Wednesday, October 3, 2012

Kamu Bukan Muhammad Al-Fateh. Dia Bukan Rabiatul Adawiyah.

Assalamu'alaikum wbt.

Rabu - hari terakhir bercuti. Korea menyambut Harvest Moon Festival atau dalam bahasa Korea dipanggil 추석 (Chuseok). Perayaan Chuseok yang juga merupakan Korean (version of) Thanksgiving Day disambut pada hari ke-15 bulan ke-8 mengikut kalendar Lunar. Tahun ini, Chuseok jatuh pada hari Ahad, 30 September 2012. Kebiasaannya cuti umum akan diberikan sehari sebelum dan sehari selepas Chuseok. Universiti  saya pula sudah bercuti sejak hari Jumaat lagi. Hari Selasa pula memang saya tiada kelas. Hari ini, Rabu, 3 Oktober 2012  pula, cuti sempena the National Foundation Day of Korea. Genap 6 hari saya bercuti.

Melihat pelajar Korea menarik beg besar masing-masing pada petang Khamis dan awal pagi Jumaat membuatkan saya sebak sendiri. Kalau di Malaysia, pastinya saya juga akan berbuat sedemikian. Cuti 6 hari kot. Mungkin inilah perasaan adik-adik  dan rakan-rakan saya di Malaysia saat tibanya cuti. Terasa seperti mahu terbang pulang ke Malaysia. Kalaulah Malaysia-Korea ini seperti Shah Alam-Pasir Puteh...Heh. Suka berkalau-kalaulah saya ni. Tak baik kan?

Alhamdulillah, cuti kali ini insya-ALLAH dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat. Banyak yang terjadi sepanjang cuti ini. Banyak benda yang saya dapat sewaktu libur kali ini. Banyak benda yang membuka mata saya. Banyak perkara yang membuatkan saya refleksi diri sendiri. Alhamdulillah.

Apa yang dapat saya simpulkan dari semua yang 'banyak' itu ialah 'Kamu bukan Muhammad Al-Fateh, Dia bukan Rabiatul Adawiyah.' Saya pasti, awak yang membaca pasti mempunyai pelbagai  asumsi saat membaca tajuk entry kali ini kan?

Takpe, tarik nafas. Hembus. Tenangkan diri sekejap. Tulisan saya kali ini bukan mahu menyalahkan sesiapa. Semua ini hasil daripada pengalaman, pemerhatian dan pembacaan saya sahaja. Mungkin ada yang tidak betulnya.

Saya ada membaca status FB Ustaz Hasrizal pada 27 September 2012 berkenaan dengan kuliahnya yang bertajuk Sarcasm / Al-Sukhriyyah Dalam Timbangan Akhlaq Islam dan reaksi anaknya Yop Saiful Islam berkenaan isi kuliahnya ini. Reaksi anak kecil berusia 10 tahun ini yang begitu terkesan dengan sarcasm, sehinggakan dia terus meluru ke arah abinya seusai saja kuliah berlangsung. Terus meluahkan apa yang dirasa. Sehinggakan dia menulis mengenai sarcasm ini di laman blognya yang masih baharu dan jarang update itu. Pada saya, ini menunjukkan bahawa sarcasm yang dirasainya itu cukup terkesan di jiwanya sampaikan dia mahu berkongsi dengan semua orang mengenainya.

Usai sahaja membaca status dan juga komen-komen di bawahnya, saya termenung panjang. Memutarkan kembali episod-episod hidup saya yang telah berlalu. Rupa-rupanya saya juga tergolong dalam orang yang suka melafazkan kesindiran ini. Huhu. Malu sendiri. Saya tidak tahu sama ada awak yang membaca pernah mengalaminya atau tidak. Dalam hidup saya, situasi sebegini selalu sahaja terjadi.

"Itulah, lain kali, cari dengan mata...bukan dengan hidung."
"Besar macam ni pun, tak nampak ke?"
"Mata letak kat mana? Kepala ke, kepala lutut?"

Huhu. Pernah mengalaminya? Saya pernah. Bahkan saya juga pernah melafazkan kata-kata seumpama ini. ALLAHU ALLAH. Betapa selama ini saya tidak sedar bahawa ayat-ayat sebegitu mampu sahaja menggores hati-hati yang mendengar. Walaupun ayat-ayat itu dilafazkan dalam bentuk gurauan sekalipun, pasti ia sedikit sebanyak mencalarkan juga hati-hati yang terlibat. ALLAH...betapa selama ini saya khilaf. Sekarang baharu saya sedar, kata-kata sebegitu termasuk juga dalam kesindiran yang tidak disukai oleh ALLAH dan rasul-NYA. Insya-ALLAH, selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam berkata-kata. Walaupun mengucapkan kata-kata sedemikian dengan niat untuk bergurau sahaja, niat itu tidak menghalalkan cara bukan?

Saya tersedar tentang sesuatu. Keterbiasaan kita mengakibatkan kita menganggap perkara sebegini perkara biasa yang tidak mungkin memberikan kesan dalam perhubungan dan kehidupan kita. Keterbiasaan ini yang mengakibatkan kita melihat perkara yang tidak berapa baik itu sebenarnya 'okay' sahaja. Tiada apa yang buruk pun. Biasa saja. Moga selepas ini kita berusaha untuk mengubah keterbiasaan yang tidak berapa bagus ini dalam pertuturan dan kehidupan kita. Insya-ALLAH.

Teringat kata-kata seorang junior sewaktu sesi perbincangan kami hari Sabtu yang lalu. "Kita biasakan yang betul. Kita betulkan yang biasa." Ayat yang agak catchy, saya kira. Namun sebaris ayat itu penuh dengan 'sesuatu'. Something to ponder.

Bertitiktolakkan sarcasm ini, selepas itu berturutan pula hal-hal yang berkaitan dengannya. Mungkin juga disebabkan kita ini sudah terbiasa dengan kesindiran dan pemerlian dalam menegur. Mungkin... Dalam kita tidak sedar, amalan sebegini melemahkan diri kita sendiri sebenarnya. Bukankah ALLAH telah memberikan manual kepada kita cara-cara untuk menegur yang betul? Bukankah Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik dengan mengaplikasikannya dalam kehidupan baginda?

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik..."
 [An-Nahl, 16:125]

Yang salah tetap salah. Saya tidak mengatakan bahawa kita boleh melepaskan si pesalah sewenang-wenangnya. Namun, menegur juga biarlah kena dengan caranya. Saya tahu, niat si penegur pastinya mahukan kebaikan. Saya tahu itu. Saya tidak menafikannya. Cumanya caranya saja yang tidak kena.


Dalam hal sebegini, saya kira kedua-duanya pun bersalah. Pada satu pihak, dia bersalah kerana dia telah buat salah - melanggar janji dan sebagainya. Perlulah sedar dan mengakui kesilapannya. Pada satu pihak yang lain pula, dia juga bersalah kerana tidak berhikmah dalam menegur. Sehinggakan membuatkan orang terasa hati dengan perbuatannya itu. Sampaikan perhubungan yang terjalin meretak. Dua-dua salah dan dua-dua patut mengakui kesalahan masing-masing. Dua-dua perlu perbetulkan kesilapan masing-masing. 

Apabila masing-masing sedar akan kesilapan, baharulah khilaf itu akan diperbetulkan. Mana mungkin dia akan memperbetulkan kesilapannya jika dia tidak tahu apa yang dibuatnya itu salah ataupun dia tidak merasakan bahawa apa yang dilakukannya itu tidak betul. Apabila situasi sebegini berlaku, pastinya mustahil untuk seseorang itu mengakui dan memperbetulkan apa yang silap. Make sense, right?


Kamu bukan Muhammad Al-Fateh. Dia bukan Rabiatul Adawiyah.
Masing-masing buat silap. Masing-masing tidak sempurna.
Namun, apa yang pasti...
Masing-masing sedang berusaha untuk menuju kesempurnaan.

Maafkan saya seandainya tulisan saya kali ini telah mengguris mana-mana hati yang membaca. Maafkan saya. Saya tidak bermaksud untuk berbuat sedemikian. Tulisan ini sekadar refleksi dari apa yang saya perhatikan, apa yang saya baca dan apa yang saya alami. 

Apa yang dapat saya simpulkan, kita seharus dan sepatutnya mengakui setiap kesalahan kita. Bukannya bersikap 'denying' - tidak mahu mengakui kesalahan sendiri dan merasakan diri sentiasa betul. Terkadang, kita merasakan kita selalu sahaja betul, sehinggalah kita disedarkan bahawa apa yang kita lakukan betul itu salah. 

Mohonlah kemaafan setelah sedar akan kesilapan yang dilakukan itu. Walaupun, kata-kata maaf itu sendiri sukar untuk kita lafazkan. Namun, cubalah untuk melafazkan empat huruf itu. Seperti mana sukarnya untuk melafazkan kemaafan, begitulah juga sukarnya untuk mendapatkan kemaafan. Namun, itu tidak bermakna kita tidak perlu mengakui kesilapan dan memohon maaf. Serahkanlah segalanya kepada DIA di atas sana. Hanya DIA yang memegang hati-hati manusia. Mohonlah moga kemaafan kita itu dimaafkan. 

Sungguhlah, saya yang menulis inilah yang akan dipersoalkan terlebih dahulu seandainya apa yang saya tulis dan perkatakan ini tidak saya amalkan dan terjemahkannya dalam kehidupan harian saya. Astaghfirullah hal 'azim. Moga ALLAH membimbing dan menjauhi saya daripada bersikap seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul ini. Dalam bahasa mudahnya, 'Cakap tidak serupa bikin'. Moga dijauhkan. Ameen. Insya-ALLAH. 

Seperti mana Imam Hassan Al-Banna yang tidak banyak berkata-kata dan tidak banyak menulis, namun mampu melahirkan anak-anak murid yang hebat dalam penulisan dan pintar berbahas, marilah kita sama-sama berusaha mencontohi beliau. Bagaimana beliau mampu melahirkan anak-anak murid yang hebat sebegini? Melalui akhlak dan keperibadian yang ditonjolkannya. Imam Hassan Al-Banna menterjemahkan segala-galanya melalui perbuatannya kemudian barulah melalui perkataan. Makna kata, orang sekelilingnya sudah melihat terlebih dahulu perilakunya lama sebelum dia mengucapkannya. Rasulullah SAW juga begitu bukan? Masyarakat Quraisy Mekah sudah lama mengakui akan kemuliaan peribadi baginda sehinggakan baginda digelar Muhammad Al-Amin lama sebelum baginda diangkat menjadi rasul lagi.

Saya mengingatkan diri saya sendiri dan semua yang membaca tulisan marhaen saya ini untuk menonjolkan akhlak mulia dan peribadi terpuji dalam kehidupan. Kita sama-sama berusaha ke arah itu. Insya-ALLAH. 


No one is perfect. That's why pencils have erasers. :')



Monday, September 17, 2012

Spread The Love

Assalamu'alaikum wbt.

Seminggu ini kita dikejutkan dengan filem Innocence of Muslims. Sebuah filem garapan Sam Bacile yang menghina Rasulullah SAW. Umat Islam di seluruh dunia memberikan reaksi terhadap pengeluaran filem ini. Hal ini juga mengakibatkan kemarahan masyarakat Islam di Libya dan Mesir. Pegawai kedutaan Amerika Syarikat di Libya diserang dan pejabat kedutaan Amerika Syarikat di beberapa negara Islam yang lain juga diserang. Itu reaksi umat Islam setelah diprovokasi.

Persoalannya di sini, bagaimanakah sepatutnya kita sebagai seorang Muslim bereaksi terhadap hal-hal sebegini? Adakah betul tindakan yang telah kita lakukan dengan menyerang pejabat-pejabat kedutaan Amerika Syarikat itu? Lau kaana bainana...Seandainya Rasulullah SAW ada bersama kita pada hari ini, adakah baginda menyukai reaksi kita itu? Adakah baginda akan tersenyum melihat tindakan kita?

Marilah sama-sama kita telusuri kisah Rasulullah SAW sewaktu di awal permulaan dakwah Islam pada zaman Mekah.

Kisah Rasulullah dan penduduk Thaif.
Rasulullah dilemparkan dengan batu sewaktu berdakwah di Thaif. Badan baginda habis berlumuran darah. Tindakan penduduk Thaif itu mengundang cadangan malaikat yang mahu memusnahkan penduduk Thaif dengan meruntuhkan gunung Thaif. Namun Rasulullah menolak tawaran malaikat itu. Baginda malah mengangkat tangan dan berdoa kepada ALLAH, "Semoga ada dalam kalangan mereka termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman." Dan, doa baginda itu dimakbulkan ALLAH. Lama selepas itu, penduduk Thaif telah memeluk agama Islam.

Kisah Rasulullah sewaktu Fathu Mekah
Sewaktu baginda bersama 100,000 umat Islam yang lain bergerak masuk ke Mekah, seluruh penduduk Mekah lari menyembunyikan diri. Kemudian apabila baginda memanggil mereka untuk berkumpul. Mereka sekarang ini telah bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk menerima sebarang keputusan daripada Rasulullah. Namun sebaliknya yang berlaku. Baginda tidak mengenakan sebarang tindakan kepada penduduk Mekah, baginda malah memaafkan dan membebaskan mereka seterusnya mendoakan semoga ALLAH mengampuni segala kesalahan penduduk Mekah selama ini.

Kisah Rasulullah dengan seorang tua
Jalan-jalan yang nabi selalu lalui pasti akan dipenuhi dengan duri-duri yang melukakan kaki baginda. Setiap hari pasti Rasulullah SAW akan berdepan dengan perkara yang sama. Baginda tidak pernah merungut. Pada saat dan ketika yang sama juga, baginda tidak pernah terlupa untuk memberikan makanan kepada seorang tua yang buta. Baginda bukan sahaja menyuapkan, malah menolong mempermudahkan orang tua itu untuk mengunyah dan menghadam setiap makanan yang baginda berikan. Keadaan ini berterusan sehinggalah Rasulullah SAW wafat. Kemudian, Saidina Abu Bakar meneruskan perbuatan mulia ini. Namun, orang tua itu berkata, "Kamu ini bukan orang yang selalu memberikan aku makan. Ke manakah dia?" Orang tua ini merasai perbezaannya kerana Saidina Abu Bakar hanya menyuapkannya makanan, beliau tidak mempermudahkan orang tua ini untuk mengunyah dan menghadam. Lalu jawab Saidina Abu Bakar, "Rasulullah telah wafat." Maka menangislah orang tua tersebut. Lalu dia menceritakan bahawa dialah yang selama ini yang meletakkan duri-duri di sepanjang jalan yang Rasulullah lalui.

Itu antara kisah yang menunjukkan keperibadian Rasulullah SAW. Ada banyak lagi kisah yang menampakkan sosok kepimpinan, kemuliaan dan peribadi mulia Rasulullah SAW. Baginda malah merupakan Al-Quran bergerak. Betapa di sini, ingin menunjukkan bahawa baginda berperibadi Al-Quran. Masya-ALLAH.

Kewafatan baginda ditangisi para sahabat. Manakan tidak, baginda sepanjang hidupnya merupakan seorang pemimpin yang berkaliber dan berdedikasi, suami yang penyayang, bapa yang pengasih, datuk yang baik, sahabat yang memahami....Baginda masih lagi sempat membantu isteri-isteri menguruskan rumah tangga walaupun ketika menerajui negara dan menganggotai peperangan. Baginda masih lagi boleh melayan isteri, mendidik anak-anak dan bergurau mesra dengan cucu-cucunya walaupun disibukkan dengan pelbagai urusan negara dan kepimpinan. Betapa hebatnya keperibadian baginda.

Jika ditelusuri setiap kisah-kisah ini, kita tidak akan berjumpa walau satu pun kisah yang menunjukkan Rasulullah SAW membalas keburukan dengan keburukan. Rasulullah malah mendoakan mereka yang melakukan keburukan itu dengan kebaikan. Itulah keperibadian Rasulullah - yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk umatnya. Yang sentiasa mengingati umatnya sehingga ke saat-saat terakhir nafasnya. Bibirnya masih lagi menyebut "Ummati...ummati...ummati..."

Bagaimana pula dengan kita pada hari ini? Kita sebagai orang Islam, umat nabi Muhammad SAW, adakah kita mencontohi keperibadian dan perlakuan Rasulullah SAW ini?

Sesiapa sahaja yang apabila diprovokasi pasti akan mencetuskan amarah. Saya pasti itu. Namun, tariklah nafas sebentar, berfikirlah sejenak sebelum bertindak balas atau memberikan sebarang reaksi. Fikirkanlah dahulu baik buruknya tindakan yang akan kita lakukan itu. Keburukan tidak seharusnya dibalas dengan keburukan juga. We need to be reflective not reactive.

Sesuatu harus dilakukan. Kita perlu membuka mata seluruh penduduk dunia. Kita sebagai seorang Muslim perlu memahamkan dan menunjukkan kepada semua apa itu Islam yang sebenar. Kegiatan dakwah perlu diperhebat. Usaha menyampaikan Islam perlu diperhebat. Ya! Itulah yang seharus dan sepatutnya kita lakukan.

Biar semua orang tahu, Islam itu damai dan mendamaikan. Islam itu bukan sekadar di lapisan kulit semata-mata. Islam itu sudah mendarah dan mendaging di dalam diri setiap yang bergelar muslim. Spread the love. Kita mahu semua orang merasai apa itu Islam yang sebenar. Perhebatkan usaha, biar semua orang dapat melihatnya. Kita umat Islam tidak perlu mudah melatah. Kita seharusnya membuktikan bahawa apa yang mereka canang-canangkan tentang Islam itu tidak benar.

ALLAH matlamat kita...
Rasulullah SAW ikutan kita...
Al-Quran petunjuk hidup kita...

Spread the love. Sebarkan rasa cinta dan kecintaan kepada ALLAH, Rasul-NYA dan agama-NYA. Moga-moga dengan usaha penyebaran ini, tidak akan ada lagi kes seperti pengeluaran filem yang menghina Rasulullah ini. Semoga dengan penyebaran ini, akan lahirlah golongan yang mahu membangkitkan kembali zaman kegemilangan Islam. Insya-ALLAH.

Tuesday, September 11, 2012

Bilakah Pula Masa Kita?

Assalamu'alaikum wbt.

Pada 3 September 2012, saya dikejutkan dengan berita kemalangan pelajar Malaysia di Rusia. Dua orang daripada mereka meninggal dunia dan lima orang lagi cedera parah. Saya mendapat tahu mengenai berita ini di group FB yang dipos Puan Dina; pegawai PPL Korea supaya kami sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku. Kemudian pada keesokan harinya, boleh dikatakan hampir kesemua akhbar atas talian membicarakan perihal ini.

Barulah jelas, mereka sebenarnya baru pulang dari bercuti di Malaysia. Pada mulanya saya fikir mereka baru pulang dari bercuti di mana-mana - melancong ke tempat-tempat menarik pada cuti musim panas. Terkaku sekejap setelah mengetahui duduk perkara yang sebenar. ALLAHU ALLAH. Kiranya mereka ini macam saya dan rakan-rakan yang lainlah. Baru sahaja tiba di negara pengajian untuk meneruskan pengajian setelah menghabiskan cuti musim panas di Malaysia. Kemudian, mengalami kemalangan dalam perjalanan ke tempat-tempat pengajian. ALLAH...

Beberapa hari yang lepas, apabila membicarakan kisah ini, suasana tiba-tiba menjadi hening. Seolah-olah tidak kedengaran alunan muzik yang diperdengarkan di dalam Caffe Bene. Masing-masing kelihatannya sedang merefleksi diri. Mana tidaknya, mereka itu sebaya dengan kami dan ada di antara mereka itu merupakan kenalan kami - schoolmate.

