Showing posts with label peringatan. Show all posts
Showing posts with label peringatan. Show all posts

Tuesday, December 11, 2012

Penampilan Mesti Kena Jaga

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. ALLAH izinkan saya dan kita semua menghirup udara-NYA pada pagi Selasa yang dingin ini. Suwon pagi ini berada 13 darjah Celcius di paras beku (Baca : -13 degree Celcius). Burrrr.......Sejuk sekali. 

Mahu bangkit solat Subuh pun terasa bagaikan selimut menarik-narik untuk menyambung tidur kembali. Benar-benar memerlukan mujahadah yang kuat untuk menyisihkan selimut ke tepi dan terus bangkit mengambil wudhuk untuk berjanji temu dengan Rabbul Izzati. 

Pagi ini usai Subuh dan membaca al-Ma'thurat, saya bermalas-malasan sekejap di atas katil. Alahai. Sungguhlah syaitan itu benar-benar penggoda yang licik. Mahu juga ditariknya saya kembali merebahkan diri di atas katil dan berselubung di bawah selimut tebal bagi menghangatkan diri daripada digigit kedinginan pagi musim sejuk. 

Minda sedar saya mengingatkan minda bawah sedar supaya jangan tertidur. Sejak semalam lagi sudah merancang pagi ini mahu turun sarapan di bawah. Jadinya apabila jam pada telefon pintar menunjukkan hampir pukul 8.30 pagi saya terus bangkit dari katil, mengemaskannya dan bersiap-siap untuk turun ke bawah. 

Setelah mengambil makanan, saya mengambil tempat di satu kerusi dan menikmati sarapan pagi sambil memerhati orang yang keluar masuk daripada dewan makan asrama. 
Saya kira memerhati orang ini sudah bagai satu hobi. Sudah menjadi suatu kebiasaan dalam diri.  

Entahlah. Saya tidak pasti aktiviti memerhati sebegini baik atau tidak. Tapi sungguh. Saya terhibur melihat pelbagai gelagat dan telatah orang di sekeliling saya. Terkadang, saya tertanya-tanya sendiri, adakah saya akan melakukan seperti apa yang mereka lakukan? Secara tidak langsung saya merefleksi diri saat melihat pelbagai kerenah manusia ini.

Apa yang saya perhatikan, sejak dahulu lagi sebenarnya, orang Korea ini akan turun bersarapan dengan berpakaian tidur yang memang selamba yang amat. Memang mudah sangat untuk mengesan yang mereka ini, sebaik sahaja bangun dari tidur terus turun untuk bersarapan. Suara pun masih serak-serak basah lagi! Macam orang mamai pun ada juga. 

Jarang dilihat pada waktu sarapan pagi sebegini yang berpakaian kemas dan seperti yang kita selalu jumpa pada kebanyakan waktu. Jangan tidak tahu, orang Korea ini amat kemas dan menjaga penampilan mereka saya kira. Namun, apabila tiba saat bersarapan pagi sebegini, lain pula suasananya. 

Pada satu sudut, saya nampak, mereka ini tidak hipokrit. Tidak menyembunyikan diri. Biasalah, baru bangun tidur kan? Mestilah keadaan agak kusut-masai dan tentulah tidak sekemas biasa. Semua orang pun begitu. 

Pada suatu sudut yang lain pula, saya terfikir, hmm... kita yang muslim ini, terutamanya yang perempuan, memang akan bersiap jugalah walaupun sekadar ala kadar sahaja sebelum keluar dari bilik. Jadi, secara tidak langsung, penampilan kita menjadi lebih kemas jika hendak dibandingkan dengan orang Korea ini. Itu apa yang saya fikir dan rasalah kan...

Pagi ini saya ditegur oleh seorang kawan usai sahaja kami sarapan bersama. 

Katanya, "Ada kelas ke lepas ni, Nadzipah?"

"Hari ni tak ada kelas." Senyum.

"Oh. Tengok gaya macam nak pergi kelas. Dengan blousenya.... skirt lagi!" Dia gelak kecil di akhir ayat.

Saya sekadar senyum. Tak tahu mahu kata apa. 

"Kami ni pakai biasa-biasa saja. Seluar tidur lagi ni ha! Tak adanya nak bersiap bagai. Ni macam dah mandi pun ada!"

Haha. Kali ini saya tergelak. Amboi! Perli nampak! Haha.

"Penampilan mesti kena kemas sentiasa!" Saya katakan padanya sambil tayang senyum yang melebar. 

Okay. Nampak tak apa yang mahu saya sampaikan? Hihi. Gaya macam bagi pop kuiz saja.

Kita ini, walau di mana pun kita berada, penampilan mesti kena jaga. 
Biarlah wajah kita tidak cantik dan tidak kacak sekalipun. Tidak mengapa. 
Yang penting, biarlah kemas dan rapi sentiasa.
Barulah orang senang melihat kita. 

Sedar tak? 
Sebenarnya bila kita menjaga penampilan kita...
Kita sentiasa dalam keadaan kemas...
Secara tak lansung orang akan rasa kita cantik dan kacak...

Eh? Betul ke begitu?
Tak percaya?
Rasa tak yang orang yang berpakaian seragam itu kacak dan macho?
Adakah mereka semua itu mempunyai wajah yang tampan?

Oh, sama sekali tidak!
Habis tu, apa yang membuatkan kita rasa mereka ini kacak lagi bergaya?

Kerana...mereka menjaga penampilan mereka.
Rambut mereka pendek dan kemas.
Pakaian mereka dijaga rapi. 
Itulah hasilnya apabila kita sentiasa kemas dan menjaga penampilan.

Lebih-lebih lagi, kita ini orang Islam.
Kita ini orang yang buat dakwah.
Sepatutnya kita lebih faham daripada orang biasa.
Sepatutnya kita perlu lebih kemas dan lebih menjaga penampilan.

Kerana apa?
Kerana kita tahu yang ALLAH itu cantik dan DIA sukakan kecantikan.
Kita tahu yang di dalam 10 Muwasafat Tarbiyah itu ada Qawiyyul Jismi (Sihat tubuh badan) dan Munazhzhamun fi Syu'unihi (Teratur urusannya).

Bukankah semua itu menuntut kita untuk menjadi seorang yang kemas, 
rapi dan menjaga penampilannya?
Bukankah kita mahu menjadi qudwah hasanah (contoh ikutan) semua?
Dari itu jangan salahkan orang apabila ada yang memandang jelek pada kita.

Duhai sahabat dan sahibahku...
Duhai ikhwah dan akhawat fillah...
Lihatlah penampilanmu...
Rapikan dan kemaskan sosokmu...
Itu lebih baik untukmu...
Orang yang memandang pasti senang melihatmu
Penampilanmu yang terjaga itu akan membuatkan orang senang denganmu
Nur keimanan juga pasti akan lebih terserlah dari dirimu
Moga pancaran cahaya itu mampu menerobosi hati-hati yang memandangmu.
Insyaa-ALLAH.






Tuesday, November 20, 2012

Istimewanya Muharram 1434H Ini

Assalamu'alaikum wbt.

Lewat perbualan telefon dengan Ummi pada hujung minggu lepas, Ummi mengingatkan kepada saya supaya berpuasa hari as-Syura (10 Muharram) dan berpuasa sama ada sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya. 

Kemudian saya katakan kepada Ummi yang saya sebenarnya mahu berpuasa pada 9, 10 dan 11 Muharram. Azam saya, saya mahu berpuasa pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad ini. Kemudian baru teringat, eh, hari Khamis juga biasanya saya berpuasa. Isnin juga. 

Terus saya beritahu Ummi, "Maknanya, kakak akan puasa 5 hari berturut-turutlah ni, Ummi."

"Kalau tak larat, tak payahlah puasa hari Ahad tu." Balas Ummi.

Saya tercongak-congak sendiri. "Tak  apalah. Kakak 'try'lah puasa straight 5 hari tu. In syaa ALLAH."

Usai sahaja perbualan dengan keluarga, saya terpaku melihat perkongsian seorang sahabat di laman Facebook. 



Eh? Sebelum ini saya tidak perasan pun yang tanggal 27, 28 dan 29 November ini merupakan hari-hari putih ataupun dikenali sebagai Ayyamul Bidh.

Dari Qatadah bin Milhan ra. yang menceritakan: "Rasulullah SAW memerintahkan kami supaya berpuasa pada hari-hari putih iaitu hari ke-13, 14 dan 15 di mana baginda bersabda: "Berpuasa pada ketiga-tiga hari itu seumpama berpuasa sepanjang masa." 
[Hadis Riwayat Abu Daud]

Kiranya, puasa pada hari Isnin dan Khamis ini seperti yang kita ketahui menjadi amalan Rasulullah. 

Dari Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Segala amal dibentangkan (oleh malaikat ke hadrat ALLAH) pada setiap hari Isnin dan Khamis, oleh itu aku suka amalku dibentangkan semasa aku sedang berpuasa." 
[Hadis Hasan Gharib - Riwayat Tirmizi]

Berpuasa pada bulan Muharram pula merupakan puasa yang paling afdal selepas puasa bulan Ramadan  dan ganjaran berpuasa sehari di dalam bulan Muharram mendapat pahala seperti 30 hari.  

Daripada Abi Hurairah RA, telah bersabda Rasullullah SAW yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan 
seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam." 
[Riwayat Muslim]


Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan 
sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram 
maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari."
 [Dikeluarkan oleh al-Tabrani]


Tidak lupa berpuasa pada hari as-Syura pula in syaa ALLAH dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.





Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)

Daripada Abi Qatadah RA bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: 
"Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." 
[Riwayat Muslim]
Puasa hari Tasu'a (9 Muharram)

Ia disunatkan, walaupun Rasullullah s.a.w. tidak sempat mengerjakannya, bagaimanapun
 baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, 
aku akan berpuasa pada 9 Muharram." 
[Riwayat Ahmad dan Muslim]


Subhana-ALLAH! Masya-ALLAH! ALLAHU AKBAR! Muharram 1434H kali ini, ALLAH memberikan peluang kepada kita semua untuk merebut sebanyak mungkin ganjaran yang telah DIA janjikan. 

Apa yang ditunggu lagi wahai sahabat sahibah sekalian? Ayuh! Bersama kita merebut peluang keemasan ini. Semoga kita diberikan kesempatan oleh ALLAH untuk melaksanakannya. In syaa ALLAH. 

Peluang sebegini hanya datang sekali-sekala sahaja. Peluang yang ada di hadapan mata sebegini jika kita lepaskan, mungkin kita tidak akan berpeluang menemuinya lagi pada masa akan datang. Mungkin sahaja ini peluang terakhir kita sebelum kita dijemput menemui-NYA. Siapa tahu kan? Soal ajal maut segalanya ada pada tangan Yang Maha Khaliq. 

Nota 1: Teruskan berdoa, menyumbang, qunut nazilah, mengikuti dan berkongsi perkembangan saudara kita di Gaza sana. Tidak lupa juga saudara kita di Syria, Rohingya dan di seluruh dunia. Doakan mereka. Doa kita amat bermakna buat mereka. In syaa ALLAH.

Nota 2: Berusahalah supaya ALLAH tidak menghijabkan doa kita. Bersama kita perbaiki diri ke arah kebaikan. Bersama kita mengislah diri ke arah menjadi individu muslim yang soleh dan musleh. 

"Mahu berubah, tidak semestinya perlu berkahwin terlebih dahulu. Mahu berkahwin, pastinya perlu berubah. Sebabnya kitalah yang akan mencorakkan 'masjid' yang dibina." 

Nota 3: Kesindiran itu makin melukakan hati. Berterus teranglah, berlemah lembutlah dalam menyampaikan kebaikan. Sifat seorang dai'e itu adalah seorang yang pemujuk bukannya pengutuk. Seorang dai'e itu adalah bersikap membina jambatan dan tautan bukannya membina tembok pemisah. Dai'e itu bertindak mengajak bukannya mengajar. 

Tuesday, November 13, 2012

Esok Hari Terakhir Bagi Tahun 1433H. Jom Baca Doa Akhir dan Awal Tahun~!

Assalamu'alaikum wbt.

Hari ini 28 Zulhijjah 1433H. Esok 29 Zulhijjah 1433H. Lusa 1 Muharram 1434H.

Omo! Sudah mahu masuk tahun baharu hijrah rupanya. Sekejap sungguh masa berlalu. Pagi, petang, malam. Bertambah satu hari lagi. Bulan menghilang berganti matahari. Bertambah satu hari lagi.

Esok merupakan hari terakhir bagi tahu 1433H. Lusa kita akan melangkah ke tahun baharu 1434H pula. Jom, kita sama-sama membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun petang esok. Yuk!

Doa Akhir Tahun
- Dibaca selepas Asar pada hari terakhir Zulhijjah sebanyak 3 kali.
- Sesiapa yang membaca doa akhir tahun ini, syaitan akan berkata, "Sia-sialah kerja aku menggoda kamu selama setahun ini."

Doa Awal Tahun
- Dibaca selepas Maghrib pada malam pertama Muharram sebanyak 3 kali. (Waktu Maghrib pada akhir Zulhijjah itu sudah dikira sebagai malam pertama Muharram)
- Sesiapa yang membaca doa awal tahun ini, ALLAH akan memelihara dirinya daripada godaan syaitan sepanjang setahun itu. Insya-ALLAH.


Semoga setahun yang kian berlalu ini dirahmati dan diredhai ALLAH. Semoga tahun yang akan mendatang ini juga kita diberkati-NYA. Insya-ALLAH.

Nota 1: Hati ini berbunga-bunga riang kala ini. Bingkisan rindu dari insan kesayangan telah menceriakan hari saya. Terima kasih banyak-banyak. Jazakillahu khairan^^

Nota 2: Saya berjanji mahu berkongsi mengenai amalan awal Muharram kan? Maaf, masih belum berkesempatan untuk menulis mengenainya. Insya-ALLAH esok saya akan update.

Masih bertungkus-lumus menyiapkan bahan untuk presentation The Veil (Hijab) pada hari Khamis nanti. Doakan. Berdebar dan gemuruh jadinya apabila mengenangkan hari presentation nanti.

Monday, September 17, 2012

Spread The Love

Assalamu'alaikum wbt.

Seminggu ini kita dikejutkan dengan filem Innocence of Muslims. Sebuah filem garapan Sam Bacile yang menghina Rasulullah SAW. Umat Islam di seluruh dunia memberikan reaksi terhadap pengeluaran filem ini. Hal ini juga mengakibatkan kemarahan masyarakat Islam di Libya dan Mesir. Pegawai kedutaan Amerika Syarikat di Libya diserang dan pejabat kedutaan Amerika Syarikat di beberapa negara Islam yang lain juga diserang. Itu reaksi umat Islam setelah diprovokasi.

Persoalannya di sini, bagaimanakah sepatutnya kita sebagai seorang Muslim bereaksi terhadap hal-hal sebegini? Adakah betul tindakan yang telah kita lakukan dengan menyerang pejabat-pejabat kedutaan Amerika Syarikat itu? Lau kaana bainana...Seandainya Rasulullah SAW ada bersama kita pada hari ini, adakah baginda menyukai reaksi kita itu? Adakah baginda akan tersenyum melihat tindakan kita?

Marilah sama-sama kita telusuri kisah Rasulullah SAW sewaktu di awal permulaan dakwah Islam pada zaman Mekah.

Kisah Rasulullah dan penduduk Thaif.
Rasulullah dilemparkan dengan batu sewaktu berdakwah di Thaif. Badan baginda habis berlumuran darah. Tindakan penduduk Thaif itu mengundang cadangan malaikat yang mahu memusnahkan penduduk Thaif dengan meruntuhkan gunung Thaif. Namun Rasulullah menolak tawaran malaikat itu. Baginda malah mengangkat tangan dan berdoa kepada ALLAH, "Semoga ada dalam kalangan mereka termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman." Dan, doa baginda itu dimakbulkan ALLAH. Lama selepas itu, penduduk Thaif telah memeluk agama Islam.

Kisah Rasulullah sewaktu Fathu Mekah
Sewaktu baginda bersama 100,000 umat Islam yang lain bergerak masuk ke Mekah, seluruh penduduk Mekah lari menyembunyikan diri. Kemudian apabila baginda memanggil mereka untuk berkumpul. Mereka sekarang ini telah bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk menerima sebarang keputusan daripada Rasulullah. Namun sebaliknya yang berlaku. Baginda tidak mengenakan sebarang tindakan kepada penduduk Mekah, baginda malah memaafkan dan membebaskan mereka seterusnya mendoakan semoga ALLAH mengampuni segala kesalahan penduduk Mekah selama ini.

Kisah Rasulullah dengan seorang tua
Jalan-jalan yang nabi selalu lalui pasti akan dipenuhi dengan duri-duri yang melukakan kaki baginda. Setiap hari pasti Rasulullah SAW akan berdepan dengan perkara yang sama. Baginda tidak pernah merungut. Pada saat dan ketika yang sama juga, baginda tidak pernah terlupa untuk memberikan makanan kepada seorang tua yang buta. Baginda bukan sahaja menyuapkan, malah menolong mempermudahkan orang tua itu untuk mengunyah dan menghadam setiap makanan yang baginda berikan. Keadaan ini berterusan sehinggalah Rasulullah SAW wafat. Kemudian, Saidina Abu Bakar meneruskan perbuatan mulia ini. Namun, orang tua itu berkata, "Kamu ini bukan orang yang selalu memberikan aku makan. Ke manakah dia?" Orang tua ini merasai perbezaannya kerana Saidina Abu Bakar hanya menyuapkannya makanan, beliau tidak mempermudahkan orang tua ini untuk mengunyah dan menghadam. Lalu jawab Saidina Abu Bakar, "Rasulullah telah wafat." Maka menangislah orang tua tersebut. Lalu dia menceritakan bahawa dialah yang selama ini yang meletakkan duri-duri di sepanjang jalan yang Rasulullah lalui.

Itu antara kisah yang menunjukkan keperibadian Rasulullah SAW. Ada banyak lagi kisah yang menampakkan sosok kepimpinan, kemuliaan dan peribadi mulia Rasulullah SAW. Baginda malah merupakan Al-Quran bergerak. Betapa di sini, ingin menunjukkan bahawa baginda berperibadi Al-Quran. Masya-ALLAH.

Kewafatan baginda ditangisi para sahabat. Manakan tidak, baginda sepanjang hidupnya merupakan seorang pemimpin yang berkaliber dan berdedikasi, suami yang penyayang, bapa yang pengasih, datuk yang baik, sahabat yang memahami....Baginda masih lagi sempat membantu isteri-isteri menguruskan rumah tangga walaupun ketika menerajui negara dan menganggotai peperangan. Baginda masih lagi boleh melayan isteri, mendidik anak-anak dan bergurau mesra dengan cucu-cucunya walaupun disibukkan dengan pelbagai urusan negara dan kepimpinan. Betapa hebatnya keperibadian baginda.

Jika ditelusuri setiap kisah-kisah ini, kita tidak akan berjumpa walau satu pun kisah yang menunjukkan Rasulullah SAW membalas keburukan dengan keburukan. Rasulullah malah mendoakan mereka yang melakukan keburukan itu dengan kebaikan. Itulah keperibadian Rasulullah - yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk umatnya. Yang sentiasa mengingati umatnya sehingga ke saat-saat terakhir nafasnya. Bibirnya masih lagi menyebut "Ummati...ummati...ummati..."

Bagaimana pula dengan kita pada hari ini? Kita sebagai orang Islam, umat nabi Muhammad SAW, adakah kita mencontohi keperibadian dan perlakuan Rasulullah SAW ini?

Sesiapa sahaja yang apabila diprovokasi pasti akan mencetuskan amarah. Saya pasti itu. Namun, tariklah nafas sebentar, berfikirlah sejenak sebelum bertindak balas atau memberikan sebarang reaksi. Fikirkanlah dahulu baik buruknya tindakan yang akan kita lakukan itu. Keburukan tidak seharusnya dibalas dengan keburukan juga. We need to be reflective not reactive.

Sesuatu harus dilakukan. Kita perlu membuka mata seluruh penduduk dunia. Kita sebagai seorang Muslim perlu memahamkan dan menunjukkan kepada semua apa itu Islam yang sebenar. Kegiatan dakwah perlu diperhebat. Usaha menyampaikan Islam perlu diperhebat. Ya! Itulah yang seharus dan sepatutnya kita lakukan.

Biar semua orang tahu, Islam itu damai dan mendamaikan. Islam itu bukan sekadar di lapisan kulit semata-mata. Islam itu sudah mendarah dan mendaging di dalam diri setiap yang bergelar muslim. Spread the love. Kita mahu semua orang merasai apa itu Islam yang sebenar. Perhebatkan usaha, biar semua orang dapat melihatnya. Kita umat Islam tidak perlu mudah melatah. Kita seharusnya membuktikan bahawa apa yang mereka canang-canangkan tentang Islam itu tidak benar.

ALLAH matlamat kita...
Rasulullah SAW ikutan kita...
Al-Quran petunjuk hidup kita...

Spread the love. Sebarkan rasa cinta dan kecintaan kepada ALLAH, Rasul-NYA dan agama-NYA. Moga-moga dengan usaha penyebaran ini, tidak akan ada lagi kes seperti pengeluaran filem yang menghina Rasulullah ini. Semoga dengan penyebaran ini, akan lahirlah golongan yang mahu membangkitkan kembali zaman kegemilangan Islam. Insya-ALLAH.

Tuesday, September 11, 2012

Bilakah Pula Masa Kita?

Assalamu'alaikum wbt.

Pada 3 September 2012, saya dikejutkan dengan berita kemalangan pelajar Malaysia di Rusia. Dua orang daripada mereka meninggal dunia dan lima orang lagi cedera parah. Saya mendapat tahu mengenai berita ini di group FB yang dipos Puan Dina; pegawai PPL Korea supaya kami sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku. Kemudian pada keesokan harinya, boleh dikatakan hampir kesemua akhbar atas talian membicarakan perihal ini.

Barulah jelas, mereka sebenarnya baru pulang dari bercuti di Malaysia. Pada mulanya saya fikir mereka baru pulang dari bercuti di mana-mana - melancong ke tempat-tempat menarik pada cuti musim panas. Terkaku sekejap setelah mengetahui duduk perkara yang sebenar. ALLAHU ALLAH. Kiranya mereka ini macam saya dan rakan-rakan yang lainlah. Baru sahaja tiba di negara pengajian untuk meneruskan pengajian setelah menghabiskan cuti musim panas di Malaysia. Kemudian, mengalami kemalangan dalam perjalanan ke tempat-tempat pengajian. ALLAH...

Beberapa hari yang lepas, apabila membicarakan kisah ini, suasana tiba-tiba menjadi hening. Seolah-olah tidak kedengaran alunan muzik yang diperdengarkan di dalam Caffe Bene. Masing-masing kelihatannya sedang merefleksi diri. Mana tidaknya, mereka itu sebaya dengan kami dan ada di antara mereka itu merupakan kenalan kami - schoolmate.

Betapa mulianya mereka yang meninggal itu kerana meninggal dalam perjalanan untuk menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu kan salah satu ibadah. Menuntut ilmu juga satu jihad. Beruntungnya mereka. 

Teringat hadis tentang niat.

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat 
dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan...." 
[HR Bukhari dan Muslim]

Sebab itulah kita disuruh untuk sentiasa memperbaharui niat kita. Pastinya kita tidak akan lari jauh dan sentiasa kembali ke arah yang betul setelah memperbaharui niat, bukan? 

"Katakanlah, "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu DIA beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.""
 [Al-Jumu'ah, 62:8]

Itu janji ALLAH. Ajal pasti akan menjemput kita. Ajal maut itu tidak mengenal usia. Yang muda, yang tua, semuanya akan meninggal dunia. Dua pelajar medik Rusia itu telah menemui Yang Maha Pencipta dalam keadaan yang diredhai-NYA - dalam perjalanan menuntut ilmu. Bagaimana pula dengan kita? Bilakah akan tiba masa kita pula? Hanya DIA Yang Maha Mengetahui sahaja yang tahu. 

Namun, adakah kita mahu duduk-duduk sahaja menunggu malaikat Izrail menarik nyawa kita tanpa apa-apa usaha bagi meraih redha-NYA? Tentu tidak bukan? Pastinya kita juga mahu menghadap Ilahi dengan wajah yang tenang dan penuh dengan senyuman. Untuk itu, kita perlulah melakukan segala suruhan-NYA dan meninggalkan segala larangan-NYA. Kita perlu melunaskan tanggungjawab yang diberikan oleh Rabbul Izzati; menjadi khalifah di muka bumi dan beribadah kepada-NYA. Semoga dengan segala amal ini kita bakal pergi menemui-NYA di dalam redha-NYA. Insya-ALLAH.

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada ALLAH. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya), agar ALLAH memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenarannya, dan mengazab orang munafik jika DIA kehendaki, atau menerima taubat mereka. Sungguh, ALLAH Maha Pengampun, Maha Penyayang."
 [Al-Ahzab, 33:23-24]


Ayat di atas ALLAH tujukan khas kepada orang-orang mukmin. Dalam perjuangan mereka menegakkan agama ALLAH dan mencapai redha-NYA, ada yang meninggal dan ada yang di dalam waiting-list; menunggu masa untuk dijemput Ilahi. Namun, walau apapun keadaan mereka, mereka tidak pernah mahu mengubah janji mereka terhadap ALLAH. Janji apa? Janji untuk menegakkan agama ALLAH. Janji untuk menyampaikan Islam kepada seluruh umat.

Adakah kita tergolong dalam golongan ini? Yang gugur di dalam perjuangan? Yang bakal gugur di dalam perjuangan? Hanya DIA yang tahu. Semoga, kita juga tergolong dalam kalangan orang mukmin yang menepati janjinya kepada ALLAH. Insya-ALLAH.

Nota 1: Kematian itu merupakan suatu peringatan kepada kita yang masih hidup. Masa mereka sudah tiba. Bilakah pula masa kita? Untuk itu, saya menasihati diri saya dan semua yang membaca, bersama-samalah kita bersedia menghadapi sakaratul maut. Insya-ALLAH.

Nota 2: Perbetulkan niat. Perbaharui niat. Setiap apa yang kita lakukan ini sentiasa dicatat. Ajal itu bakal menemui kita bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Semoga saat kita dijemput menghadap Ilahi nanti, kita dijemput dalam keadaan yang diredhai-NYA. Insya-ALLAH.

Thursday, March 8, 2012

Menghargai Dan Dihargai

Assalamu'alaikum wbt.

Sekarang masih 8 Mac lagi kan? Selamat Hari Wanita Antarabangsa buat semua yang bergelar wanita. *Tapi kalau dah masuk 9 Mac pun, boleh je kan wish? Setiap hari kita perlu hargai diri kita kan?* Peliharalah diri dan aurat kita kerana kita adalah anugerah yang tidak ternilai harganya. =) (Dok taip-taip, dah masuk 9 Mac..takpe la..kita perlu menghargai diri kita setiap masa setiap ketika. Kerana dirimu begitu berharga. :p)

Buat kaum Hawa, hargailah dirimu. Periharalah dirimu seperti mawar merah yang mampu mekar mewangi kerana dilindungi oleh duri-durinya tajam. Gerun sang serangga dan sang kumbang mahu mendekati dek takutkan durinya yang tajam itu. Jangan pernah membiarkan maruah dan harga dirimu dipijak dan dilanyak sewenang-wenangnya.



