Showing posts with label Berubah. Show all posts
Showing posts with label Berubah. Show all posts

Saturday, September 24, 2011

Berubah 11

Faizi duduk bersandar di tepi dinding bersama gitar miliknya. Dibetulkan tuning pada tali gitar. Sudah lama dia tidak memegang gitar kesayangannya itu. Sibuk dengan pelbagai kerja dan tugasan yang diberikan oleh para pensyarah sehinggakan dia hampir melupai akan kehadiran gitar itu. Sudahnya gitar itu hanya tersadai di sudut bilik sejak hampir dua bulan. Semenjak dia menjejakkan kaki ke DMU ini.
             Berpuas hati dengan bunyi yang dihasilkan, jari jemarinya kasarnya mula berlari-lari di atas tali gitar menghasilkan bunyi yang indah.
             Hazril dan Aqil yang turut berada di dalam bilik ketika itu hanya memandang dirinya yang sedang memetik gitar itu. Mereka sedang menyiapkan tugasan C Programming bersama-sama. Tadi pun dia juga sedang menyiapkan kerja. Setelah siap, terasa ‘gatal tangan’ pula untuk memetik gitar kesayangannya ini.
             Dia punya misi sebenarnya. Dia mahu menyanyikan lagu ini kepada seseorang. Sudah puas dia memikirkan akan hal ini. Rasanya sekarang ini dia sudah benar-benar pasti dengan perasaannya sendiri.
             Alat perakam diambil dan tekan butang on. Perlahan bunyi dari gitar menghasilkan melodi serentak dengan suaranya menyanyikan setiap baris lirik lagu yang sudah pun dihafalnya.
Faizi mengalunkan lagu Terukir di Bintang yang dipopularkan oleh Yuna itu dengan sepenuh perasaan. Apa ingat orang lelaki tak boleh bawa lagu perempuan dengan baik ke?
Jika engkau minta intan permata tak mungkin ku mampu
Tapi sayangkan ku capai bintang dari langit untukmu
Jika engkau minta satu dunia akan aku cuba
Ku hanya mampu jadi milikmu pastikan kau bahagia
Hati ini bukan milik ku lagi
Seribu tahun pun akan ku nanti
Kan… kamu…
Sayangku
Jangan kau persoalkan siapa di hatiku
Terukir di bintang tak mungkin hilang cintaku padamu
Selesai!
Faizi tersenyum puas. Dimatikan rakaman suaranya tadi.
Hazril dan Aqil berpandangan sesama sendiri. Dagu Aqil diangkat sedikit bertanyakan kenapakah kawan mereka merangkap teman sebilik Hazril si Faizi ini jiwang sangat hari ni. Hazril mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Alamak aih… jiwangnya!” Hazril memberikan komen.
“Bahagia nampak…” Giliran Aqil pula bersuara.
Faizi hanya menayangkan senyum lebar.
Aqil menyusun kertas-kertas yang bertaburan di atas meja. Alat-alat tulis dan buku teks C Programming juga disimpan dan disusun elok-elok di sudut meja belajar milik Hazril. Dia kemudiannya bangkit dari duduknya. Kakinya dihalakan ke tempat Faizi bersandar ditemani gitarnya. Tangannya dihulurkan kepada Faizi meminta untuk memegang gitar milik kawannya itu.
Dengan wajah yang berkerut seribu Faizi akhirnya menghulurkan juga gitarnya kepada Aqil.
“Weh… kau nak buat apa?”
Hazril hanya memerhatikan gelagat kawan-kawannya. Dia juga tertanya-tanya apa yang mahu Aqil lakukan dengan gitar Faizi itu. Jangan dipatahduakan gitar kesayangan Faizi itu sudahlah.
“Nak mainlah. Apa lagi?” Keningnya dijungkitkan tinggi.
“Huh?”
“Kenapa? Tak percaya?”
Aqil melabuhkan duduknya di sebelah Faizi yang masih menayangkan wajah blur dan pelik itu.
“Kau nyanyi lagu Yuna, Terukir di Bintang kan tadi?”
Aqil memetik tali gitar sambil memandang Faizi di sebelah mahukan pengesahan.
“Yup.”
“Okey. Kali ni dengar pula Tak Terukir di Bintang.” Aqil mengangkat keningnya dua kali. Dia tersengih menyenget.
“Weh! Rosak lagu!”
“Dengar dulu… Meh, Mr. Aqil menyanyi pula…”
Aqil memetik gitar. Melodinya sama seperti yang dimainkan oleh Faizi tadi. Agak tergamam juga Faizi dan Hazril dibuatnya. Sama sekali tidak menyangka yang si Aqil ini mampu memetik gitar dengan baik.
Jika engkau minta intan permata tak mungkin ku mampu
Tapi engkau minta wang berjuta
Itu pun ku tak mampu
Jika engkau minta satu dunia
Lagi ku tak mampu
Terburai ketawa Faizi dan Hazril saat mendengar bait lagu yang dinyanyikan oleh Aqil itu. Faizilah yang paling kuat ketawanya.
“Weh! Serius rosak lagu Yuna tu!” Faizi menekan-nekan perutnya. Tak tahan gelak. Aqil hanya menayangkan muka selamba sambil meneruskan nyanyiannya.
Tapi ku mampu jadi imammu pastikan kau bahagia
Kali ini Aqil melebarkan senyumannya sambil menjungkitkan keningnya beberapa kali.
Hati ini hanya milik Ilahi
Yang berikan cinta, yang temukan aku dan …kamu
Sayangku,
Jika ujian datang dari Tuhan untukmu
Tak terukir di bintang segala jawapan
Doa pada Tuhan
Tak terukir di bintang segala jawapan
Cuba baca Al-Quran
Aqil menamatkan nyanyiannya sambil tersenyum. Hazril sudah reda ketawanya. Faizi masih lagi menekan-nekan perutnya. Terkekeh-kekeh dia menggelakkan Aqil. Bagaikan tidak percaya Aqil yang stok baik dan alim ini mampu menyanyi sambil memetik gitar. Siap ubah lirik lagu pula tu!
“Hebatlah kau Aqil! Macam mana boleh terfikir nak ubah lirik sampai macam tu sekali. Hah?”
             Faizi menepuk-nepuk bahu Aqil.
             “Tak adalah. Ini lagu parodi Mr. Bie. Aku tolong mainkan saja.” Aqil tayang giginya yang tersusun rapi sambil menunjukkan wajah selambanya.
             “Ooooh.” Tertipu rupanya. Tapi apapun Aqil masih cukup bagus dalam memetik gitar. Ada bakat terpendam rupanya budak Aqil ni.
             “Gelak. Gelak juga. Lirik tu yang kena hayati.”
             “Baiklah, ustaz!”
             “Yang kau tu… aku tengok memang menghayati lagu tu gaya macam nak propose orang pun ada.” Aqil menebak.
             “Errr…” Faizi garu tengkuknya yang tiba-tiba terasa gatal. Aqil ni mind-reader ke apa? Hampir tepat dan mengena tekaannya.
             “Kalau betul serius, terus jumpa wali dia weh!” Aqil menepuk-nepuk bahu Faizi yang gamam seketika. Kelu tidak mampu berkata apa-apa.

Saturday, July 9, 2011

Berubah 10



“Kak Nia, sayakan semenjak seminggu dua ni asyik rasa lemau saja. Nak buat semua benda pun malas. Nak baca Quran malas. Nak sunat malas. Nak baca al-Ma’turat pun malas. Pendek kata semua pun malaslah. Huhu. Apa saya kena buat ya? Saya tak mahu terus berada dalam keadaan macam ni.”
Khai yang sedang baring bermalas-malasan seusai bacaan al-Ma’thurat tadi terdengar perbualan Layyinah dan kak Nia di sudut surau. Mereka yang lain ada yang kembali ke bilik masing-masing untuk menyediakan sarapan. Kak Maryam dan Farhah juga lesap entah ke mana. Mungkin mereka pergi menolong menyiapkan sarapan. Khai ditugaskan untuk membancuh teh. Kak Nia dan Layyinah pula sedang mengemas surau.
Matanya dipicingkan sedikit ke arah Layyinah yang sedang menghadap kak Nia. Wajah itu kelihatan muram sekali. Dilihatnya kak Nia mengusap bahu Layyinah lembut. Senyum menguntum di bibir kak Nia.
“Hmm… Layyinah sepatutnya melawan perasaan malas itu. Semua itu godaan dan hasutan syaitan. Kak Nia percaya, Layyinah pun tidak mahu terus begitu bukan?”
Layyinah mengangguk lemah. Dari sinar matanya jelas kelihatan yang dia mahu melawan segala rasa malas yang hadir dalam dirinya sejak kebelakangan ini.
“Imam Tirmizi ada cakap, “Al iimaamu yaziidu wa yanqush. Iman itu bertambah dan berkurang. Iman itu ada naik dan turunnya. Yaziidu bittaa’ah, wa yanqushu bil ma’shiyah. Bertambah kerana ketaatan dan berkurang kerana kederhakaan.” Kak Nia percaya, Layyinah pun pernah dengar ayat ni kan?”
Lembut sahaja kak Nia menyusun bicaranya. Matanya menatap redup wajah Layyinah yang sudah berkaca-kaca matanya itu.
“Pernah.”
Pendek sahaja Layyinah menjawab pertanyaan kak Nia itu. Wajahnya ditundukkan. Sesekali dia menyeka air mata yang laju sahaja mengalir ke pipi.
Khai yang sedari tadi memerhatikan drama sebabak itu tersentuh hatinya. Tidak sedar matanya basah. Setiap patah kata yang keluar dari kedua ulas bibir kak Nia terasa bagaikan menusuk ke hatinya. Meresap masuk dan tersimpan kemas di sudut hati.
“Perasaan malas itu hadir hasil daripada bisikan syaitan. Jika kita terikut-ikut dengan bisikan syaitan itu, maka akan tersenyum lebarlah syaitan meraikan kemenangannya. Iya. Iman itu memang akan bertambah dan berkurang, Layyinah. Kak Nia pun sama juga dengan Layyinah. Masih lagi berusaha untuk terus menjadi baik dan lebih baik setiap hari. Untuk itu kita perlu melawan segala rasa malas yang hadir dalam diri. Kita perlu menepis setiap bisikan dan godaan syaitan itu. Biar syaitan menangis, meraung kerana tidak dapat menggoda kita.”
Kak Nia menarik nafas seketika. Bagaikan berat baginya untuk melafazkan kata. Matanya dipejamkan sebentar.
“Kita harus berdoa supaya ALLAH menghindarkan diri kita daripada segala perbuatan maksiat dan dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil. Jangan pernah percayakan diri kita yang kita boleh menghindarkan diri kita daripada melakukannya kerana hanya ALLAH-lah yang mampu menghindarkan kita daripada melakukan segala perbuatan maksiat dan dosa tersebut. Ingatlah bahawa syaitan itu amat licik sekali menggoda manusia. Mohonlah kepada ALLAH agar kita dihindarkan daripada godaan syaitan yang licik ini.”
Setiap ayat yang diluahkan itu seolah-olah suatu bisikan untuk diri kak Nia sendiri. Perlahan tetapi masih tetap jelas didengar oleh pendengaran Khai yang sedari tadi memasang telinga.
“Kita sama-sama berusaha melawan segala sifat mazmumah tu ya, Layyinah. Harapnya walaupun iman kita itu turun, tetapi iman itu makin meningkat naik lebih tinggi daripada sebelumnya selepas penurunannya. Insyaa-ALLAH.”
Dicapainya tangan Layyinah dan digenggammnya erat. Mahu menyalurkan sedikit kekuatan mungkin.
Perlahan Layyinah mendongak memandang wajah mulus kak Nia. Wajahnya sudah basah dengan air mata sejak tadi lagi. Kedengaran sendu halus. Dileraikan genggaman tangan kak Nia itu. Ditariknya kak Nia rapat dengan dirinya. Layyinah melampiaskan rasa terharunya di bahu kak Nia.
Khai yang melihatnya sebak sendiri. Sungguh, dia merasakan suatu kelainan. Beginikah yang dikatakan ukhuwah itu? Ikatan persaudaraan yang terjalin atas dasar iman? Farhah selalu juga menyebut tentang ukhuwah ini kepadanya. Waktu itu dia hanya mendengar sekali lalu sahaja. Sekadar masuk telinga kanan dan keluar ke telinga kiri. Tidak benar-benar menghayati. Namun kini, perbualan ringkas antara Layyinah dan kak Nia itu menunjukkan kepadanya apa itu ukhuwah. Persaudaraan atas dasar iman yang saling mengingatkan ke arah kebaikan.
“Terima kasih banyak-banyak ya, kak Nia. Jazakillahu khair.” Layyinah tersenyum sebak selepas meleraikan pelukannya. Basah jugalah bahu kiri kak Nia dengan air mata Layyinah.
Waiyyaki.” Kak Nia menyeka saki-baki air mata di pipi Layyinah. Senyuman manis terukir di bibirnya.