Betapa mulianya mereka yang meninggal itu kerana meninggal dalam perjalanan untuk menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu kan salah satu ibadah. Menuntut ilmu juga satu jihad. Beruntungnya mereka. 

Teringat hadis tentang niat.

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat 
dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan...." 
[HR Bukhari dan Muslim]

Sebab itulah kita disuruh untuk sentiasa memperbaharui niat kita. Pastinya kita tidak akan lari jauh dan sentiasa kembali ke arah yang betul setelah memperbaharui niat, bukan? 

"Katakanlah, "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu DIA beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.""
 [Al-Jumu'ah, 62:8]

Itu janji ALLAH. Ajal pasti akan menjemput kita. Ajal maut itu tidak mengenal usia. Yang muda, yang tua, semuanya akan meninggal dunia. Dua pelajar medik Rusia itu telah menemui Yang Maha Pencipta dalam keadaan yang diredhai-NYA - dalam perjalanan menuntut ilmu. Bagaimana pula dengan kita? Bilakah akan tiba masa kita pula? Hanya DIA Yang Maha Mengetahui sahaja yang tahu. 

Namun, adakah kita mahu duduk-duduk sahaja menunggu malaikat Izrail menarik nyawa kita tanpa apa-apa usaha bagi meraih redha-NYA? Tentu tidak bukan? Pastinya kita juga mahu menghadap Ilahi dengan wajah yang tenang dan penuh dengan senyuman. Untuk itu, kita perlulah melakukan segala suruhan-NYA dan meninggalkan segala larangan-NYA. Kita perlu melunaskan tanggungjawab yang diberikan oleh Rabbul Izzati; menjadi khalifah di muka bumi dan beribadah kepada-NYA. Semoga dengan segala amal ini kita bakal pergi menemui-NYA di dalam redha-NYA. Insya-ALLAH.

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada ALLAH. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya), agar ALLAH memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenarannya, dan mengazab orang munafik jika DIA kehendaki, atau menerima taubat mereka. Sungguh, ALLAH Maha Pengampun, Maha Penyayang."
 [Al-Ahzab, 33:23-24]


Ayat di atas ALLAH tujukan khas kepada orang-orang mukmin. Dalam perjuangan mereka menegakkan agama ALLAH dan mencapai redha-NYA, ada yang meninggal dan ada yang di dalam waiting-list; menunggu masa untuk dijemput Ilahi. Namun, walau apapun keadaan mereka, mereka tidak pernah mahu mengubah janji mereka terhadap ALLAH. Janji apa? Janji untuk menegakkan agama ALLAH. Janji untuk menyampaikan Islam kepada seluruh umat.

Adakah kita tergolong dalam golongan ini? Yang gugur di dalam perjuangan? Yang bakal gugur di dalam perjuangan? Hanya DIA yang tahu. Semoga, kita juga tergolong dalam kalangan orang mukmin yang menepati janjinya kepada ALLAH. Insya-ALLAH.

Nota 1: Kematian itu merupakan suatu peringatan kepada kita yang masih hidup. Masa mereka sudah tiba. Bilakah pula masa kita? Untuk itu, saya menasihati diri saya dan semua yang membaca, bersama-samalah kita bersedia menghadapi sakaratul maut. Insya-ALLAH.

Nota 2: Perbetulkan niat. Perbaharui niat. Setiap apa yang kita lakukan ini sentiasa dicatat. Ajal itu bakal menemui kita bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Semoga saat kita dijemput menghadap Ilahi nanti, kita dijemput dalam keadaan yang diredhai-NYA. Insya-ALLAH.

Monday, September 3, 2012

Ceritera Cuti Musim Panas 2012

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Pagi semalam selamat mendarat di Incheon International Airport. Hari ini, 3 September 2012, bermulanya hari pertama bagi semester musim luruh. Dan, saya tiada kelas pada hari Isnin. :)

Sudah menghantar report internship pagi tadi. Untuk department tiada masalah. Alhamdulillah. Yang ABEEK masih perlu work on 수행보고서. Insya-ALLAH, akan cuba hantar dalam minggu depan.

23 June 2012 - 1 September 2012. Dalam 2 bulan 2 minggu saya cuti. Lama kan? Itu yang macam susah sikit nak datang sini balik tu. Beg pun saya kemas pagi Sabtu. Petang dah kena naik flight ke LCCT. Bertuah sungguh!

Cuti kali ini kebanyakan masa saya habiskan di rumah. Err..iye ke? Di TNB Pasir Puteh sebenarnya. Dari 8 pagi sampai 5 petang. Dari hari Ahad sampai hari Khamis. Jumaat dan Sabtu saja yang ada untuk berehat bersama keluarga di rumah.

2 bulan praktikal di sana, saya rasa macam sekejap je. Tak rasa masa berlalu. Seronok. Pak cik-pak cik sporting je. Err...panggil pak cik sebab mereka ni kebanyakannya sudah berumah tangga dan sudah boleh dipanggil ayah pun. Ada la seorang dua yang baru mahu menimang cahaya mata dan baru ada anak satu tu. Saya banyak guna 'encik' bila cakap dengan mereka sebenarnya. Macam tergeliat lidah membahasakan mereka 'abang' walaupun memang mereka membahasakan diri mereka sebegitu. 

Ramai juga yang praktikal di TNB ni sebenarnya. Ada seorang dari Unimap (Farahim), seorang dari UTHM (Kak Zura), dan 4 orang dari Politeknik Sultan Mu'adzzam Shah (Fatin, Syafiqah, Fikri dan Hamizam).

Ini gambar sewaktu saya ke sana selepas cuti raya. Masa ni Fatin dan Syafiqah dah nak keluar. Kak Zura pun tengah tunggu nak keluar juga.


Yang bestnya, saya dapat beraya di rumah tahun ni. Alhamdulillah. :') Cukup satu famili. 1 Syawal kami sambut di Besut bersama Mak Ngah sekeluarga. Bakar sate ramai-ramai. Masak kuah kacang, nasi impit dan nasi beriani sama-sama. Paginya usai solat sunat AidilFitri, kami ke kubur, menziarahi kubur arwah nenek.

 Sempat lagi posing usai ziarah. Huhu. 

Tukar camerawoman. :D

Kami pulang ke rumah sudah lewat petang. Hampir Maghrib baru sampai rumah. Waktu nak bertolak pulang tu, sempat lagi bergambar. We dan adik Zakwan dah tukar 'uniform' dah masa ni. 

                                          Cukup satu famili. Alhamdulillah. :'))

                                                          Ummi dan We. 

Ummi and Mak Ngah with their other half. :D

     Anak-anak dara dan anak teruna Ummi dan We. :)

Malamnya kami ke rumah Chik bersama Ayah Ngah, Cik Ngah dan keluarga. Esoknya pula beraya di Pasir. Hari raya ketiga, saya dah start demam + selesema + batuk. Rosak mood raya. Huhu. Semua walimah senior-senior  dan kawan-kawan satu batch pun saya tak dapat pergi. Tak sihat punya fasal. Duduk di rumah sambil menyiapkan report praktikal sahaja. Ummi dan We pula sibuk dengan kenduri saudara mara dan orang sekampung. Kami adik-beradik tak pergi la. 

Siap je semua report. Print. Saya kembali ke TNB untuk mendapatkan tandatangan dan komen supervisors. Dua hari jugalah berulang ke sana. Baharulah selesai. Alhamdulillah. Kemudian bergadang pula untuk siapkan segala macam dokumen yang nak kena hantar ke department dan pejabat ABEEK. Print, susun dan compilekan. 

Err..dalam pada tak berapa nak sihat dan sedang menyiapkan report tu, saya sempat pergi ke rumah Ema untuk beraya. Beriya-iya dia ajak nak jumpa. Dari awal cuti lagi sebenarnya, tapi asyik tertangguh. Lagi pula, ramai yang sedang praktikal. Jadinya, kami berkumpul di rumah Ema pada hari raya kelima. Tak ramai pun sebenarnya. Dalam enam orang saja termasuk saya. Reunion kecil 5 Alfa, mungkin. Ramai yang tak dapat datang. 


 Duduk dari kiri: Fais, Admirul, Izzati, saya, Ema dan Izyan. Ex-5 Alfa. Dah lima tahun kan kita meninggalkan alam persekolahan. Cepat sungguh masa berlalu.

 Izzati dah ambil master. Huu. Jealous!  Izyan pun dah nak habis dah. 
Ema yang tak sudah dengan trademarknya; peace!
All the best semua. Insya-ALLAH, ada masa dan diizinkan-NYA, kita jumpa lagi. 

30 Ogos 2012. Sehari sebelum merdeka. Hee. Akhawat UK dan India datang ziarah - datang beraya ke rumah saya. Err. Sebenarnya saya tak tahu pun yang akan datang ziarah itu siapa. Yang saya tahu, Fatin mesej bagitahu yang dia dan beberapa orang akhawat nak datang rumah. Itu saja. Mestilah gembira kan, bila orang nak datang rumah. Sudahlah saya tidak dapat ke rumah Fatin pada hari raya kelima tu sebab Ummi dan We perlu menghadiri walimah sedara. 

Usai je saya solat Zohor, terdengar bunyi kereta berhenti depan rumah. Ummi cakap, ada dua buah kereta. Saya dah kerut dahi. Aik? Fatin kata akan datang bertiga sahaja. Macam mana boleh datang dua buah kereta pula ni? Teruslah bergegas keluar. Mereka datang berlima rupanya. Baru pulang dari usrah katanya. 

Kami borak-borak sambil berta'aruf. Saya rasa macam dah kenal lama dengan mereka ni. Walaupun, itulah baru pertama kali saya berjumpa dengan mereka. Peramah dan ceria sungguh bakal doktor dan bakal cikgu ini. :') Maaf ye Fatin, saya tak sempat borak panjang dengan awak. Tapi apa yang pasti, saya gembira dan bahagia sangat dapat jumpa awak. Dua kali kan kita jumpa dalam cuti ni? Alhamdulillah. 

Dari kiri: saya, Nadiah, Najwa, Amirah, Fatin dan Rohaya aka Aya.

Najwa, Amirah dan Aya belajar di India. Bakal doktor la mereka bertiga ni. Fatin dan Nadiah belajar di UK. Fatin di Warwick manakala Nadiah di Leicester. Kedua-duanya bakal cikgu. Nadiah bakal cikgu Matematik. Fatin bakal cikgu BI. 

Walaupun kita tiada gambar bersama kali ini, dirimu sentiasa tetap diingatku. Wajahmu sudah terlakar di minda ku. ^^ Till we meet again. Insha-ALLAH. IMY.ILY. Hee. 


1 September 2012. Huu. Setiap pertemuan, pasti ada perpisahan. Perpisahan buat sementara waktu atau untuk selama-lamanya. Sedih. Masa 2 bulan 2 hari itu rasanya masih tidak mampu mengubat rindu. Masih belum puas menatap wajah ayah dan bonda sudah hendak berpisah. Masih belum puas bergurau senda, sudah perlu berpisah. 



We, Ayah Ngah dan Adik Zakwan pergi KFC masa ni. Tak sempat nak bergambar. Insya-ALLAH, dipanjangkan umur dan diizinkan-NYA kita semua akan jumpa lagi. Insya-ALLAH. 

Sabtu lepas hantar adik Eya. Sabtu ini hantar saya. Sabtu depan hantar adik Ema. Lepas tu rumah akan sunyi sepi. Tinggal Ummi dan We melayan karenah dan keletah adik Zakwan saja. Moga ALLAH melindungi, merahmati dan meredhai kami sekeluarga dan kita semua. Insya-ALLAH.

Nota 1: Semester baru. Semangat baru. Insya-ALLAH. Walaupun masih dirudung rindu.

Nota 2: Inna lillahi wa inna ilahi raji'un. Daripada ALLAH kita datang dan kepada ALLAH kita kembali. Al-Fatihah.Takziah diucapkan buat keluarga dan sahabat kepada bakal-bakal doktor atas kehilangan mereka yang dicintai - Hanisah Muhd Shah dan Adzreen Binyati yang telah meninggal dunia di Moscow, Rusia malam tadi (awal pagi tadi  waktu Malaysia).

Semoga lima lagi rakan mereka yang cedera - Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza Abdul Raza,  diberikan kesembuhan oleh-NYA. Insya-ALLAH. 

Saturday, August 18, 2012

Secebis Di Sini, Secebis Di Sana

Assalamu'alaikum wbt.


Alhamdulillah. ALLAH izinkan, kita semua; saya, awak, dia dan kamu mampu menghirup udara-NYA lagi pada saat-saat terakhir Ramadhan ini. Sedihnya rasa. Sayu rasa hati. Kalau ikut perkiraan, usai sahaja azan Maghrib nanti, Ramadhan akan berlalu pergi. Meninggalkan kita semua. 'Dia' akan kembali semula 11 bulan lagi. Itu janji 'dia'. 'Dia' pastinya akan mengotakan janjinya itu. Namun, adakah kita masih ada pada waktu itu untuk bertemu lagi dengan 'dia' yang dinanti? Hanya DIA di atas sana yang Maha Mengetahui.

2012.
Insya-ALLAH, pertama kali akan menyambut 1 Syawal di kampung halaman bersama kesayangan-kesayangan. Memang gembira tak terkata. Memang sejak dari tahun lepas lagi sudah mencongak dan bergembira apabila mendapat tahu yang tahun ini akan beraya di rumah.

Namun, secebis hati ini tertinggal di bumi Sonata sana. Rindu menderu-deru. Masih ada sesuatu yang saya rasakan kurang di sini. Saya rindukan saat-saat iktikaf di Masjid Itaewon. Rindu. Serindu-rindunya. Saya rindukan suasana itu.




Apapun, masjid di kampung memang dibuka untuk penduduk beriktikaf. Cumanya, golongan Adam sahaja yang mendominasi. Tidak mengapalah, kaum Hawa boleh sahaja 'dating' dengan-NYA di rumah kan? Mahu atau tidak sahaja. Jangan menjadikan tidak boleh beriktikaf di masjid sebagai alasan. Boleh sahaja solat barang serakaat dua sebelum sahur. ALLAH sudah buka peluang seluas-luasnya untuk kita beribadah kepada-NYA. Tidak usah ribut-ribut, pastinya kita akan bangun sahur kan? Bolehlah qiam sebelum makan sahur.

Rasanya, andai disuruh saya senaraikan apa yang bakal dan akan saya rindui setelah meninggalkan bumi Sonata, saya boleh masukkan dalam list siap-siap dah.

1. Saat iktikaf di Masjid Itaewon pada bulan Ramadhan.
2. Saat iftar bersama muslimat yang pelbagai warna kulit, bahasa dan bangsa di Masjid Itaewon.
3.
4.

Ha. Nanti senarai itu akan bertambah lagi pada masa-masa akan datang. Kesimpulannya, saya merindui Ramadhan di Korea Selatan. Sungguh rindu~!

Nota 1: Hatiku berbahagi rasa. Secebis di sini, bergembira. Secebis di sana, berduka. Sedih akan berpisah dengan Ramadhan beberapa jam sahaja lagi. Gembira bakal meraikan kemenangan 1 Syawal nanti. Moga-moga, kemenangan itu bukan sekadar lahiriah semata. Moga segala amal dan tingkah laku kita juga mampu bergerak seiring. Berjaya zahir dan batin. Insya-ALLAH.

Nota 2: Alhamdulillah, officially sudah tamat praktikal. :') Err...reports belum siap lagi ni. Rehat untuk mode raya sekejap. Selepas ini perlu bergadang menyiapkan reports. Rasanya, saya mahu hasilkan sesuatu untuk memperingati praktikal kali ini. Sayang rasanya kalau pengalaman itu tersemat dan tersimpan di sanubari semata. Kita tengoklah apa yang akan jadi nanti. :D


Nota 3: Langit..tetap biru. Begitulah rinduku padamu. Sentiasa menderu-deru. Adakah kita akan kembali bertemu?

Sunday, August 5, 2012

4 Tahun

Assalamu'alaikum wbt.


"Salam 'alaik Nadzipah. Nak tanya bila awak free ek? Nak gi ziarah. Insya-ALLAH. :)"


Ini pesanan ringkas yang saya terima pada hari Selasa yang lepas. Mesej pertama yang diterima daripada insan yang saya tunggu-tunggu selama ini. Sebelum ini orang lain yang saya harapkan, orang lain yang datang.

Pada lewat malam Khamis pula, saya mendapat satu lagi mesej.

"Salam 'alaik Nadzipah. Kalau takde apa-apa halangan, esok saya gi rumah awak, insya-ALLAH. :)"


Tanpa dapat ditahan, saya tersenyum lebar. Padahal baca mesej tu masa bangun sahur. Terus hilang mamai lepas baca mesej tu. :D

Selepas berbalas-balas mesej dan berikan alamat, saya menunggu dalam debar untuk bersua muka dengan si pengirim mesej. Segala rasa berbaur menjadi satu. Teruja + seronok + tak sabar = Berdebar-debar. Hah ha! Gaya macam nak berjumpa bakal mentua je. :P

Dalam pukul 1 petang, saya mendapat panggilan darinya mengatakan dia sekarang berada di hadapan BSN Pasir Puteh. Sebelum itu, Ummi baru sahaja menyuruh saya menelefon bertanyakan dia yang masih tidak kunjung tiba. Sedangkan kalau ikutkan katanya pada saya lewat mesej pagi Jumaat itu, dia akan bertolak dari rumahnya di Pasir Mas sekitar pukul 10 pagi. Lama sungguh masa yang diambil dari Pasir Mas ke Pasir Puteh. 3 jam tu!

Belum sempat saya menelefon, dia sudah menelefon saya. Dari bandar Pasir Puteh, dia perlu berpatah balik menghala ke arah Kota Bharu untuk ke rumah saya. Sekitar pukul 1.30 petang, akhirnya dia selamat sampai di rumah saya. Alhamdulillah.

ALLAH. Sewaktu pertama kali bertatapan, bibir tersenyum tanpa mampu mengungkapkan kata-kata. Hanya mata mampu berbicara. Keluar sahaja dari kereta, terus kami bersalaman dan berpelukan erat. Macam tak nak lepaskan tangan rasanya. Lama sangat tak jumpa. Sampaikan pada awalnya tak tahu nak cakap apa. Hampir 4 tahun kami tidak bersua muka.

Pada mulanya masing-masing seolah-olah malu-malu dan tidak tahu mahu berkata apa. Hanya mampu senyum dan ketawa. Macam tak sangka pun ada juga. Alhamdulillah, ALLAH izinkan kami bertemu kembali setelah hampir 4 tahun tidak bersua muka. Iyalah. Dia di Conventry. Saya di Suwon. Hanya alam maya yang menghubungkan kami selama ini.

Kami sempat belajar di INTEC selama sebulan sahaja kalau tidak silap perkiraan saya. Housemate di bilik 504 Kolej Cemara. Ke sana ke mari bersama. Kemudian, dia ditawarkan KPM pengajian TESL di University of Warwick. Kami akhirnya berpisah. Saya masih tetap di INTEC, membuat persediaan bahasa Korea, manakala dia ke IPG Ipoh membuat persediaan untuk ke Conventry. Ketika saya berlepas ke Korea Selatan pada akhir Februari 2009, dia masih di IPG Ipoh. Kalau tidak silap, tahun 2010 baharulah dia berlepas ke Conventry.

Saya akui. Kami jarang berhubung. Namun ingatan terhadapnya kekal terpahat di hati. Cuma sekali-sekala kami berhubung dan bertanya khabar di Facebook mahupun Twitter. Ummi dan We pun selalu sahaja bertanyakan khabar si tinggi lampai ini.

Banyak benda yang kami bualkan semalam. Ladies talk. Macam-macam cerita. Al-maklumlah, update untuk 4 tahun. Hee. Sekitar pukul 5 petang, baharulah si manis Fatin Marini bergerak pulang. Rasa macam belum puas lagi bertemu. Insya-ALLAH, ada masa kita akan berjumpa lagi.

 Terima kasih banyak-banyak. Jazakillahu khairan jaza' atas ziarah yang memang tidak saya sangkakan. Terlerai rindu. Bertaut kasih. Bercambah sayang. Insya-ALLAH. Terima kasih juga atas souvenir dari Mesir dan Conventry ye, Fatin. Tak dapat ke Mesir dan UK, dapat ole-ole dari sana pun jadilah. :')

Nota 1: Bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah. Doa sentiasa menjadi penyambung kisah. Insya-ALLAH.

Nota 2: Pertengahan fasa kedua Ramadhan sudah hampir berlalu. Ayuh bersama tingkatkan amal, perbanyakkan doa. Semoga amal kita pada Ramadhan kali ini diterima Ilahi. Semoga amal ini mampu diistiqamahkan pada 11 bulan yang akan datang. Insya-ALLAH.


Nota 3: Selamat menyiapkan report praktikal untuk awak dan saya. Fighting!!!

Thursday, August 2, 2012

Random; PJ-Serdang-Bangi

Assalamu'alaikum wbt.

12 Ramadhan 1433H. Alahai, cepat sungguh masa berlalu kan? Rupanya hari ini sudah masuk Ramadhan yang ke-12. Esok sudah Ramadhan yang ke-13. Peringkat pertama Ramadhan sudah 2 hari berlalu. Fasa kedua pula berkunjung tiba. Bagaimana dengan amalan dan sikap kita sepanjang Ramadhan ini? Adakah semakin membaik dari sehari ke sehari? Atau sebaliknya yang berlaku? Sama-samalah kita berhenti sejenak dan merefleksi diri. Insya-ALLAH.

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. ALLAH mengizinkan saya ke Serdang selama 2 hari pada Sabtu dan Ahad baru-baru ini. Alhamdulillah juga SV dan CC memberikan pelepasan sehari pada hari Ahad. Kalau ikutkan dalam surat perjanjian praktikal, pelatih tidak dibenarkan cuti pun. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan oleh ALLAH Yang Maha Mengetahui dan Maha Memahami. :')

Seawal jam 5.20 pagi saya sudah selamat tiba di Hentian Putra. Seusai solat Subuh di surau, saya terus bergerak ke stesen LRT berdekatan menuju ke KL Sentral. Dari sana, terus menapak keluar menghala ke arah laluan monorail untuk menaiki bas ke UIAM PJ. Hampir sejam setengah menunggu barulah bas Metrojaya bernombor 12 tiba.

Pertama kali menjejakkan kaki ke UIAM PJ. Tempat yang menjadi pilihan saya selepas SPM, 5 tahun yang lepas. Kini adik Eya pula yang belajar di sana. Menyambung keinginan saya yang tergendala dahulu. Mungkin. :P

Seusai berehat dan bersiap, saya, adik Eya dan kawannya bergerak ke Jalan TAR. Bukannya mahu shopping sangat pun. Mahu menghabiskan masa dengan adik sahaja sebenarnya. Alang-alang saya sudah naik ke KL, dapatlah berjumpa dengan adik sekejap. Program di Serdang pun bermula pada lewat petang Sabtu. Jadi saya kira, waktu pagi itu eloklah diluangkan dengan adik. Mahu tunggu adik balik bercuti, lambat
lagilah alamatnya. Raya nanti barulah kami sekeluarga dapat berkumpul bersama. Sekarang ini, masih kurang seoranglah keluarga kami.

Ramai sungguh orang di Jalan TAR. Al-maklumlah, semuanya orang sedang sibuk membuat persiapan menghadapi hari raya. Padahal, puasa baru sahaja nak masuk seminggu pada masa itu. Orang ramai sudah sibuk membeli pakaian raya, biskut raya dan perhiasan rumah. Tergeleng kepala saya dibuatnya. Err..dulu pun saya pun macam mereka juga. Sekarang baru menyedari bahawa pada hakikatnya, Ramadhan inilah yang perlu  kita raikan dan manfaatkan sepenuhnya dengan mempertingkatkan amal ibadah. Bukannya menyibukkan diri dengan persiapan hari raya melebihi persiapan menghadapi Ramadhan.

Memandangkan kakak sepupu saya berpesan supaya membelikannya jubah dua lapis untuknya. Kami pun berjalanlah menelusuri dari satu lorong ke satu lorong bagi mencari jubah yang dikehendaki. Alahai...sampai lenguh kaki dan sakit pinggang dibuatnya. Jubah yang dicari tidak juga ditemui. Huhu. Sudahlah cuaca panas. Sungguh menguji di saat-saat berpuasa sebegini.

Terdetik di hati saya, bagaimana agaknya keadaan para sahabat ketika menghadapi Perang Badar di bulan Ramadhan? Pastinya lebih perit lagi keadaan mereka pada ketika itu. Saya yang hanya berjalan pusing-pusing di sekitar gerai-gerai ini pun sudah berasa terlampau letih dan tidak larat. Inikan pula Rasulullah dan para sahabat ketika di Perang Badar. Mereka yang cuma 313 orang bagaimanapun berjaya mengalahkan 1000 orang tentera musyrikin Quraisy dengan pertolongan ALLAH SWT. Malahan itu merupakan kali pertama mereka diperintahkan oleh ALLAH SWT untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Masya-ALLAH! Hebat sungguh Rasululullah dan para sahabat bukan?

Kami bersolat di Masjid India dan berehat sekejap di sana sebelum bergerak pulang. Kami berpisah di KL Sentral. Saya turun untuk mengambil KTM ke Serdang manakala adik Eya dan kawannya, Mira meneruskan perjalanan ke Universiti. Walaupun saya dapat berjumpa sekejap sahaja dengan adik Eya, tapi masa yang diluangkan itu amat berharga. Tak sempat berbuka bersama pun tidak mengapalah. Dapat berjumpa sekejap pun, jadilah. Nanti adik balik la deh, kita keluar ramai-ramai^^ Insya-ALLAH.

Setibanya di Serdang pada pukul 4.30 petang, saya terus menuju ke tempat yang telah dijanjikan. Bertemu dengan sahibah-sahibah yang hampir sebulan tidak bertemu, membuka pelbagai cerita. Pada pukul 6.30 petang, kami bertolak ke Al-Amin Bangi bagi iftar dan berterawih di sana. Alhamdulillah, kami semua berpeluang bersolat Maghrib, Isyak dan terawih diimamkan oleh salah seorang imam yang didatangkan khas dari Gaza. Credit to Kak Lina yang memaklumkan kepada saya melalui SMS tentang kedatangan imam Gaza ini. Credit to Kak Ain yang begitu sporting dan sudi membawa kami ke Al-Amin Bangi. Jazakunallahu khairan kathira. :')

Subhanallah! Saya begitu teruja melihat kaum ibu dan anak saat memasuki ruang solat kaum wanita. Damai dan mendamaikan. Seusai beriftar ringan, kami menunaikan solat Maghrib berjemaah kemudian bergerak ke dewan untuk beriftar berat pula.

Teringat bicara seorang akhawat kepada saya pada waktu itu. "First time dapat berbuka dengan semua orang bertudung labuh. Lain rasanya."

Bukan soal bertudung labuh yang ingin diketengahkan. Namun, biah solehah yang dirasai itu benar-benar menyejukkan jiwa. Melihat wajah mereka sahaja sudah mampu membuahkan senyuman. Walaupun kami saling tidak mengenali.

Suasana di dewan solat wanita juga membuatkan saya teruja. Anak-anak kecil setia di sisi ibu-ibu mereka dengan telekung masing-masing. Si kecil ini ikut rukuk dan sujud bersama si ibu. Masya-ALLAH! Tidak kedengaran larian kanak-kanak sewaktu solat. Kagum saya dibuatnya.

Saya jadi teringat tulisan Aiman Azlan mengenai isu ini. Alangkah indahnya jika suasana ini kita temui di setiap masjid, surau dan musalla. Saya terbayang-bayangkan anak-anak saya nanti terkedek-kedek mengikut saya dan suami ke masjid. Yang perempuan mengikut saya solat dan yang lelaki mengikut babanya solat. Pasti rasa kecintaan anak-anak kecil ini terhadap masjid makin memekar dari sehari ke sehari. Dari situ, tidak mustahil jemaah solat Subuh akan sama ramai dengan jemaah solat Jumaat. Insya-ALLAH. Apapun, impian itu hanya akan menjadi kenyataan andainya kita berusaha dan berinisiatif untuk mewujudkan rasa cinta itu bermula dari sekarang. Bukankah mendidik anak itu elok dimulakan daripada peringkat rebung lagi? Apabila rebung sudah menjadi buluh, pastilah sukar untuk dibentuk lagi.

Seusai solat terawih 8 rakaat, kami bergegas pulang ke Serdang untuk memulakan program. Walaupun tidak sempat mendengar tazkirah dari Imam Gaza, saya sudah cukup bersyukur berpeluang menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih berimamkan Imam Gaza ini. Alhamdulillah, kami diberikan lauk untuk bersahur oleh mak cik-mak cik di Al-Amin Bangi. Hanya ALLAH yang dapat membalas kebaikan mereka. Semoga ALLAH mengganjari mereka ini dengan ganjaran yang setimpal dengan kebaikan yang diberikan. Ameen. Insya-ALLAH.

Program pada malam itu berakhir pada pukul 12.30 malam dan disambung pula keesokan harinya sehingga ke pukul 3.15 petang. Err...maafkan saya duhai ustaz, sahabat dan sahibah atas segala kekurangan dan kekhilafan sepanjang program berlangsung. Maaf ye, tang tertidur time pengisian tu..Huhu. Mungkin juga 'jetlag' naik bas dan letih berjalan pusing-pusing jalan TAR. Huhu.

Seusai sahaja program, kami terus ke tempat penginapan dan berkemas serta bersiap-siap untuk ke pulang. Err...saya je yang bersiap untuk pulang ke rumah sebenarnya. Sahabat dan sahibah yang lain bersiap untuk ke program yang lain. Jealous tau dengan mereka semua. Huhu. Praktikal benar-benar mengekang MASA saya untuk berprogram. Insya-ALLAH, pasti ada hikmahnya. Jangan lupa kongsi-kongsi ilmu ye sahabat-sahibah. :')

Kak Ain menghantar saya ke Hentian Kajang sebelum menghantar sahibah yang lain ke tempat program. Jazakillahu khair kak Ain^^

Kemudian, kak Lina pula datang jemput saya di Hentian Kajang untuk iftar di rumahnya. Saya dijadualkan menaiki bas pada pukul 8.30 malam. Jadinya, sempatlah iftar di rumah kak Lina sekejap. Ini merupakan kali kedua saya bertemu muka dengan kak Lina. Pertemuan pertama di Fateh Kubra, Bangi sewaktu berprogram bersama akhawat NZ pada cuti musim sejuk yang lalu. Dan pertemuan kedua pula ialah pada hari Ahad, 29 Julai 2012 baru-baru ini. Sebelum ini kami hanya berhubung melalui SMS, Facebook, Twitter, Yahoo!Messenger dan Paltalk sahaja. Pendek kata, kami lebih banyak bertemu di alam maya. Ukhuwah kami mula berputik di alam maya kemudian diteruskan kepada pertemuan empat mata. :D

Nampaknya saya langkah kanan pada hari itu. Keluarga kak Lina mengadakan majlis berbuka puasa. Sempatlah saya menolong kak Lina dan umminya apa yang patut sebelum tetamu hadir. Seusai berbuka dan solat maghrib, kak Lina menghantar saya kembali ke Hentian Kajang. Alhamdulillah, kami sampai di Hentian Kajang pada pukul 8.31 malam. Bas yang saya akan naiki baru sahaja keluar dari terminal 12 masih menunggu-nunggu para penumpang. Alhamdulillah. Usai bersalaman saya terus menaiki bas.

Jazakillahu khairan jaza' kak Lina. Maaf atas segala kekurangan. Maaf juga takde ole-ole pun untuk akak. Huhu. Walaupun sekejap sahaja berjumpa, saya benar-benar menghargainya. Alhamdulillah, berpeluang juga saya bersama Sahel ye kak Lina^^ Lembut je warna birunya. Selembut pemiliknya. :D

Saya tiba di Pasir Puteh pada pukul 4.50 pagi. Alhamdulillah. Sempat bersahur di rumah bersama keluarga. Terima kasih yang tak terhingga pada Ummi dan We yang datang menjemput. Terima kasih pada adik Ema yang menyediakan juadah sahur di rumah. :')

Nota 1: Sedih, Ramadhan sudah mahu berlalu..:'((( Habis praktikal di TNB, maknanya Ramadhan pun akan menemui penghujungnya. Sedihnya...

Nota 2: Pak cik-pak cik TNB semuanya baik-baik. Rasa sekejap sahaja 2 bulan itu. Belum pun habis praktikal, sudah rasa rindu pada praktikal. Haha.

Nota 3: Bersama mengejar keberkatan dan keampunan-NYA di bulan Ramadhan yang mulia ini. Masih berbaki lebih kurang 17 hari sahaja lagi. Ayuh, tingkatkan usaha dan perbanyakkan amal.