Buat kaum Adam, hargailah wanita-wanitamu. Hargailah ibumu. Hargailah kakak dan adikmu. Hargailah isterimu. Pelihara dan jagalah mereka sebaik-baiknya. Jangan biarkan mawar merah yang sedang mekar mewangi di taman laranganmu dihinggapi kumbang jalanan yang bakal merosakkan kecantikan dan keindahan mawarmu.

Eh, sebenarnya saya nak cakap pasal 'Menghargai dan Dihargai' ni. Tapi pesanan di atas pun tentang menghargai dan dihargai juga kan? :D

Betul kan? Kita hidup di dunia ini perlu saling menghargai. Untuk merasa diri dihargai oleh orang lain, kita perlu menghargai orang lain terlebih dahulu. Prinsip 'Give and Take' perlu diamalkan di sini. Give untuk menghargai. Take untuk dihargai. Apabila kita memberi, pasti kita akan menerima. Begitulah sebaliknya.


Mana mungkin akan berlaku, kita tidak pernah menghargai orang lain. Kita tidak pernah menegur sapa orang lain. Kita tidak pernah memberikan hadiah kepada orang. Namun kita sentiasa diharga oleh orang lain. Kita sentiasa disapa oleh orang lain. Kita selalu menerima hadiah dari orang lain. Tentu situasi ini tidak pernah berlaku bukan? Jika berlaku juga begini, anda memang sangat-sangat bertuah. Untuk itu, anda juga perlulah menghargai orang yang menghargai anda itu, orang yang selalu menegur anda itu, orang yang sering memberikan anda hadiah itu. Baru adil bukan?

Sejujurnya saya sendiri rasa amat dihargai apabila ada yang menyapa mesra saya, memberikan hadiah, prihatin tentang keadaan saya. Malah saya lagi rasa dihargai jika lecturer atau cikgu masih mengingati nama saya. Cuba bayangkan, dalam ramai-ramai pelajar, dia boleh ingat nama kita? Wow! Tentulah rasa dihargai bukan?

Begitulah sikap dan sifat kita sebagai manusia. Memang suka kalau dihargai ni. Jadinya kita perlulah juga menghargai orang lain. Peringatan buat diri saya sendiri sebenarnya ni.

Bagaimana pula menghargai dan dihargai kita dengan ALLAH? ALLAH memang sentiasa menghargai kita kan? ALLAH bagi segala macam nikmat pada kita. Memang tidak terhitung nikmat yang ALLAH berikan pada kita.

"Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH,
nescaya kamu tidak akan mampu menghitungkannya.
Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat)"
[Ibrahim, 14:34]

Apa pula balasan kita sebagai menghargai pemberian ALLAH itu? Orang memberi kita menerima kemudian kita perlu membalasnya bukan? Balasannya ialah kita perlu melakukan segala suruhan ALLAH dan meninggalkan segala larangan-NYA. Itulah balasan kita sebagai tanda kita menghargai segala kurniaan ALLAH.

Pesanan buat diri terutamanya, belajar menghargai orang lain. Teori yang dipelajari jika tidak diterjemahkan dalam bentuk amal hanyalah sia-sia. Ibarat pokok yang tidak berbuah. Tumbuh subur merendang namun tidak berguna. Akhirnya tumbang rebah ke bumi tanpa menyumbangkan apa-apa.

Nota 1: Terima kasih kak Hasanah atas nasihat yang berguna dan bermakna itu^^ Jazakillahu khairan kathira :)

Nota 2: 9 Mac - Selamat Hari Lahir, Nisaa. 건강하고 행복하길 바래용..ㅋㅋㅋ


Friday, October 21, 2011

DIA Sentiasa Ada.

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Saya sudah selesai menjawab exam untuk minggu ini. Minggu depan ada lagi satu paper untuk dijawab, satu projek untuk dihantar dan satu speech untuk dipersembahkan pada hari yang sama. Moga-moga ALLAH permudahkan segalanya. Biiznillah. Insya-ALLAH.

Hari-hari sebelum ini, kesemua paper yang saya duduki banyak melibatkan pengiraan dan penggunaan formula. Kerjanya hafal formula, faham jalan kira dan mengira litar atau rajah-rajah sinusoidal dan sebagainya. Namun hari ini, buat pertama kalinya saya perlu menjawab soalan dengan membuat essay. Seolah-olah menjawab soalan sejarah ataupun jawab soalan biologi kertas 2 time SPM dulu sahaja rasanya.

Sudahlah saya ni lemah bab-bab menghafal ni. Tambahan pula sudah lama tidak menghafal. Setakat menghafal formula itu, boleh la. Itupun sempat lagi cipta formula sendiri time exam! Bijak sungguh! *Kalau cipta formula baru dan dapat anugerah Nobel tak apa la jugak kan?*

Saya jadi sangat takut untuk menjawab exam hari ini. Berdebar-debar. Puas baca, puas hafal. Tapi rasanya takde satu pun yang betul-betul melekat di ingatan. ALLAH. Sungguh rasa macam nak nangis. ALLAH. Hanya pada DIA saya berharap. Saya doa pada ALLAH moga DIA permudahkan saya untuk menjawab soalan-soalan exam nanti. Moga saya diberikan ketenangan dan saya boleh mengarang dengan baik.

Sungguhlah, ALLAH itu Maha Mendengar. ALLAH benar-benar mendengar doa dan aduan saya. DIA bantu saya. DIA permudahkan saya untuk menjawab soalan-soalan tadi. Saya tak jamin apa yang saya jawab tadi semua betul atau mengikut skema jawapan atau tidak. Tapi apa yang saya pasti saya tidak meninggalkan kertas itu kosong dan saya mampu menghasilkan karangan yang agak-agak panjang. Alhamdulillah. ALLAH bagi ketenangan dan permudahkan saya untuk menjawab soalan-soalan tadi. Alhamdulillah. Terima kasih, Ya ALLAH. :')

Selesai sejam lima belas minit menjawab soalan Electronic Materials, saya menghantar kertas jawapan dengan senyuman lega. Alhamdulillah. Keluar dari kelas, saya tadahkan tangan mengucap syukur kepada ALLAH. Alhamdulillah. Terima kasih, Ya ALLAH. KAU benar-benar membantu diri ini.

Tiba-tiba saya rasa sangat sebak. Terasa ada sesuatu yang terbuku di dada. Sambil mendongak langit yang sudah agak gelap kerana sudah hampir sejam waktu Asar berlalu, saya mengucapkan syukur yang tidak terhingga. Sungguh, mata sudah berkaca-kaca. Akhirnya tanpa segan silu menitis ke pipi.


ALLAH. ALLAH. ALLAH. Sungguh, DIA sentiasa ada di sisi saya saat saya perlukan diri-NYA. Apa yang membuatkan saya lebih sedih ialah saya seringkali melupakan diri-NYA. DIA sentiasa ada di sisi saya. Tidak kira di saat saya gembira atau saat saya bersedih. DIA sentiasa ada. Namun, adakah saya sentiasa mengingati-NYA seperti mana DIA sentiasa setia di sisi saya? ALLAHU AKBAR! Terasa tebal kulit muka. Malunya diri ini pada-MU, Ya ALLAH. Ampunkanlah diri yang hina dina ini, Ya ALLAH.

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada syurga
yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk
orang-orang yang bertaqwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya),
baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang.
ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."
-Ali-Imran, 3: 133-134-

ALLAH itu sangat sweet kan? DIA dah janji nak bagi kita syurga. DIA pemurah sangat-sangat. DIA sentiasa ada untuk kita. Tinggal, kita perlu melakukan segala suruhan-NYA dan meninggalkan segala larangan-NYA. Syurga itu ALLAH akan bagi kepada sesiapa yang berjaya.

Kalau ikut ayat di atas ni, dari apa yang saya faham, ALLAH menyuruh kita segera meminta keampunan-NYA. DIA akan beri ganjaran syurga yang luasnya seluas langit dan bumi kepada orang-orang yang bertaqwa. Orang-orang bertaqwa tu macam mana? Ciri-cirinya ialah orang yang suka bersedekah tak kira time dia senang ataupun time dia susah, orang yang mampu menahan marahnya dan orang yang suka memaafkan orang lain.

Ingatlah, DIA sentiasa ada. DIA sentiasa ada untuk kita. Berdoalah. Mengadulah. Mintalah hanya pada-NYA. Ketahuilah bahawa DIA Maha Mendengar dan DIA Maha Pemurah. DIA Maha Pengasih dan DIA Maha Memiliki.


"Rabbana laa tuzigh qulubana ba'da iz hadai tana wa hablana milladunka rahmah, innaka antal wahhaab."

"Ya Tuhan kami, janganlah ENGKAU condongkan hati kami kepada kesesatan
setelah ENGKAU berikan petunjuk kepada kami,
dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-MU,
sesungguhnya ENGKAU Maha Pemberi."
-Ali-Imran, 3:8-





Sunday, October 2, 2011

Perihal Berkecil Hati

Assalamu'alaikum wbt.

Minggu lepas, saya ada baca satu status di FB. Terima pada Kak Wee kerana sudi berkongsi perihal berkecil hati ni dengan kami semua.

Status tu berbunyi begini:

"Mengecilkan hati orang adalah berdosa, berkecil hati juga adalah berdosa. Tetapi lebih besar dosanya jika kita berkecil hati."

I'm so confused...
Kenapa orang kecilkan hati kita, kita pulak yang berdosa?
Then I asked my dad what's that mean.

Ayah: Jika seseorang hina kita, dia berdosa. Jika kita terasa hati dengan penghinaan dia, kita juga berdosa. Tetapi dosa kita lebih besar dari dosa dia.

Anak: Uiks...Tapi kenapa pulak? Kita tak buat apa-apa pun?

Ayah: Kerana orang yang menghina kita itu adalah peringatan daripada ALLAH.

Anak: (Blur)

Ayah: Kenapa kita dihina oleh orang itu? Kerana itu adalah ujian dari ALLAH. Kenapa ALLAH hadiahkan kita ujian itu? Kerana DIA nak mengingatkan diri kita yang dah leka dengan dunia. Bila kita berkecil hati dengan orang tersebut, bermakna kita tak redha dengan ujian yang ALLAH turunkan. Kesimpulannya, kita bukan kecil hati dengan orang, tetapi kita kecil hati dengan ALLAH.

Anak: Ooo..Ok...

Ayah: Lagi parah bila kita pun cerita pada kawan-kawan kita, "Dia dah banyak buat aku macam ni, macam tu..." dan sebagainya. Dan kawan-kawan kita pula akan cerita pada kawan-kawan lain, "Kesian kawan kita tu..budak tu dah banyak sakitkan hati dia..." Jadi keredhaan kita terhadap ujian ALLAH itu lesap.

Anak: (Termakan cili)

ALLAH...Bila saya baca status ni, saya rasa macam dilanggar dengan bulldozer. Penyek jadi papan keping. Terkena kat batang hidung sendiri. ALLAH. ALLAH. ALLAH. Entah berapa kali pernah mengecilkan hati orang, dan entah berapa kali pernah berkecil hati dengan orang. Astaghfirullah hal 'azim... Ampuni dosa-dosa hamba-MU ini, Ya ALLAH.



Rupa-rupanya semua itu ujian dari ALLAH untuk hamba-hamba-NYA. Hidup ini jika tiada ujian, bukan hidup namanya. Ujian itu rencah kehidupan. Jika tidak, hambar dan tawarlah kehidupan. Bagaikan kari yang tidak dimasukkan asam keping, garam dan gula. Rasa apa? Tawar. Tak lengkap. Tak lalu nak makan.

Namun, keesokan harinya. Saya telah mengulangi kesilapan yang sama. Manusia..memang benar-benar pelupa. Sebab itu perlu saling mengingatkan. Saya telah berkecil hati dengan seseorang. Iya. Memang berkecil hati. Padahal kalau difikirkan balik, benda remeh sahaja. Tak perlu la nak terasa.

Kemudian, saya teringat balik status yang saya baca semalam. Terus beristighfar panjang. Astaghfirullah hal 'azim. Astaghfirullah hal 'azim. Astaghfirullah hal 'azim. Semalam baru baca. Mengecilkan hati orang itu berdosa, berkecil hati dengan orang pun berdosa. Bahkan lagi besar dosanya. Masya-ALLAH. Sungguh la tidak mengambil iktibar dari apa yang dibaca. Moga ALLAH mengampunkan dosa-dosa saya dan dosa-dosa kita semua. Insya-ALLAH. Maafkan saya andai saya ada mengecilkan hati kalian.

Ada satu tips. Sebelum tidur, maafkanlah kesalahan semua orang sepanjang hari itu dan hari-hari sebelumnya. Moga-moga semua orang juga memaafkan kesalahan kita pada hari itu dan hari-hari sebelumnya. Insya-ALLAH, hati akan terasa lebih lapang. Takde nak rasa tak elok pada semua orang. Insya-ALLAH.

Saya tahu, saya yang menulis ini akan terlebih dahulu ditanya kelak. Adakah saya mengerjakan apa yang sudah saya perkatakan dan saya tuliskan di laman blog ini. Oleh itu, pada sesiapa yang mengenali saya, baik yang selalu bertemu, ataupun yang belum pernah bersua muka, tegurlah diri ini andai kalian melihat dan merasakan apa yang saya lakukan itu pincang langkahnya dari landasan yang sebenar.

Kadang-kadang, kita tidak nampak apa yang kita lakukan itu salah, sebelum ada yang menegur mengatakan itu salah. Kemudian barulah kita tersedar. Oleh itu, saya pohon, tegurlah saya.


Wednesday, September 28, 2011

Perjuangan Ini

Assalamu'alaikum wbt.


Andai perjuangan ini mudah,
Pasti ramai yang menyertainya
Andai perjuangan ini menjanjikan kesenangan,
Pasti ramai yang tertarik padanya
Tapi hakikatnya perjuangan bukan begitu
Turun naiknya, sakit pedihnya
Umpama kemanisan yang tiada terhingga
Andai rebah, bangkitlah semula
Andai terlena, ingatlah janji-NYA
Selamat berjuang!







Monday, September 19, 2011

Nilai Harga Dirimu

Assalamu'alaikum wbt.

Semalam saya ada menonton MHI- Hi Tea Amal Raudhatus Sakinah. Ada beberapa orang kawan di Facebook yang berkongsi link you-tube ini. Kemudian sewaktu sedang chat dengan seorang sahibah pun, dia ada bertanyakan perihal ini. Jadinya saya tertarik untuk menonton sendiri slot MHI ini.

YA ALLAH. Sewaktu menonton saya tidak dapat menahan air mata daripada mengalir keluar. Sedih sangat-sangat. Tambahan pula apabila mendengar penjaga Raudhatus Sakinah memberitahu yang ada segelintir ibu bapa yang menganggap zina itu perkara yang biasa. Masya-ALLAH. Astahgfirullah hal 'azim.

Pada pandangan saya, masyarakat menganggap isu zina dan remaja hamil tanpa akad nikah ini perkara biasa apabila hampir setiap hari mereka dihidangkan dengan berita yang sama. Hakikatnya zina itu suatu dosa besar. Dalam Al-Quran pun ALLAH berfirman,

"Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk."-Al-Isra', 17:32-

Betapa serius dan besarnya masalah ini, sehinggakan ALLAH melarang kita mendekati zina itu. ALLAH bukan setakat melarang kita melakukan penzinaan, malah ALLAH melarang kita daripada menghampiri perkara-perkara yang boleh mengarah ke arah zina.

Semoga kita semua dilindungi ALLAH daripada perbuatan maksiat dan mungkar. Semoga ALLAH melindungi dan menjaga kita semua.

Sejujurnya, dulu, saya tidak begitu menitikberatkan soal menutup aurat. Alhamdulillah. ALLAH masih sayangkan saya. DIA menghadirkan saya sahabat dan sahibah yang baik-baik dan solehah. Melalui mereka ini saya mengenali hakikat Islam yang sebenarnya. Alhamdulillah.

Berada di negara yang penduduknya majoriti non-muslim makin menyedarkan saya akan indahnya Islam itu. Saya benar-benar bersyukur saya dilahirkan di dalam keluarga Islam. Dan saya lebih-lebih lagi bersyukur apabila ALLAH takdirkan saya bertemu dengan orang-orang baik dan menyedarkan saya akan hakikat Islam yang sebenar. Yang Islam bukan kerana dilahirkan Islam, tetapi faham Islam itu dalam erti kata yang sebenar. Alhamdulillah. Walaupun saya sedar, masih banyak lagi yang perlu saya pelajari dan perlu saya perbaiki.

Perjalanan pergi dan balik dari kelas setiap hari, menjadikan saya seorang pemerhati dan pemikir. Apabila melihat cara orang di sini berpakaian, saya rasa bersyukur sangat-sangat dilahirkan sebagai Islam. Dan saya mula menyedari bahawa ALLAH memerintahkan orang perempuan menutup aurat itu bukan saja-saja. Ada sebabnya. Punyai hikmahnya yang tersendiri.

Selalu sahaja kawan-kawan lelaki Muslim menyatakan mereka tidak boleh jalan menunduk (baca: menundukkan pandangan) terutama sekali time summer. Namun pada saya, bukan setakat orang lelaki, orang perempuan pun sama. Tidak boleh menundukkan pandangan nak-nak time summer.

Betapa Islam itu benar-benar menjaga nilai harga diri seseorang. Sebab itulah ALLAH memerintahkan baik lelaki mahupun perempuan menutup aurat mereka. Yang perempuan perlu menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Yang lelaki perlu menutup bahagian pusat hingga lutut.
Seorang perempuan, jika ditayangkan segala keistimewaan dan kecantikan dirinya, masih ada lagikah keistimewaannya? Masih ada lagikah keistimewaan dan kecantikannya yang hanya akan ditampilkan kepada suaminya kelak? Apa beza lelaki-lelaki ajnabi yang lain dengan suaminya? Di situlah letaknya nilai harga dirimu duhai muslimah solehah. Kecantikan dirimu hanya untuk tatapan insan yang benar-benar berhak sahaja. Bukan untuk tatapan ramai.

Saya ada hadiah. Satu yang dibalut dengan kertas pembalut hadiah yang cantik dan dilekatkan sekeping kad ucapan. Satu lagi saya sekadar biarkan tidak berbalut. Boleh nampak jelas apa hadiah tersebut. Awak yang membaca, awak nak hadiah yang mana? Yang dibalut cantik-cantik dan ada kad ucapan ataupun yang tidak berbalut?

Saya tak tahulah jawapan awak semua macam mana kan. Tapi saya pasti ramai yang akan memilih hadiah yang berbalut cantik itu bukan? Lumrah kita manusia menginginkan sesuatu yang indah dan cantik. Walaupun kedua-duanya sama. Namun pastinya kita akan memilih yang lebih elok dan cantik.

Begitu jugalah kita sebagai seorang perempuan. Cantiknya kita apabila kita menutup aurat kita daripada tatapan nakal lelaki di luar sana dan kita menjaga adab sopan kita. Jika mempunyai wajah dan rupa yang cantik, itu sudah satu bonus. Ketahuilah setiap wanita itu cantik dan kecantikan itu akan lebih terserlah jika kita menjaga aurat dan adab. Insya-ALLAH.

Nota kaki : Kalau tak pandai masak. Tak apa. Boleh belajar. Lama-lama nanti pandai la kan. Apa yang penting, kita menjaga aurat, solat dan adab. Insya-ALLAH. Sama-sama kita menjaga aurat, solat dan adab kita ye, akhawati fillah. :)

P/S : Adikku, moga ukhuwah yang baru terjalin itu berkekalan hendaknya. Gembira bila mengetahui dirimu gembira. Nanti boleh la kita pergi program sama-sama ye :p

Thursday, September 8, 2011

Kalimah Insya-ALLAH Itu...

Assalamu'alaikum wbt.

Minggu lepas, saya ada berborak dengan seorang kenalan. Sekadar bertanya khabar dan mengucapkan selamat hari raya. Perbualan itu sekadar perbualan biasa, cumanya ada sesuatu yang agak menarik untuk kita renungkan bersama. Perbualan kami lebih kurang seperti ini:

Kenalan : Dah tu tak balik la eh tahun ni?
Saya : Dah takde cuti dah. Tak balik la.
Kenalan: Owh gitu...
Saya : Yang pasti raya tahun depan balik! (Dengan penuh semangat saya beritahu dia)
Kenalan: Apa dia? Cuba ulang balik ayat tadi.
Saya : Saya cakap, raya tahun depan saya balik... Insya-ALLAH.
Kenalan : Iye ke tadi cakap macam tu? Macam lain je...
Saya : Betul la! Saya balik raya tahun depan! Insya-ALLAH!
Kenalan : Kenapa yang mula-mula tadi takde "Insya-ALLAH" pun!
Saya : (erk?!) Ok la. Ok la. Tahu dah kat mana salah. Terima kasih ingatkan.

.......and the rest is history........
Saya memang terkesan dengan teguran itu. Iyalah, cara saya cakap tu macam saya confirm je yang tahun depan saya akan balik beraya kat Malaysia. Kalau ALLAH tidak mengizinkan saya balik beraya di Malaysia tahun depan, sudah pasti saya tidak akan menjejak Tanah Melayu pun. Betul kan? Jadinya kalimah "Insya-ALLAH" itu penting. Perlu diucapkan tatkala kita menjanjikan sesuatu.

Betapa pentingnya kalimah "Insya-ALLAH" ini, sehinggakan ALLAH ada menyebutnya di dalam Al-Quran."Dan jangan sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, "Aku pasti melakukan itu besok pagi," kecuali (dengan mengatakan) "Insya-ALLAH". Dan ingatlah kepada Tuhanmu apabila engkau lupa dan katakanlah, "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku yang lebih dekat (kebenarannya) daripada ini.""-Al-Kahfi, 18: 23-24-

Nampak kan di sini, yang ALLAH bertegas tentang penggunaan kalimah "Insya-ALLAH" bilamana kita menjanjikan sesuatu. Ayat "Aku pasti melakukan itu besok pagi." itu sudah cukup untuk menunjukkan yang kita berjanji untuk melakukan kerja itu esok pagi. Dan perlu ditambah dengan kalimah "Insya-ALLAH." Kenapa? Kerana tanpa izin-NYA, kita tidak akan mampu melakukan apapun esok pagi. Hanya dengan kehendak dan keizinan Yang Maha Esa sahajalah, kita mampu melakukannya; mampu menunaikan janji yang sudah kita buat.

"Sungguh Kami telah menguji mereka (orang musyrik Mekah) sebagaimana Kami telah menguji pemilik-pemilik kebun, ketika mereka bersumpah pasti akan memetik (hasil)nya pada pagi hari, tetapi mereka tidak mengecualikan (dengan mengucapkan "Insya-ALLAH). Lalu kebun itu ditimpa bencana (yang datang) dari Tuhanmu ketika mereka tidur."-Al-Qalam, 68: 17-19-

Jelas bukan di sini bahawa semua itu terletak di tangan ALLAH. Kita perlu sedar di sini yang kita; manusia ini mempunyai keterbatasannya. Hanya ALLAH yang bisa menentukan sesuatu itu bakal terjadi mengikut kehendak kita atau sebaliknya.

Tengoklah bencana yang menimpa pemilik-pemilik kebun itu akibat tidak mengucapkan "Insya-ALLAH" ketika mengucapkan "Kami pasti akan memetik (hasil)nya pada pagi hari." Tengok-tengok pagi esok, kebun mereka hangus terbakar. Tak sempat mereka hendak mengutip hasil.

Semoga kita mengambil iktibar daripada kisah ini. Insya-ALLAH. Sentiasalah mengucapkan kalimah "Insya-ALLAH" saat mengatakan sesuatu yang kita belum tentu dapat melakukannya. Hanya dengan keizinan dan kehendak ALLAH-lah, baru kita boleh melaksanakan sesuatu perkara itu.P/S : Selamat meneruskan "perjalanan" ye awak^^ Rabbana yu'assir wa la tu'assir. Bittaufiq wannajah~ :)

P/S/S : Selamat memasuki alam kampus, adikku. Selamat berorientasi^^ Be strong. Anything just text me, ok? Do take care of yourself. Remember, HE is always be by your side. :-)


Sunday, September 4, 2011

Lau Kaana Bainana

Assalamu'alaikum wbt.

Sihat ke semua? Harapnya semua sihat-sihat sentiasa. Apa khabar iman kita setelah Ramadhan berlalu pergi meninggalkan kita? Moga-moga iman itu masih teguh dan utuh, seutuh saat Ramadhan masih bersama dengan kita. Insya-ALLAH. Moga terus istiqamah dalam beramal.

Sesiapa yang menonton TV Al-Hijrah pasti tahu tentang tajuk n3 saya kali ini. Lau Kaana Bainana. Andainya Rasulullah Bersama-sama Kita. Masa Ramadhan baru ni, rancangan ini disiarkan pada pukul 6.30 pagi waktu Korea. Maknanya 5.30 pagi waktu Malaysia.

Saya amat tertarik dengan satu slot rancangan ini yang sempat saya tonton pada hari-hari terakhir Ramadhan yang lalu. Tentang menepati masa.

Para krew Lau Kaana Bainana menjalankan sesi itu di sebuah universiti. Para pelajar yang datang lewat akan ditahan daripada memasuki kuliah. Mereka perlu menulis nama mereka pada borang yang disediakan dan menandatangani borang berkenaan. Mereka perlu mengakui yang mereka memang datang lewat ke kuliah.

Pelbagai reaksi pelajar yang boleh dilihat. Ada juga yang enggan menandatangani borang pengakuan berkenaan. Kemudian mereka ditemuramah. Krew Lau Kaana Bainana menanyakan sebab-sebab kelewatan mereka ke kuliah. Macam-macam jawapan dan alasan yang diberikan.

Ada yang kata, jalan jammed sebab tu lambat. Ada yang cakap, saya bersarapan dulu sebelum datang. Ada yang beritahu, biasa la kan, terlewat bangun. Itu yang terlewat datang tu.

Lepas tu krew tanya, "Dah tahu kelas awal pagi ni, yang pergi tidur lambat malam tu kenapa?
" "Yang bangun lambat tu kenapa?" Sebabnya mereka bukannya lewat seminit dua, tetapi lewat hampir sejam! Terus tak terkata pelajar yang disoal tu. Mungkin baru sedar salah sendiri.

Bila dengar pelajar bagi alasan macam tu. Saya pun terfikir la. Betul jugak eh. Munasabahkah alasannya lewat ke kelas gara-gara terlewat bangun? Bukankah sebagai seorang pelajar, kita memang sudah tahu dengan jadual kelas kita sendiri? Bahkan pelajar universiti memang boleh memilih kelas dan masa yang mereka inginkan. Dah tahu kelas tu pagi, bangun la awal-awal pagi kan? Kiranya kalau terlewat tu, memang tak boleh nak bagi alasan la. Dah memang salah sendiri terlewat bangun. Oho...baru saya tersedar. Terlewat bangun itu bukannya satu alasan yang logik dan kukuh untuk dikhabarkan kepada semua orang. Sememangnya itu bukan alasan pun, tetapi kecuaian diri sendiri!

