Wednesday, October 3, 2012

Kamu Bukan Muhammad Al-Fateh. Dia Bukan Rabiatul Adawiyah.

Assalamu'alaikum wbt.

Rabu - hari terakhir bercuti. Korea menyambut Harvest Moon Festival atau dalam bahasa Korea dipanggil 추석 (Chuseok). Perayaan Chuseok yang juga merupakan Korean (version of) Thanksgiving Day disambut pada hari ke-15 bulan ke-8 mengikut kalendar Lunar. Tahun ini, Chuseok jatuh pada hari Ahad, 30 September 2012. Kebiasaannya cuti umum akan diberikan sehari sebelum dan sehari selepas Chuseok. Universiti  saya pula sudah bercuti sejak hari Jumaat lagi. Hari Selasa pula memang saya tiada kelas. Hari ini, Rabu, 3 Oktober 2012  pula, cuti sempena the National Foundation Day of Korea. Genap 6 hari saya bercuti.

Melihat pelajar Korea menarik beg besar masing-masing pada petang Khamis dan awal pagi Jumaat membuatkan saya sebak sendiri. Kalau di Malaysia, pastinya saya juga akan berbuat sedemikian. Cuti 6 hari kot. Mungkin inilah perasaan adik-adik  dan rakan-rakan saya di Malaysia saat tibanya cuti. Terasa seperti mahu terbang pulang ke Malaysia. Kalaulah Malaysia-Korea ini seperti Shah Alam-Pasir Puteh...Heh. Suka berkalau-kalaulah saya ni. Tak baik kan?

Alhamdulillah, cuti kali ini insya-ALLAH dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat. Banyak yang terjadi sepanjang cuti ini. Banyak benda yang saya dapat sewaktu libur kali ini. Banyak benda yang membuka mata saya. Banyak perkara yang membuatkan saya refleksi diri sendiri. Alhamdulillah.

Apa yang dapat saya simpulkan dari semua yang 'banyak' itu ialah 'Kamu bukan Muhammad Al-Fateh, Dia bukan Rabiatul Adawiyah.' Saya pasti, awak yang membaca pasti mempunyai pelbagai  asumsi saat membaca tajuk entry kali ini kan?

Takpe, tarik nafas. Hembus. Tenangkan diri sekejap. Tulisan saya kali ini bukan mahu menyalahkan sesiapa. Semua ini hasil daripada pengalaman, pemerhatian dan pembacaan saya sahaja. Mungkin ada yang tidak betulnya.

Saya ada membaca status FB Ustaz Hasrizal pada 27 September 2012 berkenaan dengan kuliahnya yang bertajuk Sarcasm / Al-Sukhriyyah Dalam Timbangan Akhlaq Islam dan reaksi anaknya Yop Saiful Islam berkenaan isi kuliahnya ini. Reaksi anak kecil berusia 10 tahun ini yang begitu terkesan dengan sarcasm, sehinggakan dia terus meluru ke arah abinya seusai saja kuliah berlangsung. Terus meluahkan apa yang dirasa. Sehinggakan dia menulis mengenai sarcasm ini di laman blognya yang masih baharu dan jarang update itu. Pada saya, ini menunjukkan bahawa sarcasm yang dirasainya itu cukup terkesan di jiwanya sampaikan dia mahu berkongsi dengan semua orang mengenainya.

Usai sahaja membaca status dan juga komen-komen di bawahnya, saya termenung panjang. Memutarkan kembali episod-episod hidup saya yang telah berlalu. Rupa-rupanya saya juga tergolong dalam orang yang suka melafazkan kesindiran ini. Huhu. Malu sendiri. Saya tidak tahu sama ada awak yang membaca pernah mengalaminya atau tidak. Dalam hidup saya, situasi sebegini selalu sahaja terjadi.

"Itulah, lain kali, cari dengan mata...bukan dengan hidung."
"Besar macam ni pun, tak nampak ke?"
"Mata letak kat mana? Kepala ke, kepala lutut?"

Huhu. Pernah mengalaminya? Saya pernah. Bahkan saya juga pernah melafazkan kata-kata seumpama ini. ALLAHU ALLAH. Betapa selama ini saya tidak sedar bahawa ayat-ayat sebegitu mampu sahaja menggores hati-hati yang mendengar. Walaupun ayat-ayat itu dilafazkan dalam bentuk gurauan sekalipun, pasti ia sedikit sebanyak mencalarkan juga hati-hati yang terlibat. ALLAH...betapa selama ini saya khilaf. Sekarang baharu saya sedar, kata-kata sebegitu termasuk juga dalam kesindiran yang tidak disukai oleh ALLAH dan rasul-NYA. Insya-ALLAH, selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam berkata-kata. Walaupun mengucapkan kata-kata sedemikian dengan niat untuk bergurau sahaja, niat itu tidak menghalalkan cara bukan?

Saya tersedar tentang sesuatu. Keterbiasaan kita mengakibatkan kita menganggap perkara sebegini perkara biasa yang tidak mungkin memberikan kesan dalam perhubungan dan kehidupan kita. Keterbiasaan ini yang mengakibatkan kita melihat perkara yang tidak berapa baik itu sebenarnya 'okay' sahaja. Tiada apa yang buruk pun. Biasa saja. Moga selepas ini kita berusaha untuk mengubah keterbiasaan yang tidak berapa bagus ini dalam pertuturan dan kehidupan kita. Insya-ALLAH.

