Showing posts with label Novel. Show all posts
Showing posts with label Novel. Show all posts

Saturday, September 24, 2011

Berubah 11

Faizi duduk bersandar di tepi dinding bersama gitar miliknya. Dibetulkan tuning pada tali gitar. Sudah lama dia tidak memegang gitar kesayangannya itu. Sibuk dengan pelbagai kerja dan tugasan yang diberikan oleh para pensyarah sehinggakan dia hampir melupai akan kehadiran gitar itu. Sudahnya gitar itu hanya tersadai di sudut bilik sejak hampir dua bulan. Semenjak dia menjejakkan kaki ke DMU ini.
             Berpuas hati dengan bunyi yang dihasilkan, jari jemarinya kasarnya mula berlari-lari di atas tali gitar menghasilkan bunyi yang indah.
             Hazril dan Aqil yang turut berada di dalam bilik ketika itu hanya memandang dirinya yang sedang memetik gitar itu. Mereka sedang menyiapkan tugasan C Programming bersama-sama. Tadi pun dia juga sedang menyiapkan kerja. Setelah siap, terasa ‘gatal tangan’ pula untuk memetik gitar kesayangannya ini.
             Dia punya misi sebenarnya. Dia mahu menyanyikan lagu ini kepada seseorang. Sudah puas dia memikirkan akan hal ini. Rasanya sekarang ini dia sudah benar-benar pasti dengan perasaannya sendiri.
             Alat perakam diambil dan tekan butang on. Perlahan bunyi dari gitar menghasilkan melodi serentak dengan suaranya menyanyikan setiap baris lirik lagu yang sudah pun dihafalnya.
Faizi mengalunkan lagu Terukir di Bintang yang dipopularkan oleh Yuna itu dengan sepenuh perasaan. Apa ingat orang lelaki tak boleh bawa lagu perempuan dengan baik ke?
Jika engkau minta intan permata tak mungkin ku mampu
Tapi sayangkan ku capai bintang dari langit untukmu
Jika engkau minta satu dunia akan aku cuba
Ku hanya mampu jadi milikmu pastikan kau bahagia
Hati ini bukan milik ku lagi
Seribu tahun pun akan ku nanti
Kan… kamu…
Sayangku
Jangan kau persoalkan siapa di hatiku
Terukir di bintang tak mungkin hilang cintaku padamu
Selesai!
Faizi tersenyum puas. Dimatikan rakaman suaranya tadi.
Hazril dan Aqil berpandangan sesama sendiri. Dagu Aqil diangkat sedikit bertanyakan kenapakah kawan mereka merangkap teman sebilik Hazril si Faizi ini jiwang sangat hari ni. Hazril mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Alamak aih… jiwangnya!” Hazril memberikan komen.
“Bahagia nampak…” Giliran Aqil pula bersuara.
Faizi hanya menayangkan senyum lebar.
Aqil menyusun kertas-kertas yang bertaburan di atas meja. Alat-alat tulis dan buku teks C Programming juga disimpan dan disusun elok-elok di sudut meja belajar milik Hazril. Dia kemudiannya bangkit dari duduknya. Kakinya dihalakan ke tempat Faizi bersandar ditemani gitarnya. Tangannya dihulurkan kepada Faizi meminta untuk memegang gitar milik kawannya itu.
Dengan wajah yang berkerut seribu Faizi akhirnya menghulurkan juga gitarnya kepada Aqil.
“Weh… kau nak buat apa?”
Hazril hanya memerhatikan gelagat kawan-kawannya. Dia juga tertanya-tanya apa yang mahu Aqil lakukan dengan gitar Faizi itu. Jangan dipatahduakan gitar kesayangan Faizi itu sudahlah.
“Nak mainlah. Apa lagi?” Keningnya dijungkitkan tinggi.
“Huh?”
“Kenapa? Tak percaya?”
Aqil melabuhkan duduknya di sebelah Faizi yang masih menayangkan wajah blur dan pelik itu.
“Kau nyanyi lagu Yuna, Terukir di Bintang kan tadi?”
Aqil memetik tali gitar sambil memandang Faizi di sebelah mahukan pengesahan.
“Yup.”
“Okey. Kali ni dengar pula Tak Terukir di Bintang.” Aqil mengangkat keningnya dua kali. Dia tersengih menyenget.
“Weh! Rosak lagu!”
“Dengar dulu… Meh, Mr. Aqil menyanyi pula…”
Aqil memetik gitar. Melodinya sama seperti yang dimainkan oleh Faizi tadi. Agak tergamam juga Faizi dan Hazril dibuatnya. Sama sekali tidak menyangka yang si Aqil ini mampu memetik gitar dengan baik.
Jika engkau minta intan permata tak mungkin ku mampu
Tapi engkau minta wang berjuta
Itu pun ku tak mampu
Jika engkau minta satu dunia
Lagi ku tak mampu
Terburai ketawa Faizi dan Hazril saat mendengar bait lagu yang dinyanyikan oleh Aqil itu. Faizilah yang paling kuat ketawanya.
“Weh! Serius rosak lagu Yuna tu!” Faizi menekan-nekan perutnya. Tak tahan gelak. Aqil hanya menayangkan muka selamba sambil meneruskan nyanyiannya.
Tapi ku mampu jadi imammu pastikan kau bahagia
Kali ini Aqil melebarkan senyumannya sambil menjungkitkan keningnya beberapa kali.
Hati ini hanya milik Ilahi
Yang berikan cinta, yang temukan aku dan …kamu
Sayangku,
Jika ujian datang dari Tuhan untukmu
Tak terukir di bintang segala jawapan
Doa pada Tuhan
Tak terukir di bintang segala jawapan
Cuba baca Al-Quran
Aqil menamatkan nyanyiannya sambil tersenyum. Hazril sudah reda ketawanya. Faizi masih lagi menekan-nekan perutnya. Terkekeh-kekeh dia menggelakkan Aqil. Bagaikan tidak percaya Aqil yang stok baik dan alim ini mampu menyanyi sambil memetik gitar. Siap ubah lirik lagu pula tu!
“Hebatlah kau Aqil! Macam mana boleh terfikir nak ubah lirik sampai macam tu sekali. Hah?”
             Faizi menepuk-nepuk bahu Aqil.
             “Tak adalah. Ini lagu parodi Mr. Bie. Aku tolong mainkan saja.” Aqil tayang giginya yang tersusun rapi sambil menunjukkan wajah selambanya.
             “Ooooh.” Tertipu rupanya. Tapi apapun Aqil masih cukup bagus dalam memetik gitar. Ada bakat terpendam rupanya budak Aqil ni.
             “Gelak. Gelak juga. Lirik tu yang kena hayati.”
             “Baiklah, ustaz!”
             “Yang kau tu… aku tengok memang menghayati lagu tu gaya macam nak propose orang pun ada.” Aqil menebak.
             “Errr…” Faizi garu tengkuknya yang tiba-tiba terasa gatal. Aqil ni mind-reader ke apa? Hampir tepat dan mengena tekaannya.
             “Kalau betul serius, terus jumpa wali dia weh!” Aqil menepuk-nepuk bahu Faizi yang gamam seketika. Kelu tidak mampu berkata apa-apa.

Saturday, July 9, 2011

Berubah 10



“Kak Nia, sayakan semenjak seminggu dua ni asyik rasa lemau saja. Nak buat semua benda pun malas. Nak baca Quran malas. Nak sunat malas. Nak baca al-Ma’turat pun malas. Pendek kata semua pun malaslah. Huhu. Apa saya kena buat ya? Saya tak mahu terus berada dalam keadaan macam ni.”
Khai yang sedang baring bermalas-malasan seusai bacaan al-Ma’thurat tadi terdengar perbualan Layyinah dan kak Nia di sudut surau. Mereka yang lain ada yang kembali ke bilik masing-masing untuk menyediakan sarapan. Kak Maryam dan Farhah juga lesap entah ke mana. Mungkin mereka pergi menolong menyiapkan sarapan. Khai ditugaskan untuk membancuh teh. Kak Nia dan Layyinah pula sedang mengemas surau.
Matanya dipicingkan sedikit ke arah Layyinah yang sedang menghadap kak Nia. Wajah itu kelihatan muram sekali. Dilihatnya kak Nia mengusap bahu Layyinah lembut. Senyum menguntum di bibir kak Nia.
“Hmm… Layyinah sepatutnya melawan perasaan malas itu. Semua itu godaan dan hasutan syaitan. Kak Nia percaya, Layyinah pun tidak mahu terus begitu bukan?”
Layyinah mengangguk lemah. Dari sinar matanya jelas kelihatan yang dia mahu melawan segala rasa malas yang hadir dalam dirinya sejak kebelakangan ini.
“Imam Tirmizi ada cakap, “Al iimaamu yaziidu wa yanqush. Iman itu bertambah dan berkurang. Iman itu ada naik dan turunnya. Yaziidu bittaa’ah, wa yanqushu bil ma’shiyah. Bertambah kerana ketaatan dan berkurang kerana kederhakaan.” Kak Nia percaya, Layyinah pun pernah dengar ayat ni kan?”
Lembut sahaja kak Nia menyusun bicaranya. Matanya menatap redup wajah Layyinah yang sudah berkaca-kaca matanya itu.
“Pernah.”
Pendek sahaja Layyinah menjawab pertanyaan kak Nia itu. Wajahnya ditundukkan. Sesekali dia menyeka air mata yang laju sahaja mengalir ke pipi.
Khai yang sedari tadi memerhatikan drama sebabak itu tersentuh hatinya. Tidak sedar matanya basah. Setiap patah kata yang keluar dari kedua ulas bibir kak Nia terasa bagaikan menusuk ke hatinya. Meresap masuk dan tersimpan kemas di sudut hati.
“Perasaan malas itu hadir hasil daripada bisikan syaitan. Jika kita terikut-ikut dengan bisikan syaitan itu, maka akan tersenyum lebarlah syaitan meraikan kemenangannya. Iya. Iman itu memang akan bertambah dan berkurang, Layyinah. Kak Nia pun sama juga dengan Layyinah. Masih lagi berusaha untuk terus menjadi baik dan lebih baik setiap hari. Untuk itu kita perlu melawan segala rasa malas yang hadir dalam diri. Kita perlu menepis setiap bisikan dan godaan syaitan itu. Biar syaitan menangis, meraung kerana tidak dapat menggoda kita.”
Kak Nia menarik nafas seketika. Bagaikan berat baginya untuk melafazkan kata. Matanya dipejamkan sebentar.
“Kita harus berdoa supaya ALLAH menghindarkan diri kita daripada segala perbuatan maksiat dan dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil. Jangan pernah percayakan diri kita yang kita boleh menghindarkan diri kita daripada melakukannya kerana hanya ALLAH-lah yang mampu menghindarkan kita daripada melakukan segala perbuatan maksiat dan dosa tersebut. Ingatlah bahawa syaitan itu amat licik sekali menggoda manusia. Mohonlah kepada ALLAH agar kita dihindarkan daripada godaan syaitan yang licik ini.”
Setiap ayat yang diluahkan itu seolah-olah suatu bisikan untuk diri kak Nia sendiri. Perlahan tetapi masih tetap jelas didengar oleh pendengaran Khai yang sedari tadi memasang telinga.
“Kita sama-sama berusaha melawan segala sifat mazmumah tu ya, Layyinah. Harapnya walaupun iman kita itu turun, tetapi iman itu makin meningkat naik lebih tinggi daripada sebelumnya selepas penurunannya. Insyaa-ALLAH.”
Dicapainya tangan Layyinah dan digenggammnya erat. Mahu menyalurkan sedikit kekuatan mungkin.
Perlahan Layyinah mendongak memandang wajah mulus kak Nia. Wajahnya sudah basah dengan air mata sejak tadi lagi. Kedengaran sendu halus. Dileraikan genggaman tangan kak Nia itu. Ditariknya kak Nia rapat dengan dirinya. Layyinah melampiaskan rasa terharunya di bahu kak Nia.
Khai yang melihatnya sebak sendiri. Sungguh, dia merasakan suatu kelainan. Beginikah yang dikatakan ukhuwah itu? Ikatan persaudaraan yang terjalin atas dasar iman? Farhah selalu juga menyebut tentang ukhuwah ini kepadanya. Waktu itu dia hanya mendengar sekali lalu sahaja. Sekadar masuk telinga kanan dan keluar ke telinga kiri. Tidak benar-benar menghayati. Namun kini, perbualan ringkas antara Layyinah dan kak Nia itu menunjukkan kepadanya apa itu ukhuwah. Persaudaraan atas dasar iman yang saling mengingatkan ke arah kebaikan.
“Terima kasih banyak-banyak ya, kak Nia. Jazakillahu khair.” Layyinah tersenyum sebak selepas meleraikan pelukannya. Basah jugalah bahu kiri kak Nia dengan air mata Layyinah.
Waiyyaki.” Kak Nia menyeka saki-baki air mata di pipi Layyinah. Senyuman manis terukir di bibirnya.
“Khai…” Kak Nia menggamit Khai supaya menghampiri mereka. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya.
Perlahan-lahan Khai bangkit dari baringnya. Matanya yang basah diseka. Dia menghampiri kak Nia dan Layyinah lalu duduk bersimpuh di sebelah kanan kak Nia.
“Alahai… merah dah mata dia.” Kak Nia memegang pipi Khai lembut. Mengusik dalam nada terharu. Senyum dalam sebak.
“Kita sama-sama berusaha menguatkan sesama sendiri ya. Kita saling mengingatkan dan saling menasihati ke arah kebaikan. Kak Nia pun masih banyak lagi yang pincang.”
Tangannya menggenggam erat tangan Layyinah dan Khai. Tautan tangan bertaut kejap. Anggukan kedua-dua ‘junior’nya itu makin melebarkan senyumnya. Air matanya menitis setitis lagi ke pipi. Jagalah hati-hati mereka ini, Ya ALLAH. Desis kak Nia di dalam hatinya.



“Air dah siap bancuh, Khai?”
Kak Maryam yang masuk sambil memegang 2 biji pinggan yang berisi sandwich telur itu sedikit memeranjatkan mereka. Tautan dileraikan.
“Belum lagi kak Maryam. Baru siap masak air.” Khai tayang sengih. Suaranya kedengaran sedikit sengau.
“Oh. Okey.”
“Eh? Kenapa merah mata ni? Suara pun sengau semacam saja.” Berkerut dahi kak Maryam. Pinggan yang dipegangnya diletakkan di atas kabinet dapur sebelum tangannya kalut menyentuh dahi Khai.
“Tak panas pun. Selesema ke Khai?” Prihatin sahaja kak Maryam bertanya.
Layyinah sudah memboloskan dirinya ke dalam bilik air. Kak Nia pula bangkit perlahan dari simpuhnya menghampiri kak Maryam.
“Eh? Mata Nia pun sama. Merah.” Makin berlapis kerutan di dahi kak Maryam. Tidak mengerti.
Kak Nia menarik perlahan kak Maryam ke sudut surau. Khai pula disuruhnya membancuh air.
Kak Maryam mengangkat keningnya ingin tahu apa yang telah berlaku.
“Sesi curhat tadi.” Ringkas sahaja kak Nia menjelaskan kepada kak Maryam.
“Oh.”
Melihat kak Nia mengulumkan senyum, dia pasti sesi luahan rasa itu pastinya baik-baik sahaja. Tiada apa yang perlu dirisaukan.
Lega. Ingatkan apalah yang terjadi tadi. Sampai siap dengan drama air mata segala.