Showing posts with label Peristiwa. Show all posts
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts

Tuesday, November 20, 2012

Istimewanya Muharram 1434H Ini

Assalamu'alaikum wbt.

Lewat perbualan telefon dengan Ummi pada hujung minggu lepas, Ummi mengingatkan kepada saya supaya berpuasa hari as-Syura (10 Muharram) dan berpuasa sama ada sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya. 

Kemudian saya katakan kepada Ummi yang saya sebenarnya mahu berpuasa pada 9, 10 dan 11 Muharram. Azam saya, saya mahu berpuasa pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad ini. Kemudian baru teringat, eh, hari Khamis juga biasanya saya berpuasa. Isnin juga. 

Terus saya beritahu Ummi, "Maknanya, kakak akan puasa 5 hari berturut-turutlah ni, Ummi."

"Kalau tak larat, tak payahlah puasa hari Ahad tu." Balas Ummi.

Saya tercongak-congak sendiri. "Tak  apalah. Kakak 'try'lah puasa straight 5 hari tu. In syaa ALLAH."

Usai sahaja perbualan dengan keluarga, saya terpaku melihat perkongsian seorang sahabat di laman Facebook. 



Eh? Sebelum ini saya tidak perasan pun yang tanggal 27, 28 dan 29 November ini merupakan hari-hari putih ataupun dikenali sebagai Ayyamul Bidh.

Dari Qatadah bin Milhan ra. yang menceritakan: "Rasulullah SAW memerintahkan kami supaya berpuasa pada hari-hari putih iaitu hari ke-13, 14 dan 15 di mana baginda bersabda: "Berpuasa pada ketiga-tiga hari itu seumpama berpuasa sepanjang masa." 
[Hadis Riwayat Abu Daud]

Kiranya, puasa pada hari Isnin dan Khamis ini seperti yang kita ketahui menjadi amalan Rasulullah. 

Dari Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Segala amal dibentangkan (oleh malaikat ke hadrat ALLAH) pada setiap hari Isnin dan Khamis, oleh itu aku suka amalku dibentangkan semasa aku sedang berpuasa." 
[Hadis Hasan Gharib - Riwayat Tirmizi]

Berpuasa pada bulan Muharram pula merupakan puasa yang paling afdal selepas puasa bulan Ramadan  dan ganjaran berpuasa sehari di dalam bulan Muharram mendapat pahala seperti 30 hari.  

Daripada Abi Hurairah RA, telah bersabda Rasullullah SAW yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan 
seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam." 
[Riwayat Muslim]


Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan 
sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram 
maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari."
 [Dikeluarkan oleh al-Tabrani]


Tidak lupa berpuasa pada hari as-Syura pula in syaa ALLAH dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.





Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)

Daripada Abi Qatadah RA bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: 
"Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." 
[Riwayat Muslim]
Puasa hari Tasu'a (9 Muharram)

Ia disunatkan, walaupun Rasullullah s.a.w. tidak sempat mengerjakannya, bagaimanapun
 baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, 
aku akan berpuasa pada 9 Muharram." 
[Riwayat Ahmad dan Muslim]


Subhana-ALLAH! Masya-ALLAH! ALLAHU AKBAR! Muharram 1434H kali ini, ALLAH memberikan peluang kepada kita semua untuk merebut sebanyak mungkin ganjaran yang telah DIA janjikan. 

Apa yang ditunggu lagi wahai sahabat sahibah sekalian? Ayuh! Bersama kita merebut peluang keemasan ini. Semoga kita diberikan kesempatan oleh ALLAH untuk melaksanakannya. In syaa ALLAH. 

Peluang sebegini hanya datang sekali-sekala sahaja. Peluang yang ada di hadapan mata sebegini jika kita lepaskan, mungkin kita tidak akan berpeluang menemuinya lagi pada masa akan datang. Mungkin sahaja ini peluang terakhir kita sebelum kita dijemput menemui-NYA. Siapa tahu kan? Soal ajal maut segalanya ada pada tangan Yang Maha Khaliq. 

Nota 1: Teruskan berdoa, menyumbang, qunut nazilah, mengikuti dan berkongsi perkembangan saudara kita di Gaza sana. Tidak lupa juga saudara kita di Syria, Rohingya dan di seluruh dunia. Doakan mereka. Doa kita amat bermakna buat mereka. In syaa ALLAH.

Nota 2: Berusahalah supaya ALLAH tidak menghijabkan doa kita. Bersama kita perbaiki diri ke arah kebaikan. Bersama kita mengislah diri ke arah menjadi individu muslim yang soleh dan musleh. 

"Mahu berubah, tidak semestinya perlu berkahwin terlebih dahulu. Mahu berkahwin, pastinya perlu berubah. Sebabnya kitalah yang akan mencorakkan 'masjid' yang dibina." 

Nota 3: Kesindiran itu makin melukakan hati. Berterus teranglah, berlemah lembutlah dalam menyampaikan kebaikan. Sifat seorang dai'e itu adalah seorang yang pemujuk bukannya pengutuk. Seorang dai'e itu adalah bersikap membina jambatan dan tautan bukannya membina tembok pemisah. Dai'e itu bertindak mengajak bukannya mengajar. 

Sunday, November 18, 2012

Bumi Gaza Berdarah Lagi...

Assalamu'alaikum wbt.

14 November 2012 - Gaza, Palestin. Israel telah menyerang Gaza dan mengakibatkan Ahmad Jabari, pemimpin HAMAS merangkap pemimpin nombor 2 Izzudin al-Qassam yang juga bertanggungjawab membebaskan Gilad Shalit syahid terkena peluru berpandu Israel. 


Masuk hari ini sudah 4 hari bumi Gaza kembali berdarah. Pastinya sudah tidak terhitung berapakah bilangan penduduk Gaza yang terkorban dan tercedera. Mereka yang terbunuh itu pula terdiri daripada orang awam yang tidak berdosa, wanita dan kanak-kanak.  Namun Israel masih lagi mahu menafikan bahawa merekalah yang bersalah. Mereka masih lagi mahu mengatakan bahawa mereka hanya sekadar menyerang Palestin untuk mempertahankan diri. Heh! Mempertahankan dirikah namanya jika di pihak Israel tiada seorang pun yang terkorban dan terbunuh sedangkan di pihak Palestin sudah ada yang terkorban dan sudah ramai yang tercedera termasuklah wanita dan kanan-kanak? 


Israel and the mainstream media always start the timeline too late. The fact is that after a 2-week lull in violence, Israeli soldiers invaded Gaza on November 8, starting an inevitable escalation in which 6 Palestinians civilians were killed, including 3 children, and more than 50 others were wounded. The Israeli totals: 0 killed, 9 injured. On November 14, the Israeli assassinated a top Gaza official and "Operation Pillar of Force" began. You decide: Just who is the aggressor?

Melihat kepada mangsa-mangsa yang terkorban dan tercedera, saya jadi takut sendiri. Bayangkan, badan mereka berlumuran darah, namun wajah mereka masih kelihatan berseri-seri. Ekspresi wajah mereka menggambarkan kecederaan yang dialami itu tidak sakit langsung! Masya-ALLAH! Saya ini, kaki tercedera sikit pun, sudah berkerut seribu menahan sakit. ALLAHU AKBAR! Betapa mereka tidak takut dengan kesakitan itu. Betapa mereka yakin bahawa mereka di pihak yang benar. Betapa anak-anak kecil itu pun sudah faham erti jihad dan syahid.

Jika saya berada di tempat mereka, adakah saya juga akan jadi sebegitu? Ya, itulah yang saya takutkan. Saya yang sudah berusia 22 tahun ini masih tidak yakin bahawasanya saya boleh menjadi seperti mereka. Astaghfirullah...Astaghfirullah...Astaghfirullah...

Saudara kita di Gaza sana sedang bertarung dengan kematian. Ada di antara mereka sudahpun diijabkabulkan dengan syahid. Kita pula bagaimana? Apakah yang telah kita lakukan untuk mereka dan untuk Islam?

Jangan kasihankan mereka. Kasihanlah pada diri kita sendiri. Apa yang mahu kita jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila ditanyakan tentang tindakan yang kita sudah lakukan untuk menyelamatkan penduduk Gaza? Apakah yang kita sudah lakukan untuk menegakkan Islam di muka bumi ALLAH ini?

Marilah kita sama-sama berusaha untuk membantuk saudara seagama kita di Gaza sana dan seluruh penduduk Islam. Marilah kita bersama-sama menegakkan kembali syiar Islam.

Antara usaha yang boleh kita lakukan ialah:
1. Berdemonstrasi membantah tindakan Israel.
2. Berkongsi tentang kisah-kisah Palestin dan serangan Israel.
3. Berdoa untuk saudara kita di Gaza.
4. Membaca qunut nazilah buat saudara kita di sana.

5. Boikot barangan yang membantu Israel seperti Mc Donald's dan Starbucks.
6. Memperbaiki diri menjadi individu muslim yang soleh dan musleh.
7. Memperhebatkan kerja-kerja dakwah.

Penduduk Korea Selatan mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Israel. Orang Korea yang bukan Islam ini pun menentang serangan Israel terhadap Palestin. Bagaimana pula dengan kita yang sudah sedia beragama Islam ini?



Tuesday, November 13, 2012

Esok Hari Terakhir Bagi Tahun 1433H. Jom Baca Doa Akhir dan Awal Tahun~!

Assalamu'alaikum wbt.

Hari ini 28 Zulhijjah 1433H. Esok 29 Zulhijjah 1433H. Lusa 1 Muharram 1434H.

Omo! Sudah mahu masuk tahun baharu hijrah rupanya. Sekejap sungguh masa berlalu. Pagi, petang, malam. Bertambah satu hari lagi. Bulan menghilang berganti matahari. Bertambah satu hari lagi.

Esok merupakan hari terakhir bagi tahu 1433H. Lusa kita akan melangkah ke tahun baharu 1434H pula. Jom, kita sama-sama membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun petang esok. Yuk!

Doa Akhir Tahun
- Dibaca selepas Asar pada hari terakhir Zulhijjah sebanyak 3 kali.
- Sesiapa yang membaca doa akhir tahun ini, syaitan akan berkata, "Sia-sialah kerja aku menggoda kamu selama setahun ini."

Doa Awal Tahun
- Dibaca selepas Maghrib pada malam pertama Muharram sebanyak 3 kali. (Waktu Maghrib pada akhir Zulhijjah itu sudah dikira sebagai malam pertama Muharram)
- Sesiapa yang membaca doa awal tahun ini, ALLAH akan memelihara dirinya daripada godaan syaitan sepanjang setahun itu. Insya-ALLAH.


Semoga setahun yang kian berlalu ini dirahmati dan diredhai ALLAH. Semoga tahun yang akan mendatang ini juga kita diberkati-NYA. Insya-ALLAH.

Nota 1: Hati ini berbunga-bunga riang kala ini. Bingkisan rindu dari insan kesayangan telah menceriakan hari saya. Terima kasih banyak-banyak. Jazakillahu khairan^^

Nota 2: Saya berjanji mahu berkongsi mengenai amalan awal Muharram kan? Maaf, masih belum berkesempatan untuk menulis mengenainya. Insya-ALLAH esok saya akan update.

Masih bertungkus-lumus menyiapkan bahan untuk presentation The Veil (Hijab) pada hari Khamis nanti. Doakan. Berdebar dan gemuruh jadinya apabila mengenangkan hari presentation nanti.

Saturday, November 10, 2012

10/11/12 Cantiknya tarikh~! :D

Assalamu'alaikum wbt.

10 November 2012, Sabtu. Mahu lagi cantik, 10/11/12.  Cantik kan susunan tarikh ini? Teratur gitu...:D

Alhamdulillah thumma alhamdulillah, hari ini, saya masih lagi diizinkan-NYA untuk menghirup udara segar ciptaan DIA Yang Maha Mencipta. Alhamdulillah. Syukran lillah. Hamdan lillah.

Pada tarikh yang sama, 10 November, 22 tahun yang lalu, saya telah dilahirkan ke dunia ini oleh insan mulia yang bergelar ibu yang saya panggil Ummi. Oh ya, untuk lebih spesifik lagi, saya dilahirkan pada waktu pagi, sekitar jam 9 begitu pada hari Sabtu. Hari ini juga hari Sabtu bukan? Kiranya tahun ini berganda-ganda istimewanya tarikh 10 November itu buat saya. Kerana apa? Kerana pada tarikh yang sama dan pada hari yang sama, 22 tahun yang lepas, saya telah diizinkan ALLAH menjengukkan diri ke dunia yang fana dan penuh pancaroba ini. Ummi pun teruja dengan tarikh ulang tahun kelahiran saya ini lewat perbualan kami malam tadi.

Malam tadi Ummi dan We sudah mengucapkan siap-siap ucapan selamat kepada anak sulung mereka ini. Ummi siap berikan tips untuk awal Muharam lagi. Nanti saya akan kongsikan pada entri berikutnya. Insya-ALLAH. Paling saya tidak tahan, apabila Ummi sebut begini, "Nak doa minta dicepatkan jodoh ke...Nak kahwin bila ke...semua pun boleh..." Ahaks! Saya gelak saja sepanjang mendengar sesi tazkirah dari Ummi. :D

Adik Ema dan adik Eya juga sudah wish happy birthday siap-siap pada kakak mereka yang garang ini. Itu komentar yang saya dengar daripada Ummi. Haha. Garang sangat ke saya ini? Tegas itu mungkin. Garang...Hmm...Tak pasti. Hee.

Adik Zakwan tidak mahu bercakap dengan saya. Dia merajuk. Sebabnya dia tak dapat kek. Asal birthday saja mahu kek. Tak kira birthday siapa. Mana boleh. Terus merajuk tak mahu cakap. Comel sungguh kerenah si bongsu.

Awal pagi tadi, saya menerima warkah berlagu rindu dari insan kesayangan. Insan yang sudah saya anggap seperti kakak sendiri, insan yang dinaiktarafkan menjadi sepupu, walau pada hakikatnya kami sekadar bau-bau bacang sahaja. Emel yang membuatkan saya mampu tersenyum lebar. Juga mampu membuatkan saya tercebik-cebik terharu dan sebak. Sungguh bermakna. Pada saya, tanda ingatan itu yang penting. Hadiah itu sekadar pelengkap kepada ingatan. Sangat-sangat terharu dan menghargainya. Terima kasih banyak-banyak kak Ila. Antara detik-detik terindah dalam hidupku, adalah saat-saat bersamamu. Hee!

Sebahagian daripada isi Warkah Berlagu Rindu :')
           
Gambar kenang-kenangan kami berdua di Aquaria KLCC sewaktu pulang bercuti musim sejuk 2011/2012
Tengah hari tadi sewaktu pertemuan meneguk sedikit pengisian jiwa juga saya diraikan dengan sebiji kek comel. Alhamdulillah. Murah rezeki hari ini. Alhamdulillah. Terima kasih ya semua. ^^

Hari ini di sini ada program anjuran ISMA Korea yang dinamakan HARWANIS. Akronim bagi Hari Wanita Islam. Saya dan beberapa orang sahabat yang mewakili ILHAM Enterprise dijemput untuk membuka booth jualan di sana. Alhamdulillah, murah rezeki hari ini. Jualannya alhamdulillah laris. Ilmu juga dapat. Terima kasih dan ucapan penghargaan kepada pihak penganjur atas kesudian menjemput kami bagi menjayakan program pada hari ini. ^^ Oh, tidak lupa juga kepada semua yang membantu. Kepada sahabat yang membantu membawa barang jualan dan semuanya. Semoga ALLAH membalas kalian dengan kebaikan. Insya-ALLAH.

Oh ya, sewaktu di HARWANIS tadi, peserta secara beramai-ramai menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir buat saya. Alahai...terharu jadinya. Waktu itu, tidak tahu mahu bereaksi bagaimana. Senyum salah. Menangis pun salah. Hah ha! Jangan tidak tahu, saya ini pemalu orangnya. :D

Sampai sahaja di bilik, mata saya tertangkap figura comel ini. Tak semena-mena terbit senyuman di bibir. Melihat kepada kad comel ini sahaja saya sudah dapat meneka siapakan gerangan pemberinya. Terima kasih, Huda^^
Kad comel posing di atas Adham. (Opss...pegawai baru di Kedutaan Malaysia  nama Encik Adham tahu! Selepas ini perlu berhati-hati menyebut nama 'Adham'. Risau lain yang saya maksudkan, lain pula yang orang faham. Huhu

Terima kasih kepada semua yang mengucapkan ucapan selamat kepada saya hari ini. Nisaa, Fatehah, Mus, Ninda's group, juniors and seniors dan semualah yang telah mewarnakan hari saya pada hari ini dengan ucapan-ucapan anda itu. Maaf, nama banyak sangat untuk disebut satu persatu.

Apapun, hari ini merupakan suatu hari yang indah dan bermakna buat saya. Terima kasih kepada semua yang telah melakarkan warna yang indah pada kanvas hidup saya yang bertarikh 10.11.12 ini.
Semoga ALLAH merahmati dan meredhai kalian semua. Ameen. Insya-ALLAH.

Oh, Nadzirah ada cakap pada saya, tarikh ini akan diingat selalu. Haida pula bagitahu, tarikh ini kalau dibuat tarikh walimah pun cantik. Memang cantik dan memang akan diingati selalu pun...Hee. Dato' Lee Chong Wei dah ambil tarikh cantik ini untuk perkahwinan dia. Jadi saya perlu pilih tarikh lain nanti. :P

Maaf, berceloteh panjang pula pada entri kali ini. Sekadar secebis kisah melengkapkan diari diri yang serba lemah ini.

Nota : Tahniah kepada barisan kepimpinan baru PPMK 2012/2013 yang dicalonkan dan yang sudah menang tanpa bertanding. Semoga tampuk pimpinan kali ini memberikan impak yang bermakna kepada warga Malaysia di Korea untuk setahun yang akan datang. Insya-ALLAH.


Sunday, October 14, 2012

Selamat Ulang Tahun, Kesayanganku...

Assalamu'alaikum wbt.

[Disclaimer : Post ini sepatutnya dikeluarkan pada 12 Oktober 2012 (Jumaat) kelmarin. Namun disebabkan oleh kekangan masa, baru hari ini dapat dikeluarkan.]

12 Oktober 1989 - 12 Oktober 2012

Pada keheningan dan ketenangan yaumul ayyam - Jumaat, sang arjuna menjabat tangan wali sang gadis. Sedari saat lafaz sakinah dilafazkan, terpikulnya suatu tanggungjawab di pundak si teruna terhadap si dara. Tanggungjawab yang telah beralih daripada si bapa kepada si suami.

Bermulalah pertukaran status daripada seorang bujang kepada seorang yang sudah berkahwin pada tanggal 12 Oktober 1989 bersamaan dengan 12 Rabiul Awal 1410H. Kemudiannya bertukar status lagi kepada ibu dan ayah setahun sebulan berikutnya. Dikurniakan 4 orang cahaya mata - 3 puteri dan seorang putera, bahtera yang dibina terus berlayar menuju ke destinasi yang diredhai Ilahi. Insya-ALLAH.

Pejam celik, pejam celik, sudah 23 tahun berlalu. Bermakna sudah 23 tahun mereka hidup berdua. Oh, sekarang sudah berenam ya! Sungguh cepat masa berlalu, bukan?

Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-23 buat Ummi dan We. Happy 23rd Anniversary, love.  

Dulu berdua. Kita berenam. :D

Saya tahu, sepanjang menjalani kehidupan berumah tangga selama 23 tahun ini, pastinya banyak dugaan, ujian dan halangan yang telah Ummi dan We hadapi dan tangani. Ada yang saya sendiri nampak dan ada yang tidak. Mungkin ada juga di antaranya tidak saya mahupun adik-adik ketahui. 

As fas as I know, marriage itself is a gamble. Oho. Jangan salah faham ya. Perkahwinan itu suatu percaturan. Kenapa saya katakan begitu? Sebab...kita sendiri tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Yang perlu dan harus kita lakukan hanyalah berusaha untuk melakukan yang terbaik. Itu sahaja. 

Pada saya, perkahwinan yang dibina itu bukan sekadar untuk kita berkongsi kegembiraan, kasih sayang, cinta dan rindu dendam sahaja. Pada saya, perkahwinan memerlukan sesuatu yang lebih daripada itu. Ia perlulah diisi dengan rasa penuh tanggungjawab dan berusaha memainkan peranan masing-masing sebaik yang mungkin. Setakat cinta sahaja tidak cukup. Rasa cinta itu akan pudar seiring dengan perjalanan waktu. Apa yang membuatkan rasa cinta itu makin memutik dan bercambah dari sehari ke sehari adalah rasa tanggungjawab yang tersemat kukuh di hati. Tanggungjawab itulah yang memandu dan mengikat tali perkahwinan antara dua insan berbeza ini. Peranan yang dimainkan inilah yang memekarkan dan menghidupkan kehidupan berumah tangga.

Ingat senang ke mahu berurusan dengan orang yang berbeza sama sekali dengan kita? Walaupun saya belum mengalaminya sendiri, namun saya percaya benda ini tidak mudah. Tidak semudah kita memetik jari. Tidak sesenang kita mengira 1,2,3 dan mengeja A,B,C...Oho. Tidak semudah itu!

Tak percaya? Cubalah luangkan sedikit masa mendengar kisah dan pengalaman orang yang lebih tua. Cuba tanya pada Mama-Papa, Ibu-Ayah, Ummi-Abah, Mak-Babah, Mummy-Daddy, Ummi-Abi, Mama-Baba, Ummi-We, Ummi-Walid masing-masing. Ada lagi ke panggilan yang tidak saya sebut? Hoho. Cubalah tanyakan pengalaman mereka. Pasti awak semua akan temui satu konklusi yang mengatakan bahawa perkahwinan itu tidak semanis yang diimpi dan tidak seindah yang dimimpi. Pastinya banyak susah-senang dan jatuh-bangun yang telah kedua ibu bapa kita hadapi sepanjang tempoh mereka membina mahligai cinta. 

Walau apapun, saya percaya, setiap perkahwinan yang dibina pastinya mahukan bahagia. Setiap pasangan yang berkahwin mahukan panas berpanjangan hingga ke petang. Semuanya mahu membina rumah tangga yang dilimpahi dengan sakinah, rahmah dan mawaddah. Insya-ALLAH. 

Ummi dan We berkahwin pada usia mereka 22 tahun. Walaupun pada masa itu orang-orang sudah menganggap sudah agak lambat mendirikan rumah tangga, namun saya kira pada masa sekarang, usia sebegitu agak awal dan agak muda untuk memikul tanggungjawab besar ini. Sementelah saya juga menjangkau usia 22 tahun pada tahun ini. Err...rasa memang tak bersedia dan berat tanggungjawab yang mahu dipikul. 

Sungguh, saya rasa kagum pada mereka yang berkahwin pada usia sebegini. Tahniah dan syabas saya ucapkan. :')

Bila sudah berkahwin, pastinya akan hadir buah hati penyeri rumah tangga bukan? Pastinya setiap pasangan suami isteri mengimpikan kehadiran cahaya mata - penambat kasih sayang dan bukti cinta mereka. Anak itu pula perlulah dididik dengan didikan yang sempurna, diberikan didikan agama yang secukupnya, dipenuhi setiap keperluan mereka dan sebagainya. Semua itu memerlukan kudrat dan usaha yang bukan sedikit. Bagaimana mungkin anak-anak yang dilahirkan dapat dididik dengan sempurna sekiranya ibu bapa tidak bersedia untuk menimang cahaya mata? 

Awak semua dan saya yang lahir dan ada di sini pada hari ini adalah hasil didikan dan asuhan kedua ibu bapa kita. Kesolehahan kita pada hari ini adalah hasil daripada kesolehahan ibu bapa kita. Kesolehahan anak-anak kita nanti bergantung kepada kesolehahan kita pada hari ini. Agak seram kan? Makna kata, andai kita mahukan anak yang soleh dan solehah, kita dahululah yang kena menjadi soleh dan solehah. Sebab itulah perlu mempersiapkan diri bermula dari sekarang. 

Buat Ummi dan We, 
Kakak, adik Ema, adik Eya dan adik Zakwan bangga menjadi anak-anak Ummi dan We. 
Kami harap, Ummi dan We juga berbangga mempunyai kami sebagai anak-anak Ummi dan We. 
Semoga ALLAH sentiasa melindungi kita sekeluarga, meredhai dan merahmati kita semua. Insya-ALLAH.
Semoga ALLAH memberikan kesempatan untuk diri ini berbakti kepada kalian berdua.
Semoga ALLAH mengizinkan diri ini membalas setiap jasa dan pengorbanan kalian berdua.
Ameen. Insya-ALLAH.

Selamat ulang tahun, kesayanganku...
Tidak sedar 23 tahun telah berlalu
23 tahun yang penuh dengan onak dan liku
Moga terus tabah menongkah waktu

Selamat ulang tahun, kesayanganku...
Ikhlas dari anak-anakmu
Yang sentiasa merindui kalian setiap waktu
Yang sentiasa mengingati kalian lewat doaku

Selamat ulang tahun, kesayanganku...
Semoga terus menggapai bahagia hingga ke hujung nyawamu
Semoga mahligai cinta yang dibina diredhai Tuhanmu dan Tuhanku
Semoga kita semua dapat berkumpul lagi di syurga DIA Yang Satu.
Insya-ALLAH.

Nota 1 : Takziah diucapkan kepada Cikgu Nik Wel sekeluarga yang telah kehilangan ibu tercinta pada 12 Oktober 2012 kelmarin. Takziah juga buat Azurien sekeluarga yang telah kehilangan nenek tersayang pada 13 Oktober 2012 semalam. 

Nota 2 : Happy belated birthday to my youngest sister. Selamat hari lahir adik. Hadiah claim tahun depan-depan deh :P Jawab exam molek. Kakak doakan yang terbaik. Insya-ALLAH. Cuti nanti, dok rumah molek. :D

Happy birthday to my roommate, Aisyah. Menjadi tak surprise birthday party tu? Hehe.

Nota 3 : Sungguh, peringatan ALLAH itu sentiasa ada bukan? Kelmarin saya dan keluarga bergembira menyambut ulang tahun perkahwinan Ummi dan We. Kelmarin juga ada yang ALLAH panggil menemui-NYA. Semalam kami bergembira menyambut ulang tahun kelahiran Aisyah dan bersuka ria di jamuan batch 9. Semalam juga ALLAH menjemput seorang lagi hamba-NYA pergi menghadap DIA. 

Nota 4 : Selamat menduduki peperiksaan pertengahan semester buat semua yang akan menghadapinya bermula esok. Rabbuna yusahhil wa yubarik. Rabbi yassir wala tu'assir. 

SKKU akan midterm exam pada 22-26 Oktober nanti. Berhari raya haji sambil jawab exam sajalah jawabnya. :'(









Saturday, June 16, 2012

Ada Manis Dalam Pahitnya Pengalaman Itu

Assalamu'alaikum wbt.

16 Jun 2012. Tarikh ini dengan rasminya Persatuan Pelajar Malaysia Korea (PPMK) membuka keahliannya kepada semua warga Malaysia yang berada di Korea Selatan. Sebelum ini PPMK hanya terbuka kepada pelajar tajaan JPA sahaja. Alhamdulillah. Together we unite. Eh.

16 Jun 2012 juga dah tinggalkan banyak kenangan pada saya. Dalam pahit ada manisnya. Alhamdulillah, ALLAH pilih saya untuk lalui semua ini. Err...apa yang dah berlaku sepanjang hari ini?

Huu. Pengalaman yang insya-ALLAH tak akan saya lupakan la.

Pagi tadi, sebelum ke Seoul, turun bawah mahu print kertas, rosak pulak dah printer kat bawah tu. Biasanya budak hostel print kat situ je. Terpaksa la menapak ke bangunan 51 untuk print. On the way nak ke bangunan 51 tu, terserempak dengan Haida kat tengah jalan. Tanyalah dia nak ke mana? Katanya mahu ke bilik exam semalam, tertinggal telefon di situ. Saya cakap la pada dia, "Ni mesti fokus sangat study ni, sampai lupa phone. Insya-ALLAH ada la tu phonenya." Sekuntum senyuman saya berikan pada dia. Harapnya kegusaran dia tu terubat la sikit kan.

Perjalanan ke Seoul diteruskan. Tiada apa-apa yang istimewa. Smooth je perjalanan. Nak naik bas dari Sindorim Station ke DMU pun tak perlu tunggu lama. Terus je naik bas 6640 lepas lintas jalan. Tak ramai pula tu orang dalam bas. Alhamdulillah, dapat la saya duduk. Seat untuk dua orang tu, saya duduk sorang je. Heaven kan? :')

Tiga stesen lepas tu, buka je pintu bas, terus saya tick T-Money dan menonong turun bas. Tadi waktu dalam bas, saya sudah berura-ura untuk call Ayla, mahu tanya dia di mana. Turun je bas, terus la capai telefon dalam poket baju. Eh? Mana telefon? Seingat saya, memang saya letak dalam poket baju. Tak macam selalu, saya suka letak telefon dalam beg. Terus selongkar beg. Kot la waktu dalam subway tadi saya letak telefon dalam beg kan. Selongkar punya selongkar, tak jumpa pun telefon. Bas dah pergi dah.
Huu.

Confirm la telefon tu terjatuh di tempat duduk yang saya duduk dalam bas tadi kan? ALLAH! Tadi baru je bercakap dengan Haida yang tertinggal telefon dia di dewan exam. Sekarang ni, saya pula yang tertinggal telefon di dalam bas! Masa ni, saya tak rasa berdebar-debar sangat. Saya yakin yang saya akan jumpa telefon saya balik. Tak tahu la dari mana datangnya keyakinan itu. Pastilah dari ALLAH kan?

Terus saya bergerak ke dewan perasmian pembukaan PPMK. Sampai sahaja di sana, orang-orang besar sudah mahu bergerak ke dewan makan. Ada BBQ tau. Hadirin juga sudah berpusu-pusu keluar dewan. Sempat lagi bersalaman dengan senior-senior dan junior-junior. Sempat lagi dihulurkan kad jemputan walimah senior. :D

Kemudian, barulah saya sibuk-sibuk tanya mereka, bagaimana mahu pergi ke tempat bas-bas berkumpul. Macam mana mahu dapatkan balik telefon yang tertinggal atas bas. Mereke ceritakan la juga pengalaman mereka yang pernah kehilangan telefon. Tapi, waktu tu telefon biasa la. Smartphone belum pernah ada pengalaman lagi. :'(

Mereka berikan kata-kata harapan pada saya. Insya-ALLAH, saya akan dapat balik telefon saya, kata mereka sambil tersenyum dan mengusap-usap bahu saya. Perlu keep calling la nombor saya tu katanya. Moga-moga ada yang jumpa telefon saya dan pulangkan balik telefon tu.

Saya pinjam telefon Wani dan mulalah mendail nombor sendiri. Sekali dail tidak berangkat, saya masih cool lagi. Namun, apabila berkali-kali mendail masih juga tidak berangkat, saya sudah berdebar-debar semacam. Selama tiga tahun saya pakai Humaira', belum pernah lagi tercicir atau tertinggal Humaira' di mana-mana. Aswad ini, baru nak masuk tiga bulan saya pakai, sudah hilang. Huu. Sudah la minggu depan mahu pulang ke Malaysia. Masak la saya kalau mahu bayar balik harga smartphone ni. Huu.

Penat mendail, saya dapatkan kawan-kawan dan bersembang ala kadar dengan mereka. Tidak mahu memikirkan sangat pasal kehilangan Aswad. Apabila semua sudah mahu bergerak ke tempat BBQ, saya telefon balik. Alhamdulillah, kali ini ada yang menjawab panggilan saya.

Untuk mendapatkan kembali Aswad, saya perlu ke Cheonwang Station. Orang lain bergerak untuk makan, saya pula menongkah arus bergerak keluar mendapatkan kembali bas 6640 ke Cheonwang Station. Sampai sahaja di bus-stop, bas 6640 baru sahaja berlalu. Kena la tunggu 10 minit lagi.

Waktu menunggu bas seterusnya, saya duduk di bangku yang disediakan. Kemudian, ada seorang mak cik duduk di sebelah saya. Anaknya berdiri di sebelah kirinya. Usai je duduk, dia berpaling pada saya dan bertanya, "Tak panas ke pakai macam ni?" Ditunjukkan pada tudung yang saya pakai. "Kenapa awak pakai macam ni ye? Panas-panas ni..."

Saya katakan padanya yang saya Muslim, jadi perlulah pakai tudung. Kemudian dia tanya saya, "Muslim itu apa?"

Saya jawab, "Muslim itu...Islam. Islam itu suatu agama." Mak cik itu nampaknya terangguk-angguk. Anaknya di sebelah mencuitnya. "Mak, tak payah la tanya. Kan mak tahu je Islam tu agama." Itu yang anak mak cik itu cakapkan.

"Biarlah mak nak tanya. Curious tau, nak tahu kenapa orang Islam nak pakai macam tu.." Balas mak cik itu agak tidak berpuas hati dengan teguran anaknya.

Kemudian mak cik itu berpaling kembali pada saya dan bertanya, "Oh...Muhammad kan?"

Saya mengangguk dan mengiyakan. "Muhammad tu manusia kan? Awak, orang Islam ni, sembah manusia la ye?"

Untuk jawapan yang pertama saya katakan, "Ya, Muhammad itu manusia." Saya terus menggeleng untuk soalan yang kedua. "Kami tak sembah Muhammad. Kami sembah ALLAH..."

Tak sempat saya melanjutkan jawapan, mak cik itu bertanya lagi, "ALLAH itu siapa?"

Saya cakap, "ALLAH itu Tuhan yang Maha Pencipta. (알라신 우리 하나님이예요.)"
[신 (baca: Shin) = God]
[하나님 (baca: Hananim) = God, Creator, the Lord, the AlMighty)]

Mak cik tu tanya, "알라가 보일 수 있는 신? 아니면 보일 수 않은 신?" (ALLAH tu, Tuhan yang boleh tengok ke..Tuhan yang tak boleh tengok?)

Saya jawab la, "ALLAH tu Tuhan yang tak boleh tengok."

Mak cik tu tanya lagi, "Habis sekarang ni, ALLAH awak tu, 신 (Tuhan) ke 하나님 (Yang Maha Pencipta)?"

Saya ulang lagi cakap yang ALLAH itu Tuhan yang Maha Pencipta. Mak cik tu tak berpuas hati dengan jawapan saya, dia cakap, "Cuba awak fikir ye. Manusia ni Tuhan (신; Shin) yang cipta. Kalau macam tu, mestilah ada yang cipta Tuhan juga. Awak tak pernah fikir ke ada yang cipta ALLAH tu?"

ALLAH! Saya masa ni, dalam kepala macam-macam ayat dah tersusun, sayangnya, bait-bait kata itu tidak terluah oleh bibir. Hati dan akal saling bertingkah dengan pelbagai jawapan untuk menangkis kata-kata mak cik di sebelah kiri saya ini. Namun, mulut dan lidah bagaikan kelu dan kaku, terus membisu seribu bahasa. Hati saya merintih hiba saat itu.

Mak cik tu sambung lagi, "Itulah dia 하나님; Hananim. Tapi ALLAH awak tu siapa pula yang cipta? ALLAH awak tu Shin tau, bukan Hananim. Agama saya ni barulah Hananim. Awak ini, beza Shin dan Hananim pun awak tak tahu." Saya nampak, anak mak cik itu tidak sudah mencuit dan memujuk ibunya supaya berhenti bersoal jawab dengan saya.

Namun mak cik itu masih tegar memuntahkan berdas-das tembakan soalan pada saya yang nyata terkelu seribu bahasa saat ini. Hanya mata yang terkelip-kelip memandang mak cik tu. Akal memproses segala kata-katanya. Hati membantah keras setiap kata-katanya. Namun tidak terluah dengan kata-kata. ALLAHU ALLAH. Betapa lemahnya saya rasakan saat itu.

"Awak, perlu ke tempat ibadah kami, baca kitab kami, pelajari agama kami. Kemudian, baru awak tahu, apa itu Shin, apa itu Hananim." Saya hanya mampu ukirkan senyuman yang saya rasakan agak hambar dan menganggukkan kepala sedikit pada mak cik itu.

"Awak belajar di mana?" Mak cik itu nampaknya sudah beralih topik. Mungkin perasan yang saya sedari tadi sudah menjadi bisu sambil mata tidak lepas memandang skrin yang memaparkan masa ketibaan bas.

"Sungkyunkwan University." Jawab saya perlahan.

"Awak budak pandai nampaknya. Sungkyunkwan University itu antara universiti yang bagus di Korea ini. Bahasa Korea awak pun agak bagus. Jadi, awak boleh belajar tentang agama kami. Sungkyunkwan University pun berasaskan Confucius kan? Belajarlah tentang kepercayaan itu juga." Mak cik itu menasihati saya panjang lebar.

Saya hanya mampu menganggukkan kepala. "Belajar rajin-rajin ye. Mak cik pergi dulu. Bas dah sampai." Dihulurkan senyuman manis buat saya, lalu dia terus berlalu bersama anaknya menaiki bas.

Saya? Memandang setiap langkah mak cik tersebut sehingga kelibat mereka hilang. Bibir masih kelu. Hati merintih kesedihan. Apabila bas 6640 sampai, terus saya naik. Duduk. Memandang ke luar tingkap sambil hati berbicara. Masih terngiang-ngiang setiap kata-kata mak cik tadi. Bagai terlayar di hadapan mata, reaksi saya yang kaku membeku. Dada terasa sesak dan sebak. Tanpa sedar air mata bergenang. ALLAH, maafkan diri ini yang tidak mampu menjelaskan tentang agama-MU kepada mak cik tadi. Betapa berdosanya diri ini rasakan saat tidak dapat menjawab setiap pertanyaan mak cik itu tadi.

Sungguh, ALLAH mahu tunjukkan pada saya tentang sesuatu. Perlu belajar untuk menjawab hujah-hujah orang seperti mak cik tadi. Mungkin dia sudah tahu tentang Islam, tentang ALLAH. Mungkin dia hanya mahu memprovok saya. Namun, betapa kerdilnya diri ini rasakan apabila tidak mampu menjawab dan menjelaskan setiap provokannya dengan penuh berhikmah. ALLAHU ALLAH.

Sampai sahaja di Cheonwang Station, saya menelefon orang yang menjumpai Aswad. Tidak lama kemudian, kakak itu datang membawakan Aswad pada saya. Alhamdulillah. ALLAH izinkan kakak ini tergerak hati untuk mengambil Aswad dan mengembalikannya kepada saya. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.

Sewaktu menunggu bas untuk kembali ke DMU, saya ditegur oleh seorang mak cik. Saya tahu mak cik ini orang gereja. Sebabnya dia menyediakan air di laluan pejalan kaki itu dan memberikannya kepada semua yang melalui laluan itu sambil menyebarkan dakyah agamanya. Soalannya masih berkisar tentang tudung yang saya pakai.

"Tak panas ke awak pakai macam tu?" Tegurnya lembut sambil tersenyum dan menghulurkan secawan kopi ais pada saya.

"Panas la jugak. Tapi memang Islam suruh saya pakai macam ni." Begitulah lebih kurang saya jawab pada mak cik tu. Kalau nak kata tak panas, itu tipu la kan?

"Mak cik tahu awak Islam." Mak cik itu senyum lagi. Saya juga hanya tersenyum mendengar jawapannya.

"Awak minta la dengan Tuhan awak supaya dia bagi awak kebebasan. Minta pada dia supaya awak tak perlu lagi pakai tutup-tutup macam tu. Tuhan awak mesti baik kan? Mintalah pada dia. Tuhan kami pun baik jugak. Kami minta je apa-apa yang kami mahu pada dia." Murah sungguh senyuman mak cik ini. Sempat lagi promote agama dia.

Saya cuma tayangkan gigi pada mak cik itu. Nak tergelak sebenarnya. ALLAH suruh orang perempuan tutup aurat sebab DIA memang tahu, ini yang terbaik untuk orang perempuan. DIA mahu menjaga maruah dan kehormatan seorang wanita. Boleh pula mak cik ini suruh minta pada ALLAH macam tu...Terubat sedikit walang di hati mendengar nasihat mak cik ini.

Kemudian mak cik itu kembali ke mejanya. Setiap yang lalu pasti akan singgah untuk minum kopi ais. Sebelum orang itu berlalu pergi, pasti mak cik itu pesan supaya ke gereja, supaya belajar agama. Mak cik itu menyampaikan pesanan dengan penuh lemah-lembut dan menayangkan muka yang manis. Si pendengar pula, hanya mengangguk dan tersenyum.

Sungguh, hari ini saya diduga oleh ALLAH dengan kehilangan Aswad walaupun sekejap cuma. Kemudian ALLAH hadirkan dua orang mak cik yang berbeza perwatakannya bertanyakan saya perihal Islam. ALLAH hadirkan juga seorang kakak yang baik hati memulangkan kembali Aswad pada saya.

Cantik kan aturan ALLAH? ALLAH bagi saya kepahitan, kesedihan, kegelisahan...Kemudian, ALLAH bagi saya kegembiraan dan kemanisan pengalaman. Sungguh, pengalaman hari ini sungguh manis. Pahit pada mulanya, namun manis pada akhirnya.

Banyak yang saya belajar dari apa yang terjadi hari ini. Harapnya, awak yang membaca, mengambil teladan dan pedoman dari kisah saya ini. Harapnya awak semua tidak menjadi seperti saya yang kelu seribu bahasa saat ditanyakan tentang Islam. Tak terkeluar segala bahasa Korea yang tersusun di kepala waktu itu. Sedihnya rasa ALLAH sahaja yang tahu. Moga ALLAH memberikan taufik dan hidayah pada mak cik tadi dan kepada kita semua agar terus mendekati-NYA. Insya-ALLAH.