Teringat kata-kata seorang junior sewaktu sesi perbincangan kami hari Sabtu yang lalu. "Kita biasakan yang betul. Kita betulkan yang biasa." Ayat yang agak catchy, saya kira. Namun sebaris ayat itu penuh dengan 'sesuatu'. Something to ponder.

Bertitiktolakkan sarcasm ini, selepas itu berturutan pula hal-hal yang berkaitan dengannya. Mungkin juga disebabkan kita ini sudah terbiasa dengan kesindiran dan pemerlian dalam menegur. Mungkin... Dalam kita tidak sedar, amalan sebegini melemahkan diri kita sendiri sebenarnya. Bukankah ALLAH telah memberikan manual kepada kita cara-cara untuk menegur yang betul? Bukankah Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik dengan mengaplikasikannya dalam kehidupan baginda?

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik..."
 [An-Nahl, 16:125]

Yang salah tetap salah. Saya tidak mengatakan bahawa kita boleh melepaskan si pesalah sewenang-wenangnya. Namun, menegur juga biarlah kena dengan caranya. Saya tahu, niat si penegur pastinya mahukan kebaikan. Saya tahu itu. Saya tidak menafikannya. Cumanya caranya saja yang tidak kena.


Dalam hal sebegini, saya kira kedua-duanya pun bersalah. Pada satu pihak, dia bersalah kerana dia telah buat salah - melanggar janji dan sebagainya. Perlulah sedar dan mengakui kesilapannya. Pada satu pihak yang lain pula, dia juga bersalah kerana tidak berhikmah dalam menegur. Sehinggakan membuatkan orang terasa hati dengan perbuatannya itu. Sampaikan perhubungan yang terjalin meretak. Dua-dua salah dan dua-dua patut mengakui kesalahan masing-masing. Dua-dua perlu perbetulkan kesilapan masing-masing. 

Apabila masing-masing sedar akan kesilapan, baharulah khilaf itu akan diperbetulkan. Mana mungkin dia akan memperbetulkan kesilapannya jika dia tidak tahu apa yang dibuatnya itu salah ataupun dia tidak merasakan bahawa apa yang dilakukannya itu tidak betul. Apabila situasi sebegini berlaku, pastinya mustahil untuk seseorang itu mengakui dan memperbetulkan apa yang silap. Make sense, right?


Kamu bukan Muhammad Al-Fateh. Dia bukan Rabiatul Adawiyah.
Masing-masing buat silap. Masing-masing tidak sempurna.
Namun, apa yang pasti...
Masing-masing sedang berusaha untuk menuju kesempurnaan.

Maafkan saya seandainya tulisan saya kali ini telah mengguris mana-mana hati yang membaca. Maafkan saya. Saya tidak bermaksud untuk berbuat sedemikian. Tulisan ini sekadar refleksi dari apa yang saya perhatikan, apa yang saya baca dan apa yang saya alami. 

Apa yang dapat saya simpulkan, kita seharus dan sepatutnya mengakui setiap kesalahan kita. Bukannya bersikap 'denying' - tidak mahu mengakui kesalahan sendiri dan merasakan diri sentiasa betul. Terkadang, kita merasakan kita selalu sahaja betul, sehinggalah kita disedarkan bahawa apa yang kita lakukan betul itu salah. 

Mohonlah kemaafan setelah sedar akan kesilapan yang dilakukan itu. Walaupun, kata-kata maaf itu sendiri sukar untuk kita lafazkan. Namun, cubalah untuk melafazkan empat huruf itu. Seperti mana sukarnya untuk melafazkan kemaafan, begitulah juga sukarnya untuk mendapatkan kemaafan. Namun, itu tidak bermakna kita tidak perlu mengakui kesilapan dan memohon maaf. Serahkanlah segalanya kepada DIA di atas sana. Hanya DIA yang memegang hati-hati manusia. Mohonlah moga kemaafan kita itu dimaafkan. 

Sungguhlah, saya yang menulis inilah yang akan dipersoalkan terlebih dahulu seandainya apa yang saya tulis dan perkatakan ini tidak saya amalkan dan terjemahkannya dalam kehidupan harian saya. Astaghfirullah hal 'azim. Moga ALLAH membimbing dan menjauhi saya daripada bersikap seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul ini. Dalam bahasa mudahnya, 'Cakap tidak serupa bikin'. Moga dijauhkan. Ameen. Insya-ALLAH. 

Seperti mana Imam Hassan Al-Banna yang tidak banyak berkata-kata dan tidak banyak menulis, namun mampu melahirkan anak-anak murid yang hebat dalam penulisan dan pintar berbahas, marilah kita sama-sama berusaha mencontohi beliau. Bagaimana beliau mampu melahirkan anak-anak murid yang hebat sebegini? Melalui akhlak dan keperibadian yang ditonjolkannya. Imam Hassan Al-Banna menterjemahkan segala-galanya melalui perbuatannya kemudian barulah melalui perkataan. Makna kata, orang sekelilingnya sudah melihat terlebih dahulu perilakunya lama sebelum dia mengucapkannya. Rasulullah SAW juga begitu bukan? Masyarakat Quraisy Mekah sudah lama mengakui akan kemuliaan peribadi baginda sehinggakan baginda digelar Muhammad Al-Amin lama sebelum baginda diangkat menjadi rasul lagi.

Saya mengingatkan diri saya sendiri dan semua yang membaca tulisan marhaen saya ini untuk menonjolkan akhlak mulia dan peribadi terpuji dalam kehidupan. Kita sama-sama berusaha ke arah itu. Insya-ALLAH. 


No one is perfect. That's why pencils have erasers. :')



No comments: