Tuesday, October 30, 2012

Bersama Menghayati Erti Pengorbanan

Assalamu'alaikum wbt.

Pertama dan utamanya saya memohon maaf banyak-banyak kerana baru sekarang ini berkesempatan untuk mengotakan janji yang telah saya buat lewat post yang lalu. 

Saya sudah habis menjawab peperiksaan pertengahan semester musim luruh pada hari Jumaat yang lepas. Iya, hari itu merupakan hari seluruh umat Islam menyambut perayaan Aidil Adha. Saya dan beberapa orang rakan sekadar menyambut dan solat sunat Aidil Adha di universiti sahaja. Tidak berkesempatan untuk ke Kedutaan Malaysia bagi menunaikan solat sunat Aidil Adha dan menyambutnya bersama rakan-rakan pelajar yang lain kerana kekangan peperiksaan. Malamnya pula hampir empat jam berada di lab menyiapkan eksperimen Electronics Circuit.

Itu kisah sambutan Aidil Adha saya untuk tahun ini. Anda pula bagaimana? 

Baiklah. Berbalik kepada janji yang telah saya buat. Saya berjanji mahu menceritakan serba sedikit mengenai kisah pengorbanan nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail. Bersama kita telusuri kisah pengorbanan nabi ALLAH ini. Insya-ALLAH. :') 

""...Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang yang soleh." Maka, Kami beri khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang sangat sabar (Ismail)."
[As-Saffat, 37:100-102]

Nabi Ibrahim lambat dikurniakan zuriat oleh ALLAH SWT. Perkahwinan baginda dengan Sarah tidak dikurniakan anak. Begitu juga perkahwinan baginda dengan Hajar. Baginda berdoa kepada ALLAH supaya diberikannya seorang anak yang tergolong dalam kalangan orang yang soleh. Alhamdulillah, ALLAH mendengar doa baginda. ALLAH mengurniakan nabi Ibrahim seorang anak lelaki yang sangat sabar iaitu nabi Ismail melalui perkahwinannya dengan Hajar. Tidak lama selepas kelahiran nabi Ismail barulah nabi Ibrahim mendapat anak iaitu nabi Ishak melalui perkahwinannya dengan Sarah

Kemudian ALLAH perintahkan nabi Ibrahim membawa anak dan isterinya; nabi Ismail dan Hajar ke suatu wadi (lembah) yang  gersang - Mekah. Nabi Ibrahim pun berangkatlah dari tempat tinggal mereka; Palestin ke Mekah bersama Hajar berserta anak kecil mereka, Nabi Ismail. 

Sebaik sahaja tiba di Mekah, nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan Ismail di sana. Baginda bergerak meninggalkan mereka tanpa berpaling lagi. Baginda begitu tega meninggalkan isterinya dan anak kecil mereka di tanah gersang itu. Tiada tumbuhan. Tiada sumber makanan. Tiada air. Tiada hidupan lain selain mereka di sana! 

Hajar yang kerisauan bertanya kepada Nabi Ibrahim, "Duhai suamiku, kamu mahu ke mana? Adakah kamu mahu meninggalkan kami di sini?" 

Namun, Nabi Ibrahim tetap meneruskan langkah baginda. Tidak dihiraukannya pertanyaan isterinya itu. Hajar terus bertanya lagi dan lagi. Apabila Nabi Ibrahim tidak juga menjawab, maka fahamlah dirinya bahawa ini pastinya perintah dari ALLAH Yang Maha Esa. 

Lalu dia kembali bersuara kepada nabi Ibrahim untuk mendapatkan kepastian, "Suamiku, adakah ini perintah ALLAH?"

"Ya." Jawab nabi Ibrahim. 

Pantas Hajar berkata, "Kalau begitu, tiada apalah yang perlu dirisaukan. ALLAH pasti tidak akan mensia-siakan kami." 

Cuba bayangkan, perjalanan dari Palestin ke Mekah pada waktu itu, yang kenderaan terpantasnya hanyalah unta yang mengambil masa selama hampir 40 hari dilakukan semata-mata untuk meninggalkan anak dan isteri di padang pasir yang gersang dan kering-kontang. Semua itu dilakukan demi memenuhi perintah ALLAH Yang Maha Kuasa. Subhana-ALLAH! Sungguh teguh iman nabi Ibrahim dan Hajar. 

Peta perjalanan dari Palestin ke Mekah. Perjalanan yang telah ditempuhi oleh nabi Ibrahim dari Palestin untuk menghantar isteri dan anaknya ke Mekah kerana perintah ALLAH. Dan baginda menempuhi perjalanan ini sekali lagi dari Palestin ke Mekah semata-mata untuk menyembelih anaknya; nabi Ismail demi menunaikan perintah ALLAH.



Nabi Ibrahim yang sanggup meninggalkan isteri yang dicintai dan anak yang disayangi demi perintah Ilahi. Hajar yang sanggup ditinggalkan suami tercinta bersama anak kesayangan demi perintah Rabbul Izzati. Sungguh pengorbanan mereka tidak bertepi.

Maka, tinggallah Hajar dan anaknya; nabi Ismail di Mekah meneruskan kehidupan mereka di sana. Saat nabi Ismail menangis kelaparan, berlari-lari Hajar ke sana ke mari mencari air demi menghilangkan dahaga dan lapar si anak. Sehinggakan beliau berlari berulang kali dari Bukit Safar ke Bukit Marwah semata-mata untuk mencari sedikit air. Dari situlah bermulanya sai'e yang dilakukan oleh jemaah haji bagi memperingati peristiwa  Hajar yang berlari berulang alik dari Bukit Safar ke Bukit Marwah itu. 

Nabi Ismail pula menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya ke tanah. Dengan izin ALLAH, keluarlah air dari tempat hentakan kakinya itu. Itulah dia air zamzam. Air yang tidak pernah kering walaupun begitu ramai orang mengunjungi Mekah. Itu tanda ALLAH sentiasa bersama-sama Hajar dan nabi Ismail. Itu bukti kepada mereka yang sentiasa mempercayai ALLAH tanpa berbelah bahagi. Itu balasan yang ALLAH berikan atas pengorbanan yang mereka lakukan demi ALLAH. Hanya kerana ALLAH. 

"Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, "Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. 
Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!" 
Dia (Ismail) menjawab, "Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (ALLAH) kepadamu; insya-ALLAH engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.""
[As-Saffat, 37:102]

Nabi Ibrahim bermimpi yang baginda menyembelih anaknya Ismail. Bukan sekali, bahkan berkali-kali. Pastilah baginda bahawa itu merupakan perintah ALLAH yang disampaikan melalui mimpi kepada baginda. Maka demi menunaikan mimpinya itu, nabi Ibrahim berangkat kembali ke Mekah. Perjalanan dari Palestin ke Mekah selama 40 hari dengan unta itu ditempuhi demi menunaikan satu perintah ALLAH - menyembelih anaknya, nabi Ismail. 

Kalau kitalah kan, sanggupkah kita berbuat sedemikian? Menempuhi perjalanan yang jauh semata-mata untuk menyembelih anak sendiri? Itulah yang dilakukan oleh nabi Ibrahim demi menunaikan perintah ALLAH  Yang Maha Esa. 

Apabila nabi Ibrahim menyatakan perintah ALLAH itu dan menanyakan pendapat anaknya; nabi Ismail, terus nabi Ismail tanpa rasa ragu-ragu menyuruh ayahnya melakukan seperti apa yang diperintahkan oleh ALLAH kepada baginda. 

Subhana-ALLAH! Betapa hebatnya keimanan seorang Ismail yang tanpa perlu berdolak-dalih menyatakan persetujuan kepada usulan ayahnya. Kerana apa? Kerana itu perintah ALLAH. Kita bagaimana? Sanggupkah berkorban sebegitu? 

Dapat kita lihat di sini bagaimana diplomasi nabi Ibrahim sebagai seorang bapa berinteraksi dengan anaknya. Walaupun baginda tahu itu perintah ALLAH, namun baginda tetap menanyakan pendapat nabi Ismail. Suatu sikap yang patut dan perlu dicontohi oleh kita semua sebagai seorang bakal ibu dan bapa terhadap anak-anak kita nanti. Insya-ALLAH. 

Sungguh hebat bukan ajaran dan didikan yang Hajar berikan kepada anaknya nabi Ismail? Sehinggakan baginda terus bersetuju tanpa perlu berfikir dua kali usulan ayahnya itu - menyembelih dirinya. Cuba bayangkan, nabi Ibrahim telah meninggalkan Hajar dan nabi Ismail berdikari menjalani kehidupan di Mekah tanpa seorang suami dan ayah sebagai tunggak keluarga. Bayangkan bagaimana Hajar yang berperanan sebagai ibu dan ayah kepada anaknya Ismail sepanjang sepeninggalan suaminya, Ibrahim. Pasti susah dan payah bukan bergelar ibu tunggal? Namun tengoklah hasil didikannya. Ismail yang sabar dan rela hati menerima perintah ALLAH yang mahu dirinya disembelih oleh ayahnya sendiri. 


Cuba bayangkan, apa perasaan nabi Ismail pada waktu itu? Apa perasaan anda seandainya ayah yang telah meninggalkan anda sejak kecil datang kembali kepada anda kerana mahu menyembelih anda. Oh. Pasti berapi-api kemarahan kepada ayah anda bukan? Sudah pasti setiap arahannya tidak akan anda patuhi bukan? 

Bagaimana pula dengan perasaan Hajar? Seorang isteri yang ditinggalkan suaminya bersama anak kecil yang perlu dididik dan diasuhnya seorang diri. Kemudian si suami datang kembali kepadanya semata-mata mahu menyembelih anak yang selama ini dipeliharanya dengan penuh kasih dan sayang. Pastinya akan melenting dan tidak akan membenarkan perkara itu terjadi bukan? Pastinya marah dan kecewanya berganda-ganda. 

Namun, itu semua tidak berlaku kepada nabi Ismail dan Hajar. Mereka menerima semua itu dengan rela hati. Kerana apa? Kerana itu perintah dari ALLAH. Kerana iman mereka begitu teguh dan kukuh. 

 "Maka ketika keduanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya, (untuk melaksanakan perintah ALLAH). 
Lalu Kami panggil dia, "Wahai Ibrahim! Sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu. Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar."
[As-Saffat, 37:103-107]

Lalu, nabi Ibrahim pun bersiap sedia untuk menyembelih anaknya; nabi Ismail. Nabi Ismail siap menyuruh ayahnya mengikat dirinya bagi memudahkan kerja ayahnya semasa menyembelih dirinya nanti. Subhana-ALLAH! Sampai begitu sekali relanya nabi Ismail. 

Semua itu; kerelaan hati, keimanan yang utuh dan teguh kepada ALLAH dan kesanggupan mereka berkorban telah membuatkan ALLAH menggantikan nabi Ismail dengan seekor kibas. ALLAH sudah melihat bagaimana nabi Ibrahim dan nabi Ismail dengan rela hati melakukan penyembelihan dan merelakan diri disembelih demi menunaikan perintah ALLAH. Nabi Ibrahim sudah membenarkan mimpinya. Mereka; nabi Ibrahim, nabi Ismail dan Hajar telah melepasi ujian yang ALLAH berikan kepada mereka. 

Itu kisah pengorbanan nabi Ibrahim dan nabi Ismail serta Hajar. Kisah mereka yang dengan rela hati dan sabar melakukan pengorbanan demi menunaikan perintah Ilahi. Kisah bagaimana nabi Ibrahim yang sanggup berkorban meninggalkan isteri dan anaknya tergapai-gapai meneruskan hidup di tanah yang gersang tidak berpenghuni. Kisah bagaimana Hajar yang sanggup berkorban ditinggalkan suaminya di Mekah yang tiada sumber makanan dan minuman bersama anak kecilnya. Kisah bagaimana pengorbanan nabi Ibrahim yang melakukan perjalanan beratus-ratus kilometer dari Palestin ke Mekah demi menyembelih anaknya. Kisah bagaimana pengorbanan seorang ibu yang sanggup membenarkan anak yang ditatangnya bagaikan minyak yang penuh berseorangan tanpa suami di sisi selama ini disembelih oleh suami yang baru sahaja tiba dari Palestin menjenguk mereka yang ditinggalkan dahulu. Kisah bagaimana pengorbanan seorang anak yang sejak kecil ditinggalkan bapanya dengan penuh sabar merelakan diri disembelih.  Bagaimana pula dengan kita? Sanggupkah kita berkorban seperti mereka ini?

 "Dan Kami abadikan untuk Ibrahim (pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, "Selamat sejahtera bagi Ibrahim." Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sungguh, dia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman."
[As-Saffat, 37:108-111]

Itu janji ALLAH kepada nabi Ibrahim. ALLAH membalas orang-orang yang berbuat baik. Janji dan kata-kata ALLAH yang tidak pernah tidak dikotakan-NYA. Janji ALLAH yang pasti ditunaikan-NYA. 

Menelusuri kisah korban nabi Ibrahim dan nabi Ismail ini membuatkan saya tersentak berkali-kali. Walaupun setiap tahun kita menyambut perayaan Aidil Adha, walaupun setiap kali itulah kita diingatkan dengan kisah pengorbanan nabi Ibrahim dan nabi Ismail ini, namun adakah kita sudah benar-benar menghayati erti pengorbanan dalam erti kata yang sebenar? 

Saya sendiri sudah 22 tahun hidup di bumi ALLAH ini. Setelah membaca dan mengetahui kisah pengorbanan nabi Ibrahim dan nabi Ismail ini, saya terfikir-fikir sendiri, adakah selama ini saya telah benar-benar menghayati erti pengorbanan? Jika kejadian seumpama ini terjadi kepada saya, adakah saya sanggup melakukan pengorbanan sebegini? Menerima  dengan rela hati dan bersabar dengan ujian yang ALLAH berikan? Adakah saya mampu menghadapinya? Adakah saya mahu dan mampu berkorban sedemikian? ALLAHU ALLAH. Sejujurnya saya merasakan saya masih tidak mampu. Ampunkan diri ini, Ya ALLAH. Jadikanlah diri ini mampu berkorban demi agama-MU, Ya ALLAH. Kuatkanlah iman dalam diri ini, Ya Rahman. Teguhkanlah diri ini menghadapi ujian-MU, Ya Karim. 

Bersamalah kita menghayati erti pengorbanan. Hidup ini tidak terlepas daripada pengorbanan. Semoga kita melakukan setiap pengorbanan itu dengan sepenuh hati, dengan rela hati demi mendapat redha ALLAH. Insya-ALLAH. 

Semoga kita mampu menjadi setabah Ibrahim, sekuat Hajar dan seteguh Ismail dalam melakukan setiap pengorbanan demi melaksanakan perintah ALLAH SWT. Insya-ALLAH.

Buat yang bergelar pelajar, 
Kita seorang pelajar.
 Jadi kita perlulah belajar dan melakukan tugas sebagai seorang pelajar. 
Jika tidak, apa guna kita bergelar seorang pelajar?

Buat yang bergelar pekerja,
Kita seorang pekerja. 
Jadi kita seharusnya bekerja dan melakukan setiap tanggungjawab kita sebagai seorang pekerja. 
Jika tidak, tiada guna kita bergelar pekerja bukan?

Buat semua yang bergelar hamba ALLAH, 
Kita seorang hamba ALLAH.
 Jadi kita hendaklah menunaikan segala perintah dan suruhan-NYA. 
Kita perlulah meninggalkan segala larangan-NYA.
 Kita seharusnya mengejar dan mencari redha-NYA. 
Jika tidak, apa guna kita bergelar seorang hamba ALLAH?

Apa yang telah jari jemari ini tulis ini bukanlah sekadar untuk memenuhi janji. 
Apa yang dicoretkan di sini bukanlah hanya untuk pembaca tatapi. 
Apa yang telah ditulis ini sebenarnya lebih kepada memperingati diri sendiri. 
Sesungguhnya diri inilah yang terlebih dahulu akan disoal nanti. 
Adakah kamu telah mengotakan setiap kata-katamu dan setiap tulisanmu, duhai diri? 
Tanggung dan jawablah di hadapan ALLAH nanti!

Semoga bermanfaat. Betulkan saya jika ada silap di mana-mana. Berat terasa tulisan kali ini. Berat dengan beban tanggungjawab. Moga ALLAH redha terhadap kita semua. Insya-ALLAH.

No comments: