Showing posts with label Doa. Show all posts
Showing posts with label Doa. Show all posts

Saturday, November 26, 2011

Hari Terakhir Bagi 1432H

Assalamu'alaikum wbt.

Selamat pagi diucapkan kepada semua. Pagi Sabtu yang mendamaikan. Alhamdulillah, kita masih diberikan kesempatan untuk menghirup udara milik Rabbul Izzati lagi pada hari ini.

Sekejap sahaja masa berlalu bukan? Sedar-sedar sahaja hari ini sudah hari terakhir 1432H. ㅠ.ㅠ
Esok, sudah masuk 1 Muharam 1433H. Tahun baru mengikut kalendar Hijrah.

Bagaimana setahun yang sudah berlalu ini? Sudah tertunai segala azam? Sudah dicapai segala impian? Sudah berubah menjadi lebih baik dari tahun-tahun terdahulu? Atau masih ditampuk lama? Cuba renung-renungkan sejenak apa yang telah kita lakukan selama setahun ini.

Pada saya, banyak sungguh peristiwa yang terjadi pada tahun 1432H ini. Semua ada. Cukup rasa. Asam, garam, gula dan kopi kehidupan. Bukan namanya kehidupan jika sentiasa diselubungi keindahan dan kesenangan bukan? Semoga hari ini, esok dan hari mendatang lebih mematangkan diri dan lebih membaik dari hari-hari sebelumnya. Insya-ALLAH.

Detik masa yang berlalu tidak mungkin akan kembali lagi. Yang tinggal hanyalah kenangan di sebalik setiap peristiwa yang berlaku. Kenangan itulah yang akan kita bawa hingga ke akhir hayat kita nanti. Amal dan perbuatan itulah yang kita akan tunjukkan pada Rabbul Jalil pada hari penghadapan nanti. Kita yang menentukan corak dan warna pada kanvas kehidupan kita.

Sungguh, masa itu tidak dapat diputar kembali. Tidak dapat dicepatkan walaupun sesaat dan tidak pula dapat dilambatkan walaupun sesaat cuma. Betapa pentingnya masa ini, ALLAH menurunkan satu surah berkenaan dengan masa; Surah Al-'Asr.

"Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran."
[A-'Asr, 103 : 1-3]

Jom baca doa akhir tahun selepas waktu Asar petang nanti.
Dan baca doa awal tahun selepas waktu maghrib malam nanti.
Semoga segala amal kebaikan yang kita lakukan pada masa setahun yang lalu dihitung oleh ALLAH. Semoga kita terus melakukan amal kebaikan pada masa setahun yang mendatang. Insya-ALLAH.

Buat semua pelajar tajaan JPA di Korea Selatan, ayuh keluar beramai-ramai ke Annual General Meeting pukul 10 pagi nanti di Yonsei University. Kita yang menentukan corak kepimpinan kita.

Nota 1 : Kelam-kabut buat entry sambil bersiap.

Nota 2 : Selamat hari lahir buat Kak Nur Lina Solehah. Semoga usia diberkati ALLAH. Semoga terus tsabat di jalan ini. Insya-ALLAH.

Nota 3 : Bittaufiq wannajah fil imtihan buat housemate yang ada exam TOEIC hari ini.

Friday, October 21, 2011

DIA Sentiasa Ada.

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Saya sudah selesai menjawab exam untuk minggu ini. Minggu depan ada lagi satu paper untuk dijawab, satu projek untuk dihantar dan satu speech untuk dipersembahkan pada hari yang sama. Moga-moga ALLAH permudahkan segalanya. Biiznillah. Insya-ALLAH.

Hari-hari sebelum ini, kesemua paper yang saya duduki banyak melibatkan pengiraan dan penggunaan formula. Kerjanya hafal formula, faham jalan kira dan mengira litar atau rajah-rajah sinusoidal dan sebagainya. Namun hari ini, buat pertama kalinya saya perlu menjawab soalan dengan membuat essay. Seolah-olah menjawab soalan sejarah ataupun jawab soalan biologi kertas 2 time SPM dulu sahaja rasanya.

Sudahlah saya ni lemah bab-bab menghafal ni. Tambahan pula sudah lama tidak menghafal. Setakat menghafal formula itu, boleh la. Itupun sempat lagi cipta formula sendiri time exam! Bijak sungguh! *Kalau cipta formula baru dan dapat anugerah Nobel tak apa la jugak kan?*

Saya jadi sangat takut untuk menjawab exam hari ini. Berdebar-debar. Puas baca, puas hafal. Tapi rasanya takde satu pun yang betul-betul melekat di ingatan. ALLAH. Sungguh rasa macam nak nangis. ALLAH. Hanya pada DIA saya berharap. Saya doa pada ALLAH moga DIA permudahkan saya untuk menjawab soalan-soalan exam nanti. Moga saya diberikan ketenangan dan saya boleh mengarang dengan baik.

Sungguhlah, ALLAH itu Maha Mendengar. ALLAH benar-benar mendengar doa dan aduan saya. DIA bantu saya. DIA permudahkan saya untuk menjawab soalan-soalan tadi. Saya tak jamin apa yang saya jawab tadi semua betul atau mengikut skema jawapan atau tidak. Tapi apa yang saya pasti saya tidak meninggalkan kertas itu kosong dan saya mampu menghasilkan karangan yang agak-agak panjang. Alhamdulillah. ALLAH bagi ketenangan dan permudahkan saya untuk menjawab soalan-soalan tadi. Alhamdulillah. Terima kasih, Ya ALLAH. :')

Selesai sejam lima belas minit menjawab soalan Electronic Materials, saya menghantar kertas jawapan dengan senyuman lega. Alhamdulillah. Keluar dari kelas, saya tadahkan tangan mengucap syukur kepada ALLAH. Alhamdulillah. Terima kasih, Ya ALLAH. KAU benar-benar membantu diri ini.

Tiba-tiba saya rasa sangat sebak. Terasa ada sesuatu yang terbuku di dada. Sambil mendongak langit yang sudah agak gelap kerana sudah hampir sejam waktu Asar berlalu, saya mengucapkan syukur yang tidak terhingga. Sungguh, mata sudah berkaca-kaca. Akhirnya tanpa segan silu menitis ke pipi.


ALLAH. ALLAH. ALLAH. Sungguh, DIA sentiasa ada di sisi saya saat saya perlukan diri-NYA. Apa yang membuatkan saya lebih sedih ialah saya seringkali melupakan diri-NYA. DIA sentiasa ada di sisi saya. Tidak kira di saat saya gembira atau saat saya bersedih. DIA sentiasa ada. Namun, adakah saya sentiasa mengingati-NYA seperti mana DIA sentiasa setia di sisi saya? ALLAHU AKBAR! Terasa tebal kulit muka. Malunya diri ini pada-MU, Ya ALLAH. Ampunkanlah diri yang hina dina ini, Ya ALLAH.

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada syurga
yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk
orang-orang yang bertaqwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya),
baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang.
ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."
-Ali-Imran, 3: 133-134-

ALLAH itu sangat sweet kan? DIA dah janji nak bagi kita syurga. DIA pemurah sangat-sangat. DIA sentiasa ada untuk kita. Tinggal, kita perlu melakukan segala suruhan-NYA dan meninggalkan segala larangan-NYA. Syurga itu ALLAH akan bagi kepada sesiapa yang berjaya.

Kalau ikut ayat di atas ni, dari apa yang saya faham, ALLAH menyuruh kita segera meminta keampunan-NYA. DIA akan beri ganjaran syurga yang luasnya seluas langit dan bumi kepada orang-orang yang bertaqwa. Orang-orang bertaqwa tu macam mana? Ciri-cirinya ialah orang yang suka bersedekah tak kira time dia senang ataupun time dia susah, orang yang mampu menahan marahnya dan orang yang suka memaafkan orang lain.

Ingatlah, DIA sentiasa ada. DIA sentiasa ada untuk kita. Berdoalah. Mengadulah. Mintalah hanya pada-NYA. Ketahuilah bahawa DIA Maha Mendengar dan DIA Maha Pemurah. DIA Maha Pengasih dan DIA Maha Memiliki.


"Rabbana laa tuzigh qulubana ba'da iz hadai tana wa hablana milladunka rahmah, innaka antal wahhaab."

"Ya Tuhan kami, janganlah ENGKAU condongkan hati kami kepada kesesatan
setelah ENGKAU berikan petunjuk kepada kami,
dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-MU,
sesungguhnya ENGKAU Maha Pemberi."
-Ali-Imran, 3:8-





Thursday, October 13, 2011

Syukran Lillah. Hamdan Lillah. :)

Assalamu'alaikum wbt.

Seminggu tanpa sebarang update. (Eceh. Macam la ada orang kisah kalau tak update lebih dari seminggu pun. Perasan la awak.) Minggu ni memang minggu 'Mari Membuat dan Menghantar Assignment'. Setiap hari ada sahaja assignment yang perlu dihantar. Esok pun ada 1 report dan 1 assignment yang perlu dihantar. Mencuri sedikit masa untuk membersihkan sesawang di laman hijau ini.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Tiada kata yang dapat saya ungkapkan. Hanya sejuta kesyukuran dipanjatkan buat Yang Maha Esa. Selepas beberapa pertimbangan dibuat, diambil kira pro dan kontranya. Setelah memohon petunjuk dari-NYA. Alhamdulillah. Akhirnya saya kira ini yang terbaik. Hari ini tidak habis-habis tersenyum. Bila dengar 'Hakikat Bahagia', lagilah melebar senyum saya. *Ini terpengaruh dengan lagu awak la ni..:P*




Masih ingat pada 'Inside Out. Upside Down'? Alhamdulillah. Saya sudah menemui jawapan pada pilihan-pilihan yang terbentang di depan mata. Alhamdulillah. Moga ini yang terbaik. Biiznillah.

Saya ada janji yang saya akan khabarkan seandainya saya menemui keputusan yang dicari. Alhamdulillah. Nampaknya keputusan sudah dibuat. Sungguh, saya merasakan segala urusan saya dipermudahkan. Semalam saat saya tengah kerisauan dan kebingungan ingin meminta bantuan siapa selepas orang yang saya harapkan tidak dapat membantu, ALLAH hadirkan seorang insan yang sudi menghulurkan tangan. Alhamdulillah. Jazakillahu khairan kathiran. :) Terharu sangat-sangat. Dah bergenang dah. Tunggu mutiara ni nak jatuh je.

Malam itu juga saya selesaikan segala urusan. Dengan bantuan seorang teman. Masalah yang dihadapi pun sudah dapat diselesaikan lewat tengah hari tadi. Alhamdulillah. Memang ALLAH permudahkan segala urusan. Jazakallah buat teman yang membantu.


Mesti ramai yang tertanya-tanya, perkara apa yang membuatkan saya susah sangat untuk membuat keputusan ni kan? Sebenarnya semua ini perihal cuti musim sejuk nanti. Saya berbelah-bagi antara ingin pulang ke Malaysia atau berjaulah ke Jepun.

Memandangkan cuti musim panas yang lalu saya tidak pulang ke Malaysia, saya berhajat untuk pulang pada cuti musim sejuk kali ini. Namun apabila mengetahui yang ada sahabat-sahibah hendak berjaulah ke Jepun, saya teruja untuk ikut serta. Namun dengan kewangan yang terhad, saya perlu memilih. Sama ada untuk pulang ke Malaysia atau ke Jepun. Saya tidak boleh mengambil kedua-duanya sekali.

ALLAH. Saya paling tak suka bila perlu memilih. Sebab? Saya tak pandai. Kalau boleh nak dua-dua. Tamak kan? Mula-mula tu hanya dengan sekali fikir, saya call parent cakap yang saya mungkin tak jadi balik winter nanti. Saya nak ke Jepun. Ummi okay je. We pun okay je, even mula-mula tu terkejut sebab sebelum ini saya yang terlebih excited nak balik. Mereka kata, "Nanti raya kan nak balik. Tak apa la kalau tak balik winter ni pun. Tak lama dah pun nak balik raya..."

Namun demikian, saya masih tidak tenang. Walaupun sudah mengkhabarkan kepada Ummi, We dan adik-adik yang saya mungkin tak jadi balik. Bila dengar suara sayu adik-adik yang mungkin kecewa bila saya beritahu tidak jadi balik, keputusan yang saya buat mula goyah. Saya katakan pada diri saya, perlu difikirkan lagi ni, adakah ini yang terbaik?

Keputusannya terletak pada saya kan? Sama ada untuk saya memilih untuk balik ke Malaysia atau untuk ke Jepun. Saya tak tahu nak ceritakan atau mengadu pada sesiapa. Sebabnya bila diceritakan pun, keputusannya terletak pada saya juga. Hanya pada DIA Yang Maha Mendengar saya luahkan segala rasa. Rasa gundah. Rasa tak keruan. Rasa serba-salah. Semuanya. Saya serahkan segala-galanya hanya pada-NYA. DIA lebih tahu apa yang terbaik buat saya; hamba-NYA yang lemah lagi hina ini.

Alhamdulillah. DIA akhirnya memberikan jawapan itu buat saya. Akhirnya saya memilih untuk pulang. Tak jadi ke Jepun. Insya-ALLAH. Jika tiada apa-apa halangan, saya merancang untuk ke sana cuti musim dingin yang akan datang. Insya-ALLAH.

Segala urusan pembelian tiket balik ALLAH permudahkan walaupun ada sedikit masalah pada nama semasa booking. Boleh pulak tertinggal nama! Excited sangat kot masa booking tu, sampaikan nama penuh sendiri pun lupa. Erk? Boleh eh gitu? Lepas tu terus hantar komen kat twitter syarikat penerbangan. Alhamdulillah. Tengah hari tadi semuanya sudah dibetulkan. Segalanya smooth je. Alhamdulillah. :)

Ummi, We dan adik-adik pun bila dikhabarkan yang saya confirm balik, semuanya excited. Plan bercuti bersama keluarga juga sudah dirancang. Wow! Tak sabar nak balik! *Jangan plan tu clash dengan program saya sudah la...*

Syukran lillah. Hamdan lillah. Terima kasih, Ya ALLAH atas segala nikmat dan ujian-MU ini. Bila ini terjadi pada saya, saya dapat rasakan yang ALLAH itu dekat saya dengan saya. ALLAH itu Maha Mendengar bukan? Jadi, jangan pernah putus asa untuk mengadu segalanya hanya pada-NYA. DIA sentiasa ada.

"Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya."
-Qaf,50: 16-

Subhana-ALLAH. ALLAHU AKBAR! ALLAH sudah nyatakan bahawa DIA dekat dengan kita. Yakinlah bahawa DIA mengetahui dan mendengar setiap aduan dan doa kita. Teruskan berdoa. Sentiasa ingat pada-NYA. DIA juga pasti akan mengingati anda.


Nota 1: Ketahuilah hati-hati kita ini, DIA yang pegang. Hanya DIA. Tiada yang lain. Berserahlah hanya pada-NYA. DIA tahu apa yang terbaik buat dirimu.

Nota 2: Ketahuilah hanya dengan mengingati ALLAH, jiwa akan menjadi tenang. :)

"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenteram."-Ar-Ra'd,13: 28-

Nota 3: Dah boleh fokus pada mid-term exam yang akan bermula Isnin depan.

P/S: Saya ada nak kongsi fasal exam, doa dan tawakal sebenarnya. Insya-ALLAH. Tunggu next update ye^^ (Tengok perasan lagi. Ada ke orang yang tunggu?)




Monday, August 22, 2011

Kills Two Birds With One Stone :)

Assalamu'alaikum wbt.

Owh, saat saya sedang menulis sudah masuk 22 Ramadhan 1432H. Baru sekitar sejam sampai di rumah setelah berjalan jauh hari ini. Suwon (SKK) --> Seoul (Yeouido Park) --> Incheon (Inha Uni) --> Suwon (SKK).

Hari ini 21 Ramadhan 1432H ada program Rehlah Masyi (Kembara Jalan Kaki) anjuran Persatuan Pelajar Malaysia Korea (PPMK) bergabung dengan Kelab Umno Korea (KUK), Korean Islamic Malaysian Student (KIMS) dan AMIR Korea (Aspiring Malaysian Rijal). Hari ini juga saya ada iftar batch di Inha University. Memang setiap hari Ahad sepanjang Ramadhan kali ini dikhaskan untuk iftar batch sebenarnya.

Jadinya saya agak berbelah-bagi untuk ke mana. Tak nak pergi Rehlah Masyi, saya ni AJK Program Ramadhan. Tanggungjawab tu. Tak nak pergi iftar batch, eh...mana boleh...Masa ni la nak kumpul-kumpul dengan kawan-kawan satu batch. Itu keinginan dan kehendak. Antara tanggungjawab dan keinginan sendiri. Sudahnya saya dilemma sendiri.

Alhamdulillah, ALLAH izinkan saya dapat pergi kedua-dua program. Walaupun tidak dapat menunaikan request tuan rumah untuk masak-masak. *Maaf ye cik Aini.* Walaupun sampai ke Inha sudah agak lewat. Walaupun terpaksa berbuka di dalam subway sahaja.

Owh ya. Rehlah Masyi ni dibuat sempena untuk memperingati Perang Badar. Untuk merasa semangat Badar. Kebetulan hari ini, 21 Ramadhan juga merupakan hari memperingati Al-Quds.

Dalam pukul 3.15 petang saya sudah keluar rumah untuk ke Yeouido Park; tempat berkumpul untuk Rehlah Masyi. Apabila semua sudah berkumpul, kami solat Asar berjemaah. Solat jemaah di tengah-tengah padang Yeouido Park. Kemudian mendengar sedikit taklimat. Kemudian berpecah. Lelaki, berjalan-jalan sambil berkongsi kisah tentang Perang Badar. Perempuan, pergi ke tempat sewa basikal.

Sempat la kami pusing satu Yeouido tu. Kemudian kami berkumpul mendengar sedikit pengisian daripada Kak Nazihah. Banyak yang dikongsikan oleh Kak Nazihah sebenarnya. Antaranya ialah kisah Perang Badar, bagaimana boleh tercetusnya Perang Badar, dan bagaimana kita dapat mengaplikasikan semangat Badar ini dalam diri.

Iyalah kan. Sekarang sudah tidak perlu pergi berperang. Tapi pada hakikatnya, kita sekarang juga sedang berperang. Bukan berperang menggunakan senjata, tetapi berperang melawan hawa nafsu. Bagaimana caranya kita boleh memerangi hawa nafsu kita?

CARA MEMERANGI HAWA NAFSU:

1. Mukashafah (Memeriksa diri sendiri)
- Kita mengambil langkah untuk memeriksa diri kita sendiri. Oleh itu, kita perlu jujur pada diri sendiri.
- Kita tentunya lebih mengenali diri kita sendiri berbanding orang lain. Jadinya daripada situ, kita boleh tahu di mana kelebihan dan kelemahan diri kita.
- Jangan menidakkan kebolehan dan jangan menafikan kekurangan. Berlaku jujurlah pada diri sendiri.
- Apabila sudah mengenal pasti kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri, kelebihan itu dimanfaatkan sebaiknya manakala kekurangan itu diperbaiki. Fikirkan cara yang sebaiknya untuk merubah diri kita sendiri.
- Ketahuilah bahawa anggota badan kita inilah yang akan menyebabkan kita diseksa di akhirat kelak. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh anggota badan kita akan dihitung kelak.
- Ubatilah diri sendiri.

2. Muahadah (Perjanjian dengan ALLAH)
- Ketahuilah setiap dari kita telah berjanji dengan ALLAH yang DIA merupakan tuhan kita. ALLAH-lah yang wajib kita sembah dan kita taati.
- Bila kita sudah berjanji, kita perlulah tepati janji kita itu. Jadinya, dalam setiap perkara yang kita lakukan, kena pastikan yang ALLAH redha dengan setiap perbuatan kita.
- Buat apa yang ALLAH suruh dan tinggalkan apa yang ALLAH larang.

3. Muraqabah (Mendekatkan diri)
- Mendekatkan diri kepada ALLAH.
- Kena sentiasa ingat yang ALLAH itu teramat dekat dengan kita. ALLAH tahu setiap apa yang kita lakukan.
- Kena rasa malu dengan ALLAH. Bila rasa malu ni wujud dalam diri, kita tak akan membuat dosa.
- Amal ibadah akan sentiasa dilakukan tidak kira saat keseorangan ataupun berteman.
-Kisah Umar Al-Khattab dengan penjual susu : Seperti yang semua ketahui, Saidina Umar selalu keluar pada waktu malam, melakukan penyamaran untuk melihat kehidupan rakyat di bawah seliaannya. Pada suatu malam, sewaktu Saidina Umar keluar menyamar, dia terdengar perbualan antara penjual susu dan anak perempuannya. Perahan susu kambing mereka pada hari itu berkurangan berbanding biasa.




Anak perempuan : Ibu, perahan susu hari ini sedikit. Botol-botol ini tidak dapat diisi penuh seperti biasa.

Ibu : Kalau begitu, tambahlah air ke dalam botol-botol itu supaya ia penuh seperti biasa.

Anak perempuan : Mana boleh begitu.

Ibu : Alah...bukannya orang tahu pun kalau kita campurkan sedikit air ke dalam susu kambing tu...

Anak perempuan : Ibu, memang orang tak tahu, tapi ALLAH tahu.

-Kisah Saidina Umar dengan pengembala kambing : Saidina Umar melihat seorang budak sedang mengembala sekawan kambing. Dia pergi berjumpa budak itu.

Saidina Umar : Wahai anak muda, jualkan aku seekor kambing.

Pengembala kambing : Tapi kambing-kambing ini bukan kepunyaan saya. Saya hanya bekerja mengambil upah menjaganya.

Saidina Umar : Kamu jualkan kepadaku seekor kemudian kamu beritahulah kepada tuan kamu.

Pengembala kambing : Tuan pergilah berjumpa dengan tuan saya. Saya takut untuk menjualnya kerana kambing-kambing ini bukan milik saya.

-Kisah-kisah di atas menunjukkan perbuatan muahadah. Sikap anak perempuan yang tidak mahu mencampurkan air dengan susu kambing dan sikap budak pengembala kambing yang tidak berani menjual kambing milik tuannya kepada Saidina Umar menunjukkan bahawa mereka tahu bahawa setiap perbuatan mereka diketahui oleh ALLAH. ALLAH Maha Mengetahui segala sesuatu.

4. Mujahadah (Menentang hawa nafsu pada syahwat)
- Setiap orang mempunyai keinginan dan kehendak yang tersendiri. Ada yang suka shopping. Ada yang suka makan. Ada yang suka gajet. Kesukaan ini menyebabkan mereka sanggup berhabis untuk mendapatkan apa yang mereka ingini. Nafsulah yang mempengaruhi kehendak mereka. Nafsu ini perlu dikawal. Perlu ditentang nafsu dan keinginan yang berlebihan.

5. Muhasabah (Menghitung diri)
- Kita perlu sentiasa menghitung diri kita atas segala perbuatan yang kita lakukan.
- Muslim yang terbaik sentiasa muhasabah diri mereka.
- Saidina Umar antara contoh orang yang setiap hari bermuhasabah dengan setiap perbuatannya.



- "Hitunglah dirimu sebelum dihitung, timbanglah amalmu sebelum ditimbang."-Umar Al-Khattab-



- "Kalau hari ini aku tidak ditegur,aku rasa bersalah."-Ali Bin Abi Talib-
- Ketahuilah bahawa orang yang ditegur itulah merupakan orang yang paling disayangi.
- Kelebihan muhasabah : Sentiasa menyedari bahawa diri melakukan kesilapan, terhindar dari dosa dan perbuatan maksiat serta dapat melembutkan hati.

Itulah serba sedikit perkongsian yang saya dapat semasa Rehlah Masyi petang tadi. Dalam pukul 6.30 lebih kami bersurai menuju ke destinasi masing-masing. Saya terus bergegas ke bus stop untuk ke Sindorim Station dan mengambil subway ke Inha. Dapatlah merasa nasi ayam air tangan Chef Haida di Inha :)

Hari ini bolehlah saya simpulkan dengan idiom kills two birds with one stone.^^ *Entah sesuai entah tidak perumpamaan ini* Daripada berbelah bagi nak pilih untuk pergi yang mana satu, saya dapat pergi kedua-duanya sekali. Tak perlu pilih-pilih. Dua-dua dapat. Dapat berbasikal sambil mengisi jiwa dengan pengisian yang bermakna. Dapat iftar bersama rakan-rakan satu batch. =) Alhamdulillah. Hamdan lilllah. Syukran lillah. Praises to ALLAH. HE always knows the best for me <=

Thursday, July 14, 2011

Baraka ALLAHU Lakuma







Assalamu'alaikum wbt.

14 Julai 2011
Termeterai satu ikatan yang suci
Paduan dua jiwa
Disadur menjadi satu hati

Selamat pengantin baru diucapkan buat Kak Long Santi
Selamat bertunang diucapkan buat Kak Nani

Baraka ALLAHU lakuma
Wa baraka 'alaikuma
Wa jama'a bainakuma fil khair

Semoga ALLAH memberkati kalian
Ketika Senang mahupun susah
Dan sentiasa mengumpulkan kalian dalam kebaikan.
Ameen...
Buat Kak Long Santi
Baraka ALLAHU lakuma
Wa baraka 'alaikuma
Wa jama'a bainakuma fil khair
Wa razaqakuma zurriyatan tayyibatan tanfa'ul islam wal muslimin.
Ameen...


p/s : Pukul satu nanti akan berangkat ke China. Mengembara mencari cinta Ilahi. Insay-ALLAH akan berada di sana selama seminggu. Doakan perjalanan kami selamat ye.^^




Sunday, June 12, 2011

Mencari Damai Di Hati


Ya ALLAH,
Maniskan hatiku dengan iman,
Cukupkan aku dengan bekalan sabar,
Meredah lautan hidup penuh dugaan ini.

Ya ALLAH,
Bantuku atasi amarah ini,
Dengan iman dan taqwa,
Kerana kata Luqmanul Hakim,
Taqwa adalah perahu yang utuh,
Di tengah lautan hidup ini.

Ya ALLAH,
Teguhkan hatiku,
Untuk terus melangkah dalam hidup ini,
Yang kurasakan saban hari memeritkan,
Jadikan ia kembali salju,
Kerana sabda Rasulullah s.a.w.,
Dunia ladang akhirat.

Ya ALLAH,
Aku ingin bahagia seperti mereka,
Meredah lautan dalam kedamaian dan kenyamanan.

Andai aku belum layak ya ALLAH,
Maka layakkanlah aku,
Dengan bekalan iman dan taqwa itu,
Yang kuyakini hanya itu,
Yang dapat menyelamatkan daku,
Dari berputus asa dengan rahmatMU...

Aku ingin bahagia,
Dalam dakapan kasihMU ya ALLAH...

(petikan daripada iluvislam.com, Aku Ingin Berubah)

Alhamdulillah..terasa diri sedikit tenang hari ini. Terasa tidak sia-sia ke Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin malam tadi. Terasa jiwa terisi dengan perkongsian daripada Saudara Ammar Muhd tentang konsep kebergantungan kepada ALLAH SWT.

Pada mulanya saya agak berbelah bagi, sama ada nak pergi atau tidak solat hajat malam tadi. Study tak habis lagi. Kalau pergi confirm burn dah time study. Kononnya la...Dalam dok berbolak balik tu, saya decide untuk pergi. Alhamdulillah, ALLAH gerakkan hati saya untuk pergi walaupun kalau ikutkan saya dah turun rumah lewat dah jugak petang semalam. Kalau tengok invitation dekat fb tu, majlis akan start pukul 7 malam, tapi saya pukul 7 tu masih berada dalam subway yang baru je melepasi beberapa station selepas Sungkyunkwan University station. Perjalanan ambil masa dalam 40 minit jugak tu..huhu..

Alhamdulillah, saya tak ketinggalan apa-apa pun sebenarnya. Saya bajet saya sampai tu orang mesti dah sudah ataupun tengah baca Yasin. Rupa-rupanya majlis start selepas Maghrib. Waktu Maghrib pulak masuk dalam pukul 8 malam. Dan saya tiba, beberapa ketika sebelum azan berkumandang. Alhamdulillah...

Just for you,

For the first time I read your so-called love letter, I cried

For the second time I read it, I smiled and thanked to you so much

Your words really calmed me as well

They’re such a good remedy for me

A bunch of hug and love for you

I wish you were here with me right now

So that, I can lean on your shoulder

I want to spill out everything on you

I want you to give me a warm hug and a sweet advice

Thanks a lot dear,

Thanks for the such wonderful love letter =)

Duhai adikku,
Jangan mudah mengaku kalah,
Yakinlah yang terbaik buat diri sendiri,
DIA sentiasa bersamamu,
Yakinlah, setiap kesusahan akan ada kemudahan,
Yakinlah, ALLAH tidak kurniakan sesuatu yang tidak mampu untuk kita tanggung,
Dan yakinlah, dengan mengingati ALLAH hatikan menjadi tenang.

Semoga ALLAH menjaga hati kita.

Insya-ALLAH, moga damai yang dicari ditemui dalam masa terdekat ini. Dan saya memang sedang berusaha untuk itu. Mencari damai yang telah dibawa pergi. Mencari damai yang sedang bersembunyi. Mencari damai di hati…