“Khai…” Kak Nia menggamit Khai supaya menghampiri mereka. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya.
Perlahan-lahan Khai bangkit dari baringnya. Matanya yang basah diseka. Dia menghampiri kak Nia dan Layyinah lalu duduk bersimpuh di sebelah kanan kak Nia.
“Alahai… merah dah mata dia.” Kak Nia memegang pipi Khai lembut. Mengusik dalam nada terharu. Senyum dalam sebak.
“Kita sama-sama berusaha menguatkan sesama sendiri ya. Kita saling mengingatkan dan saling menasihati ke arah kebaikan. Kak Nia pun masih banyak lagi yang pincang.”
Tangannya menggenggam erat tangan Layyinah dan Khai. Tautan tangan bertaut kejap. Anggukan kedua-dua ‘junior’nya itu makin melebarkan senyumnya. Air matanya menitis setitis lagi ke pipi. Jagalah hati-hati mereka ini, Ya ALLAH. Desis kak Nia di dalam hatinya.



“Air dah siap bancuh, Khai?”
Kak Maryam yang masuk sambil memegang 2 biji pinggan yang berisi sandwich telur itu sedikit memeranjatkan mereka. Tautan dileraikan.
“Belum lagi kak Maryam. Baru siap masak air.” Khai tayang sengih. Suaranya kedengaran sedikit sengau.
“Oh. Okey.”
“Eh? Kenapa merah mata ni? Suara pun sengau semacam saja.” Berkerut dahi kak Maryam. Pinggan yang dipegangnya diletakkan di atas kabinet dapur sebelum tangannya kalut menyentuh dahi Khai.
“Tak panas pun. Selesema ke Khai?” Prihatin sahaja kak Maryam bertanya.
Layyinah sudah memboloskan dirinya ke dalam bilik air. Kak Nia pula bangkit perlahan dari simpuhnya menghampiri kak Maryam.
“Eh? Mata Nia pun sama. Merah.” Makin berlapis kerutan di dahi kak Maryam. Tidak mengerti.
Kak Nia menarik perlahan kak Maryam ke sudut surau. Khai pula disuruhnya membancuh air.
Kak Maryam mengangkat keningnya ingin tahu apa yang telah berlaku.
“Sesi curhat tadi.” Ringkas sahaja kak Nia menjelaskan kepada kak Maryam.
“Oh.”
Melihat kak Nia mengulumkan senyum, dia pasti sesi luahan rasa itu pastinya baik-baik sahaja. Tiada apa yang perlu dirisaukan.
Lega. Ingatkan apalah yang terjadi tadi. Sampai siap dengan drama air mata segala. 


Monday, April 11, 2011

Berubah 9


Setibanya mereka di DMU, mereka disambut mesra oleh senior-senior yang sudah berada di sana. Mereka bersalaman kemudian menjamu selera. Semuanya mesra dan kelihatan seakan sudah lama kenal antara satu sama lain.Bersihnya wajah mereka.
Tenang dan damai rasanya dikelilingi insan-insan seperti mereka. Hatinya berdetak. Boleh ke aku jadi seperti mereka ini? Farhah pun selalu saja bercerita kepada fasal perkongsian mereka di dalam circle.
Tapi boleh ke aku yang macam ni nak join mereka yang macam tu? Dia ragu-ragu sendiri.
Diperhatikan ruang sekeliling surah al-Amin itu. Dengarnya tadi, surau ini dipinjam untuk party pada malam ini. Berkerut jugalah dahinya tadi kala mendengar party itu akan diadakan di surau.
Kak Maryam kata ada party. Apa ke namanya party macam ini? Pelik betul. Tak ada belon pun. Tak ada birthday cake pun. Makin berlapis-lapis kerutan di dahi Khai apabila memikirkan keadaan party yang memang berbeza sama sekali dengan sangkaannya ini.
Selesai makan dan mengemas, mereka solat maghrib berjemaah. Kemudian kak Maryam memberikan sedikit pengisian.
“Assalamu’alaikum buat semua. Macam mana nasi ayam tadi? Sedap tak? Pudding cocktail tadi okey tak? Semua dah kenyang kan?...”
Jeda.
 Kedengaran pelbagai suara riuh mahu menjawab soalan-soalan yang diutarakan oleh kak Maryam tadi.
“…Firstly, marilah kita sama-sama mengucapkan syukur pada ALLAH Yang Maha Esa kerana kita masih diizinkan-NYA untuk bernafas pada hari ini dan diberikan peluang untuk bertemu pada petang ini. Alhamdulillah. Akak tak ada apa pun nak cakap sebenarnya. Cuma akak nak kongsi sedikit hadis qudsi ini dengan semua orang.”
Kak Maryam memandang semua orang. Nampaknya masing-masing tertunggu-tunggu bicaranya. Setelah melihat semua orang bersedia untuk mendengar, kak Maryam menyambung.
“Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tuhan kita turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir dan berfirman, “Sesiapa yang berdoa kepada-KU maka AKU memenuhinya. Sesiapa yang memohon kepada-KU maka AKU akan memenuhinya. Sesiapa yang meminta ampun maka AKU ampuninya.”” (Riwayat al-Bukhari no.1094, Muslim no.1808, Abu Daud no.1317 dan lain-lain)
“Tentu adik-adik yang baru first time join party ni pelik kan? Apa akak ni. Kata nak buat party. Tapi tak macam party pun. Actually we are here today, not for celebrating someone’s birthday or welcoming party or else. We are here to our Al-Mighty - Celebrating HIM. Tapi sebenarnya DIA tak rugi apa-apa pun kalau kita tak ikut perintah DIA. Sebaliknya kita yang rugi. Nak dengar satu analogi tak?”
Kelihatan beberapa orang terangguk-angguk tanda mahu mendengar. Khai yang duduk di sebelah Farhah terpaku.
Speechless.
Macam tahu-tahu saja kak Maryam ini akan apa yang dia fikirkan tadi. Tidak perlu bertanya. Segala persoalannya sudah pun terjawab kini.
“Ada seorang kaya ni kan. Dia ada tanah yang luas. Dia benarkan sesiapa sahaja yang nak bercucuk tanam di tanah dia tu tanpa perlu bayar sewa tanah, tak perlu bagi separuh hasil tanaman ke apa ke. Bahkan tuan tanah tu pula bagi baja la, bagi peralatan bercucuk tanam la… pada semua petani tu. Lepas tu, dia siap cakap siapa yang rasa tak cukup ke nak minta apa-apa lagi ke… boleh saja minta pada dia.”
“Baiknya tuan tanah tu kak.”
Bankrupt la tuan tanah tu kalau macam tu.”
“Ada juga orang macam tu ya?”
Kak Maryam hanya tersenyum mendengar respon daripada semua yang hadir.
“Ha… macam itu jugalah dengan kita semua ni. ALLAH dah berikan kita keluarga yang bahagia, otak yang cerdik, badan yang sihat. Lepas tu DIA izinkan pula kita minta pada DIA dan DIA cakap DIA akan penuhi apa yang kita minta tu. Jadi, kita kenalah ambil peluang tu. Bukan senang kan nak dapat peluang macam tu. ”
Keadaan hening seketika. Ada yang menunduk. Ada yang termenung. Ada yang dah berkaca-kaca matanya. Khai masih tetap terpaku seperti tadi. Jantungnya berdetak kencang seolah-olah baru menamatkan larian pecut 100 meter.
“Berbalik kepada analogi tuan tanah dan para petani tadi. Jika petani tu kekurangan keperluan untuk bertani dan dia tak beritahu kepada tuan tanah, agak-agak dia akan dapat tak bantuan bajalah peralatanlah semua tu?”
“Tentulah tidak, kak Maryam.”
“Mana tuan tanah tu tahu kalau petani tu tak beritahu dia.”
“Petani tu kena mintalah dengan tuan tanah.”
Beberapa orang yang hadir bersuara meluahkan apa yang dirasa bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh kak Maryam. Masing-masing mempunyai pendapat yang tersendiri. Namun begitu, jawapan tersebut menjurus ke arah idea yang sama.
“Betul tu. Semua jawapan betul. Kenalah minta dengan tuan tanah kan. Boleh saja kalau tuan tanah mahu bagi, tetapi mungkin tidak kena dengan citarasa dan keinginan petani. Betul tak?”
“Betul.”
“Setuju.”
Serentak mereka bersuara. Meriah suasana. Kak Maryam tersenyum melihat gelagat semua yang hadir.
“Begitu jugalah hubungan kita dengan ALLAH SWT. DIA sudah menyuruh kita meminta kepada-NYA. ALLAH boleh saja berikan semua benda sekelip mata. Tetapi DIA suka untuk mendengar hamba-hamba-NYA merayu dan meminta kepada-NYA. ALLAH suka untuk melihat kita berusaha untuk mencari keredhaan-NYA.
 Di dunia ini, tiada yang percuma. Kita perlu berusaha dan berdoa untuk mendapatkan apa sahaja yang kita ingini. Gabungan usaha dan doa akan membuahkan kejayaan dalam apa sahaja perbuatan yang kita lakukan.”
Kak Maryam bangkit dari duduknya. Tangan kanannya mencapai marker lalu jari jemarinya berlari laju di atas papan putih yang terdapat surau al-Amin itu. Semua yang hadir tekun membaca setiap patah kata yang ditulis oleh kak Maryam.
USAHA + DOA = ORANG MUKMIN
USAHA + TANPA DOA = ORANG SOMBONG
TIADA USAHA + DOA = ORANG MALAS
             “Ini merupakan tiga jenis orang yang ada di dunia ni. Kitalah yang perlu membuat pilihan kita mahu tergolong dalam golongan yang mana. Mahu menjadi orang mukmin kah? Mahu menjadi orang sombong kah? Ataupun kita memilih untuk tergolong dalam kalangan orang yang malas? Pilihan terletak di tangan kita semua.”
Live well or live hell. You choose. And it’s you who decide whether the glass is half-full or half-empty.
Kak Maryam menuturkan bait-bait kata dalam novel Rooftop Rant karya Hlovate itu sambil memandang semua yang hadir. Dia menyudahi kata-katanya dengan tasbih kifarah dan surah al-‘Asr.
Kata-kata terakhir kak Maryam itu masih terngiang-ngiang di telinga Khai. Tanpa sedar bibirnya menuturkan.
I choose to live well and the half-full glass is mine.”
Farhah di sisi yang mendengar menoleh. Terkejut barangkali dengan kata-katanya. Mata Farhah berkaca. Lafaz syukur tidak putus-putus keluar dari ulah bibirnya. Senyuman bahagia dilemparkan buat kak Maryam yang masih di hadapan sana. Hanya mata mereka yang mampu berbicara. Seolah-olah memahami bahasa yang terpancar dari sinar mata masing-masing. Kak Maryam mengangguk memberikan sedikit keyakinan dalam diri.



Malam itu, mereka bangun qiam. Pertama kali dalam hidupnya Khai melakukan semua itu tanpa paksaan. Malam itu segala kekesalan dihamburkan keluar. Betapa dia bersyukur kerana masih diberikan kesempatan untuk ini. Terima kasih Ya ALLAH.
Seusai solat subuh, mereka duduk membentuk bulatan dan membaca al-Ma’thurat. Walaupun agak kekok tapi Khai berasa tenang setelah membaca bait demi bait doa tersebut. Farhah menghadiahkannya senaskhah al-Ma’thurat. Teringat dua, tiga hari lepas sewaktu sedang ber‘chatting’ dengan Faizi. Mereka ada berbual mengenai al-Ma’thurat ini. Hadiah pemberian Aqil kepada Faizi katanya.
AFaizi: Weh… nak tau tak?
I’m_khai: Apa?
AFaizi: Tadi Aqil bagi aku al-Ma’thurat….
I’m_khai: Al…what?
AFaizi: Al-Ma’thurat. Aqil cakap baca lepas Subuh dan lepas Asar.
I’m_khai: Oho… Dah tu, kau buat tak apa yang Aqil cakap tu? Ekeke
AFaizi: Macamlah kau tak kenal aku macam mana… Aqil tu kan budak stok alim. Aku mana main semua tu. Hoho.
I’m_khai: Ingatkan dah rapat dengan Aqil, Hazril semua tu…kotlah berjangkit.*wink2*
AFaizi: Ek’eleh… dia cakap orang…yang kau tu…sebilik dengan kak Maryam.. Baik dengan Farhah. Tak kena badi alim ke? Muahaha
I’m_khai: Hahaha…perli nmpak?
Sungguh, sebelum ini dia merasakan seperti dihempap batu apabila mengetahui yang dia sebilik dengan kak Maryam. Tapi kini… dia rasa sangat bersyukur dapat sebilik dengan kak Maryam, berkawan dengan Farhah. Teringat saat dia mengadu perkara tu pada Farhah sewaktu mula-mula masuk bilik dulu.
Farhah lantas bangun dan mengambil tafsirnya. Dia membacakan surah Al-Baqarah ayat ke-216.
“…..Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu,
dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu.
ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
[Al-Baqarah, 2:216]
Waktu tu dia masih lagi memberontak. Tidak mengendahkan kata-kata dan pujukan Farhah. Saat ini, dia benar-benar bersyukur. Sungguhlah ketentuan ALLAH itu indah. Hikmahnya memang tidak nampak terus di hadapan mata. Lama selepas itu baharulah terserlah hikmah setiap apa yang berlaku. Sekarang baharulah dia faham dan mengerti. Khai mengulumkan senyum kesyukuran.

Tuesday, November 23, 2010

Berubah 8


Yahoo…. Terasa mahu menjerit dan memberitahu semua orang yang hari ini tak ada kelas. Weekend. Macam la orang lain tu tak tahu yang hari ini hari Sabtu. Putus fius ke apa kau ni Khai? Boleh tidur puas-puas hari ni. Lepas saja solat Subuh tadi, terus dia tarik selimut balik. Kalau di rumah, mama mesti dah membebel bila anak dara dia yang seorang ini tidur selepas Subuh.
Ala… Relakslah. Di Malaysia, Subuh pukul berapa? Di Korea, Subuh pukul berapa? Sekarang ini masih lagi musim bunga. Walaupun sudah hampir di penghujung musim. Tidaklah terlampau awal waktu Subuhnya. Jika masuk musim panas nanti, memang waktu Subuh tersangatlah awal. Pukul 5 pagi matahari sudah terbit. Terang-benderang bagaikan sudah pukul 8 pagi. Sudahnya Khai terlena dibuai mimpi.
Terdengar sayup-sayup suara orang memanggil-manggil namanya. Ish… siapalah pula yang mahu mengacau tidur aku ni? Bukannya ada kelas pun hari ni.
“Khai… dah nak dekat Asar dah ni. Khai belum solat Zohor lagi kan? Bangunlah. Nanti terlepas pula waktu Zohor.” Jika tadi hanya suara yang kedengaran. Sekarang ini terasa kakinya disentuh perlahan. Kak Maryam memang selalu begitu. Dia akan mengejutkan orang yang sedang tidur dengan menyentuh hujung kaki orang itu. Katanya itulah cara yang terbaik untuk mengejutkan seseorang. Tapi memang betul pun. Setidak-tidaknya cara itu sesuai digunakan untuk mengejutkan seorang Nur Aufa Khairina yang sememangnya diketahui agak liat untuk bangun tidur ini. Huhu.
“Orang bangun la ni.” Lambat-lambat dia bangun juga. Kalau tidak difikirkan yang dia belum mendirikan solat Zohor lagi tadi, mahu sahaja dia terus menyambung tidurnya. Pastinya dia akan mengabaikan sahaja suara lembut itu.
Selesai sahaja dia memberi salam, kedengaran azan berkumandang daripada laptop Farhah yang terpasang. Ini mesti Farhah mahu pergi sekali ke DMU ni.
Farhah merupakan satu-satunya teman yang boleh bertahan dengannya sejak dari INTEC lagi. Sikap Farhah yang tidak mengambil kisah akan penampilannya itu membuatkan dia selesa berkawan dengannya.
Dia dan Farhah mula rapat sejak mereka sekumpulan semasa minggu orientasi lagi. Kemudian mereka selalu sekelas semasa belajar bahasa Korea di Language Education Institute, Seoul National University. Sekarang ini mereka menuntut di universiti yang sama pula. Cumanya mereka berlainan jurusan dan juga berlainan bilik.
“Jom, kita solat jemaah dulu. Farhah nak iqamah ke?” Kak Maryam menyoal Farhah yang baru mahu menyarungkan telekung.
“Apa kata hari ni Khai yang jadi imam, kak Maryam?” Farhah sudah memandang Khai sambil mengangkat keningnya dua kali. Jelas wajahnya beriak nakal.
“Saja nak kenakan kita ya, Farhah.” Laju sahaja tangan Khai dipanjangkan untuk mencubit lengan Farhah yang berdiri tidak jauh darinya.
“Kak Maryam la yang jadi imam…” Nada merengek manjanya sudah keluar. Dikerdip-kerdipkan matanya. Mesti kak Maryam cair. Hihi.
“Okeylah. Jom kita solat. Nanti lambat pula nak gerak ke DMU.” Akhirnya kak Maryam terpaksa mengalah. Biasalah. Kakak mesti kena mengalah dengan adik-adik, kan? Hehe.
