila mana kita memulakan dan menyudahkan pemakanan kita dengan bacaan doa. Tidur kita diberikan pahala bila mana kita membaca doa tidur dan berzikir mengingati ALLAH. Setiap langkah kaki kita untuk menuntut ilmu dihitung dan diberi ganjaran pahala bila mana kita niatkan semata-mata hanya kerana ALLAH. Pendek kata, kita muslim dalam setiap aspek kehidupan. The meaning of Islam itself is the way of life, right?

Akhir kata, marilah kita sama-sama berusaha menjadi seorang muslim setiap detik. Dengan itu, kita tidak perlu risau bila ALLAH ingin memisahkan nyawa dari badan kita. Insya-ALLAH. Saat kematian menjemput, kita pasti akan tersenyum gembira kerana kita termasuk dalam golongan yang ALLAH nyatakan dalam surah Ali-Imran itu; orang yang mati dalam keadaan muslim. Insya-ALLAH.

Nota 1: Apakah yang saya sudah lakukan sepanjang hampir 21 tahun hidup di dunia ini? *Air mata bergenang.*

Nota 2: Ya ALLAH, andai KAU menjemputku, apakah yang boleh ku bawa untuk dipersembahkan kepada-MU? *Tertunduk. Malu. Segan.*

Nota 3: Saya ingin hidup sebagai muslim dan mati sebagai muslim. Duhai, sahabat sahibah yang saya sayangi kerana ALLAH. Tariklah saya bersama kalian mencari redha Ilahi. Sama-sama kita melangkah menuju ke syurga yang abadi.

2 comments:

Cik Beah said...

moga kita tergolong bersama-sama dengan mereka yang mati bukan saja sebagai muslim, tapi jua sebagai mukmin. amin ya Allah!

salam eidul adha dari kak wee^^

Nadzipah said...

Ameen. Ameen. Ameen Ya Rabb! Insya-ALLAH. Moga-moga.

Salam aidil adha kak wee^^

Dah ok ke kaki kak wee?