Kemudian, pihak krew bertanya, "Andainya Rasulullah ada bersama-sama kita masa ni, adakah baginda akan datang lewat ke kelas?" Terus pelajar itu dengan confidentnya menjawab,"Sudah tentu tidak. Mana mungkin baginda yang sememangnya membawa contoh ikutan yang bagus itu datang lewat ke kelas!"

Pertanyaan yang sama juga ditujukan kepada para pelajar yang datang lewat. Rata-rata mereka dengan penuh yakin menyatakan bahawa Rasulullah SAW seorang yang menepati waktu. Pastinya baginda tidak akan terlewat datang dalam apa jua majlis. Bahkan bagindalah yang akan datang paling awal. Malah ada juga mengatakan bahawa pada sesetengah keadaan baginda yang menunggu para sahabat. Semestinya Nabi Muhammad SAW seorang yang sangat-sangat menepati janji dan merupakan qudwah hasanah buat seluruh umat manusia. Akhlak yang baginda tunjukkan benar-benar sebuah akhlak yang mulia dan terpuji.

Seterusnya, mereka disoal, "Kenapakah mereka sebagai umat Nabi Muhammad tidak mengikuti contoh ajaran yang telah Rasulullah tunjukkan?" Terus terkedu untuk menjawab. Ada juga yang berani menyatakan yang kita sebagai manusia tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Ramai yang diam membisu dan menundukkan kepala. Mungkin menyedari kekhilafan diri.

Saya menjadi insaf saat melihat rancangan itu. Terus terdiam. Minda tidak henti-henti berfikir dan berfikir. Muhasabah diri. Menyesali kesilapan dan kekhilafan diri selama ini. Betapa kerdilnya rasa diri.

Saya masih ingat, saat saya menonton rancangan itu masih ada sekitar 2 jam untuk saya ke kelas. Kelas pertama pada hari pertama semester. Entah macam mana, setelah bersiap-siap dan mengemaskan diri, saya boleh terlelap di hadapan komputer. Sudahnya 5 minit hendak pukul 9 pagi baru saya terjaga. ALLAHU AKBAR! Kali ini saya pula yang mengalami nasib seperti pelajar yang terlewat bangun untuk ke kelas dalam rancangan Lau Kaana Bainana tadi. Terus saya bergegas ke kelas yang mengambil masa hampir 15 minit dari rumah. Dalam hati tidak sudah-sudah beristighfar. Memohon keampunan Ilahi. Astaghfirullah hal 'azim...

Ambillah pengajaran daripada kisah saya ini. Saya tahu saya khilaf. Saya tahu saya silap. Padahal baru sebentar tadi saya menyedari yang kita sebagai umat Islam ini perlu menepati masa. Perlu mencontohi akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Namun dalam pada itu, dalam selang masa yang singkat sahaja, saya sudah melakukan kesilapan. Astaghfirullah hal 'azim.

Moga-moga selepas ini saya akan lebih alert dengan masa. Harapnya awak semua yang membaca n3 kali ini juga begitu. Sentiasa menghargai masa. Menepati masa. Menunjukkan akhlak yang terpuji. Menjadi duta umat Islam terutamanya yang berada di luar negara. *Yang ini lebih kepada memperingati diri sendiri* Walau di mana kita berada, imej dan nama baik Islam itu perlu kita jaga.


ALLAH juga menekan tentang masa ini bukan? Boleh rujuk surah Al-'Asr. Surah di mana ALLAH menerangkan tentang kepentingan masa. Kepentingan waktu. Dengan adanya pengurusan masa dan menepati waktu ini, hidup kita akan lebih tersusun dan berdisiplin. Insya-ALLAH. Semua itu untuk kebaikan kita juga sebenarnya.

Lau Kaana Bainana. Andainya Rasulullah bersama-sama kita kini, adakah baginda akan gembira melihat kita yang lalai dalam menepati masa? Tentu sekali tidak bukan? Ayuh! Berubah untuk kebaikan dan kemaslahatan bersama. Biiznillah. Insya-ALLAH. :)

Friday, August 26, 2011

Mujur vs Syukur

Assalamu'alaikum wbt.

Apa khabar semua hari ni? Sihat? Alhamdulillah. ALLAH masih mengizinkan kita semua menghirup udara segar lagi hari ini. Alhamdulillah...Syukran lillah. Hamdan lillah.^^

Tadi dok bersiar-siar di alam maya. Maklumlah dunia tanpa sempadan, kejap ke sana kejap ke sini kan :P *OK. Stop merapu* Kalau ada kat rumah, memang itulah kerja saya. Dalam sehari tak menghadap komputer, melayari internet memang tak sah! Macam tak lengkap je rutin harian. *Melampau betul perumpamaan :)* Saya ada baca satu e-novel ni. Diari Ramadhan Raden Qusyri. Bila baca diari 21 Ramadhan 1432H Inche Raden Qusyri ni, saya tiba-tiba dapat idea. Nak kongsi la sikit kan sini kan.

Kisah I

Semalam, ada iftar di Donyang Mirae University (DMU). Saya sampai di Bilik Malaysia DMU sudah agak lewat. Dalam pukul 7 petang lebih kurang. Nampak Ustaz Abdul Rani; ustaz dari JAKIM sedang borak-borak dengan beberapa orang pelajar lelaki. Saya terus menuju ke dalam bangunan. Jenguk-jenguk kat dalam Bilik Malaysia DMU, erk...takde perempuan pun. Nampak dua, tiga orang student lelaki. Terus tak jadi masuk. Ingatkan saya yang paling lambat. Rupa-rupanya saya yang datang paling awal! Antara pelajar perempuan la.

Saya sudah berura-ura hendak ke Joyang Officetel tempat penginapan student Malaysia dah. Segan kot dok kat situ sorang-sorang. Baru je nak melangkah pergi, ternampak kelibat dua orang bertudung dari jauh. Dalam hati tercetus lafaz, "Nasib baik...ada juga budak perempuan yang datang."

"Nasib baik akak sampai. Kalau tidak saya nak pergi officetel dah tadi." Saya bagitahu diaorang selepas selesai bersalaman.

Kisah II
"Nadzipah, bangun." Nadzirah kejut saya.

Saya buka mata, picingkan mata ke arah jam di dinding. 2.15 pagi. "YA ALLAH! Nasib baik Nad kejut. " Terus bangkit dan menuju ke tandas.

Haruslah segera bangun. Boleh pulak dia lena tidur. Padahal bukan tidur atas tilam pun. Haish...Tak sampai 10 minit lepas pulang dari tandas, Imam masjid dah melaungkan takbir.

"Fuh..nasib baik sempat..." Terus melangkah memasuki saf.

*****

OK. Saya bukan nak bercerita tentang iftar. Juga bukan tentang qiam. Tapi saya nak cerita tentang syukur.

Kita selalu sahaja menggunakan kalimah "nasib baik" berbanding melafazkan kalimah "syukur". Membaca catatan Inche Raden tadi memang terasa nak lempang diri sendiri je. Dush! Dush!

Dua kisah di atas sudah menunjukkan yang saya memang lebih suka menggunakan kalimah "nasib baik". Jarang sangat nak menggunakan kalimah "syukur". Astghfirullah hal 'azim...Ampunkan diri ini, YA ALLAH. Hamba-MU ini sudah khilaf. :(

Nasib baik = Mujur

Saya tak pasti negeri lain guna tak istilah mujur ni. Kelantan memang biasa guna mujur ni. Terengganu pun. Kita sudah terbiasa dengan mujur. Kita sudah terbiasa dengan nasib baik. Hinggakan sampai satu tahap, kita jadi janggal untuk mengucapkan syukur.

"Mujur tak jatuh kotak nih!" @ "Nasib baik kotak ni tak jatuh!"

vs

"Syukur, kotak ni tak jatuh!"

Renungan buat diri sendiri dan buat semua. Marilah sama-sama kita mengubah penggunaan bahasa kita. Bukan setakat sopan untuk didengar, tetapi lebih bermakna. Kita takut kalau-kalau dengan "mujur" yang kita selalu katakan, kita menjadi hamba ALLAH yang tidak bersyukur dek kerana sedikit "syukur" yang terluah dari bibir.

Basahkanlah lidah kita dengan kalimah syukur dan sentiasalah mengingati ALLAH dalam setiap perbuatan kita.

Kita tidak tahu bila ALLAH hendak memberi kita nikmat dan bila ALLAH hendak menimpakan musibah kepada kita. Moga-moga dengan ungkapan kalimah "Syukur, Alhamdulillah" ini musibah yang ALLAH ingin timpakan pada kita tertepis, bahkan nikmat-NYA pula melimpah. Insya-ALLAH.

"YA ALLAH, bantulah hamba untuk (senantiasa) mengingat-MU, bersyukur kepada-MU, serta memperbaiki (kualiti) ibadahku kepada-MU." -HR Abu Dawud-



p/s : Awak tu...bestnya dah habis kelas memandu. Test JPJ nanti gudluck eh^^ Nanti biar saya lak yang jadi co-pilot. hehe..

Salam lebaran dari perantauan~


Monday, August 8, 2011

Masa Lapang Itu Pembunuh!

Assalamu'alaikum wbt.


Setuju tak kalau saya kata masa lapang itu pembunuh? Silent killer. Pembunuh secara senyap. Kita tak perasan pun sebenarnya kita sedang dibunuh secara perlahan-lahan. Kita masih bernafas menghirup udara segar seperti biasa namun kita seolah-olah kurang sesuatu. Badan sihat tapi ruhi sakit. Fizikal tegap tapi hati lemah. Mudah untuk menjadi futur; lemah iman.

Kenapa saya kata masa lapang itu pembunuh? Bila banyak masa tentu lebih banyak benda yang kita boleh buat bukan? Jadi apa yang membunuhnya? Hakikatnya tidak begitu. Kadang-kadang disebabkan terlampau banyak sangat masa lapang, kita menjadi seorang penangguh.

"Banyak masa ni. Solat dhuha la. Ala, baru pukul 8. Kejap lagi la." < tengok-tengok dah zohor>
"Baca quran la kejap lepas zohor. takpe la. asar japgi la baca."
"Best la pulak cerita ni. Nak tengok la. Alamak, dah azan. Takpe la. Kejap lagi. Habis episod ni."

Itu antara contoh-contoh penangguhan masa la. Saya tak cakap orang, saya pun macam tu. huhu. Astaghfirullah hal 'azim. Suka sangat nak tangguhkan kerja. Mentang-mentang lah banyak masa kan. Lepas tu semua terlepas. Masa lapang memang membunuh!

Lepas tu tidur pun banyak kan bila takde kerja. hoho. *Ini berdasarkan pengalaman sendiri ye. Harap maklum.* Mungkin ada yang mampu dan berjaya manfaatkan masa lapang yang dia ada dengan aktiviti yang bermanfaat. Boleh la share dan beritahu tips-tipsnya pada saya ye. Sharing is caring, right?

Berbeza dengan masa sibuk. Bila sibuk, kita punyai banyak benda yang nak dibuat. Jadi kita akan mencari-cari masa untuk baca quran, untuk buat solat dhuha dan sebagainya. Kiranya kita menghargai setiap selang waktu yang ada. Alangkah bagusnya begitu.

Bila sibuk, kita asyik merungut tidak cukup masa untuk buat baik. Takde masa nak baca quran. Tak sempat nak solat sunat. Tidur pun asyik ter'skip' je. Tapi..bila lapang, kita asyik menangguh kerja pulak. Banyak tidur. Sungguhlah manusia itu tidak pernah nak bersyukur dengan nikmat dan kelapangan yang ALLAH beri. Orang bagi betis nak paha. ALLAH bagi sibuk nak tak sibuk. ALLAH bagi tak sibuk tak hargai pulak. Astaghfirullah hal 'azim.


Jadi, sempana hari baik bulan baik ni. Marilah sama-sama kita merubah diri menjadi lebih baik. Syaitan pun sudah dibelenggu bukan? Yang tinggal hanyalah nafsu dalam diri. Jangan biarkan nafsu menguasai diri. Ayuh, maju selangkah ke hadapan! Masa lapang itu pembunuh! Pembunuh jika kita ditewaskan oleh nafsu. Masa lapang itu penyinar. Penyinar jika kita menewaskan nafsu.

Friday, August 5, 2011

Kita Semua Satu Keluarga

Assalamu'alaikum wbt.

Keluarga. Tentu sahaja apabila terdengar perkataan ini, kita akan terbayang-bayang wajah suci ibu, ayah dan adik-beradik yang lain. Sudah tentu itu yang tergambar dibenak fikiran bukan? Saya juga tidak terkecuali cenderung untuk berfikir sedemikian.

Namun hakikatnya keluarga itu tidak terbatas kepada darah daging kita sendiri sahaja. Kita juga punya keluarga seagama. Sebuah keluarga besar yang ada di mana-mana. Keluarga besar yang berada di seluruh pelosok dunia.

Sudah tentu kita menyayangi dan mengasihi keluarga kita bukan? Kita juga sepatutnya menyayangi dan mengasihi saudara seagama kita sebagaimana kita menyayangi dan mengasihi keluarga kita sendiri.

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada ALLAH agar kamu mendapat rahmat.-Al-Hujurat,49:10-

ALLAH SWT sudah menyatakan secara terang-terangan di dalam Al-Quran bahawa orang-orang beriman itu bersaudara. Bersaudara itu maknanya punyai pertalian. Jadi tali yang menyambung ikatan kita semua ialah Islam. Sudah semestinya sebagai seorang saudara sesama Islam, kita perlu mengasihi antara satu sama lain.

Dari Anas r.a dari Rasulullah SAW, sabdanya, "Tiga perkara sesiapa yang ada padanya, maka dia akan dapat merasai kemanisan iman; ALLAH dan Rasul-NYA lebih dicintai olehnya daripada yang selain keduanya. Bila dia mencintai seseorang, tidak ada sebab kecintaan itu melainkan kerana ALLAH. Dan dia membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan oleh ALLAH dari kekafiran itu, sebagaimana bencinya kalau dilemparkan ke dalam api neraka." -Muttafaq 'Alaih-

Kita akan insya-ALLAH akan merasai kemanisan itu dengan mencintai kawan-kawan kita, sahabat sahibah kita. Subhana-ALLAH. Masya-ALLAH. Tidak mahukah kita mendapatkan kemanisan iman itu? Sudah tentu mahu bukan? Jadi marilah sama-sama kita mencintai antara satu sama lain. Bukan hanya perlu mencintai kekasih hati, perlu juga mencintai kawan-kawan, teman-teman, sahabat sahibah. Sepatutnya kita perlu mencintai kawan, teman dan sahabat kita terlebih dahulu sebelum mencintai kekasih hati. Mencintai kekasih belum tentu dibolehkan oleh syarak, namun mencintai saudara seagama memang dibolehkan oleh syarak. Syariat terjaga. Hati juga terjaga. Dan perlu diingat, cintailah orang sekeliling kita semata-mata kerana ALLAH tanpa mengharapkan sebarang balasan atau ganjaran darinya.


Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi Muhammad SAW bahawa ada seorang lelaki menziarahi seorang sahabatnya di suatu desa lain. Lalu ALLAH memerintah satu malaikat untuk mengikutinya di sepanjang jalan, kemudian malaikat tersebut bertanya kepadanya, "Ke mana kamu ingin pergi?" Lelaki itu menjawab, "Aku ingin menziarahi sahabatku di kampung ini. Malaikat bertanya, "Adakah apa-apa nikmat yang engkau mahu darinya?" Jawab lelaki itu, "Tidak ada, aku hanya cinta kepadanya kerana ALLAH." Lalu malaikat tersebut berkata, "Aku ini utusan dari ALLAH kepada kamu dan bahawa sesungguhnya ALLAH itu mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu itu kerana ALLAH." -HR Muslim-

Subhana-ALLAH. Masya-ALLAH. Betapa besarnya balasan ALLAH jika kita mencintai saudara kita, mencintai sahabat kita hanya kerana ALLAH. Balasannya ialah ALLH juga akan mencintai kita. Hebat bukan ganjarannya bilamana kita menyayangi, mengasihi dan mencintai sesama sendiri? Ayuh! Bersama kita memburu cinta Ilahi dengan saling mencintai saudara kita sendiri.


Dari Abu Karimah iaitu al-Miqdad - di sebahagian naskah disebut al-Miqdam bin Ma'dikariba r.a dari Nabi Muhammad SAW, sabdanya: "Jikalau seseorang itu mencintai saudaranya, maka hendaklah ia memberitahukan pada saudaranya itu bahawa dia mencintainya."-Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dan Tarmidzi dan Tarmidzi mengatakan bahawa ini adalah hadis hasan shahih-

Kita bukan sekadar merasai rasa cinta itu. Malah kita digalakkan mengungkapkan kata-kata cinta. Rupanya datuk nenek kita dulu-dulu benar-benar menghayati hadis ini. =) Hasil pemahaman hadis itulah lahirnya pantun di bawah ini.

Kalau padi katakan padi
Tidak aku tertampi-tampi
Kalau sudi katakan sudi
Tidak aku ternanti-nanti.

Kalau suka katakanlah suka
Kalau cinta ungkapkanlah cinta :)

*Ok, ini tambahannya..^^*

Jadi sebelum saya menutup bicara kali ini suka untuk saya katakan sesuatu. Boleh saya sampaikan sesuatu? Saya mencintai kalian sungguh-sungguh kerana ALLAH. Uhibbukum fillah. 친구들 사랑해~ (chingudel saranghae~) <3 <3 <3

Sesungguhnya kita semua satu keluarga. Keluarga sesama Islam. Keluarga dakwah. Jom sama-sama semarakkan Ramadhan al-Mubarak kali ini dengan penuh kasih sayang dan cinta. Ramadhan akan datang memang akan muncul lagi. Namun kita tidak pasti adakah pada saat itu kita juga ada untuk sama-sama meraikannya. Jadi, manfaatkanlah Ramadhan 1432H ini. Layanlah Ramadhan kali ini sebaik mungkin. Insya-ALLAH. Moga segala usaha dan amal kita diredhai-NYA.

Rujukan : Hadis-hadis pilihan dari Riyadussolihin bab: 'al-Hubb' Kasih Sayang kerana ALLAH