“Khai, kita nak tinggal laptop kita di bilik Khai tau. Tadi ada discussion. Dah malas nak bawa naik ke bilik.”
Padahal tadi Farhah sudah pun memberitahu perihal yang sama kepada kak Maryam. Biliknya terletak di aras 6. Tak larat mahu memanjat tangga untuk ke biliknya di tingkat atas. Hendak menggunakan lif pun tidak boleh. Dia perlu menggunakan tangga juga untuk ke biliknya. Asrama yang mereka duduki ini mengasingkan lif untuk aras bernombor genap dan ganjil. Untuk itu, daripada bilik kak Maryam dan Khai yang beraras ganjil ini, dia tidak boleh menggunakan lif untuk terus ke biliknya. Tangga memanglah ada. Cumanya sekarang ini kemalasan melanda diri. Hihi.
“Letak sajalah Farhah oi. Macam tak biasa.” Khai menjulingkan matanya. Farhah yang melihat hanya tergelak kecil. Tahu yang Khai buat-buat menyampah dengannya.
“Farhah, seeloknya elakkanlah perkataan ‘malas’ tu ya. Apabila kita katakan malas pada diri kita sendiri, itu maknanya kita sudah meletakkan dalam diri kita sikap negatif itu. Farhah nak ke simpan sifat-sifat mazmumah tu banyak-banyak dalam diri? Tentu tak nak kan?” Kak Maryam menegur lembut. Farhah dipandangnya dengan renungan yang redup.
Laju sahaja Farhah menggelengkan kepalanya.
“Tak nak!”
“Jadi, kurangkanlah menyebut perkataan negatif itu ya, dik.”
Kak Maryam mengusap perlahan bahu Farhah sambil tersenyum manis. Farhah hanya mengganggukkan kepalanya. Kata-kata kak Maryam yang lembut itu mampu juga menerobos masuk ke dasar hati Khai. Terasa lain apabila mendengarnya.
Apa ke bendanya sifat mazmumah tu? Macam pernah dengar. Tapi lupa maksud dia. Khai tertanya-tanya sendiri. Sudah lama meninggalkan alam persekolahan membuatkan dia agak samar-samar dengan segala istilah bahasa Arab tersebut. Maklum sajalah, dulu belajar semata-mata untuk lulus peperiksaan. Habis sahaja peperiksaan, terus sahaja dilupakan segala apa yang dipelajari. Teruk sungguh! Huhu.
Dicuitnya sedikit lengan Farhah.
“Apa kak Maryam cakap tadi? Sifat maz…mu…mah..? Apa maksud dia?”
Dia berbisik pada Farhah. Bimbang didengari kak Maryam pula. Dia juga yang malu nanti.
Malu bertanya sesat jalan, Khai! Hati kecilnya membantah.
“Sifat mazmumah tu sifat-sifat yang buruk.”
Mulutnya membulat dan dia menggangguk tanda faham. Nantilah balik dari DMU nanti aku tanya lagi Cik Google. Semat Khai di dalam hati.
“Jomlah gerak. Dah lewat dah ni.”
Mereka bertiga bergerak seiring sambil menjinjit beg masing-masing. Terasa seperti dia sahaja yang agak pelik antara mereka bertiga ini. Apa tidaknya, bila ditoleh ke kanan kelihatan Kak Maryam sopan bertudung labuh dan memakai jubah seluar. Apabila ditoleh pula ke sebelah kiri, korneanya menangkap imej Farhah yang sopan sahaja berbaju muslimah dengan tudung yang agak labuh juga walaupun tudung itu tidaklah selabuh tudung yang dipakai oleh kak Maryam. Kemudian dia melihat pula pada dirinya sendiri. Dia sekadar memakai tudung yang hanya dipinkan pada leher sahaja dan memakai baby-T serta skinny jeans. Amat kontra sekali bila mereka bertiga berjalan bersama. Hanya dengan sekali imbasan pun orang sudah boleh perasan perbezaan di antara mereka bertiga.
             Namun, sepanjang dia berkawan rapat dengan Farhah, rakannya itu tidak pernah sekali pun menegurnya secara terus mengenai cara pemakaiannya. Begitu juga dengan kak Maryam. Sepanjang dia mengenali kak Maryam, tidak pernah dia mengesan kak Maryam memandang jelek terhadap dirinya. Layanan kak Maryam terhadap dirinya dan Farhah tidak ada bezanya. Layanannya sama rata sahaja. Hal ini membuatkan Khai selesa bergaul dengan mereka.