Saturday, January 19, 2013

Berakhirnya Tahun Ketiga EEE

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Thumma alhamdulillah. Kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan kepada ALLAH SWT kerana dengan rahmat dan limpah kurniaan-NYA, secara 'official'nya saya dapat menamatkan pengajian tahun ketiga kejuruteraan elektrik dan elektronik. Alhamdulillah.

Dengan berakhirnya winter class pada 14 Januari 2013 bermakna secara rasminya pengajian tahun ketiga saya juga berakhir. Keputusan peperiksaan pun sudah keluar pada 17 Januari 2013. Alhamdulillah~^^

Saya ada tulis entry berkenaan permulaan tahun ketiga; Fasa Baru. Menceritakan keterujaan diri saat melangkah ke tahun ketiga pengajian. Bersulamkan juga dengan kebimbangan, keresahan dan hati yang libang-libung yang bukan sedikit ketika itu. 

Semester pertama tahun ketiga, memang tersangat tough bagi saya. Keputusan akhir semester pertama juga memang merudum jatuh. Huhu. Mungkin juga kerana saya mengambil banyak subjek major yang semuanya killer subject. Memang terasa agak down ketika itu. Namun jika itu yang sudah ALLAH takdirkan untuk saya, saya menerimanya dengan redha. Bukannya tidak berusaha. Serasanya sudah berusaha sedaya yang termampu. 

Cuti musim panas, saya pulang ke Malaysia. Cuti yang saya habiskan dengan melakukan praktikal di TNB Pasir Puteh selama 2 bulan lamanya. Suatu pengalaman baharu bagi saya yang memang jenis sukakan aktiviti indoor ini. Berpeluang bekerja dengan pak cik-pak cik yang happening dan menceriakan hari-hari praktikal saya dengan pelbagai gelagat dan telatah lucu mereka. Sepanjang 2 bulan praktikal banyak yang saya belajar dari mereka. Turun ke lapangan, melihat mereka bekerja, berpeluang menjelajah ke segenap daerah Pasir Puteh. Habis segala ceruk kami redah. Jalan yang tak pernah saya tahu pun sekarang ini sudah mahir tentang selok-belok jalan tersebut. :')

Semester kedua tahun ketiga juga tidak kurang 'tough'nya pada saya. Pengalaman mengambil kelas Islamic Culture yang banyak membuka mata saya tentang persepsi orang Korea terhadap orang Islam. Berpeluang berbincang dan menjelaskan kepada mereka tentang beberapa salah faham terhadap Islam. Tidak mudah. Alhamdulillah, sesi pembentangan dan soal jawab yang saya kira makin membuatkan mereka faham tentang Islam supaya tidak terus didoktrin dengan pemikiran dan fahaman yang sedia ada. Semoga ALLAH memberikan hidayah kepada mereka semua yang memang nampak berminat untuk tahu mengenai Islam. Insyaa-ALLAH.

Yang membuatkan saya terkejut, ada di antara mereka pergi ke negara Arab sana untuk belajar mengenai Islam. Yang membuatkan saya terkejut kuasa dua, mereka ingin mempelajari tentang Islam atas suruhan orang gereja. Kesat terasa liur yang ditelan. Sesak nafas apabila mengetahui hakikat itu. 

Semester kedua tahun ketiga sudahpun berakhir pada 21 Disember 2013. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan akhir semester sudah pun keluar 2 minggu selepas itu. Alhamdulillah, kali ini keputusannya melonjak naik. Alhamdulillah. Praktikal memang banyak membantu saya untuk mendapat keputusan yang sebaik ini. 

Kemudian 14 Januari 2013 pula berakhirnya semester pendek musim sejuk. Keputusan yang agak lari dari target, namun alhamdulillah fi kulli hal. Jika ini yang terbaik, saya terima dengan redha dan senang hati. Pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. 

"Jangan berputus asa dengan rahmat ALLAH." Nasihat Ummi yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga saya saat bermuhasabah diri. 

Alhamdulillah. Kini sudah mampu menghela nafas lega. Setelah berhempas-pulas selama setahun, akhirnya tahun ketiga kini berakhir juga. Masih tinggal setahun lagi untuk ditempuh sebelum bergelar pelajar lulusan kejuruteraan elektrik dan elektronik. Mungkin juga akan bergelar jurutera elektrik dan elektronik / jurutera elektrik / jurutera elektronik selepas Februari 2014. Mungkin juga akan kembali bergelumang dengan buku lagi. Mungkin...segalanya mungkin. 

