Showing posts with label pengalaman. Show all posts
Showing posts with label pengalaman. Show all posts

Saturday, January 11, 2014

Hasil Tidak Setimpal Usaha

Assalamu’alaikum wbt.

Saya ada menerima satu komen daripada seorang pembaca bertanyakan tentang hasil yang tidak setimpal dengan usaha yang dilakukan. Soalannya berbunyi begini.

“Assalamualaikum kak nadzipah…

nak mintak tips atau perkongsian dari akak serba sedikit.kan kalau kita exam tetiba jadi down lepas result exam keluar.contoh untuk orang yang dah tak tahu nak pikir camner dah bila dia usaha habis habisan tapi result tetap down..what to do?? sindrom amek rezult rezult teruk belajar gila2 punya”

Insyaa-ALLAH saya akan cuba kongsikan sedikit sebanyak yang saya tahu berkenaan hal ini.  Sebelum ini saya pernah tulis tentang Exam? Tawakal Saja La…’  dan ‘ALLAH Tengok Usaha, Bukan Natijah

Tak dinafikan, apabila melakukan sesuatu, kita mestilah mengharapkan kejayaan. Apabila tibanya musim peperiksaan, setelah berusaha bersungguh-sungguh, pastilah kita mengharapkan kita beroleh keputusan yang cemerlang. Semua orang pun begitu. Saya juga.

Saya kira tidak ada orang yang mahukan kegagalan. Betul tak? Lagi pula, setelah kita meletakkan sepenuh usaha dan effort, mestilah kita lebih yakin kejayaan pasti dalam genggaman. Dari situ, apabila kita mendapat keputusan yang bukan seperti kita harapkan, memang perasaan kecewa, sedih, down, mahu berputus asa… pasti sahaja akan hadir dalam diri kita.

Jadi, apa yang kita perlu lakukan jika kita menghadapi situasi sebegini? Tak akan selamanya kita mahu berada dalam keadaan kecewa, sedih, down dan berputus asa kan? Jangan! Kita tidak boleh sesekali mengikut emosi dan rasa kecewa itu. Life must go on. It is not the end of the world!

Baru semalam, saya ada terbaca tentang Famous Failures. Albert Einstein, Michael Jordan, Walt Disney, Steve Jobs, Oprah Winfrey dan The Beatles antara individu yang pernah gagal dan menjadi orang yang berjaya setelah mereka bangkit dari kegagalan.


“If you've never failed, you've never tried anything new.”

Iya! Sekiranya anda tidak pernah gagal, bermakna anda tidak pernah mencuba sesuatu yang baharu!

Actually, failure is nothing but another chance to do it over again and to do it better…

Jangan pernah mengganggap yang kegagalan yang awak hadapi itu suatu kelemahan, jadikan kegagalan itu sebagai booster atau pemangkin untuk awak menjadi lebih berjaya. Gagal sekali, tidak bermakna gagal untuk selamanya, bukan? Yang penting, jangan pernah berhenti berusaha. Berusaha, berusaha dan berusaha lagi sehingga kejayaan menjadi milik kita.

Mungkin kali ini result kita teruk. Tapi bukan ke masih ada lagi exam yang akan kita duduki? Jadi, pastikan kita improved. Pastikan yang exam selepas ini kita tidak akan gagal lagi. Pastikan ada peningkatan.

Perlu diingat, usaha kita sahaja sebenarnya bukanlah penentu kepada kejayaan kita. Mungkin saja kejayaan yang pernah kita kecapi sebelum ini adalah hasil daripada doa ibu bapa, keluarga dan sahabat handai kita. Sebenarnya usaha kita itu hanya asbab sahaja.

Usaha, ikhtiar, doa dan tawakal. Mungkin sahaja kita terlampau menumpukan perhatikan kepada usaha dan ikhtiar kita semata. Sehinggakan kita lupa untuk berdoa dan bertawakal. Boleh jadi, itu sebabnya kejayaan tidak mampu kita miliki buat masa sekarang.

Mungkin sahaja dalam pada kita sibuk study hard and study smart untuk menghadapi peperiksaan, kita mengabaikan tanggungjawab kita sebagai hamba ALLAH dan anak. Kita melewat-lewatkan waktu solat. Kerana apa, mahu habiskan dulu silibus untuk exam. Ibadah kita tidak sekhusyuk sebelumnya kerana fikiran tertumpu kepada topik untuk peperiksaan. Kita tidak menghiraukan ibu dan bapa kita kerana sibuk belajar. Tidak menolong mereka seperti kebiasaannya. Sedangkan, redha ALLAH terletak kepada redha ibu bapa kita. Habis, kalau begitulah sikap kita, bagaimana mungkin kejayaan mahu mendampingi kita?

Boleh jadi, tawakal kita selama ini bukanlah tawakal yang sebenar-benarnya tawakal pun. Apa itu tawakal?

Tawakal itu maksudnya menyerah diri kepada ALLAH dalam melaksanakan sesuatu perancangan bersandarkan kepada kekuatan-NYA dalam menjayakan sesuatu pekerjaan. Dalam kata lain, tawakal itu kita berserah diri hanya pada ALLAH dan hanya mengharapkan perlindungan ALLAH semata-mata.

Cuba kita lihat balik, tawakal kita. Adakah tawakal kita bersyarat? Contohnya,

“Insyaa-ALLAH saya sudah tawakal ni. Tapi kalau boleh, biarlah dapat A subjek ni…”

“Doktor, saya tawakal saja. Tapi… tak naklah Dr. Rasydan yang supervise, dia garang… huhu.”

Adakah begitu tawakal kita?

Jika seperti itulah tawakal kita selama ini, makanya tidak mustahillah kejayaan masih takut-takut untuk mendampingi kita. Kita tidak menyerahkan sepenuhnya kepada ALLAH pun. Tawakal kita bersyarat. Tidak boleh begitu. Sepatutnya kita kena yakin yang apa pun keputusan yang kita dapat selepas ini, insyaa-ALLAH, itulah yang terbaik untuk kita. Kalau berjaya, syukur alhamdulillah. Kalau gagal pun, alhamdulillah. Pasti ada hikmahnya yang kita tidak dapat lihat sekarang. Yakin dan percayalah pada ketentuan ALLAH. Walau hakikatnya pahit untuk ditelan, yakinlah ada manis di penghujung perjalanan. Insyaa-ALLAH.

Yang penting, jangan pernah berputus asa dan jangan berhenti berdoa.

...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat ALLAH, hanyalah orang-orang kafir.”
[Yusuf, 12:87]

“apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu (Muhammad) tentang AKU, maka sesungguhnya AKU dekatAKU kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-KU. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-KU dan beriman kepada-KU, agar mereka memperoleh kebenaran.”
[Al-Baqarah, 2:186]

            Saya pun pernah aje gagal. Perlu repeat balik paper. Masa dapat result tu memang rasa down sangat-sangat. Padahal, bukan saya tidak berusaha. Bukan saya tidak study. Tapi, saya ingatkan balik pada diri saya yang mungkin ada hikmahnya saya gagal kali ini. Dan gagal kali ini tidak bermakna saya akan gagal untuk selama-lamanya. Mungkin saja ALLAH mahu mengingatkan saya agar tidak terlalu yakin dengan segala usaha yang saya lakukan. Bukan usaha saya yang menentukan berjaya atau gagalnya saya. ALLAH-lah yang memberikan rezeki. DIA-lah yang menentukan segala-galanya. 

Walau bagaimanapun, usaha saya itulah yang menentukan sikit atau banyaknya ganjaran pahala yang saya akan dapat. Kalau usaha saya sedikit, maka sikitlah ganjarannya. Kalau banyak, maka banyaklah. 

“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, “Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab ALLAH dengan azab yang sangat keras?” Mereka menjawab, “Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertakwa.”
[Al-A'raf, 7:164]


Jadi bersangka baiklah dengan ALLAH. DIA tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Pasti ada hikmahnya. Kita sahaja yang tidak dapat menanggapi hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Bergembiralah walaupun kita gagal. Kerana apa? Kita gagal setelah kita berusaha. Bukannya kita gagal kerana tidak berusaha. Mungkin sahaja, buat masa ini, bukan rezeki kita untuk berjaya. Mungkin juga, kejayaan yang lebih besar sedang menanti kita di hadapan sana.

Nak rasa down, sedih, kecewa… tidak salah. Cumanya jangan terlampau terikut-ikut dengan segala rasa down itu. Bangkitlah kembali dari kegagalan. Percayalah, orang yang gigih dan tekun berusaha, kejayaan pasti akan menjadi miliknya. Tinggal, cepat atau lambat sahaja. J

Insyaa-ALLAH, kita sama-sama cuba untuk berlapang dada dalam menerima setiap nikmat dan musibah kurniaan Ilahi. Kerana… Setiap nikmat dan musibah yang diterima itu juga merupakan tanda cinta ALLAH Yang Satu kepada para hamba-NYA.

“Sungguh unik perkaranya orang mukmin, sesungguhnya seluruh perkaranya baik, dan itu tidaklah dimiliki kecuali oleh orang mukmin. Apabila ia diberi nikmat, ia bersyukur, dan ini baik baginya dan apabila ditimpa musibah, dia bersabar, dan ini baik pula baginya.”
 [Hadis Riwayat Muslim]


Friday, October 25, 2013

Tempat Solat di Sekitar Korea

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Setelah lama tidak menulis di sini, hari ini ALLAH izinkan untuk saya menulis lagi. Idea ini datang waktu saya sudah bersiap-siap mahu tidur malam tadi lagi sebenarnya. Tetapi memandangkan masa pun sudah agak lewat dan hari ini saya masih punya kelas dan exam, jadi saya tangguhkan sehinggalah sekarang ini. 

Okey. Kembali kepada topik asal. Sejak kebelakangan ini, memang saya akui, raaaamaaiii sangat orang Malaysia yang datang melancong ke Korea. Kalau pergi ke Itaewon ke, Nami Island ke, mesti akan jumpa punyalah dengan orang Malaysia. 

Apabila berjalan di negara orang yang majoriti penduduknya bukan Muslim ini, salah satu masalah yang akan dihadapi adalah tempat untuk solat. Selain makanan halal la kan... Tak mahulah terjadinya kes-kes terpaksa mengqada' solat dengan alasan tiada tempat yang sesuai untuk mendirikan solat. Sedih saya dengar. :(

Jadi, post kali ini ditujukan khas buat orang Malaysia yang hendak datang melancong ke Korea. Semoga selepas ini, para pelancong yang beragama Islam dapat mendirikan solat walau di mana pun ada berada. Insyaa-ALLAH. :))

Ini semua berdasarkan pengalaman saya sendiri dan info daripada kawan-kawan yang berada di Korea ini. Insyaa-ALLAH. 

Itaewon: Seoul Central Mosque



Haa. Seoul Central Mosque ini merupakan satu-satunya masjid di Seoul. Terletak berhampiran dengan Itaewon Station (line 6). Di sekitarnya juga anda boleh dapatkan pelbagai makanan halal terutamanya masakan ala India dan Arab. Insyaa-ALLAH.

Kalau nak senang, bolehlah selalu datang solat kat sini. Hihi. Boleh juga berkenalan dengan Korean Muslim yang ada di sana. 

Myeong-dong: M Plaza Building; Seoul Center for Culture & Tourism


Saya pasti memang semua orang akan memasukkan Myeong-dong sebagai salah satu to-visit-place anda apabila ke Korea. Myeong-dong bolehlah dikatakan sebagai syurga membeli-belah bagi muda-mudi di bumi Sonata ini. Sesiapa yang sukakan barangan berjenama dan barangan kecantikan, inilah tempatnya. 

Sebenarnya ramai yang ke Myeong-dong untuk memakai pakaian tradisional Korea yang dipanggil hanbok di Seoul Center for Culture & Tourism. Tak perlu bayar. Free of charge. Cuma perlu booking masa sahaja. Ia terletak di tingkat 5 bangunan M Plaza. Nak mudah, keluar aje exit 6 Myeong-dong Station (line 1, 4) jalan je straight sampai jumpa butik Forever 21 dan Zara. Ha, di situlah letaknya Seoul Center for Culture & Tourism ni. 

Eh. Saya nak bagitahu tempat yang biasa kami solat sebenarnya. Biasanya kami akan solat di bangunan inilah. Solat di tepi tangga exit door tu. Sebab bangunan ni macam tak ramai orang dan tangganya pun bersih je. Nak cari surau, memang takdelah di sini. 

Namsan Seoul Tower



Dari Myeong-dong, mahu terus ke Namsan Seoul Tower boleh naik cable car. Untuk ke tempat cable car, kena panjat bukit sikitlah. Ala-ala macam panjat bukit nak ke Masjid Itaewon. Gitulah lebih kurang. Mengah la jugak. Huhu. 

Boleh aje sebenarnya kalau mahu naik teksi dari Myeong-dong Station exit 3 (kalau tak silap) untuk ke tempat cable car. Tapi... apa salahnya kalau exercise sekali-sekala kan? Bila lagi mahu merasa berpeluh begini. Di Malaysia, saya tak rasa kita akan selalu berjalan macam di Korea ini. Nak ke mana-mana pun, guna kereta. Iya tak? :D

Kalau kebetulan lama di Namsan Tower ni, bolehlah bersolat di nursery room di tingkat bawah yang berdekatan dengan pintu masuk ke Teddy Bear Museum tu. Kalau mahu solat di luar pun apa salahnya... Saya pernah je solat di luar yang berhampiran pelantar, tempat orang rehat-rehat sambil tengok pemandangan sekeliling bandar Seoul tu. Orang Korea hanya tengok sajalah. Takdelah mereka datang ganggu ke apa ke. Tapi jangan solat di tempat yang agak crowded sudahlah. Tak khusyuk solat nanti. Hihi.

Prayer Room at Tourism Information Center, KTO HQ


Ini peta untuk ke Korea Tourism Organization office. Boleh ke sana dari Jonggak Station (line 1) ataupun Gwanghwamun Station (line 5). Lupa pula exit berapa. Tapi kalau jalan aje ikut Cheongyecheon Stream tu, insyaa-ALLAH akan jumpalah KTO HQ ni. 


Ini bangunan KTO tu. Tourism Information Center terletak di basement bangunan ini. 


Inilah prayer room tu. Atau dalam bahasa Koreanya dipanggil 기도실 (gido-shil). Takdelah besar sangat. Tapi selesa la untuk mendirikan solat. Cumanya prayer room ni untuk semua tau. Makna kata hanya ada satu sahaja surau. Kena kongsi gunalah antara muslimin dan muslimat. 


Ahaa. Yang bestnya, di sini ada disediakan tempat untuk berwudhu'. Sebenarnya bilik wudhu' ini merupakan tandas untuk orang kurang upaya. Tapi lebih selesalah jika dibandingkan dengan kita mengambil wudhu' di tandas biasa kan. Nak-nak untuk orang perempuan la. :)

Prayer Room at Everland


Untuk anda yang sukakan aktiviti yang mencabar, suka indoor game, tentunya tidak akan melepaskan peluang untuk ke Everland. Betul tak? 

Apabila sudah berjalan-jalan tu, tentulah hampir seharian di sini, kan? Sekarang ni sudah terdapat bilik solat di Everland. Alhamdulillah. Bilik solat ni berdekatan dengan Rotating House. Jika tengok pada peta di atas, ia bertempat di sekitar nombor 105 dan 106 tu. Kalau tak jumpa bilik solat ni, bolehlah tanya pekerja yang bertugas berdekatan dengan tempat tu. Insyaa-ALLAH anda boleh solat tanpa halangan nanti. :)

Musolla at Nami Island

Nami Island ni dah kira macam tempat wajib pergilah kalau dah datang ke Korea, kan? Alhamdulillah, setahun dua ni pihak Naminara sudah pun menyediakan surau untuk pengunjung yang beragama Islam di sana. 


Ini pintu masuk untuk ke Musolla. Sebelum anda ke tempat penggambaran Winter Sonata tu, akan akan melalui surau ni dulu. Ia terletak di tingkat atas. 



Ini dia musollanya. Tempat untuk berwudhu' pun ada disediakan sekali. Musolla ni pun perlu dikongsi juga. Dan kena hati-hati sikit la untuk kaum wanita ketika mengambil wudhu' tu. Takut kebetulan kaum lelaki masuk, aurat kita tak terjaga. 

Prayer Room at Incheon International Airport


Untuk mana-mana pelancong yang mungkin terkandas di Incheon International Airport atau mahu mendirikan solat sementara menunggu flight, pihak lapangan terbang ada menyediakan prayer room untuk Muslim. Prayer room ini terletak di sebelah Departure Hall 24 selepas melalui immigration. Arah kiblat, sejadah dan Al-Quran pun ada di sediakan. Cumanya anda perlu mengambil wudhu' siap-siap di tandas. 

Untuk anda yang baru sahaja tiba, boleh solat di nursery room ataupun di tepi tangga. Saya dan kawan-kawan biasanya lebih selesa memilih untuk bersolat di nursery room




Itulah sedikit sebanyak perkongsian saya mengenai tempat-tempat yang sesuai untuk bersolat di Korea Selatan ini. Semoga membantu para pelancong yang mahu datang ke Korea ini. Insyaa-ALLAH. :)

Aha. Satu lagi, nak beritahu. Selalulah bawa botol air mineral bersama anda ke mana sahaja anda pergi. Senang untuk beristinjak dan berwudhu' nanti. Tandas di Korea inikan tiada air. Saya nasihatkan, janganlah angkat kaki dan basuh kaki di singki tandas itu. Takut nanti dimarahi oleh mak cik cleaner pula. Huhu. 

Moga bermanfaat. 

Saturday, June 22, 2013

End of Spring Semester! Alhamdulillah!

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Thumma alhamdulillah. Dengan berakhirnya kertas Biotechnology pukul 4.15 petang tadi, secara rasminya berakhirlah semester ini. Alhamdulillah!

Akhirnya saya mampu menarik nafas lega. Semalam saya sudah pun menghantar 20 pages final report untuk subjek Capstone Design. 23 pages sebenarnya. Semester depan hanya perlu fokus kepada penulisan thesis. Subjek Capstone Design ini sebenarnya berkait rapat dengan penulisan thesis saya. Saya sudah pun melakukan sedikit research dan eksperimen berkenaan thesis saya sebenarnya. Cumanya ditangguhkan sehingga semester depan memandangkan saya akan pulang bercuti musim panas di Malaysia selama 2 bulan. Insyaa-ALLAH. 

Tajuk thesis saya, insyaa-ALLAH "N-Doping of Chemical Vapor Depositon - Graphene by Furnace."

Bunyi macam hebat kan? Huhu. Ini kajian pelajar post-graduated sebenarnya. Thesis saya ini pun dipantau oleh pelajar master; Miss Jia Lee. 

Sebenarnya usai sahaja menjawab kertas Digital Communication dan  Data Communication hari Isnin baru ni, saya sudah mampu menarik nafas lega. 2 papers straight. Berturut-turut. Kertas Digital Communication bermula pada pukul 12 tengah hari sehingga 2.50 petang. Kemudian disambung pula dengan kertas Data Communication pada pukul 3 petang sehingga 4.30 petang. Berkejar lepas jawab exam Digital Communication nak solat Zohor. 

Minggu sebelum itu hari Isnin, saya ada exam Electrical and Electronics Programming. Exam yang paling letih saya kira. Serius rasa nak muntah. Paginya kelas macam biasa sampai ke petang. Kemudian malamnya ada exam. Solat Maghrib pun keluar sekejap  daripada bilik kuarantin kononnya nak pergi toilet. Buka puasa dengan air masak sajalah. Tengah duduk jawab exam pun, pakai teguk air mineral saja untuk tambah oksigen dalam badan. Kepala dah mula berbintang-bintang dan berdenyut-denyut. Tambah pula bila keluar banyak error waktu execute programming. Pandangan jadi berpinar-pinar. Saya bertahan saja sehingga selesai menyelesaikan programming. Usai saja exam, balik bilik, usai solat Isyak terus tidur. Sungguh, exam yang paling meletihkan. Letih otak. Letih badan. Nak makan pun tak lalu. Padahal seharian berpuasa. Kenyang macam tu je. 

Sememangnya sepanjang semester ini, subjek programming ini memang paling banyak menguji minda dan kesabaran. Assignment dan report tiap-tiap minggu kena hantar. Belum termasuk dengan programming yang perlu dibuat sewaktu di dalam makmal lagi. Berakhirnya exam programming minggu lepas, nafas semput sebelum ini sudah dapat dihela bebas. 

Saya sangat tabik para teaching assistant merangkap pelajar master yang mengambil pengkhususan dalam bidang programming ini. 

Semester ini memang agak tough bagi saya. Dengan subjek programmingnya. Final project data communication dan digital communication yang perlu dilakukan secara berkumpulan. Dan biasalah. Apabila dah namanya pelajar kejuruteraan. Memang saya sajalah 'bunga' dalam kumpulan itu. Dikelilingi 'kumbang' yang lain. Heh.

Bermula selepas midterm exam, hampir setiap minggu kami berdiskusi dan berjumpa untuk menyelesaikan projek akhir. Terkadang memakan masa seharian. Sehinggakan ahli kumpulan saya sudah hafal waktu sepatutnya saya berhenti solat. Sampaikan pada satu tahap, diaorang pula yang ingatkan saya fasal saya kena berhenti solat. 

Alhamdulillah, Jumaat minggu lepas final project sudah pun dihantar. Presentation juga sudah pun diselesaikan. Kesemua presentation individu juga telah diselesaikan. 

Untuk semester ini, setiap hari Isnin dan Khamis selesai sahaja kelas, saya perlu ke makmal SAINT untuk melakukan eksperimen dan research berkenaan thesis saya. Terkadang, terpaksa juga pergi pada hari-hari lain untuk belajar mengendalikan beberapa mesin dan belajar software Raman spectroscopy

Melihat para pelajar master di makmal tempat saya melakukan eksperimen, saya jadi berfikir berkali-kali untuk menyambung master di sini. Err. Lebih kepada tak mahu sebenarnya. Tough sungguh. Memang rasa tak sempat nak bernafas dengan segala macam tugasan yang perlu dibuat. Tengok mereka duduk mengadap bahan kajian, berdiskusi secara serius dan perlu menghadiri kelas lagi... Huhu. Penuh tekanan.

Teringat perbualan dengan seorang kawan. Waktu itu kami masing-masing stress dengan pelbagai kerja dan projek yang perlu dibuat. 

"Rasa macam nak mati..." Keluh kawan saya berat. 

"Hmm. Itulah. Macam nak terjun bangunan pun ada. Stress!" Tambah saya pula. 

"Haha. Kalau orang Korea ni, dah lama dah mati ni."

"Agak la... Kita ni alhamdulillah ada iman dalam dada. Islam tak ajar kita macam tu kan?" Saya kerling kawan di sebelah. Nampak dia mengangguk sambil tersenyum nipis.

Itulah. Alhamdulillah. Iman di dada masih kekal lekat. Itulah yang membezakan kita yang Muslim ini dengan mereka yang bukan Muslim. Bila stress. Bila tertekan. Bila serabut. Kita boleh mengadu kepada Yang Maha Mendengar. Dengan mengambil wuduk dan bersujud kepada-NYA, hati yang resah gelisah menjadi tenang. Hati yang gundah-gulana menjadi redup. Hati yang bermuram durja menjadi terubat. 

Jangan tak tahu... Korea ini kadar bunuh dirinya agak tinggi. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada yang bunuh diri. 

Itu semua kesibukan sebagai seorang pelajar. Belum lagi dicampur dengan tanggungjawab lain. Bermula akhir semester lepas, saya diamanahkan untuk menjadi wakil universiti khususnya untuk bahagian akademik pelajar SKKU. Jadi segala urusan dengan pihak International Affairs, Dormitory, Embassy dan JPA saya memang kena uruskan. Nak hantar result pada setiap penghujung semester. Permohonan asrama, pembayaran yuran winter dan summer class

Apabila mengendalikan semua ini, barulah saya tahu yang tidak mudah untuk kita berurusan dengan manusia ini. Pelbagai kerenah dan gelagat. Alhamdulillah. Saya didedahkan bagaimana caranya untuk berurusan dengan pelbagai peringkat manusia ini. 

Sebulan yang lepas, saya diberikan kesempatan untuk bermesyuarat dengan pegawai besar asrama dan beberapa orang lagi pegawai. Memperihalkan tentang keadaan pelajar Malaysia di asrama dan di universiti, masalah yang dihadapi dan sebagainya. Alhamdulillah, hasil daripada pertemuan itu, pihak asrama telah menyediakan makanan halal kepada pelajar Muslim di SKKU ini. Masya-ALLAH! Saya menitiskan air mata usai bertemu dengan pegawai yang memaklumkan hal ini dan menunjukkan senarai menu yang akan dihidangkan. Sungguh saya terharu dengan keprihatinan mereka. 

Pada awal semester baru-baru ini, saya dihubungi oleh pegawai besar International Affairs, berjumpa dan berbincang mengenai surau untuk pelajar Muslim. ALLAHU AKBAR. Syukur. Alhamdulillah.

Dalam semester ini juga, saya beberapa kali telah dihubungi oleh pegawai polis Suwon dan pernah bertemu empat mata dengan beliau memperihalkan tentang keselamatan pelajar Malaysia terutamanya. Beliau ada menghubungi saya baru-baru ini untuk bertemu lagi. Waktu itu saya berada di makmal menyiapkan eksperimen thesis. Jadi tidak dapat untuk bersua muka. Sehingga kini saya masih belum berkesempatan untuk berjumpa lagi dengannya.

Hari ini, 2 jam sebelum menjawab kertas Biotechnology, saya dikejutkan dengan masalah pendaftaran asrama untuk cuti summer yang akan bermula esok. Ada nama yang tidak tersenarai di dalam senarai nama penghuni asrama. ALLAH! Kalut sekejap saya jadinya. Call JPA tak dapat. Call International Affairs, engaged. Tak tenang mahu study untuk exam

5 minit sebelum masuk dewan peperiksaan, saya berjaya menelefon International Affairs. Terus saya menceritakan masalah yang dihadapi dan meminta pihak universiti memeriksa dan mendapatkan bilik untuk pelajar yang tertinggal namanya. Usai sahaja pihak International Affairs berjanji untuk menyemaknya terus saya meletakkan telefon dan bergegas masuk ke dalam dewan. 

ALLAH! Peperiksaan sudah pun bermula. Teaching assistant sedang mengagihkan kertas soalan. Serasa tidak senang duduk ketika menjawab soalan. Kepala masih memikirkan pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku. Usai sahaja menjawab peperiksaan, sebaik keluar dewan, terus saya mengaktifkan telefon. Membaca emel makluman daripada Miss Julia bahawa masih ada lagi kekosongan di asrama. Alhamdulillah. Saya menarik nafas lega. Cumanya sekarang ini saya masih belum mendapat kepastian mengenai nombor bilik dan masih belum mendapat nombor akaun untuk bank-in yuran. Harapnya masalah ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin. 

Sungguh, hari ini walaupun sudah habis final exam petang tadi, saya masih tidak mampu tersenyum lebar. Dahi berkerut memikirkan masalah yang dihadapi. Terasa... sungguh berat tanggungjawab yang dipikul. Padahal baru saja menjadi biro kecil akademik. Tidak dapat saya bayangkan andai sudah bekerja nanti. Huhu.

Apa pun, saya berharap saya sentiasa disibukkan dengan pelbagai kerja. Walaupun tidak menang tangan. Walaupun tidak cukup nafas. Walaupun terasa bagaikan tidak jejak tanah. Namun, saya rasa masa saya terisi dengan perkara yang berguna dan berfaedah. Tidaklah masa yang berlalu terbuang begitu sahaja. Mutabaah amal juga saya kira makin membaik. Kerana apabila kita sibuk, kita dengan sendirinya akan berusaha gigih menyusun setiap kerja dan amal agar semuanya dapat dilakukan sebaiknya. Berlainan pula apabila kita lapang dan tidak sibuk. Bukan begitu? Selalu sahaja kita menangguhkan kerja dan amal kerana kita merasakan kita masih punya banyak masa. Sehinggakan sedar-sedar sahaja seharian sudah berlalu dan kita tidak melakukan hatta satu kerja sekalipun. Amal tidak sempurna. Kerja terbengkalai begitu sahaja. 

Alhamdulillah. Saya kira semester musim bunga ini berakhir dengan jayanya. Banyak yang saya timba dan saya dapat pada semester kali ini. Ilmu di keagamaan, ilmu duniawi, ilmu kemanusiaan, ilmu  kemasyarakatan dan sebagainya. 

Semester ini banyak mengajar saya untuk bersabar. Saya juga belajar untuk memahami sikap dan sifat manusia yang pelbagai kerenahnya. 

Terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama dan memberikan erti kepada hidup saya. Tanpa anda semua, saya mungkin tidak mendapat ilmu yang bermakna sebegini. Jazakumullahu khairan jaza'. Semoga ALLAH membalas jasa kalian semua dengan kebaikan. Ameen. Insyaa-ALLAH.

Nota: Selamat bercuti musim panas buat warga Korea. Yang nak balik esok tu (hari la kan...dah pukul 12 lebih dah pun...) selamat berpraktikal...

Mungkin minggu depan, saya boleh buat kisah perjalanan kami (saya dan sepupu) berjalan-jalan pusing Korea. Insyaa-ALLAH. 

Tuesday, December 11, 2012

Penampilan Mesti Kena Jaga

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. ALLAH izinkan saya dan kita semua menghirup udara-NYA pada pagi Selasa yang dingin ini. Suwon pagi ini berada 13 darjah Celcius di paras beku (Baca : -13 degree Celcius). Burrrr.......Sejuk sekali. 

Mahu bangkit solat Subuh pun terasa bagaikan selimut menarik-narik untuk menyambung tidur kembali. Benar-benar memerlukan mujahadah yang kuat untuk menyisihkan selimut ke tepi dan terus bangkit mengambil wudhuk untuk berjanji temu dengan Rabbul Izzati. 

Pagi ini usai Subuh dan membaca al-Ma'thurat, saya bermalas-malasan sekejap di atas katil. Alahai. Sungguhlah syaitan itu benar-benar penggoda yang licik. Mahu juga ditariknya saya kembali merebahkan diri di atas katil dan berselubung di bawah selimut tebal bagi menghangatkan diri daripada digigit kedinginan pagi musim sejuk. 

Minda sedar saya mengingatkan minda bawah sedar supaya jangan tertidur. Sejak semalam lagi sudah merancang pagi ini mahu turun sarapan di bawah. Jadinya apabila jam pada telefon pintar menunjukkan hampir pukul 8.30 pagi saya terus bangkit dari katil, mengemaskannya dan bersiap-siap untuk turun ke bawah. 

Setelah mengambil makanan, saya mengambil tempat di satu kerusi dan menikmati sarapan pagi sambil memerhati orang yang keluar masuk daripada dewan makan asrama. 
Saya kira memerhati orang ini sudah bagai satu hobi. Sudah menjadi suatu kebiasaan dalam diri.  

Entahlah. Saya tidak pasti aktiviti memerhati sebegini baik atau tidak. Tapi sungguh. Saya terhibur melihat pelbagai gelagat dan telatah orang di sekeliling saya. Terkadang, saya tertanya-tanya sendiri, adakah saya akan melakukan seperti apa yang mereka lakukan? Secara tidak langsung saya merefleksi diri saat melihat pelbagai kerenah manusia ini.

Apa yang saya perhatikan, sejak dahulu lagi sebenarnya, orang Korea ini akan turun bersarapan dengan berpakaian tidur yang memang selamba yang amat. Memang mudah sangat untuk mengesan yang mereka ini, sebaik sahaja bangun dari tidur terus turun untuk bersarapan. Suara pun masih serak-serak basah lagi! Macam orang mamai pun ada juga. 

Jarang dilihat pada waktu sarapan pagi sebegini yang berpakaian kemas dan seperti yang kita selalu jumpa pada kebanyakan waktu. Jangan tidak tahu, orang Korea ini amat kemas dan menjaga penampilan mereka saya kira. Namun, apabila tiba saat bersarapan pagi sebegini, lain pula suasananya. 

Pada satu sudut, saya nampak, mereka ini tidak hipokrit. Tidak menyembunyikan diri. Biasalah, baru bangun tidur kan? Mestilah keadaan agak kusut-masai dan tentulah tidak sekemas biasa. Semua orang pun begitu. 

Pada suatu sudut yang lain pula, saya terfikir, hmm... kita yang muslim ini, terutamanya yang perempuan, memang akan bersiap jugalah walaupun sekadar ala kadar sahaja sebelum keluar dari bilik. Jadi, secara tidak langsung, penampilan kita menjadi lebih kemas jika hendak dibandingkan dengan orang Korea ini. Itu apa yang saya fikir dan rasalah kan...

Pagi ini saya ditegur oleh seorang kawan usai sahaja kami sarapan bersama. 

Katanya, "Ada kelas ke lepas ni, Nadzipah?"

"Hari ni tak ada kelas." Senyum.

"Oh. Tengok gaya macam nak pergi kelas. Dengan blousenya.... skirt lagi!" Dia gelak kecil di akhir ayat.

Saya sekadar senyum. Tak tahu mahu kata apa. 

"Kami ni pakai biasa-biasa saja. Seluar tidur lagi ni ha! Tak adanya nak bersiap bagai. Ni macam dah mandi pun ada!"

Haha. Kali ini saya tergelak. Amboi! Perli nampak! Haha.

"Penampilan mesti kena kemas sentiasa!" Saya katakan padanya sambil tayang senyum yang melebar. 

Okay. Nampak tak apa yang mahu saya sampaikan? Hihi. Gaya macam bagi pop kuiz saja.

Kita ini, walau di mana pun kita berada, penampilan mesti kena jaga. 
Biarlah wajah kita tidak cantik dan tidak kacak sekalipun. Tidak mengapa. 
Yang penting, biarlah kemas dan rapi sentiasa.
Barulah orang senang melihat kita. 

Sedar tak? 
Sebenarnya bila kita menjaga penampilan kita...
Kita sentiasa dalam keadaan kemas...
Secara tak lansung orang akan rasa kita cantik dan kacak...

Eh? Betul ke begitu?
Tak percaya?
Rasa tak yang orang yang berpakaian seragam itu kacak dan macho?
Adakah mereka semua itu mempunyai wajah yang tampan?

Oh, sama sekali tidak!
Habis tu, apa yang membuatkan kita rasa mereka ini kacak lagi bergaya?

Kerana...mereka menjaga penampilan mereka.
Rambut mereka pendek dan kemas.
Pakaian mereka dijaga rapi. 
Itulah hasilnya apabila kita sentiasa kemas dan menjaga penampilan.

Lebih-lebih lagi, kita ini orang Islam.
Kita ini orang yang buat dakwah.
Sepatutnya kita lebih faham daripada orang biasa.
Sepatutnya kita perlu lebih kemas dan lebih menjaga penampilan.

Kerana apa?
Kerana kita tahu yang ALLAH itu cantik dan DIA sukakan kecantikan.
Kita tahu yang di dalam 10 Muwasafat Tarbiyah itu ada Qawiyyul Jismi (Sihat tubuh badan) dan Munazhzhamun fi Syu'unihi (Teratur urusannya).

Bukankah semua itu menuntut kita untuk menjadi seorang yang kemas, 
rapi dan menjaga penampilannya?
Bukankah kita mahu menjadi qudwah hasanah (contoh ikutan) semua?
Dari itu jangan salahkan orang apabila ada yang memandang jelek pada kita.

Duhai sahabat dan sahibahku...
Duhai ikhwah dan akhawat fillah...
Lihatlah penampilanmu...
Rapikan dan kemaskan sosokmu...
Itu lebih baik untukmu...
Orang yang memandang pasti senang melihatmu
Penampilanmu yang terjaga itu akan membuatkan orang senang denganmu
Nur keimanan juga pasti akan lebih terserlah dari dirimu
Moga pancaran cahaya itu mampu menerobosi hati-hati yang memandangmu.
Insyaa-ALLAH.






Tuesday, November 27, 2012

Sekitar AGM 2012; Antara Merendah Diri Dan Membangga Diri

Assalamu'alaikum wbt.

Pada hari Sabtu, 24 November 2012 yang lepas, PPMK mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan 2012. 4 hari sudah berlalu. Bermakna sudah 4 hari PPMK11/12 melabuhkan tirai. Maksudnya sudah 4 hari juga PPMK12/13 membuka tirai. 

Jika AGM11 setahun yang lepas, saya tertarik dengan pembawakan Tuan Pengerusi SPR11 yang mengisi senggang masa pengiraan undi dengan sedikit pengisian dan celoteh yang bermanfaat, AGM12 kali ini pula lain ceritanya. Saya sangat tertarik dengan idea baharu yang diketengahkan oleh salah seorang ahli PPMK kepada calon yang bakal bertanding. Dan yang menambahkan kekaguman saya adalah apabila idea itu terus diaplikasikannya pada AGM12 kali ini. 

Idea baharu yang diketengahkan itu adalah setiap ahli yang bakal bertanding hendaklah menyediakan manifesto masing-masing untuk meraih undi. Sebelum ini, hanya calon presiden sahaja yang dikehendaki menyediakan manifesto. Perkara ini termaktub di dalam Perlembagaan PPMK di bawah Perkara 10: Sistem Pemilihan AJK Tadbir, Fasa 3: Proses Pencalonan Presiden. Saya kira, idea ini bagus dan lebih elok sekiranya idea ini dimasukkan ke dalam rang Perlembagaan PPMK. :') (Eh, tapi itu memerlukan penggubalan  atau pemindahan perlembagaan la. Mungkin akan melalui prosuder yang agak kompleks.)

Apa yang boleh saya katakan, proses pengundian bertambah 'happening' dengan adanya sesi pembentangan manifesto ini. Suasana AGM12 kali ini, pada saya, agak hambar pada mulanya. Sejak dari hari penamaan calon lagi terasa hambarnya. Jika sebelum ini, profil-profil calon akan terpapar di laman blog atau laman sosial yang lain, namun kali ini memang tiada langsung paparan sedemikian. Kemudian keadaan menjadi agak kontroversi saya kira, setelah ada antara calon AJK Tertinggi menarik diri daripada bertanding. Bahkan calon presiden yang menang tanpa bertanding juga menarik diri! 

Wuuhuu. Rasanya rata-rata ahli PPMK heboh dengan hal ini. Pelbagai asumsi telah dibuat. Namun, hanya empunya badan yang mampu menjawabnya. Dan persoalan itu terjawab pada hari AGM12.



Pepatah 'Mata pena lebih tajam dari mata pedang' itu terbukti benarnya pada AGM12 ini. Idea itu pada mulanya ditulis di laman blog sahaja. Namun, idea itu tidak sekadar dibiarkan begitu sahaja. Penulisnya menterjemahkannya ke dalam tindakan. 'Walk the talk.' Iya. Itulah yang penulis lakukan. Dan kami semua memang melihat hasilnya yang memberansangkan. 

Saya boleh katakan, ideanya diterima pakai dan disebarluaskan oleh ahli yang lain juga. Sehinggakan ada ahli yang mencadangkan agar idea itu digunakan pada masa akan datang. (Sebenarnya, saya pun hanya menatap lakaran idea ini setelah ahli yang lain itu mencadangkan idea berkenaan. Tapi saya sudah nampak usaha dan kesungguhan penulis menterjemahkan ideanya dalam bentuk tindakan. Syabas saya ucapkan kepada penulis.) 

Di sini saya boleh nampak yang setiap tindakan kita itu berbicara lebih pantas dan lebih bagus daripada lisan kita sendiri. 'Actions speaks louder than words.' Kita tak perlu pun berdegar-degar mencanang sana sini itu idea kita. Ini kerja yang kita lakukan. Kerana masyarakat sekeliling sudah mampu melihat setiap perlakukan kita, setiap usaha kita. Merendah diri. Iya. Itu sifat dan sikap yang lebih disukai dan dihargai.

Saya juga melihat, sikap dan sifat membangga diri, mencanang dan memberitahu semua orang itu idea kita, ini usaha kita, merupakan perbuatan yang tidak berapa terpuji. Mungkin kita ingat, dengan berbuat sedemikian, kita dapatlah meraih undi yang banyak. Mungkin kita rasa, dengan memberitahu semua ahli apa yang kita sudah lakukan, kita bolehlah menang mudah. Namun, sebaliknya yang berlaku. Sungguhlah, bersikap membangga diri itu tidak menguntungkan diri sendiri.

AGM12 kali ini sebenarnya banyak memberikan pengajaran kepada saya.

1. Meraikan kesepakatan.
- Apabila kita telah mencapai kata sepakat dalam memutuskan sesuatu keputusan, kita hendaklah berpegang teguh kepada keputusan tersebut. 
- Tidak perlu ragu-ragu. Insyaa-ALLAH, itulah yang terbaik buat kita.

2. Teguran daripada ALLAH kepada saya.
- Malam sebelum AGM12 saya tidak cukup tidur dek penangan menyiapkan tugasan dan melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan. Cuma sempat tidur 1 jam setengah sahaja.
- Jadi, saya merancang mahu tidur ketika AGM12 berlangsung. (Teruk kan? Jangan ditiru  sikap saya ini.)
- ALLAH menegur saya dengan mendatangkan ilham kepada Hafizah untuk mencadangkan saya menjadi pencatat minit mesyuarat. (Hah, ambik engkau! Terus tak dapat tidur dan perlu sentiasa 'alert' sepanjang mesyuarat berlansung.)
-  Menjadi pencatat minit mesyuarat itu juga suatu amanah bukan? Jadi saya perlulah melunaskan tanggungjawab yang diberikan sebaiknya.
- Rupanya ada baiknya saya mememang amanah itu. Saya menjadi pemerhati yang 'alert'
dengan suasana sekeliling sepanjang tempoh AGM12 berlangsung. Saya boleh melihat pelbagai aksi dan telatah calon, pihak SPR dan ahli. Pelbagai kerenah. 

3. Tanggungjawab dan amanah yang digalas itu perlu dilaksanakan sebaiknya.
- Saya nampak, bagaimana setiap AJK PPMK2011/2012 berusaha untuk melunaskan tanggungjawab dan amanah yang dipegang sebaiknya.
- Saya juga lihat, ada yang usahanya melebihi AJK yang lain. Tugasnya ditunaikan sebaiknya. Dia juga membantu AJK yang lain. Sehinggakan dirinya dipuji dan disebut-sebut. 
- Apa yang boleh saya katakan, merendah diri itu suatu sikap yang terpuji terutama sekali saat kita dipuji. Menonjolkan bakat dan kebolehan yang ada itu perlu, cumanya elakkan daripada membangga diri. Kita akan memperolehi banyak ilmu apabila kita merendah diri.

Pada saya, AGM12 melakarkan pelbagai kisah dan cerita. Yang baik itu, kita ambil dan amalkan. Yang buruk itu, kita buang dan jadikan sebagai pedoman. 


Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada AJK PPMK2011/2012 dan AJK PPMK2012/2013.

Kepada AJK PPMK2011/2012, terima kasih atas segala usaha dan penat lelah merancang pelbagai program untuk kami semua. 

Kepada AJK PPMK2012/2013, selamat maju jaya. Semoga dapat meneraju PPMK dengan lebih sukses lagi. 




Monday, September 3, 2012

Ceritera Cuti Musim Panas 2012

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Pagi semalam selamat mendarat di Incheon International Airport. Hari ini, 3 September 2012, bermulanya hari pertama bagi semester musim luruh. Dan, saya tiada kelas pada hari Isnin. :)

Sudah menghantar report internship pagi tadi. Untuk department tiada masalah. Alhamdulillah. Yang ABEEK masih perlu work on 수행보고서. Insya-ALLAH, akan cuba hantar dalam minggu depan.

23 June 2012 - 1 September 2012. Dalam 2 bulan 2 minggu saya cuti. Lama kan? Itu yang macam susah sikit nak datang sini balik tu. Beg pun saya kemas pagi Sabtu. Petang dah kena naik flight ke LCCT. Bertuah sungguh!

Cuti kali ini kebanyakan masa saya habiskan di rumah. Err..iye ke? Di TNB Pasir Puteh sebenarnya. Dari 8 pagi sampai 5 petang. Dari hari Ahad sampai hari Khamis. Jumaat dan Sabtu saja yang ada untuk berehat bersama keluarga di rumah.

2 bulan praktikal di sana, saya rasa macam sekejap je. Tak rasa masa berlalu. Seronok. Pak cik-pak cik sporting je. Err...panggil pak cik sebab mereka ni kebanyakannya sudah berumah tangga dan sudah boleh dipanggil ayah pun. Ada la seorang dua yang baru mahu menimang cahaya mata dan baru ada anak satu tu. Saya banyak guna 'encik' bila cakap dengan mereka sebenarnya. Macam tergeliat lidah membahasakan mereka 'abang' walaupun memang mereka membahasakan diri mereka sebegitu. 

Ramai juga yang praktikal di TNB ni sebenarnya. Ada seorang dari Unimap (Farahim), seorang dari UTHM (Kak Zura), dan 4 orang dari Politeknik Sultan Mu'adzzam Shah (Fatin, Syafiqah, Fikri dan Hamizam).

Ini gambar sewaktu saya ke sana selepas cuti raya. Masa ni Fatin dan Syafiqah dah nak keluar. Kak Zura pun tengah tunggu nak keluar juga.


Yang bestnya, saya dapat beraya di rumah tahun ni. Alhamdulillah. :') Cukup satu famili. 1 Syawal kami sambut di Besut bersama Mak Ngah sekeluarga. Bakar sate ramai-ramai. Masak kuah kacang, nasi impit dan nasi beriani sama-sama. Paginya usai solat sunat AidilFitri, kami ke kubur, menziarahi kubur arwah nenek.

 Sempat lagi posing usai ziarah. Huhu. 

Tukar camerawoman. :D

Kami pulang ke rumah sudah lewat petang. Hampir Maghrib baru sampai rumah. Waktu nak bertolak pulang tu, sempat lagi bergambar. We dan adik Zakwan dah tukar 'uniform' dah masa ni. 

                                          Cukup satu famili. Alhamdulillah. :'))

                                                          Ummi dan We. 

Ummi and Mak Ngah with their other half. :D

     Anak-anak dara dan anak teruna Ummi dan We. :)

Malamnya kami ke rumah Chik bersama Ayah Ngah, Cik Ngah dan keluarga. Esoknya pula beraya di Pasir. Hari raya ketiga, saya dah start demam + selesema + batuk. Rosak mood raya. Huhu. Semua walimah senior-senior  dan kawan-kawan satu batch pun saya tak dapat pergi. Tak sihat punya fasal. Duduk di rumah sambil menyiapkan report praktikal sahaja. Ummi dan We pula sibuk dengan kenduri saudara mara dan orang sekampung. Kami adik-beradik tak pergi la. 

Siap je semua report. Print. Saya kembali ke TNB untuk mendapatkan tandatangan dan komen supervisors. Dua hari jugalah berulang ke sana. Baharulah selesai. Alhamdulillah. Kemudian bergadang pula untuk siapkan segala macam dokumen yang nak kena hantar ke department dan pejabat ABEEK. Print, susun dan compilekan. 

Err..dalam pada tak berapa nak sihat dan sedang menyiapkan report tu, saya sempat pergi ke rumah Ema untuk beraya. Beriya-iya dia ajak nak jumpa. Dari awal cuti lagi sebenarnya, tapi asyik tertangguh. Lagi pula, ramai yang sedang praktikal. Jadinya, kami berkumpul di rumah Ema pada hari raya kelima. Tak ramai pun sebenarnya. Dalam enam orang saja termasuk saya. Reunion kecil 5 Alfa, mungkin. Ramai yang tak dapat datang. 


 Duduk dari kiri: Fais, Admirul, Izzati, saya, Ema dan Izyan. Ex-5 Alfa. Dah lima tahun kan kita meninggalkan alam persekolahan. Cepat sungguh masa berlalu.

 Izzati dah ambil master. Huu. Jealous!  Izyan pun dah nak habis dah. 
Ema yang tak sudah dengan trademarknya; peace!
All the best semua. Insya-ALLAH, ada masa dan diizinkan-NYA, kita jumpa lagi. 

30 Ogos 2012. Sehari sebelum merdeka. Hee. Akhawat UK dan India datang ziarah - datang beraya ke rumah saya. Err. Sebenarnya saya tak tahu pun yang akan datang ziarah itu siapa. Yang saya tahu, Fatin mesej bagitahu yang dia dan beberapa orang akhawat nak datang rumah. Itu saja. Mestilah gembira kan, bila orang nak datang rumah. Sudahlah saya tidak dapat ke rumah Fatin pada hari raya kelima tu sebab Ummi dan We perlu menghadiri walimah sedara. 

Usai je saya solat Zohor, terdengar bunyi kereta berhenti depan rumah. Ummi cakap, ada dua buah kereta. Saya dah kerut dahi. Aik? Fatin kata akan datang bertiga sahaja. Macam mana boleh datang dua buah kereta pula ni? Teruslah bergegas keluar. Mereka datang berlima rupanya. Baru pulang dari usrah katanya. 

Kami borak-borak sambil berta'aruf. Saya rasa macam dah kenal lama dengan mereka ni. Walaupun, itulah baru pertama kali saya berjumpa dengan mereka. Peramah dan ceria sungguh bakal doktor dan bakal cikgu ini. :') Maaf ye Fatin, saya tak sempat borak panjang dengan awak. Tapi apa yang pasti, saya gembira dan bahagia sangat dapat jumpa awak. Dua kali kan kita jumpa dalam cuti ni? Alhamdulillah. 

Dari kiri: saya, Nadiah, Najwa, Amirah, Fatin dan Rohaya aka Aya.

Najwa, Amirah dan Aya belajar di India. Bakal doktor la mereka bertiga ni. Fatin dan Nadiah belajar di UK. Fatin di Warwick manakala Nadiah di Leicester. Kedua-duanya bakal cikgu. Nadiah bakal cikgu Matematik. Fatin bakal cikgu BI. 

Walaupun kita tiada gambar bersama kali ini, dirimu sentiasa tetap diingatku. Wajahmu sudah terlakar di minda ku. ^^ Till we meet again. Insha-ALLAH. IMY.ILY. Hee. 


1 September 2012. Huu. Setiap pertemuan, pasti ada perpisahan. Perpisahan buat sementara waktu atau untuk selama-lamanya. Sedih. Masa 2 bulan 2 hari itu rasanya masih tidak mampu mengubat rindu. Masih belum puas menatap wajah ayah dan bonda sudah hendak berpisah. Masih belum puas bergurau senda, sudah perlu berpisah. 



We, Ayah Ngah dan Adik Zakwan pergi KFC masa ni. Tak sempat nak bergambar. Insya-ALLAH, dipanjangkan umur dan diizinkan-NYA kita semua akan jumpa lagi. Insya-ALLAH. 

Sabtu lepas hantar adik Eya. Sabtu ini hantar saya. Sabtu depan hantar adik Ema. Lepas tu rumah akan sunyi sepi. Tinggal Ummi dan We melayan karenah dan keletah adik Zakwan saja. Moga ALLAH melindungi, merahmati dan meredhai kami sekeluarga dan kita semua. Insya-ALLAH.

Nota 1: Semester baru. Semangat baru. Insya-ALLAH. Walaupun masih dirudung rindu.

Nota 2: Inna lillahi wa inna ilahi raji'un. Daripada ALLAH kita datang dan kepada ALLAH kita kembali. Al-Fatihah.Takziah diucapkan buat keluarga dan sahabat kepada bakal-bakal doktor atas kehilangan mereka yang dicintai - Hanisah Muhd Shah dan Adzreen Binyati yang telah meninggal dunia di Moscow, Rusia malam tadi (awal pagi tadi  waktu Malaysia).

Semoga lima lagi rakan mereka yang cedera - Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza Abdul Raza,  diberikan kesembuhan oleh-NYA. Insya-ALLAH.