Saya juga ada menerima beberapa soalan yang bertanyakan bagaimanakah untuk menyambung pengajian ke Korea Selatan ini. Insyaa-ALLAH saya akan cuba jawab soalan tersebut pada entry kali ini.

1. Bagaimana untuk menyambung pelajaran ke Korea Selatan?

- Undergraduate (Degree)
Anda boleh memohon biasiswa JPA / MARA selepas mendapat keputusan SPM. Biasiswa JPA untuk pengajian sarjana muda kejuruteraan teknikal (mekanikal, elektrik / elektronik, kimia) sahaja. Biasiswa MARA terbuka untuk pelbagai bidang. Boleh ambil animasi dan beberapa bidang lain juga. Saya pun kurang pasti mengenai ini. Anda boleh semak di laman web MARA untuk keterangan lebih lanjut. Ada juga biasiswa MINDEF. Juga dalam bidang kejuruteraan. 

Anda juga boleh memohon biasiswa Korean Government. Namun pengambilannya agak terhad. Hanya sekitar 10 orang sahaja pada setiap tahun. Saya dengar-dengar daripada kawan-kawan penerima biasiswa ini, prosedurnya agak rumit sedikit. Namun apa salahnya mencuba bukan? Mana tahu itu rezeki anda. :')

- Postgraduate (Master / PhD)
Anda boleh memohon biasiswa Korean Governement. Ataupun boleh juga memohon biasisiwa daripada professor. Tapi saya juga tidak mengetahui bagaimana prosudernya untuk memohon daripada professor itu. 

Boleh rujuk di laman web Korean Government ini untuk keterangan lebih lanjut. (http://www.niied.go.kr/index.do)

2. Adakah pelajar yang terus menyambung pengajian ke peringkat sarjana setelah tamatnya pengajian sarjana muda?

- Ada. Namun jika pada peringkat sarjana muda pelajar itu mendapat tajaan JPA, pihak JPA tidak lagi menaja pengajian sarjananya. Jadi pelajar itu hendaklah mencari tajaan lain untuk menanggung pengajiannya. 

3. Bagaimana dengan kos sara hidup di Korea Selatan?

- Sekarang ini, kos sara hidup di Korea semakin meningkat. Kalau ikutkan perbandingan kasar, KRW 1,000 = RM 3. Kira macam 3 kali ganda Malaysialah kos sara hidup di sini. 

4. Bagaimana dengan suasana belajar di Korea Selatan?

- Pengajian degree, boleh dikatakan 60% Korean, 40% English. Tetapi harus diingat, penduduk Korea memang menggunakan bahasa Korea sebagai bahasa perantaraan, bahasa komunikasi mereka. Mereka akan selamba sahaja berbahasa Korea walaupun sudah maklum yang orang yang sedang bercakap dengan mereka itu bangsa asing. 

- Mengikut pengalaman saya, walaupun ada sesetengah kelas yang disyaratkan untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan, namun professor dengan selamba sahaja akan mengajar dalam bahasa Korea. Jangan terkejut sekiranya soalan peperiksaan pun akan dikeluarkan dalam bahasa Korea!

- Kesimpulannya, anda hendaklah belajar bahasa Korea sekiranya ingin menyambung pengajian ke Korea. Tidak kiralah anda mahu ambil degree, master ataupun PhD. Sekurang-kurangnya, anda mampu menguasai bahasa Korea mudah untuk perbualan harian. Itu memang sangat perlu dan sangat penting. Jika tidak, memang akan sukar untuk survive di bumi Korea ini.

Saya rasa setakat itu dulu perkongsian yang saya boleh berikan. Mungkin jika anda ada apa-apa lagi persoalan boleh tanyakan kepada saya kemudian. Insyaa-ALLAH saya akan cuba untuk menjawabnya. 

Nota 1: Alhamdulillah. 17 Januari 2013 berjaya menyelesaikan satu misi. Berpeluang ke Chujeon Station - Stesen kereta api tertinggi di Korea Selatan dengan ketinggian 885 meter. 

Nota 2: Libang-libung hati dirasakan agak tenang sedikit setelah meluahkan kepada yang sepatutnya. Alhamdulillah. :')

Nota 3: Pertautan ukhuwah yang dirasakan kian longgar bagaikan diperketatkan semula dengan kehadiran akhawat jaulah dari Tanah Besar China. Alhamdulillah. 

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum. Saya nak tanya. Roughly personal expenses sepanjang di korea berapa ya?